Oleh/By		:	DATO' SERI DR. 
			MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PELABUHAN KELANG 
Tarikh/Date 	: 	01/06/2000 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PELANCARAN RASMI SISTEM 
			KAWALAN LAUT 



  
        Malaysia  secara  amnya telah lama  mengenalpasti
  keperluan  mewujudkan satu sistem pengawasan laut  yang
  efisien  dan efektif, lebih-lebih lagi apabila  kawasan
  perairannya  meluas  hasil daripada  perisytiharan  Zon
  Ekonomi  Eksklusif  (ZEE) pada tahun  1980.   Kedudukan
  geografi  Malaysia  yang dipisahkan oleh  perairan  dan
  lokasi  strategik Selat Melaka dan Laut  China  Selatan
  yang  menjadi  tumpuan  utama laluan  perkapalan  telah
  mendorong  kepada  perlunya  ditingkatkan  lagi  kaedah
  pengawasan dan pemantauan perairan negara.
  
  2.    Dari sudut ekonomi, hasil perairan negara seperti
  petroliam,  perikanan  dan  laluan  perkapalan   adalah
   antara   sumber   utama   pendapatan   negara.    Untuk
  mengekalkan sumbangan yang berterusan daripada  sumber-
  sumber  ini, Malaysia perlu mempunyai sistem pengawasan
  laut yang berkesan supaya dapat mengawasi dan bertindak
  dengan  cepat  terhadap  sesuatu  kejadian  yang  boleh
  menjejaskan kepentingan ekonomi negara.
  
  3.   Menyedari hakikat ini, Kerajaan pada awal tahun 1994
  telah meluluskan peruntukan berjumlah 100 juta Ringgit untuk
  membangunkan satu sistem pengawasan yang serba moden dan
  mampu membuat pengawasan secara berterusan ke atas perairan
  negara.  Peruntukan yang sebegitu besar, membuktikan negara
  kita  komited  dan prihatin terhadap aspek  keselamatan
  pelayaran di rantau ini khususnya, dan komuniti perkapalan
  antarabangsa amnya.  Sistem ini adalah antara yang pertama
  di dunia berkonsepkan pengawasan radar pesisiran pantai yang
  telah berjaya dibangunkan dengan sempurnanya di sepanjang
  pesisiran pantai Selat Melaka.
  
  4.   Pada peringkat permulaan, perairan Selat Melaka telah
   dikenalpasti untuk dibangunkan sistem ini kerana kepentingan
  strategik  perairan ini yang merupakan antara  perairan
  tersibuk  di  dunia selepas Selat Dover dan  Gibraltar.
  Sebagai jalan utama perdagangan perairan Selat Melaka ini
  merupakan satu sumber dan aset penting kepada negara-negara
  perkapalan.   Pelayaran  melalui  Selat  Melaka   dapat
  menjimatkan kos yang dianggarkan lebih daripada 150 bilion
  Dolar Amerika setahun berbanding dengan penggunaan laluan
  alternatif terdekat iaitu Selat Lombok - Makassar.
  
  5.   Kini dianggarkan lebih daripada 600 buah kapal dagang
  termasuk kapal pengangkut melebihi 200,000 dead  weight
  tonnage (dwt) dan kapal penumpang (cruise ship) menggunakan
  Selat Melaka setiap hari.  Aktiviti perkapalan di antara
  pelabuhan-pelabuhan  negara  berpantai   Selat   Melaka
  terutamanya di antara Semenanjung dan Sumatera juga semakin
  berkembang dari sehari ke sehari.  Tambahan pula,  dengan
  beroperasinya Pelabuhan `Liquified Petroleum Gas' (LPG) di
   Rupat, Sumatera, terdapat dua atau tiga kapal LPG keluar
  masuk setiap minggu ke Pelabuhan tersebut.  Pada masa yang
  sama, operasi Terminal Penapis Petroliam di Pelabuhan Sungai
  Udang, Melaka dan pembukaan Pelabuhan Tanjung Pelepas di
  Johor  juga  telah meningkatkan lagi kesesakan  laluan,
  khususnya  kapal-kapal  pengangkut kargo merbahaya dan kapal-
  kapal  `post  panamax'.  Begitu juga dengan lalu-lintas
  perkapalan domestik di antara pelabuhan tempatan dengan
  Singapura di mana dianggarkan sejumlah 5,000 pergerakan
  berlaku setiap bulan.
  
