Oleh/By : DATO' SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN MERDEKA PUSAT DAGANGAN
DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 11/05/2000
Tajuk/Title : PERHIMPUNAN AGUNG UMNO
" PERJUANGAN UMNO BELUM SELESAI "
Perhimpunan Agung UMNO pada tahun ini diadakan
pada harijadi UMNO bagi memperingati kita akan asal
usul UMNO dan sejarah 54 tahun parti kita. Dalam
jangkamasa itu banyak sudah kejayaan yang telah kita
capai. Kita telah menggagalkan percubaan British untuk
merampas hak orang Melayu sebagai pemilik asal negeri-
negeri Melayu dan negeri Selat dan dengan itu
mengekalkan hak kita ke atas Tanah Melayu.
2. Kita, UMNO, telah berjaya menyusun strategi
kerjasama luar biasa antara kaum-kaum di Tanah Melayu
supaya masing-masing mengiktiraf hak masing-masing dan
dengan itu dapat menjayakan perjuangan untuk
kemerdekaan negara dan kemajuannya.
3. Bermula dengan Persekutuan Tanah Melayu sebagai
pengganti Malayan Union, kita telah menubuhkan Negara
Malaysia yang lebih besar bersama-sama dengan negeri
Sabah, Sarawak dan Singapura. Tidak ada kekerasan yang
digunakan untuk menyatupadukan negeri-negeri ini --
hanya diplomasi dan rundingan di meja oleh sebuah
Kerajaan yang dipimpin oleh parti yang dianggap tidak
berpengalaman dalam bidang rundingan yang mempunyai
sensitiviti kedaerahan, kaum dan agama.
4. Apabila kita dapati Singapura dan kepimpinannya
tidak lagi sesuai dengan semangat persekutuan dan sikap
tolak-ansur antara kaum, tanpa banyak masalah kita
telah memberi kemerdekaan kepada Singapura.
5. Sesudah terbentuknya Malaysia, masalah yang terus
dihadapi ialah hubungan antara kaum yang terpisah di
antara satu sama lain, yang tinggal berasingan,
terlibat dalam fungsi ekonomi yang berlainan dan dengan
itu berbeza daripada segi kekayaan harta benda, budaya
dan persepsi dunia (world view).
6. Pada tahun 1969 berlaku rusuhan kaum yang telah
lama diramalkan oleh pemerhati-pemerhati asing.
Peramal-peramal ini gembira dengan rusuhan kaum pada 13
Mei 1969 kerana mereka percaya Malaysia akan hancur,
tidak aman dan tidak selamat. Malaysia, kata mereka
tidak mungkin dibangun dan dimajukan. Orang Melayu
yang berkuasa melalui UMNO tetap akan mengadakan
pemerintahan yang zalim yang akan merampas harta
kepunyaan bukan Melayu. Menurut mereka tidak ada masa
depan bagi Malaysia. Seperti juga dengan negara-negara
lain yang mencapai kemerdekaan, 'natives' atau penduduk
asal, akan memusnahkan apa yang kononnya dibangun dan
dimajukan oleh penjajah di zaman kolonial dahulu.
7. Tetapi sekali lagi UMNO membuktikan
kebijaksanaannya. Tidak ada rampasan yang dilakukan
tetapi dibentuknya Dasar Ekonomi Baru dan dengan
membesarkan kek ekonomi, Bumiputera memperolehi hak
mereka tanpa merampas hak bukan Bumiputera.
8. Dengan itu berlakulah pembangunan negara yang
berterusan dan pesat dalam suasana aman dan harmoni.
Bumiputera dan bukan Bumiputera mendapat nikmat yang
banyak. Rata-rata jelas kelihatan kemakmuran yang
tidak pernah dijangka oleh sesiapa. Mereka yang
meramalkan Malaysia akan hancur terpinga-pinga melihat
apa yang dipanggil oleh mereka 'the Malaysian economic
miracle' atau keajaiban ekonomi Malaysia.
9. Pembangunan ini membawa perubahan yang ketara
dalam masyarakat Melayu dan Bumiputera lain. Yang
pertama, kaum yang biasanya tinggal di kampung dengan
budaya dan adat resam kampung telah berhijrah beramai-
ramai ke bandar.
10. Hidup di kampung dengan hidup di bandar amat
berbeza. Di kampung kita diperhatikan oleh ibu bapa
dan keluarga serta juga jiran-jiran kita. Dengan itu
kita berpegang dengan adat resam dan budaya asli kita.
Kita menjaga tingkah laku kita. Kita menghormati ibu
bapa, keluarga, jiran dan pemimpin kampung kita.
Mereka mengenali kita dan kita mengenali mereka dan
kita menjaga maruah kita dan maruah kampung kita. Kita
tidak menunjuk-nunjuk kebolehan kita dan kita tidak
sombong dan bongkak.
11. Tetapi penduduk kampung tidak mungkin maju dan
kaya. Di Malaysia tidak ada tuan tanah yang memiliki
semua tanah yang disewa oleh penduduk kampung. Di
Malaysia orang kampung memiliki tanah sendiri dan tanah
ini tidak luas, kerapkali mencukupi hanya untuk
menampung keperluan hidup satu keluarga sahaja. Tidak
mungkin sesiapa menjadi kaya raya di kampung.
12. Pendapatan yang terhad di kampung menyebabkan
perbelanjaan yang terkawal. Duit digunakan dengan
berhati-hati, tidak ditabur untuk tujuan lain daripada
menyara hidup. Jika ada kenduri-kendara, penduduk
kampung bergotong-royong, tolong-menolong antara satu
sama lain supaya perbelanjaan dapat dikurangkan.
Dengan ini semangat kejiranan terjalin.
13. Tetapi apabila Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan,
orang Melayu terutama anak-anak penoreh getah dan
penanam padi berpeluang mengejar pelajaran tinggi,
menjadi pegawai tinggi Kerajaan, ahli profesional,
peniaga dan pengusaha, kontraktor kelas `A' dan ahli
korporat. Pendapatan mereka berlipat ganda. Mereka
tidak kembali ke kampung tetapi menjadi penduduk bandar
dengan segala kecanggihannya.
14. Di bandar mereka lebih bebas. Tidak lagi ada ibu
bapa, keluarga dan jiran yang memerhati tingkah laku
mereka. Di bandar, jiran di sebelah rumah pun tidak
dikenali dan sudah tentu tidak mempedulikan apa yang
dilakukan oleh jiran. Orang bandar bebas, boleh buat
apa sahaja. Tidak ada siapa yang perlu disegani dan
dihormati. Dengan itu budaya asli orang Melayu
merosot, tidak diamalkan lagi.
15. Mereka ternampak tidak mampu menangani kemakmuran
dan kekayaan mereka. Wang yang banyak tidak dianggap
sebagai modal untuk dilabur, tetapi dibelanja sesuka
hati tanpa mengingati masa depan. Wang boleh membeli
apa sahaja. Wang boleh membeli pengaruh dan
populariti. Wang berkuasa. Dan wang bagi orang Melayu
yang tinggal di bandar, berkat Dasar Ekonomi Baru,
mudah didapati.
16. Yang jelas ialah kejayaan Dasar Ekonomi Baru yang
membawa penduduk Melayu dari kampung ke bandar dan
menjadikan mereka orang yang lebih berada, yang tidak
lagi 'kais pagi makan pagi' tetapi mampu berbelanja
lebih daripada keperluan hidup, sudah membentuk budaya
baru bagi orang Melayu.
17. Ada orang yang mengesyorkan supaya Melayu ini
bersikap kurang ajar sedikit. Syor ini mendapat
sambutan. Apa perlunya kurang ajar sedikit? Lebih
baik kurang ajar sahajalah. Dengan itu maka
berkembanglah pendapat bahawa tidak perlu ada perasaan
terhutang budi sampai mati. Jangan ada langsung
perasaan terhutang budi. Jangan berterima kasih kepada
orang yang menolong kita. Memaki mereka dan memburuk-
burukkan mereka tidak salah. Hanya yang diperlukan
ialah bersyukur kepada Tuhan. Nikmat dan rezeki yang
kita dapati bukan daripada orang yang menyampaikannya.
Jika tidak orang itu, orang lain yang akan
menyampaikannya. Jadi kita juga tidak perlu berterima
kasih kepada Nabi Muhammad s.a.w. Jika tidak Nabi
Muhammad, orang lain akan diutuskan untuk menyampaikan
agama Islam. Oleh itu tidak perlulah kita mengagung-
agungkan Nabi Muhammad. Memadailah dengan bersyukur
kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala sahaja.
18. Demikianlah antara budaya sesetengah Melayu bandar
sekarang. Dan budaya ini diburukkan lagi oleh orang
politik yang berkepentingan. Jangan berterima kasih
kata orang-orang ini. Jika kami berkuasa kami juga
akan memberikan yang sama kepada kamu dan mungkin lebih
daripada itu. Oleh itu tolak sahaja orang yang telah
berbudi kepada kamu. Sebaliknya gigit tangan mereka.
19. Gunakanlah apa sahaja untuk menimbulkan kebencian
kepada orang yang berbudi kepada kita. Surat layang,
akhbar, Internet, semuanya boleh digunakan. Labelkan
orang yang dimusuhi dengan gelaran yang buruk kerana
dengan cara ini akan meningkatkan lagi kebencian kepada
orang tertentu. Mahazalim, Mahafiraun. Sukakah kita
kepada orang yang zalim, firaun? Tentu tidak. Oleh
itu benci sahajalah orang yang berlabel zalim dan
firaun. Tidak ada perasaan yang lebih memuaskan nafsu
daripada membenci. Maka politik pembangunan pun
diganti dengan politik benci. Bencilah ia dan undilah
aku.
