home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh 		: 	DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat		: 	DEWAN MERDEKA, PUSAT
                  	DAGANGAN DUNIA PUTRA,KUALA LUMPUR 
Tarikh  	: 	18-11-2000
Tajuk  		: 	PERSIDANGAN AGONG KHAS UMNO 
Penyampai	: 	PM

untuk membahas hanya satu usul sahaja, iaitu pindaan kepada perlembagaan
parti kita. Ini bukanlah kali pertama kita meminda perlembagaan parti
kita, UMNO. Apabila kita dapati perlembagaan kita sudah tidak dapat
menjayakan perjuangan kita atau menimbulkan masalah yang tidak diramal
dahulu maka kita telah membuat pindaan bagi membolehkan kita meneruskan
perjuangan kita. 2. Kali ini kita berhadapan dengan beberapa masalah yang
disebabkan oleh usia parti kita yang telah meningkat. Sebenarnya
kebanyakan parti politik menghadapi masalah apabila usia meningkat dan
perjuangan asal diganti dengan masalah kejayaan atau kegagalan. Ada yang
berjaya membuat perubahan bagi menyesuaikan diri dengan keadaan baru dan
terus segar dan relevan, dan ada yang beku atau membuat perubahan yang
salah, gagal dan hancur. Pindaan yang kita cadangkan ini adalah untuk
menentukan matlamat perjuangan kita tidak diganggu oleh perubahan sikap
yang sudah berlaku dalam parti dan dalam masyarakat. 3. Kita sedar akan
perubahan-perubahan dalam negara sejak UMNO ditubuhkan dan sejak pindaan
perlembagaan yang terakhir dibuat. Perubahan-perubahan ini bukan sahaja
berlaku di sekitarnya tetapi juga dalam tubuh badannya. Demi penerusan
perjuangannya, perubahan-perubahan ini perlu diambilkira dan
pendekatan-pendekatan baru dicipta. Antara pendekatan ini ialah pindaan
kepada Perlembagaan. Tetapi pindaan kepada Perlembagaan semata-mata tidak
akan menjamin kejayaan. Banyak lagi tindakan yang perlu diambil untuk
menguatkan UMNO dan melengkapkannya untuk menghadapi dan mengatasi
cabaran-cabaran di dekad-dekad yang akan datang. 4. Jika kita meneliti
sejarah, kita akan dapati banyak tamadun manusia muncul, mencapai
kecemerlangan buat beberapa lama tetapi akhirnya merosot dan kadang-kadang
terus luput dan hilang. Hampir semua tamadun termasuk tamadun Islam telah
melalui proses ini. Tetapi ada juga yang merosot dan kemudian dipulih
semula. 5. Sebabnya ini berlaku ialah kerana perubahan budaya di antara
mereka yang mendiri dan memajukan tamadun dengan mereka yang hanya
mewarisi hasil tamadun yang telah didirikan. Mereka yang mendiri dan
memajukan tamadun sanggup menghadapi cabaran, berusaha bersungguh-sungguh
dan tidak mementingkan diri. Mereka mengutamakan perjuangan. Ramai yang
sanggup mengorbankan nyawa sekalipun untuk kepentingan perjuangan. Dengan
kesanggupan ini maka terdiri dan majulah tamadun berkenaan. 6. Sebaliknya
mereka yang datang kemudian dan mewarisi hasil perjuangan puak yang
terdahulu tidak lagi memiliki sifat-sifat pengasas perjuangan. Mereka
tidak lagi sanggup berjuang dan berkorban. Mereka hanya ingin menikmati
warisan peninggalan perjuangan generasi awal. Lebih daripada itu mereka
akan berebut-rebut untuk mendapat seberapa banyak bahagian daripada apa
yang diwarisi untuk diri sendiri sehingga berlakulah perpecahan antara
mereka. Dengan itu segala-gala yang diwarisi berpecah-pecah, merosot nilai
dan kekuatan dan terus ditewas dan dikuasai oleh orang lain. Inilah yang
berlaku kepada wilayah Islam di Sepanyol dan Asia Barat. Ini jugalah yang
berlaku kepada tamadun-tamadun lain. 7. Demikianlah dengan tamadun,
demikianlah juga dengan apa juga pakatan manusia termasuk pakatan parti
politik. Oleh kerana tidak ada lagi kesanggupan berkorban untuk membina,
