Oleh 		: 	Y.A.B. DATO SERI DR. 
			MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat		: 	HOTEL EQUATORIAL, PULAU PINANG
Tarikh		: 	23-09-2000 
Tajuk 		: 	MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN 
			PERWAKILAN KE-29 PARTI GERAKAN 
			RAKYAT MALAYSIA 
Penyampai	: 	PM



     Saya  ucapkan  terima kasih kepada Parti  Gerakan  Rakyat
Malaysia  kerana  menjemput saya sekali lagi untuk  merasmikan
Persidangan Perwakilan Parti Gerakan di Pulau Pinang hari  ini
iaitu yang ke-29.

2.    Setelah sekian lama ia diadakan di Kuala Lumpur kali ini
saya   dipaksa   datang  ke  Pulau  Pinang  untuk   merasmikan
persidangan  perwakilan Parti Gerakan di  Pulau  Mutiara  yang
indah permai ini.  Saya percaya ada hikmahnya persidangan  ini
diadakan di sini.

3.    Kita  tahu  Pulau Pinang adalah pangkalan Parti  Gerakan
yang  utama sejak ia ditubuhkan dulu.  Parti Gerakan mempunyai
bilangan  anggota yang ramai di negeri ini hingga  ia  menjadi
kubu  terkuatnya.  Dari  Pulau  Pinanglah  Parti  Gerakan  ini
berkembang  ke  seluruh  tanah air terutama  di  negeri-negeri
pantai   Barat   Semenanjung.   Kini  Parti   Gerakan   begitu
berpengaruh  dan  terus  menjadi  salah  satu  parti  komponen
Barisan Nasional yang begitu teguh dan setia.

4.    Berasas  kepada  kesetiaan dan  semangat  setiakawan  di
kalangan anggota parti-parti komponen Barisan Nasional,  Parti
Gerakan  terus  diberi kepercayaan menerajui  Kerajaan  Negeri
Pulau   Pinang.   Negeri  ini  terus-menerus  mempunyai  Ketua
Menteri  yang  dilantik daripada anggota Parti Gerakan.   Jika
sekalipun bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri yang  diduduki
oleh Parti Gerakan adalah kecil sedikit daripada kerusi parti-
parti  komponen Barisan Nasional Pulau Pinang yang lain  iaitu
UMNO  dan  MCA, teraju pemerintahan negeri ini terus diberikan
kepada Parti Gerakan.

5.    Inilah semangat musyawarah yang ditunjukkan oleh  parti-
parti   komponen  Barisan  Nasional.   Kita  cuba  mengagihkan
peranan  parti-parti  komponen Barisan Nasional  supaya  semua
parti  mendapat  tempat dan tidak ada parti yang  ketinggalan.
Ini  bukanlah  mudah  kerana  ada  jawatan-jawatan  yang  amat
diminati  oleh semua pihak tetapi tentulah tidak dapat  diberi
kepada  semua. Perpaduan dalam parti campuran di negara-negara
lain  tidak  berjaya kerana berlaku rebutan  tempat.   Apabila
mana-mana  pihak  kecewa maka ia akan  keluar  daripada  parti
campuran  dan  akan runtuhlah Kerajaan.  Tetapi dalam  Barisan
Nasional   walaupun  ada  rebutan  tetapi  kesederhanaan   dan
kesanggupan  bertolak ansur dan menerima  realiti  membolehkan
kita  terus  bersatu dan mengekalkan kuasa kita.   Saya  harap
kita  semua,  daripada  semua parti,  akan  bersikap  demikian
supaya  negara  kita terus memiliki Kerajaan  yang  kuat  yang
dapat menstabilkan dan memajukan negara.

6.    Jelas sekali budaya berbaik-baik, tidak tamak dan saling
percaya-mempercayai yang kita pupuk selama ini di bawah payung
Barisan  Nasional memberi keyakinan kepada rakyat untuk  terus
mendokong kita.  Keyakinan rakyat ini hendaklah kita  pelihara
dengan   memastikan   Barisan  Nasional   tidak   mengutamakan
kepentingan  parti  atau individu lebih  daripada  kepentingan
rakyat.

7.    Di dalam Barisan Nasional kita tidak perlu membuang masa
berdebat  tentang perkara-perkara yang membezakan rakyat  yang
berbilang  kaum, budaya, bahasa dan agama.  Di  dalam  Barisan
Nasional  kita  berbincang mencari titik pertemuan  dan  titik
persamaan  untuk  memajukan setiap  anggota  masyarakat  kita.
Inilah  perjuangan utama Barisan Nasional yang  sehingga  kini
menunjukkan  hasil  yang berkesan dan nyata.   Ingatlah  dalam
Barisan Nasional tidak akan ada parti yang akan mendapat semua
yang  dikehendaki dan tidak akan ada parti yang tidak mendapat
apa pun bagi dirinya.