20. Inilah perubahan-perubahan yang sudah berlaku
kepada sebahagian daripada orang Melayu dan Bumiputera
lain hasil daripada kejayaan UMNO memaju dan
membangunkan mereka. Apakah UMNO harus menamatkan
Dasar Ekonomi Baru supaya orang Melayu kembali
menderita dan dengan itu kembali insaf dan bersatupadu
semula?
21. Kita ingat, kejayaan UMNO menyatupadukan orang
Melayu di pertengahan abad ke-20 ialah kerana orang
Melayu merasa terancam menghadapi bahaya hilang negara
dan hilang bangsa. Bahaya dari luar ini menekan orang
Melayu sehingga mereka terpaksa merapatkan barisan
melalui UMNO untuk mempertahankan diri. Mereka tidak
lagi menganggap diri mereka sebagai orang Kedah, orang
Perak, orang Pulau Pinang, orang Johor dan seterusnya.
Buat pertama kali mereka secara bulat dan padu
menganggap diri mereka sebagai orang Melayu. Hanya
sebagai orang Melayu yang bersatu padu sahaja barulah
mereka dapat menyelamatkan diri dan harta pusaka
warisan mereka.
22. Jika dahulu UMNO berjaya menyatupadukan orang
Melayu, apakah UMNO kali ini tidak boleh menyatupadukan
mereka semula? Sebenarnya kita tidak tahu. Mungkin
boleh, mungkin tidak. Tetapi boleh atau tidak, kita
mesti cuba. Itu adalah semangat UMNO. Kita tidak
boleh mudah kecewa dan menyerah kalah. Kita
bertanggungjawab kepada bangsa Melayu. Sama ada orang
Melayu akan menyambutnya atau tidak, tanggungjawab kita
mestilah kita pikul. Jika gagal apabila dicuba kita
mesti cuba lagi.
23. Sebenarnya percubaan telahpun kita mulakan. Jika
perubahan dalam budaya Melayu yang menyebabkan mereka
mula menggelongsor ke arah kemusnahan, maka langkah
yang perlu diambil ialah mencuba mencipta dan menyemai
budaya baru yang lebih mampu melawan nafsu dan
mengatasi cabaran hidup sebagai penduduk bandar yang
mewah.
24. Sudah tentu benteng yang terkuat sekali ialah agama
Islam dengan nilai-nilai murninya. Malangnya budaya
yang terbentuk apabila Nabi Muhammad s.a.w. membawa
Islam kepada Arab jahiliah sudah diketepikan oleh
kebanyakan orang Islam. Persaudaraan dan perpaduan
dalam Islam tidak lagi diamalkan oleh orang Islam. Di
mana-mana sahaja mereka bermusuhan sesama sendiri
bahkan sanggup bersubahat dengan musuh-musuh Islam
untuk mengalahkan orang yang seagama dengan mereka.
25. Di Malaysia, ini juga sudah berlaku. Sudah ada
orang Melayu yang membenarkan diri mereka dihasut oleh
musuh supaya menggagalkan usaha untuk memaju dan
mengembalikan kecemerlangan tamadun Melayu dan Islam.
26. Tokoh-tokoh Islam suka menyalahkan pihak Orientalis
Barat apabila membincang tentang tenatnya orang Islam.
Mereka menuduh kumpulan-kumpulan tertentu ditubuhkan
oleh British dan Yahudi untuk memecahbelahkan orang
Islam dan menghalang kemajuan mereka di dunia. Ajaran
bahawa dunia ini adalah untuk orang kafir dan akhirat
dikhaskan bagi orang Islam amat disukai oleh musuh
Islam. Mereka tahu kepercayaan ini di kalangan orang
Islam akan menyebabkan mereka asyik dengan berbagai-
bagai kepercayaan dan kegiatan yang kononnya diwajibkan
oleh agama Islam sehingga tidak ada masa untuk
memajukan diri mereka di dunia. Dengan terbentuknya
puak-puak yang bertentangan pendapat berkenaan agama,
maka permusuhan sesama orang Islam akan berlaku dan
mereka akan memusnahkan diri mereka sendiri. Oleh itu
musuh mereka menggalak dan memuji kumpulan-kumpulan
serpihan di kalangan orang Islam supaya menyerang
kumpulan tunjang yang majoriti. Segala usaha oleh
kumpulan majoriti untuk memajukan orang Islam akan
dituduh tidak Islam. Sibuk dengan mempertahankan
keIslaman mereka, kumpulan majoriti tidak dapat menumpu
kepada pembangunan orang Islam. Akhirnya gagallah
usaha orang Islam untuk menguasai segala ilmu dan
kecekapan yang membolehkan mereka bersaing dengan
bangsa-bangsa lain. Sudah berkali-kali percubaan
dibuat oleh orang Islam untuk membangunkan umat Islam,
tetapi telah digagalkan oleh puak serpihan yang
dipengaruhi dan disokong oleh musuh-musuh Islam.
27. Hari ini di Malaysia kita melihat bagaimana galakan
dan sokongan diberi kepada parti serpihan supaya
menentang parti tunjang majoriti orang Islam. Walaupun
kita tahu media Barat dan pihak-pihak tertentu begitu
benci kepada orang Islam yang digambarkan oleh mereka
sebagai pengganas, tetapi mereka cuba membayangkan PAS
sebagai parti sederhana yang perlu disokong oleh bukan
Islam untuk menjatuhkan Kerajaan pimpinan UMNO.
Ternampak seolah-olah mereka ingin melihat PAS
mendirikan negara Islam di Malaysia. Apakah benar
mereka suka negara Islam? Besar juga kemungkinan
mereka suka, kerana kepercayaan mereka ialah negara
yang diperintah oleh apa yang mereka kenali sebagai
fundamentalis Islam akan membawa perasaan tidak senang
hati di kalangan penganut agama lain, akan menghalang
pembangunan dan kemajuan Malaysia, melemahkannya
sehingga dapat dijajah semula. Jika kerana usaha musuh-
musuh Islam ini, sokongan kepada UMNO merosot, maka
UMNO tidak dapat menumpu kepada kemajuan orang
Melayu/Islam, bahkan mungkin UMNO akan cuba menjadi
lebih Islam daripada PAS, menolak apa yang PAS cap
sebagai sekular sehingga Malaysia terus mundur, lemah,
tidak lagi dapat menegur negara Barat dan alat-alat
mereka apabila mereka melakukan ketidakadilan kepada
negara-negara membangun. Hari ini hanya Malaysia
sahaja yang sanggup mengkritik Barat. Tentulah mereka
merasa lega apabila UMNO sibuk dan bergelut dengan PAS
sehingga lupa terhadap penganiayaan ke atas umat Islam
di Bosnia, Kosovo, Sudan, Iraq, Iran dan lain-lain.
28. Tugas UMNO ialah cuba menyeru orang Melayu kembali
kepada persaudaraan dan perpaduan seperti yang diajar
oleh Islam supaya strategi mereka yang benci kepada
orang Islam tidak akan berjaya. Untuk ini parti-parti
serpihan orang Islam mestilah disedarkan bahawa mereka
sudah dipermain dan diperalatkan oleh musuh-musuh
Islam. Dalam usaha UMNO untuk menyedarkan puak
serpihan ini, UMNO mestilah berpegang kepada kebenaran.
Jelaskan, ceritakan hal dan keadaan yang sebenar. Ini
adalah mudah, kerana kita berada di pihak yang benar.
Hanya orang yang tidak bermodalkan kebenaran yang
terpaksa melemparkan berbagai-bagai tuduhan, membohong
dan memfitnah. Hanya orang yang tidak berpegang kepada
ajaran Islam yang murni yang mudah memburukkan orang
Islam lain, membohong, melabelkan orang lain dengan
nama-nama yang buruk. Hanya orang yang tidak ada
maruah sahaja yang tidak berasa malu apabila diketahui
membohong tetapi tanpa segan-silu membohongi lagi.
29. Insya-Allah, jika UMNO terus berusaha menyuarakan
yang benar, akhirnya walaupun mungkin tidak ramai, akan
ada juga mereka yang akan menolak kemungkaran dan
menerima kebenaran. Ini jelas sepertimana firman Allah
dalam Surah Al-Isra', Ayat 81, yang bermaksud:
"Telah datang kebenaran dan hilang lenyaplah perkara
yang salah; sesungguhnya yang salah itu sememangnya
satu perkara yang tetap lenyap."
dan Surah Ali-Imraan, Ayat 104, yang bermaksud:
"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang
menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan
Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik,
serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan
keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-
orang yang berjaya."
30. Agama Islam tidak sahaja menyuruh kita bersaudara
tetapi menuntut kita memiliki banyak lagi nilai murni
lain yang boleh membentuk peribadi yang berdaya tahan
dan mampu menangkis nilai-nilai buruk yang ramai
daripada kita telah serap serta menyediakan kita untuk
menghadapi cabaran hidup di bandar dan cabaran-cabaran
yang akan kita hadapi dalam abad ke-21 Masihi ini.
31. Antara nilai yang terpenting ialah disiplin,
mengawal diri daripada membuat sesuatu yang tidak baik
bagi diri kita, terutama melawan nafsu kita. Segala
ibadat dalam Islam memerlukan disiplin diri. Kita
tidak mungkin berpuasa, mengeluarkan zakat, mengerjakan
ibadat haji dan sudah tentu bersembahyang tanpa
disiplin. Gerakgeri kita dalam mengerjakan ibadat-
ibadat ini juga memerlukan disiplin. Kita tidak perlu
menunggu balasan. Orang yang berdisiplin melakukan
perkara yang baik kerana kebaikan.