kemerosotan akan berlaku sehingga hancurlah pakatan itu. 8. UMNO hanya
berusia 54 tahun. Dalam tempoh itu, ia telah mencapai banyak kejayaan,
kejayaan yang tidak pernah dicapai dalam sejarah orang Melayu, termasuk di
zaman empayar Melaka. Daripada satu bangsa yang dijajah dan dihina, yang
daif di negara sendiri; bangsa yang tidak pun dikenali oleh dunia, hari
ini orang Melayu dihormati, dianggap sebagai contoh kejayaan oleh dunia
dan tidak lagi menjadi orang yang termiskin di negara sendiri. Semua ini
adalah hasil perjuangan dan usaha UMNO, termasuk pengorbanan yang tidak
sedikit oleh pengasas-pengasas UMNO. 9. UMNO dan ahli-ahlinya berhak
berbangga dengan kejayaan yang dicapai. Tetapi kejayaan ini masih
rapuh. Jika disentuh sedikit ia mungkin retak, pecah berkecai. Apabila ia
pecah maka percayalah, orang Melayu akan rebah bersama. Apakah tamadun
Melayu yang baru ini hendak kita biar roboh dan hancur dalam jangka masa
hanya setengah abad? Apakah kita ingin kembali dihina dan
dijajah? 10. Jawapan kita semua tentulah tidak. Kita ingin ianya kekal
selama-lamanya. Tetapi kekal atau tidak parti dan bangsa kita ini, seperti
juga dengan yang lain, bukan bergantung kepada harapan atau keinginan
kita. Ia bergantung kepada sikap dan gerak-geri kita. Oleh kerana prestasi
UMNO berkait rapat dengan prestasi orang Melayu, maka amatlah penting kita
tentukan ahli-ahli dan pemimpin- pemimpin UMNO tidak berlagak sebagai
pewaris UMNO yang merebut-rebut tempat dan pangkat, tetapi sebagai pemaju
dan pembangun yang sama semangat dan dedikasi dengan pengasas-pengasas
UMNO. Dengan perkataan lain, pemimpin- pemimpin dan ahli-ahli UMNO tidak
seharusnya berebut-rebut jawatan atau nikmat-nikmat lain yang boleh
didapati dalam UMNO atau melalui UMNO. Mereka perlu berusaha, berkorban
untuk menambah jumlah harta kekayaan dan kemampuan bangsa Melayu
mempertahankan diri dan tamadunnya. Kata-kata hikmat tidak berguna jika
tidak disertai dengan kesedaran, sikap dan usaha. 11. Pindaan kepada
Perlembagaan hanyalah seperti membentuk kerangka yang boleh disalut dengan
sikap dan sifat yang mampu menjaya perjuangan pertubuhan. Dengan
sendirinya Perlembagaan tidak menjamin amalan yang buruk dan kehancuran
yang disebabkan olehnya tidak berlaku. Undang-undang tidak pernah
menghapuskan jenayah. Undang- undang hanya membendung jenayah. Yang
benar-benar menyelamat dan memajukan masyarakat ialah budaya yang dimiliki
oleh masyarakat. Demikian jugalah dengan UMNO. 12. Satu gejala yang sedang
melanda UMNO ialah rasuah atau politik wang. Kita mungkin berkata di
negara lain juga politik wang berlaku. Tetapi hanya kerana di negara lain
ia berlaku tidak bermakna politik wang menjadi bersih dan baik dan boleh
diamalkan. 13. Rasuah adalah satu jenayah yang tetap akan menghancurkan
masyarakat yang mengamalnya. Ada yang berkata yang mereka terima sedikit
sahaja sebaliknya orang yang mereka naikkan akan menerima banyak
nikmat. Oleh itu apa salahnya kalau mereka menerima habuan sedikit. Jika
mereka tidak terima, maka orang lain akan menerimanya. 14. Jika kita
berpendapat demikian maka kita sudah akui dan terima amalan rasuah. Semua
akan memberi alasan yang sama; jika mereka tidak terima, orang lain akan
menerima. Yang menghulur juga demikian. Jika mereka tidak hulur, pencabar
mereka akan hulur. Mereka akan teraniaya jika mereka tidak hulur. Dengan
itu semua akan terlibat dengan rasuah. Sesiapa juga yang menang ia menang
kerana rasuah. 15. Jika kita berpendapat demikian maka rasuah tidak boleh
dihapus. Kita sudah akui rasuah adalah sebahagian daripada budaya
