Oleh/By		:	DATO' SERI DR. 
			MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN 
			PUTRAJAYA 1, PUTRAJAYA 
Tarikh/Date 	: 	22/07/2000 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT AGUNG 
			PERWAKILAN PUSPANITA KE-18 




   
   Saya  bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana
   dengan izin-Nya saya dapat hadir bersama-sama puan-puan
   dan  tuan-tuan pagi ini.  Saya mengucapkan terima kasih
   kepada  PUSPANITA yang telah sudi menjemput saya  untuk
   merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan PUSPANITA Yang Ke-
   18 pada hari ini.
   
   2.     Saya   telah  mengikuti  perkembangan  PUSPANITA
   setakat  ini dan berbangga dengan pencapaian  PUSPANITA
   yang  kini  mempunyai seramai 47,995  orang  ahli  dari
   seluruh   Malaysia.   PUSPANITA  juga   telah   berjaya
   mewujudkan  sebanyak  141 buah  cawangan  di  peringkat
   Kementerian,  negeri  dan daerah.  Ahli-ahli  PUSPANITA
    boleh  berbangga kerana mempunyai persatuan yang  kukuh
   dan cergas yang diiktiraf dan dibantu oleh Kerajaan.
   
   3.     Sebagai   persatuan  wanita,   PUSPANITA   tentu
   mengikuti perbahasan tentang hak wanita yang telah lama
   diperjuangkan.  Hanya pada awal abad ke-20 wanita  baru
   diberi hak mengundi tetapi peranan dan hak mereka dalam
   bidang  politik seperti juga dengan bidang  sosial  dan
   ekonomi  terus dihalang.  Apabila tamat abad ke-20  hak
   wanita  di  negara-negara maju sudah  sama  dengan  hak
   lelaki  sehingga apa sahaja yang boleh  dilakukan  oleh
   lelaki boleh dilakukan oleh wanita.
   
   4.    Kita  tentu  menerima baik agihan hak  yang  sama
   antara  wanita  dan  lelaki.   Kita  tidak  suka  `male
   chauvanism' atau apa-apa jenis diskriminasi  di  antara
   lelaki  dengan wanita.  Tetapi hakikatnya  ialah  Tuhan
   menjadikan makhluknya berpasangan, lelaki dan perempuan
   yang  mempunyai sifat-sifat tertentu yang berbeza-beza.
   Sifat-sifat ini memberi kekuatan dan kelemahan tertentu
    kepada   kedua-dua  jantina  atau  seks.   Kita   tidak
   memerlukan  sifat-sifat  yang  berbeza  ini  dihapuskan
   sepenuhnya kerana mengejar persamaan.
   
   5.    Kita  dapati  di Barat penentuan persamaan  sudah
   sampai  kepada tahap yang merosakkan moral  masyarakat.
   Mengikut   naluri   manusia  lelaki  berkahwin   dengan
   perempuan dan mendirikan rumahtangga.  Kerana  pendapat
   bahawa  tidak  ada  perbezaan di antara  lelaki  dengan
   perempuan,  maka  perkahwinan antara  perempuan  dengan
   perempuan juga boleh dilakukan.  Jika anak tidak  dapat
   dihasilkan  kerana percanggahan biologikal, maka  cara-
   cara luar nikah diizinkan.
   
   6.   Kerana terlalu mengejar persamaan, maka keruntuhan
   akhlak dan masyarakat sumbang telah dihasilkan.  Lelaki
   juga melakukan perbuatan sumbang ini.  Sekarang segala-
   galanya  boleh  dilakukan secara  terbuka  tanpa  segan
   silu.
   
   7.   Kita di Malaysia ingin melihat wanita mendapat hak
   yang  sama tetapi kita perlu akui ada sifat-sifat  yang
    berbeza  antara  lelaki  dan  perempuan  yang  menyekat
   persamaan  secara  total.  Seperti  juga  lelaki  tidak
   harus  berlagak sebagai perempuan, perempuan juga tidak
   harus  berlagak sebagai lelaki.  Perbezaan  sifat-sifat
   ini  adalah perkara semulajadi dan tidak menidakkan hak
   lelaki atau perempuan.
   