  6.   Dalam senario ini, perairan Selat Melaka akan terus
  sesak dan bertambah penting seiring dengan kepesatan dan
  kemajuan  ekonomi negara-negara di rantau ini.   Adalah
  dijangkakan bilangan lalu lintas perkapalan di perairan
  Selat Melaka akan meningkat pada kadar 1.3 peratus setahun.
  Daripada unjuran sehingga pada tahun 2010, sejumlah 46,842
  buah  kapal  (melebihi 30 meter panjang) dijangka  akan
  menggunakan perairan Selat Melaka pada setiap tahun.
   
  7.   Selain daripada perkapalan, industri lain terutamanya
  aktiviti perikanan juga aktif di perairan Selat Melaka yang
  kini menyumbang lebih kurang lima puluh peratus daripada
  jumlah keseluruhan pendaratan ikan negara.  Terdapat lebih
  daripada 37,000  orang nelayan Malaysia dengan lebih kurang
  15,000 buah bot menjalankan aktiviti penangkapan ikan di
  perairan Selat Melaka.
  
  8.    Peningkatan berbagai-bagai aktiviti  ini,  selain
  daripada keadaan cuaca buruk, adalah antara faktor penyebab
  berlakunya   kejadian  pelanggaran  yang  mengakibatkan
  pencemaran  marin.  Sehingga kini kita telah  mengalami
  beberapa  perlanggaran besar di perairan  Selat  Melaka
  mengakibatkan bukan sahaja pencemaran yang memudaratkan
  hidupan marin tetapi turut melibatkan kemusnahan harta benda
  dan kehilangan nyawa.  Kemalangan-kemalangan seumpama ini
  telah menyebabkan negara terpaksa menanggung kos pembersihan
  pencemaran  yang  berjumlah  berjuta  Ringgit.   Dengan
  peningkatan kapal-kapal bersaiz besar seperti  `post panamax
   vessel' dan `fourth and fifth generation container ship'
  yang dapat menggunakan hanya satu pertiga daripada lebarnya
  Selat Melaka yang menyebabkan pengendalian menjadi lebih
  sukar serta bertambahnya kapal-kapal pengangkutan muatan
  berbahaya, pengurusan trafik secara pasif seperti  yang
  dilaksanakan sebelum ini tidak lagi sesuai.  Justeru itu,
  dalam suasana perdagangan semasa dan masa akan datang yang
  semakin mencabar dan berdaya saing tinggi bagi memenuhi
  keperluan  sosio-ekonomi negara, maka satu  teknik  dan
  mekanisma pengurusan trafik perkapalan yang lebih cekap dan
  serba canggih seperti Sistem ini  menjadi begitu mustahak
  bagi mengurangkan risiko kemalangan dan pencemaran dan pada
  masa  yang sama meningkatkan kualiti serta produktiviti
  perairan.
  
  9.   Sebagai sebuah negara maritim, pengwujudan sistem ini
  juga  adalah  selaras  dengan keperluan  dan  ketetapan
  Konvensyen Undang-Undang Laut 1982 yang mana Malaysia adalah
  negara ahlinya dan juga bertepatan dengan resolusi-resolusi
   Pertubuhan Maritim Antarabangsa (International Maritime
  Organisation (IMO) bagi memelihara dan meningkatkan tahap
  keselamatan pelayaran serta mengurangkan risiko pencemaran.
  Mulai 1 Disember 1998, semua kapal yang melalui perairan
  Selat Melaka diwajibkan melapor ke Pusat Kawalan iaitu di
  bawah peraturan `Mandatory Ship Reporting System'.  Saya
  difahamkan sepanjang tahun 1999, sebanyak 43,964 buah kapal
  telah mematuhi peraturan ini.  Dengan ciri-ciri keselamatan
  pelayaran  yang  memenuhi  piawaian  antarabangsa  yang
  diutamakan melalui sistem ini, Kerajaan percaya negara-
  negara pengguna khususnya negara utama perkapalan  akan
  merasa lebih yakin dan selamat untuk menggunakan perairan
  Selat Melaka.  Dengan keyakinan yang tinggi ini, ia akan
  turut mendorong untuk menjanakan perkembangan ekonomi negara-
  negara di rantau ini, khususnya dalam menggalakkan lagi
  peningkatan perdagangan kawasan pertumbuhan segi tiga IMT-GT
  di Utara Selat Melaka dan SIJORI di bahagian Selatan Selat
   Melaka.
  