kita. Kita terima rasuah kerana kita percaya orang lain juga
menerimanya. Dan kita hulur rasuah kerana kita percaya orang lain juga
menghulurnya. Jika masyarakat menjadi mundur, jika masyarakat hancur pun,
itu bukanlah salah kita sahaja. Masyarakat kita memang begitu dan kita
hanya melakukan perkara biasa sahaja. 16. UMNO adalah parti
pemerintah. Jika UMNO terima rasuah sebagai amalan biasa maka tentulah
kita akan dapat Presiden dan Perdana Menteri yang membeli jawatan secara
haram. Demikian juga dengan pemimpin- pemimpin lain. Apakah jenis Kerajaan
yang akan kita dapat di Malaysia? Apakah kita boleh percaya dengan
kerajaan yang dianggotai oleh penjenayah rasuah? 17. Kita lihat banyak
negara yang mencapai kemerdekaan yang tidak dapat dimajukan sama
sekali. Menteri dan Perdana Menteri dan Presiden mencuri wang Kerajaan dan
menyimpannya di luar negara. Walau pun negara mereka kaya, kemajuan tidak
dapat dicapai. Pentadbiran yang berkesan tidak dapat diadakan. Pembangunan
tidak mungkin dilakukan. Rakyat menderita. Dan orang-orang yang menerima
sogokan juga menderita akhirnya. Ada yang akan didakwa dan dihukum, dan
ada yang akan dibunuh. 18. Amat sukar untuk meyakinkan orang yang hanya
mengutamakan keuntungan hari ini akan keburukan masa depan apabila rasuah
berleluasa. Tuhan menjanjikan neraka kepada orang yang membuat dosa tetapi
ramai yang membuat dosa juga. Hukuman bunuh pun tidak berjaya mencegah
jenayah. Yang boleh membendung dan mencegah jenayah ialah budaya yang
mulia yang mengawal kepentingan diri untuk kebaikan masa depan diri dan
masyarakat. 19. Saya telah pujuk, saya telah rayu, saya telah menangis dan
saya telah berdoa. Sekarang kita cuba pula pinda perlembagaan. Dan ramai
daripada kita tidak senang dengan perubahan perlembagaan ini. Saya juga
tidak begitu yakin. 20. Yang penting bukan perlembagaan. Dahulu kita ada
pemilihan Majlis Tertinggi tiap-tiap tahun tanpa masalah. Sekarang kita
cadang lima tahun sekali tetapi kita tidak yakin masalah dapat
diatasi. Kita tahu yang akan mengatasi masalah ialah semangat dan perasaan
kekitaan kita. 21. Oleh itu tolonglah. Sayanglah bangsa kita
ini. Sayanglah anak cucu kita. Tolaklah rasuah. Dedahkan mereka yang
menghulur rasuah. Dapatkan bukti yang cukup dan dedahkan mereka. Tolak
semua jenis tawaran rasuah termasuk melancong, dan umrah. Tolak semua yang
berbau rasuah kerana bangsa, kerana bangsa kita akan menjadi hina, akan
hancur. Dan kita semua akan terus jatuh ke lembah kehinaan, daif dan tidak
bermaruah. 22. Kita baru sahaja maju sedikit. Kita belum selamat. Penjajah
menanti. Sudah ada pengkhianat bangsa yang akan menyokong mereka untuk
menjajah kita semula. Apakah kerana sedikit duit, kerana hendak tempat
maka kita sanggup menjual bangsa dan negara kita? 23. Kita akan meminda
perlembagaan tetapi selagi kita mengutamakan keuntungan sedikit bagi diri
sendiri, masalah kita akan terus wujud. Percayalah rakyat akan tolak kita
dan parti kita. Apabila itu berlaku, menjadi pemimpin tidak bermakna
lagi. 24. Saya sedar apa yang saya perkatakan di sini akan diguna oleh
parti lawan sebagai bukti parti kita sudah diselubungi rasuah. Keadaan
hari ini tidaklah seburuk seperti yang akan digambarkan oleh parti
lawan. Kita masih anggap rasuah sebagai jenayah yang kita berasa malu jika
kita lakukannya. Keadaan masih boleh dipulih, insya-Allah. Tetapi jika
sesuatu keburukan hendak ditangkis, ia mestilah dibuat sebelum ia merebak
dan menjadi sebahagian daripada budaya kita. 25. UMNO masih boleh tunaikan
janji-janji kita kepada rakyat, kepada bangsa Melayu dan Bumiputera yang
