Oleh/By : Y.A.B. DATO SERI DR MAHATHIR
BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : MELALUI RADIO DAN TELEVISYEN
MALAYSIA (RTM)
Tarikh/Date : 31-12-2000
Tajuk/Title : SEMPENA TAHUN BARU 2001
Versi :
Penyampai : PM
Pada hari kita menyambut tahun baru 2001, tahun yang
sebenarnya menjadi permulaan abad dan alaf baru, ada
baiknya jika kita ambil masa sedikit untuk merenung
tentang perkembangan dan keadaan negara kita yang
tercinta ini sejak kemerdekaannya empat puluh tiga
tahun dahulu. Dengan berbuat demikian kita akan dapat
memperingati diri kita, dari mana kita datang, di mana
kita berada sekarang dan ke mana akan kita pergi.
Mudah-mudahan dengan berbuat demikian kita akan dapat
mengelak daripada mengulangi kesalahan-kesalahan kita
dahulu dan bertindak dengan lebih bijak bagi
kesejahteraan kita dan negara kita.
2. Kita sedar bahawa negara kita adalah negara
berbilang kaum dan kaum-kaumnya terbahagi dengan lebih
jauh jaraknya kerana kelainan bahasa, agama dan budaya.
Ramai yang meramalkan di waktu kita mencapai
kemerdekaan bahawa Malaysia tidak mungkin stabil dan
maju kerana kaum-kaum yang terpisah ini juga berbeza
daripada segi tahap kemajuan, tempat tinggal dan
aktiviti hidup.
3. Tetapi dunia terpaksa mengakui bahawa walaupun
demikian, Malaysia dapat berada dalam keadaan aman dan
selamat dan pembangunannya adalah begitu pesat sehingga
ia dianggap sebagai negara membangun yang termaju di
dunia.
4. Kaum-kaum di Malaysia dapat hidup dalam keadaan
aman damai kerana pemimpin-pemimpin kaum yang berjuang
untuk kemerdekaan dan menggubal dasar asas negara
adalah orang yang sederhana yang ingin melihat semua
kaum mendapat tempat yang sewajarnya dalam negara yang
bertuah ini. Mereka tidak keterlaluan dan amat
bertimbangrasa. Mereka menolak tekanan daripada pihak
yang keterlaluan daripada kaum masing-masing dan
memilih untuk melayan hak semua kaum secara adil.
5. Tidak semua rakyat faham akan kebijaksanaan
pengasas-pengasas negara kita. Maka berlakulah
peristiwa 13 Mei 1969. Berikutan peristiwa tersebut
para pemimpin pada masa itu mengambil iktibar dan
membentuk dasar yang lebih berkesan untuk memberi makna
kepada persefahaman yang telah dicapai oleh pengasas
negara.
6. Alhamdulillah, berkat kebijaksanaan pemimpin-
pemimpin negara daripada semua kaum, perhubungan kaum
dapat dipulihkan selepas 1969 dan sedikit demi sedikit
telah menjadi lebih baik. Tidak ada lagi rusuhan kaum
seperti yang diramalkan oleh orang asing.
7. Walaupun integrasi kaum sepenuhnya tidak dapat
dicapai tetapi umumnya rakyat berbilang kaum di
Malaysia hidup bersama, bekerja bersama, belajar
bersama dan bermain bersama. Dengan bangganya rakyat
Malaysia daripada semua kaum mengaku bahawa mereka
adalah rakyat Malaysia di mana juga mereka berada di
dunia. Malaysia adalah negara mereka, tanahair mereka.
Di sinilah bumi yang mereka pijak dan di sinilah langit
yang mereka junjung.
8. Dalam keadaan aman hasil daripada perpaduan kaum,
pembangunan negara diusahakan. Dasar ekonomi negara
diasaskan kepada kepercayaan bahawa yang penting bukan
jumlah pendapatan yang diperolehi tetapi jumlah barang
dan perkhidmatan yang boleh dibeli dengan pendapatan
itu. Jika harga barangan dan khidmat dapat dikawal,
pendapatan yang rendah tidak akan merendahkan taraf
hidup. Ini bermakna kos sara hidup perlu dikawal rapi.
