Oleh/By		:	DATO' SERI DR. 
			MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN BANKUET, BANGUNAN DARUL 
			REDZUAN IPOH, PERAK 
Tarikh/Date 	: 	16/05/2000 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN PERAYAAN HARI 
			GURU PERINGKAT KEBANGSAAN 2000 




Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana
dengan hidayahNya dapat kita berada di sini untuk meraikan sambutan Hari
Guru. Kehadiran kita semua pada hari ini adalah sebagai tanda penghormatan
kita terhadap kaum guru dan para pendidik di seluruh tanahair yang secara
tradisi dan secara benar mempunyai kedudukan yang mulia dalam masyarakat
kita. 2. Oleh itu saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua
warga pendidik. Hari Guru diadakan bagi memperingati kita akan peranan
yang dimainkan oleh guru dan pendidik dalam membentuk budaya, tamadun dan
keilmuan bangsa kita. Sama ada bangsa kita maju atau mundur banyak
bergantung kepada masyarakat guru. Walaupun ibu bapa juga memainkan
peranan, tetapi pengalaman dan pengetahuan mereka dalam bidang membentuk
peribadi dan sifat-sifat anak adalah terhad. Akhirnya gurulah yang
menentukan karektor dan kebolehan anak yang bakal menjadi warganegara,
bahkan bangsa keseluruhannya. 3. Tidak akan berjaya sesiapa memindahkan
budaya dan ilmu kepada orang lain jika ianya sendiri tidak memiliki
keupayaan yang diperlukan. Mungkin ada guru yang dilahir dengan
sifat-sifat keguruan. Tetapi di zaman ini di mana permintaan untuk
mendapat pendidikan begitu besar, kita tidak boleh berharap semata-mata
kepada bakat keguruan yang semula jadi. Kita perlu mengadakan latihan yang
tersusun untuk mewujudkan jumlah guru yang mencukupi. Seperti dengan
keperluan mengadakan guru untuk murid, kita juga memerlukan guru untuk
melatih guru. Jika kaliber guru yang melatih guru, iaitu
pensyarah-pensyarah dan profesor-profesor dalam institusi-institusi
perguruan rendah, maka bukan sahaja budaya dan keilmuan guru rendah,
murid-murid juga rendah tetapi warganegara yang kita bentuk juga akan
berkualiti rendah. Justeru itu, ternampak jelas kaitan yang rapat di
antara kemajuan bangsa dengan maktab-maktab perguruan. Jika kualiti maktab
kita rendah maka kualiti bangsa kita juga akan menjadi rendah. 4. Guru
bukan sahaja bertanggungjawab menyampaikan ilmu pengetahuan kepada murid
tetapi bertanggungjawab juga kepada pembentukan peribadi murid iaitu
nilai- nilai hidup yang dipegang olehnya dan budaya yang diterima
olehnya. 5. Murid-murid yang diserahkan kepada guru berada dalam umur yang
mudah menerima ajaran dan mudah dibentuk pemikiran mereka. Telah
diperhatikan jika disemai sesuatu nilai atau kepercayaan kepada
murid-murid ini, maka nilai ini tidak akan mudah dipisahkan daripada
mereka atau ditukarkan dengan yang lain sepanjang hayat mereka. Demikian
apabila seseorang murid diajar menolak sesuatu, walaupun tidak ada sebab
yang diberikan kepadanya, penolakan olehnya akan diteruskan sehingga ia
membesar dan sehingga meninggal dunia. Sudah tentu jika nilai-nilai yang
mulia disemai oleh guru semasa di sekolah, maka murid akan berpegang teguh
kepada nilai-nilai ini juga sepanjang hayatnya. Jika guru-guru di seluruh
negara menyemai nilai-nilai dan budaya yang sesuai dengan masyarakat yang
bermaruah, yang yakin kepada diri sendiri, yang suka mengejar kejayaan,
maka sudah tentu bangsa berkenaan akan mencapai kemajuan dan mendirikan
tamadun yang tinggi. 6. Bangsa kita telah dijajah beratus tahun. Dalam
