Oleh/By		:	DATO' SERI DR. 
			MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN SERBAGUNA UNITEN, 
			BANGI, SELANGOR 
Tarikh/Date 	: 	29/06/2000 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN UNIVERSITI 
			TENAGA NASIONAL (UNITEN) 


  
  
       Terlebih  dahulu,  saya  ucapkan  tahniah   kepada
  Tenaga  Nasional Berhad dan Universiti Tenaga  Nasional
  khususnya  kerana Universiti ini telah berjaya  menjadi
  salah  sebuah institusi pendidikan tinggi  swasta  yang
  terulung di negara kita walaupun dalam usia yang  masih
  muda.  Universiti  Tenaga  Nasional  ini  pada  asalnya
  dilahirkan  untuk  menolong memenuhi  keperluan  negara
  untuk   jurutera  dan  aspirasi  Kerajaan  dan   rakyat
   Malaysia supaya negara kita muncul sebagai salah sebuah
  pusat  kecemerlangan ilmu di rantau ini  dan  di  dunia
  amnya.  Sebagai  sebuah Kerajaan yang  bertanggungjawab
  untuk  memberi  pendidikan  terbaik  kepada  rakyatnya,
  Kerajaan  telah melabur berbilion-bilion Ringgit  untuk
  menjamin  kemudahan pendidikan dapat disediakan  kepada
  rakyat  sehingga ke peringkat tertinggi. Sehingga  hari
  ini,  Kerajaan telah menubuhkan 11 institusi pendidikan
  tinggi awam yang perbelanjaannya ditanggung hampir  100
  peratus   oleh  Kerajaan.  Walaupun  jumlah   institusi
  pendidikan  tinggi telah bertambah,  namun  jumlah  ini
  tidak  mampu menampung keperluan mahasiswa yang semakin
  meningkat.  Justeru  itu,  pihak  swasta  perlu   turut
  mengambil bahagian secara aktif dan terlibat sama dalam
  menjayakan usaha yang murni ini.
  
  2.   Kerajaan telah bersetuju membenarkan swasta menubuhkan
  institusi pendidikan tinggi dengan meluluskan Akta Institusi
  Pengajian Tinggi Swasta 1996 dan penggubalan semula Akta
   Pendidikan 1996. Tujuan utama kelulusan ini diberi ialah
  supaya rakyat Malaysia tidak terlalu ramai pergi ke luar
  negara dengan membayar yuran yang tinggi kepada institusi
  asing  sedangkan  mereka mampu  membayar  yuran  kepada
  universiti swasta di dalam negeri yang biasanya lebih tinggi
  sedikit dari universiti Kerajaan.  Pengaliran tukaran asing
  sudah meningkat terlalu tinggi kerana bukan  sahaja yuran
  tetapi juga kos sara hidup di luar negara dan perjalanan
  turut meningkat.  Di masa yang sama Kerajaan sendiri tidak
  mampu  menyediakan tempat yang cukup  dalam  universiti
  tempatan milik Kerajaan.  Lagipun permintaan untuk lulusan
  universiti  meningkat dengan pesat.  Sebagai permulaan,
  Kerajaan telah mempelawa tiga konglomerat terbesar tanah air
  iaitu Petronas, Telekom, dan Tenaga Nasional Berhad sendiri
  untuk menubuhkan universiti dengan yuran dan skim  gaji
  tenaga pengajar yang tidak tertakluk kepada tangga gaji
  Kerajaan. Saya ingin ucapkan tahniah dan syabas  kepada
   Tenaga  Nasional Berhad (TNB) kerana  menyahut pelawaan
  tersebut  dan  telah menubuhkan sebuah universiti  yang
  dikenali hari ini sebagai Universiti Tenaga Nasional.
  
  3.   Walaupun Universiti Tenaga Nasional baru ditubuhkan
  pada  1997, saya amat kagum dengan kemudahan  prasarana
  pendidikan yang disediakan oleh pihak TNB.  Ini membuktikan
  bahawa TNB begitu bersungguh-sungguh dalam melibatkan diri
  dalam sektor pendidikan negara. Semua kemudahan terbaik,
  moden dan canggih ini diharapkan dapat dimanfaatkan dengan
  sebaik-baiknya oleh mahasiswa, pensyarah dan para penyelidik
  untuk menjalankan kajian-kajian bagi faedah negara. Saya
  juga  yakin pengalaman TNB selama berpuluh-puluh  tahun
  melatih kakitangan dan menyumbang khidmat kepada rakyat dan
  negara  turut dapat dimanfaatkan oleh Universiti Tenaga
  Nasional.
  
