Oleh 		: 	YAB DATO SERI DR 
			MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat		: 	DEWAN SA'ADAH, WISMA MUIS KOTA
			KINABALU, SABAH 
Tarikh		: 	18-09-2000 
Tajuk 		: 	MAJLIS PERASMIAN MAJLIS 
			TILAWAH AL-QURAN PERINGKAT 
			KEBANGSAAN KALI KE-43 
Penyampai	: 	PM


         Alhamdullillah,  segala  puji  bagi  Allah  s.w.t.
  kerana  buat  kali  yang  ke-43  kita  dapat  mengadakan
  Majlis  Tilawah  Al-Quran.  Di Malaysia  kita  bersyukur
  kerana  Tilawah Al-Quran menolong secara  yang  berkesan
  mendekatkan  kita kepada al-Quran yang memberi  petunjuk
  dan  memandu kita dalam percubaan kita mengamalkan Islam
  sebagai `Addin' atau cara hidup.
  
  2.    Pada  mulanya  kita hanya dapat  mendengar  bacaan
  ayat-ayat suci dan sedikit ulasan dalam bentuk  syarahan
  dalam  majlis  tilawah.   Tetapi perkembangan  teknologi
  sekarang membolehkan kita bukan sahaja mendengar  tetapi
  juga  membaca ayat-ayat yang dibaca oleh peserta-peserta
  dan  ulasan  berkenaan  dengan  isi  kandungannya.   Ini
  sudah  tentu membolehkan kita lebih memahami akan ajaran
  al-Quran  dan akan menolong kita dalam urusan dunia  dan
  akhirat kita.
  
  3.     Kefahaman   ini  menjadi  lebih  penting   kerana
  terdapat  banyak  ajaran dan tafsiran yang  tidak  tepat
  yang  dibuat  oleh  orang tertentu.   Dengan  mengetahui
   tafsiran  dan terjemahan dalam bahasa yang  kita  faham,
  dan  ditafsirkan  mengikut tafsiran  yang  sebenar  maka
  dapatlah kita kenali dan menolak ajaran-ajaran sesat.
  
  4.    Sebenarnya bukanlah mudah untuk kita memahami  isi
  kandungan  al-Quran.   Orang yang  berbahasa  Arab  atau
  faham  Bahasa  Arab  pun tidak mudah memahami  al-Quran.
  Ini  adalah  kerana sementara ada ayat-ayat  yang  tepat
  yang  mudah  difahami, ada pula banyak ayat  yang  tidak
  begitu  jelas  melainkan setelah diulas dan  diterangkan
  maksudnya oleh ulama yang mendalami ajaran Islam dan al-
  Quran.   Ulama-ulama yang dimaksudkan ialah  ulama  yang
  tidak   mempunyai   kepentingan  lain  selain   daripada
  keikhlasan dan keinginan untuk memandu umat Islam  dalam
  ajaran  Islam yang sebenarnya.  Jika ulama yang  membuat
  penjelasan  dan  tafsiran berkenaan  isi  kandungan  al-
  Quran  terdiri daripada orang yang berkepentingan  lain,
  tidak  dapat  tidak  ulasan  dan  tafsiran  akan  dibuat
  dengan  tujuan  menghalalkan atau memajukan  kepentingan
   diri  atau  puak, tarikat atau mazhabnya  sahaja.   Jika
  ulama   itu   terdiri  daripada  orang   politik,   maka
  tafsirannya tetap berbau politik yang didokong  olehnya.
  Kerapkali  pula tafsiran yang salah dibuat atau  separuh
  sahaja daripada ayat yang dipetik dan ditafsir.
  
  5.    Ulama-ulama  di zaman silam yang  tidak  mempunyai
  kepentingan  lain  selain daripada  mengembangkan  Islam
  adalah   punca  tafsiran  yang  dibuat  semasa  tilawah.
  Sudah  tentu  apabila ayat berkenaan  adalah  jelas  dan
  tidak  mungkin disalaherti, maka penjelasan yang  diberi
  lebih  merupakan peringatan akan panduan  yang  didapati
  daripada al-Quran.
  
  6.    Tilawah  Al-Quran  tetap  memberi  banyak  manfaat
  kepada  orang  Islam yang biasanya tidak  dapat  membaca
  dan  memahami al-Quran pada peringkat yang lebih tinggi.
  Ia  juga  dapat  menjadi benteng terhadap  salahtafsiran
  dan penyelewengan yang dilakukan oleh orang tertentu.
  