8.    Baru-baru  ini kita merayakan sambutan Hari  Kemerdekaan
yang  ke-43.   Seluruh  rakyat tidak mengira  taraf  kedudukan
merayakan  nikmat kebebasan di negara ini.  Nikmat  ini  tidak
mungkin  dapat  dikecapi  oleh  rakyat  di  sesetengah  negara
walaupun negara mereka sudah merdeka.

9.    Saya  berkata  demikian kerana nikmat  kemerdekaan  yang
rakyat   kita   kecapi   adalah  istimewa.    Kita   merayakan
kemerdekaan  dan  kebebasan  kita di  tengah-tengah  kemajuan,
kemakmuran  dan keamanan negara.  Tidak ada sebarang  halangan
atau  tekanan  yang  mengganggu  fikiran,  jiwa  dan  perasaan
kebebasan kita.

10.   Di  beberapa negara rakyat mereka turut  menyambut  hari
kemerdekaan  tanah  air mereka.  Tetapi  tidak  seperti  kita,
mereka  menyambutnya dengan perasaan terbelenggu.  Ini  kerana
suasana dalam negara mereka telah mencengkam kehidupan mereka.
Negara  mereka masih dilanda kemiskinan, kemunduran,  rusuhan,
ketidakstabilan politik dan kemerosotan ekonomi.

11.   Ada  negara-negara  ini yang  sudah  merdeka  dibelenggu
semula oleh Barat melalui agensi-agensi mereka seperti IMF dan
Bank Dunia.  Ini kerana beban hutang negara-negara ini memaksa
mereka diletakkan di bawah telunjuk kuasa asing.  Selain  itu,
banyak  negara yang sudah merdeka menjadi mangsa  kolonialisme
Barat  melalui  penjajahan ekonomi hasil daripada  globalisasi
dan liberalisasi peraturan perdagangan dunia.

12.   Jelas  rakyat dan negara kita amat bertuah.  Maruah  dan
kedaulatan  bangsa dan rakyat kita dapat kita  dilindungi  dan
kita   pertahankan.   Inilah  erti  sebenar   kemerdekaan   di
Malaysia.

13.    Justeru  itu,  rakyat  daripada  semua  kaum  hendaklah
sentiasa  bersama-sama memelihara negara  kita  yang  tercinta
ini.   Kita tidak mempunyai tempat lain lagi selain tanah  air
dan  tanah  tumpah darah kita ini yang menjadi tempat  tinggal
kita.   Kita hendaklah bersedia mempertahankan kedaulatan  dan
kebebasan kita.

14.   Di samping itu, kita juga hendaklah sama-sama berwaspada
terhadap   perkara-perkara  negatif  yang   boleh   merosakkan
perpaduan  kaum  dan  keamanan negara  kita.   Kita  hendaklah
memastikan  matlamat  pembangunan jangka  panjang  kita  untuk
semua  kaum  tidak  terjejas kerana angkara  golongan-golongan
ekstrimis  perkauman  atau agama yang  berfikiran  sempit  dan
militan.

15.    Baru-baru  ini  negara  kita  telah  dikejutkan  dengan
peristiwa rompakan senjata di sebuah kem tentera di Perak oleh
satu  gerombolan pengikut sebuah pertubuhan yang didorong oleh
pemikiran   yang  keterlaluan.   Jika  kita  tidak  berwaspada
peristiwa  sedemikian  boleh berulang  dan  membahayakan  lagi
kehidupan  rakyat dan keselamatan negara kita.   Tidak  pernah
terlintas  di  kepala kita bahawa peristiwa seperti  ini  yang
sering kita lihat berlaku di luar negara boleh juga berlaku di
negara kita.  Tetapi itulah kenyataannya.

16.  Juga tercetus baru-baru ini satu polemik berhubung dengan
hak  kaum tertentu.  Memang benar ada perasaan tidak puas hati
berkenaan perkara-perkara tertentu di kalangan semua  kaum  di
Malaysia.   Sementara kita boleh bincang perkara-perkara  ini,
ia  hendaklah dibuat dengan cara tertutup.  Jika  kita  adakan
perbahasan terbuka tidak dapat tidak perasaan tidak akan dapat
dikawal.   Besar kemungkinan rusuhan kaum akan  berlaku.   Ini
akan merugikan semua pihak.

