Oleh 		: 	YAB DATO SERI DR. 
			MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat		: 	STADIUM PUTRA, BUKIT JALIL 
			KUALA LUMPUR
Tarikh		: 	29-07-2000 
Tajuk 		:	MAJLIS PERHIMPUNAN PERPADUAN 
			SEMPENA HARI PEKERJA
Penyampai	: 	PM


  
  Terlebih  dahulu  saya ucapkan terima kasih  kepada  pihak
  penganjur Perhimpunan Perpaduan Sempena Hari Pekerja  2000
  kerana  memberi  peluang  kepada  saya  untuk  berucap  di
  majlis  ini.   Perhimpunan ini amat bermakna kerana  ianya
  membuktikan   bahawa  bukan  sahaja  wujud  perpaduan   di
  kalangan para pekerja, tetapi juga wujud kerjasama  antara
  pihak  pekerja,  majikan  dan  Kerajaan.   Perpaduan   dan
  kerjasama  inilah yang telah memberi kejayaan bagi  negara
  kita.
  
  2.    Sempena Perhimpunan Perpaduan Hari Pekerja ini, saya
  mengucapkan tahniah dan terima kasih Kerajaan  dan  rakyat
  atas  sumbangan para pekerja dalam menjayakan  usaha  kita
  menangani  krisis kewangan yang melanda negara kita  baru-
   baru  ini.  Rakyat Malaysia, khususnya kaum pekerja, bukan
  sahaja  sanggup  memikul beban kemelesetan ekonomi  tetapi
  telah  memberi  kerjasama yang padu kepada Kerajaan  dalam
  usaha   memulihkan  semula  ekonomi  dan   kewangan   yang
  terjejas  teruk  akibat serangan oleh penyangak  matawang.
  Jika     kaum     pekerja    bertindak    secara     tidak
  bertanggungjawab,  mengadakan  tindakan   perusahaan   dan
  membuat  tuntutan yang bukan-bukan, sudah tentu  pemulihan
  ekonomi   oleh   negara  tidak  dapat  diusahakan   dengan
  jayanya.
  
  3.    Pada hari ini hasil daripada langkah-langkah  berani
  dan  berkesan  yang diambil oleh Kerajaan dengan  sokongan
  rakyat  termasuk para pekerja, ekonomi negara kita semakin
  pulih.   Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mengalami
  penguncupan  7.5  peratus  pada  1998  telah  tumbuh   5.6
  peratus  pada  tahun 1999.  Pada suku tahun pertama  2000,
  kadar  pertumbuhan KDNK adalah 11.7 peratus.   Saya  yakin
  dengan  kerjasama  kaum pekerja pertumbuhan  ekonomi  pada
   tahun  ini akan menjadi lebih baik.  Dengan ini kita semua
  akan  mendapat manfaat sama ada secara langsung atau tidak
  langsung.   Manfaat  yang  tidak  langsung  tidak   kurang
  baiknya bagi tiap seorang daripada kita berbanding  dengan
  yang secara langsung.
  
  4.    Dalam  hubungan antara pekerja, majikan dan Kerajaan
  kita  percaya  kepada  kerjasama dan  penyelesaian  segala
  masalah melalui rundingan dan bukan konfrontasi dan  ujian
  siapa  lebih  kuat  melalui mogok  atau  `lockout'.   Kita
  bersyukur kerana kita tidak mudah dipengaruhi dengan cara-
  cara  orang  asing  yang  begitu gemar  menguji  kekuatan
  (test  of  strength) untuk menyelesaikan masalah pekerja.
  Tabiat   mereka  suka  menguji  kekuatan  melalui  perang
  terdapat   juga   dalam  cara-cara  mereka  menyelesaikan
  masalah  lain,  termasuk masalah sosial.   Ini  dikatakan
  oleh mereka sebagai hak asasi manusia.
  
  5.    Sebabnya  kita  tolak cara  konfrontasi  dan  ujian
  kekuatan  ialah  kerana kita tahu tidak  akan  ada  siapa
   yang  menang  dan mendapat keuntungan daripada  cara-cara
  yang  merugikan itu. Pekerja tidak menang, majikan  tidak
  menang,   Kerajaan  dan  rakyat  semuanya  tidak  menang.
  Semua  akan rugi.  Walaupun berkali-kali ujian ini dibuat
  masalah tetap berulang dan kerugian tetap berlaku.
  