Kos sara hidup yang rendah ini menjadikan kos
pengeluaran di Malaysia lebih kompetitif dan menarik
kepada pelabur tempatan dan asing. Dengan ini
peralihan asas ekonomi daripada getah dan bijih timah
kepada industri pembuatan mencapai kejayaan yang luar
biasa.
9. Hari ini Malaysia sudah menjadi negara industri
yang moden, yang mengeluarkan barangan elektronik yang
canggih yang dieksport ke seluruh dunia. Produk
Malaysia sudah sampai ke bulan dan terdapat dalam
hampir semua barangan buatan di dunia.
10. Peralihan Malaysia kepada ekonomi berasas industri
pembuatan berjaya membangunkan ekonomi negara dengan
tingginya. Daripada pendapatan per kapita tiga ratus
Dolar Amerika di waktu kita mencapai kemerdekaan, kita
sekarang mencatat per kapita hampir empat ribu Dolar
Amerika. Ia sepatutnya lebih daripada lima ribu Dolar
Amerika jika tidak kerana Ringgit kita diturunkan
nilainya oleh penyangak mata wang. Walaupun pendapatan
per kapita ini rendah berbanding dengan negara-negara
maju, tetapi oleh kerana kos sara hidup kita rendah, di
Malaysia dengan empat ribu Dolar Amerika kita boleh
membeli barangan dan khidmat bersamaan dengan lebih
kurang sepuluh ribu Dolar Amerika di Amerika Syarikat
umpamanya.
11. Oleh kerana kemajuan ekonomi maka pendapatan
Kerajaan juga meningkat tinggi. Dengan itu segala
keperluan rakyat dapat disediakan. Di seluruh negara,
sekolah, hospital, bekalan air, bekalan elektrik, jalan
kampung dan luar bandar, lapangan terbang dan pelabuhan
telah dibina oleh Kerajaan.
12. Tetapi untuk mempercepatkan pembangunan,
pendapatan Kerajaan tidak mencukupi. Kita ada pilihan
sama ada untuk menunggu sehingga Kerajaan dapat
membesarkan tabung hasilnya dan meminjam wang dari
pasaran atau kita membiayai pembinaan infrastruktur
yang mendesak untuk rakyat dan industri melalui
penswastaan. Meminjam terutama dari luar negeri adalah
pendekatan yang tidak bijak. Justeru itu kita memilih
penswastaan. Oleh kerana kita tidak meminjam, maka
kejatuhan nilai Ringgit kita semasa kegawatan tidak
menekan kita terlalu sangat. Sebaliknya penswastaan
telah membolehkan kita membina beribu-ribu batu lebuh
raya, loji air, penjana elektrik dan kemudahan-
kemudahan lain dengan lebih cepat dan diuruskan dengan
lebih cekap dan dengan keuntungan yang lebih besar.
Oleh kerana Kerajaan terus mempunyai saham dalam
sesetengah entiti yang diswastakan, bukan sahaja
Kerajaan mendapat hasil daripada penjualan entiti-
entiti ini kepada swasta, tetapi juga menikmati
keuntungan yang diperolehi. Namun demikian, untuk
mengurangkan bayaran tol dan sebagainya Kerajaan
memindahkan harta kepada pihak swasta dengan harga yang
nominal sahaja.
13. Jika kita tidak menggunakan pendekatan penswastaan
ini kita tidak akan dapat menggunakan lebuhraya yang
terbaik sekali di Asia Tenggara, tidak akan mendapat
bekalan air atau elektrik yang cukup, dan tidak mungkin
melihat Keretapi Transit Ringan di Kuala Lumpur dengan
begitu awal. Bayangkanlah Malaysia tanpa projek-projek
penswastaan ini.
14. Rakyat Malaysia diberi pelajaran dengan percuma
atau dengan kos yang rendah. Sekolah rendah, menengah
dan tinggi diadakan dengan banyaknya. Rakyat berbilang
kaum dapat juga belajar dalam bahasa ibunda.
