Oleh/By : YAB DATO SERI DR
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : MELALUI RADIO DAN TELEVISYEN
MALAYSIA PADA MALAM HARI
RAYA AIDILFITRI
Tarikh/Date : 26-12-2000
Tajuk/Title : PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI
Versi :
Penyampai : PM
Alhamdulillah, sekali lagi kita orang Islam di Malaysia
merayakan Hari Raya Puasa dalam keadaan aman dan
selamat dan bebas daripada apa-apa malapetaka. Justeru
itu Hari Raya Aidilfitri disambut oleh umat Islam
dengan gembiranya setelah berjaya menunaikan ibadat
puasa selama 30 hari. Hari ini kita umat Islam bukan
sahaja dapat makan minum dan bergembira dengan kejayaan
kita, tetapi hari ini menjadi hari untuk kita
memperbaharui ikatan kita dengan ibu bapa dan keluarga,
dengan sahabat handai dan juga dengan semua orang
Islam, jauh dan dekat.
2. Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain akan menjadi
lengang kerana penduduk yang terdiri daripada orang
Islam akan balik ke kampung di mana kebanyakan daripada
ibu bapa dan keluarga kita tinggal. Di kampung kita
akan disambut dengan gembira dan dapat bertemu dengan
kawan-kawan lama serta bersalam-salaman sambil
mengucapkan "Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin".
Hubungan silaturahim antara sanak saudara dan sahabat
handai akan diperbaharui.
3. Di masjid-masjid di seluruh negara umat Islam akan
berkumpul untuk Sembahyang Raya dalam suasana aman dan
penuh muhibbah. Nama Allah Yang Maha Besar akan
disahut berulang kali oleh jemaah semasa bertakbir
sebagai pengakuan semula akan Allah yang satu yang
disembah.
4. Selepas Sembahyang Aidilfitri, Khatib akan membaca
khutbah yang menyeru umat Islam agar bersatu, supaya
kita melupakan perbezaan pendapat dan perselisihan
faham antara kita. Khatib akan menyeru supaya kita
kembali bersatu-padu kerana semua umat Islam adalah
bersaudara - "Innamal mukminuna ikhwah".
5. Selepas tamat khutbah maka jemaah akan bersalam-
salaman sebagai saudara seagama. Sebagai orang Islam
tidak ada halangan bagi kita bersalam-salaman dan
mengucap Id Mubarak atau Selamat Hari Raya (Minal aidin
wal faizin) kepada semua jemaah tanpa mengira kaum atau
keturunan yang dikenali atau tidak. Semua kita yang
berada di masjid-masjid untuk Sembahyang Hari Raya
Aidilfitri adalah saudara seagama, orang Islam
semuanya.
6. Di Malaysia kita tahu pada Hari Raya rumah-rumah
kita terbuka kepada semua orang Islam dan juga orang
bukan Islam. Fakir miskin juga tidak ketinggalan.
Dengan mengadakan rumah terbuka ini maka sekali lagi
orang Islam berpeluang menjalinkan persaudaraan antara
mereka dan juga persahabatan dengan orang bukan Islam.
Tidak akan ada yang lapar dan dahaga pada Hari Raya di
Malaysia yang makmur ini.
7. Kanak-kanak menyambut Hari Raya dengan riang
gembira. Mereka dapat menjamu selera dengan kuih-muih
dan pelbagai juadah. Mereka diberi duit raya oleh ibu
bapa, keluarga dan orang lain. Dan mereka sedar betapa
bertuahnya mereka, tuah yang datang dari negara yang
aman dan makmur.
8. Pada Hari Raya kita disuruh melupakan permusuhan
kita sesama kita orang Islam dan sebaliknya kita
memohon maaf zahir dan batin. Lafaz di mulut tentulah
disertai dengan niat yang sama di hati. Sekurang-
kurangnya pada Hari Raya umat Islam perlu melupakan
perselisihan faham dan permusuhan antara mereka dalam
apa juga bidang termasuk politik. Jika boleh
persefahaman yang dijalin hendaklah diteruskan.