  4.   Universiti ditubuh untuk membekalkan pelajaran dan
  pengetahuan kepada mereka yang layak supaya dapat dinaikkan
  mereka ke aras yang lebih tinggi dalam masyarakat  atau
   `upward mobility'.  Sebelum adanya universiti kecekapan
  diperolehi   melalui   latihan   dengan   pakar    atau
  `apprenticeship' dalam sesuatu bidang.   Biasanya  pula
  sesuatu kecekapan diperturunkan kepada anak dan anak kepada
  anak.  Dengan itu seseorang tidak dapat melepaskan diri
  daripada tahap kemahirannya dan kekal di asas itu.  Tetapi
  universiti membuka peluang tanpa mengambil kira keluarga,
  kelas atau bidang kecekapan.  Dengan ini `upward mobility'
  ataupun peningkatan daripada segi kelas atau aras terbuka
  kepada semua yang berkebolehan dan berminat.
  
  5.   Bantuan pula diadakan supaya mereka yang kurang mampu
  mendapat pinjaman atau biasiswa.  Mereka yang membayar yuran
  juga mendapat bantuan secara tidak langsung kerana jumlah
  yuran yang dipungut tidak mungkin membiayai penubuhan dan
  pengurusan universiti.  Universiti swasta juga terpaksa
  dibiayai daripada punca yang lain daripada yuran.
  
  6.   Semua ini sanggup dikorbankan oleh masyarakat demi masa
   depan negara dan penduduknya.  Tanpa kesanggupan ini maka
  negara tidak akan dapat dimajukan.  Dan bermacam-macamlah
  nasib buruk yang akan menimpa negara dan rakyatnya.  Di
  zaman teknologi maklumat, bangsa yang kurang berpelajaran
  tidak mungkin maju dan bahagia.
  
  7.   Kita kadang-kadang mendengar berkenaan siswazah yang
  menganggur.  Di masa yang sama kita kerap mendengar tentang
  kekosongan peluang kerja dan jawatan yang tidak dapat diisi.
  Ini berlaku kerana terdapat `mismatch' antara bidang yang
  dipilih untuk dipelajari dengan keperluan kepakaran yang
  perlu diisi.
  
  8.   Sementara tiap pelajar mempunyai minatnya dan perlu
  diberi peluang untuk mempelajari bidang yang diminatinya
  tetapi pelajar juga perlu mengambil kira tentang keperluan
  negara  terhadap  pekerjaan dan  kecekapan  yang  boleh
  menyumbang kepada pembangunan negara.  Jika antara  dua
  keperluan  ini tidak ada persamaan maka akan berlakulah
  peristiwa siswazah yang menganggur.
  
  9.   Mungkin ramai daripada pelajar yang berpendapat bahawa
   mereka tidak mungkin menguasai ilmu dalam  bidang  yang
  mereka tidak minati.  Tetapi ini tidak benar.  Di zaman
  sebelum  sains dan teknologi berkembang, minat  pelajar
  kesemuanya adalah untuk mempelajari sastera.  Mereka yang
  mendapat ijazah sastera dianggap layak untuk membuat apa
  sahaja daripada menjadi pentadbir sehinggalah mengepalai
  angkatan tentera.  Tetapi apabila pengkhususan dibuat dan
  ilmu yang lebih spesifik dan tepat dengan tugas yang akan
  dipertanggungjawabkan diperkenalkan, mereka yang percaya
  minat mereka hanyalah dengan sastera apabila memilih bidang
  baru  yang khusus dan sesuai dengan pekerjaan yang akan
  dibuat  mendapati  mereka mampu  menguasainya.   Mereka
  mendapati kebolehan mereka begitu tinggi sehingga tercapai
  ijazah yang cemerlang dan mereka dapat menjalankan tugas
  mereka dengan cekap dan berkesan.  Dakwaan kononnya bangsa-
  bangsa tertentu hanya mampu menguasai ilmu tertentu sahaja
  adalah tidak benar.  Siapa sahaja boleh menguasai apa sahaja
   ilmu  jika ianya tekun berusaha mempelajarinya.   Hanya
  sebilangan yang kecil sahaja yang mempunyai bakat semulajadi
  yang tidak boleh dipinda atau diperbaiki.
  