lain, dan kepada agama dan negara. 26. Marilah kita bukan sahaja kekalkan
prestasi kita tetapi kita bersihkan lagi parti kita daripada sebarang
amalan yang buruk seperti jenayah rasuah. Tiap seorang ahli UMNO
bertanggungjawab dalam usaha ini. Dedah dan tolak jenayah rasuah dan
utamakan bangsa, agama dan tanahair. 27. UMNO perlu kepada
pembaharuan. Hakikat yang terpaksa kita terima ialah peredaran masa
menjadikan kita lebih tua dan yang tua terpaksa berundur daripada memain
peranan aktif dalam UMNO. Jika UMNO hendak dikekalkan, jika perjuangan
UMNO hendak diteruskan, pembaharuan UMNO hendaklah dibuat dan dibuat oleh
generasi yang muda. Generasi lama, generasi tua walau apa pun hasil
sumbangan mereka hendaklah bersedia memberi tempat kepada generasi muda,
sama ada sebagai ahli biasa atau sebagai pemimpin. Satu dekad, dua dekad,
seratus tahun dari sekarang UMNO tetap akan dipimpin oleh orang lain
daripada kita. Jika mereka tidak diterima awal-awal lagi maka bukan sahaja
UMNO dan perjuangannya akan berbeza dari sekarang, tetapi UMNO mungkin
hancur sama sekali sebelum pun perjuangannya selesai. 28. Ahli dan
pemimpin baru mungkin berbeza pendapat daripada yang lama. Tetapi sikap
dan asas perjuangan UMNO mestilah sama. UMNO masih perlu meneruskan
semangat dan matlamat yang digariskan oleh pengasas- pengasas UMNO lebih
50 tahun dahulu. Pendekatan mungkin berbeza tetapi matlamat perlu
sama. Jika tidak UMNO, tidak lagi UMNO. 29. Penerimaan kemasukan ahli dan
pemimpin yang muda dengan lebih awal akan menentukan mereka dapat memahami
dan menghayati perjuangan parti. Percubaan menguasai dan memperalatkan
parti untuk kepentingan lain oleh mana-mana pihak dapat diawasi dan
dibendung. 30. Sebenarnya UMNO adalah milik semua orang Melayu yang
menerima asas dan matlamat perjuangannya. Tidak ada sesiapa, kerana
kepentingan dirinya, berhak menyekat orang Melayu daripada menyertai
UMNO. Sesiapa yang cuba menyekat orang Melayu yang percaya kepada
perjuangan UMNO daripada menyertai UMNO sebenarnya mengkhianati UMNO dan
masa depan orang Melayu. 31. Oleh kerana permohonan untuk menjadi ahli
menghadapi banyak masalah dan menyukarkan kemasukan orang Melayu ke dalam
UMNO maka sistem baru perlu dibuat. Ini tidak bermakna sesiapa sahaja
boleh masuk untuk merosakkan UMNO dari dalam seperti yang telah dicuba
oleh pihak tertentu. Tapisan masih perlu dibuat tetapi kuasa menapis perlu
dibuat oleh pihak yang tidak berkepentingan. Setelah diterima masuk ahli
baru berhak memiliki semua hak ahli dalam semua kegiatan
UMNO. 32. Penubuhan Puteri UMNO bukanlah kerana ada sekatan terhadap
kemasukan generasi yang muda di kalangan wanita ke dalam Pergerakan Wanita
UMNO. Pergerakan wanita bersedia untuk menerima ahli baru tanpa mengira
umur. Tetapi ada juga wanita muda yang tidak begitu `comfortable' atau
berasa begitu senang apabila berada bersama dengan ahli dan pemimpin yang
sudah lama berada dalam Pergerakan Wanita. Mereka ini tidak yakin mereka
boleh menyuarakan pendapat mereka dan mempengaruhi badan
berkenaan. Justeru itu, satu saluran baru diperlukan - dan ianya ialah
Puteri. Namun yang berminat untuk menjadi ahli terus dalam Pergerakan
Wanita, tidak ada sekatan terhadap mereka hanya kerana mereka layak
menjadi ahli Puteri. Akhirnya apabila sampai had umur maka puteri akan
menjadi ahli dalam Pergerakan Wanita juga. 33. Pergerakan Wanita memainkan
peranan yang amat penting dalam UMNO dan sumbangan serta peranan mereka
tidak harus dilemahkan sama sekali. Parti amat terhutang budi kepada
Pergerakan Wanita dan Parti tidak sama sekali berhajat untuk melemahkan