9. Semua ini yang kita lakukan semasa kita menyambut
Hari Raya Aidilfitri adalah amat secocok dengan ajaran
Islam - khususnya berkenaan dengan persaudaraan. Jika
kita mengikuti ajaran Islam, tidak dapat tidak umat
Islam akan menjadi umat yang beruntung, yang bahagia,
umat yang bersatu-padu, aman dan stabil.
10. Islam dibawa oleh Rasullullah sebagai satu berita
gembira kepada umat manusia. Seribu empat ratus dua
puluh tahun dahulu manusia hidup dalam kejahilan.
Budaya mereka amat buruk sekali.
11. Di Semenanjung Arab, orang Arab jahiliah amat
mundur dan mempunyai budaya yang buruk. Mereka
menindas kaum wanita dan hamba mereka. Wanita tidak
mempunyai hak sama sekali. Yang kaya daripada mereka
mengambil seberapa banyak isteri dan perempuan simpanan
untuk kepuasan nafsu mereka semata-mata. Anak
perempuan yang kecil dibunuh dengan ditanam hidup-
hidup.
12. Arab jahiliah ini membahagikan diri mereka kepada
kabilah-kabilah mengikut keturunan. Mereka begitu
sombong dan setia kepada kabilah mereka sehingga mereka
sanggup membuat apa sahaja untuk kabilah mereka.
Walaupun perbuatan mereka tidak baik dan merupakan satu
jenayah tetapi ia dilakukan oleh mereka kepada kabilah
lain kerana terlampau setia dan fanatik kepada kabilah
mereka.
13. Oleh kerana terlalu taksub dan setia kepada
kabilah mereka, dan bermusuh ketat dengan kabilah-
kabilah lain, maka Arab jahiliah ini tidak pernah
berhenti berperang antara kabilah-kabilah. Apabila
kabilah-kabilah yang bermusuhan ini bertemu, mereka
akan berperang.
14. Permusuhan antara mereka kekal selama-lamanya.
Punca asal permusuhan mereka sudah mereka lupakan
tetapi mereka terus bermusuh, bahkan berperang.
Hasilnya ialah bangsa Arab di zaman jahiliah lemah dan
tidak mempunyai tamadun seperti bangsa-bangsa lain di
sekeliling mereka.
15. Kepada bangsa Arab jahiliah ini datang Nabi
Muhammad s.a.w. dengan berita gembiranya. Islam yang
dibawa oleh Rasulullah menyuruh orang Arab jahiliah ini
menghentikan budaya kolot mereka. Amalan membunuh anak
perempuan dan menindas kaum wanita dihentikan. Mereka
menerima Allah yang satu sebagai Tuhan yang tunggal
yang mereka sembah dan Nabi Muhammad sebagai Rasul-Nya.
16. Kesetiaan kepada kabilah yang keterlaluan sehingga
sanggup membuat jenayah kerana patuh kepada pemimpin
dan suku kaum dihentikan kerana dilarang oleh agama
Islam. Ketaatan kepada ketua dan suku kaum hanyalah
dalam membuat kebaikan. Dengan itu permusuhan antara
kabilah-kabilah dihentikan dan sebaliknya mereka
dicantum menjadi satu umat yang bersaudara. Sejarah
menunjukkan bahawa apabila orang yang kolot dan jahil
ini memeluk dan menerima amalan ajaran Islam, maka
dalam jangka masa yang pendek mereka dapat mendirikan
"Daulah Islamiah" atau empayar orang Islam yang
meliputi Sepanyol di Barat hingga ke sempadan China di
Timur.
17. Demikianlah mustajabnya ajaran Islam berkenaan
dengan persaudaraan sesama Islam dan perpaduan serta
bermuafakat membuat kerja kebaikan. Demikian juga
kesannya ketaatan kepada Ulil-Amri bagi umat Islam di
mana juga mereka berada.
18. Empayar ini runtuh pada permulaan abad ke-20
Masihi kerana sejak beberapa lama perpaduan dan
persaudaraan Islam tidak lagi diamalkan. Kerana orang
Arab tidak sanggup diperintah oleh orang Islam Turki,
maka mereka bekerjasama dengan musuh-musuh Islam untuk
kononnya membebaskan diri mereka daripada belenggu
Turki. Malang bagi mereka apa yang dihasilkan daripada
pemberontakan mereka bukanlah kebebasan tetapi
penaklukan dan penjajahan oleh Peranchis, British dan
Rusia.