17.   Di  antara negara-negara berbilang kaum di dunia,  tidak
banyak  yang  aman.  Selalunya perbezaan pendapat antara  kaum
menyebabkan    rusuhan   berlaku.    Rusuhan   ini    biasanya
berpanjangan sehinggalah tidak mungkin penyelesaian  tercapai.
Tetapi di Malaysia walaupun terdapat tiga kaum yang besar  dan
hampir  30 suku kaum, rusuhan kaum hanya berlaku sekali sahaja
iaitu pada 1969.

18.  Kita harus berbangga dan bersyukur dengan keadaan harmoni
di  negara kita.  Janganlah sesiapa begitu tidak sensitif  dan
mengungkit tentang kepentingan mereka sehingga keharmonian  di
negara kita terancam, retak dan hancur.

19.  Walaupun kita boleh berpuashati dengan keharmonian antara
kaum,  kita  perlu  berusaha supaya  perhubungan  antara  kaum
menjadi  lebih  erat.  Usaha ini perlu dibuat awal-awal  lagi.
Sebab itu kita ingin lihat rakyat daripada semua kaum dan suku
kaum  tinggal  di kawasan perumahan yang sama.  Amatlah  tidak
sihat   jika  masing-masing  kaum  mempunyai  perumahan   yang
berasingan.  Lebih tidak sihat lagi ialah satu kaum tinggal di
rumah-rumah  mewah dan kaum lain tinggal di rumah  murah  atau
rumah setinggan.

20.   Pengusaha  perumahan  dan bandar-bandar  baru  hendaklah
menentukan  semua  kaum  akan  tinggal  bersama  dan  berniaga
bersama  di  projek-projek perumahan dan  bandar-bandar  baru.
Agihan   rumah  dan  kedai  mestilah  adil.   Kerajaan  sedang
berusaha  supaya  matlamat ini akan  tercapai  melalui  projek
`Prosper'.

21.   Di  peringkat pra-sekolah dan sekolah  juga  semua  kaum
mesti  ada bersama.  Kita tidak berhajat menghapuskan sekolah-
sekolah jenis kebangsaan di Malaysia, sesuatu yang istimewa di
negara  ini.   Sebenarnya tidak ada negara di dunia  sama  ada
maju  atau  tidak  maju yang membenarkan rakyat  yang  berasal
daripada kaum pendatang mengadakan sekolahnya sendiri.  Tetapi
atas  desakan kaum bukan Melayu kita membenarkan sekolah  kaum
lain   diadakan.    Walaupun   kita   tidak   berhajat   untuk
mengassimilasi kaum lain, tetapi sekurang-kurangnya kita patut
integrasikan kaum-kaum melalui penempatan sekolah bersama.

22.    Pendekatan  ini  amatlah  sederhana.    Sekolah   masih
berasingan,  hanya  perhimpunan dan  sukan  sahaja  yang  akan
diadakan  bersama.   Amatlah sedih apabila ini  dijadikan  isu
perkauman dan tentangan yang hebat diadakan.

23.   Apabila rakyat berpindah ke pusat pertumbuhan baru  maka
kita tidak dapat elak daripada mengadakan sekolah-sekolah yang
baru.    Lagipun  bilangan  penduduk  dan  kanak-kanak   sudah
bertambah.  Apa salahnya jika sekolah-sekolah dari aliran yang
berlainan ditempatkan di kampus yang sama untuk kita  rapatkan
penuntut-penuntut  sekolah  daripada  pelbagai  kaum?   Apakah
rakyat  negara  ini ingin melihat generasi akan  datang  tidak
langsung berkenalan semasa mereka bersekolah?  Bilangan  bukan
Bumiputera  yang pergi ke sekolah kebangsaan sudah berkurangan
kerana  sebab-sebab  tertentu.  Jika  sekolah  kebangsaan  dan
jenis  kebangsaan dipisah sehingga murid dari  sekolah-sekolah
ini   tidak  akan  bertemu  sama  sekali,  apakah  dapat  kita
mengekalkan harmoni antara kaum yang terdapat sekarang?

24.   Di  universiti penuntut sekali lagi diasingkan.  Apabila
percubaan  dibuat untuk menempatkan penuntut  di  asrama  yang
sama  ada yang menentang, kononnya ini akan mengganggu mereka.
Dunia yang sebenar `the real world', memaksa kita bertemu  dan
berurus  dengan orang daripada bangsa lain.  Jika  kita  tidak
pernah  berjumpa dengan orang daripada bangsa  lain,  tentulah
kita  tidak  dapat  menjalin  hubungan  yang  bermakna  dengan
mereka.

