Oleh/By		:	DATO' SERI DR. 
			MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	KOMPLEKS SUKAN NEGARA, 
			BUKIT JALIL, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	22/07/2000 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN MALAYSIA 
			AGRICULTURE HORTICULTURE AND
			AGROTOURISM SHOW (MAHA) 2000 






            Terlebih   dahulu  saya ucapkan  terima  kasih
  kepada Kementerian  Pertanian  kerana  menjemput    saya
  untuk  merasmikan   Malaysia   Agriculture  Horticulture
  and Agrotourism Show (MAHA) 2000 pada hari ini.
  
      2.    Program MAHA ini telah dihidupkan semula  pada
  tahun  1999 setelah lebih 31 tahun diberhentikan.   Oleh
  kerana  MAHA `99 telah berjaya dan mendapat sambutan  di
  luar  jangkaan,  Kerajaan  memutuskan  supaya  MAHA  ini
  dianjurkan  sebagai acara tahunan kerana  banyak  faedah
  yang  kita  boleh  perolehi  apabila  diadakan  pameran-
  pameran  seperti  ini.  Hari ini juga adalah  hari  yang
   dikhususkan  bagi petani, penternak dan  nelayan,  iaitu
  hari  yang disambut untuk menghargai sumbangan tuan-tuan
  dan  puan-puan  kepada pembangunan sektor pertanian  dan
  negara.
  
      3.    Malaysia terkenal dengan dasar-dasar  modennya
  seperti  Wawasan  2020 untuk menjadikan Malaysia  negara
  maju,  dengan Koridor Raya Multimedia yang sesuai dengan
  perkembangan  pesat teknologi komunikasi  dan  maklumat,
  dengan  industri  berasas elektronik dan  dengan  projek
  angkasa  lepas.   Tetapi  walaupun  industri  moden  ini
  penting, untuk hidup kita masih memerlukan makanan.  Dan
  makanan  bermakna  pertanian.  Sebab  itu  wawasan  kita
  yang   terbaru  ialah  untuk  menjadikan   negara   kita
  pengeluar  secara  yang tercanggih dan  termoden  bahan-
  bahan  makanan  untuk keperluan negara  dan  juga  untuk
  eksport.
  
      4.    Malaysia tidak pernah menjadi negara pertanian
  dalam  ertikata  yang  sebenar,  walaupun  sebelum  kita
  menjadikan  negara ini pengeluar barangan buatan  secara
   besar-besaran.   Sebelum  negara   kita  melalui  proses
  industrialisasi, kita pernah mengeluarkan sedikit  kopi,
  teh,  cengkih dan gula.   Kita mengeluarkan  juga  beras
  dan  getah secara besar-besaran dan sistematik.   Tetapi
  getah  bukanlah bahan makanan.   pengeluaran  ikan  laut
  pun tidak menjadi industri yang besar.
  
       5.     Apabila  kita  berhasrat  untuk   menjadikan
  Malaysia  negara  pertanian sebagai wawasan  baru  kita,
  maksud  kita  ialah supaya pengeluaran  hasil  pertanian
  hendaklah di buat secara tersusun, terancang dan  besar-
  besaran.  Kelemahan kita dalam bidang pertanian  makanan
  ialah   kerana  kita  mengusahakannya  secara   sambilan
  dengan  kawasan  atau  tanah yang  kecil,  kadang-kadang
  tidak  pun mencukupi untuk membekalkan keperluan makanan
  bagi  diri  kita sendiri.  Tanah kita dibahagi-bahagikan
  kepada  ramai tuan punya yang mendapat lot  yang  kecil-
  kecil   yang   hanya   boleh  diusaha   sendiri   dengan
  menggunakan  cangkul  dan  tenggala  yang  ditarik  oleh
   kerbau.   Dengan ini petani kekal sebagai golongan  yang
  termiskin di negara kita.
  
