Oleh/By : Y.A.B. DATO SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue :
Tarikh/Date : 24-12-2000
Tajuk/Title : PERUTUSAN HARI KRISMAS
Versi :
Penyampai : PM
Saya dan isteri saya mengucapkan selamat menyambut Hari
Krismas kepada semua rakyat Malaysia yang menganut
agama Kristian.
Saya berasa gembira sambutan perayaan Hari Krismas di
negara kita dapat diadakan dalam suasana aman dan
meriah.
Walaupun negara kita mempunyai penduduk yang berbilang
kaum dan agama, perayaan atau sambutan hari-hari
kebesaran masing-masing agama dapat dilangsungkan tanpa
halangan atau gangguan. Keadaan ini boleh wujud kerana
rakyat kita menghargai keamanan dan menghormati
kepercayaan masing-masing.
Keadaan ini hendaklah kita kekalkan sepanjang masa
kerana ia akan lebih membawa manfaat kepada perpaduan
dan keharmonian kaum dan kemajuan negara.
Kerajaan akan sentiasa berusaha memastikan penduduk
negara ini dapat hidup bersatu padu dan dalam
kesejahteraan dan kemakmuran.
Sekiranya ada tanda-tanda atau cubaan oleh mana-mana
pihak untuk merosakkan keharmonian antara kaum kita
dengan mempermainkan isu-isu sensitif seperti agama dan
kaum, Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap
mereka mengikut undang-undang negara yang sedia ada.
Pihak Kerajaan memandang serius terhadap mana-mana
pihak yang cuba menggunakan isu-isu sensitif untuk
kepentingan kaum atau untuk mendapat pengaruh atau
menarik perhatian kepada mereka.
Rakyat perlu sedar dalam negara majmuk seperti
Malaysia, perpaduan dan kerjasama antara kaum adalah
faktor penting bagi menjamin kestabilan, kemajuan dan
kemakmuran negara.
Dengan harapan ini sekali lagi saya dengan isteri saya
mengucapkan selamat menyambut Hari Krismas kepada semua
rakyat Malaysia yang beragama Kristian.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|