  7.    Hari ini umat Islam berpecah kepada banyak mazhab,
   tarikat  dan juga pengikut ulama dan guru-guru tertentu.
  Perbezaan dalam perkara-perkara yang bukan pokok  kepada
  agama  Islam memanglah perkara biasa yang diterima  oleh
  agama  Islam.  Tetapi jika perbezaan itu ketara,  bahkan
  ajaran   yang   disampaikan  adalah  jelas  bertentangan
  dengan  ajaran  Islam, maka masyarakat dan  mereka  yang
  dipertanggungjawabkan berkenaan dengan  soal-soal  agama
  mestilah  bertindak  untuk  memperbetulkannya.    Adalah
  tidak      bertanggungjawab     jika     orang      yang
  dipertanggungjawabkan memelihara kebersihan agama  Islam
  membiarkan  ajaran  sesat dan dakwaan yang  bertentangan
  dengan  ajaran Islam dibenarkan berkembang dan mengeliru
  serta menghancurkan aqidah orang Islam.
  
  8.     Jika  perbezaan  pendapat  itu  tidak  melibatkan
  aqidah, maka permusuhan yang ketat sehingga orang  Islam
  berpecah-belah tidak harus berlaku.  Tidak mungkin mana-
  mana  pihak  memaksa seluruh umat Islam  menerima  hanya
  tafsiran dan ajaran mereka sahaja.  Di zaman Islam  mula
   berkembang puak Khawarij telah cuba memaksa semua  orang
  Islam  lain menerima tafsiran dan amalan mereka  sahaja.
  Dengan  itu  peperangan besar-besaran  dan  berpanjangan
  telah  berlaku di antara mereka dan majoriti umat Islam.
  Selagi  perbezaan  terhadap perkara yang  bukan  menjadi
  pokok  dan tidak melibatkan aqidah dijadikan sebab orang
  Islam  terbahagi  kepada  puak-puak  dan  kumpulan  yang
  bermusuh, selama itulah orang Islam tidak dapat bersatu-
  padu  dan  bersaudara.  Ini bermakna orang  Islam  tidak
  menghiraukan ajaran Islam yang amat penting iaitu  orang
  Mukmin adalah bersaudara.
  
  9.    Di  Malaysia  di  mana  orang  Islam  hanyalah  60
  peratus   daripada  penduduk  seramai  22  juta   orang,
  perpaduan dan persaudaraan di kalangan orang Islam  juga
  tidak   tercapai.    Ini  adalah  disebabkan   tafsiran-
  tafsiran  berkenaan  ajaran agama, termasuk  terjemahan,
  tafsiran  dan ulasan al-Quran itu sendiri dibuat  secara
  berbeza-beza  kerana kepentingan tertentu.   Dengan  itu
   ramai   orang  Islam  di  Malaysia  terkeliru  berkenaan
  dengan  ajaran  Islam, dan bertentangan  sesama  sendiri
  dan berpecah-belah.
  
  10.   Dengan adanya Tilawah Al-Quran, maka isi kandungan
  al-Quran  serta  terjemahan  yang  tidak  berkepentingan
  lain   dapat   diketahui  dan  ini  dapat   mengurangkan
  perbezaan  pendapat,  bahkan  permusuhan  sesama   orang
  Islam.   Ini adalah satu-satunya hikmah Tilawah Al-Quran
  yang diadakan di negara kita tiap tahun.
  
  11.   Faedah dan nikmat yang boleh didapati daripada al-
  Quran  amatlah  banyak bagi orang Islam.   Hanya  dengan
  mendengar  ayat-ayat  suci  al-Quran  dibaca  pun  dapat
  menenangkan  hati dan membangunkan semangat persaudaraan
  di  kalangan  orang Islam.  Amatlah ganjil jika  apabila
  ayat-ayat  suci  al-Quran dibaca, maka ia  membangkitkan
  nafsu di kalangan pendengarnya.
  
  12.    Ini  hanya  boleh  berlaku  kerana  manusia   itu
  keterlaluan  nafsunya.   Manusia  adalah  makhluk   yang
  dijadikan oleh Allah s.w.t. yang lebih tinggi dan  lebih
   mulia  daripada  makhluk  yang lain,  khususnya  haiwan.
  Manusia  berbeza daripada makhluk lain kerana  mempunyai
  keupayaan  berfikir  dan  membendung  nafsu.   Sementara
  manusia  perlu  mengelak daripada sengaja  membangkitkan
  nafsu  orang lain dengan cara-cara tertentu  dan  jelas,
  manusia   yang   terdedah  kepada   aurat   juga   perlu
  membendung nafsu sebagai makhluk yang bertamadun.   Jika
  tidak, maka masyarakat manusia tidak akan menjadi  aman,
  bahkan  manusia tidak boleh hidup bersama  sebagai  satu
  masyarakat.   Manusia yang tidak dapat membendung  nafsu
  akan  membawa huru-hara kepada masyarakat kerana  mereka
  akan  mengambil apa sahaja yang diidamkan tanpa  mengira
  hak  orang  lain.  Bermacam-macam jenayah akan  berlaku.
  Kita  tahu  bahawa undang-undang agama dan undang-undang
  masyarakat  tidak  berjaya menghapuskan  jenayah  secara
  menyeluruh walaupun hukuman bunuh dikenakan.
  