      6.    Tetapi  di  zaman sebelum perindustrian,  kita
  menganggap  tanah  sebagai  sumber  kekayaan  dan   kita
  begitu  menghargai pemilikan tanah.   Tidak  ada  sumber
  kekayaan  yang  lain  yang  dipercayai  sebagai   sumber
  kekayaan.   Penghargaan   kepada  pemilikan  tanah   ini
  mengongkong  pemikiran kita sehingga kita  tidak   dapat
  menerima  sumber-sumber lain.   Kita   lebih  menghargai
  pemilikan   tanah  daripada  pemilikan   kekayaan   yang
  sebenar.
  
       7.     Kita  lihat  tanah  sebagai  punca  kekayaan
  pertanian dan tidak lebih daripada itu.  Malangnya  kita
  tidak   menggunakan  tanah  secara  yang   terbaik   dan
  mengeluarkan  hasil  yang terbesar mungkin.   Pendekatan
  kita  terhadap pertanian tidak berubah dan  kita  sering
  menentang cara-cara baru yang diperkenalkan.
  
       8.     Sikap   terlalu   menghargai   tanah   tanpa
  mengambilkira  hasil  perlu  dikikis  jika  kita   ingin
   memajukan pertanian sebagai sumber kekayaan.  Kita  tahu
  perusahaan ladang getah atau kelapa sawit boleh  memberi
  pulangan  yang  lumayan  bukan  kerana  pemilikan  tanah
  secara  langsung  tetapi kerana  pemilikan  saham  dalam
  syarikat  perladangan.  Kerapkali pelabur  tidak  pernah
  melihat  ladang  mereka,  bahkan  tidak  tahu  di   mana
  tempatnya  ladang  itu yang diurus  sebagai  estet  oleh
  pengurusan  yang profesional.  Hakmilik  ke  atas  tanah
  tidak  begitu penting berbanding dengan pemilikan  saham
  syarikat  perladangan yang boleh meningkat nilainya  dan
  diniagakan.
  
      9.    Kerajaan  telah memperkenalkan  FELDA  sebagai
  satu  cara  untuk membolehkan pemilik ladang yang  kecil
  mendapat  manfaat daripada sistem pengurusan estet  yang
  besar.   Kita  telah mendapat hasil yang  baik  daripada
  pendekatan   ini.    Tetapi   peladang   masih   terlalu
  menghargai  tanah lebih daripada saham.  Pendekatan  ala
  Felda  tidak  begitu digemari kerana tanah  tidak  dapat
   dijual beli dengan sewenang-wenangnya.
  
      10.   Saham seperti kita semua tahu boleh  meningkat
  harga  dan boleh diniaga.  Pembelian saham dalam pasaran
  saham  adalah  lebih  mudah  daripada  pembelian  tanah.
  Justeru  itu apabila tanah sudah dijual maka kita  tidak
  dapat  membeli balik tanah berkenaan.  Tetapi agak mudah
  bagi kita membeli balik saham.
  
      11.   Malaysia sudah maju dan sumber kekayaan  bukan
  hanya  tanah  tetapi  juga anika  jenis  perniagaan  dan
  perusahaan  yang  boleh dimiliki  secara  langsung  atau
  melalui  saham.   Mereka  yang memiliki  saham  biasanya
  lebih   kaya   dan  berharta  daripada  pemilik   tanah,
  terutama  tanah  yang tidak diusahakan secara  komersil.
  Masa  sudah tiba bagi menarik rakyat Malaysia, khususnya
  Bumiputera  menggugurkan pendapat  bahawa  tanah  adalah
  punca  kekayaan  dan pemilikan tanah  bermakna  berharta
  kekayaan.  Sebenarnya kecekapan berniaga, mengurus,  dan
  memiliki saham lebih bermakna daripada pemilikan tanah.
   
      12.   Jika  sikap yang lama dapat dikikis maka  kita
  akan  dapat  mengadakan pertanian sebagai industri  yang
  diurus dengan cara- cara perniagaan moden dan canggih.
  