19. Semua ini boleh menjadi iktibar kepada kita umat
Islam di Malaysia. Janganlah kita kembali kepada
budaya jahiliah dengan menerima ajaran yang mungkar dan
menolak yang makruf. Persaudaraan dan membuat yang
baik adalah perkara yang disuruh dan perpecahan serta
melakukan keburukan adalah amalan yang ditegah. Inilah
maksud "amal ma'aruf nahi mungkar".
20. Semasa kita merayakan hari raya dan bersalam-
salaman ada baiknya jika kita mengingati akan maksud
kita bersalam sesama orang Islam. Maksudnya tidak lain
dan tidak bukan ialah supaya kita kembali kepada ajaran
Islam yang menyuruh kita bersaudara dan bersatu-padu.
21. Tiap pasangan yang bersalam tetap mempunyai
kelainan pendapat. Manusia terlibat dengan terlalu
banyak kegiatan untuk mereka memiliki pendapat yang
sama dalam semua bidang. Ada sahaja perbezaan pendapat
berkenaan dengan kemasyarakatan, ekonomi, politik dan
juga agama di antara mereka.
22. Dalam agama Islam perbezaan pendapat memang
lumrah. Kadang-kadang perbezaan ini sedikit sahaja
tetapi kadang-kadang jauh juga perbezaannya. Di
kalangan kita Ahli Sunnah Wal Jemaah, Mazhab Shafie pun
terdapat sedikit perbezaan dalam tekanan terhadap yang
wajib dan yang sunat, dalam berdoa dan ibadat-ibadat
lain. Antara Mazhab-mazhab Hambali, Maliki, Hanafi dan
Shafie terdapat lebih banyak perbezaan.
23. Tetapi semuanya adalah orang Islam. Perbezaan-
perbezaan daripada segi tafsiran dan tekanan, daripada
segi amalan tertentu tidak menjadikan pengikut mana-
mana mazhab tidak Islam. Apatah lagi kita yang
berpegang kepada ajaran Imam Shafie; jika ada sedikit
perbezaan antara kita daripada segi tafsiran atau lain-
lain, ini tidak menjadikan kita tidak Islam selagi kita
percaya kepada Tuhan yang satu dan Rasul-Nya. Tidak
ada sesiapa yang boleh melucutkan keIslaman kita. Kita
masih menjadi saudara dengan orang Islam lain di mana
juga mereka berada.
24. Demikian juga jika perbezaan antara kita adalah
berkenaan dengan hal-hal lain selain daripada agama.
Mungkin kita berbeza pendapat berkenaan dengan politik
atau ekonomi atau sosial. Kerap juga kita berbeza
pendapat kerana soal-soal peribadi. Ada soal-soal
peribadi yang menyebabkan hubungan kita dengan keluarga
atau anggota keluarga, atau kawan bermasam muka,
berkelahi dan berseteru.
25. Semua ini, semua perbezaan sama ada berkenaan
dengan agama, politik, ekonomi, sosial atau peribadi
tidak menjadikan mana-mana pihak tidak Islam. Pada
hari yang mulia ini kita boleh bersalaman dengan hati
yang bersih daripada segala sangkaan yang buruk
terhadap saudara seagama kita. Mungkin ketegangan
antara kita dengan seteru kita dilupakan pada hari itu
sahaja, tetapi mungkin juga kemesraan itu berpanjangan
dan hubungan rapat kita dipulihkan dengan sepenuhnya,
Insya-Allah.
26. Inilah hikmah daripada bersalaman dan ucapan maaf
zahir batin pada hari raya. Pada satu hari sekurang-
kurangnya umat Islam bersatu dan bermesra. Insya-Allah
kita mungkin bersatu dan mesra secara lebih kekal. Ia
tetap tidak akan merugikan kita. Sebaliknya ia mungkin
membawa banyak manfaat kepada kita. Ingatlah bagaimana
perpaduan antara orang Ansar dan orang Muhajirin di
Madinah telah menghasilkan sebuah negara Islam yang
kukuh yang dapat mengembangkan Islam dan menyatu-
padukan penduduk seluruh Semenanjung Arab.
