Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA
Tarikh/Date : 30/08/2000
Tajuk/Title : SEMPENA SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN
NEGARA YANG KE-43
Syukur Alhamdulillah, esok genaplah 43 tahun negara
kita merdeka. Rakyat Malaysia tentu insaf dan
bersyukur kerana sekali lagi dapat merayakan ulangtahun
kemerdekaan dalam keadaan aman dan sejahtera. Lagi pun
ekonomi negara telah dipulih sepenuhnya.
2. Berbanding dengan tempoh kita dijajah, kemerdekaan
kita bukanlah lama. 43 tahun adalah amat pendek
berbanding dengan lebih kurang 450 tahun kita dijajah.
Setelah kejatuhan Melaka di tangan Portugis, kita
dijajah oleh Belanda, British, Jepun dan juga Siam.
Inilah sejarah kita yang terhina dan memalukan.
3. Bagi anak
watan nasib mereka adalah lebih buruk. Penjajah
mengetepikan mereka dengan memilih jalan mudah membawa
masuk orang luar untuk bekerja dan berniaga di Negeri-
Negeri Melayu. Dengan itu anak watan menjadi rakyat
yang termiskin, rakyat kelas dua di negeri-negeri
sendiri. Pada suatu masa bilangan mereka kurang
daripada kaum pendatang.
4. Walaupun British berhak hanya menasihati Raja-Raja
Melayu, tetapi mereka mengambilalih sepenuhnya kuasa
pentadbiran. Demikianlah apabila kita meminta
pertolongan orang asing, kita hilang hak sama sekali.
Segala urusan yang penting dibolot oleh orang asing
sehingga orang Melayu hilang kepercayaan kepada
kebolehan diri sendiri. Mereka tidak pernah secara
serius dan terancang mencuba untuk membebaskan negeri-
negeri mereka.
5. Negara kita dijadikan ladang getah dan lombong
bijih timah oleh orang Eropah. Segala kekayaan negara
kita diangkut keluar untuk membangunkan negara
penjajah. Segala jalan dan kemudahan infrastruktur
dibangun untuk keselesaan hidup dan pengangkutan keluar
kekayaan kita. Dan anak watan terus tinggal dalam
rumah beratap nipah berdinding buluh.
6. Pelajaran yang diadakan bagi sekumpulan kecil anak
watan terhad kepada penyediaan untuk bekerja sebagai
kerani. Pelajaran agama terhad ke pondok-pondok dan
mereka yang berpelajaran agama tidak ada peluang untuk
bekerja sama sekali, walaupun telah lulus dari
Universiti Azhar. Selain daripada masjid di bandar
Diraja tidak ada masjid atau surau yang dibangunkan
oleh Kerajaan. Rakyat terpaksalah membina masjid
sendiri yang tidak sempurna.
7. Demikian kehidupan kita sebagai bangsa yang
dijajah. Kita diketepikan dan dihina. Penjajah yang
sekarang ini bercakap berkenaan hak asasi manusia tidak
sedikit pun ditegur kerana mereka mencabul hak asasi
kita.
8. Inilah sejarah kita. Selama 450 tahun kita
dijajah dan dihina sehingga kita sendiri percaya bahawa
memanglah kita adalah bangsa yang hina, yang tidak
berkemampuan membuat apa-apa bagi diri kita, yang tidak
mungkin mentadbir negara sendiri sebagai bangsa yang
bebas.
9. Tetapi hari ini kita telah bebas selama 43 tahun.
Kita bukan sahaja bebas tetapi kita dapat mentadbirkan
negara kita dengan baik; kita dapat membangunkan negara
kita, menyediakan segala kemudahan yang tidak pernah
kita kecapi dahulu. Sekolah, hospital, perumahan yang
moden, jalanraya, pelabuhan, lapangan terbang, jalan
kampung, bekalan elektrik dan air, dan segala-gala yang
terdapat di negara maju terdapat juga di negara kita.
Lebih daripada itu kita berjaya menangani masalah kaum
di negara kita.