32. Disiplin memerlukan kita mengetepikan kepuasan
nafsu untuk kebaikan. Percayalah, lambat laun kita
akan menikmati kebaikan ini.
33. Apabila kita menolak sogokan yang diberikan hari
ini kerana memikirkan tentang kesannya ke atas nasib
bangsa kita di zaman akan datang, maka ini menunjukkan
kita mempunyai disiplin diri. Hanya orang yang
berdisiplin sahaja yang dapat menolak sogokan kerana
bangsa, agama dan tanahair.
34. Tentera yang mara ke hadapan apabila diarah tentu
tahu mereka mungkin terbunuh, tetapi sebagai anggota
yang berdisiplin mereka tetap menurut perintah. Dengan
disiplin mereka mungkin menjayakan pasukan mereka,
bahkan negara mereka. Tetapi jika mereka enggan
menurut perintah, besar kemungkinan pasukan mereka
ditewaskan, negara mereka kalah dan mereka sendiri
dibinasakan oleh musuh. Tanpa disiplin sesuatu bangsa
tidak mungkin dapat mengekalkan kemerdekaannya.
35. Melayu yang ingin terus maju, mendirikan masa depan
yang cemerlang; Melayu yang ingin menebus maruah dan
mengekalkannya mestilah berdisiplin, mesti membendung
nafsu, mesti sanggup berkorban untuk kebaikan masa
depan bangsa, agama dan tanahair.
36. Selain daripada disiplin, banyak lagi nilai yang
baik yang didokong oleh agama Islam yang perlu
diamalkan secara sedar. Sementara kita mendakwa betapa
kuatnya pegangan kita kepada ajaran Islam, ramai juga
daripada kita yang mencari bomoh untuk menentukan
kejayaan. Bomoh tidak boleh menentukan kemenangan
kita. Kerja yang kita buat, kebaikan kita,
keprihatinan kita, rekod baik kita -- ini semua yang
boleh menolong kejayaan kita. Tetapi tidak ada jaminan
bahawa kita akan berjaya walaupun kita membuat segala-
gala yang baik dan hakikat ini mesti diterima oleh kita
tanpa rasa kecewa. Yang menentukan kita berjaya atau
tidak ialah Tuhan. Yang berkuasa ke atas kita ialah
Allah Subhanahu wa Ta'ala. Oleh itu berdoalah
kepadaNya dan berhentilah daripada menggunakan bomoh.
37. Satu lagi nilai hidup yang saya harap kita orang
Melayu akan cuba memilikinya ialah nilai-nilai budaya
luar biasa yang ditonjolkan oleh Datuk Azhar Mansor.
38. Pada tahun 1999 Azhar telah berjaya belayar seorang
diri mengelilingi dunia. Ini bukanlah sesuatu yang
sanggup atau boleh dibuat oleh sesiapa sahaja, baik
orang Melayu atau mana-mana bangsa di dunia. Tentulah
ada sifat-sifat yang luar biasa pada Azhar. Jika ramai
lagi orang Melayu memiliki sifat-sifat ini, bangsa kita
tentu akan dapat menghadapi segala cabaran dengan hati
yang tabah dan kental, tidak kecewa dengan kegagalan
tetapi akan bangun dan cuba mengatasi cabaran sekali
lagi dan sekali lagi sehingga berjaya atau hancur
musnah kerananya.
39. Tetapi persepsi sebahagian daripada orang Melayu
terhadap kejayaan Azhar ialah ia bukan disebabkan sifat-
sifat istimewa yang ada pada Azhar. Mereka bertanya
Azhar apakah ilmu yang dipakai olehnya.
40. Di zaman dahulu ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu
ghaib termasuk kononnya membela hantu, pelesit atau
pontianak. Sekarang ilmu yang dimaksudkan ialah ayat-
ayat tertentu daripada Al-Quran yang dipercayai boleh
melindungi seseorang daripada bahaya dan juga
menentukan kejayaan.
41. Kita orang Islam perlu membaca doa dan meminta
pertolongan Allah Subhanahu wa Ta'ala tetapi kita tahu
bahawa Allah tidak akan menolong kita jika kita tidak
menolong diri kita sendiri, sepertimana firman Allah
dalam Surah Ar-Ra'd, Ayat 11, yang berbunyi:
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada
sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada
diri mereka sendiri."
Membaca doa semata-mata tidak mungkin membolehkan Azhar
belayar mengelilingi dunia. Beliau perlu belajar
segala selok belok pelayaran -- bagaimana menggunakan
berbagai-bagai alatan dan bagaimana menjaga keselamatan
dirinya. Di perairan tertentu suhunya begitu rendah
sehingga kalau dianya terjatuh ke dalam laut dia boleh
hidup hanya lima minit. Tidak mungkin ia akan
diselamatkan oleh sesiapa. Laut bergelora, ombak
kadang-kadang 60 kaki tinggi. Jika tidak tahu menjaga
keselamatan diri, cita-cita akan menjadi abu.
42. Tidak ada kawan untuk menolong jika ia sakit atau
terlalu letih. Tidak ada sesiapa untuk berbual. Hanya
yang ada ialah dirinya sendiri. Dan bila kita berada
seorang diri, kita dengar dan kita nampak macam-macam.
Hanya iman yang teguh dan hati yang kental yang boleh
memberi kejayaan kepada pelayar daripada bangsa kita
ini.
43. Selama 192 hari siang dan malam beliau belayar
seorang diri sehinggalah ia sampai balik ke Langkawi.
44. Saya tidak mencadangkan supaya kita semua memiliki
kualiti budaya yang ada pada Azhar. Tetapi sekurang-
kurangnya kita hendaklah sedar dan faham bahawa Tuhan
hanya menolong orang yang menolong dirinya. Bacalah
doa dan ayat-ayat tertentu, tetapi kuasailah juga ilmu-
ilmu yang berkaitan secara langsung dengan apa juga
yang diusahakan oleh kita. Kecekapan dalam ilmu-ilmu
ini tidak boleh dipandang ringan kerana kita sebagai
orang Islam boleh meminta pertolongan Allah Subhanahu
wa Ta'ala. Kita perlu akui bahawa orang yang tidak
boleh meminta pertolongan juga berjaya, bahkan lebih
berjaya daripada kita di dunia ini. Tetapi jika kita
ingin menjadi angkasawan yang akan mendarat di atas
bulan, kecekapan tertentu mestilah ada pada kita.
Kegagalan orang Islam ialah kerana setelah Tuhan
menjadikan mereka umat yang terpilih, sebaik-baik
manusia, mereka berpendapat mereka tidak perlu berusaha
lagi kerana segala-galanya akan dikurniakan kepada
mereka oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ingatlah
walaupun Allah Subhanahu wa Ta'ala boleh menjayakan
Nabi Muhammad s.a.w. dalam mengembangkan agama Islam
hanya dengan berkata "Kun, fayakun" tetapi Baginda
Rasullullah terpaksa menghadapi bermacam-macam cabaran
dan berhijrah melintasi padang pasir untuk menjayakan
tugasnya. Dan Nabi lebih mengetahui mengenai ilmu-ilmu
dan lebih disayangi Allah Subhanahu wa Ta'ala.
45. Sebenarnya budaya, nilai hidup dan kualiti yang
dianggap perlu ada kepada orang Melayu boleh menjadikan
mereka Melayu Baru, Melayu yang boleh membendung nafsu
dan nilai-nilai yang buruk yang telah menakluki mereka
setelah meninggalkan kampung mereka dan menikmati
kemewahan hidup di bandar. Melayu Baru adalah Melayu
yang berpegang kuat kepada agama Islam dan nilai-nilai
murninya, berdisiplin dan sedar bahawa Tuhan hanya akan
menolong mereka yang berusaha dan belajar serta
menguasai ilmu-ilmu yang boleh menjayakan mereka.
Melayu Baru akan mengunci keretanya sebelum menyerah
kepada perlindungan Allah Subhanahu wa Ta'ala.
46. Ada pihak yang cuba menggambarkan Melayu Baru
sebagai tahi arak, kaki perempuan dan kaki judi. Kita
tahu bahawa ini bukanlah Melayu Baru yang dimaksudkan
oleh kita. Ini adalah ciptaan orang yang dirasuk
syaitan untuk menggagalkan orang Melayu.
47. UMNO sebagai parti yang berjuang untuk bangsa,
agama dan negara bertanggungjawab untuk memperbanyakkan
bilangan Melayu Baru. Tetapi seperti kata Mat Salleh
'charity begins at home'. Oleh itu permulaan hendaklah
dibuat di kalangan pemimpin dan ahli-ahli UMNO supaya
mereka akan menjadi Melayu Baru sebelum orang lain.
Apabila mereka sudah berjaya membendung nafsu,
mendisiplinkan diri dan menerap nilai-nilai yang mulia
dan berkualiti dan menjadi Melayu Baru, maka layaklah
UMNO mengembangkan budaya Melayu Baru di kalangan orang
Melayu lain. Insya-Allah pemimpin dan ahli UMNO akan
menjadi layak.
EKONOMI
48. Sejak blok Timur, iaitu Rusia dengan ideologi
Komunisnya ditewaskan, semua negara telah menumpukan
usaha kepada pembangunan ekonomi. Kita percaya bahawa
blok Barat yang sering bercakap berkenaan dengan hak
asasi manusia dan ekonomi pasaran akan menolong
pembangunan negara-negara yang sudah menerima sistem
dan ideologi mereka.