15. Daripada satu universiti sahaja negara sekarang
mempunyai empat belas buah universiti Kerajaan dan
berpuluh universiti dan institusi pelajaran tinggi
swasta. Jika dahulu hanya yang kaya sahaja yang dapat
pergi ke luar negeri untuk melanjutkan pelajaran
tinggi, tetapi hari ini pelajaran yang setaraf dapat
diikuti di dalam negara dengan perbelanjaan yang jauh
lebih murah. Dengan itu lebih ramai daripada anak-anak
rakyat Malaysia berpeluang mendapat pelajaran tinggi.
Apabila dunia I.T. menjelma Malaysia mempunyai ramai
rakyat terpelajar yang mampu menguasai ilmu baru ini
dan menggunakannya.
16. Dengan pertumbuhan industri pembuatan yang pesat
peluang kerja bertambah dengan banyaknya. Demikianlah
banyaknya peluang kerja sehingga hampir semua rakyat
Malaysia tetap mempunyai pekerjaan jika mereka ingin
bekerja. Namun peluang bekerja bertambah lagi dan
pekerja asing pun mula memasuki untuk mencari kerja di
Malaysia. Hampir dua juta pekerja asing menumpang
peluang pekerjaan di Malaysia. Dan rakyat Malaysia
kelas menengah dan atas mula menggajikan orang asing
sebagai pembantu rumah kerana rakyat Malaysia sudah
tidak lagi begitu terdesak untuk membuat kerja berat.
17. Kemajuan ekonomi negara dan peralihan daripada
negara pertanian dan perlombongan kepada negara
industri membawa perubahan fizikal kepada lanskap
negara. Kawasan-kawasan yang ditanam getah diganti
dengan ladang kelapa sawit dan kemudian ladang-ladang
sawit digantikan dengan bandar-bandar baru dan dengan
kawasan-kawasan perindustrian.
18. Di seluruh negara bangunan pencakar langit yang
moden didirikan sepanjang jalan bandar, bahkan di luar
bandar juga. Bandar-bandar kecil yang lama diganti
dengan bandar besar yang moden, dan bandar-bandar baru
yang didirikan dipenuhi dengan kedai-kedai, pejabat,
rumah pangsa dan kediaman mewah. Bagi yang tidak
berada, rumah kos rendah dibangunkan, sebahagian
daripada kosnya dibiayai daripada keuntungan hasil
penjualan rumah mewah.
19. Kuala Lumpur, ibu kota negara, sudah benar-benar
menjadi Bandar Taman Bercahaya. Dari bandar kecil
dengan penduduk seramai tiga ratus ribu orang, Kuala
Lumpur sekarang mempunyai lebih daripada dua juta
penduduk, penuh dengan hotel lima bintang, bangunan
pejabat yang moden, pusat membeli-belah yang besar di
mana barangan berjenama dipasarkan. Keretapi transit
ringan membawa lebih empat juta penumpang sebulan ke
pejabat dan pusat membeli-belah sementara keretapi
komuter membawa masuk penumpang dari sejauh Seremban,
Rawang dan Pelabuhan Kelang.
20. Taman-taman bunga dan botanikal terdapat di sana
sini untuk penduduk dan pelawat mengambil angin dan
bersukan. Terdapat juga lanskap dan tanaman bunga
berwarna-warni di tepi-tepi jalan, di persimpangan
jalan dan di mana terdapat kawasan lapang.
21. Kuala Lumpur sudah menjadi bandar kosmopolitan
yang setanding dengan bandar-bandar besar ibu kota
kepada negara-negara maju di dunia. Ia bersih dan
cantik. Dan di tengah-tengah pusat bandar terdapat
mercu tanda yang dikenali di seluruh dunia iaitu Menara
Berkembar Petronas, bangunan yang tertinggi sekali di
dunia.
22. Sepuluh tahun dahulu kita mengeluh kerana dunia
tidak tahu di mana Malaysia. Orang asing bertanya
apakah Malaysia berada di Negara China, atau utara
India di daerah Himalaya atau di Afrika dekat Malawi.
