home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh 		:	DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat:		 	PWTC, KUALA LUMPUR
Tarikh		: 	03-11-2000 
Tajuk 		: 	MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN 
			PERAYAAN JUBLI EMAS RIDA-MARA 
Penyampai	: 	PM


Terlebih dahulu saya mengucapkan
terima kasih kerana undangan dan peluang yang diberi kepada saya untuk
melancarkan secara rasmi Sambutan Perayaan Jubli Emas
RIDA-MARA. 2. Sepertimana kita sedia maklum objektif umum RIDA- MARA
adalah untuk pembangunan ekonomi orang Melayu melalui bekalan modal,
latihan perniagaan, pelajaran dan peluang-peluang untuk melibatkan diri
dalam perniagaan dan perusahaan-perusahaan kecil. 3. Memandangkan
tanggungjawab dan peranan RIDA agak terhad dan tidak mempunyai peruntukan
yang mencukupi untuk memberi sokongan yang berkesan, maka Kongres Ekonomi
Bumiputera Pertama pada 1965 mencadangkan supaya satu majlis yang baru
diwujudkan iaitu Majlis Amanah Rakyat atau MARA yang dikanunkan pada 1 Mac
1966. 4. Dengan objektif yang begitu jelas untuk menggalak, membimbing,
melatih dan membantu Bumiputera, MARA telah menyusun strategi pelaksanaan
melalui program dan aktiviti pembangunan usahawan, latihan dan pendidikan,
perindustrian dan perkhidmatan secara bersepadu ke arah pembentukan
masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera. 5. Kejayaan dan
kemajuan sesuatu kaum atau bangsa bergantung hampir sepenuhnya kepada
nilai hidup yang dipegang dan diamalkan oleh kaum itu. Jika nilai hidup
ini tidak sesuai, kekayaan sumber alam yang amat tinggi pun tidak akan
menjadikan kaum atau bangsa itu berjaya dan makmur. Emas yang berada dalam
bumi tidak akan menjadikan bangsa yang memiliki bumi itu kaya melainkan
bangsa itu sanggup dan cekap mengeluarkan emas itu, melebur dan
membentukkannya supaya menjadi barang kemas yang lebih tinggi nilainya dan
memasarkan barangan ini di pasar-pasar yang kaya. Mereka yang tidak
sanggup bekerja untuk mengeluarkan logam emas atau hanya menjual tanah
atau menyewakannya akan mendapat bahagian yang kecil sahaja daripada punca
kekayaan ini. 6. Sebaliknya ada negara yang tidak mempunyai apa- apa
sumber kekayaan semulajadi, tetapi mereka lebih kaya dan makmur kerana
kesanggupan mereka berusaha dengan gigih mencari punca kekayaan di tempat
orang, mengeluar, memproses dan memasarkannya dengan cekap. Mereka ini
akan mendapat lebih banyak kekayaan daripada negara dan bangsa yang
memiliki tanah yang mempunyai logam emas semulajadi. 7. Kita semua tahu
bahawa bijih timah yang terbanyak sekali terdapat di Malaysia tetapi
berapa keratkah orang Melayu iaitu tuan tanah asal yang menjadi kaya- raya
kerana bijih timah? Yang mendapat kekayaan sedikit daripada sumber alam
semulajadi ini ialah mereka yang memajak tanah mereka kepada pengusaha
bukan Melayu. Yang mendapat kekayaan yang terbanyak ialah mereka yang
mengambil risiko perniagaan dan berusaha dengan gigih untuk mengeluar dan
memasarkan logam ini. 8. Kenapakah ini berlaku? Sebabnya ialah kerana
orang Melayu suka kepada jalan yang mudah. Bukanlah sukar bagi orang
Melayu mempelajari cara carigali dan pengeluaran bijih timah. Tetapi oleh
kerana kita tidak sanggup menghadapi sedikit risiko dan kerana ingin