  6.    Kita tahu ini daripada sejarah dan pengalaman sebuah
  negara  maju  yang  sekarang ini tidak begitu  maju  lagi.
  Negara ini biasa mengeluar kereta-kereta yang terkenal  di
  seluruh  dunia  dan  di negara kita juga.   Mereka  pernah
  mengeluarkan  radio  dan televisyen  dan  alatan  elektrik
  yang  kita dahulu import dan guna dengan banyaknya  kerana
  jenama-jenamanya  terkenal.  Tetapi  hari  ini  tidak  ada
  satu   pun   kereta   dari  negara  ini   melainkan   yang
  dikeluarkan  oleh  negara  lain.   Tidak  ada  radio  atau
  televisyen,   dan   sudah   tentu   jenis-jenis   barangan
  elektronik  keluaran negara ini yang kita  guna  sekarang.
  Negara ini sudah tidak lagi menjadi negara industri  moden
   dan  syarikat-syarikat gergasi mereka sudah dijual  kepada
  orang lain, termasuk juga kepada rakyat Malaysia.
  
  7.    Merosotnya  prestasi negara ini  ialah  kerana  buat
  bertahun-tahun  ia  menghadapi  tindakan  perusahaan  yang
  tidak putus-putus.  Pekerja mereka menuntut kenaikan  gaji
  yang  tidak  mampu dibayar oleh majikan  mereka  dan  jika
  majikan  mereka  menawar  kurang daripada  yang  dituntut,
  pekerja  mereka akan mengadakan mogok sehingga  melibatkan
  syarikat  lain yang tidak ada kena-mengena.  Kadang-kadang
  diadakan   mogok  seluruh  negara,  diadakan   piket   dan
  tindakan  ganas  untuk menentukan tidak  ada  `blacklegs',
  iaitu pekerja yang terus bekerja.
  
  8.     Kesan   daripada   semua  ini  ialah   meningkatnya
  peratusan   pengangguran,   penutupan   banyak   syarikat,
  penjualan  kepada  orang  asing  syarikat  yang  mempunyai
  keluaran berjenama yang terkenal dan kejatuhan negara  itu
  daripada  menjadi  kuasa  dunia  pertama  kepada   satelit
   kepada  kuasa dunia zaman ini serta keruntuhan moral  yang
  menyeluruh yang tidak perlu saya sebutkan.
  
  9.    Pendapatan pekerja mereka masih tinggi tetapi dengan
  pendapatan yang tinggi ini tidak banyak yang mereka  boleh
  beli kerana semua harga barangan begitu tinggi.

   10.   Setelah  menjual perusahaan mereka,  majikan  mereka
  melabur  di  pasaran lain dan Kerajaan sudah  tentu  tidak
  mendapat  hasil  daripada  mereka.   Rakyat  bukan  sahaja
  menanggung  kos  sara hidup yang tinggi tetapi  tidak  ada
  peluang kerja yang baik.

   11.   Kerajaan  membayar  `unemployment  benefits'  kepada
  yang  menganggur tetapi jumlahnya tidaklah  tinggi.   Hari
  ini   Kerajaan  mereka  memaksa  mereka  yang   menganggur
  membuat  kerja  kotor  untuk mendapat  `dole'  ini.   Yang
  menjadi  masalah ialah apabila ekonomi merosot  pendapatan
  Kerajaan  berkurangan tetapi di masa inilah  yang  bayaran
  `dole'  menjadi  lebih  besar  kerana  lebih  ramai   yang
  menganggur.
  
  12.   Sebuah  kuasa utama dunia yang kaya-raya  pun  boleh
  menjadi  negara  kelas  dua  dan  dipandang  rendah   jika
  tindakan  perusahaan dibuat dengan tidak bertanggungjawab.
  Apakah  akan jadi jika tindakan yang sama dibuat di negara
  yang  masih membangun?  Sudah tentu negara yang  membangun
  tidak akan maju, bahkan akan hancur.

   13.   Tetapi  kita  tidak bermaksud  pekerja  tidak  patut
  mendapat  kenaikan  upah.   Upah pekerja  perlu  meningkat
  tetapi  tidaklah melalui tindakan perusahaan.  Upah  perlu
  naik    melalui   peningkatan   daya   pengeluaran    atau
  produktiviti.  Jika produktiviti meningkat, kenaikan  upah
  tidak  akan  menjadikan  barangan yang  dihasilkan  kurang
  kompetitif.   Dengan itu perniagaan terus  laris,  peniaga
  mendapat   keuntungan  seperti  biasa  atau  lebih   untuk
  melabur  lagi.  Upah boleh dinaikkan dan peluang pekerjaan
  boleh meningkat.

   14.   Kita  bersaing  dengan jiran kita dan  negara-negara
  lain.   Jika  kita  tidak kompetitif maka perniagaan  kita
  akan   rugi  dan  kita  tidak  akan  mendapat  upah   yang
  meningkat  bahkan  mungkin kehilangan pekerjaan.   Pelabur
  asing  dan  pelabur  tempatan  juga  tidak  akan  melabur.
  Akhirnya  ekonomi  tidak tumbuh dan taraf  kehidupan  kita
  tidak akan naik, bahkan akan menurun.

