Oleh/By : DATO' SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : KOTA KINABALU, SABAH
Tarikh/Date : 26/07/2000
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN SUTERA
HARBOUR RESORT
Saya berasa gembira kerana dijemput untuk merasmikan
Sutera Harbour Resort yang besar dan indah ini.
2. Pelancongan merupakan salah satu sumber pendapatan
negara yang terpenting. Potensinya amat besar dan kita
masih di peringkat permulaan dalam mengeksploitasi
industri ini. Kerajaan memang memberi tumpuan yang
istimewa kepada industri pelancongan dan pelbagai
langkah serta usaha diambil untuk meningkatkan
kemudahan dan aktiviti pelancongan di negara kita.
3. Saya ucapkan tahniah kepada Kerajaan negeri Sabah
di atas usahanya membangun dan memperkenalkan satu lagi
produk baru pelancongan negara. Pembangunan kompleks
pelancongan ini pasti akan turut menyumbang ke arah
menambah lagi kemudahan untuk para pelancong. Kompleks
Sutera Harbour ini adalah satu kemudahan pelancongan
yang serba lengkap yang dapat memenuhi permintaan
pelancong dari dalam dan luar negara. Pemiliknya
hendaklah berusaha mempromosikan kemudahan ini supaya
ia dikenali ke seluruh dunia dan mendapat sambutan yang
baik.
4. Kerajaan telah memperuntukkan jumlah kewangan yang
agak besar bagi memajukan industri pelancongan negara.
Ini termasuk pembangunan infrastruktur dan kemudahan
pelancongan serta promosi pelancongan di luar negara.
Rakyat kita, khususnya mereka yang berkecimpung dalam
industri ini haruslah berusaha mempastikan supaya
industri pelancongan negara terus berkembang maju,
segar dan menarik. Kita haruslah berusaha menjaga imej
Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang selamat,
meriah, menarik dan popular di rantau ini. Kalau
dulu, kita telah menumpukan perhatian kita kepada usaha-
usaha membangunkan tempat-tempat pelancongan tetapi
kini kita perlu mempastikan bahawa destinasi-destinasi
pelancongan yang dibangunkan itu mempunyai kualiti yang
tinggi daripada semua segi termasuklah memberikan
perkhidmatan yang bermutu, penjagaan kebersihan dan
alam sekitar, memberi layanan yang mesra dan bersopan
santun serta mengenakan harga atau bayaran yang
berpatutan.
5. Salah satu aspek pelancongan kini yang mudah
menarik pelancong asing ialah produk pelancongan yang
berkonsepkan mesra alam. Kita sedar memasarkan alam
semula jadi sebagai tarikan pelancongan adalah amat
sensitif dan ianya akan membuka peluang kepada pelbagai
kritikan dan tuduhan terutamanya daripada pihak Barat
bahawa kita merosakkan alam semula jadi. Isu-isu
seperti kebersihan air, pencemaran sungai, tanah runtuh
dan pembalakan adalah antara perkara penting yang perlu
diambil perhatian secara jangka panjang apabila hendak
membangunkan sesuatu destinasi pelancongan. Langkah
ini juga penting bagi kita memelihara dan menjamin aset-
aset pelancongan itu terus berkekalan.
6. Justeru itu, mana-mana pihak yang ingin
membangunkan projek "pelancongan eko" hendaklah
mempunyai sikap bertanggungjawab dan prihatin terhadap
penjagaan alam sekitar. Janganlah dalam keghairahan
kita berlumba-lumba mengaut keuntungan, kita
mengabaikan tanggungjawab untuk memelihara alam semula
jadi yang tidak ternilai ini daripada pupus atau musnah
begitu sahaja. Peliharalah alam semula jadi kerana
ianya adalah aset yang tidak ternilai harganya.
7. Kerajaan melalui Kementerian Kebudayaan, Kesenian
dan Pelancongan akan terus mempastikan industri
pelancongan ini diurus berlandaskan `sustainable
development' khususnya kepada sumber-sumber alam serta
mempelbagaikan program promosi pelancongan di dalam dan
di luar negara.
