Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN MERDEKA, PWTC
Tarikh/Date : 27/05/2000
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG
TAHUNAN MIC KE-54
Saya ucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pusat MIC kerana
menjemput saya untuk merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-54 pada
hari ini. Seperti tahun-tahun yang lepas dan sepertimana lazim
dalam tradisi MIC, Pengerusi Barisan Nasional dijemput untuk
merasmikan Mesyuarat Agong MIC. Ini memberi peluang kepada saya
untuk merapatkan lagi hubungan dengan para pemimpin dan ahli-ahli
MIC, di samping menyampaikan sedikit pesanan sebagai Pengerusi
Barisan Nasional kepada ahli-ahli MIC. Saya percaya dengan cara ini
kita akan dapat meningkatkan lagi usaha-usaha kita untuk mengeratkan
lagi hubungan di kalangan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli parti
komponen Barisan Nasional.
Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Dato' Seri S. Samy Vellu dan
Dato' S. Subramaniam kerana dipilih tanpa bertanding sebagai
Presiden dan Timbalan Presiden parti. Pemilihan ini menunjukkan
bahawa ahli-ahli parti inginkan perpaduan dan kestabilan dalam
parti. Demikian jugalah UMNO.
Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan
terima kasih kepada para pemimpin dan ahli-ahli MIC kerana telah
bekerja keras membantu Barisan Nasional mencapai kemenangan besar
dalam pilihanraya umum yang lalu. Tanpa sokongan dan usaha gigih
ahli-ahli MIC, Barisan Nasional sudah tentu tidak akan dapat
mencapai kejayaan yang begitu besar untuk membentuk Kerajaan sekali
lagi. Sokongan ini juga menunjukkan bahawa masyarakat India di
negara ini masih berpegang teguh kepada politik kerjasama antara
kaum yang didokong oleh Barisan Nasional. Ianya juga membuktikan
bahawa masyarakat India terus mempunyai keyakinan kepada MIC untuk
menjaga kepentingan dan hak mereka. Dalam hal ini saya mengucapkan
tahniah kepada Dato' Seri Samy Vellu kerana kepimpinannya yang
dinamis dan berkesan serta keprihatinan beliau kepada nasib kaum
India di negara ini. Tidak dapat dinafikan bahawa MIC di bawah
kepimpinan Dato' Seri Samy Vellu telah banyak menyumbang kepada
pembangunan dan kemajuan masyarakat India. Beliau telah berjuang
untuk gaji bulanan bagi pekerja estet dengan gigih sehingga berjaya.
Saya percaya dengan komitmen yang ditunjukkan oleh beliau selama
ini, beliau mampu membawa masyarakat India ke tahap kemajuan yang
lebih cemerlang. Saya harap kaum India di negara ini akan terus
memberi sokongan yang padu serta kerjasama yang erat kepada Dato'
Seri Samy Vellu supaya Barisan Nasional akan terus kukuh dan
berkesan.
4. Pada hari ini kita rakyat Malaysia perlu berasa bernasib baik
dan lega kerana ekonomi kita terus menunjukkan pemulihan yang
menggalakkan. Dengan ekonomi menunjukkan pertumbuhan yang kukuh,
Kerajaan akan dapat meningkatkan kembali usaha-usaha untuk membangun
dan memajukan negara. Kerajaan Barisan Nasional sedar bahawa banyak
yang perlu dibuat bagi meninggikan lagi taraf hidup rakyat berbilang
kaum di negara ini. Walaupun taraf hidup rakyat Malaysia telah
meningkat tinggi berbanding dengan banyak negara yang sama-sama
merdeka dengan kita, matlamat kita ialah pencapaian Wawasan 2020.
Apabila kita menjadi negara maju dengan pendapatan per kapita lebih
dari USD 15,000, tidak dapat tidak rakyat akan dapat pendapatan yang
jauh lebih tinggi dari sekarang iaitu hampir USD 3,500. Yang perlu
kita kawal ialah inflasi supaya kenaikan pendapatan tidak
menjejaskan `buying power' atau daya beli kita.
5. Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum yang telah berjaya
melaksanakan dasar pembangunan yang memberi perhatian berat supaya
semua kaum dapat nikmat daripadanya. Telah menjadi matlamat
Kerajaan supaya tidak ada mana-mana kaum ketinggalan dalam arus
pembangunan. Atas dasar inilah, walaupun orang keturunan India
merupakan golongan kecil berbanding dengan kaum Bumiputera dan
keturunan Cina, dasar-dasar Kerajaan seperti Dasar Ekonomi Baru yang
disusuli dengan Dasar Pembangunan Negara tidak merugikan keturunan
India. Ramai daripada mereka yang terpelajar dan menjadi ahli
profesional terdiri daripada keturunan India. Peratusan mereka
berbanding dengan peratusan keturunan India jauh lebih tinggi
daripada keturunan lain. Sudah tentu peratusan Bumiputera,
berbanding dengan 60% daripada rakyat Malaysia yang menjadi
Bumiputera tidak sama dengan keturunan India. Namun demikian kita
perlu akui bahawa di kalangan peniaga dan pengusaha bilangan
daripada keturunan India berkurangan. Juga pencapaian keturunan
India dalam bidang pelajaran di peringkat sekolah rendah dan
menengah tidak memuaskan.
6. Ekonomi kaum India terus menunjukkan kemajuan yang menggalakkan
dalam tempoh 10 tahun lepas. Sebagaimana kaum-kaum lain, kaum India
juga telah mendapat faedah daripada pelaksanaan pelbagai program dan
projek di bawah Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Nasional.
Data yang ada menunjukkan kaum India terus mencatatkan peningkatan
pendapatan isi rumah purata, penurunan insiden kemiskinan,
peningkatan hak milik modal saham sektor korporat dan penyertaan
guna tenaga yang lebih seimbang. Dalam bidang profesional, prestasi
kaum India didapati lebih baik daripada kaum Bumiputera.
7. Sejajar dengan peningkatan pendapatan per kapita negara,
pendapatan isi rumah purata kaum India telah meningkat daripada
1,209 Ringgit sebulan pada tahun 1990 kepada 2,702 Ringgit pada
tahun 1999 iaitu lebih 100 peratus. Peningkatan pendapatan ini
bolehlah disifatkan sebagai satu perkembangan yang membanggakan
kerana kadar pertumbuhan ini mengatasi kadar pertumbuhan pendapatan
yang dicatatkan oleh isi rumah Bumiputera.
8. Hasil daripada peningkatan pendapatan tersebut, insiden
kemiskinan di kalangan masyarakat India didapati telah berkurangan
daripada 7.5 peratus pada tahun 1990 kepada 1.9 peratus pada tahun
1999. Bagi golongan termiskin, insidennya juga telah berkurangan
daripada 1.2 peratus kepada 0.2 peratus dalam tempoh yang sama.
Pengurangan kemiskinan ini amatlah memberangsangkan dan ianya
didapati menyeluruh iaitu merangkumi isi rumah India di kedua-dua
kawasan bandar dan luar bandar. Prestasi ini jelas menunjukkan
bahawa kaum India tidak sekali-kali ketinggalan daripada menikmati
faedah daripada dasar dan rancangan pembangunan negara yang
diusahakan oleh Kerajaan.
9. Daripada segi penyusunan semula hak milik sektor korporat,
pemilikan ekuiti masyarakat India juga telah meningkat daripada satu
peratus pada tahun 1990 kepada 1.5 peratus pada tahun 1998.
Sungguhpun peratusan pemilikan ini adalah kecil, tetapi jumlahnya
terus meningkat dari semasa ke semasa. Pada tahun 1990, jumlah
modal saham yang dimiliki oleh rakyat keturunan India adalah
sebanyak 1,068 juta Ringgit (pada nilai par) dan ianya meningkat
melebihi tiga kali ganda kepada 4,600 juta Ringgit pada tahun 1998
dengan mencatat kadar pertumbuhan tahunan purata sebanyak 20
peratus. Kemajuan ini adalah lebih besar berbanding dengan kaum-
kaum lain di Malaysia, termasuk Bumiputera. Sebagai perbandingan,
pemilikan ekuiti korporat Bumiputera hanya meningkat sebanyak 1.7
kali ganda atau dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 13.4
peratus. Manakala masyarakat keturunan Cina pula meningkat sebanyak
1.3 kali ganda atau dengan kadar pertumbuhan purata tahunan
sebanyak 11 peratus setahun dalam tempoh tersebut. Seperti
kaum-kaum lain di Malaysia, pertumbuhan ekonomi negara telah
menyumbangkan kepada pengwujudan peluang-peluang perniagaan kepada
semua rakyat Malaysia termasuk rakyat daripada keturunan India.
Semua kaum telah mendapat faedah daripada kesejahteraan ekonomi yang
dialami dan masing-masing telah dapat meningkatkan kekayaan dan
penyertaan mereka dalam sektor korporat.