10. Rakyat kita, Bumiputera dan bukan Bumiputera,
mendapat pelajaran tinggi, menguasai ilmu dalam semua
bidang, menjadi peniaga dan pengusaha, menjadi duta dan
pegawai tinggi.
11. Bangsa kita terutama orang Melayu dan Bumiputera
lain tidak lagi dipandang rendah dan dihina. Dunia
mengakui kebolehan kita sehingga kita dianggap contoh
kejayaan dalam dunia ketiga.
12. Nasib bangsa kita, nasib orang Melayu dan
Bumiputera lain terutamanya sudah berubah dengan
ketara. Daripada bangsa yang dihina kita sudah menjadi
bangsa yang dihormati dan disegani. Demikianlah
yakinnya kita akan kedudukan dan kemampuan kita
sehingga kita sukar mempercayai akan kemungkinan kita
kembali dijajah semula. Kita percaya bahawa walau apa
pun yang dilakukan oleh kita, kita tetap hidup mewah,
terhormat dan bebas.
13. Tetapi kepercayaan ini adalah salah. Penjajahan
masih diminati oleh bangsa-bangsa Barat. Sejarah
mereka menunjukkan bahawa mereka selalunya tamak dan
bercita-cita merampas harta orang lain. Buat beberapa
ketika selepas kita diberi kemerdekaan mereka
menghormati kedaulatan kita. Kemudian mereka
menubuhkan badan-badan bukan Kerajaan yang tidak
terikat dengan janji Kerajaan mereka tidak akan campur
tangan dalam urusan dalaman negara merdeka. Maka badan-
badan bukan Kerajaan ini dengan terbuka melibatkan diri
dalam urusan dalaman semua negara, bahkan mereka
membantu dan menubuhkan badan-badan yang sama di dalam
negara-negara bebas yang boleh mengganggu dan
melemahkan Kerajaan-Kerajaan negara yang merdeka ini.
14. Kemudian kuasa Barat mendakwa mereka berhak campur
tangan secara langsung dalam perkara tertentu seperti
hak asasi manusia dan sistem pemerintahan. Hanya
demokrasi liberal sahaja yang dibenarkan oleh mereka.
15. Sekarang mereka ingin menghapuskan sempadan
sebagai benteng melindungi ekonomi negara bebas.
Melalui konsep globalisasi, modal, bank dan syarikat
mereka mestilah bebas melintasi sempadan dan bebas
daripada sebarang syarat yang ditentukan oleh negara
terhadap gerak-geri mereka.
16. Kita telah melihat apa yang berlaku apabila duit
kita dikuasai oleh mereka. Dengan mudahnya mereka
boleh menghancurkan ekonomi negara kita. Banyak negara
yang terpaksa menyerahkan urusan ekonomi kepada kuasa
besar kerana nilai matawang mereka jatuh setelah
diserang oleh peniaga matawang Barat.
17. Jika kita menyerahkan urusan ekonomi kita kepada
kuasa asing, maka mereka akan menamatkan usaha Kerajaan
untuk mengimbangkan ekonomi antara kaum yang sedang
kita uruskan. Hak istimewa orang Melayu akan dihapuskan
kerana ini bertentangan dengan pendapat mereka dan
menghalang pemilikan perniagaan 100 peratus oleh
mereka. Mereka akan mengambilalih semua bank dan
perusahaan/perniagaan kita. Kita akan menjadi pekerja
mereka sahaja tanpa hak bersuara dalam urusan
perniagaan atau ekonomi. Akhirnya politik kita juga
akan dikuasai oleh mereka.
18. Kali ini kita berjaya menewaskan percubaan mereka.
Kita berjaya kerana Kerajaan kita kuat dan disokong
oleh majoriti terbesar rakyat. Kita berjaya kerana
rakyat tidak bertindak liar dan ganas semasa kegawatan
berlaku.