25.   Di  luar  negara  pula apabila penuntut  dihantar  untuk
belajar  mereka  bukan  sahaja tidak  bercampur  dengan  orang
tempatan,  atau  penuntut  lain  dari  Malaysia  yang  terdiri
daripada  kaum  lain,  tetapi  mereka  tinggal  hanya   dengan
penuntut-penuntut  dari negeri masing-masing;  orang  Kelantan
dengan  orang  Kelantan, orang Kedah dengan  orang  Kedah  dan
seterusnya.   Jika  tujuan menghantar mereka  ke  luar  negara
ialah  untuk memperluaskan pandangan mereka, ini tidak mungkin
tercapai  kerana  pada asasnya mereka masih berada  di  negeri
masing-masing.

26.   Kita  ingin merapatkan rakyat negara kita.   Kita  tidak
berhajat  untuk  sesiapa mengassimilasi sesiapa.   Kita  hanya
ingin  rakyat  Malaysia daripada berbilang  kaum  dan  negeri-
negeri  yang  berlainan  belajar hidup  bersama  sebagai  satu
bangsa.   Dengan ini semua akan lebih setia kepada negara  dan
dapat  sama-sama membangunkan negara yang tercinta ini.  Sudah
tentu kita tidak akan capai matlamat yang terhad ini jika  ada
sahaja   tentangan  terhadap  sebarang  usaha  untuk  menjalin
hubungan yang baik dan kefahaman sesama kita.

27.   Hari  ini  jika  terdapat kerjasama antara  kaum,  ianya
disebabkan  oleh politik Barisan Nasional.  Jika tidak  kerana
parti-parti  komponen  Barisan Nasional yang  dianggotai  oleh
berbagai-bagai kaum, berani bekerjasama, hari ini kaum-kaum di
Malaysia   akan   bermusuh-musuhan.   Tiap  kali   pilihanraya
diadakan  ada  sahaja ugutan yang dibuat terhadap  parti-parti
komponen  supaya  mereka tolak kerjasama  antara  kaum,  tolak
sikap  kesederhanaan jika mereka ingin dapat sokongan.  Tetapi
parti-parti  komponen Barisan Nasional tidak  gentar.   Mereka
terus mendokong prinsip kerjasama antara kaum walaupun kadang-
kadang  sokongan kepada mereka merosot.  Walaupun  merosot  di
negeri-negeri  tertentu  tetapi  di  peringkat  pusat  Barisan
Nasional  masih juga dapat jumlah kerusi yang mencukupi  untuk
mendirikan Kerajaan yang berwibawa dan berkesan.

28.   Hakikat  ini  mesti diingati oleh  parti-parti  komponen
Barisan  Nasional.   Kita tidak boleh  membenarkan  diri  kita
dipengaruhi   oleh   sentimen  perkauman   yang   keterlaluan.
Sementara   kita   yang  mewakili  kaum-kaum  tertentu   perlu
mempertahankan hak dan kepentingan kaum kita, tetapi kita juga
harus  mengambilkira  kepentingan  dan  sensitiviti  kaum-kaum
lain.   Dengan  ini kita tidak akan meminta yang  bukan-bukan,
yang keterlaluan bagi kaum kita.

29.   Di  Malaysia  tidak akan ada mana-mana  kaum  yang  akan
mendapat  semua  yang dituntut olehnya.   Tiap  kaum  terpaksa
berkorban   sedikit  sebanyak  daripada  haknya.   Tiap   kaum
terpaksa  kecewa.  No one will get all that he thinks  is  his
right,  no  one  will lose all that he has a  right  to.   But
unfortunately it is entirely possible for all of  us  to  lose
everything.   And that will happen when we become unreasonable
in  our  demands,  when we confront each  other  and  when  we
finally resort to violence.  When we do that the whole country
will go up in flames and there will be nothing left for us.

30.    Saya  berharap  kita  semua  sedar  dan  insaf  setelah
menyaksikan   sendiri  segala  peristiwa   yang   berlaku   di
sekeliling  kita.   Kita  tidak mahu rakyat  dan  negara  kita
binasa kerana kesilapan, kebebalan dan kejahilan kita sendiri.
Kita  hendaklah mengikut langkah yang sudah sedia diatur  oleh
Kerajaan  Barisan  Nasional  bagi  memastikan  matlamat   kita
tercapai iaitu untuk membina bangsa Malaysia yang bebas, maju,
berjiwa  besar,  bermaruah, kuat dan  makmur.   Hanya  Barisan
Nasional sahaja yang mampu mencapai matlamat ini.

31.   Dengan  kata-kata itu saya dengan sukacitanya merasmikan
Persidangan  Perwakilan Parti Gerakan  Rakyat  Malaysia  ke-29
ini.




 




 
Google