tempoh itu kita telah hilang keyakinan akan kebolehan diri sendiri. Kita
benar-benar percaya bahawa kita adalah bangsa yang lemah pemikiran dan
kecekapan. Guru-guru kita pada zaman penjajah juga mempunyai pendapat yang
sama. Oleh itu prestasi kita amatlah rendah di zaman penjajah. 7. Sekarang
kita sudah bebas dan guru serta pendidik kita mempunyai peluang keemasan
untuk menukar budaya lama yang terbentuk di zaman penjajahan dengan budaya
baru yang boleh menjayakan kita. Tentulah merugikan bangsa jika kita tidak
mengambil peluang ini, tetapi sebaliknya kita semai nilai hidup yang buruk
dan membentuk budaya yang akan melemahkan kita. 8. Saya percaya guru-guru
semua sedar akan pengaruh mereka, pengaruh yang boleh menentukan masa
depan negara dan bangsa kita. Saya juga percaya `guru kepada guru' yang
berada di maktab-maktab juga sedar akan pengaruh ini. Sebagai warga yang
cintakan bangsa dan negara, saya percaya peluang untuk membentuk peribadi
yang mampu berjaya di kalangan rakyat Malaysia akan datang, tidak
dilepaskan oleh guru atau `guru kepada guru'. 9. Maju mundurnya sesuatu
bangsa bergantung kepada nilai-nilai hidup dan budaya bangsa itu. Kita
tahu ada bangsa yang berjaya dan ada yang mundur. Ada juga yang dahulu
mundur tetapi sekarang berjaya dan sebaliknya yang dahulu berjaya tetapi
sekarang prestasi mereka sudah merosot sehingga luput hilang sama sekali
dari muka bumi ini. Semua yang berlaku kepada bangsa-bangsa di dunia ini
mempunyai hubungkait yang rapat dengan pertukaran budaya dan nilai hidup
yang bertukar dan berubah. Warna kulit, tinggi rendah, asal etnik tidak
menentukan jaya atau tidaknya sesuatu bangsa. 10. Mengetahui semua ini dan
menyedari bahawa nilai- nilai hidup dan budaya boleh disemai dan dibentuk
secara terancang, maka tidak ada sebab kenapa bangsa kita tidak boleh
dijaya dan dimajukan dengan penyemaian nilai-nilai hidup dan budaya yang
sesuai untuk mencapai matlamat kita. 11. Seperti juga dengan pihak-pihak
lain, guru-guru tentulah mempunyai pendapat dan pendirian tertentu
terhadap keadaan dalam negara. Mungkin pendirian ini berasas kepada
sesuatu yang menimbulkan perasaan tidak puas hati terhadap Kerajaan atau
terhadap mana-mana pihak. Mungkin perasaan ini disebabkan oleh salah faham
atau mungkin kerana asasnya memang benar. Kita semua perlu memiliki
pendirian yang terbuka, sanggup mengejar dan menerima
kebenaran. Kesanggupan ini penting tetapi sama ada benar atau tidak,
tanggungjawab masyarakat guru kepada bangsa dan negara tidak boleh
diketepikan. Hanya kerana kita tidak suka kepada mana-mana pihak tidak
seharusnya mendorong kita supaya menggagal dan menghancurkan masa depan
bangsa dan negara kita dengan menyemai nilai-nilai yang buruk di kalangan
murid kita yang akan menyebabkan bangsa kita berpecah-belah dan lemah di
kemudian hari. Sebenarnya yang menjadi mangsa budaya yang buruk yang
dibangunkan oleh kita melalui pendidikan di sekolah bukanlah orang yang
kita salahkan di masa ini, tetapi anak dan cucu kita sendiri. Merekalah
yang akan menjadi mangsa budaya buruk yang diterapkan oleh mereka semasa
di sekolah. 12. Pada hari Guru ini masyarakat guru perlu memperingati diri
bahawa terdapat dua tanggungjawab guru yang besar. Yang selalu dikaitkan
dengan guru ialah menyampaikan berbagai-bagai ilmu supaya rakyat negara
ini terpelajar dan dapat bukan sahaja membiayai kehidupan yang sempurna
tetapi juga menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara. Di zaman ini,