memperolehi pendapatan serta-merta, maka dijual atau dipajak tanah untuk
bayaran tunai. Kemudian pendapatan dibelanja habis dan tuan tanah kembali
menjadi orang yang tidak berubah dari dahulu. 9. RIDA ditubuhkan oleh
British kerana ingin mengurangkan tentangan orang Melayu terhadap
rancangan Malayan Union. Mereka dan orang Melayu juga percaya bahawa
masalah orang Melayu hanyalah kekurangan modal. Memanglah benar ini ialah
masalah orang Melayu. Tetapi masalah nilai hidup atau budaya orang Melayu
adalah masalah yang lebih besar. 10. Modal RIDA hanyalah lima juta
Ringgit. Sejak itu dan setelah MARA menggantikan RIDA modal yang diberikan
kepada MARA berjumlah berbilion-bilion Ringgit. Cara dan pendekatan untuk
menolong orang Melayu dan Bumiputera lain dalam bidang ekonomi telah
ditambah sehingga hampir semua bidang mendapat pembiayaan oleh MARA atau
agensi dan dana-dana lain. Tetapi prestasi yang dicapai tidaklah setimpal
dengan usaha dan peruntukan wang yang diberi. Kadang-kadang kita dapati
prestasi menjadi lebih buruk kerana, jika pada mulanya mereka yang
ditolong dan dibantu menghargai bantuan yang diberi, hari ini ada yang
tidak sama sekali menghargainya, tidak berterima kasih dan tidak bersyukur
bahkan menganggap bantuan tidak diperlukan. Sebaliknya ada yang marah
kerana pinjaman yang diberi dituntut supaya dibayar balik. Yang amat
malang sekali ialah sikap ini sengaja dipupuk oleh pihak-pihak yang
mempunyai kepentingan lain. Bahawa sikap ini yang memburukkan lagi
pencapaian orang Melayu tidak dipedulikan. Yang mereka utamakan ialah
sasaran puak mereka sahaja. Ada juga pihak yang amat marah jika kelemahan
dan kesalahan orang Melayu disebut. Yang disalahkan ialah orang lain dan
orang lain inilah yang perlu membetulkan diri mereka. Sementara menunggu
itu berlaku kita akan terus dengan amalan-amalan kita. 11. MARA sudah
menaja lebih 160,000 orang penuntut di institusi-institusi pengajian
tinggi di dalam dan luar negeri sejak tahun 1966 dengan menghabiskan
peruntukan lebih kurang lima bilion Ringgit. Lebih 300,000 orang pula
telah dilatih dan dididik di institusi-institusi pendidikan MARA di
seluruh Malaysia. Ini tidak termasuk lulusan dari UiTM, Kolej Yayasan
Pelajaran MARA dan lepasan daripada program Latihan Sambil Kerja di
syarikat atau bengkel. 12. Daripada segi kemudahan pembiayaan pula, sejak
RIDA ditubuhkan pada 1951 hingga Ogos 2000, sebanyak 1.2 bilion Ringgit
pinjaman telah dikeluarkan oleh pihak MARA kepada lebih 129,000
orang. Sebanyak 4,433 unit ruangniaga dan ruang kilang MARA pula disewa
kepada peniaga dan pengusaha Bumiputera di seluruh negara. Ratusan ribu
pula telah diberi latihan dan bimbingan keusahawanan. 13. Tidak
keterlaluan kalau dikatakan hampir setiap orang atau keluarga
Melayu/Bumiputera telah, sedang dan akan menerima kemudahan RIDA-MARA sama
ada secara langsung atau tidak langsung. Walaupun tiada siapa boleh
menafikan bahawa MARA telah banyak menyumbang kepada peningkatan prestasi
Bumiputera dalam bidang ekonomi, tetapi pencapaian Bumiputera adalah
rendah berbanding dengan usaha dan peruntukan yang diberi. Dalam hampir
semua kegiatan ekonomi, Bumiputera masih ketinggalan walaupun selain