      13.   Kita dapati di negara yang maju keluasan tanah
  bukan  penentu  hasil  yang tinggi  daripada  pertanian.
  Yang   menentukan   ialah   kecekapan   pengurusan   dan
  teknologi   yang  tinggi. Sekeping tanah di negara  maju
  mengeluarkan  hasil berpuluh kali ganda  lebih  daripada
  tanah  yang sama luasnya di negara kita. Tenaga  manusia
  yang digunakan oleh mereka juga amat kecil. Demikian  di
  sebuah  `mixed farm' (ladang campuran) di England seluas
  10  ribu  ekar,  bilangan pekerja  hanya  10  orang  dan
  jumlah keluaran bernilai berjuta Pound.  Tidaklah  salah
  jika   kita  katakan  bahawa  kita  membazirkan   sumber
  kekayaan kita.
  
      14.   Di  Malaysia  kini sebarang pembaharuan  untuk
  kebaikan  menghadapi  masalah politik.   Apabila  sahaja
  kita   cuba  memperkenalkan sesuatu yang boleh memajukan
   petani   kita umpamanya,  maka akan adalah orang politik
  yang   membuat bermacam  tuduhan  dan melemparkan fitnah
  hanya   kerana kepentingan politik.  Bahawa usaha mereka
  untuk   membangkitkan  kebencian   di   kalangan   pihak
  tertentu   akan   merugikan  pihak  itu  sendiri   tidak
  dipedulikan  sama sekali oleh mereka ini.  Yang  penting
  bagi   mereka  ialah  kebencian  kepada  Kerajaan   akan
  menguntungkan politik mereka.
  
      15.  Demikian apabila Kerajaan membelanjakan ratusan
  juta   Ringgit   untuk  Sistem  Perairan   Muda   supaya
  penanaman  padi  dapat diadakan  dua kali  setahun  bagi
  meningkatkan  hasil  dan pendapatan petani,  puak  parti
  pembangkang  mengecam  Kerajaan kerana  kononnya  hendak
  memaksa  petani  bekerja sepanjang  tahun  tanpa  rehat,
  kerana  kononnya  sawah padi juga perlu berehat,  kerana
  kain  petani tidak akan kering dan bermacam fitnah lagi.
  Hari  ini  kita  tidak lagi mendengar  cakap-cakap  yang
  tidak  bertanggungjawab  ini.   Sebaliknya  mereka  yang
   dahulu  melempar  tuduhan dan cuba  menggagalkan  Projek
  Perairan  Muda dengan senang  hati turun ke sawah  untuk
  menanam padi dua  kali setahun.
  
        16.     Saya   percaya   apabila   Kerajaan   cuba
  memperkenalkan cara- cara baru untuk meningkatkan  hasil
  pertanian dan pendapatan petani-petani di Malaysia  akan
  ada  tuduhan  yang  bukan-bukan dibuat oleh  pihak-pihak
  tertentu.  Tentu  akan ada tuduhan yang  Kerajaan  ingin
  merampas  hak  petani, menganiaya mereka  dan  bermacam-
  macam   lagi.   Tuduhan-tuduhan  ini   akan   mengganggu
  pelaksanaan   Wawasan  Pertanian.   Yang  akan   menjadi
  mangsa  nanti bukan orang lain tetapi petani yang miskin
  itu  sendiri.   Orang  lain yang  akan  mendapat  nikmat
  daripada pertanian moden yang akan diperkenalkan itu.
  
      17.  Saya menyebut perkara ini awal-awal lagi kerana
  kita  telah berkali-kali mengalami kerugian besar kerana
  politik  parti  lawan yang suka menjadikan  isu  apa-apa
  sahaja  rancangan  Kerajaan untuk memajukan  rakyat  dan
   membangunkan   negara.   Jika  tidak   kerana   gangguan
  daripada  mereka  kerana  kepentingan  politik   mereka,
  Malaysia  hari  ini  akan jauh  lebih  maju  dan  rakyat
  Malaysia  di semua peringkat akan mendapat lebih  banyak
  nikmat daripada sekarang.
  
