Oleh/By : DATO' SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : WISMA MCA, JALAN AMPANG,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 17/06/2000
Tajuk/Title : UPACARA PERASMIAN MESYUARAT AGUNG
TAHUNAN MCA YANG KE-47
Saya ucapkan terima kasih kepada Presiden Parti MCA dan
semua anggota Jawatankuasa Pusat MCA kerana sudi
menjemput saya untuk merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan
MCA yang ke-47 pada hari ini. Inilah Mesyuarat Agung
Tahunan MCA yang pertama dalam abad dan alaf baru ini
dan selepas pilihanraya umum yang lalu.
2. Sebagai Pengerusi Barisan Nasional dan bagi pihak
anggota komponen Barisan Nasional yang lain tidaklah
terlambat bagi saya mengucapkan tahniah kepada Parti
MCA dan seluruh anggotanya atas kemenangan cemerlang
calon-calonnya dalam Pilihanraya Umum 1999. Dengan
kekuatan Parti MCA dan kerjasama parti-parti komponen
Barisan Nasional kita telah menumbangkan jaguh-jaguh
parti-parti pembangkang di kawasan-kawasan yang menjadi
kubu kuat mereka terutama DAP. Kejayaan ini jelas
menunjukkan masyarakat Cina Malaysia bukan anti-Barisan
Nasional tetapi sebaliknya menghargai kemampuan
Kerajaan Barisan Nasional menangani masalah negara,
terutama masalah ekonomi, yang menyelamatkan mereka
daripada tekanan-tekanan hutang dan sebagainya.
3. Sejak sebelum merdeka lagi penduduk pelbagai kaum
di negara ini telah hidup berbaik-baik walaupun mereka
terpisah di antara satu sama lain. Tidak ada rusuhan
kaum yang serius seperti yang terdapat di tanah jajahan
British yang lain. Malangnya penjajah tidak berusaha
untuk mengurangkan jurang perbezaan di antara kaum dari
segi pembangunan ekonomi mereka. Sebaliknya penjajah
mengambil jalan yang mudah dengan menggunakan tenaga
dan kecekapan dari luar apabila penduduk tempatan tidak
dapat menyumbang kepada pengumpulan kekayaan oleh
mereka. Dengan itu jurang perbezaan di antara
Bumiputera dengan bukan Bumiputera menjadi lebih besar
dan menjadi punca perselisihan pendapat antara kaum di
Malaysia apabila merdeka. Inilah yang disebut sebagai
'time bomb' yang ditinggalkan oleh penjajah.
4. Pada tahun 1969 berlakulah rusuhan kaum di Kuala
Lumpur. Orang asing membuat ramalan bahawa Malaysia
tidak mungkin dipulihkan dan menjadi aman dan makmur.
Tetapi dengan bijaknya pemimpin-pemimpin kaum dan
politik di Malaysia mencipta pendekatan tersendiri
untuk mengatasi masalah ekonomi yang tidak seimbang dan
hubungan kaum yang tegang. Walaupun terdapat keraguan
akan kemampuan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk
menyelesaikan masalah berkenaan, tetapi hari ini kita
lihat hubungan antara kaum di Malaysia sudah menjadi
lebih baik, jauh lebih baik daripada hubungan kaum di
negara-negara lain yang mempunyai penduduk berbilang
kaum. Demikianlah berjayanya DEB dalam mengurangkan
jurang ekonomi antara kaum sehingga kegawatan ekonomi
yang amat teruk pada tahun 1997-1998 pun tidak
menyebabkan apa-apa kesan politik atau rusuhan kaum dan
keganasan di Malaysia.
5. Ketenangan dan keamanan di Malaysia memudahkan
proses pemulihan ekonomi negara. Hari ini ekonomi
negara sudah hampir pulih sepenuhnya.
6. Tetapi kita tidak boleh mengambil ringan akan
keamanan dan hubungan baik antara kaum. Semasa
kegawatan pencapaian kaum Bumiputera yang masih rapuh
atau 'fragile' telah terhakis atau 'eroded' dengan
teruknya. Kita perlu bekerjasama sekali lagi untuk
memulihkan ekonomi Bumiputera supaya dapat memenuhi
matlamat Dasar Pembangunan Negara.
7. Seperti yang tuan-tuan dan puan-puan semua tahu,
Malaysia percaya kepada slogan "prosper-thy-neighbour"
iaitu "perkayakan jiran anda". Sebabnya kita mendokong
usaha memperkayakan jiran kita ialah kerana kita akan
mendapat banyak keuntungan jika jiran kita berjaya dan
kaya. Ini lebih nyata bagi masyarakat peniaga seperti
orang Cina.