  13.   Manusia  yang  bertamadun tinggi perlu  membendung
  nafsu  dengan  berkesan oleh diri sendiri tanpa  terlalu
   bergantung  kepada  pencegahan oleh undang-undang  agama
  atau  undang-undang  manusia.  Kita  tahu  bahawa  dunia
  sekarang  sudah  menjadi  amat  sempit  sehingga   tidak
  mungkin  sesiapa memulaukan dirinya daripada budaya  dan
  tamadun  lain.  Orang Islam dalam perjalanan  mereka  ke
  negara  bukan  Islam,  atau  yang  terpaksa  tinggal  di
  negara   bukan  Islam  akan  terdedah  kepada   pelbagai
  maksiat  dan  amalan  yang  bertentangan  dengan  ajaran
  Islam.   Mereka  tidak  dapat melindungi  diri  daripada
  godaan  ini dengan memaksa orang bukan Islam mengamalkan
  ajaran  Islam  tertentu.  Benteng  untuk  mempertahankan
  diri  mereka daripada godaan nafsu disebabkan  oleh  apa
  yang terdedah kepada mereka ialah iman mereka.
  
  14.   Jika  iman  mereka dikuatkan dengan  melatih  diri
  supaya    berdisiplin    dan   meningkatkan    keupayaan
  membendung   nafsu   maka  akan   terselamatlah   mereka
  daripada  terceroboh  dengan  maksiat  walau   apa   pun
  godaannya.    Jika  sebaliknya  mereka   tidak   sanggup
   mengawal   nafsu   dan  bergantung  semata-mata   kepada
  penutupan  aurat  oleh orang lain, maka semasa  terdedah
  kepada  budaya lain akan amat mudahlah mereka  melakukan
  apa yang dilarang oleh agama Islam.
  
  15.   Di  Malaysia  pun terdapat agama dan  budaya  yang
  berlainan   dengan  Islam.   Tidak  dapat   tidak   kita
  terdedah  kepada aurat orang yang bukan beragama  Islam.
  Mereka  yang  kuat iman dan dapat mengawal  nafsu  tidak
  akan  menghadapi  masalah, bahkan  fikiran  mereka  juga
  tidak  akan  terganggu.  Tetapi mereka yang  lemah  iman
  atau  terlalu  kuat nafsu akan tercebur secara  langsung
  atau  tidak langsung dengan maksiat, termasuk  pemikiran
  yang  tidak bersih.  Orang yang seperti ini tidak  dapat
  melihat  atau  mendengar apa-apa tanpa  terjebak  dengan
  pemikiran yang tidak bersih.
  
  16.   Islam adalah agama yang berjaya membentuk  tamadun
  yang  tinggi  dan  mulia.  Bertamadun bermakna  berupaya
  mendisiplinkan  diri dan membendung nafsu.   Jika  orang
   Islam   tidak  dapat  membendung  nafsu  setelah  mereka
  dilindungi     daripada    segala-gala    yang     boleh
  membangkitkan  nafsu,  maka  adalah  jelas   nilai-nilai
  Islam  yang  menjadi sebahagian daripada  tamadun  Islam
  tidak berjaya diserapkan oleh mereka.
  
  17.   Antara lain Al-Quran mengajar kita mengawal nafsu.
  Bacaannya   mestilah  didengar  dengan   khusyuk   tanpa
  memikirkan  akan  perkara-perkara  lain.   Mereka   yang
  mendengar  ayat-ayat  suci  al-Quran  dibaca,  sama  ada
  difahami atau tidak, tetap akan mengingati Allah  s.w.t.
  dan  larangan-larangan akan perkara-perkara  yang  jahat
  yang  terkandung dalam al-Quran.  Sebab  itulah  Tilawah
  Al-Quran  mempunyai  khasiat yang lebih  daripada  suara
  yang   didengari.   Kerana  mendengar  bacaan   al-Quran
  sahaja pun, orang Islam akan menjadi manusia yang  lebih
  baik,  apatah  lagi  jika  bacaan  itu  diiringi  dengan
  tafsiran   dalam   bahasa   yang   difahami   dan   juga
  penjelasannya.
  
   18.   Rakyat  Malaysia bertuah kerana dapat  mempelajari
  isi  kandungan al-Quran dengan mudah melalui Tilawah Al-
  Quran.  Kita berdoa supaya orang Islam di Malaysia  akan
  menjadi   sebaik-baik  manusia  kerana  kefahaman   akan
  ajaran Islam semasa Tilawah Al-Quran diadakan.
  
  19.   Oleh  itu marilah kita bersama-sama mendengar  dan
  menuruti  tafsiran  dan  terjemahan  ayat-ayat  al-Quran
  semasa  tilawah ini, mudah-mudahan kita akan memperolehi
  kebaikan dan panduan daripadanya.
  
  20.    Akhir  kata  dengan  lafaz  Bismillahir  rahmanir
  rahim,   saya   merasmikan   Majlis   Tilawah   Al-Quran
  Peringkat Kebangsaan Kali Ke-43 ini.
  
  



 
Google