Oleh : YAB DATO SERI DR
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat : UNIVERSITI MALAYSIA SABAH KOTA
KINABALU, SABAH
Tarikh : 19-09-2000
Tajuk : UPACARA PERASMIAN KAMPUS INDUK
UNIVERSITI MALAYSIA SABAH
Penyampai : PM
Saya ingin merakamkan rasa terima kasih dan
penghargaan saya kepada pihak Universiti Malaysia Sabah
kerana telah mengundang saya ke Upacara Perasmian
Kampus Induk Universiti Malaysia Sabah pada hari ini.
2. Seperti yang kita sedia maklum penubuhan
Universiti Malaysia Sabah (UMS), universiti awam yang
kesembilan di negara kita, merupakan suatu
penyempurnaan janji yang telah dibuat oleh Kerajaan
kepada rakyat Sabah khususnya. Saya sendiri telah
membuat janji tersebut bagi pihak Kerajaan Barisan
Nasional. Selepas saya melafazkan janji itu pada tahun
1994 saya telah datang semula ke tempat ini pada tahun
1995 untuk upacara pecah tanah, dan pada Februari 1999
untuk lawatan meninjau kemajuan UMS. Kini saya datang
sekali lagi ke tempat yang sama untuk Upacara Perasmian
Kampus Induk UMS yang baru lagi indah permai ini.
3. Saya sentiasa mengikuti perkembangan UMS dan
pembinaan kampus ini. Sehubungan dengan ini juga, saya
mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat,
khususnya pihak pengurusan dan tenaga pengajar UMS,
atas usaha mereka yang pantas lagi cekap dalam
menjelmakan janji menjadi kenyataan dalam tempoh masa
kurang dari enam tahun. Kini saya difahamkan sembilan
sekolah, dua institut, semua jabatan pentadbiran
Universiti serta tempat kediaman pelajar telah
beroperasi sepenuhnya di kampus induk ini. Selain itu
UMS juga mempunyai Kampus Cawangan Antarabangsanya di
Labuan. Pembinaan seterusnya bergantung kepada keadaan
ekonomi, kestabilan politik dan rancangan-rancangan
akademik yang memenuhi keperluan negara.
4. Kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan
taraf pendidikan setiap rakyat supaya taraf hidup
mereka menjadi lebih baik dan tinggi hasil peningkatan
keupayaan mereka. Pendidikan merupakan satu batu
loncatan untuk individu yang ingin maju dan juga bagi
pembangunan bangsa dan negara ke arah kemajuan yang
sama dengan negara-negara maju. Namun kita harus ingat
bahawa bersama-sama dengan penguasaan ilmu pengetahuan,
rakyat juga perlu mempunyai nilai-nilai hidup yang
mulia yang akan menentukan ilmu yang diperolehi
digunakan dengan baik dan berhasil. Gandingan antara
ilmu dan budaya yang mulia dan tinggi adalah kunci
sebenarnya kepada kebahagiaan hidup individu dan
kemajuan bangsa dan negara. Sebaliknya jika ilmu yang
diperolehi digunakan untuk kegiatan yang tidak sihat
dan tidak bertanggungjawab, maka akan rosaklah
individu, masyarakat dan negara.
5. Banyak bangsa di dunia yang memiliki ilmu yang
tinggi tetapi menggunakannya untuk menindas bangsa-
bangsa yang lemah. Demikian ilmu fizik digunakan untuk
mencipta senjata dan bom yang boleh memusnahkan ramai
manusia dan dengan ini dapatlah mereka menakluk negara-
negara yang miskin dan lemah. Ilmu matematik digunakan
untuk perniagaan matawang yang menyebabkan kegawatan
ekonomi dan kewangan berlaku dan memiskinkan negara
membangun serta rakyatnya.
6. Di zaman ini ilmu berkenaan dengan Teknologi
Maklumat (I.T.) adalah amat penting. Ia boleh
mendatangkan banyak kebaikan bahkan kekayaan bagi
mereka yang menguasainya. Tetapi kerana tidak memiliki
budaya yang mulia ada yang menggunakan I.T. dan
Internet untuk menyebar bahan-bahan lucah dan fitnah
serta pembohongan. Amatlah mendukacitakan bahawa
sementara sebahagian daripada rakyat Malaysia
menggunakan Internet untuk mendapatkan ilmu dan
maklumat yang berguna, sebahagian lagi yang memiliki
budaya yang keji menggunakan Internet untuk melemparkan
tuduhan-tuduhan yang tidak berasas dan menimbulkan
kebencian kepada pihak tertentu.