19. Tetapi ini tidak bermakna mereka tidak akan
mencuba lagi. Media mereka sudah berjaya memburukkan
nama kita serta menggalak dan menyokong segala kejadian
dan tindakan oleh mana-mana pihak termasuk penjenayah
yang boleh merosakkan negara. Kerajaan kita dituduh
tidak demokratik, tidak telus, mengamalkan kronisme,
korup dan sebagainya. Dan mereka yang berkepentingan
antara warga-warga kita membenarkan diri mereka dihasut
dan bekerjasama dengan bakal penjajah untuk melemah dan
menyerahkan negara tercinta ini kepada orang asing.
Dalam sejarah negara kita, Kitol dan Raja Mendalia
tidak pernah berkurangan. Mereka patut sedar akan
tujuan penjajah tetapi kerana kepentingan diri, mereka
sanggup menggadaikan negara dan bangsa. Tetapi
Alhamdulillah, majoriti rakyat sedar dan menyokong
Kerajaan dengan cukup kuat sejak kita merdeka. Sebab
itu apabila percubaan dibuat untuk memaksa kita
menyerahkan urusan ekonomi kita kepada kuasa asing kita
dapat menangkisnya. Walaupun pendekatan kita adalah
luar biasa, walaupun kita menentang seluruh dunia,
namun majoriti rakyat berdiri bersama Kerajaan dan
menolong menjayakan sekatan kewangan oleh kita. Rakyat
menolak percubaan untuk mencetuskan huru-hara yang
boleh merosakkan ekonomi, keamanan dan kewibawaan
pemerintah seperti yang berlaku di negara-negara lain.
20. Demikianlah kejayaan pendekatan kita sehingga
musuh-musuh kita, IMF, Bank Dunia semua terpaksa
mengakui bahawa pendekatan tersendiri Malaysia adalah
berdayamaju. Desakan kita supaya sistem kewangan dunia
diperbaiki sekarang diterima dan disokong oleh
penyangak matawang utama sendiri. Ia mengaku bahawa
pasaran bebas mempunyai kecacatan dan tidak mampu
menguruskan dengan baik kewangan dan ekonomi dunia.
21. Sepatutnya rakyat Malaysia berbangga dengan
kejayaan kita menangkis serangan yang dahsyat ini
dengan pendekatan kita sendiri, dengan tidak mengemis
kepada sesiapa. Kita hanyalah satu sahaja negara di
dunia yang berjaya mengekalkan kebebasan kita daripada
cengkaman orang asing. Jika negara lain berjaya
seperti ini seluruh rakyat akan merayakannya secara
besar-besaran dan berpanjangan.
22. Tetapi di Malaysia ada yang tidak langsung
bersyukur bahawa negara kita terus bebas dan dapat
dipulihkan dengan baik. Ramai daripada mereka ini
terdiri daripada orang Melayu, iaitu orang yang
beragama Islam. Mereka sudah lupa akan janji Allah
bahawa orang yang tidak bersyukur tidak akan menerima
nikmat lagi dan balasan Tuhan terhadap mereka adalah
amat pedih. Kita berdoa mereka akan kembali sedar dan
bersyukur kepada Allah s.w.t.
23. Negara kita memilih demokrasi sebagai cara
menentukan siapa menjadi pemerintah dan Kerajaan.
Tidak ada sistem pemerintahan yang tidak mempunyai
kecacatan yang boleh membawa keburukan dan bencana.
Kerapkali keburukan disebabkan pengamal mempunyai sifat-
sifat yang menghalang kebaikan daripada apa juga
sistem. Bahkan kebaikan yang menyeluruh yang terdapat
dalam agama juga boleh disalahtafsir, disalahguna oleh
pihak tertentu dan dengan itu mendatangkan keburukan.
24. Sebab itu kita lihat hampir semua negara yang cuba
mengamalkan demokrasi tidak mendapat manfaat yang
sepenuhnya daripada sistem ini. Ada yang tidak dapat
ditadbir sama sekali; ada yang menghadapi rusuhan
sepanjang masa; ada yang mendapati pentadbiran yang
tidak berwibawa, tidak cekap, tidak lurus; dan ada pula
yang mendapati Kerajaan yang suka menindas, yang
memaksa rakyat menerima sesuatu, yang tidak memberi
kebebasan kepada puak minoriti atau individu sama
sekali. Janganlah kita percaya bahawa hanya dengan
mengadakan Kerajaan maka akan aman dan makmurlah
negara.