49. Tetapi sekarang kita tahu bahawa blok Barat tidak
kurang buruknya daripada blok Komunis dalam usaha
menindas dan cuba menggantikan Kerajaan-Kerajaan yang
sah dengan boneka mereka. Hanya yang berbeza sekarang
ialah cara dan pendekatan. Jika dahulu penjajahan
dilakukan dengan ketenteraan, sekarang kuasa ekonomi
digunakan. Hanya dengan menjadikan negara sasaran
miskin sehingga meminta pertolongan daripada mereka,
penjajahan dapat dijayakan. Hari ini banyaklah negara
yang dikatakan bebas dan merdeka tetapi sebenarnya
dijajah oleh kuasa-kuasa asing.
50. Di Malaysia usaha menangkis serangan ekonomi dari
luar menjadi lebih rumit kerana kita masih belum dapat
mengimbangkan kedudukan ekonomi antara kaum dalam
negara. Orang Melayu dan Bumiputera lain memiliki
peratusan yang terlalu kecil daripada kekayaan ekonomi
negara berbanding dengan peratusan mereka.
51. Kerajaan telah mencipta dan melaksanakan Dasar
Ekonomi Baru yang telah berjaya meningkatkan peratusan
ekonomi yang dikuasai oleh Bumiputera. Dasar
Penswastaan Kerajaan juga menolong mewujudkan
sebilangan kecil Bumiputera di peringkat ekonomi
tertinggi.
52. Tetapi usaha dan dasar Kerajaan belum berjaya
sepenuhnya kerana Bumiputera sendiri tidak memberi
kerjasama yang diperlukan. Mereka terlalu memilih
kerja sehingga banyak daripada bidang kerja tidak
disertai oleh Bumiputera. Amatlah menyedihkan
sementara kita berjaya mensyaratkan bahan binaan
tempatan digunakan sehingga 90 peratus, tetapi pekerja
yang mendirikan bangunan-bangunan yang tercanggih dan
terbesar di Malaysia terdiri 95 peratus daripada orang
asing. Bukanlah pekerja asing ini lebih cekap dan
bukanlah kerja-kerja ini terlalu kompleks untuk dibuat
oleh kita. Tidak adanya pekerja kita ialah kerana kita
mencari kerja yang senang sahaja dan kita mengejar
kekayaan yang cepat.
53. Dalam sejarah beberapa bangsa, apabila sahaja
warganegara tidak sanggup membuat sendiri kerja-kerja
berat dan merbahaya dan menyerahkan kerja-kerja ini
kepada pekerja upahan asing, akhirnya bangsa ini
kehilangan kuasa dan tamadun yang didirikan oleh mereka
runtuh. Inilah yang berlaku kepada empayar Rom dan
juga empayar Islam. Apabila Turki menyerahkan
pertahanan negara kepada tentera upahan, maka
berakhirlah empayar Othmaniah.
54. Kerja-kerja dan tugas yang penting dan memerlukan
kecekapan mestilah dibuat oleh rakyat sendiri. Rakyat
Malaysia terdiri daripada tiga kaum yang besar. Dasar
Ekonomi Baru telah menetapkan bahawa identifikasi kaum
dengan fungsi ekonomi mestilah dihapuskan. Tetapi jika
Bumiputera tidak sanggup membuat kerja-kerja tertentu,
penghapusan identifikasi kaum dengan kerja tidak akan
tercapai. Jika identifikasi kaum dengan fungsi ekonomi
berkekalan, agihan kekayaan antara kaum di negara ini
tidak mungkin adil dan Dasar Ekonomi Baru tidak akan
tercapai.
55. Saya akui bahawa ada juga Bumiputera yang betul-
betul berusaha sendiri menjayakan projek dan
perniagaan, tetapi bilangan mereka amat kecil. Sudah
tentu kerana bilangan mereka kecil, banyaklah peluang
yang mereka perolehi. Oleh kerana ini mereka dituduh
sebagai kroni pemimpin Kerajaan oleh orang asing dan
tuduhan ini disambut oleh orang tertentu di negara
sendiri. Siapa sahaja yang mendapat peluang melalui
apa cara pun akan ditakrif sebagai kroni. Untuk
mengelakkan daripada tuduhan ini, Bumiputera tidak
boleh diberi apa-apa peluang walaupun layak. Dengan
itu yang menjadi peniaga besar dan kaya hanyalah bukan
Bumiputera. Tetapi ini akan menyebabkan Bumiputera
kecewa dan benci kepada Kerajaan dan kepada kaum lain.
56. Hari ini kita masih melihat bandar kita tidak
mencerminkan matlamat Dasar Ekonomi Baru. Bumiputera
tidak berminat dengan perniagaan runcit yang memerlukan
penglibatan secara langsung, walaupun ia boleh
menaikkan mereka ke kelas menengah. Dengan ini
banyaklah bandar baru yang diduduki dan kedai-kedai
dimiliki oleh bukan Bumiputera sahaja. Tidak ada
pergaulan kaum di bandar-bandar baru ini.
57. Berbagai-bagai usaha telah dibuat oleh Kerajaan
termasuk memperkenalkan sistem francais. Tetapi
bilangan yang berminat dengan perniagaan francais juga
berkurangan. Orang Melayu masih belum belajar berniaga
dengan mengeluarkan modal untuk bangunan dan
perbelanjaan 'overhead'. Mereka masih mengelak
perbelanjaan ini dengan mendirikan gerai-gerai kecil di
tepi jalan. Jika mereka untung sekalipun, keuntungan
tidak digunakan untuk membolehkan mereka berpindah ke
premis yang lebih selesa yang perlu dibeli atau disewa,
untuk menaikkan taraf perniagaan, membesarkannya dan
mengadakan cawangan-cawangan. Jika keuntungannya besar
ianya dibelanjakan sahaja.
58. Selagi orang Melayu dan Bumiputera lain tidak
sanggup memasuki bidang perniagaan runcit, sanggup
berjimat cermat dalam urusan perniagaan, sanggup
mengumpul modal untuk membesarkan perniagaan, selama
itulah bandar-bandar di Malaysia tidak akan
mencerminkan penduduk berbilang kaum di Malaysia.
Sebaliknya ia menjadi bukti kegagalan Dasar Ekonomi
Baru.
59. Di Malaysia orang Cina boleh dijadikan contoh yang
baik bagi Bumiputera dalam bidang perniagaan dan
perusahaan. Walaupun mereka tinggal di bandar dan
purata lebih kaya tetapi mereka mampu menangani
kehidupan di bandar dan kekayaan mereka. Tidaklah
salah jika kita belajar daripada mereka. Kita tidak
akan jadi kurang Melayu semata-mata kerana memiliki
kecekapan orang Cina dalam menangani kekayaan dan
kehidupan di bandar.
60. Saya sedar bahawa apa yang saya dedahkan di sini
tidak akan menyenangkan ramai orang Melayu. Saya tidak
akan menjadi popular. Parti lawan akan menggunakan
pendedahan ini untuk memburukkan lagi imej saya dan
parti yang saya pimpin. Tetapi saya tidak menjadi
pemimpin untuk mencari populariti. Apalah gunanya
menjadi Perdana Menteri jika hasil kepimpinan saya
ialah bangsa saya lemah, tidak bertanggungjawab, tidak
bersemangat, tidak sanggup bekerja dan menghadapi
cabaran hidup dan menjadikan agama sebagai hiasan yang
dipakai dan bukan sebagai panduan untuk mendapatkan
kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
61. Benar kita sudah mencapai sedikit kemajuan. Tetapi
kita lihat sekarang bagaimana minat untuk meneruskan
usaha menjayakan agenda ekonomi Bumiputera sudah
berkurangan. Orang Melayu sudah berasa begitu
terselamat dengan kemajuan yang sedikit yang mereka
telah capai sehingga bukan sahaja mereka tidak mahu
meningkatkan lagi usaha mereka, atau meneruskan usaha
di tahap sekarang, tetapi ramai daripada mereka sendiri
yang bosan dengan usaha ini dan sebenarnya menghalang
proses memajukan orang Melayu. Mereka lebih asyik
mengecam Dasar Ekonomi Baru kerana kononnya
menguntungkan hanya segelintir kroni pemimpin Kerajaan.
Mereka tahu bahawa Dasar Ekonomi Baru, dengan
penyediaan biasiswa, pusat-pusat latihan, kelas-kelas
matrikulasi dan pendidikan sains, MARA, dana-dana
pinjaman untuk peniaga dan penuntut, berbagai-bagai
subsidi, lesen, 'AP', potongan harga rumah dan kedai
swasta untuk Bumiputera, sewa rendah dan seratus satu
macam lagi kemudahan yang dikhaskan bagi Bumiputera,
telah banyak membantu Bumiputera termasuk pengkritik
Kerajaan itu sendiri. Tetapi malangnya ramai yang
memilih untuk menidakkan usaha-usaha di bawah Dasar
Ekonomi Baru dan menyokong mereka yang ingin melihat
orang Melayu terus menjadi golongan yang termiskin dan
menjadi penumpang di negara sendiri.
62. Ada orang Melayu yang berpendapat bahawa dalam
Islam tidak harus ada perbezaan layanan berasaskan
kaum. Dan dengan itu mereka menyokong bukan Bumiputera
yang tidak suka kepada Dasar Ekonomi Baru dengan
menuduh Dasar Ekonomi Baru hanya menguntungkan kroni
dan keluarga pemimpin Kerajaan. Mereka ini ingin
melihat pengusaha dan peniaga besar di Malaysia terdiri
hanya daripada bukan Melayu.