8. Industri pelancongan telah memainkan peranan yang
amat penting dalam pembangunan ekonomi negara. Ia juga
antara industri yang kukuh dan telah berjaya menarik
minat pelabur dan usahawan bergiat cergas dalam
industri yang berorientasikan perkhidmatan ini.
Mengikut perangkaan World Tourism Organisation (WTO)
jumlah pelancong seluruh dunia dalam tahun 1999 adalah
seramai 663 juta orang dengan jumlah perbelanjaan
sebanyak 453 bilion Dolar Amerika iaitu pertumbuhan
sebanyak 4.1 peratus dan 3.0 peratus berbanding tahun
1998.
9. Pada masa yang sama, kawasan Asia Pasifik
dikatakan sebagai penyumbang utama prestasi positif
industri pelancongan dunia. Ketibaan di kawasan Asia
Pasifik pada tahun 1999 adalah 97 juta pelancong,
pertumbuhan sebanyak 10.5 peratus berbanding tahun
sebelumnya.
10. WTO juga menganggarkan bahawa jumlah pelancong
seluruh dunia bagi tahun 2010 akan meningkat kepada
satu bilion orang dan 1.6 bilion pada tahun 2020.
11. Prestasi lembab industri pelancongan Malaysia pada
tahun 1997 dan 1998 adalah berpunca daripada kegawatan
ekonomi berikutan krisis matawang yang berlarutan
melanda seluruh Asia Timur. Beberapa peristiwa utama
seperti kes denggi, jerebu, wabak virus "Coxsackie B"
dan taun turut mempengaruhi dan memberi kesan kepada
senario lembab tersebut.
12. Namun berkat kejayaan Kerajaan menangani segala
masalah yang timbul termasuk kegawatan ekonomi,
industri pelancongan pada tahun 1999 telah berkembang
semula dan menjadi salah satu penyumbang utama serta
pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara. Ini dapat
dilihat daripada indikator-indikator berikut:-
- Seramai 7.93 juta pelancong telah melawat Malaysia
tahun 1999, jumlah tertinggi yang pernah dicatat oleh
industri pelancongan negara. Ini menunjukkan
peningkatan sebanyak 42.9 peratus dari tahun sebelumnya
iaitu 5.55 juta pada tahun 1998.
- Sektor pelancongan menjana 12.3 bilion Ringgit
pada tahun 1999 berbanding dengan 8.58 bilion Ringgit
pada tahun 1998.
- Jumlah penawaran bilik hotel telah bertambah
kepada 109,413 bilik berbanding dengan 107,791 bilik
pada 1998.
13. Industri pelancongan adalah amat luas dan tidak
hanya tertumpu kepada aktiviti percutian dan bersantai
sahaja. Malah ianya amat luas hingga meliputi aktiviti-
aktiviti lain yang mungkin dianggap oleh sesetengah
pihak tidak ada kena mengena dengan pelancongan seperti
aktiviti sukan dan rekreasi. Hasil yang diperolehi
daripada penganjuran `sports tourism' adalah lebih
lumayan dan amat berfaedah kepada penganjur dan negara.
Bagaimanapun untuk menganjurkannya terutama aktiviti
yang bertaraf dunia memerlukan komitmen yang tinggi
bukan sahaja daripada segi kemudahan, kepakaran malah
kewangan yang besar.
14. Kerajaan amat serius untuk menjadikan Malaysia
sebagai destinasi pelancongan sukan di rantau ini.
Kejayaan kita menganjurkan sukan bertaraf antarabangsa
seperti Lumba Kereta Formula 1, Sukan Komanwel Kuala
Lumpur 98, Le Tour De Langkawi, Kinabalu Mountain Run,
Cameron Descent dan sebagainya membuktikan kita mampu
menganjurkan acara sukan bertaraf dunia. Usaha terbaru
Kerajaan sekarang adalah untuk mendapatkan hak
menganjur Sukan Asia tahun 2006.