25. Kebebasan bersuara dalam demokrasi boleh
disalahguna sehingga mencetuskan keganasan dan rusuhan.
Tuntutan untuk sesuatu yang keterlaluan boleh
menyebabkan ketegangan dalam politik dan akhirnya huru-
hara. Membangkitkan perasaan kebencian kepada musuh
politik boleh meluap sehingga tidak dapat dikawal.
Kerana keterlaluan serba-serbi maka amalan demokrasi
tidak membawa kebaikan tetapi sebaliknya membawa mala
petaka. Yang menjadi masalah ialah jika Kerajaan
terlalu cepat dan terlalu tegas maka tuduhan akan
dibuat bahawa demokrasi tidak wujud, tetapi sebaliknya
jika Kerajaan lambat bertindak maka mala petaka sudah
berlaku pemulihan akan sukar dicapai. Adakalanya
kerana lewat dan tidak tegas huru-hara dan anarki akan
berterusan.
26. Sejak kempen membenci Kerajaan dengan tuduhan yang
dikaitkan dengan agama, perpecahan yang ketara telah
berlaku di kalangan orang Melayu. Benci adalah satu
emosi atau perasaan yang mudah mendorong kepada
tindakan yang ganas. Manusia yang dibenci sudah tidak
berupa manusia lagi. Mencedera bahkan membunuh orang
yang dibenci adalah mudah walaupun bagi orang yang
biasanya tidak ganas.
27. Inilah yang berlaku apabila Kumpulan Al-Ma'unah
merancang untuk menggulingkan Kerajaan secara
pemberontakan bersenjata. Dengan hati yang penuh benci
kepada Kerajaan, kebencian yang dipupuk kerana tuduhan
bahawa Kerajaan Malaysia adalah zalim seperti
Pemerintahan Firaun, mereka tidak lagi berfikiran waras
atau mengambilkira kekuatan mereka atau besarnya dan
bahayanya perancangan mereka kepada diri mereka
sendiri.
28. Memupuk perasaan kebencian kepada orang lain
sebagai cara untuk mendapatkan sokongan bagi diri
sendiri adalah seperti bermain api. Semasa kecil
menjadi kawan, apabila besar menjadi lawan. Dalam api
yang besar kita sendiri akan ditelan olehnya. Jika
kempen membenci ini diteruskan, Malaysia akan menjadi
seperti beberapa negara membangun yang lain yang tidak
pernah menikmati keamanan dan ketenteraman, tidak dapat
dibangunkan dan terus bergantung kepada bekas penjajah
untuk segala-galanya. Mereka tidak pernah merdeka
dengan ertikata yang sebenarnya.
29. Pertentangan politik antara parti dalam demokrasi
tidak seharusnya sampai ke tahap ini. Sepatutnya
tentangan terhad kepada perbezaan pendapat berkenaan
dengan cara memajukan negara dan rakyat dan ini tamat
apabila proses pemilihan selesai. Malangnya di
Malaysia perbezaan pendapat menyebabkan permusuhan yang
ketara dan berpanjangan sehingga kehidupan sosial dan
agama tergugat secara langsung sepanjang masa.
30. Kita sudah merdeka 43 tahun dan dalam masa itu
kita telah mencapai banyak kemajuan. Kita mencapai
kemerdekaan kerana kita bersatupadu dan majoriti yang
terbesar menuntutnya. Sudah tentu hampir semua
daripada orang Melayu Semenanjung mahu memerintah
negara sendiri. Tetapi kerana kita menganggap parti
sebagai pemisah antara sesama kita, maka perpaduan yang
telah dicapai semasa kita menuntut kemerdekaan sudah
hampir hancur. Hari ini kita menjadi lemah kerana
hakisan sokongan oleh orang Melayu kepada Kerajaan.