63. Puak ini mengajar orang yang mendapat nikmat
daripada Dasar Ekonomi Baru supaya tidak mengakuinya
dan tidak bersyukur dengannya. Amatlah menyedihkan
apabila kita lihat orang yang sudah mendapat nikmat
cuba menolak jatuh tangga yang telah mereka naiki.
64. Kita telah lihat semasa kegawatan ekonomi melanda
rantau ini, rusuhan kaum berlaku di negara tertentu di
mana terdapat perbezaan kekayaan ekonomi yang ketara di
antara kaum. Tetapi, Alhamdullillah di Malaysia,
walaupun perseimbangan antara kaum tidak tercapai
sepenuhnya, rusuhan kaum tidak berlaku. Dengan kerana
ini kita dapat memulihkan ekonomi dengan lebih mudah.
Percubaan untuk mengadakan rusuhan oleh puak tertentu
juga tidak mendapat sambutan daripada rakyat.
Demikianlah nikmat yang banyak daripada Dasar Ekonomi
Baru.
65. Kita belum pun dapat mengatasi masalah
ketidakseimbangan dalam ekonomi antara kaum, tetapi
hari ini kita terpaksa menghadapi cabaran baru yang
lebih dahsyat, iaitu globalisasi atau dunia tanpa
sempadan. Kononnya globalisasi dengan memberi
kebebasan penuh kepada modal dan barangan melintasi
sempadan akan membawa kemakmuran kepada seluruh dunia.
66. Tetapi kita telah lihat apabila wang kita dibawa
keluar dan diniagakan dengan bebas di luar negara kita,
dalam beberapa minggu sahaja negara dan rakyat menjadi
miskin. Jika kerana globalisasi barangan asing
dibenarkan masuk tanpa sekatan maka segala barangan
yang dikeluarkan oleh kita akan terpaksa bersaing
dengan barangan import. Oleh kerana jumlah keluaran
kita kecil dan kerana itu kos kita lebih tinggi, maka
kita tetap kalah dalam persaingan ini. Perusahaan,
bank dan perniagaan kita akan rugi dan terpaksa ditutup
atau dijual kepada syarikat gergasi asing.
67. Kita lihat bagaimana syarikat dan bank-bank di
negara berdekatan menjadi tenat dan terpaksa dijual
kepada orang Barat. Jika kita benarkan syarikat asing
melintasi sempadan kita, apakah dapat kita mengelak
daripada menerima nasib yang sama? Kita hanya akan
menjadi pekerja dalam syarikat asing. Mereka akan
membayar gaji yang lebih tinggi kerana ini akan
membolehkan kita membeli barangan mereka yang terpaksa
kita import. Tidak akan ada perusahaan nasional lagi.
Tidak akan ada Dasar Ekonomi Baru. Tidak akan ada
keistimewaan apa-apa bagi Bumiputera dalam bidang
ekonomi.
68. Mungkin ramai juga daripada kita yang berminat
untuk mendapat gaji yang tinggi dan hidup lebih selesa.
Tetapi walaupun dibayar gaji yang tinggi, taraf kita
tidak lebih daripada hamba kepada mereka. Sebenarnya
kita sudah dijajah.
69. Apabila mereka sudah menguasai semua urusan ekonomi
kita, mereka akan campurtangan dalam bidang politik
pula dan mereka akan menentukan siapa yang akan
membentuk Kerajaan di negara kita. Kita sudah lihat
ini berlaku di negara-negara lain di mana mereka menaik
dan menjatuhkan Kerajaan sesuka hati mereka. Percubaan
juga dibuat di negara kita untuk menjatuhkan Kerajaan
yang ada sekarang.
70. Apakah dapat kita menyelamatkan diri kita, negara
kita daripada mengalami nasib ini? Saya yakin kita
boleh, jika rakyat Malaysia terutama orang Melayu faham
niat sebenar kuasa asing dan bersatupadu dan menjayakan
Dasar Ekonomi Baru sepenuhnya di samping mempertahankan
keharmonian antara kaum di Malaysia. Dahulu, apabila
kita melaksanakan kawalan ke atas Tukaran Wang Asing
dan mengawal keluar-masuk modal luar, mereka meramalkan
kita akan hancur. Hari ini semakin ramai daripada
mereka yang terpaksa mengaku bahawa cara kita adalah
baik dan dapat memulihkan ekonomi dengan lebih cepat.
Sebenarnya mereka yang mengkritik dan mencemuh kita
terpaksa bersara lebih awal dan penyangak matawang yang
tamak telah mengalami kerugian besar dan tidak boleh
berniaga matawang lagi. Sementara itu ekonomi kita
tumbuh semula dengan pesatnya.
71. Pendapat kita mengenai globalisasi juga pada
mulanya dianggap bodoh oleh mereka. Tetapi hari ini
mereka mula mengakui bahawa globalisasi tidak
semestinya berbentuk mengikut pandangan mereka.
Globalisasi boleh dipinda dan disesuaikan mengikut
kehendak negara membangun. Saya yakin lama kelamaan
mereka akan menerima, jika tidak semua tetapi
sebahagian daripada pandangan kita.
72. Tetapi kita tidak boleh menunggu ini berlaku.
Sementara kita mengekalkan seberapa yang mungkin
sempadan kita, melindungi ekonomi kita, kita juga perlu
menguasai teknologi maklumat, E-dagang, K-ekonomi,
penggunaan komputer dan internet serta segala cara
dagangan baru yang sudah dicipta dan akan dicipta.
73. Semua usaha mempertahankan ekonomi dan kebebasan
kita bergantung kepada Kerajaan yang kukuh, kuat dan
cekap. Mandat besar yang diberikan kepada Barisan
Nasional dalam pilihanraya tahun 1999 akan digunakan
dengan bijak untuk memulih dan membangunkan ekonomi
negara, meneruskan agenda ekonomi kita, membentuk dasar
dan pendekatan untuk melindungi kepentingan ekonomi
rakyat dan negara, memperjuangkan orde ekonomi dan
kewangan antarabangsa yang baru dan adil kepada semua,
miskin dan kaya, dan menentukan globalisasi tidak akan
menghapuskan kemerdekaan negara Malaysia. Dalam usaha
ini orang Melayu mestilah bersatupadu. Tidak ada
tempat untuk kita membalas dendam. Bumiputera yang
berjaya bukan musuh Kerajaan asalkan mereka tidak
menggunakan kekayaan mereka untuk menggagalkan agenda
ekonomi negara.
POLITIK
74. Parti yang memperkenalkan demokrasi di Malaysia
ialah UMNO. Sebelum dijajah sistem pemerintahan di
negeri-negeri Melayu adalah sistem feudal. Penjajah
British membawa sistem autokrasi di mana rakyat tidak
berhak berpolitik, jauh sekali memerintah melalui wakil
yang dipilih. Segala-galanya ditentukan di London dan
dikuatkuasakan oleh birokrat mereka di sini.
75. UMNO menolak feudalisme dan autokrasi dan memilih
demokrasi, pemerintahan oleh rakyat melalui wakil
pilihan mereka. Demokrasi bukanlah sistem yang bebas
daripada kecacatan dan mudah dijayakan. Kita tidak
mempunyai pengalaman sama sekali sebelum kemerdekaan.
Banyak negara yang mencapai kemerdekaan bersama dengan
kita gagal menjayakan sistem demokrasi. Banyak yang
terpaksa menggugurkan demokrasi dan memilih
pemerintahan tentera atau autokrasi.
76. Tetapi Malaysia berjaya mengamalkan demokrasi.
Walaupun Kerajaan berhak memerintah selama lima tahun
tiap kali dipilih tetapi dalam jangkamasa 42 tahun,
kita telah mengadakan pilihanraya umum 10 kali.
Kerajaan Perikatan dan Barisan Nasional tidak takut
menyerahkan balik mandat untuk memerintah kepada rakyat
supaya rakyat dapat menilai dan menentukan siapa yang
layak memerintah negara ini. Alhamdullillah, tiap kali
pilihanraya diadakan, rakyat telah memilih parti yang
sama. Jika Kerajaan parti kita tidak dapat menunaikan
janji kita untuk memelihara keamanan dan keselamatan,
berusaha mengurangkan jurang perbezaan ekonomi antara
kaum, membangun ekonomi dan melindungi kedaulatan
negara dan mengembalikan maruah bangsa, sudah tentu
kita tidak akan diberi mandat lagi.
77. Jika rakyat dapat melihat keadaan yang sebenar dan
membuat penilaian yang wajar terhadap prestasi kita,
maka sudah tentu mereka akan terus menyokong kita.
Tetapi hari ini parti lawan mengambil peluang daripada
kebebasan demokrasi untuk menabur fitnah, menyemai
kebencian kepada parti kita dan menutup mata serta hati
rakyat kepada perkara yang benar. Dengan tertutupnya
mata dan hati sebilangan daripada rakyat, maka parti
lawan percaya sokongan kepada pihak yang membawa nikmat
dan kemajuan ini dapat dikurangkan dan dengan itu
Barisan Nasional tidak akan dipilih semula menjadi
Kerajaan Malaysia yang tercinta ini.
78. Sejak PAS ditubuhkan, strateginya tertumpu kepada
membangkitkan kebencian kepada UMNO kerana kononnya
UMNO tidak Islam. Awal-awal lagi PAS telah
mengkafirkan orang UMNO. Walaupun ada yang terpengaruh
dengan dakyah PAS, tetapi sehingga kini PAS tidak
mendapat sokongan yang mencukupi untuk memerintah
negara ini. Benar, PAS berjaya menawan Kelantan dan
juga Terengganu, tetapi negeri bukan negara, Kerajaan
Negeri bukan Kerajaan Negara.