   15.    Oleh  itu  pekerja  mestilah  cuba  menaikkan  daya
  pengeluaran   setinggi  mungkin.    Majikan   juga   perlu
  meningkatkan   daya   pengeluaran  dengan   memperkenalkan
  teknik   pengurusan  dan  alatan  yang  lebih   produktif.
  Sepertimana  kenaikan pengeluaran hasil pekerja  dinikmati
  oleh   majikan,  kenaikan  hasil  usaha  majikan  mestilah
  dinikmati juga oleh pekerja.

   16.   Untuk  menentukan daya pengeluaran pekerja meningkat
  kita   memberi   galakan  kepada  majikan   di   peringkat
  tertentu.   Kerajaan sudah menyediakan pusat latihan  bagi
  menaikkan  kecekapan  pekerja.   Kerajaan  bersedia  untuk
  menambah  pusat latihan pekerja bagi maksud  ini  terutama
  latihan penggunaan alatan berkomputer.

   17.    Majlis   Pembangunan  Sumber   Manusia   di   bawah
  Kementerian  Sumber  Manusia telah  melaksanakan  pelbagai
  skim   latihan   bagi   memudahkan  majikan   meningkatkan
  kemahiran  atau melatih semula pekerja mereka dari  semasa
  ke  semasa.  Skop Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia
  telah   diperluaskan  meliputi  program  latihan   seperti
  pendidikan  jarak  jauh,  skim latihan  bersama  dan  skim
  latihan berkelompok.

   18.    Kesatuan-kesatuan  sekerja  dan   pemimpin-pemimpin
  pekerja  juga  perlu turut memainkan peranan aktif  dengan
  sama-sama  mendorong ahli-ahli mereka  menyertai  program-
  program latihan untuk meningkatkan kemahiran mereka.   Ini
  adalah   satu-satunya  cara  yang  paling  berkesan   bagi
  kesatuan-kesatuan  sekerja   memajukan  kepentingan  ahli-
  ahlinya.

   19.   Sekali  lagi  saya ingin memperingati  semua  pihak,
  majikan,   pekerja  dan  pegawai  Kerajaan   juga   bahawa
  penambahan   pendapatan   pekerja   adalah   wajar    jika
  dihasilkan  melalui  peningkatan  daya  pengeluaran   oleh
  pekerja  dan  majikan.  Negara dan rakyat akan memperolehi
  nikmat  daripada pendapatan yang bertambah yang diperolehi
  oleh  pekerja  tanpa merosakkan ekonomi  dengan  cara-cara
  yang  tidak bertanggungjawab.  Penentuan gaji minima, jika
  ia  tinggi,  boleh  mengurangkan  daya  saing  kita.   Ini
  adalah  kerana gaji minima tetap akan menyebabkan kenaikan
  gaji  bagi  pekerja di semua lapisan sehingga ke peringkat
  yang  tertinggi.  Tidak mungkin kenaikan gaji mereka  yang
  mendapat  upah  yang  terendah tidak menyebabkan  kenaikan
  upah  dan  gaji pekerja yang sudah mendapat lebih daripada
  minima.    Oleh   kerana   kenaikan   gaji   minima   akan
  menyebabkan   kenaikan  gaji  semua  pekerja,   maka   kos
  tentulah  tinggi.  Oleh itu kita perlu mengkaji soal  gaji
   minima   dengan  teliti  dan  mendalam  demi   kepentingan
  pekerja  sendiri.   Kerajaan  sedang  membuat  kajian  ini
  untuk  menentukan  kemampuan kita  menaikkan  gaji  secara
  menyeluruh.
  
  20.   Kerajaan  juga  sedang  berusaha  untuk  mendapatkan
  persetujuan  majikan  supaya Skim  Penamatan  Perkhidmatan
  diwujudkan  untuk  menentukan pekerja  yang  diberhentikan
  oleh  syarikat  kerana apa-apa sebab, jika tidak  mendapat
  pampasan  daripada  majikan mereka akan  mendapat  bantuan
  daripada skim ini.
  
  21.  Akhir kata, saya mengucapkan tahniah kepada pemenang-
  pemenang  anugerah Hari Pekerja tahun  ini,   juga  terima
  kasih   kepada   Ahli-ahli  Jawatankuasa  Penganjur   yang
  bertungkus-lumus menjayakan perhimpunan ini.
  
   
  Pejabat Perdana Menteri
  PUTRAJAYA 
 





 
Google