wanita dengan penubuhan Puteri. Struktur Puteri akan ditentukan kemudian
setelah semua pihak memberi pendapat mereka. 34. Tiap pertubuhan
memerlukan kepada pemimpin. Tanpa pemimpin maka perjuangan pertubuhan
tidak mungkin dijayakan. Untuk menentukan pemimpin dapat menjalankan tugas
dengan berkesan maka kuasa-kuasa dan kedudukan tertentu terpaksa diberi
kepadanya. 35. Pemimpin pula harus sedar bahawa kedudukan dan kuasa yang
diberi ialah untuk menjayakan pertubuhan dan perjuangan pertubuhan. Kuasa
dan kedudukan bukan untuk kegunaan sendiri, bukan untuk mendapat sesuatu
bagi diri sendiri. Ini bermakna kuasa dan tempat bukanlah hiasan tetapi
adalah tanggungjawab yang berat untuk kebaikan pertubuhan. Mereka yang
ingin menjadi pemimpin perlu mengukur kebolehan mereka, mengetahui sama
ada mereka mampu menjayakan perjuangan pertubuhan. 36. Janganlah sesiapa
memikir akan nikmat yang didapati oleh pemimpin sehingga tidak
mengambilkira sumbangan yang perlu dan mampu diberi. Apabila pemimpin
mengutamakan pulangan bagi diri sendiri maka tidak dapat tidak pertubuhan
dan perjuangannya akan menjadi mangsa. Prestasi pertubuhan tetap akan
merosot dan mungkin hancur sama sekali. 37. Kepimpinan yang berprinsip
dalam UMNO menjadi lebih penting kerana ia adalah parti pemerintah yang
bertanggungjawab secara langsung terhadap bangsa, agama dan tanah
air. Jika orang yang tidak berkebolehan menjadi pemimpin UMNO maka
Kerajaan pimpinan UMNO tentulah akan gagal. Jika Kerajaan UMNO gagal
menunaikan janjinya ia akan ditolak oleh rakyat. Kita yakin, setelah
melihat gelagat dan kemampuan mereka, pengganti kepada UMNO tidak berupaya
memajukan negara kita. Akibat dari kepimpinan UMNO yang tidak berupaya
ialah kehancuran negara. Dengan perkataan lain UMNO mesti dipelihara
kerana hanya UMNO sahaja yang mempunyai dasar dan pendekatan yang boleh
memajukan negara serta memulih dan menebus maruah bangsa dan negara yang
telah hancur selama 450 tahun. 38. Saya sedar terdapat banyak kelemahan
dalam cadangan pindaan yang dibuat. Selain daripada kemungkinan pindaan
ini tidak berjaya mencapai matlamatnya ia boleh juga membawa kelemahan
kepada parti dan masalah lain. Ia juga mungkin mengecewakan mereka yang
bersih tetapi berminat. Mungkin ada yang kecewa kerana perlu menunggu
begitu lama. 39. Pejuang yang sebenar tidak harus mudah kecewa. Pendekatan
yang salah tetapi mendapat sokongan lebih mungkin mendatang hasil daripada
pendekatan yang baik tetapi tidak disokong sama sekali. Banyak sudah
tindakan yang dianggap bodoh oleh orang lain telah berjaya di
Malaysia. Oleh itu berilah peluang kepada pindaan ini membuahkan
hasil. Sesungguhnya pindaan ini mampu mendatangkan kebaikan membendung
atau mengurangkan amalan- amalan yang buruk dan akhirnya menyelamatkan dan
memperkuatkan parti UMNO ini. 40. Saya tidak hendak bercakap panjang
kerana kesuntukan masa. Hari ini keutamaan kita ialah membahaskan agenda
yang dibentangkan kepada kita. Saya hanya berharap kita dapat bersikap
bertanggungjawab. Apa yang kita lakukan ini akan mempunyai kesan yang amat
besar kepada kaum bangsa kita. Kita telah mencapai kejayaan yang boleh
dibanggakan oleh kita. Tetapi kita mempunyai lebih banyak tugas yang perlu
dipikul dan dijayakan sebelum bangsa kita, agama kita, dan negara kita
mencapai taraf negara maju dan tamadun kita berdaya tahan. 41. Selamat
Bersidang. Mudah-mudahan Allah Subhanahu wa Ta'ala memberkati usaha kita
dan kita akan terus berjaya dalam usaha murni kita ini. Sumber : Pejabat
Perdana Menteri Download Teks Ucapan 


 
Google