Oleh : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat : GRAND LAGOON BALLROOM,
SUNWAY RESORT HOTEL,
PETALING JAYA, SELANGOR
Tarikh : 01-11-2000
MAJLIS ANUGERAH PERADUAN FORMULA MALAYSIA DAN PELANCARAN YAYASAN FORMULA
MALAYSIA Penyampai: PM No. Sysref: Syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana
negara kita begitu aman dan makmur dan rakyat Malaysia dapat hidup dalam
keadaan penuh sejahtera serta dapat mencari rezeki tanpa sebarang
halangan. Inilah kelebihan negara kita berbanding dengan kebanyakan negara
lain di dunia. 2. Ini adalah hasil daripada perjuangan kita semua supaya
nikmat kemerdekaan dan kekayaan negara kita dapat kita kongsi
bersama. Kita telah berjaya membentuk acuan kita sendiri dalam membangun
dan memajukan rakyat dan negara. Hari ini kita menikmati segala hasil
titik peluh dan usaha kita selama ini iaitu kebebasan, keamanan,
keselamatan, kemajuan dan kemakmuran. 3. Hari ini kebanyakan rakyat kita
sudah sedar bahawa kemerdekaan yang kita nikmati tidak bermakna selagi
kita tidak bebas daripada cengkaman asing daripada segi ekonomi, politik,
sosial, malah juga bebas daripada pemikiran asing yang tidak sesuai untuk
kemajuan dan pembangunan negara kita sendiri. 4. Banyak negara di dunia
kini tidak lagi mampu bertahan dan terpaksa tunduk atau tumbang kerana
berbagai-bagai ancaman sama ada dari dalam negaranya sendiri atau dari
luar. Ini berlaku kerana negara- negara ini tidak mempunyai kekuatan
dalaman, kecekapan dalam pentadbiran dan pengurusan ekonomi mereka dan
yang lebih berat lagi ialah tiadanya sokongan rakyat dalam apa juga
tindakan yang dilakukan oleh kerajaan. 5. Sewaktu kegawatan ekonomi pada
tahun 1997 dan 1998, beberapa negara yang dahulunya menikmati pertumbuhan
ekonomi yang pesat sehingga menerima jolokan sebagai `harimau ekonomi',
telah runtuh ekonomi mereka sehingga mereka terpaksa mendapat dan
bergantung kepada pinjaman dari bank dunia dan dana matawang antarabangsa
(IMF) untuk memulihkan ekonomi mereka. Akibatnya negara-negara berkenaan
menerima syarat menyerah pengurusan ekonomi, bahkan politik mereka kepada
kuasa asing. Maruah dan kedaulatan negara mereka juga turut hilang kerana
mereka tidak bebas lagi dan terpaksa mengikut telunjuk agensi kewangan
asing dan negara besar yang menguasai agensi ini. 6. Krisis kewangan ini
telah memberi pengajaran akan betapa mudahnya kuasa asing boleh
meruntuhkan sesebuah negara melalui serangan ekonomi, umpamanya dengan
menjatuhkan nilai matawang. Mereka tidak perlu melancarkan serangan
ketenteraan untuk melumpuhkan ekonomi negara-negara yang bersaing atau
menggugat ekonomi mereka. 7. Krisis ini bukan sahaja berlaku di rantau
asia sebelah sini tetapi telah merebak ke Rusia, Afrika Selatan dan ke
beberapa negara lain. Ia adalah sebahagian daripada usaha oleh kuasa-kuasa
tertentu untuk menakluk dunia semula. Globalisasi atau dunia tanpa
sempadan adalah nama yang diberi kepada strategi baru ini. Jika kita tidak
awasi, sempadan negara kita akan diruntuhkan dan kita tidak lagi dapat
melindungi diri kita di belakangnya. 8. Tetapi kita bersyukur kerana
sewaktu bergolaknya krisis ekonomi yang paling dahsyat ini rakyat negara
kita begitu bersatupadu dan tidak menimbulkan sebarang kekacauan atau
masalah yang boleh menggugat kestabilan negara. Kkeadaan yang aman ini
memudahkan usaha kerajaan merangka strategi memulihkan ekonomi negara
dengan berkesan dan berjaya. 9. Krisis kewangan ini memberi pengajaran
yang besar kepada kita bahawa negara kita tidak selamat dan boleh diserang
bila-bila sahaja. Pengajaran yang tidak kurang pentingnya ialah keperluan
perpaduan rakyat dan kepercayaan dan sokongan mereka kepada kerajaan dalam
usaha memulih negara. Kesanggupan rakyat menghadapi tekanan dan kesusahan
semasa ekonomi merosot mematahkan serangan asing yang berharap huru-hara
akan berlaku dan kerajaan ditumbangkan. Inilah pendekatan kita, inilah
cara kita menghadapi cabaran dan inilah formula kita, Formula
Malaysia. 10. Bangsa yang berjaya ialah bangsa yang memiliki nilai hidup
yang tinggi. Nilai hidup yang tinggi termasuklah sikap disiplin dan tabah
hati apabila menghadapi cabaran. Orang yang berdisiplin tidak akan pecah
barisan apabila diserang. Sebaliknya mereka akan rapatkan lagi barisan
mereka dan berdiri tegak menangkis segala serangan. mungkin beberapa
daripada mereka akan gugur. Semasa kegawatan ekonomi ramailah yang menjadi