Hari ini dunia mengenal dan tahu Malaysia kerana di
sinilah diadakan perlumbaan F-1, Le Tour de Langkawi,
LIMA dan Sukan Komanwel yang terbaik sekali. Juga
Malaysia terkenal kerana berjaya menangkis serangan
penyangak mata wang dan memulihkan ekonomi negara
secara tidak ortodoks tanpa bantuan sesiapa. Walaupun
ramalan orang asing ialah ekonomi Malaysia akan hancur
kerana tidak mengikut telunjuk pakar-pakar ekonomi di
dunia, tetapi pertumbuhan ekonomi negara selepas
kegawatan adalah jauh lebih tinggi daripada pertumbuhan
ekonomi negara-negara lain yang telah diserang oleh
penyangak mata wang.
23. Hari ini peniaga, pengusaha dan pemaju Malaysia
terkenal dan dijemput untuk melabur dan membangunkan
negara-negara lain. Ramai pakar-pakar ekonomi Malaysia
diundang untuk memperbaiki ekonomi dan merancang
pembangunan negara-negara tertentu yang kagum dengan
kejayaan pembangunan dan kemajuan Malaysia.
24. Antara syarikat Malaysia yang berjaya di arena
antarabangsa ialah Petronas, syarikat milik Kerajaan.
Tidak ada syarikat petroliam nasional mana-mana negara
lain yang aktif mencarigali dan mengeluarkan minyak di
luar negara sendiri. Petronas mengeluarkan minyak di
Vietnam, Syria dan Sudan serta memasang paip gas dan
minyak sehingga di Argentina. Petronas pernah
disenaraikan sebagai syarikat yang teruntung sekali di
dunia dalam Fortune 500, iaitu lima ratus syarikat
terkemuka di dunia.
25. Sekarang Malaysia menjadi tumpuan industri I.T.
dalam Koridor Raya Multimedia dan akan menjadi Pusat
Kecemerlangan atau `Centre of Excellence' untuk
pendidikan bagi dunia. Penuntut dari Asia Tenggara,
Afrika dan Eropah sudah mula menuntut di universiti dan
institusi pelajaran tinggi di Malaysia.
26. Yang saya sebutkan di sini hanyalah sebahagian
sahaja daripada kemajuan, pertumbuhan dan kejayaan yang
telah dicapai oleh Malaysia. Sesungguhnya kejayaan
Malaysia amatlah tinggi dan luar biasa berbanding
dengan negara-negara membangun yang lain. Mungkin ada
yang merasa bosan mendengar tentang kejayaan negara
kita ini. Ramai yang mungkin menganggap pembangunan
dan kejayaan ini adalah perkara biasa yang tidak perlu
disebut atau berbangga dengannya.
27. Tetapi Tuan-tuan dan Puan-puan, ia bukanlah
perkara biasa. Malaysia, sebagai negara berbilang kaum
di mana kaum-kaum tidak seimbang pembangunannya, amat
sukar dimajukan. Ini adalah kerana pembangunan mesti
disertai dengan percubaan untuk mengimbangkan kemajuan
semua kaum supaya tidak ada sesiapa yang merasa
terpinggir dan ketinggalan. Usaha ini pula perlu
dibuat tanpa merampas harta kekayaan mana-mana kaum
untuk diagihkan kepada kaum yang miskin. Sebaliknya
pembahagian hendaklah dibuat daripada kek ekonomi yang
dibesarkan.
28. Walau bagaimana kaya sesebuah negara, walau
bagaimana cekap dan cerdik penduduknya, pembangunan
tidak boleh berlaku tanpa kestabilan dan keamanan.
Inilah keadaan utama yang menentukan kejayaan sesebuah
negara.
29. Keadaan di Malaysia bukanlah ideal. Kaum-kaum di
Malaysia belum berintegrasi sepenuhnya. Walaupun ada
kumpulan yang tidak mendapat layanan istimewa bagi diri
mereka, sebenarnya kemajuan mereka melebihi sasaran
yang ditentukan kerana orang yang cerdik, rajin dan
memiliki modal tidak dapat disekat kemajuan mereka.