       18.     Wawasan  Pertanian  yang  kita   rancangkan
  memerlukan  perubahan  sikap  dan  cara  pertanian  oleh
  petani-petani.  Tidak  mungkin kemajuan  dicapai  dengan
  mengekal  dan  mengulangi cara-  cara  lama  yang  sudah
  sampai ke tahap maksima hasilnya.  Ladang- ladang  kecil
  yang  digunakan secara kuno tidak  mungkin  mendatangkan
  hasil  yang  bertambah  bagi  petani.   Sebaliknya  jika
  kepingan  tanah yang kecil disatukan dan  diurus  secara
  estet  oleh  orang  yang terlatih, maka  hasil  daripada
  pertanian  akan  menjadi lebih besar dan  pemilik  tanah
  akan  mendapat pulangan yang jauh lebih banyak  daripada
  yang  biasa  didapati oleh mereka.  Hak mereka  ke  atas
  tanah  tidak  akan  dikurangkan tetapi  bahagian  mereka
   boleh  dijadikan saham mereka dalam perusahaan pertanian
  secara estet.
  
      19.    Kerajaan ingin memperkenalkan `mixed farming'
  atau  perladangan  campuran.  Jenis-jenis  tanaman  yang
  akan  ditanam bagi satu-satu musim akan ditentukan  oleh
  pasaran.   Selain  daripada tanaman, haiwan  juga  boleh
  diternak  di  atas ladang yang sama mengikut  permintaan
  pasaran.
  
       20.    Bilangan  pekerja  akan  dikurangkan  dengan
  penggunaan  alatan  moden.   Tuan  tanah  boleh  memilih
  untuk  bekerja  dan  mendapat upah  atau  hanya  menjadi
  pemegang  saham.   Kita  tahu bahawa  anak  kepada  tuan
  tanah  sekarang  akan  berpelajaran  tinggi  dan  mereka
  mungkin  tidak  berminat untuk bekerja di  ladang  lagi.
  Apabila  ibu  bapa sudah meningkat umur dan  tidak  lagi
  dapat  bekerja, pekerja upahan akan diperlukan. Mengurus
  pekerja upahan yang ramai memerlukan kecekapan.   Dengan
  itu  perladangan campuran yang dirancang  oleh  Kerajaan
  akan  menjadi seperti estet getah atau kelapa sawit yang
   besar.    Kita  mungkin  tidak dapat  mengelak  daripada
  perkembangan   ini.  Sebelum  ia  berlaku  secara  tidak
  tersusun  adalah  lebih baik kita menyusun  langkah  dan
  rancangan  secara tertib.  Dengan itu  kita  akan  dapat
  mengurangkan  kerugian yang tetap akan  berlaku  apabila
  sesuatu perubahan berlaku.
  
      21.   Untuk  maksud  ini Kerajaan  telah  menentukan
  universiti  tempatan  mengadakan  kursus  latihan  untuk
  pengurusan  ladang-  ladang  campuran  ini.   Kita  akan
  belajar  daripada negara maju cara-cara pengurusan  yang
  baik.   Insya-Allah  perubahan yang kita  akan  lakukan,
  jika   tidak   diganggu   oleh  pihak   tertentu,   akan
  mendatangkan   pendapatan  yang  lebih  lumayan   kepada
  petani- petani kita.
  
      22.   Iklim  memainkan peranan  yang  penting  dalam
  meningkatkan   hasil   pertanian.    Institusi-institusi
  tertentu akan mencuba cara-cara pertanian dalam  `green-
  house'  sesuai  dengan  iklim  tropika.   Kerajaan  akan
  membuat penyelidikan dan pembangunan dalam bidang ini.
   
      23.   Ternakan haiwan akan dipermodenkan.  Hari  ini
  Malaysia  sudah menjadi pengeluar ayam daging dan  telur
  untuk  pasaran tempatan dan eksport.  Banyak lagi  jenis
  ternakan   yang   boleh  dimajukan.    Apabila   bekalan
  ditingkatkan  selera penduduk juga akan  berubah.   Jika
  dahulu  kita  tidak makan ayam begitu banyak,  hari  ini
  daging ayam menjadi makanan utama rakyat Malaysia.  Jika
  kita  dapat  membekalkan dengan banyaknya  itik,  angsa,
  ayam  belanda, burung unta, rusa, ikan air tawar,  udang
  dan  ikan  air  masin maka selera rakyat  Malaysia  akan
  berubah  dan pengusaha bidang ternakan akan dapat  hasil
  yang bertambah.
  