   8.    Yang  penting  bagi  kita di  Asia  ialah  wanita
   mendapat  layanan  yang sama dalam masyarakat  daripada
   segi hak dan peluang dalam bidang pendidikan, pekerjaan
   yang  sesuai  dengan sifat semulajadi, keadilan,  taraf
   dan tempat dalam masyarakat serta lain-lain.
   
   9.    Pendapat  kuno  bahawa wanita  adalah  hak  milik
   lelaki  sama seperti harta benda lain memang pun  tidak
   secocok  dengan  persamaan  hak  antara  lelaki  dengan
   wanita.   Pendapat bahawa wanita hanya  diadakan  untuk
   memuaskan  nafsu  lelaki  hanya mencerminkan  pandangan
   sempit  kaum lelaki.  Nafsu bukan untuk hiburan  tetapi
   untuk  mengekalkan makhluk yang dijadikan  oleh  Tuhan.
    Kita   lihat  kerana  persamaan  antara  lelaki  dengan
   perempuan  memberi kebebasan yang tidak  terhad  kepada
   kedua-dua  jantina,  masyarakat  Barat  telah   menjadi
   masyarakat  hedonis iaitu masyarakat yang  hanya  asyik
   mengejar   keseronokan   dan   kepuasan   nafsu   tanpa
   tanggungjawab  kekeluargaan.  Manusia seharusnya  tidak
   begitu  kerana  itu  menghapuskan perbezaan  di  antara
   manusia dengan haiwan.
   
   10.   Di  Malaysia kita menuntut perseimbangan hak  dan
   keadilan di antara lelaki dan perempuan bukan persamaan
   tanpa   batasan  antara  mereka.   Wanita  akan   terus
   bersifat wanita dan lelaki bersifat lelaki seperti yang
   dijadikan  oleh  Tuhan.   Tetapi  kita  tidak  menerima
   pandangan  bahawa wanita adalah puak yang  terhina  dan
   tidak  mempunyai  hak yang sama seperti  lelaki.   Kita
   tidak  ingin  melihat wanita ditindas  kerana  kononnya
   Tuhan  menjadikan mereka puak yang terhina.   Di  zaman
   jahiliah memanglah benar perempuan dianggap begitu hina
    sehingga  anak  perempuan di tanam hidup-hidup.   Islam
   melarang  amalan  yang  tidak  berperikemanusiaan  ini.
   Islam  memberi  tempat  tertentu  kepada  kaum  wanita.
   Tetapi  ada  antara kita yang ingin  kembali  ke  zaman
   jahiliah  dengan  menindas  dan  menidakkan   hak   dan
   keadilan kepada wanita.  Dengan itu berlakulah  layanan
   yang  jelas tidak adil kepada wanita di zaman ini.   Di
   negara-negara tertentu kerana kononnya bertanggungjawab
   memelihara  dan  menebus  maruah  keluarga,  ada   yang
   membunuh adik atau kakak kerana melakukan perkara  yang
   dikatakan  memalukan.  Yang anehnya apabila abang  atau
   adik  lelaki  memalukan  keluarga,  tidak  ada  apa-apa
   tindakan yang diambil, bahkan ada antara golongan  yang
   terpelajar  dalam bidang agama yang mendakwa  kesalahan
   lelaki perlu disembunyikan.
   
   11.    Agama  Islam  ialah  agama  yang  adil.   Maruah
   keluarga   bukanlah  sesuatu  yang  melebihi  keadilan.
   Ketidakadilan  yang  dilakukan  kepada   wanita   tidak
    mempunyai  asas  agama.   Ia  berpunca  daripada  salah
   tafsiran ajaran Islam oleh lelaki dalam masyarakat yang
   dikongkong oleh lelaki yang percaya jenayah  yang  sama
   yang dilakukan oleh mereka tidak salah.
   