ilmu yang diperlukan tidak begitu terhad seperti dahulu dan penyampaiannya
juga berbeza. Peralatan yang digunakan untuk mengajar sekarang amat
canggih sehingga guru terpaksa mempelajari cara penggunaannya yang tidak
termasuk dalam kurikulum latihan perguruan dahulu. Yang lebih aneh ialah
kerap kali murid lebih cekap dan lebih mengetahui cara menggunakan
alat-alat baru ini. Perlunya diadakan latihan semula guru-guru tidak dapat
dielakkan. Tetapi guru yang sedar akan tanggungjawab mereka tentu tidak
akan teragak-agak mempelajari cara- cara dan teknik pendidikan yang baru
ini. Suatu yang kita perlu ingat ialah apa juga yang kita sanggup belajar
akan mudah dikuasai jika kita tekun dan mengulangi berkali-kali apa yang
dipelajari. Penggunaan Internet terutamanya sukar dikuasai dan mudah
dilupai jika kita tidak menggunakannya tiap-tiap hari. Sebenarnya jika
komputer dan Internet digunakan tiap-tiap hari, ia menjadi begitu mudah
sehingga kita akan hairan kenapa dahulu kita berpendapat ianya begitu
susah untuk dikuasai. Demikian juga kita akan hairan kenapa masih ada
orang yang tidak cekap mengunakan komputer dan Internet. 13. Kerajaan
sudah mewujudkan beberapa sekolah bistari yang memerlukan penggunaan
komputer dan Internet dengan meluas. Amatlah malang jika kita belanja wang
yang banyak untuk sekolah bistari ini tetapi kita tidak mendapat manfaat
kerana kekurangan guru bistari. Saya harap semua guru akan bersiap sedia
untuk mengajar dalam sekolah bistari kerana Kerajaan berhasrat menjadikan
semua sekolah di negara ini sekolah bistari. Insya-Allah kita akan berjaya
dalam melaksanakan program ini dan rakyat negara ini akan dilengkapi
kecekapan yang diperlukan untuk zaman-K atau Zaman
Pengetahuan. 14.   Tidak  dapat dinafikan bahawa peranan guru  dalam
  menyediakan  warganegara  yang  mampu  menangani  zaman
  Teknologi Maklumat atau I.T. amatlah besar dan penting.
  Tanpa  kecekapan  dalam  bidang I.T. dengan segala alat 
  dan caranya, bangsa  kita mungkin ketinggalan zaman dan 
  dikuasai oleh  bangsa-bangsa  yang  cekap memperalatkan  
  teknologi maklumat  untuk  menguasai  ilmu,  kecekapan, 
  ekonomi, politik dan  juga  budaya dunia.  Hari ini pun 
  kita   sudah    dikuasai   sedikit    sebanyak    dalam 
  bidang-bidang  tertentu.  Penukaran   dan   nilai-nilai 
  kemasyarakatan kita juga telah berubah kerana  mudahnya 
  sebaran melalui satelit, Internet  dan  televisyen yang 
  ditonton  oleh  kita.  Banyak  daripada  nilai dan cara 
  hidup yang terdedah kepada kita  amatlah  tidak  sihat.   
  Budaya   `hedonis'   iaitu   hidup   untuk  keseronokan 
  semata-mata tanpa beradat dan bermoral, secara langsung 
  dan  tidak  langsung,  dipromosikan oleh pihak tertentu 
  dan  ini  sudah  tentu   akan   merosakkan   kita   dan  
   jatidiri  kita.  Sehingga kini tidak ada teknologi yang 
  boleh menyekat atau menapis Internet. 15.  Justeru   itu   kita   perlu
bergantung   kepada  
  nilai-nilai  dan  budaya  kita,  terutama disiplin diri 
  untuk  menangkis  serangan  budaya  asing ke atas kita.  
  Sekali lagi saya ingin  tekankan betapa pentingnya kita 
  menyemai  dan   mempertahankan   budaya   kita.   Hanya 
  ketabahan hati dan disiplin yang kuat sahaja yang boleh 
  menolong kita menolak budaya `hedonis' asing ini.  Oleh 
  itu   daripada  kecil  lagi   kita    perlu    menyemai 
  nilai-nilai disiplin yang tinggi di kalangan anak- anak 
  kita.