      24.  Demikian juga dengan tumbuh-tumbuhan yang lain.
  Banyak  sudah  ulam  dan  pucuk-pucuk  yang  tidak  lagi
  dimakan  oleh  kita  kerana  sukar  didapati.   Walaupun
  jumlah   penduduk  bertambah  tetapi  tidak  ada   usaha
  tersusun  untuk mengeluarkan makanan- makanan asli  ini.
  Kita  bergantung  kepada kutipan  daripada  yang  tumbuh
   secara  semulajadi.  Punca ini tidak  boleh  membekalkan
  permintaan  `mass  consumption' yang meningkat.   Adalah
  penting semua ini ditanam secara tersusun.  Tiap  bandar
  hendaklah ada kawasan yang ditanam dengan ulam-ulam  dan
  pucuk yang digemari oleh penduduk.
  
      25.  Rakyat Malaysia tidak begitu gemar berhari-hari
  di  laut  dalam  untuk menangkap ikan.   Untuk  memenuhi
  keperluan  ikan air masin, ternakan ikan  di  laut  akan
  digalakkan   secara  besar-  besaran.   Kita   mempunyai
  banyak  laguna  di  Pantai Timur, di Sabah  dan  Sarawak
  serta  juga  di terumbu-terumbu di Lautan China.   Semua
  tempat  ini adalah sesuai untuk ternakan ikan air masin.
  Badan-badan   penyelidikan  hendaklah   berusaha   untuk
  membangunkan  cara-cara menternak ikan  air  masin.   Ia
  mungkin  akan memakan masa tetapi lambat laun kita  akan
  dapat  menguasai teknik membiak dan menternak  ikan  air
  masin dalam kawasan- kawasan tertentu.
  
       26.    Pengeluaran  bahan  makanan  memang  menjadi
   perkara  penting dalam mana-mana negara.   Tetapi  hasil
  pertanian  jika  terlalu  banyak  tidak  dapat   dimakan
  dengan  serta-merta.   Menyimpan  bahan  makanan  adalah
  satu  industri  yang  besar.   Demikian  juga  memproses
  bahan   makanan  sebagai  makanan  sampingan.   Industri
  pemprosesan  makanan  perlu diperbesarkan  supaya  lebih
  banyak  tambah nilai akan diperolehi.  Dengan  ini  kita
  akan  dapat  mengimbangi import dengan  eksport  makanan
  kita,  bahkan  kita  akan  menjadikan  industri  makanan
  sebagai   satu  lagi  punca  peningkatan  aliran   masuk
  pertukaran asing.  Semua rancangan pertanian  yang  akan
  dilaksanakan akan menjayakan Wawasan Pertanian kita.
  
       27.     Pameran   MAHA   kali   ini  mengetengahkan
  teknologi  baru  dan  produk  yang dihasilkan   daripada
  penggunaan   teknologi-teknologi   tersebut.    Ambillah
  kesempatan   ini  untuk   melihatnya   kerana   kejayaan
  Wawasan    Pertanian   bergantung    kepada   penggunaan
  teknologi  dan pengetahuan, lebih-lebih    lagi   dengan
   terlaksananya   liberalisasi perdagangan.   Kita   mesti
  bersedia  kerana  jika  tidak, maka  kita  akan  dijajah
  semula   melalui  keperluan  makanan  (food   security),
  kerana  makanan kita  tidak  mencukupi dan   kita  perlu
  mengimport.   Pergantungan  kepada   negara  luar   akan
  keperluan  asas ini amat merbahaya dan  boleh  menggugat
  kebebasan   negara  kita.    Oleh   itu   perlulah  kita
  bersama-sama   berusaha  meningkatkan  lagi    sumbangan
  sektor    pertanian  kepada  ekonomi  negara   dan  bagi
  mengekalkan kebebasan kita.
  
      28.     Dengan   harapan  Wawasan  Pertanian    kita
  akan   mendapat    sokongan   penuh  daripada    rakyat,
  terutamanya petani,  saya dengan sukacitanya  merasmikan
  majlis  MAHA pada tahun ini.
  
 

 



 
Google