  10.   Sementara  itu,  pembangunan  sistem  ini  secara
  bersepadu   dengan   mengintegrasikan   sistem    radar
  pelabuhan di Pelabuhan Klang adalah suatu langkah  yang
  bijak  dan  praktikal  ke  arah melengkapkan  pelabuhan
  dengan  sistem  maklumat yang moden  bagi  meningkatkan
  pengurusan dan kualiti operasi pelabuhan.  Ia juga akan
  menjadikan pelabuhan kita lebih kompetitif dan efisien.
  Usaha   sedang   dirancang  untuk   mengadakan   sistem
  integrasi yang sama untuk Pelabuhan Tanjung Pelepas  di
  Johor.
  
  11.   Seperti  yang kita sedia maklum,  adalah  menjadi
  dasar  negara  untuk menggalakkan penggunaan  pelabuhan
  tempatan  bagi  mengurangkan imbangan defisit  dagangan
  negara.   Sehubungan  dengan itu, dasar  dan  ketetapan
  yang telah diambil sehingga kini telah membuahkan hasil
  yang  membanggakan di mana bagi keseluruhan tahun 1999,
  imbangan   perdagangan  telah  mencatatkan  peningkatan
  lebihan  sebanyak  23.8  peratus  kepada  72.3   bilion
   Ringgit  berbanding  dengan 58.4  bilion  Ringgit  yang
  dicatatkan  pada  tahun 1998.  Kerajaan  yakin  lebihan
  imbangan  dagangan ini akan terus dinikmati pada  masa-
  masa  akan  datang  jika dasar  yang  sedia  ada  iaitu
  mengutamakan penggunaan pelabuhan tempatan  diteruskan.
  Justeru  itu,  melalui  penggunaan  sistem  ini  secara
  bersepadu,   sekali   lagi  saya  yakin   ianya   dapat
  meningkatkan   kecekapan  pengurusan  dan   pentadbiran
  pelabuhan-pelabuhan   kita   secara   menyeluruh    dan
  seterusnya  dapat menarik minat lebih  banyak  syarikat
  perkapalan   untuk   menggunakan  pelabuhan   tempatan.
  Perkembangan  seumpama  ini juga  akan  membantu  pihak
  Kerajaan    mencapai   matlamatnya   untuk   menjadikan
  Pelabuhan  Klang sebagai `regional hub  centre'.   Saya
  yakin kesempatan ini juga dapat dimanfaatkan sepenuhnya
  untuk  meningkatkan  lagi  industri  hiliran  pelabuhan
  termasuk   industri  maritim  seperti  `ship  building,
  repairs and maintenance' secara menyeluruh.
   
  12.  Pelaksanaan sistem ini juga menitikberatkan kepada
  perlunya wujud kerjasama erat antara agensi maritim dan
  pelaksanaan dan pembahagian tugas seharian.  Sistem ini
  yang  beroperasi  secara berterusan boleh  dimanfaatkan
  oleh agensi-agensi untuk membuat perancangan yang lebih
  teratur  dan menjimatkan tanpa menjejaskan keberkesanan
  operasi.    Sejajar   dengan  itu,  aset-aset    agensi
  penguatkuasaan  maritim  boleh  digunakan  pada   tahap
  optima  secara tersusun dan bersepadu.  Oleh itu,  saya
  menyeru   semua   agensi  maritim   untuk   menggunakan
  kemudahan  yang  disediakan  melalui  sistem  ini  bagi
  meningkatkan tahap penyelarasan yang sedia ada ke  arah
  menghasilkan khidmat yang lebih produktif dan efisien.
  
  13.   Hari ini, kita berbangga dengan pelancaran Sistem
  Pengawasan Laut Malaysia.  Saya harap semua pihak dapat
  memanfaatkan  sepenuhnya kelebihan daripada  penggunaan
  sistem  ini.  Semoga kewujudan sistem ini akan  menjadi
  titik  permulaan  untuk mengwujudkan Sistem  Pengawasan
   Laut  yang  lebih  moden  berasaskan  teknologi  tinggi
  selaras  dengan  matlamat  menjadikan  Malaysia  sebuah
  negara yang cemerlang dan maju.
  
  14.   Dengan  lafaz  Bismillahir rahmanir  rahim,  saya
  dengan   ini   secara   rasminya   melancarkan   Sistem
  Pengawasan Laut Malaysia.
  

 



 
Google