27. Tidak ada sesuatu yang disuruh oleh agama Islam
yang tidak akan membawa kebaikan, nikmat dan keuntungan
kepada umat Islam. Jika pada hari ini kita tidak
menikmati kebaikan, jika pada hari ini umat Islam
ditindas, dihina dan dipermainkan, sebabnya ialah
kerana umat Islam sendiri yang tidak mengikut dan
mengamalkan ajaran Islam secara ikhlas.
28. Memanglah benar musuh-musuh Islam boleh
disalahkan. Mereka menggunakan kekuatan mereka untuk
menindas dan melemahkan orang Islam dan negara-negara
Islam. Tetapi mereka tidak mungkin berbuat demikian
jika orang Islam sendiri tidak memberi jalan kepada
mereka.
29. Kita memberi jalan kepada mereka apabila kita
menerima hasutan mereka supaya kita bermusuh sesama
kita, kita sengaja menghalang segala usaha untuk
menyatupadukan kita, dan kita menjejaskan usaha untuk
membangun dan memperkuatkan negara-negara kita.
30. Apabila sahaja ada negara Islam yang mula mencapai
kemajuan, maka akan adalah orang Islam yang mencuba
menghalang kemajuan ini. Alasan mereka berbagai-bagai
tetapi semuanya berkisar kepada tuduhan bahawa
pemerintah tidak Islam, sekular dan sebagainya. Walau
apa juga penjelasan dibuat bahawa memajukan umat Islam
dan negara Islam adalah sebahagian daripada ibadat,
bahkan satu jihad, puak berkenaan menutup hati mereka.
31. Bukti bahawa tuduhan ini berasas tidak
dipedulikan. Yang mempengaruhi gerakan untuk
menjatuhkan Kerajaan negara-negara Islam ialah al-Quran
dan Hadis yang sengaja disalahtafsirkan untuk
menghalalkan perbuatan tidak Islam oleh puak-puak ini.
Apabila pengikut sudah menerima dan menyertai segala
kegiatan puak ini, maka mereka akan menjadi fanatik dan
sanggup membuat apa sahaja. Sebab itulah kita lihat
pemberontakan dan pembunuhan orang Islam oleh orang
Islam dan kelemahan Kerajaan negara-negara Islam.
32. Apabila orang Islam sudah bermusuh dan berperang
sesama sendiri, maka pembangunan negara tidak dapat
diadakan. Dengan itu negara-negara Islam akan terus
mundur, lemah dan ditindas, dihina oleh orang lain.
Inilah yang dikehendaki oleh musuh-musuh Islam.
33. Di Malaysia kita bernasib baik kerana walaupun ada
segelintir orang yang taksub dengan puak tertentu yang
cuba melemahkan Kerajaan dan adakalanya bersubahat
dengan orang asing yang benci kepada Kerajaan Malaysia,
tetapi umumnya percubaan ini ditolak oleh majoriti
orang Islam di Malaysia.
34. Perhubungan sesama orang Islam di Malaysia masih
kuat. Dan kita semua masih boleh mengekalkan lagi
perhubungan ini. Insya-Allah dengan kita bersalam-
salaman di hari raya, perhubungan ini mungkin menjadi
lebih erat semula.
35. Hampir semua Kerajaan negara Islam di dunia yang
memilih demokrasi menghadapi masalah dan tidak dapat
dibangunkan. Sebabnya ialah kerana sistem demokrasi
seperti yang diamalkan sekarang bukanlah sistem asal
negara Islam. Dalam sejarah Islam sistem pemerintahan
yang digunakan ialah sistem feudal dan autokratik.
Justeru itu negara Islam dan rakyatnya yang mencuba
sistem demokrasi berparti hampir semuanya menjadi tidak
stabil dan pembangunan tidak dapat diadakan.
