Oleh/By : DATO' SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : ISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 03/06/2000
Tajuk/Title : MAJLIS MENGADAP DAN ISTIADAT
PENGURNIAAN DARJAH KEBESARAN
SEMPENA ULANGTAHUN HARI
KEPUTERAAN SERI PADUKA BAGINDA
YANG DI-PERTUAN AGONG
Dengan hormat dan penuh takzimnya pihak Kerajaan,
pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Awam serta rakyat
mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tuanku
sempena ulangtahun Keputeraan Rasmi Tuanku pada hari
ini. Rakyat sekalian berdoa ke-hadrat Allah Subhanahu
wa Ta'ala semoga dilanjutkan usia serta dilimpahkan
rahmat dan hidayah-Nya ke atas Tuanku dan Raja
Permaisuri Agong Tuanku Siti Aishah dan semoga Tuanku
berdua sentiasa berada di dalam keadaan sihat,
sejahtera dan penuh kedaulatan.
2. Kerajaan dan rakyat amat gembira kerana sepanjang
pemerintahan Tuanku negara kita berada dalam keadaan
aman dan sejahtera. Walaupun terdapat cubaan-cubaan
untuk menggugat keamanan negara dan keharmonian kaum
oleh pihak-pihak tertentu yang mahu melihat negara kita
dilanda huru-hara atau kucar-kacir, berkat pemerintahan
Tuanku yang bijaksana negara kita terus aman dan
terhindar daripada ancaman-ancaman buruk itu.
3. Sebaliknya, Kerajaan yang didokong oleh majoriti
rakyat telah terus berjaya membangun dan memajukan
negara. Rancangan-rancangan pembangunan dapat
dilaksanakan dengan sempurna dan pesat. Kejayaan
negara kita keluar daripada kesan krisis ekonomi sejak
tahun lalu membuktikan langkah dan strategi yang kita
ambil untuk menanganinya adalah tepat dan berkesan.
Malah pihak-pihak yang dahulunya mengecam kita kerana
kita kononnya bertindak di luar tata susila ekonomi
dunia kini telah menyambut semua tindakan kita setelah
kita berjaya dalam menangani krisis ekonomi itu.
Kejayaan kita ini adalah berkat pemerintahan Tuanku
yang dedikasi, berwawasan dan bijaksana.
4. Syukur Alhamdulillah, baru-baru ini Pilihanraya
Umum yang diadakan bagi memilih Kerajaan negara kita
telah berlangsung dengan baik dan sempurna.
Pilihanraya Umum itu yang diadakan setiap lima tahun
tanpa putus-putus jelas adalah satu manifestasi atau
bukti bahawa amalan demokrasi oleh negara kita terus
berkembang segar dan sihat. Rakyat telah dengan bebas
membuat pilihan mereka untuk menentukan siapa yang
harus memerintah negara ini. Dakwaan sesetengah pihak
yang kononnya memperjuangkan demokrasi bahawa Malaysia
tidak mengamalkan demokrasi dan telah menyekat dan
melanggar hak-hak asasi rakyat adalah tidak berasas
sama sekali. Dakwaan itu sebenarnya dibuat oleh pihak-
pihak yang berniat buruk yang bertujuan melemahkan
Kerajaan kita dengan melenyapkan kewibawaan atau
kredibiliti negara di mata dunia. Negara kita sekarang
dihormati dan amat berpengaruh di kalangan banyak
negara membangun dan juga maju kerana dasar-dasar luar
kita yang tegas dan berkesan. Dasar luar kita telah
merapatkan kita dengan banyak negara yang ditindas oleh
kuasa-kuasa dunia yang tidak gemar dengan kebebasan
negara-negara lemah yang merdeka.
5. Ini menyebabkan negara kita tidak disenangi oleh
negara-negara tertentu. Sebagai balasan pemimpin dan
media mereka tidak pernah akui kecapaian kita yang
banyak. Mereka tidak akui bahawa Malaysia ialah satu-
satunya negara berbilang kaum, agama, budaya dan
bahasa, yang tidak mempunyai rusuhan kaum. Mereka
tidak akui bahawa kita dapat memulihkan ekonomi kita
tanpa bantuan atau tunjuk ajar daripada mereka. Mereka
tidak akui bahawa negara kita adalah yang termaju
antara negara-negara membangun. Mereka tidak akui
bahawa pentadbiran negara ini cekap. Walaupun ada
rasuah tetapi ia tidak meluas sehingga menjejaskan
pembangunan. Projek infrastruktur yang besar yang kita
laksanakan tidak menjejaskan kewangan kita. Sebaliknya
simpanan kita meningkat lebih daripada 50 peratus
walaupun kita mempunyai banyak projek besar dan
kegawatan yang disebabkan manipulasi Ringgit oleh orang
asing menimpa kita.