daripada MARA, agensi- agensi dan dana-dana lain diadakan untuk membantu
Bumiputera. 14. Sekarang ini kita khuatir kerana hampir tidak ada
kehadiran Bumiputera di pusat-pusat pertumbuhan yang baru. Ini disebabkan
kurangnya Bumiputera yang berminat dengan perniagaan runcit. Mereka lebih
berminat dengan kontrak-kontrak Kerajaan yang besar yang menjanjikan
pulangan yang tinggi dan cepat. Jika ini berterusan, rakyat Malaysia
daripada berbagai kaum akan terpisah semula dan keadaan sosial kita akan
menjadi tidak sihat. Sebab itu Kerajaan telah memperkenalkan satu projek
lagi untuk menggalakkan Bumiputera menjalankan perniagaan runcit di
bandar- bandar baru. Pemaju bandar-bandar ini sanggup memberi kerjasama
dan mengadakan ruang perniagaan bagi Bumiputera. 15. Tetapi seperti juga
dengan projek dan bantuan MARA, kejayaan tidak akan diperolehi secara
berkesan melainkan mereka daripada kalangan Bumiputera yang diberi peluang
akan menggunakannya dengan baik. Perbuatan menjual baja subsidi atau
mengeluarkan wang KWSP untuk komputer tetapi digunakan untuk belanja
hangus yang lain, akan mengkhianati usaha Kerajaan yang terbaru ini untuk
mengimbangkan kedudukan ekonomi antara rakyat berbilang kaum di negara
kita ini. 16. Sebenarnya tidak ada negara di dunia di mana Kerajaan
berusaha begitu bersungguh-sungguh untuk memperbaiki kedudukan
sosio-ekonomi rakyat. Lebih- lebih lagi tidak ada negara berbilang kaum di
dunia di mana Kerajaan, sama ada dipilih oleh rakyat atau tidak, begitu
berusaha untuk mengagihkan kekayaan negara secara saksama dan adil kepada
rakyat berbilang kaum. 17. Kita lihat di negara lain di mana usaha ini
tidak ada, jarak di antara yang miskin dengan yang kaya, di antara kaum
yang miskin dengan kaum yang kaya, menjadi lebih ketara sepanjang
masa. Keadaan di Malaysia tidaklah sebegitu, tidaklah semakin
buruk. Tetapi perbandingan di antara usaha yang dibuat dan prestasi yang
dicapai masih mengecewakan. Oleh itu kita perlu membetulkan sebab-sebab
yang mengecewakan ini. 18. Saya sedar saya akan dikecam hebat kerana
mendedahkan kesalahan kita orang Melayu dan Bumiputera lain. Tetapi
biarlah kecaman ini dilempar daripada melihat kaum bangsa sendiri
ketinggalan semakin jauh ke belakang. Adalah tidak bertanggungjawab jika
populariti diri diutamakan lebih daripada usaha memperbaiki keadaan dalam
masyarakat bangsa sendiri. Secara sampingan ingin saya sebutkan bahawa
penuntut lelaki di universiti hanyalah 35 peratus sahaja daripada jumlah
penuntut Bumiputera. Perkara ini tidak boleh disebut kerana akan
memalukan. Tetapi di manakah perginya penuntut lelaki Bumiputera? Apakah
kelulusan mereka rendah atau mereka tidak berminat dengan
pelajaran? 19. Ada yang berpendapat bahawa masalah ini boleh diatasi
dengan menambah kuota Bumiputera. Apakah kita akan mengambil mereka yang
berkelulusan rendah supaya meningkatkan jumlah penuntut lelaki? Jika
mereka yang berkelulusan baik sekarang sukar mencapai kejayaan, apakah
yang berkelulusan rendah boleh mencapai kejayaan? Sebenarnya jumlah
kemasukan tidak penting. Yang penting ialah mereka yang akhirnya mendapat
ijazah, terutama ijazah yang tinggi. 20. MARA banyak terlibat dengan
pelajaran. Dari peringkat sekolah menengah hingga ke universiti di dalam
