Oleh : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat : DEWAN TUN RAZAK, PWTC
KUALA LUMPUR
Tarikh : 14-10-2000
Tajuk : MAJLIS PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG
PARTI PROGRESIF PENDUDUK
MALAYSIA (PPP)
Penyampai : PM
Saya ucapkan terima kasih kepada seluruh jawatankuasa
kerja pusat, barisan kepimpinan dan ahli-ahli Parti
Progresif Penduduk Malaysia (PPP) yang telah sudi sekali
lagi untuk menjemput saya merasmikan perhimpunan agung
parti PPP bagi tahun 2000 ini.
2. Jemputan ini sebenarnya adalah satu yang istimewa
bagi saya selaku pengerusi Barisan Nasional kerana ia
menggambarkan betapa eratnya hubungan antara parti-parti
komponen dalam Barisan Nasional baik kecil mahupun
besar. Ini juga menunjukkan bahawa parti PPP masih tidak
jemu dengan kehadiran saya setiap kali diadakan
persidangan perwakilan tahunannya.
3. Kekuatan Kerajaan BN bergantung kepada keakraban
hubungan kerjasama di antara parti-parti komponen yang
menganggotai BN. Walaupun BN terdiri daripada 14 buah
parti yang mewakili pelbagai suku kaum dan agama,
perpaduan dan semangat kerjasama yang dipupuk selama ini
telah berjaya menyaksikan pembentukan sebuah kerajaan
Malaysia yang kuat, stabil dan berdaya maju sejak dari
merdeka lagi.
4. Walaupun untuk seketika pada tahun 1969, perpaduan
dan kestabilan ini dicabar, namun berkat kebijaksanaan
pemimpin perikatan dahulu, jalan penyelesaian yang
dipilih nyata telah membawa banyak manfaat kepada rakyat
dan negara. Kini setelah 43 tahun negara kita merdeka,
kita dapat melihat hasil daripada usaha kerajaan untuk
memupuk perpaduan yang erat dan saling faham memahami
antara parti dengan parti dan kaum dengan kaum.
5. Perpaduan antara kaum yang terdapat di Malaysia
bukanlah satu perkara semula jadi yang berlaku atau
wujud dengan sendiri. Ia datang bersama keinginan semua
kaum untuk hidup bersama secara aman. Kita dapat menjadi
negara contoh yang aman walaupun penduduknya terdiri
daripada berbilang kaum, agama, budaya dan bahasa. Kita
dapat melihat banyak negara lain di dunia yang terdiri
daripada rakyat yang berbilang kaum tetapi tidak aman
dan berjaya seperti kita. Ada negara yang rakyatnya
terdiri daripada satu bangsa pun yang tetap tidak boleh
aman disebabkan berlainan agama dan juga ideologi.
6. Di Malaysia, kita amat bertuah kerana pendekatan
Kerajaan yang diterajui BN terhadap isu yang melibatkan
kaum ditangani dengan berhati-hati. Ini adalah untuk
mengelak daripada terjadi sebarang perbalahan
bersangkutan dengan isu kaum. Saya selalu menyatakan
bahawa di Malaysia tidak ada satu kaum yang boleh
berpuas hati sepenuhnya kerana kerajaan tidak mungkin
dapat memenuhi tuntutan semua kaum.
7. Ini sebenarnya adalah berdasarkan "simple logic"
kerana jika satu kaum itu terlalu puas hati kerana
mendapat semua yang dituntut, kepentingan kaum lain
terpaksa dikorbankan. Oleh itu adalah lebih adil jika
semua kaum berkorban dan tidak berpuas hati sepenuhnya.
Kerajaan tidak akan menidakkan hak mana-mana kaum
asalkan ianya tidak keterlaluan sehingga boleh
menyebabkan perpecahan dan perbalahan antara kaum.
8. Bagi Kerajaan, yang utama ialah memupuk kesanggupan
berkorban dan semangat perpaduan antara kaum yang
berbilang di negara ini, kerana inilah punca kejayaan
negara kita. Kita telah melihat bagaimana perpaduan erat
antara kaum yang ditonjolkan semasa negara mengalami
kegawatan ekonomi tempoh hari telah berjaya membantu
kerajaan mengambil langkah-langkah positif untuk
memulihkan keadaan ekonomi negara kita.