6. Sebaliknya mereka membuat tuduhan yang tidak
berasas. Negara lain yang tidak ada demokrasi langsung
dan pembangkang ditindas tidak pernah dikecam tetapi,
Malaysia di mana parti pembangkang boleh menang hingga
menawan negeri-negeri tertentu dikatakan tidak
demokratik. Perbicaraan di mahkamah secara terbuka dan
berpanjangan dikatakan tidak adil. Kononnya banduan
tertentu dipukul atas arahan Kerajaan walaupun jelas
ini tidak benar. Kononnya hak asasi manusia tidak
dilindungi di Malaysia.
7. Kerajaan Tuanku tidak akan menghiraukan tuduhan-
tuduhan ini kerana ia bukan sahaja tidak benar tetapi
dibuat oleh orang yang lebih bersalah dalam perkara-
perkara ini. Mereka tidak demokratik dengan tidak
memberi hak kepada rakyat asli mereka dalam bidang
politik, tidak membayar gantirugi selepas merampas
harta orang asli, tidak mengendah suara ramai dalam
forum antarabangsa, mencabul undang-undang negara asing
dengan menculik warganegara untuk dibicara di bawah
undang-undang mereka. Polis mereka memukul penunjuk
perasaan, merantaikan kaki tangan banduan, memasang
alatan di badan banduan yang boleh memberi kejutan
eletrik dengan kemungkinan jantung banduan berhenti.
Polis mereka menembak mati tanpa usul periksa dan
mahkamah mereka mendapati polis tidak bersalah.
8. Orang dan negara yang sebegini ganas dan kejam
tidak ada hak menilai prestasi kemanusiaan dan keadilan
orang lain. Pepatah Melayu berkata "Paku dulang, paku
serpih; katakan orang kita yang lebih".
9. Kerajaan Tuanku akan meneruskan pentadbiran yang
adil dan pengamalan sistem pemerintahan yang
demokratik. Rakyat diberi kebebasan bersuara dan
bertindak asalkan mereka tidak mencabul hak demokratik
orang lain. Suara majoriti didaulatkan walaupun suara
minoriti boleh disuarakan. Hak asasi bukan untuk
bertindak ganas. Tidak akan ada sesiapa yang
dikecualikan daripada tindakan undang-undang. Kerajaan
akan tentukan negara ini tidak tunduk kepada mana-mana
kuasa asing tetapi sebaliknya mempertahankan kebebasan
negara Malaysia ini. Dasar luar Malaysia akan
mencerminkan pegangan Malaysia kepada keadilan dalam
hubungan antarabangsa dan akan menentang segala
ketidakadilan yang dilakukan oleh siapa sahaja.
Rusuhan tidak akan mempengaruhi dasar-dasar Kerajaan.
10. Kerajaan Tuanku akan mencuba membangunkan ekonomi
negara ini dengan seberapa pantas yang mungkin. Pada
tahun 1999 ekonomi negara telah tumbuh di paras 5.6
peratus walaupun ramalan Kerajaan hanyalah satu
peratus. Pertumbuhan ini membawa banyak kebaikan
kepada rakyat. Semua industri dan perniagaan telah
dipulihkan dengan pendekatan yang digunakan oleh
Danaharta, Danamodal dan Jawatankuasa Penyusunan Semula
Hutang Korporat (CDRC). Segala projek Kerajaan yang
ditangguhkan kerana kegawatan sudah dihidupkan semula
dan telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi. Jalan-
jalan ekspres, landasan kembar keretapi elektrik,
bekalan air dan elektrik, Putrajaya, Cyberjaya sedang
dibangunkan mengikut perancangan.
11. Dagangan negara mencatat pertumbuhan yang tinggi
dengan lebihan imbangan bayaran meningkat kepada 72
bilion Ringgit pada tahun 1999. Bagi tahun ini
dijangkakan pertumbuhan ekonomi akan mencatat sebanyak
5.8 peratus.
12. Kehidupan rakyat sekarang adalah lebih sempurna.
Pengangguran hampir tidak ada. Kakitangan Kerajaan
akan menikmati kenaikan gaji sebanyak 10 peratus.
Kajian sedang dibuat untuk membayar gaji bulanan kepada
pekerja ladang. Pelbagai dana telah disediakan oleh
Kerajaan untuk membantu dan membiayai aktiviti
dagangan, pelajaran dan usaha-usaha lain oleh rakyat.
13. Sempena ulangtahun Hari Keputeraan Rasmi Tuanku,
Ahli-ahli Jemaah Menteri dan semua anggota Kerajaan
ingin memberi jaminan sekali lagi bahawa segala
kerjasama dan sokongan akan diberi kepada Tuanku dalam
menjalankan tugas sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-
Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong selaras dengan
prinsip-prinsip dan keperluan-keperluan Sistem Raja
Berperlembagaan. Kerajaan yakin di bawah naungan
Tuanku, Malaysia akan terus stabil, maju, makmur dan
sejahtera dalam abad dan alaf baru ini.
14. Pada hari yang berbahagia dan penuh istiadat ini,
Kerajaan, pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam dan
rakyat dengan penuh hormat dan takzimnya mengucapkan
Selamat Hari Keputeraan kepada Tuanku dan menyampaikan
ikrar taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Tuanku
sebagai Raja yang memerintah dan juga kepada Raja
Permaisuri Agong.
|