   12.   Di  Malaysia  kaum  wanita perlu  berjuang  untuk
   keadilan dan pertimbangan yang waras bagi wanita, bukan
   untuk  menjadikan wanita itu lelaki sehingga  keburukan
   yang  dilakukan oleh lelaki sepatutnya dihalalkan  bagi
   wanita  juga.   Budaya  kita dan kesopanan  kita  perlu
   dipertahankan  kerana  tidak ada  yang  memalukan  kita
   walaupun budaya kita berbeza daripada budaya Barat yang
   dianggap oleh mereka sebagai sejagat atau `universal'.
   
   13.   Oleh  kerana pegangan kita kepada budaya  kitalah
   yang  isteri-isteri  kepada semua pegawai  dalam  semua
   perkhidmatan  Kerajaan  mengadakan  badan-badan   amal.
   Badan-badan   ini  bukan  terhad  kepada  menjaga   dan
   memperjuangkan  hak  isteri-isteri.   Badan-badan  amal
   isteri  di Malaysia adalah badan kebajikan yang menjaga
    kebajikan keluarga dan masyarakat umum.  Ia amat sesuai
   dengan  konsep  masyarakat prihatin yang  menjadi  satu
   daripada matlamat kita.
   
   14.   Dalam  pada itu terdapat juga keperluan  menolong
   suami  dalam  menjayakan perkhidmatannya dalam  perkara
   tertentu.   Demikian apabila tetamu  dari  luar  negeri
   melawat  bersama  isteri mereka,  maka  isteri  pegawai
   tempatan  dapat  memberi layanan kepada isteri  tetamu.
   Biasanya apabila pegawai kita membuat lawatan  ke  luar
   negeri  bersama isteri, layanan yang sama  diberi  oleh
   isteri pegawai yang menjadi tuan rumah.
   
   15.   Tentulah kita akan mendapat imej yang buruk  jika
   kita  dilayan  di  negara  lain  sementara  kita  tidak
   memberi  layanan  kepada  isteri  tetamu  yang  melawat
   negara kita.
   
   16.   Isteri tidak dibayar gaji atau apa-apa upah untuk
   memberi  layanan  ini.  Tetapi saya percaya  tiap  satu
   kebaikan yang kita lakukan akan ada balasannya.
   
   17.   Di zaman materialis ini ramai daripada kita  yang
    suka   bertanya  apa  yang  kita  dapat  apabila   kita
   menyumbangkan  sesuatu.  Sebenarnya tiap kebaikan  yang
   kita  lakukan  ada  balasannya  walaupun  tidak  secara
   langsung.   Jika  kita memberi perkhidmatan  yang  baik
   sehingga lebih daripada yang dikehendaki daripada kita,
   negara tetap akan maju dan tumbuh dengan pesat.  Negara
   yang  maju  dapat  menyediakan banyak kemudahan  kepada
   kita.   Di Malaysia kemajuan yang dicapai kerana rakyat
   cintakan  keamanan  dan  tidak  suka  huru-hara   telah
   memberi   kualiti  hidup  yang  tinggi   kepada   kita.
   Sebaliknya   jika  huru-hara  sering   berlaku   segala
   pendapatan  Kerajaan perlu dibelanjakan untuk  mengawal
   keselamatan  dan  keamanan.  Pihak  swasta  juga  perlu
   belanja  wang  untuk  keselamatan.   Kita  juga   perlu
   menjaga keselamatan kita.
   
   18.   Semua  ini  akan  mengalihkan  perbelanjaan  kita
   daripada kesejahteraan hidup kepada perlindungan  diri.
   Segala kos sara hidup akan meningkat kerana semua pihak
    perlu menghabiskan sebahagian daripada pendapatan untuk
   keselamatan dengan menaikkan segala harga.
   
   19.   Dalam negara yang aman dan selamat di mana  tidak
   semua  daripada perkhidmatan yang diberi mesti  dibalas
   dengan  upahan, kos sara hidup tetap rendah dan kualiti
   hidup pula lebih baik.
   