7. Yang jelas ialah apabila ilmu dimiliki oleh orang
yang buruk budi pekerti, maka bukan sahaja pemilik ilmu
ini akan berkelakuan buruk, tetapi masyarakat juga akan
diheret turun ke lembah kehinaan. Justeru itu
penguasaan ilmu di institusi pelajaran rendah dan
tinggi perlu disertai dengan didikan dalam bidang moral
dan etika. Kursus yang teratur perlu diadakan bagi
semua penuntut dalam bidang etika dan moral supaya ilmu
yang diperolehi tidak disalahgunakan.
8. Kerajaan telah mencuba menerapkan nilai-nilai
mulia Islam dalam Kerajaan. Malangnya ada antara
mereka yang dipertanggungjawabkan untuk menolong
kakitangan Kerajaan menerap nilai-nilai Islam, yang
mengkhianati tujuan yang mulia ini dengan
memutarbelitkan ajaran Islam supaya ia menjadi
propaganda parti politik. Hasilnya ialah jauh daripada
menerap nilai-nilai Islam, ada pegawai Kerajaan yang
menerap nilai yang bertentangan dengan Islam. Mereka
menjadi pegawai yang tidak beramanah dan tidak
bertanggungjawab sehingga pentadbiran tidak lagi
profesional dan menyumbang kepada kemajuan negara.
9. Oleh kerana itu apabila institusi pelajaran tinggi
mengadakan kursus moral dan etika serta pelajaran agama
Islam, amatlah penting mereka yang
dipertanggungjawabkan diawasi supaya tidak berlaku
penyelewengan dan pengkhianatan terhadap usaha murni
ini. Mereka yang mengurus dan mengajar perlu berikrar
akan menunaikan kewajipan mereka secara ikhlas dan
jujur. Jika mereka menyeleweng, maka mereka harus
disingkirkan. Syarat-syarat ini perlu dikenakan supaya
kita benar-benar dapat menyemai dan memupuk nilai-nilai
yang mulia di kalangan mereka yang akan dibekalkan
dengan ilmu supaya mereka dapat menyumbang kepada
masyarakat yang membiayai pelajaran mereka.
10. Sesuatu bangsa itu tidak akan maju dan berjaya
jika bangsa itu tidak memiliki ilmu dan budaya yang
mulia. Institusi pendidikan di semua peringkat harus
faham dan ingat akan perlunya gabungan antara ilmu
pengetahuan dan budaya yang mulia. Dengan menumpu
kepada kedua-dua ini maka institusi pendidikan tinggi
akan menolong menentukan kemajuan negara akan tercapai.
11. Universiti bukanlah hanya satu gedung ilmu atau
menara gading yang terpisah daripada masyarakat di
sekeliling. Dan universiti milik Kerajaan yang
menggunakan wang rakyat seperti Universiti Malaysia
Sabah ini perlu mengambilkira kepentingan rakyat dan
negara. Ini bermakna segala-segala yang dilakukan oleh
universiti awam hendaklah bertujuan memenuhi
kepentingan rakyat dan negara. Sesiapa yang
membelakangkan kepentingan rakyat seperti yang
ditentukan oleh Kerajaan pilihan majoriti, tetapi
sebaliknya mengutamakan kepentingan diri atau satu puak
tertentu, tidaklah layak diberi kepercayaan oleh
Kerajaan yang memerintah. Semua pihak dalam universiti
awam, daripada pentadbir dan tenaga pengajar sehingga
ke penuntut yang diberi biasiswa atau tidak, harus
mengingati hakikat ini dan menjadikannya panduan
sepanjang masa. Saya tahu UMS memang berpegang kepada
panduan ini dan saya mengalu-alukannya.
12. Kita mesti mengkaji semula peranan universiti
dalam alaf baru ini, alaf yang begitu mencabar. Kita
dengar berulangkali bahawa dunia ini sudah menjadi
kecil sehingga ditakrif sebagai sebuah kampung sahaja.
Ini adalah kerana kemajuan yang pesat dalam bidang
teknologi komunikasi, termasuk kemudahan bergerak dari
satu tempat ke satu tempat. Tidak ada mana-mana tempat
di dunia yang jaraknya lebih dari 18 jam penerbangan
dari tempat yang lain.
13. Daripada segi perhubungan pula kita boleh dengar
dan lihat sesuatu yang berlaku di mana-mana tempat di
dunia semasa ia berlaku. Tidak ada sesuatu yang boleh
disekat oleh sempadan sesebuah negara. Sempadan sudah
kurang maknanya sebagai benteng yang mengasing dan
melindungi negara. Oleh kerana ini maka hari ini kita
bercakap berkenaan dengan dunia tanpa sempadan,
berkenaan globalisasi.