Percayalah jika pertolongan orang asing dipinta,
akhirnya negara akan tergadai.
31. Orang asing memang gemar melihat perpecahan di
kalangan orang Melayu dan rusuhan sesama kita. Kempen
membenci Kerajaan yang diusahakan oleh pihak tertentu
sudah sampai kepada tahap kesanggupan mencuba
menjatuhkan Kerajaan secara ganas dan bersenjata. Kali
ini percubaan itu gagal. Tetapi jika kempen membenci
diteruskan terutama dengan menyalahtafsir agama untuk
meningkatkan lagi kebencian, akhirnya akan berlakulah
percubaan secara besar-besaran.
32. Mungkin mereka ini percaya mereka akan mencapai
kejayaan dengan cara ini. Tetapi yang tetap berlaku
ialah huru-hara yang berpanjangan dan perpecahan di
kalangan orang Melayu yang akan melumpuhkan mereka sama
sekali. Mereka akan mencari sokongan daripada orang
bukan Melayu dan orang asing dan akan menggadaikan hak
dan kuasa mereka.
33. Kita tidak boleh lupa bahawa apabila orang Melayu
Perak memihak kepada kongsi-kongsi Cina yang sedang
berperang, akibatnya ialah British menguasai Kerajaan
Perak. Demikian jika kali ini orang Melayu berpecah
dan mencari sokongan orang asing, yang akan mendapat
manfaat ialah orang yang memberi sokongan. Jika orang
asing yang membantu maka mereka akan menguasai Kerajaan
negara ini - iaitu menakluki semula negara. Jangan
fikir jika Kerajaan yang ada sekarang jatuh maka
Kerajaan yang baru yang akan berkuasa. Kerajaan yang
baru juga akan diserang dan dilemahkan. Hasrat orang
asing yang pura-pura menyokong pihak tertentu, termasuk
ekstremis Islam yang menyeleweng, ialah untuk
menentukan huru-hara berkekalan di negara ini dan tidak
mungkin kita terus bebas, kuat dan berjaya. Kerajaan
yang mengganti akan menjadi boneka kuasa asing.
34. Barat memang biasa menakluk cara ini. Mereka
menghancurkan Empayar Islam Turki dengan menghasut
orang Arab supaya memberontak melawan pemerintahan
Turki. Apabila Turki dikalahkan semua wilayah Arab
ditakluk oleh kuasa-kuasa Eropah. Janganlah kita fikir
bahawa strategi "Divide and Rule" atau "Membahagi dan
Menakluk" sudah ditolak oleh mereka. Jika kita alpa,
maka strategi ini akan digunakan lagi.
35. Oleh kerana ternampak seolah-olah Kerajaan yang
diketuai oleh orang Melayu sudah menjadi lemah maka
puak ekstremis Cina yang memang pun tidak senang hati
dengan kerjasama berbagai kaum di Malaysia ini sudah
mula menyakitkan hati orang Melayu dengan membuat
tuntutan yang bukan-bukan. Tindakan mereka tidak
banyak berbeza dengan tindakan Komunis dahulu yang
hendak menghapuskan sama sekali kedudukan yang istimewa
orang Melayu di Malaysia ini. Daripada segi
pendekatannya, Suqui (Jawatankuasa Rayuan Pilihanraya
Persatuan-Persatuan Cina) ini adalah sama dengan Al-
Ma'unah, iaitu cuba menyakitkan hati orang tertentu,
supaya perasaan perkauman dihidupkan semula.