mangsa. tetapi kerana barisan tidak retak berkecai, apabila kemenangan
diperolehi maka yang gugur dapat dibangun dan dipulihkan semula. 11. Yang
jelas dari sini ialah formula yang baik memerlukan bangsa yang disiplin,
tabah hati dan berani menghadapi cabaran sebelum formula itu dapat membawa
kejayaan. Alhamdulillah, rakyat Malaysia di semua peringkat memiliki
sifat-sifat yang diperlukan untuk menentukan formula yang baik
mendatangkan hasil yang dikehendaki. 12. Dalam era globalisasi formula
kemenangan kita amat diperlukan. Oleh kerana kebanyakan daripada negara
lain sudah tunduk kepada kuasa dunia dan terletak di bawah dana kewangan
antarabangsa (IMF) maka tentulah percubaan ditumpukan kepada kita dalam
usaha menguasai dunia sepenuhnya. Ini bermakna kita perlu tingkatkan lagi
azam kita dan segala nilai baik kita untuk menentukan Formula Malaysia
kita terus menjadi benteng yang kuat yang mampu mempertahankan kita. Kita
tidak boleh leka dengan kepercayaan bahawa kita akan terus terselamat
kerana kekuatan dan ketahanan kita. Mereka akan cuba bertubi-tubi mencari
kelemahan kita dan mereka akan mencipta cara-cara lain untuk memaksa kita
sujud kepada mereka. Walaupun pada mulanya hanya Malaysia yang mengkritik
globalisasi seperti yang diperkenal oleh negara maju, tetapi alhamdulillah
hari ini sudah banyak negara, NGO dan juga ahli pemikir dari negara maju
yang mengkritik globalisasi ini. di masa akan datang tentangan terhadap
globalisasi ala barat akan meningkat. 13. Peraduan Formula Malaysia adalah
salah satu daripada beberapa program yang telah diatur untuk menanamkan
kesedaran di kalangan rakyat kita. Ternyata ia berjaya secara tidak
langsung menimbulkan semangat patriotik di kalangan para peserta khususnya
dan rakyat negara ini amnya. 14. Peraduan yang dilaksanakan dalam pelbagai
kategori seperti menulis esei, menulis cerpen, merekacipta lagu, laman web
dan lukisan telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada semua
peringkat rakyat negara ini. Peraduan ini telah memapar dan menerangkan
pembentukan Formula Malaysia dari kacamata rakyat Malaysia. Rakyat
Malaysia dengan caranya sendiri telah berjaya memaju dan membangunkan
negara hingga dikagumi dan dihormati oleh dunia. 15. Sepertimana kita
semua maklum Formula Malaysia dan pertandingan-pertandingan ini telah
dibiayai oleh badan- badan korporat yang prihatin yang terdiri daripada
EON, YTL, SOUTHERN BANK, SAPURA, MRCB, SUNWAY GROUP, TENAGA NASIONAL dan
KUB MALAYSIA BERHAD. Sumbangan mereka juga menjadi sebahagian daripada
Formula Malaysia, iaitu keprihatinan rakyat dan warga korporat
Malaysia. Saya ucap syabas kepada badan-badan korporat ini. 16. Lanjutan
daripada kempen Formula Malaysia ini sebuah yayasan yang dinamakan Yayasan
Formula Malaysia telah ditubuhkan. ianya merupakan wadah yang boleh terus
menggerakkan idea-idea baru, pandangan-pandangan baru untuk pembangunan
masyarakat kita. 17. Pemuda-pemudi adalah harapan bangsa. mereka tetap
akan mengambilalih tugas-tugas negara. Jika mereka ingin mencapai kejayaan
dalam menjalankan tugas ini sudah tentu mereka perlu memiliki segala sifat
dan pandangan yang telah memberi kejayaan kepada Formula Malaysia. Saya
percaya Yayasan Formula Malaysia boleh memberi tumpuan secara khusus pada
penyemaian sifat- sifat ini. 18. Penyelidikan dan pembangunan boleh
dijalankan oleh yayasan ini untuk memperbaiki lagi formula ke arah
kehidupan berharmoni secara berkekalan di Malaysia. Kaedah penyelesaian
masalah boleh digubal mengikut cara, semangat, budaya dan tradisi
ketimuran kita. 19. Saya percaya Yayasan Formula Malaysia boleh membantu
usaha dalam melahirkan suasana yang sesuai yang memungkinkan warganegara
kita naik ke bulan, menang hadiah antarabangsa, mencetuskan suatu penemuan
sains dan menerokai disiplin-disiplin yang baru. 20. Saya sangat berpuas
hati apabila beberapa badan korporat prihatin melancarkan kempen Formula
Malaysia dan sekarang pula menubuhkan Yayasan Formula Malaysia untuk
meneruskan kempen ini. Saya harap usaha ini mendapat sambutan daripada
badan korporat lain kerana usaha ini adalah untuk kebaikan
bersama. 21. Saya mengucapkan tahniah kepada semua pemenang yang berjaya
dalam peraduan Formula Malaysia ini dan dengan lafaz bismillahir rahmanir
rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan pelancaran Yayasan Formula
Malaysia. Sumber : Pejabat Perdana Menteri Download Teks Ucapan
|