79. Matlamat PAS ialah untuk menguasai Kerajaan Pusat.
Untuk ini PAS sanggup membuat apa sahaja. Jika PAS
perlu memeluk musuh ketat mereka iaitu DAP, jika ahli
PAS perlu berkempen untuk DAP, perlu menjunjung roket
sambil berteriak 'Allahu Akbar', PAS sanggup buat.
Sudah tentu membuat dakwaan yang bertentangan dengan
ajaran Islam seperti Allah mencarut, PAS adalah Islam
dan Islam adalah PAS dan lain-lain, adalah perkara
kecil bagi PAS. Yang besar ialah kemenangan dalam
pilihanraya.
80. Nasib buruk Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah satu
nikmat bagi PAS. Walaupun pemimpin-pemimpin PAS tahu
lebih awal lagi akan moral Dato' Seri Anwar, dan kerana
ini mereka biasa menyindir beliau semasa beliau menjadi
pemimpin UMNO, tetapi apabila beliau disingkirkan dari
Kerajaan kerana sebab yang sama, PAS menutup sebelah
mata dan berpura-pura mempertahankan Dato' Seri Anwar.
81. Kononnya penyingkiran dan dakwaan terhadap Dato'
Seri Anwar adalah satu kezaliman. Untuk mengguna
penyokong Dato' Seri Anwar, PAS dengan serta-merta
memasuki gabungan yang dianjurkan oleh Parti Keadilan
dan sanggup bersekongkol dengan orang-orang yang
mencerca dan menentang matlamat PAS yang kononnya mahu
mendirikan negara Islam. Menerima wanita sebagai
pemimpin Barisan Pembangkang juga sanggup dibuat oleh
PAS.
82. Gambar mata lebam Dato' Seri Anwar dipamerkan oleh
PAS semasa pilihanraya umum yang lepas untuk
menunjukkan betapa zalimnya Kerajaan. Walaupun mereka
tahu yang mata lebam itu bukan kerana Kerajaan menyuruh
Dato' Seri Anwar dipukul, tetapi PAS menyalahkan
Kerajaan juga. PAS tidak bersimpati dengan Dato' Seri
Anwar kerana mata lebamnya, kerana beliau telah
didapati bersalah dan dipenjarakan. Yang PAS lihat
hanyalah peluang untuk mengeksploitasi nasib Dato' Seri
Anwar bagi memancing undi.
83. Jika Dato' Seri Anwar dan penyokongnya percaya PAS
akan memilih beliau menjadi Perdana Menteri apabila
mereka menang, mereka sebenarnya mengigau di siang
hari. Melainkan Parti Keadilan mendapat lebih banyak
kerusi daripada PAS dan DAP, tidak ada kemungkinan PAS
akan menerima Dato' Seri Anwar sebagai Perdana Menteri.
84. Apakah mungkin Keadilan menang lebih daripada PAS?
Dalam pilihanraya tahun 1999, PAS menentukan Keadilan
dapat kawasan yang sukar dimenangi. Akibatnya Keadilan
hanya mendapat lima kerusi, dan menjadi rakan yang
kecil sekali dalam gabungan pembangkang.
85. Parti Keadilan pula mendakwa bahawa mereka berjuang
untuk keadilan, untuk 'Rule of Law' atau pemerintahan
mengikut undang-undang. Sebenarnya Keadilan berjuang
untuk mendaulatkan ketidakadilan dan menolak 'Rule of
Law'. Yang pertama dan yang diutamakan oleh parti ini
ialah mengecualikan Dato' Seri Anwar daripada tindakan
undang-undang negara supaya ia tidak boleh didakwa,
dibicara, didapati bersalah atau dipenjarakan.
86. Adalah menjadi prinsip 'Rule of Law' bahawa tidak
ada sesiapa pun yang bebas daripada tindakan undang-
undang. Di Malaysia, Raja juga berada di bawah undang-
undang. Semua orang di Malaysia, rakyat dan raja
adalah sama tertakluk kepada undang-undang negara.
Sudah ramai pemimpin UMNO yang dihadapkan ke mahkamah
dan dihukum apabila didapati bersalah.
87. Tidak ada siapa di negara ini dan di mana 'Rule of
Law' dikuatkuasakan yang boleh mendakwa ia tidak
bersalah sebelum ia dibicarakan atas tuduhan yang
dibuat terhadapnya. Menerima 'Rule of Law' bermakna
sanggup tunduk kepada proses undang-undang. Mendakwa
diri sendiri tidak bersalah awal-awal lagi tanpa
menghadapi proses undang-undang adalah satu
ketidakadilan. Tidak ada sesiapa pun yang layak atau
berhak menjatuhkan hukuman tidak bersalah ke atas diri
sendiri. Perbuatan ini tidak banyak berbeza daripada
kaedah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang mana
undang-undang membenarkan tahanan tanpa perbicaraan.
Jika Dato' Seri Anwar ditahan di bawah ISA, sudah tentu
Keadilan, kuncu-kuncunya dalam negeri, pemberita asing
dan negara yang bermegah-megah dengan demokrasi akan
mengutuk Malaysia dan mendesak supaya perbicaraan di
mahkamah diadakan. Tetapi apabila Dato' Seri Anwar
dihadapkan ke mahkamah berkenaan penyalahgunaan kuasa,
dipertahankan oleh sembilan orang peguam, dibicara
dalam mahkamah yang terbuka, diberi masa yang begitu
panjang, dibenar membuat kenyataan politik, bebas
berjumpa dengan sesiapa sahaja dan berbagai-bagai lagi
keistimewaan, Dato' Seri Anwar dan orang-orangnya
mendakwa penghakiman tidak adil, hakim bersubahat
dengan Perdana Menteri serta melempar tuduhan-tuduhan
lain yang tidak berasas. Keadilan bagi mereka ialah
jika Dato' Seri Anwar dibicarakan ia mesti didapati
tidak bersalah. Jika didapati bersalah maka ini
bermakna hakim bersubahat dengan Kerajaan. Inikah yang
dimaksudkan dengan 'Rule of Law'?
88. Mendakwa bahawa segala-galanya adalah konspirasi
atau pakatan jahat orang tertentu tidak boleh menjadi
alasan kenapa dakwaan di mahkamah tidak boleh dibuat.
Jika konspirasi boleh diterima sebagai alasan kenapa
dakwaan tidak boleh dibuat, maka tidak ada siapa yang
boleh dibicarakan dan dengan itu 'Rule of Law' tidak
boleh dilaksanakan.
89. Secara prinsip sama ada konspirasi ada atau tidak
ada, jika jenayah dilakukan dan hakim menerima dakwaan
adalah berasas, maka yang tertuduh tetap salah juga.
Konspirasi bukan alasan untuk menghalalkan jenayah.
90. Dalam kes pertama yang sudah selesai, jauh daripada
memperjuangkan keadilan, Parti Keadilan memperjuangkan
kezaliman, kezaliman terhadap mangsa jenayah Dato' Seri
Anwar. Bahawa mangsa ini bukan orang Keadilan dan
bukan kroni Dato' Seri Anwar tidak bermakna mereka
tidak berhak kepada keadilan. Perjuangan Keadilan juga
zalim kepada orang biasa yang telah melakukan kesalahan
yang sama dan dihadapkan ke mahkamah, didapati
bersalah, dihukum, didenda atau dipenjarakan. Pilih
kasih dalam mendakwa seseorang amatlah zalim.
Melepaskan pembesar atau orang yang disayangi pihak
tertentu adalah lebih zalim. 91. Apabila didapati bersalah dalam
kes pertama,
penyokong-penyokong Dato' Seri Anwar menganggap
keputusan mahkamah tidak adil. Media asing dan
pemimpin negara Barat dengan sombong dan bongkak
menuduh Kerajaan Malaysia sudah menjadi Kerajaan
autokratik, tidak demokratik, tidak menurut 'Rule of
Law'. Ternampak jelas hukuman tidak bersalah sahaja
yang boleh diterima oleh Keadilan. Apakah gunanya
'Rule of Law' jika hanya keputusan yang dikehendaki
sahaja yang boleh diterima? Lebih baiklah tidak ada
proses penghakiman sama sekali. Apakah ini yang
dimaksudkan dengan 'Rule of Law'?
92. Perbicaraan kes pertama dipolitikkan. Tuduhan
terhadap Dato' Seri Anwar tidak dijawab. Sebaliknya
segala-galanya dituduh disebabkan konspirasi Kerajaan,
khususnya Perdana Menteri, untuk menjatuhkan Dato' Seri
Anwar.
93. Apakah mungkin konspirasi yang melibatkan puluhan
orang, melibatkan mangsa Dato' Seri Anwar, ramai
pegawai polis, Pendakwa Raya dan pegawai serta
kakitangannya, hakim, pemandu kereta dan ramai lagi
saksi lain; apakah mungkin pakatan sebegini besar dapat
diadakan tanpa dibocorkan kepada orang ramai dari awal-
awal lagi? Di Malaysia tidak ada rahsia yang boleh
disimpan. Tetapi konspirasi oleh Perdana Menteri yang
kononnya diadakan bagi menjatuhkan Dato' Seri Anwar,
membicarakannya dan mendapati ia bersalah, tidak sama
sekali diketahui oleh sesiapa. Tuduhannya bahawa ada
konspirasi terhadapnya hanyalah helah untuk mengabui
mata orang terhadap kesalahannya. Jika ada bukti
konspirasi, laporan polis boleh dibuat dan mereka yang
berkonspirasi boleh didakwa.
