Oleh 		:	 DATO SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat		: 	 SERI PERDANA, PUTRAJAYA
Tarikh		: 	 17-11-2000 
Tajuk 		:	 MAJLIS JAMUAN MAKAN MALAM UNTUK 	
		 	 MERAIKAN PERDANA MENTERI REPUBLIK 
		 	 KYRGYZ TYT AMANGELDI MURALIEV DAN 
                   	 PUAN ELMIRA
Penyampai       : 	 PM

mengalu-alukan
lawatan Tuan Yang Terutama dan Puan Elmira serta anggota-anggota rombongan
Republik Kyrgyz ke Malaysia. Saya dan isteri saya amat gembira di atas
kehadiran Tuan Yang Terutama di majlis ini. Saya ingin mengambil
kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah, melalui Tuan
Yang Terutama, kepada Presiden Askar Akayev di atas kemenangan beliau di
dalam pilihan raya Presiden baru-baru ini. 2. Saya dan isteri saya
mempunyai kenangan yang manis mengenai lawatan-lawatan kami ke negara Tuan
Yang Terutama. Kecantikan semula jadi, kebudayaan yang halus dan kemesraan
rakyatnya telah meninggalkan kenangan yang berkekalan kepada
kami. 3. Lawatan Tuan Yang Terutama ke Malaysia membuktikan bahawa
hubungan dua hala di antara kedua-dua negara kita adalah rapat dan
mesra. Saya percaya bahawa pertukaran lawatan di peringkat yang tinggi
seperti ini dapat membantu dalam mempererat dan mempertingkatkan hubungan
dua hala. 4. Pagi ini kita telah menyaksikan majlis menandatangani tiga
perjanjian yang meliputi pelancongan, perkhidmatan udara dan pengelakan
cukai dua kali. Perjanjian-perjanjian tersebut membuktikan kesungguhan
kita untuk mengembang dan mempertingkatkan hubungan istimewa yang Malaysia
kongsi bersama dengan Republik Kyrgyz. Unit Perancang Ekonomi Malaysia dan
Unit Ekonomi Republik Kyrgyz telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Bersama
yang membolehkan kedua-dua belah pihak mengadakan rundingan tahunan di
dalam bidang kerjasama ekonomi. Saya difahamkan bahawa Suruhanjaya Khas
Bersama ini akan mengadakan mesyuaratnya yang ketiga pada 20 November ini
dan saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka di dalam
rundingan mereka. 5. Saya gembira bahawa delegasi Tuan Yang Terutama
termasuk juga ahli-ahli perniagaan yang terkemuka yang mewakili beberapa
bidang ekonomi Republik Kyrgyz. Kehadiran mereka di Kuala Lumpur akan
memberi peluang kepada mereka untuk mencari usaha baru kerana perdagangan
dua hala di antara kedua-dua negara pada masa ini adalah masih
kecil. 6. Walau bagaimanapun, di bidang pelaburan, saya yakin bahawa pihak
swasta Malaysia yang aktif mencari pelbagai projek pelaburan, akan berjaya
menubuhkan usahasama dengan rakan Kyrgyz mereka untuk memajukan potensi
ekonomi yang wujud di Republik Kyrgyz untuk kepentingan bersama. Dalam
hubungan ini, seminar pelaburan yang akan dirasmikan oleh Tuan Yang
Terutama pada esok hari, merupakan langkah yang positif terhadap menarik
lebih ramai lagi pelabur ke Republik Kyrgyz. 7. Pelaburan asing dapat
mempercepatkan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Ini adalah pengalaman
Malaysia. Dan kerana ini, kita telah menjadikan negara kita sungguh
menarik kepada pelabur-pelabur asing. Malaysia bersedia untuk berkongsi
cara kita menarik pelaburan asing dengan Republik Kyrgyz. 8. Perlantikan
Dato' Matshah Safuan sebagai Konsul Kehormat di Negeri Sembilan dapat
meningkatkan kerjasama dua hala. Saya ingin menyampaikan ucapan tahniah
saya kepada Dato' Matshah Safuan di atas perlantikan beliau sebagai Konsul
Kehormat Republik Kyrgyz. 9. Apabila Penerbangan Kyrgyz memulakan
perkhidmatannya ke Kuala Lumpur, jarak geografi dapat dikurangkan dan akan
membawa kepada peningkatan hubungan di antara kedua-dua rakyat, dan
seterusnya merapatkan lagi kedua-dua negara. Perhubungan dua hala kita
akan dipertingkatkan dan saya berharap supaya program dan projek
kepentingan bersama dilaksanakan pada masa akan datang. 10. Saya sedar
bahawa Republik Kyrgyz sedang menghadapi keganasan antarabangsa,
pengedaran narkotik dan pelampau agama. Walau bagaimanapun, kami yakin
bahawa di bawah kepimpinan Presiden Akayev dan Tuan Yang Terutama,
Republik Kyrgyz akan berjaya menangani masalah-masalah
tersebut. Usaha-usaha Tuan Yang Terutama untuk membawa kestabilan ke
Republik Kyrgyz dan wilayah Asia Tengah disanjung tinggi dan seharusnya
mendapat sokongan setiap negara. 11. Di dalam dunia tanpa sempadan, dengan
globalisasi sebagai penawar kepada semua penyakit ekonomi, negara
membangun seperti kita sering mendapati diri kita disekat di dalam usaha
kita membawa kemajuan kepada rakyat kita. Kita perlu berdiri teguh untuk
memerangi kesan negatif proses globalisasi yang boleh mengancam konsep
kenegaraan. Kita perlu sedar akan bahaya-bahaya tersebut dan pastikan
bahawa kedaulatan negara kita tidak dikorbankan demi
globalisasi. 12. Malaysia mempunyai pengalaman di dalam perkara ini,
semasa krisis kewangan 1997-98, ketika perdagangan matawang yang tidak
dikawal menghapuskan segala hasil titik peluh kami yang dicapai selama 40
tahun. Jika diikuti cara IMF dan Bank Dunia kita terpaksa menyerahkan
kemerdekaan ekonomi kita kepada mereka. Syukur kepada Allah SWT kerana
memberi kita kebijaksanaan untuk memilih cara yang tidak konvensional
untuk memulihkan ekonomi kita. Pada hari ini, ekonomi Malaysia sedang
berkembang dan saya bangga untuk melaporkan bahawa ekonomi Malaysia telah
pulih. Kita bersedia berkongsi pengalaman kita dengan Tuan Yang Terutama
untuk menangani masalah ekonomi yang boleh menjejas pertumbuhan Republik
Kyrgyz. Malaysia sedar tentang harapan negara-negara seperti Republik
Kyrgyz yang sedang menghadapi kesukaran menyesuai kepada ekonomi
pasaran. Cabaran-cabaran yang dihadapi bukan tidak boleh diharungi. Usaha
bersama dan kekuatan rakyat Republik Kyrgyz, dapat membawa keamanan dan
kemakmuran kepada negara Tuan Yang Terutama. Malaysia sedia menghulurkan
bantuan di dalam usaha Tuan Yang Terutama untuk membasmi kemiskinan dan
meningkatkan taraf hidup rakyat Kyrgyz. 13. Izinkan saya Perdana Menteri,
untuk mengucapkan sekali lagi kepada Tuan Yang Terutama dan Puan Elmira,
serta juga anggota-anggota delegasi, selamat datang ke Malaysia dan saya
harap lawatan ini memberi kenangan manis mengenai Malaysia. Sumber
: Pejabat Perdana Menteri Download Teks Ucapan 


 
Google