Justeru itu mereka terus maju dengan pesatnya dan
mencapai bahagian mereka dengan lebih awal. Sebaliknya
kumpulan yang lemah tetap jauh di belakang dan belum
mencapai sasaran yang ditentukan bagi mereka, walaupun
sasaran ini lebih rendah daripada peratusan mereka.
30. Walaupun sasaran yang ditentukan oleh Dasar
Ekonomi Baru (DEB) bagi Bumiputera tidak tercapai
sepenuhnya, tetapi sedikit sebanyak jurang perbezaan
telah dapat dikurangkan. Demikianlah kejayaan DEB
sehingga kegawatan ekonomi tidak menyebabkan rusuhan
kaum berlaku seperti yang berlaku di beberapa negara
lain.
31. Adalah jelas bahawa formula yang dicipta oleh
pengasas-pengasas negara, iaitu Tunku Abdul Rahman
Putra, Tun Tan Siew Sin dan Tun Sambanthan yang
diterima pakai dan disesuaikan oleh pemimpin-pemimpin
Sarawak dan Sabah amat mustajab bagi Malaysia.
Pemimpin-pemimpin yang memegang teraju selepas pengasas-
pengasas negara hanya perlu memberi makna dan mengisi
formula Malaysia yang telah dicipta dan dipersetujui
semasa negara memperjuangkan kemerdekaan. Tidak ada
lagi keperluan untuk membentuk dasar atau formula baru
untuk menstabil dan mengamankan negara serta
memajukannya.
32. Memandangkan kepada kejayaan formula ini apakah
kita mahu menggugurkannya dan mencipta formula lain
atas desakan mana-mana pihak yang mendakwa formula yang
sudah kita amalkan selama empat puluh tiga tahun adalah
tidak adil dan memihak kepada kaum tertentu sahaja?
Apakah kita sanggup mengancam kestabilan dan kemajuan
negara dan mungkin merosakkan masa depan kita kerana
mana-mana pihak ingin mendapat semua yang dituntut oleh
mereka?
33. Di Malaysia kita percaya bahawa keadaan yang
ideal, yang terbaik yang boleh kita adakan ialah
apabila tidak ada satu kaum pun yang berpuas hati
dengan keadaan mereka. Ini adalah kerana setiap kaum
perlu membuat pengorbanan supaya kaum lain akan
mendapat hak mereka. Jika ada mana-mana kaum mendapat
semua yang dituntut tanpa membuat apa-apa pengorbanan,
maka sudah tentu kaum lain akan rugi dan tidak akan
mendapat hak yang sewajarnya bagi mereka.
34. Sebab itulah kita tidak boleh melayan sebarang
tuntutan oleh mana-mana kaum untuk mendapat semua yang
dianggap sebagai haknya. Jika dilayan, maka keadaan
lebih tidak seimbang akan berlaku dan kestabilan negara
akan terancam. Dalam masyarakat berbilang kaum jika
perseimbangan menjadi terlalu buruk, tidak dapat tidak
ketegangan dan rusuhan kaum akan berlaku. Jika rusuhan
berlaku yang menuntut bukan sahaja tidak akan mendapat
apa yang dituntut, tetapi yang sudah diperolehi pun
mungkin hancur dan musnah dan kita semua akan mengalami
kerugian besar.
35. Ada pihak yang cuba mendapat tuntutan mereka
dengan melakukan pemberontakan bersenjata. Mereka
telah melakukan sesuatu yang tidak pernah dilihat di
negara ini apabila mereka menangkap, menyeksa dan
membunuh orang yang tidak seagama dengan mereka.
Mereka ini sudah lupa bahawa pengganas Komunis Malaya
telah mencuba selama empat puluh tiga tahun, dari 1948
hingga 1990 untuk menjatuhkan Kerajaan Malaysia, tetapi
gagal. Apakah mereka percaya dengan pasukan kecil
mereka, mereka boleh berjaya? Apakah mereka yakin
rakyat akan menyokong keganasan mereka?