94. Konspirasi Dato' Seri Anwar untuk menjatuhkan
Perdana Menteri diketahui umum. Banyaklah maklumat
yang telah disampaikan kepada saya berkenaan konspirasi
Dato' Seri Anwar, dan saya juga tahu yang dialah yang
menjadi dalang supaya Zahid Hamidi melemparkan tuduhan
terhadap saya, tetapi saya masih ingin melihat Dato'
Seri Anwar menggantikan saya kerana saya telah
memutuskan untuk bersara pada tahun 1998.
95. Konspirasi sebesar yang dituduh oleh Dato' Seri
Anwar semasa ia dibicarakan dalam kes pertama atas
tuduhan menyalahgunakan kuasa, tidak mungkin berlaku.
Penyingkirannya bukan kerana konspirasi. Ia bukan
disingkir kerana politik saya atau politik UMNO. Ia
disingkir kerana moralnya yang buruk yang menjadikannya
tidak sesuai untuk memegang jawatan Perdana Menteri
Malaysia. Bolehkah saya berdiam diri dan membiarkan
orang seperti ini terus berada dalam Kerajaan dan bakal
menjadi Perdana Menteri negara ini?
96. Rakyat yang begitu marah kepada saya, kepada UMNO
perlu memikir, perlu berlaku adil dan mendengar kedua-
dua pihak tanpa terlalu emosi, terlalu memihak kepada
orang tertentu yang disangka telah dianiaya. Politik
orang Melayu perlu rasional kerana kita memperjuangkan
bangsa, agama dan tanahair. Tersilap politik kita,
semua kita akan menerima nasib yang buruk. Saya merayu
kepada semua orang Melayu supaya jangan mudah
terpengaruh dengan orang yang berkepentingan yang suka
membawa cerita keburukan orang lain. Mereka ini
termasuk dalam golongan orang yang fasik. Jika kita
mengikut mereka, maka akan rosaklah kita, akan
hancurlah masa depan kita, akan kembalilah kita menjadi
orang yang dijajah dan dihina.
97. Sebenarnya Perdana Menteri berhak menyingkir mana-
mana anggota Kerajaan pada bila-bila masa tanpa memberi
sebab. Sudah ramai Menteri yang telah diberhentikan
tanpa tuduhan konspirasi. Justeru itu, apa perlunya
pakatan sulit dan tindakan mahkamah? Sebenarnya Dato'
Seri Anwar sendiri yang membawa bala ke atas dirinya
dengan membuat laporan polis, dengan harapan
memperalatkan polis untuk mengharamkan buku "50 Dalil
Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi Perdana Menteri".
Setelah berjaya menyalahgunakan kuasa untuk
'menggempar' Umi dan Azizan, Anwar percaya ia boleh
menggunakan polis lagi untuk mengharamkan buku
berkenaan. Malang baginya kali ini pendekatan ini
gagal.
98. Parti PAS berjaya memperalatkan Dato' Seri Anwar,
Parti Keadilan dan Parti DAP untuk meraih undi dalam
pilihanraya tahun 1999. Tetapi ini tidak bermakna
bahawa UMNO dan ahli-ahlinya tidak menyumbang kepada
prestasi yang kurang baik ini. Kejayaan orang Melayu
kerana Dasar Ekonomi Baru telah membawa pertukaran yang
ketara dalam budaya dan nilai hidup mereka. Hari ini
sikap kebendaan dan tamak haloba sudah mengganti
semangat keMelayuan di kalangan ramai orang Melayu.
99. Ahli-ahli UMNO juga sudah lupa kepada semangat
keMelayuan. Mereka juga sudah menjadi tamak.
Penyertaan dalam UMNO kerapkali lebih disebabkan untuk
mendapat jawatan dan nikmat tertentu. Ada yang ingin
mendapat kekayaan dengan mudah. Justeru itu perebutan
sering berlaku untuk menjadi pemimpin UMNO di semua
peringkat, dari Ketua Cawangan sehinggalah ke Presiden
Parti.
100. Jika perebutan kedudukan atau jawatan memecahkan
parti, menimbulkan perasaan meluat di kalangan orang
ramai terhadap parti, ini tidak mengapa. Yang penting
bukan parti, bukan bangsa, bukan negara tetapi yang
penting dan utama ialah diri sendiri. Jika gagal
mendapat sesuatu, gagal menjadi calon umpamanya, ada
pemimpin UMNO dan penyokongnya yang sanggup berusaha
mengalahkan calon parti. Bahawa yang tidak terpilih
biasa menjadi calon yang menang kerana sokongan oleh
ahli parti termasuk calon kali ini, tidak sedikit pun
dihargai. Kerana kali ini tidak menjadi calon, maka
perasaan marah meluap hingga sanggup menolong parti
lawan. Saya akui tidak semua yang bersikap demikian.
Ramai juga yang mengutamakan parti. Tetapi saya kesal
kerana ada yang tidak menyokong parti kerana kecewa.
101. Antara mereka yang dipilih dan menang, yang
begitu berminat untuk menjadi wakil rakyat, ada pula
yang begitu cepat bosan dengan kehadiran di Dewan.
Kawasan tidak dijaga, jemputan oleh penyokong tidak
dilayani. Mungkin apa yang diperkatakan dalam buku
"Getek" agak keterlaluan tetapi terdapat banyak
kebenaran di dalamnya.
102. Memang pun sudah ramai yang meluat dengan wakil
rakyat dan pemimpin-pemimpin UMNO. Sekarang ini UMNO
mengadakan pemilihan untuk Majlis Tertinggi.
Sepatutnya kita cuba melalui tingkahlaku kita,
kesederhanaan kita, kesopanan kita supaya sokongan
kepada parti kita dapat dikembalikan. Tetapi kita
tidak menghiraukan perasaan meluat orang. Kita terus
mengejar kepentingan diri kita.
103. Benar tidak semua calon menggunakan wang.
Tetapi ada calon yang menggunakan wang. Apa gunanya
populariti yang dibeli? Bolehkah kita berbangga jika
kita dipilih bukan kerana kelayakan kita, tetapi kerana
rasuah?
104. Sementara sesetengah calon tidak mahu membeli
sokongan, ada pula wakil ke Perhimpunan Agung yang ke
sana ke sini menawarkan sokongan mereka dengan harga
tertentu. Mereka ini sama buruk dengan orang yang
menghulur wang untuk mendapat sokongan. Tidakkah
mereka sedar yang duit yang mereka terima adalah duit
haram, tidak kurang haram daripada hasil menjual benda
yang haram?
105. Kepada para perwakilan yang hadir dalam
Perhimpunan ini ingatlah jika anda pilih orang yang
menghulur wang kepada anda, anda sebenarnya menjadi
pengkhianat kepada bangsa, agama dan tanahair.
Pemimpin yang perasuah yang anda pilih akan
menggagalkan perjuangan untuk bangsa, agama dan
tanahair. Yang akan menjadi mangsa ialah anak cucu
anda. Yang akan binasa ialah bangsa, agama dan negara
anda.
106. Justeru itu saya merayu kepada semua perwakilan
supaya menolak semua calon untuk apa juga jawatan yang
cuba membeli undi ataupun menggunakan cara-cara yang
memburukkan imej parti dan bangsa semasa berkempen.
Saya juga ingin mengingatkan para perwakilan dan calon
bahawa keanggotaan dalam Majlis Tertinggi tidak
menjaminkan tempat dalam Kerajaan walaupun bagi mereka
yang sudah berada dalam Kerajaan.
107. Saya tahu apa yang saya perkatakan di sini akan
menimbulkan kemarahan para perwakilan dan calon-calon
kepada saya. Tetapi adalah lebih baik saya dimarahi
daripada rakyat membenci UMNO dan menolaknya. Rasuah
dan ketamakan mesti didedahkan dan diperangi. Rasuah
dan tamak haloba boleh menghancurkan bangsa kita.
Segala rancangan untuk memajukan orang Melayu dan
Bumiputera lain akan gagal jika rasuah dan ketamakan
menjadi sebahagian daripada budaya kita. Segala-
galanya akan berkecai jika pengamal rasuah menjadi
Perdana Menteri dan menganggotai Kabinet negara kita
ini. Secara langsung atau tidak langsung para
perwakilanlah yang menentukan sama ada perasuah dan
orang yang tamak akan memimpin negara kita atau
sebaliknya. Hancur atau tidak bangsa dan negara kita
terletak di bahu para perwakilan. Saya yakin dan
percaya para perwakilan tidak akan mengabaikan
tanggungjawab mereka. Tolaklah pengamal rasuah dan
mereka yang tamak.
108. Perjuangan UMNO adalah perjuangan yang mulia dan
suci. Kita berjanji untuk membangun dan menjayakan
bangsa, agama dan negara kita. Perlembagaan Parti kita
jelas menyebut perkara ini.
109. Tidak ada janji, tidak menjadi matlamat
perjuangan UMNO untuk menaikkan sesiapa, menjadikan
sesiapa berkuasa atau kaya raya. Jika ada yang menjadi
pemimpin, atau menjadi kaya raya, ini hanya kerana
tidak akan dapat kita menjaya dan membangunkan orang
Melayu tanpa ada pemimpin yang berkuasa, individu
Melayu yang berjaya dan kaya raya. Agama Islam
menerima hakikat ini, iaitu akan ada yang miskin dan
yang kaya, yang diberi kuasa dan yang tidak. Dalam
Surah Al-Nisa', Ayat 32, Allah berfirman:
"Dan janganlah kamu terharap-harap (ingin mendapat)
limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada
sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi
sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu
pengetahuan atau pangkat kebesaran)."
Kita tidak mungkin menjadikan semua orang Melayu
pemimpin yang berkuasa atau orang yang kaya raya.