36. Serangan Al-Ma'unah dan Suqui akan merosakkan
hubungan baik antara kaum yang telah diusahakan oleh
Kerajaan. Jika akhbar Cina yang suka menimbulkan
perasaan tersalah di kalangan orang Cina yang sederhana
dan laman-laman fitnah yang terdapat dalam Internet
yang diusahakan oleh orang Melayu, berjaya mempengaruhi
kedua-dua kaum ini, maka kerjasama antara kaum akan
diganti dengan konfrontasi yang akan menggugat
kestabilan dan keamanan negara. Saya ingin merayu
kepada puak ekstremis ini daripada kedua-dua kaum
supaya menghentikan bermain dengan api perkauman. Saya
juga ingin memperingati semua pihak bahawa Kerajaan ini
bertanggungjawab terhadap keselamatan dan kemajuan
negara ini. Kerajaan ini tidak takut dicemuh oleh
media asing dan kuasa-kuasa besar di dunia apabila
keselamatan dan keamanan dalam negara diancam. Kita
tahu siapa orang asing ini. Mereka terlibat secara
langsung dari dahulu hingga sekarang dengan jenayah
antarabangsa yang meragut nyawa ratusan ribu orang yang
tidak berdosa dan menyeksa berjuta orang lain. Sekatan
yang dikenakan oleh mereka dan tindakan mengebom
sasaran tertentu oleh mereka mencabul hak asasi manusia
dengan lebih teruk berbanding dengan tahanan di bawah
ISA. Lagipun pertuduhan dalam mahkamah juga tidak akan
menghentikan cemuhan mereka. Mereka tetap menuduh
kehakiman kita berat sebelah. Sama ada kita guna ISA
atau mahkamah adalah hak dan pilihan kita. Kita yang
akan menjadi mangsa rusuhan, bukan mereka.
37. Kerajaan ini tidak berminat untuk dipuji oleh
orang asing. Tanggungjawab kita ialah kepada rakyat
yang memilih kita, iaitu majoriti rakyat Malaysia.
Pemerintahan ini akan menentukan negara ini terus
stabil dan aman supaya rakyat akan hidup sempurna,
supaya wang rakyat digunakan untuk membangunkan rakyat
dan negara.
38. Kita akan terus memerintah mengikut undang-undang
dan lunas-lunas demokrasi yang membolehkan rakyat
memilih Kerajaan berasaskan kepada penilaian tentang
kebolehan parti-parti yang bertanding. Kita akan
melawan habis-habisan penyalahgunaan agama bercampur
fitnah untuk membangkitkan kebencian sebagai cara
memancing undi. Kita akan memelihara kesucian agama
Islam dengan mengembangkan ajaran Islam yang tulen.
Kita akan melawan percubaan mencetuskan rusuhan kaum
melalui tuntutan yang ekstrim. Kita akan memelihara
hak semua kaum seperti yang termaktub dalam
Perlembagaan Negara kita. Kita tidak akan tunduk
kepada orang asing, agensi-agensi mereka dan media
mereka walau apa pun tekanan yang ditujukan kepada kita
dan negara kita.
39. Malaysia adalah sebuah negara yang merdeka dan
bebas. Pada hari kita merayakan kemerdekaan kita yang
ke-43 tahun, marilah kita berbangga dengan kecapaian
kita sehingga kini, marilah kita bersatupadu,
Bumiputera dan bukan Bumiputera, Melayu dan bukan
Melayu; marilah kita pelihara maruah dan kehormatan
kita, marilah kita berganding bahu, menguasai semua
ilmu dan bekerja keras untuk memajukan bangsa, negara
dan agama kita, supaya negara kita terus merdeka,
bebas, berdaulat dan dihormati oleh seluruh dunia.
40. Selamat merayakan Hari Kebangsaan kita, Hari
Kemerdekaan kita yang ke-43. Kepada pasukan polis dan
tentera serta pasukan-pasukan petugas Kerajaan yang
lain, kepada kakitangan Kerajaan dan swasta, kepada
pelajar dan penuntut di sekolah dan di universiti di
dalam dan di luar negeri, bagi pihak Kerajaan, ingin
saya mengucapkan berbanyak terima kasih kerana
sumbangan yang tidak ternilai terhadap kemajuan dan
pembangunan negara yang bertuah dan tercinta ini.
41. Selamat maju jaya kepada semua. Wabillahitaufik
walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|