36. Sebenarnya majoriti terbesar rakyat Malaysia
terdiri daripada orang yang sederhana. Sama ada mereka
Melayu, China atau India, atau Bumiputera lain, sama
ada mereka Islam, Kristian, Buddhist atau Hindu,
majoriti terbesar mereka tidak suka kepada keganasan
dan huru-hara. Yang mereka mahu hanyalah keamanan yang
membolehkan mereka hidup selesa dan dapat bekerja serta
berniaga.
37. Kerajaan bertanggungjawab untuk memenuhi kehendak
rakyat supaya mereka menikmati keselamatan dan
keamanan. Bagi menunaikan tanggungjawab ini Kerajaan
tidak boleh mencari populariti dengan semua kumpulan.
Sudah tentu Kerajaan tidak boleh dibelenggu oleh orang
asing dengan media beragenda mereka. Jika Kerajaan
perlu bertindak untuk memelihara keamanan untuk
majoriti terbesar daripada rakyat, maka Kerajaan akan
bertindak.
38. Justeru itu fikirlah baik-baik. Apakah benar
ketidakadilan dan pencabulan hak mana-mana kaum berlaku
di Malaysia selama empat puluh tiga tahun kita merdeka
ini? Fikir dan perhitungkan segala-galanya dengan baik
sebelum kita mendesak supaya tuntutan untuk kaum kita
diberi layanan. Apakah tindakan membuat tuntutan dan
apa yang dituntut ini benar-benar boleh membawa
kebahagiaan kepada pihak yang menuntut? Apa gunanya
mendapat hak yang lebih daripada sesuatu yang semakin
kecil? Tidakkah mendapat bahagian yang kurang daripada
sesuatu yang besar dan boleh menjadi lebih besar, lebih
menguntungkan? "Isn't it better to have a smaller
portion of a big and growing cake than to have a bigger
portion of a shrinking small cake?"
39. "If because of instability caused by racial
tension and lack of harmony Malaysia's growth is
stunted and probably regress, what really is the gain?"
Amatlah aneh apabila mereka yang tidak puas hati dengan
keadaan di Malaysia sanggup berhijrah ke negara-negara
di mana segala yang mereka nikmati di Malaysia tidak
ada sama sekali. Sebenarnya Malaysia kita ini begitu
baik bagi semua kaum, sehingga secara haram pun orang
asing sanggup memasuki negara ini dan berminat untuk
menjadi warganegara. Jika keadaan di Malaysia begitu
buruk dan tidak ada layanan yang saksama antara
warganegara, apakah akan ada orang yang berhempas pulas
untuk menjadi warganegara negara ini?
40. Kita telah berusaha selama empat puluh tiga tahun
membangunkan Malaysia hingga ke tahap ini. Dan
ternampak jelas kita terus mampu mengurus dan
membangunkannya. Apakah kerana pengorbanan sedikit
yang kita semua perlu buat, maka semua yang telah kita
bina, semua yang telah kita bangunkan, dibenar untuk
dirobohkan? Formula yang telah kita gunakan begitu
berkesan sekali dan dapat kita pakai dengan pengorbanan
minima sahaja oleh kita semua. Memang ada sedikit
kepincangan tetapi tidaklah lebih daripada yang
terdapat dalam mana-mana negara di dunia.
41. Selama ini kita semua telah bersikap toleran dan
sederhana. Kita boleh hidup, bekerja dan bermain
bersama. Tidak ada paksaan terhadap sesiapa daripada
kita untuk menukar bahasa, budaya atau agama kita.
Hanya kita dikehendaki menerima hakikat bahawa Malaysia
adalah Malaysia dengan identiti dan `character'nya,
dengan bahasa dan budayanya yang tersendiri. Ia
mempunyai unsur-unsur yang berasal dari negara-negara
lain tetapi ia bukan negara lain. Penduduk asalnya
Melayu dan Bumiputera diiktiraf sebagai punca dan asas
kepada kebanyakan sifat yang ada padanya.
42. Konsep kerjasama "give and take" antara kaum yang
dicipta oleh pengasas-pengasas negara yang diamalkan
oleh Kerajaan yang ada sekarang adalah satu konsep atau
formula yang mustajab. Demikianlah berjayanya konsep
ini sehingga ramai dari dalam dan luar negeri cuba
menirunya. Tetapi tiruan yang kita lihat dalam negara
kita tidak mempunyai keikhlasan dan niat yang sama.