  10.   Sebelum daripada ini kita tidak pernah  mendengar
  berkenaan dengan teknologi maklumat.  Tentulah tidak ada
  sesiapa yang cekap dan berminat dengan sesuatu ilmu yang
  belum ada dan tidakpun dijangka.  Tetapi hari ini sudah ada
  teknologi  ini  dan ia akan menguasai segala-gala  yang
  diusahakan oleh kita.  Dengan itu disiplin baru ini dapat
  diperkenalkan dalam institusi pelajaran dan ramai mendapati
  mereka  mampu  menguasainya dan  mencapai kecemerlangan
  dalamnya.  Demikianlah ilmu.  Sepanjang masa ilmu yang baru
  akan diterokai, dipelajari dan dikuasai  oleh mereka yang
  sanggup tekun mempelajarinya.
  
  11.  Mungkin ramai juga daripada kita kurang yakin yang kita
  akan dapat menguasai teknologi maklumat ini.  Mereka yang
  percaya akan kebolehan mereka tentulah sudah ada di sini.
  Tetapi kita perlu ramai yang cekap dalam bidang teknologi
   ini.  Bagi mereka yang kurang yakin, sesuatu yang mereka
  perlu ingat ialah apa juga kecekapan boleh  diperolehi  jika
  ada kesanggupan untuk berusaha dan tekun mengulangi sesuatu
  berkali-kali tanpa jemu.  Insya-Allah akhirnya apa sahaja
  kecekapan dan ilmu akan dapat dikuasai juga.  Ini adalah
  naluri manusia yang dijadikan oleh Allah S.W.T.
  
  12.   Jika ramai daripada rakyat Malaysia yang  terdiri
  daripada pelbagai kaum memiliki kecekapan dalam teknologi
  maklumat  maka kita akan mampu menangani cabaran  zaman
  globalisasi, E-dagang dan K-ekonomi dan apa sahaja yang
  dicipta  susulan  kepada  kemudahan  berkomunikasi  dan
  perkembangan maklumat melalui telefon, komputer, internet
  dan lain-lain.
  
  13.  Ilmu yang perlu dikuasai oleh kita terbahagi kepada
  tiga:
  
  i)   Ilmu berkenaan dengan `hardware' (perkakasan);
  ii)  Ilmu berkenaan dengan `software' (perisian); dan
  iii) Ilmu berkenaan dengan aplikasi maklumat yang terdedah
       kepada kita.
  
  14.  Kebanyakan daripada kita lebih cekap mengguna alatan
   yang dicipta dan dikeluarkan oleh orang lain.  Kita semua
  tahu memandu kereta umpamanya.  Tidak semua daripada kita
  perlu  tahu bagaimana membuat kereta.  Tetapi kebolehan
  membuat kereta adalah sesuatu yang penting bagi kecekapan
  dalam bidang kejuruteraan dan dengan itu kebolehan ini perlu
  ada antara sebilangan daripada kita.
  
  15.  Demikian jugalah dengan teknologi maklumat.  Perlu ada
  antara kita yang boleh mencipta dan mengeluarkan `hardware'
  untuk teknologi maklumat.  Juga perlu ada mereka yang cekap
  dalam bidang `software'.  Bagi majoriti kita kecekapan yang
  diperlukan ialah kebolehan `access' kepada dan aplikasi
  maklumat  yang berada dalam alat-alat yang  membekalkan
  maklumat ini.
  