9. Bayangkan jika semasa kegawatan, negara dilanda
masalah rusuhan perkauman seperti yang berlaku di
sesetengah negara jiran. Sudah tentu Kerajaan tidak akan
berjaya menumpukan sepenuh perhatian terhadap usaha
pemulihan ekonomi dan sudah tentu kita tidak akan
berjaya pulih sepenuhnya seperti sekarang ini.
10. Seperti yang saya katakan awal-awal tadi kekuatan
dan kejayaan Kerajaan BN adalah berdasarkan perpaduan
yang erat antara parti komponen yang menjadi anggota BN.
Di sini saya ingin merakamkan setinggi-tinggi
penghargaan saya kepada parti PPP yang telah menunjukkan
semangat yang tinggi sebagai anggota BN yang berjuang
untuk memenuhi aspirasi dan cita-cita perjuangan BN.
11. Walaupun PPP merupakan satu parti yang kecil dan
sudah lama tidak menganggotai peringkat tertinggi
kerajaan, ataupun bertanding sebagai calon Barisan
Nasional, namun semangat juangnya sebagai salah satu
parti komponen BN tidak pernah luntur. Ini harus menjadi
contoh kepada semua parti komponen BN.
12. PPP telah berjaya membuktikan bahawa ia amat ikhlas
dalam perjuangannya menyokong penuh kerajaan BN, dasar-
dasar dan matlamat perjuangan BN. Semangat yang
ditunjukkan oleh semua ahli dan barisan kepimpinan PPP
ini tidak kurang dengan parti-parti komponen BN yang
lebih besar.
13. Semangat ini jugalah, bersama dengan usaha padu
ahli PPP yang telah menentukan kemenangan bagi BN di
pilihanraya umum tahun lepas. Masih tidak terlewat bagi
saya mengucapkan terima kasih dan tahniah atas segala
usaha dan komitmen ahli PPP yang penuh dedikasi terhadap
membantu mengekalkan Kerajaan BN.
14. Sebenarnya, semangat yang ditonjolkan oleh ahli-
ahli parti PPP ini adalah gambaran sifat dan semangat
semua ahli parti komponen BN kecil atau besar yang telah
meletakkan matlamat utamanya sebagai memperjuangkan
nasib dan kemakmuran rakyat dan kemajuan negara sebagai
perkara utama dalam perjuangan parti.
15. Walaupun parti PPP ternampak kecil, tidak ada
sesiapa yang dapat menafikan peranan dan usaha gigih
yang dimainkan oleh semua ahli PPP dalam mendokong
perjuangan BN adalah amat besar dan bermakna. Dan tidak
ada mana-mana pihak yang dapat menafikan kedudukan parti
PPP sebagai salah satu komponen penting dalam BN.
16. Sebenarnya, dalam BN semua parti komponen berada
pada taraf yang sama, tidak kira sama ada ianya
mempunyai ahli yang ramai ataupun tidak. Kecil atau
besar bukanlah menjadi perkara pokok, tetapi matlamat
perjuangan parti sebagai komponen BN mestilah
diutamakan. Tidak timbul soal mana-mana parti komponen
diketepikan hanya kerana ianya tidak mempunyai
perwakilan di peringkat tertinggi kerajaan ataupun di
peringkat dewan undangan negeri atau Parlimen.
17. Matlamat perjuangan kita adalah serupa iaitu untuk
membela rakyat dan membangunkan negara. Apabila parti
yang kita sokong itu berjaya, maka matlamat yang kita
perjuangkan akan tercapai. Tidak ada satu parti pun di
dalam BN yang tidak mendapat hasil daripada kejayaan BN.
Walaupun mereka mungkin tidak dicalonkan bertanding,
semuanya akan mendapat hasil dan nikmat apabila parti
yang disokong menang dan berjaya menerajui kerajaan
negara ini.