  
  16.   Saya pohon maaf daripada orang bukan Islam tetapi
  contoh  yang  terbaik dalam usaha melawan sesuatu  yang
  dianggap  tidak  baik  ialah dengan menanamkan perasaan 
  jijik  kepada  sesuatu sehingga kita menolaknya sebagai 
  sebahagian    daripada   nilai  hidup  dan budaya kita.  
  Demikianlah orang  Melayu  menolak babi sebagai makanan 
  tanpa menyoal mengapa. Yang diketahui oleh mereka ialah 
  babi  tidak  boleh  dimakan  dan  penolakan babi sampai 
   kepada  tahap  mereka  tidak  boleh  melihat   hidangan 
  ternakan ini.  Sehinggakan mereka tidak boleh menyentuh
  walaupun bekas yang digunakan.  Penolakan mereka adalah 
  `total'. 17.   Jika kita dapat menyemaikan di kalangan murid dan
  belia  kita  persepsi  yang sama  terhadap  `kekotoran'
  sesetengah daripada apa yang boleh diperolehi  daripada
  Internet, maka individu itu sendiri akan  menapis  yang 
  keruh dan mengambil yang jernih.
  
  18.  Penyemaian  dan  persepsi ini memerlukan perhatian 
  dan tindakan oleh guru-guru.  Saintis-saintis kita juga
  perlu    mencari dan mencipta alatan yang boleh menapis
  `kekotoran'  daripada  Internet  dan  TV.  Tetapi  jika  
  kita  gagal  mendirikan budaya yang menolak `kekotoran' 
  dalam maklumat  yang  kita  terima  melalui   alat-alat 
  hebahan maklumat, besar kemungkinan  bahawa  kita  juga  
  akan  mengamal  budaya    `hedonis'.  Dengan  itu  akan 
  merosotlah budaya kita dan akan  hilanglah jatidiri dan 
  tamadun yang telah kita bina. Asyik  dengan keseronokan 
  semata-mata, kita akan menjadi  sama    seperti penagih 
  dadah yang tidak dapat menyumbang sesuatu apapun kepada 
  kemajuan dan pembangunan masyarakat. 19. Pada penghujung abad ke
sembilan belas, percubaan telah dibuat untuk meracun semua rakyat Cina
dengan mengedar candu kepada mereka. Penagih candu menjadi begitu lemah
sehingga bukan sahaja tidak dapat menyumbang apa-apa kepada masyarakat,
tetapi mereka menjadi beban kepada masyarakat. Jika Kerajaan China tidak
memerangi orang asing yang mengedar candu di kalangan rakyat mereka,
kemungkinan besar bangsa Cina terhapus dan budaya mereka
dihancurkan. 20. Pengedaran bahan lucah melalui Internet dan
bermacam-macam budaya yang boleh mengkhayalkan orang yang menggunakan
sistem maklumat ini mempunyai potensi yang sama dengan yang berlaku kepada
masyarakat yang dilemahkan melalui candu. Asyik dengan melayani nafsu yang
dibangkitkan melalui Internet, daya tahan dan daya pengeluaran boleh
dilemahkan. Apa yang akan terjadi akibat kelemahan ini tidak sukar bagi
kita meramalkanya. 21. Inilah bahaya yang kita hadapi di zaman maklumat
tanpa had ini. Mereka yang imannya kurang kuat mungkin akan menjadi
mangsa. 22. Kita tidak dapat menyekat penyebaran maklumat, yang baik dan
yang buruk, melalui teknologi maklumat yang semakin canggih
sekarang. Mungkin guru-guru dapat menyediakan generasi akan datang dengan
daya ketahanan yang diperlukan. Wallahualam. Mungkin juga kita menumpu
kepada penyampaian ilmu tanpa memikirkan bagaimana ia akan
digunakan. 23. Sama-samalah kita fikir berkenaan cabaran yang sedang
melanda kita. Saya harap kita akan dapat menangani cabaran ini dan bangsa
kita akan terus kekal sebagai bangsa yang berdaya tahan, Insya-Allah. 
 




 
Google