Oleh : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat : PEJABAT PERDANA MENTERI
Tarikh : 26-10-2000
Tajuk : PERUTUSAN HARI DEEPAVALI
Penyampai : PM
Saya dan isteri saya mengucapkan selamat menyambut Hari
Deepavali kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Hindu. Perayaan
Deepavali pada tahun ini adalah yang pertama pada tahun dan alaf baru
Masihi 2000 ini. Saya percaya sambutan perayaan Deepavali pada tahun ini
adalah lebih meriah memandangkan negara berada di dalam keadaan stabil dan
ekonomi kita juga telah pulih dengan sepenuhnya. Tahun Masihi sebenarnya
tidak mempunyai apa-apa kaitan kepada acara keagamaan mahupun kebudayaan
Hindu. Tetapi oleh kerana ianya memainkan peranan yang penting di dalam
kehidupan harian kita, adalah wajar kita menjadikannya sebagai kayu
pengukur kejayaan kita. Hari ini kita rakyat Malaysia yang berlainan kaum,
agama, bahasa dan budaya berjaya hidup di dalam sebuah negara merdeka
dengan aman dan harmoni. Kita saling hormat menghormati antara satu kaum
dengan kaum yang lain. Tidak seperti di sesetengah negara lain, di
Malaysia rakyat kita sama ada dari kumpulan majoriti mahupun minoriti
bebas mengamalkan agama, budaya dan adat resam masing-masing tanpa perlu
takut ataupun merasa terancam. Ini mungkin sudah menjadi kebiasaan bagi
kebanyakan diri kita, terutama golongan muda, tetapi percayalah ini
sebenarnya adalah nikmat yang kita perolehi sebagai rakyat Malaysia yang
bertuah. Kita telah berusaha dengan gigih untuk mengekalkan perpaduan dan
keharmonian sepanjang negara kita merdeka dan kita telah melihat hasilnya
apabila kita berjaya membangunkan negara dan memakmurkan rakyat secara
adil dan saksama. Kita harus memperakui bahawa kita pernah mengalami
pertelingkahan kaum pada tahun 1969, tetapi kita telah mempelajari
daripada kesilapan kita itu dan amatlah wajar sekali kita tidak akan
mengulangi kesilapan itu. Saya ingin mengingatkan dan merayu kepada semua
rakyat Malaysia supaya mengambil iktibar dan menghargai nikmat kehidupan
yang kita kecapi hari ini sebagai rakyat Malaysia yang bertuah. Jangan
sekali-kali kita memperjudikan perpaduan dan keharmonian yang terbina ini
dengan tindakan ekstrim yang boleh mencetuskan ketegangan antara kita. Di
hari yang bahagia ini, marilah kita sama-sama meneruskan tradisi dan
budaya kita sebagai rakyat Malaysia dengan mengadakan rumah terbuka dan
kunjung- mengunjungi antara satu sama lain. Gunakanlah hari yang istimewa
ini untuk merapatkan lagi hubungan sesama kita. Ini akan menjamin
keharmonian dan kesejahteraan yang berterusan bagi kita serta kejayaan
bagi negara kita. Sekali lagi saya dan isteri saya mengucapkan Selamat
Hari Deepavali kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Hindu. Sumber
: Pejabat Perdana Menteri Download Teks Ucapan
|