dan di luar negara, bantuan MARAlah yang membolehkan ramai penuntut Melayu
dan Bumiputera mendapat pelajaran. MARA boleh berbangga dengan peranannya
dalam bidang pelajaran untuk anak Melayu dan Bumiputera. Walaupun demikian
ada baiknya jika kita buat bandingan antara mereka yang berpeluang dan
berjaya kerana bantuan MARA dengan jumlah yang mungkin mendapat pelajaran
ke peringkat yang tinggi tanpa apa- apa bantuan dari MARA tetapi hanya
kerana berkelulusan baik dan kemampuan keluarga untuk membiayai pelajaran
anak. 21. Bandingan ini adalah baik kerana ia akan memberi gambaran yang
sebenar tentang prestasi kita. Sama ada ia boleh menyedarkan kita adalah
perkara lain. Akan ada mereka yang akan mempertahankan keburukan ini
sebagai satu kebaikan. Tetapi saya percaya tanpa MARA ramai daripada
Bumiputera dan orang Melayu yang terkemuka tidak akan ada bersama kita
hari ini. Di masa yang sama adalah jelas jika dibandingkan antara usaha
yang dibuat dengan hasil yang dicapai, kita tidak boleh terlalu
berbangga. Sebaliknya kita patut kecewa. 22. Walaupun demikian kita tidak
boleh putus harapan. Usaha kita, usaha MARA mesti diteruskan. Kita masih
boleh meningkatkan hasilnya. 23. Saya yakin kita boleh tingkatkannya
kerana banyak sudah perkara yang dipercayai tidak mungkin dilakukan oleh
kita tetapi telah kita lakukan, dan kita lakukannya dengan cemerlang. Kita
tahu kelemahan yang ada pada kita. Justeru itu kita hanya perlu mengubah
kelemahan ini dan insya-Allah kita akan mencapai kejayaan. Daripada segi
kecerdasan otak kita tidak kurang daripada orang lain. Tetapi otak yang
cerdas pun perlu kepada didikan dan latihan untuk ia menjadi
cemerlang. Demikian juga dengan kerajinan bekerja. Walaupun asas fizikal
sama tetapi jika asas-asas ini tidak digunakan sepanjang masa maka ia
tetap menjadi lemah dan tidak dapat digerakkan. 24. Tugas mengangkat
martabat dan maruah bangsa mesti dipikul oleh semua pihak, dan tidak hanya
MARA dan Kerajaan sahaja. Selama empat setengah abad kita dijajah dan
disekat daripada menjayakan diri kita. Kita dihina dan diketepikan
seolah-olah kita tidak ada hak sama sekali. 25. Tetapi sekarang kita sudah
merdeka. Mungkin 43 tahun merdeka tidak mencukupi untuk mengubah bukan
sahaja nasib tetapi juga kemajuan kita. Tetapi kita tidak boleh
menyalahkan penjajah lagi ataupun orang lain. Nasib kita adalah di tangan
kita. Sementara kita perlu menyerah kepada Allah s.w.t. untuk menentukan
berjaya atau tidaknya usaha kita, tetapi kita harus ingat bahawa Allah
tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu sendiri
berusaha mengubahkannya. Jika kita ingin maju kitalah yang perlu
berusaha. Setakat ini usaha kita belum mencukupi. Oleh itu kita belum
boleh berkata Tuhan tidak mengizinkannya. 26. MARA ialah satu daripada
badan utama yang ditugaskan untuk mengubah nasib orang Melayu dan
Bumiputera lain di Malaysia. MARA masih relevan. Agenda MARA mesti
diteruskan. Insya-Allah, jika usaha yang gigih dan ikhlas dibuat oleh
MARA, maka kejayaan akan tercapai juga akhirnya. 27. Dengan ini saya
dengan sukacitanya merasmikan Sambutan Perayaan Jubli Emas
RIDA-MARA. Sumber : Pejabat Perdana Menteri Download Teks Ucapan 


 
Google