8. Semua peniaga tahu adalah lebih mudah dan lebih
menguntungkan menjual kepada orang yang kaya daripada
orang yang miskin. Orang yang kaya boleh membeli
barangan dan perkhidmatan yang mahal sementera orang
yang miskin tidak mampu membeli melainkan yang murah
atau tidak dapat membeli langsung. Jelas jika rakyat
kaya, peniaga lebih untung. Peniaga yang untung pula
akan menyumbang kepada kekayaan negara melalui
perbelanjaan mereka dan cukai yang mereka bayar.
Dengan itu pekerja, termasuk kakitangan Kerajaan akan
mendapat pendapatan yang lebih tinggi.
9. Orang Cina di mana-mana sahaja amat cekap
berniaga. Orang berketurunan Cina Malaysia mungkin
lebih cekap daripada orang Cina lain. Jika kecekapan
ini dapat dipindahkan sedikit kepada Bumiputera,
tentulah Bumiputera sebagai jiran akan lebih kaya dan
akan menjadi pasaran yang lebih baik bagi peniaga Cina.
Orang Cina tidak akan rugi kerana Bumiputera menjadi
lebih pandai berniaga.
10. Justeru itu amatlah baik jika orang Cina dan
Bumiputera mengadakan lebih banyak perkongsian
perniagaan yang 'genuine', di mana rakan Bumiputera
memainkan peranan yang bermakna yang memberi kepada
mereka pengalaman dan kecekapan. Perkongsian Ali Baba
di mana Bumiputera hanya menjadi 'front' tidak menolong
proses pemindahan kecekapan dalam bidang perniagaan.
Saya percaya jika rakan kongsi Bumiputera diberi
peranan yang bermakna, sumbangannya kepada perniagaan
tetap bernilai.
11. Jika Bumiputera maju dan sama kaya dengan kaum-
kaum lain, kemajuan negara kita tetap akan meningkat
tinggi dan Pendapatan Purata Malaysia atau GDP akan
menjadi jauh lebih baik. Dan GDP yang tinggi ini tetap
akan menguntungkan semua peniaga. Walaupun peniaga
Bumiputera juga akan mendapat keuntungan, tetapi bukan
Bumiputera juga akan mendapat keuntungan yang
bertambah. Pengalaman kita dengan DEB menunjukkan
bahawa peningkatan ekonomi Bumiputera tidak menjejaskan
kemajuan ekonomi bukan Bumiputera. Sebagai bonus
negara kita menjadi begitu aman dan tidak ada rusuhan
kaum berlaku walaupun semasa kegawatan.
12. Tentulah ada orang Cina yang tidak puas hati
dengan DEB. Tetapi kaum Bumiputera juga ada yang tidak
puas hati dengan DEB. Jika kita berkongsi dan
bekerjasama, bilangan mereka yang tidak puas hati ini
akan berkurangan.
13. Malaysia mampu mencipta dasar-dasar dan pendekatan
yang berlainan daripada yang biasa, berlainan daripada
yang diterimapakai oleh negara lain, bangsa lain bahkan
seluruh dunia. Negara-negara berbilang kaum yang lain
tidak berjaya menyelesaikan masalah perkauman. Kita
berjaya walaupun mungkin tidak sepenuhnya.
14. Pendekatan kita dalam menjadikan negara kita
negara industri daripada negara pertanian berjaya.
Konsep Persyarikatan Malaysia atau Malaysia
Incorporated juga dapat menjadikan khidmat Kerajaan
kepada swasta dan sumbangan swasta kepada pembangunan
negara lebih baik sehingga kita mencapai pertumbuhan
ekonomi yang tinggi tahun demi tahun.
15. Apabila kita diserang oleh penyangak matawang dan
mereka menarik keluar pelaburan jangka pendek mereka,
kita tidak menurut cara-cara yang digunakan oleh negara-
negara lain untuk memulihkan ekonomi negara. Meminjam
daripada IMF untuk membayar hutang tidak akan
menyelesaikan masalah. Apa yang akan berlaku ialah
sementara hutang kita dipindahkan daripada bank
komersial kepada IMF, kebebasan kita menguruskan
ekonomi kita akan hilang.
16. Sepertimana tuan-tuan dan puan-puan tahu, kita
tidak meminjam walau satu sen pun daripada IMF dan
pinjaman yang dijanjikan oleh World Bank pun kita tidak
ambil. Sebaliknya kita mencipta cara tersendiri untuk
menjadikan nilai matawang kita stabil dan memaksa wang
kita yang berada di luar negeri dibawa balik. Dengan
cara ini kita dapat balik kuasa dan kawalan ke atas
kewangan kita dan Ringgit yang berada di luar negeri
kembali balik ke sistem bank kita. Dengan ini kita
dapat menurunkan kadar faedah untuk memulihkan hutang
syarikat-syarikat swasta. Penyangak matawang pula
tidak lagi dapat menurunkan nilai matawang kita.