10. Di samping peluang-peluang yang wujud daripada pertumbuhan
ekonomi, Kerajaan juga telah membuka peluang yang lebih luas kepada
semua kumpulan etnik untuk menyertai pelaburan dalam sektor korporat
melalui pengwujudan saham-saham amanah seperti Amanah Saham Wawasan
(ASW), Amanah Saham Malaysia (ASM), Amanah Saham Mara (ASM), Amanah
Saham Mara Berhad melalui MARA First Public Fund, ASM Premier Fund
dan ASM Balance Fund dan juga melalui pelaksanaan program-program
penswastaan. Sehingga akhir bulan April 2000, kira-kira 158,000
pelabur di kalangan rakyat keturunan India telah menyertai ASW dan
ASM dengan nilai pelaburan sebanyak 188.8 juta Ringgit (bagi ASW
jumlah pelabur rakyat keturunan India adalah seramai 146,356 pelabur
dengan jumlah pelaburan sebanyak 120.3 juta Ringgit dan bagi ASM
jumlah pelabur keturunan India adalah seramai 11,653 pelabur dengan
jumlah pelaburan sebanyak 68.5 juta Ringgit). Di samping itu,
pengwujudan tabung-tabung amanah yang diuruskan oleh pihak swasta
juga telah membuka peluang untuk melabur yang seluas-luasnya kepada
semua rakyat Malaysia, termasuk keturunan India.
11. Rakyat daripada keturunan India terus memainkan peranan besar
dalam pertumbuhan ekonomi negara. Guna tenaga India pada tahun 1998
ialah sebanyak 8.3 peratus daripada keseluruhan guna tenaga negara.
Sebahagian besar daripada mereka didapati berada dalam sektor-sektor
utama ekonomi negara seperti pembuatan dan perkhidmatan. Justeru
itu, guna tenaga India dalam sektor pertanian semakin berkurangan.
Penyertaan guna tenaga India juga adalah tinggi dalam syarikat-
syarikat yang berasaskan I.T. dan pada tahun 1998 ianya dianggarkan
sebanyak hampir 12 peratus. Sebahagian besar daripada mereka
didapati terlibat dalam pekerjaan profesional seperti jurutera di
samping bidang pengurusan dan pentadbiran.
12. Berdasarkan kepada fakta-fakta tersebut jelaslah kaum keturunan
India di negara ini tidak ketinggalan daripada arus pembangunan dan
pemodenan. Banyak peluang yang diwujudkan oleh Kerajaan telah di
manfaat oleh masyarakat India. Justeru itu, saya berharap kaum
India tidak lagi berasa terpisah dan tersisih daripada kaum-kaum
lain di negara ini. Pendapat yang negatif hanyalah satu
persepsi sahaja dan ini mungkin digunakan oleh golongan-
golongan tertentu yang mahu melihat negara ini tidak stabil.
13. Saya turut menghargai peranan yang dimainkan oleh kaum
keturunan India dalam memelihara perpaduan dan kestabilan kaum di
negara ini. Kaum India telah menunjukkan kematangan dalam
perhubungan kaum dan ini telah menyumbang kepada perpaduan dan
keharmonian kaum di kalangan rakyat Malaysia. Sikap toleransi dan
hormat menghormati antara satu sama lain di semua peringkat telah
membuahkan kata-kata sepakat dan ini adalah satu-satunya faktor
utama yang telah menyumbang kepada kehidupan aman damai dan
perpaduan. Saya gembira bahawa setiap kaum memahami masalah yang
terdapat dalam masyarakat majmuk seperti di negara ini. Kita lihat
di negara lain perebutan hak yang lebih bagi kaum sendiri hanya
menghancurkan negara. Sebaliknya kesanggupan bertolak ansur antara
kaum di Malaysia menyelamatkan kekayaan dan keamanan negara dan
semua pihak mendapat nikmat daripadanya.
14. Dengan perkembangan I.T., Internet, globalisasi dan cabaran-
cabaran lain di alaf baru ini, kaum India perlu membuat persediaan
untuk menghadapinya. Adalah menjadi hasrat Kerajaan supaya semua
kaum akan menikmati faedah daripada perkembangan I.T. dan Internet.
Justeru itu, masyarakat India perlu melengkapkan diri dengan
kemahiran dan ilmu pengetahuan yang bersangkutan dengan teknologi
baru ini.
15. Saya harap MIC akan membantu ahli-ahlinya dengan mengadakan
program-program yang akan membolehkan masyarakat India menghadapi
cabaran yang dibawa oleh I.T. dan Internet dengan berjaya.
16. Dengan harapan bahawa masyarakat India akan terus mendokong
cita-cita negara dan seterusnya menyokong Barisan Nasional, saya
dengan ini merasmikan Perhimpunan Agung MIC tahun ini.
|