36. Sebabnya ini berlaku ialah kerana orang Islam
terlalu taksub dengan parti-parti yang dianggotai oleh
mereka sehingga lupa kepada agama dan seruan kepada
perpaduan di kalangan umat Islam. Sebenarnya parti
politik hanyalah untuk membolehkan pilihan dibuat
tentang siapa yang dianggap layak untuk mentadbir
negara. Selepas pemilihan rakyat perlu kembali hidup
bersama sebagai umat yang satu seperti sebelum
pemilihan. Tetapi di negara Islam yang demokratik
perpecahan antara pengikut-pengikut parti adalah
mendalam dan kekal. Permusuhan yang ketara berlaku dan
sikap keterlaluan diperlihatkan. Tentangan terhadap
yang menang ditingkatkan dan percubaan dibuat untuk
mengganggu Kerajaan yang telah dipilih supaya tidak
dapat menumpukan kepada kesejahteraan rakyat dan
pembangunan negara.
37. Kehidupan sebagai masyarakat Islam yang bersatu
tidak dapat diadakan kerana permusuhan ini. Desakan
agama Islam supaya semua umat berpegang kepada tali
Allah (iaitu agama Islam) dan jangan bercerai-berai
tertinggal sebagai ayat dalam al-Quran sahaja kerana
ianya gagal diamalkan. Sebab itulah demokrasi di
negara Islam tidak membawa kebahagiaan dan pembangunan.
Tetapi rakyat beragama Islam seperti juga rakyat lain,
tidak ingin melihat kembalinya sistem pemerintahan
autokratik feudal.
38. Pada hari raya ini sambil kita beramah mesra, ada
baiknya jika kita cuba mematuhi ajaran Islam.
Sementara kita boleh berpegang kepada fahaman politik
kita, tidak ada sebab kenapa kita tidak boleh
mengurangkan ketaksuban kita kepada parti dan kita
hidupkan semangat persaudaraan dalam Islam. Fahaman
politik tidak sepatutnya menjejaskan persaudaraan kita
sebagai orang Islam. Agama Islam adalah lebih utama
daripada parti dan ideologi bagi orang Islam.
39. Perpaduan dan kerjasama antara kita orang Islam di
Malaysia, dan juga antara kita dengan orang Islam lain
di seluruh dunia menjadi lebih penting di zaman
globalisasi ini. Jika kita tidak berjaga-jaga, kita
mungkin dijajah semula. Sudah adapun negara Islam yang
merdeka tetapi secara langsung dan tidak langsung
dijajah semula.
40. Pada Hari Raya Aidilfitri yang mulia ini marilah
kita umat Islam kembali kepada ajaran Islam berkenaan
persaudaraan dan perpaduan. Marilah kita bermaaf-
maafan antara kita secara ikhlas; marilah kita jalinkan
perhubungan yang baru antara kita supaya dapat kita
bersama-sama memajukan negara kita, supaya kita tidak
terdedah kepada tekanan oleh mana-mana pihak yang
berniat tidak baik kepada kita.
41. Di Malaysia yang berbilang kaum dan agama ini,
marilah kita orang Islam membuktikan bahawa Islam
adalah agama yang toleran dan adil kepada semua pihak,
sama ada Islam atau tidak Islam. Marilah kita buktikan
bahawa pemerintahan yang diterajui oleh orang Islam
adalah pemerintahan yang berdaya maju dan mampu
membangun dan mempertahankan negara daripada segala
ancaman dari dalam atau luar.
42. Justeru itu alu-alukanlah mereka yang bukan
beragama Islam yang tumpang beraya pada Hari Raya
Aidilfitri ini. Sambutlah mereka bersama-sama dengan
orang Islam yang mengunjungi kita. Dengan itu
kemesraan Islam dan orang Islam dapat dinikmati juga
oleh orang bukan Islam seperti ianya dinikmati oleh
orang Islam. Saya yakin kita semua akan mendapat
kebahagiaan daripada amalan ini.
43. Sempena Hari Raya Aidilfitri ini saya, isteri dan
anak-anak saya mengucapkan Selamat Hari Raya kepada
semua umat Islam di negara kita terutama anggota
pasukan keselamatan dan pegawai serta kakitangan lain
yang bertugas di hari raya, dan memohon maaf zahir dan
batin. Saya berdoa kita semua akan terus dilindungi
dan dirahmati Allah s.w.t. sepanjang masa.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|