  16.  Universiti Tenaga Nasional dipersetujui oleh Kerajaan
  kerana kita memerlukan ramai jurutera dalam bidang tenaga.
  Keperluan untuk tenaga di Malaysia sedang meningkat dengan
  pesatnya susulan kepada pertumbuhan ekonomi.  Kepakaran kita
  dalam bidang tenaga adalah penting.  Kepakaran diperlukan
   dalam bidang pembangunan sehingga kepada pengedaran dan
  penyelenggaraannya.  Walaupun hampir  seluruh  Malaysia
  mendapat bekalan elektrik, tetapi penggunaannya belum sampai
  ke tahap negara maju.  Kita ingin lihat negara kita lebih
  terang benderang dan kemudahan alatan elektrik dinikmati
  oleh  lebih ramai rakyat Malaysia.  Sebab itu  bilangan
  jurutera dalam bidang tenaga perlu ditingkatkan.
  
  17.   Tetapi  walaupun ini adalah matlamat  yang  utama
  Universiti  Tenaga Nasional, dengan perkembangan  dalam
  teknologi  yang berkait rapat dengan tenaga,  disiplin-
  disiplin yang lain hendaklah diadakan dalam Universiti ini.
  Sudah tentu teknologi maklumat adalah antara disiplin yang
  perlu diberi tumpuan dan pelajar daripada semua disiplin
  lain juga mendapat pengajaran dalam bidang yang penting ini.
  
  18.  Universiti di Malaysia hendaklah bertaraf dunia.  Untuk
  ini  ikatan dengan universiti lain dari dalam dan  luar
  Malaysia perlu diadakan.  Pemeriksaan oleh tenaga pengajar
   asing boleh menolong menilaikan tahap dan taraf ijazah yang
  dikeluarkan oleh universiti kita.  Saya harap Universiti
  Tenaga Nasional akan menggunakan pendekatan ini supaya ia
  kekal  sebagai  `world-class university' dan  ijazahnya
  diterima di mana-mana sahaja di dunia.  Di masa yang sama
  pelajar dari negara lain akan datang untuk menuntut  di
  Uniten.  Kerajaan memang menggalak penerimaan pelajar dari
  luar  negara untuk belajar di sini.  Kita akan mendapat
  banyak manfaat jika pelajar kita didedahkan kepada pelajar
  asing.
  
  19.   Ilmu  bermakna kuasa.  Mereka yang berilmu  tetap
  memiliki kuasa dalam mana-mana masyarakat.  Mungkin di zaman
  dahulu di waktu mana tidak ramai yang memiliki ilmu, ia
  memberi  kuasa yang lebih.  Tetapi di zaman  `universal
  education' ini juga mereka yang berilmu memiliki lebih kuasa
  daripada mereka  yang tidak berilmu.
  
  20.   Seorang  tokoh Barat berkata `Power corrupts  and
  absolute  power corrupts absolutely.'  Kerajaan  adalah
   pemilik kuasa tetapi Kerajaan dalam negara demokratik tidak
  memiliki kuasa secara berterusan.  Tiap lima tahun kuasa
  terpaksa dikembalikan kepada rakyat dan rakyat akan guna
  kuasa  itu untuk menentukan sama ada kuasa dikembalikan
  kepada pihak yang berkuasa sebelumnya atau pihak lain.  Dan
  semasa rakyat memiliki kuasa membuat demikian rakyat juga
  terdedah kepada kemungkinan korupsi.
  
  21.  Siapa juga yang akan memiliki kuasa perlu disedarkan
  akan tanggungjawabnya dan betapa pentingnya kuasa tidak
  disalahgunakan.  Sebab itu sementara ilmu dipindahkan kepada
  pelajar, etika juga perlu diberi tekanan.  Jika tidak segala
  ilmu yang diperolehi akan disalahguna dan akan memburukkan
  diri dan masyarakat.
  
  22.  Saya percaya Universiti Tenaga Nasional, seperti juga
  institusi pendidikan tinggi yang lain akan memberi penekanan
  yang  sewajarnya terhadap penyemaian etika kejuruteraan
  supaya tidak akan berlaku sesuatu yang tidak diingini kerana
  kecuaian dalam mempergunakan ilmu yang diperolehi di sini.
   
  23.  Dengan lafaz Bismillahir rahmannir rahim, saya dengan
  sukacitanya merasmikan Universiti Tenaga Nasional.
  
  
 

 



 
Google