14. Perubahan ini membawa banyak cabaran kepada kita
semua. Kita telah lihat bagaimana mudahnya orang asing
dapat merosakkan ekonomi negara kita dengan menjatuhkan
nilai Ringgit kita tanpa menjejak kaki di bumi kita.
Kita bernasib baik kerana Kerajaan berjaya mencipta
cara untuk memulih semula kedaulatan kewangan kita kali
ini. Tetapi serangan dari jarak jauh ini masih boleh
dibuat dalam bidang lain. Melalui Internet budaya kita
diserang dengan menyebar bahan lucah dan nilai-nilai
hidup yang boleh merosakkan segala-gala yang kita
pandang mulia. Melalui dagangan elektronik peniaga dan
Kerajaan boleh ditekan sehingga menjadi miskin.
15. Tetapi sebaliknya jika kita mempunyai iman yang
kuat dan kita kuasai teknologi dan kecekapan
menggunakan sistem komunikasi elektronik ini kita bukan
sahaja akan dapat menangkiskan serangan-serangan ke
atas kita, tetapi sebaliknya kita akan dapat melintasi
sempadan negara asing dan meraih kekayaan yang ada
kepada mereka. Justeru itu, amat penting universiti
kita membuat kajian dan penjelasan berkenaan dengan
globalisasi dan dunia tanpa sempadan serta teknologi-
teknologi komunikasi yang membawa perubahan-perubahan
yang amat radikal ini. Aplikasi teknologi yang
tercanggih dalam semua bidang hendaklah dikaji-selidik,
difahami dan digunakan. Lulusan universiti hendaklah
diberi latihan dan ilmu yang mencukupi untuk menangani
cabaran dunia tanpa sempadan supaya bukan sahaja kita
dapat menyelamatkan negara kita tetapi juga kita akan
dapat meraih banyak keuntungan bahkan nikmat
daripadanya.
16. Masalah pencapaian Bumiputera yang diberi peluang
belajar di universiti perlu diberi perhatian oleh semua
pihak. Menambah kuota Bumiputera tidak dengan
sendirinya menghasilkan keputusan yang lebih baik.
Walaupun 60 peratus daripada kemasukan ke universiti
terdiri daripada Bumiputera, peratusan yang lulus amat
mengecewakan. Lagipun yang lulus tidak mendapat kelas
yang tinggi.
17. Apakah sebabnya? Siswa amat marah jika mereka
disuruh menumpukan kepada pelajaran, tetapi hakikatnya
ialah jika tidak ada tumpuan yang serius kepada
pelajaran mustahil kejayaan dalam peperiksaan akan
tercapai.
18. Rakyat rela Kerajaan membelanjakan wang rakyat
yang banyak untuk memberi pelajaran kepada penuntut
Bumiputera. Tetapi rakyat tidak rela wang itu
dibazirkan dengan penuntut menghabiskan masa dan tenaga
dalam kegiatan yang tidak ada kena-mengena dengan
tujuan wang itu diperuntukkan, iaitu mempelajari dan
menguasai ilmu pengetahuan. Jika penuntut tidak
berminat belajar adalah lebih baik mereka tidak diberi
peluang belajar dan tempat mereka diberi kepada yang
ingin belajar secara serius.
19. Universiti pula perlu menentukan tenaga pengajar
bukan sahaja mengajar mengikut jadual tetapi mengambil
berat akan pencapaian penuntut Bumiputera yang
diserahkan kepada mereka. Jika perlu profesor dan
pensyarah hendaklah memberi `coaching' kepada penuntut
yang lemah. Amat malang sekali apabila didapati
sebilangan kecil daripada tenaga pengajar, termasuk
yang dihantar ke luar negeri untuk melayakkan mereka
menjadi pensyarah, menghasut penuntut supaya membenci
Kerajaan. Hanya kerana ini sahaja pun ramai penuntut
tidak dapat menumpukan pelajaran. Saya harap tenaga
pengajar di universiti akan bersama-sama menentukan
penuntut Bumiputera terutamanya mencapai kejayaan yang
cemerlang. Saya harap dan yakin harapan dan gesaan ini
tidak akan dipersia-siakan oleh pihak universiti.
20. Sekali lagi saya ucapkan terima kasih dan tahniah
kepada pihak UMS di hari yang penuh bermakna baginya
ini.
21. Dengan sukacitanya dan dengan lafaz Bismillahir
rahmanir rahim, maka saya dengan ini mengisytiharkan
Perasmian Kampus Induk Universiti Malaysia Sabah.
|