15. Pendekatan pemasaran bagi menjadikan Malaysia
sebagai destinasi pelancongan utama telah melalui
beberapa tahap. Sebelum tahun 1990, strategi pemasaran
lebih menekankan kepada menyedarkan secara umum bahawa
Malaysia adalah destinasi pelancongan. Selanjutnya
pendekatan tersebut telah diubah dengan menjurus kepada
promosi acara-acara sebagaimana kempen Tahun Melawat
Malaysia 1990 dan Tahun Melawat Malaysia 1994. Bermula
tahun 1995, pendekatan pemasaran mula mengkhusus kepada
promosi destinasi yang mempunyai `unique selling point'
yang dipadankan dengan citarasa pelancong.
16. Bagi memantapkan kesinambungan strategi pemasaran
tersebut, kempen "Malaysia-truly Asia" telah
diperkenalkan pada tahun 1999. Penekanannya adalah
memasarkan Malaysia sebagai destinasi budaya yang
`exotic' dengan kebudayaan pelbagai kaum Melayu, Cina,
India serta kaum-kaum lain di Sabah dan Sarawak yang
hidup dalam harmoni.
17. Selain daripada itu, Kerajaan juga menganjur dan
mempromosikan acara-acara yang boleh menarik pelancong
secara langsung seperti Karnival Membeli-belah dan
Bulan Citrawarna di samping bekerjasama dengan Kerajaan
Negeri mempromosikan acara-acara yang dianjurkan di
peringkat negeri.
18. Usaha-usaha promosi akan sentiasa dijalankan oleh
Kerajaan bagi mempastikan kemasukan pelancong ke
Malaysia, dan pada masa yang sama penekanan juga diberi
kepada pelancongan domestik. Mengikut perangkaan, 15
juta perjalanan domestik akan dicatatkan dalam tahun
2000 berbanding dengan 13.8 juta perjalanan dalam
tahun 1997.
19. Budaya melancong dalam negeri perlu disemai pada
setiap warganegara Malaysia. Ini perlu kerana penduduk
tempatan merupakan pasaran yang telah sedia ada di
negara ini, berbanding dengan pelancong asing yang
perlu diyakinkan melalui promosi di peringkat
antarabangsa untuk melancong ke Malaysia. Pelancong
tempatan perlu terus diingatkan tentang produk-produk
pelancongan yang sedia wujud di negara ini. Mereka
perlu digalakkan melancong dalam negara melalui pakej
yang menarik. Tawaran harga yang menarik adalah
merupakan faktor penting untuk pelancong tempatan
memilih destinasi pelancongan mereka. Selain memberi
penekanan kepada usaha menarik pelancong asing kita
juga harus berusaha untuk menarik minat rakyat tempatan
melancong dalam negeri sendiri.
20. Salah satu perubahan besar dalam kehidupan manusia
kini ialah perkembangan teknologi maklumat. Dalam era
globalisasi ini, kita perlu cepat bertindak. Kita
tidak boleh mengamalkan pendekatan "tunggu dan lihat"
untuk mengelakkan diri daripada tercicir ke belakang.
Pengusaha-pengusaha industri pelancongan tempatan
hendaklah memanfaatkan era teknologi maklumat dengan
menggunakan internet untuk mempromosi dan memasarkan
produk mereka. Sekiranya pengusaha-pengusaha industri
pelancongan tempatan hanya melihat syarikat pelancongan
asing sahaja mengeksploit E-dagang dalam mempromosi
produk mereka nescaya kita akan ketinggalan dan
kehilangan pelanggan serta pasaran. Kita perlu
bersedia melibatkan diri dalam arena persaingan baru
tersebut yang tidak boleh dielakkan di masa depan.
21. Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya
merasmikan pembukaan Sutera Harbour Resort ini.
Pejabat Perdana Menteri
PUTRAJAYA
|