18. Jika kita lihat di sekeliling kita, segala
kemakmuran yang tercapai, pembangunan, keharmonian dan
perpaduan rakyat adalah hasil perjuangan BN. Apabila
nasib rakyat sudah terbela dan rakyat telah berjaya
mengecapi kemakmuran dan negara maju dan membangun, maka
ini adalah bukti kejayaan perjuangan kita.
19. Kita tidak harus mengharapkan apa-apa secara
langsung bagi diri kita, tetapi kita haruslah menghargai
dan berbangga bahawa peranan yang kita mainkan telah
berjaya mendatangkan banyak hasil bagi kemajuan dan
kemakmuran rakyat dan negara yang tercinta ini. Kita
harus kikiskan sifat mementingkan diri sendiri bagi
kebaikan semua dan saya percaya inilah asas kepada
perjuangan parti PPP sekian lama.
20. Kejayaan BN merupakan satu "success story"
Malaysia. Ramai pihak yang cuba meniru kita, termasuk
parti pembangkang. Namun mereka tidak mungkin akan
berjaya seperti kita kerana satu elemen yang sememangnya
tidak ada pada mereka, iaitu keikhlasan atau "sincerity"
sehingga sanggup mengorbankan kepentingan parti sendiri
untuk kejayaan kumpulan.
21. Kesemua mereka mempunyai matlamat perjuangan yang
berbeza. Jika pun mereka berjaya, percayalah ianya tidak
akan bertahan lama. Seperti yang kita lihat semasa
pilihanraya umum tahun lalu, kini kurang setahun
selepas tamat tempoh pilihanraya, masing-masing membawa
haluan sendiri walaupun mereka mungkin tidak mahu
mengakui kebenaran kenyataan ini.
22. Bukanlah satu perkara senang untuk mengekalkan
perpaduan dan persefahaman sebagaimana yang dilakukan BN
sejak sekian lama. Kita harus bijak dan bertolak ansur
di dalam menangani masalah yang dihadapi oleh tiap parti
yang mewakili pelbagai kaum.
23. Jika ada apa-apa masalah yang timbul yang
melibatkan kaum atau agama, kita mempunyai saluran
tertentu yang boleh digunakan. Kita tidak seharusnya
menutup terus sesuatu perkara yang kita anggap tidak
adil kepada kita, tetapi kita tidak juga harus dedahnya
secara terbuka kerana ini mungkin akan menimbulkan
kemarahan pihak lain. Kita boleh bawa berbincang apa jua
perkara agar sama-sama kita dapat mencari jalan tengah.
Mungkin kita tidak dapat menyelesaikan kesemuanya,
tetapi sekurang-kurangnya kita dapat sampai ke titik
persetujuan atau "point of agreement". Kita tidak
seharusnya mengambil sikap ekstrim di dalam
membincangkan apa-apa isu kerana ianya boleh merosakkan
segala apa yang kita telah bina selama ini.
24. Saya harap ahli-ahli PPP dan semua parti komponen
BN yang lain faham benar-benar akan apa yang saya
perkatakan di sini. Malaysia perlukan kepada sikap
toleran rakyatnya dan kita sebagai parti politik yang
mewakili kaum-kaum di Malaysia ini perlu mengambil sikap
sederhana supaya perpaduan dan persefahaman tidak
tergugat.
25. Ini adalah tanggungjawab yang diamanahkan kepada
kita sebagai pentadbir negara ini. Sebagai sebuah parti
politik, kita mungkin akan dibebani pelbagai masalah dan
rungutan berkenaan isu-isu politik dan kemasyarakatan,
tetapi kita harus ingat kita mempunyai tugas dan
tanggungjawab yang lebih besar iaitu mengekalkan
kestabilan dan keamanan agar negara dan rakyat dapat
terus menikmati kemajuan, kemakmuran dan keharmonian.
26. Percayalah hanya Kerajaan Barisan Nasional sahaja
yang boleh menjamin kesemua ini. Teruskanlah usaha dan
kekalkanlah perpaduan yang telah kita kecapi selama ini
dan insya-Allah kita akan terus berjaya di dalam
perjuangan kita.
27. Dengan kata-kata ini saya dengan sukacitanya
merasmikan Perhimpunan Agung Parti Progresif Penduduk
Malaysia pada tahun 2000 ini.
|