Berpuluh-puluh tindakan lain diambil oleh kita seperti
kempen memiliki hartanah (property ownership campaign),
meningkatkan jualan runcit (retail sales), jualan
kereta dan motorsikal, memulakan semula projek-projek
Kerajaan supaya industri pembinaan dapat bergerak dan
'sub-contractor' serta pembekal bahan binaan dapat maju
semula, semuanya untuk menghidup dan merangsangkan
semula ekonomi. Hasilnya ialah ekonomi kita dipulihkan
dengan lebih cepat daripada pemulihan di negara-negara
lain.
17. Tindakan Kerajaan juga berjaya memulihkan harga
saham dan mengurangkan 'Non Performing Loans'. Dengan
itu perniagaan kembali sihat dan orang asing tidak
dapat membeli dan mengambilalih syarikat dan bank kita
'at fire sale prices' seperti yang berlaku di negara
lain. Hari ini dunia terpaksa mengakui kejayaan
pendekatan Malaysia. Ramalan bahawa Kerajaan Barisan
Nasional dan pemimpinnya akan ditolak oleh rakyat tidak
menjadi kenyataan. Sebaliknya pemimpin IMF dan pengurus-
pengurus 'Hedge Funds' yang terpaksa berundur lebih
awal. Kita bukan berhajat untuk menepuk dada kerana
terlalu bangga dengan kejayaan kita, tetapi
kenyataannya ialah Barisan Nasional menang lebih
daripada tiga per empat kerusi dan mendirikan Kerajaan
yang lebih kukuh.
18. Kerajaan Malaysia mempunyai kemampuan untuk
menghadapi cabaran dunia dan menangkis usaha untuk
menguasai ekonomi dan politik negara kita. Sebab itu
kita yakin kita boleh membangunkan negara kita supaya
pada tahun 2020 kita akan menjadi negara maju. Kaum
Cina sama juga dengan kaum-kaum lain dan Bumiputera
akan mendapat banyak kebaikan bukan sahaja pada tahun
2020 tetapi juga dalam tahun-tahun menjelang 2020 di
waktu mana banyak peluang akan didapati daripada
pembangunan yang pesat yang akan diusahakan oleh
Kerajaan.
19. Sebenarnya pembangunan negara boleh menjadi lebih
pesat jika tidak kerana gangguan oleh mereka yang suka
menghalang kemajuan. Selain daripada parti lawan,
terdapat beberapa Badan Bukan Kerajaan atau NGO yang
menghalang kemajuan negara.
20. Apabila kita mencapai kemerdekaan bekas penjajah
tidak lagi boleh campurtangan dalam urusan dalam negeri
kita. Mereka dan rakyat mereka tidak senang hati
dengan kebebasan kita di dalam negara kita. Rakyat
mereka dengan galakan oleh Kerajaan mereka mencipta NGO
yang tidak terbatas dengan syarat tidak campurtangan
dalam hal ehwal negara-negara yang merdeka. NGO bukan
sahaja dapat melibatkan diri secara langsung dengan
perkara-perkara dalaman negara lain, tetapi tidak
seperti parti politik, mereka dapat menubuhkan cawangan-
cawangan mereka di dalam negara yang bebas. Melalui
NGO mereka, negara dan Kerajaan asing secara langsung
atau tidak langsung dapat bertindak dan menimbulkan
masalah kepada Kerajaan-Kerajaan negara bebas.
21. Isu-isu seperti hak asasi manusia, demokrasi,
buruh kanak-kanak, rule of law, kronisme, korupsi dan
bermacam lagi digunakan oleh NGO sama ada tempatan atau
luar negeri untuk mencetuskan ketegangan bahkan rusuhan
supaya menjejaskan kestabilan negara membangun,
terutama negara-negara yang mencapai kemajuan. Kadang-
kadang pemimpin negara maju dengan beraninya menyuruh
NGO dan badan-badan lain untuk menunjuk perasaan dan
mengganas supaya Kerajaan yang bebas dapat ditumbangkan
dan diganti dengan Kerajaan boneka mereka.
22. Tidak cukup dengan menggunakan NGO negara-negara
besar mendakwa bahawa mereka berhak campurtangan dalam
hal ehwal mana-mana negara jika mereka dapati negara-
negara ini tidak demokratik atau mencabul hak asasi
manusia. Malangnya jika demokratik dan tidak bersalah
mencabul hak asasi manusia pun, mereka mendakwa
kononnya demokrasi tidak diamalkan dan hak asasi
dicabul untuk menghalalkan campurtangan oleh mereka.
Dalam usaha ini media mereka bersubahat dan sengaja
membuat tuduhan-tuduhan yang tidak berasas supaya
menghalalkan segala campurtangan oleh kuasa-kuasa
tertentu. Dan ini diikuti oleh NGO asing dan NGO
tempatan yang dibiayai oleh mereka.