Tetapi kita boleh mengurangkan kemiskinan, mengurangkan
jurang perbezaan di antara yang miskin dengan yang
kaya. Kita boleh menambah bilangan golongan menengah
supaya jurang perpisahan di antara yang miskin dan kaya
tidak keterlaluan. Kita boleh menaikkan pendapatan per
kapita dan petunjuk-petunjuk lain yang membuktikan
bahawa bangsa kita sudah maju, sudah dapat berdiri sama
tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa maju
di dunia. Tetapi kita tidak boleh menjadikan semua
rakyat sama daripada segi kedudukan, kuasa dan
kekayaan. Akan ada di kalangan kita orang yang secara
relatif miskin dan tidak mendapat kedudukan yang
diingini mereka, orang yang menjadi pengikut dan bukan
pemimpin. Kenyataan ini mesti diterima. Jika kita
tidak dapat menjadi Perdana Menteri, walaupun kita
layak, kita terpaksa terima bahawa tempat yang ada
hanya satu sahaja. Justeru itu, layak atau tidak,
apabila seorang sudah dipilih bererti yang lain tidak
akan mendapat tempat yang diidamkan. Jika diadakan
giliran pun, akan ada yang berminat yang tidak akan
mendapat giliran mereka. Jika kerana tersangat
berminat kita sanggup menggunakan wang, merosakkan
parti, merosakkan bangsa, agama dan tanahair, apa yang
kita akan dapat nanti ialah abu daripada kemusnahan
bangsa dan negara kita. Apakah menjadi pemimpin negara
yang terhina matlamat perjuangan kita?
110. Ahli-ahli UMNO perlu sedar dan faham perjuangan
UMNO dan tanggungjawab kita sebagai ahli. Keahlian
seramai 2.7 juta tidak bermakna jika komitmen mereka,
kesetiaan mereka tidak boleh diharapkan. Ramai yang
menjadi ahli UMNO tanpa mengetahui tujuan perjuangan
UMNO, tanpa mengetahui sejarah perjuangan UMNO.
Keahlian bukan untuk mendapat sesuatu secara langsung
bagi diri sendiri daripada UMNO. Keahlian ialah kerana
percaya perjuangan UMNO akan membawa kejayaan dan
kemajuan kepada bangsa, agama dan tanahair. Dan
kejayaan bangsa, agama dan tanahair tetap akan memberi
sesuatu kepada diri sendiri, walaupun hanya
mengembalikan maruah sahaja. Tetapi kita sudah lihat
bagaimana kejayaan bangsa, agama dan tanahair telah
menguntungkan kita. Justeru itu, jika kita jayakan
bangsa, agama dan tanahair, sudah tentu kita akan
mendapat lebih banyak nikmat dan keuntungan. Perasuah
mungkin mendapat sesuatu bagi dirinya tetapi bangsa
yang dipenuhi oleh perasuah, tetap akan dihina dan
musnah akhirnya. Perasuah dalam bangsa seperti ini
tidak akan kekal dengan kekayaannya. Sudah terlalu
banyak contoh negara seperti ini yang kita lihat
sekarang.
111. Walaupun ramai yang sudah bosan dengan sajak
"Perjuangan Yang Belum Selesai", tetapi hakikatnya
ialah perjuangan UMNO belum selesai. Sebenarnya
perjuangan UMNO dan orang Melayu perlu diperhebatkan.
Cabaran yang kita hadapi sekarang lebih besar. Cabaran
yang kita hadapi bukan sahaja dari luar, tetapi dari
dalam, daripada Bangsa Melayu sendiri, bahkan daripada
UMNO sendiri. Jika kita tidak sedar dan berjaga-jaga,
besar kemungkinan yang dikejar tidak didapati dan yang
dikendong berciciran.
112. Kita semua menerima kemerdekaan negara kita
sebagai warisan daripada pejuang-pejuang UMNO yang
terdahulu daripada kita. Kita bersyukur dengan warisan
ini. Tetapi apakah anak cucu kita akan berterima kasih
dengan warisan peninggalan kita jika negara kita dan
bangsa kita tidak mempunyai jati diri, lemah, mundur,
dihina dan diperhambakan oleh orang lain?
113. Saya telah diberi kepercayaan untuk memimpin
UMNO sekali lagi. Saya bersyukur ke hadrat Allah
Subhanahu wa Ta'ala dan mengucapkan terima kasih kepada
semua yang menerima nasihat Majlis Tertinggi supaya
jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak
dipertandingkan. Jika tidak kerana pengalaman pahit
dahulu, pertandingan boleh diadakan. Tetapi kita
khuatir akan kesan buruk politik wang dan ketamakan
serta kurang kesanggupan untuk menerima kekalahan.
Ramai masih tidak faham cara-cara demokrasi dan
perlunya merapatkan balik barisan di belakang pihak
yang menang. Kita perlu belajar cara-cara demokrasi
dan meningkatkan kematangan kita dalam pengamalannya.
114. Demokrasi adalah ciptaan manusia untuk
mengatasi masalah hidup bermasyarakat. Tetapi ia tidak
bebas daripada kecacatan. Justeru itu hasil daripada
pengamalannya tidak selalunya baik. Janganlah terlalu
taksub dengan demokrasi sehingga segala-galanya
diamalkan kerana ia dihalalkan oleh demokrasi. Banyak
sudah keburukan yang dibawa oleh demokrasi yang
keterlaluan. Banyak sudah negara yang tidak dapat
ditadbir dan dibangunkan, kerana percubaan mengamalkan
segala-gala yang dikatakan demokrasi. Keruntuhan moral
yang ketara di negara-negara Barat ialah kerana
demokrasi.
115. Justeru itu, berhati-hatilah. Demokrasi
adalah untuk kebaikan kita, bukan kita harus
dikorbankan untuk kebaikan demokrasi. Jangan terpedaya
sekali lagi oleh Barat. Jangan terlalu taksub dengan
ideologi mereka sehingga tidak mengambilkira hasilnya.
Demokrasi adalah baik, tetapi hasilnya yang lebih
penting. Kita mengamalkan demokrasi kerana janji
kebaikan daripadanya, tetapi kita tidak harus korbankan
diri kita dan kebaikan yang kita perjuangkan kerana
terlalu taksub dengan demokrasi, terutama demokrasi
liberal ala Barat.
116. Selama 54 tahun UMNO telah berusaha untuk
menjayakan bangsa, agama dan tanahair kita, Malaysia.
Kita telah menggunakan tangan, mulut dan hati untuk
menyedar dan memimpin orang Melayu terutamanya ke arah
jalan yang mulia, ke arah pencapaian kemerdekaan dan
kemajuan, ke arah penebusan maruah kita.
117. Alhamdullillah, sedikit sebanyak kita telah
berjaya. Tetapi malangnya kejayaan ini sendiri membawa
alamat yang tidak baik, alamat tamadun yang kita
dirikan ini akan hancur sebelum pun ia sampai ke
puncak. Alamat yang buruk ini datang daripada kurang
kebolehan kita menangani kejayaan dan kemakmuran kita.
Ternampak jelas yang nafsu sedang mengalahkan nilai-
nilai yang baik yang kita miliki dahulu dan yang telah
menolong menjayakan kita.
118. Kita telah berusaha membendung nafsu ini dengan
sedaya upaya kita, dengan mengikut ajaran agama kita
supaya digunakan tangan, mulut dan hati. Kita juga
telah memohon daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala supaya
diberi petunjuk kepada kita semua, kepada pemimpin dan
pengikut supaya kita berpegang kepada jalan yang benar,
supaya kita menolak kemungkaran dan menerima kebaikan.
119. Walaupun kita telah berusaha tetapi pada hari
ini, bersempena dengan ulangtahun ke-54 kelahiran UMNO,
parti yang dipimpin dan dianggotai oleh orang Melayu,
orang yang menjadikan Islam sebagai sempadan kebangsaan
mereka, keMelayuan mereka, marilah kita bersama-sama
berdoa ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala, marilah
kita mengangkat tangan kita dan memohon kepadaNya:
Ya Allah Ya Tuhan kami, lindungilah kami daripada
hasutan syaitan dan iblis, daripada nafsu tamak kami;
Lindungilah kami daripada serangan musuh-musuh kami
dari dalam dan dari luar;
Berikanlah kepada kami kekuatan iman, ketabahan hati
supaya dapat kami meneruskan perjuangan kami untuk kaum
bangsa kami yang juga daripada umat Islam Mu,
perjuangan untuk memajukan bangsa, agama dan negara
kami sebagai sebahagian daripada usaha memulih
kecemerlangan tamadun Islam;
Ya Allah, berilah hidayat Mu kepada kami supaya
sentiasa waras dalam membuat pertimbangan dan pilihan.
Lindungilah hati kami daripada terpengaruh dengan apa-
apa hasutan atau pujukan. Lindungilah bangsa dan
negara kami daripada niat dan tindakan buruk oleh musuh
Mu dan musuh kami;
Ya Allah Ya Tuhan kami, berikanlah kejayaan kepada kami
kerana segala-gala yang kami usahakan ini ialah kerana
Mu, Ya Allah;
Ya Allah Ya Tuhan kami, restuilah perjuangan kami dan
berilah kemenangan kepada kami di dunia dan di akhirat;
Rabbana atina fidduniya hasannah
Wafilakhirati hasannah
Waqina azabannar
Wasallallahu'ala saidina Muhammad
Wa'ala alihi wassahbihi wassallam
Subha narabika izati amma yasifun
Wassallamun 'alalmursalin
Walhamdullillahi rabbil alamin.
|