Seperti kata penjenaka, mereka tidur satu bantal
tetapi mimpi berlainan. Pengamal asal konsep kerjasama
antara kaum mempunyai cita-cita yang sama iaitu untuk
berlaku adil kepada semua. Rakyat yang ingin kepada
kestabilan dan kemakmuran negara tentulah dapat
mengenal yang mana kaca dan yang mana permata.
43. Malaysia adalah sebuah negara demokratik di mana
rakyat berhak menentukan maju atau tidaknya bangsa dan
negara. Sama ada rakyat memilih kaca atau permata
bergantung kepada penilaian dan ujian yang dibuat oleh
rakyat. Tidak syak lagi bahawa rakyat akan memilih
intan permata melainkan pemilihan dibuat dengan fikiran
yang terganggu atau tertutup. Apabila kita berada
dalam keadaan tidak tenang dan panas hati, maka mata
hati kita akan kelabu atau tertutup. Di waktu itu
pemilihan yang dibuat tidak lagi yang terbaik. Dengan
hati yang marah kita akan membuat pilihan yang tidak
akan menguntungkan kita.
44. Sekali lagi ingin saya mengingatkan bahawa kita
telah melalui empat puluh tiga tahun yang bahagia.
Walaupun ada kecacatan, tetapi umumnya negara kita aman
dan berkembang maju dengan pesatnya. Apakah kerana ada
pihak yang ingin mendapat semua untuk kaum atau
kumpulannya, apakah kerana disogok dengan pembohongan
dan fitnah sehingga kita berhati panas, maka kita
menghancur dan memusnahkan segala yang telah kita bina
bersama?
45. Dalam demokrasi rakyat adalah pengadil. Tetapi
rakyat juga akan merasai kesan dan hasil daripada
pengadilan yang dibuat oleh rakyat sendiri. Sebagai
pengadil rakyat mesti tenang dan membuat penilaian
dengan hati yang terbuka. Sentimen dan emosi tidak
boleh dibenarkan mempengaruhi pertimbangan oleh
pengadil. Perasaan marah tanpa sebab tidak mungkin
menghasilkan pengadilan yang bijak. Kesilapan
pengadilan akan dipikul oleh pengadil. Apabila negara
sudah rosak, memulihkannya semula amatlah sukar.
46. Oleh itu pada permulaan tahun, abad dan alaf baru
ini, marilah kita semua ketepikan tuntutan yang tidak
mungkin dapat diterima oleh masyarakat berbilang kaum,
marilah kita kembali kepada kesederhanaan dan toleransi
yang telah membawa keamanan dan kemakmuran kepada kita
dan negara kita. Percayalah jika kita terus berpegang
kepada formula yang dibentuk oleh pengasas-pengasas
negara kita setengah abad dahulu, maka kita akan dapat
menjayakan Wawasan 2020 yang menjadi sasaran kita.
47. Kita boleh, Malaysia boleh. Hanya dua puluh tahun
sahaja lagi yang diperlukan untuk menjadikan negara
kita negara maju di mana rakyat akan hidup makmur dan
bahagia. Justeru itu, bersabarlah dan berusahalah.
Jalinlah hubungan yang baik antara kita sesama kita.
Percayalah hasil dan nikmat yang akan kita terima
apabila kita menjadi maju jauh lebih besar daripada
pengorbanan yang sedikit yang kita perlu buat. Semua
kaum, Melayu, Cina, India dan suku-suku kaum di Sarawak
dan Sabah, dan juga Orang Asli tidak akan kesal dengan
pengorbanan yang telah dibuat. Mereka akan bersyukur
kerana mereka memilih untuk menolak keterlaluan dan
ketamakan.
48. Pada hari yang bersejarah ini ingin saya ucapkan
Selamat Tahun Baru kepada semua rakyat Malaysia. Saya
berdoa tahun, abad dan alaf baru ini akan membawa
kebaikan dan keuntungan kepada kita semua. Insya-
Allah.
Selamat Tahun Baru.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|