   20.   PUSPANITA  yang ditubuhkan untuk  menggemblengkan
   tenaga  isteri dalam kegiatan sukarela secara  langsung
   meringan  dan  meningkatkan  kualiti  hidup  ahli   dan
   keluarga  serta masyarakat.   Kita tidak dapat  menilai
   kebaikan  dan  hasil daripada PUSPANITA melainkan  jika
   kita  bubarkan badan ini.  Pada ketika itu barulah kita
   akan    sedar   terhadap   khidmatnya   dan    hubungan
   silaturrahim yang terjalin daripadanya.
   
   21.  Pada kebiasaannya kemajuan badan seperti PUSPANITA
   banyak  bergantung  kepada  kepimpinan.   Alhamdulillah
   sejak  ianya  ditubuhkan, PUSPANITA  telah  memperolehi
   kepimpinan  yang  baik  yang terdiri  daripada  isteri-
    isteri  pegawai yang diketuai oleh isteri kepada  Ketua
   Setiausaha Negara.
   
   22.   Saya  percaya dalam usaha untuk menjadikan  ahli-
   ahli  lebih  aktif  dan lebih dihormati,  lebih  banyak
   latihan  perlu  diberi  untuk membentuk  peribadi  yang
   sesuai   dengan  tugas  dan  kedudukan  isteri  pegawai
   Kerajaan dalam masyarakat.  Seperti juga dengan pegawai-
   pegawai   dan   kakitangan  Kerajaan  yang  dikehendaki
   menerap  nilai-nilai Islam dan nilai-nilai  moral  yang
   tinggi, isteri-isteri pegawai juga perlu menerap nilai-
   nilai yang sama.  Di sini isteri-isteri perlu tahu akan
   maksud  menerap nilai-nilai Islam.  Kita ingin  melihat
   segala  nilai  yang  mulia seperti amanah,  keikhlasan,
   berpegang    kepada    janji    dan    ikrar,    jujur,
   bertanggungjawab dan nilai-nilai lain yang  mulia  yang
   diajar   oleh   agama  Islam,  diterima,  diserap   dan
   diamalkan  oleh  isteri pegawai  sama  seperti  pegawai
   juga.
   
   23.  Sementara kita tidak boleh lupa akan ibadat-ibadat
    tertentu yang termasuk dalam fardu `ain yang kita semua
   mesti  amalkan, kita tidak boleh lupa bahawa  pelajaran
   fardu   `ain  semata-mata  bukanlah  matlamat   tunggal
   penerapan nilai-nilai Islam.  Segala kebaikan yang kita
   buat   untuk  kebaikan  masyarakat  kita  juga   adalah
   sebahagian  daripada  ibadat dalam  Islam.   Tidak  ada
   kebaikan yang kita buat yang tidak disuruh atau ditegah
   oleh agama Islam dan agama lain juga.  Sebaliknya tidak
   ada  keburukan yang disuruh atau diizinkan  oleh  agama
   Islam.
   
   24.  Di sini ahli-ahli PUSPANITA hendaklah berhati-hati
   dengan  pendapat yang dibawa oleh orang-orang  tertentu
   yang  suka  menyalahtafsirkan agama  untuk  menimbulkan
   kebencian  kepada orang lain terutama  kepada  Kerajaan
   dan pemimpin-pemimpin Kerajaan.  Dengan membuat dakwaan-
   dakwaan  tertentu  mereka  ini  akan  cuba  menyemaikan
   perasaan  kebencian  dalam  hati  kita  sehingga   kita
   menerima  dan  mengizinkan  perbuatan  yang  salah  dan
    berdosa.
   
   25.   Baru-baru ini telah berlaku peristiwa  penyeksaan
   dan  pembunuhan oleh satu kumpulan yang kononnya  ingin
   menghayati ajaran Islam.  Dengan membakar hati pengikut
   kumpulan ini melalui berbagai-bagai tafsiran agama yang
   salah, mereka berjaya mengheret ahli-ahli mereka  untuk
   melakukan  perbuatan yang ditegah oleh agama Islam  itu
   sendiri.
   