23. Media asing seperti CNN cuba dengan sengaja
memberi gambaran buruk kepada negara kita tiap kali
sesuatu peristiwa berlaku. Apabila beberapa orang
pelancong di Pulau Sipadan diculik, mereka
menggambarkan seluruh Malaysia sebagai tidak selamat
untuk pelancongan. Dengan itu ramai juga pelancong
asing membatalkan lawatan mereka ke Malaysia.
Sebaliknya bandar di negara mereka begitu tidak selamat
sehingga pegawai keselamatan mereka yang menjaga saya
semasa lawatan saya ke negara tertentu menghalang saya
daripada membeli-belah di jalan-jalan tertentu kerana
terdapat banyak penjenayah di tempat itu. Adalah jelas
bandar mereka lebih tidak selamat untuk pelancong
daripada bandar kita. Tetapi kita tidak pernah
mengeluarkan 'advisory' supaya pelancong Malaysia tidak
pergi ke negara mereka.
24. Kita menerima kebebasan media tetapi mereka
mencabul atau 'abuse' kebebasan ini dengan berbohong
sepanjang masa untuk memburukkan imej kita. Mereka
akan menafikan mereka berbuat demikian tetapi memang
benar mereka ini adalah 'totally immoral' dan mempunyai
niat jahat terhadap kita. Jika boleh, mereka ingin
merosakkan negara kita dan mencetuskan rusuhan kaum
serta huru-hara sepanjang masa.
25. Inilah sebab-sebabnya pembangunan negara kita
tidak lebih cepat dan tinggi seperti yang mampu kita
jayakan melalui kerjasama Kerajaan dan swasta dalam
konsep Persyarikatan Malaysia. Saya meminta masyarakat
keturunan Cina di Malaysia menolak hasutan dari luar
dan perasaan perkauman yang sempit. Sebaliknya orang
keturunan Cina di Malaysia hendaklah bekerjasama secara
'genuine' dengan kaum-kaum lain terutama kaum
Bumiputera supaya negara kita menjadi lebih maju, lebih
cepat dan kita semua akan mendapat keuntungan dan
kebaikan daripadanya.
26. Malaysia adalah milik kita bersama. Dalam masa 42
tahun kita merdeka kita telah berjaya merapatkan
hubungan antara kaum dan sedikit sebanyak mengintegrasi
mereka. Sebenarnya kadang-kadang kita begitu
'Malaysian' sehingga kita tidak dapat mengenali
seseorang itu daripada kaum yang mana. Dari segi
pakaian dan budi bahasa Melayu dan Bumiputera sukar
dikenali sebagai berlainan daripada keturunan Cina atau
India. Walaupun kita mengekalkan bahasa ibunda tetapi
generasi muda hampir semua fasih berbahasa Malaysia,
bahasa kebangsaan kita.
27. Jika 'trend' ini berterusan, saya percaya sangkaan
buruk antara kaum akan hilang sama sekali dan apabila
prestasi ekonomi semua kaum menjadi sama, perkauman
juga akan hilang.
28. Sepertimana kita semua maklum Perlembagaan
Malaysia tidak menyebut berkenaan keturunan Perdana
Menteri. Siapa sahaja daripada apa juga keturunan
berhak menjadi Perdana Menteri Malaysia. Saya yakin
satu hari nanti apabila warganegara keturunan Cina atau
India dapat diterima oleh semua kaum, maka Perdana
Menteri Malaysia tidak lagi akan terdiri daripada
keturunan Melayu sahaja. Demikian juga Bumiputera
bukan Melayu juga mungkin menjadi Perdana Menteri
Malaysia.
29. Proses ke arah ini sudah berjalan. Percayalah,
jika kita semua sensitif terhadap citarasa rakyat
Malaysia, soal kaum dan keturunan tidak lagi akan
menghalang sesiapa daripada rakyat Malaysia daripada
memegang apa-apa jawatan.
30. Barisan Nasional perlu berusaha ke arah ini dengan
pendekatan yang unik bagi Malaysia. Parti-parti
komponen Barisan Nasional perlu berusaha. MCA perlu
berusaha. Malaysia boleh mencapai matlamat ini dengan
cara tersendiri. Bekerjasamalah dalam bidang politik,
ekonomi dan sosial dan kita semua akan dapat
menghapuskan perkauman dan menerima siapa sahaja
daripada rakyat Malaysia untuk menjadi Perdana Menteri
dan mengisi apa-apa jawatan.
31. Dengan harapan MCA akan terus mendokong perjuangan
Barisan Nasional dan mengekalkan hubungan baik dan
kerjasama dengan UMNO dan parti-parti komponen lain ke
arah Malaysia yang aman dan adil, saya dengan
sukacitanya merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA
yang ke-47.
|