   26.   Perasaan kebencian kepada pihak-pihak  lain  akan
   menyebabkan  kita hilang akal dan maruah  tanpa  sebab.
   Semakin  lama  semakin kuat perasaan kebencian.   Sebab
   perasaan  kebencian ini,  kebenaran dan keadilan  sudah
   menjadi tidak penting lagi.
   
   27.  Di zaman jahiliah dahulu perasaan kebencian antara
   kabilah-kabilah  Arab  memang dipupuk  daripada  kecil.
   Kabilah  musuh  sudah tidak ternampak  sebagai  manusia
   biasa.    Ahli-ahli   kabilah  begitu   taksub   kepada
   kabilahnya sehingga jenayah sanggup dilakukan atas nama
   kepentingan  dan  kesetiaan  kepada  kabilah   sendiri.
    Mereka  inilah  yang  dikenali sebagai  puak  Assabiah.
   Kerana  ketaksuban  inilah maka Arab  Jahiliah  menjadi
   bangsa yang mundur dan lemah.
   
   28.   Hari  ini  ramai orang Islam yang kembali  kepada
   amalan  jahiliah yang mengutamakan puak lebih  daripada
   ummah.   Di  Malaysia  juga  kita  dapati  ramai   yang
   menggunakan   kebencian  untuk  menjayakan   perjuangan
   mereka.   Lambat laun kebencian ini akan  meningkat  ke
   tahap yang kita lihat baru-baru ini dengan kumpulan Al-
   Ma'unah.    Agama   di  salahtafsirkan   untuk   tujuan
   menimbulkan kemarahan dan kebencian kepada Kerajaan dan
   orang-orang  bukan  Islam.   Akhirnya  tindakan   ganas
   diambil  sehingga sanggup menyeksa dan membunuh  secara
   kejam  kerana benci dan berlainan agama.  Manusia biasa
   yang  bukan  penjenayah boleh menjadi  pembunuh  kerana
   menerima hasutan melalui syarahan-syarahan oleh  orang-
   orang yang berkepentingan.
   
   29.  PUSPANITA mungkin menjemput pensyarah agama dengan
    niat  meningkatkan  pengetahuan  agama.   Kadang-kadang
   pensyarah-pensyarah  ini  mengambil  kesempatan   untuk
   menjayakan    kepentingan   tertentu   mereka    dengan
   membangkitkan kemarahan dan kebencian kepada  Kerajaan.
   Mereka akan menuduh Kerajaan sebagai tidak Islam kerana
   berbagai   sebab.    Kerajaan   akan   dituduh    tidak
   menguatkuasakan hukum hudud di negara ini,  seolah-olah
   ini  menjadikan negara Islam.  Bahawa kebanyakan negara
   OIC  termasuk  yang dikenali sebagai  "Republik  Islam"
   juga  tidak  mengamalkan hukum hudud tidak diambilkira.
   Malaysia  dan Kerajaan Malaysia ditakrif oleh puak  ini
   sebagai   tidak  Islam  dan  percubaan   dibuat   untuk
   menjatuhkan Kerajaan.
   
   30.    Syarahan-syarahan  yang  membangkitkan  perasaan
   marah  dan  benci  kepada Kerajaan amat  merbahaya  dan
   PUSPANITA  tidak harus memberi peluang kepada pensyarah
   agama  seperti  ini.   Sebaliknya  PUSPANITA  hendaklah
   mempelajari  agama  Islam  yang  sebenar  seperti  yang
    terdapat dalam Al-Quran dan Hadis yang sahih yang  mana
   pencetusan  huru-hara dan tidak setia kepada  ulul-amri
   adalah ditegah.
   
   31.   Insya-Allah dengan pengetahuan agama  dan  nilai-
   nilai  murni pergerakan PUSPANITA akan dapat menyumbang
   kepada pembangunan negara dan pembangunan diri sendiri.
   
   32.   Akhir kata saya ucapkan selamat maju jaya  kepada
   PUSPANITA.
   
   33.   Dengan  lafaz  Bismillahir rahmanir  rahim,  saya
   dengan    sukacitanya   merasmikan   Mesyuarat    Agung
   Perwakilan PUSPANITA Yang Ke-18 ini.
   

 




 
Google