Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : SERI PERDANA, PUTRAJAYA
Tarikh/Date : 29-01-2001
Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM SEMPENA
LAWATAN RASMI KE MALAYSIA
OLEH YANG MULIA SHAIKH KHALIFA
BIN SALMAN AL-KHALIFA PERDANA
MENTERI BAHRAIN
Versi :
Penyampai : PM
Saya bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia
seluruhnya, berasa amat gembira kerana dapat mengalu-
alukan kedatangan Yang Mulia dan ahli-ahli delegasi
Bahrain ke Malaysia dalam rangka lawatan rasmi yang
bersejarah ini.
2. Kami berasa amat berbesar hati kerana dapat
menyambut Yang Mulia sebagai Ketua Kerajaan sebuah
negara yang sejak dulu lagi mempunyai hubungan yang
erat dan mesra dengan Malaysia.
3. Malaysia sedar betapa pentingnya pertukaran
lawatan di peringkat tinggi kerana ia dapat
meningkatkan lagi hubungan di antara kedua-dua negara
Islam yang sememangnya akrab. Saya merasa yakin bahawa
lawatan Yang Mulia ini akan menyumbang secara positif
ke arah mencapai matlamat ini.
4. Masih segar lagi dalam ingatan saya mengenai
lawatan saya ke negara Bahrain hampir empat tahun
dahulu di mana Yang Mulia dan rakyat Bahrain telah
menyambut kedatangan saya dengan penuh akrab dan mesra.
Saya berasa gembira kerana mendapati ada peningkatan
lawatan peringkat tinggi oleh pemimpin-pemimpin kedua-
dua negara semenjak lawatan itu, termasuk lawatan Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke Manama baru-
baru ini yang sangat berjaya. Malaysia, sebaliknya
telah juga menerima beberapa kunjungan dari pelawat-
pelawat Bahrain. Ini jelas membuktikan bahawa
perkembangan hubungan di antara kedua-dua negara kita
mencakupi semua bidang yang mempunyai kepentingan
bersama. Dengan termeterinya Perjanjian Pengelakan
Cukai Dua Kali dan Perjanjian Jaminan Penggalakan dan
Perlindungan Pelaburan tidak lama dulu, saya yakin
hubungan ekonomi kedua-dua negara akan terus meningkat.
Manakala dengan termeterinya hari ini Memorandum
Persefahaman (MOU) bertujuan menubuhkan satu
Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala di antara
Malaysia-Bahrain, akan menambahkan lagi keeratan
perhubungan kedua-dua negara.
5. Walaupun hubungan baik di antara Kerajaan dengan
Kerajaan adalah penting, namun pihak swasta kedua-dua
negara juga berperanan dalam menggalakkan dan
membangunkan hubungan kedua-dua negara. Cabaran bagi
sektor swasta ialah bagi mengambil kesempatan di atas
rangka kemudahan yang sedia ada dan hubungan akrab yang
telah terjalin di antara kedua-dua negara dengan tujuan
untuk menerokai peluang kerjasama yang terdapat di
Malaysia dan Bahrain. Satu contoh yang baik ialah di
dalam sektor kerjasama kewangan termasuklah perbankan
Islam.
6. Malaysia berasa sukacita mendapati Bahrain
sentiasa mengamalkan dasar ekonomi terbuka dan
seringkali memberikan galakan-galakan yang menarik bagi
pelabur-pelabur. Keputusan Kerajaan Bahrain
mempercepatkan lagi tarikh penurunan tarif bagi
barangan import ke paras di antara 5.7 peratus ke 7.5
peratus daripada tarikh 2005 yang dipersetujui oleh
Majlis Kerjasama Teluk atau GCC kepada 2003 akan
mempertingkatkan lagi perkembangan perdagangan di
rantau Teluk. Malaysia, sebagai sebuah negara
perdagangan, sentiasa menyambut baik sebarang langkah
bagi memudahkan perdagangan yang akan membawa kepada
kemakmuran ekonomi kedua-dua negara.
7. Selain kerjasama ekonomi, Malaysia dan Bahrain
juga turut bekerjasama dalam bidang-bidang lain seperti
pembangunan sumber manusia, pertukaran kemahiran dan
berbagai-bagai lagi. Malaysia akan terus memberi tempat
kepada warganegara Bahrain di pelbagai institusi
pengajian tinggi dan pusat latihannya di bawah Program
Kerjasama Teknikal Malaysia kepada Bahrain. Kemudahan
pengajian yang terdapat di institusi-institusi
pengajian tinggi Malaysia tiada tandingannya di rantau
ini dan sekarang ini terdapat penuntut daripada lebih
seratus negara yang menuntut di institusi-institusi
pengajian tinggi Malaysia. Malaysia seharusnya menjadi
tumpuan pelajar-pelajar dari Bahrain kerana Bahasa
Inggeris digunakan oleh banyak institusi pengajian
tinggi dan cara hidup di sini pula adalah secocok
dengan budaya orang Islam.
8. Kami di Malaysia mengikuti dengan penuh minat
usaha yang dilakukan oleh Bahrain di bawah kepimpinan
Yang Mulia Amir bagi mengukuhkan institusi demokrasi di
Bahrain. Kami semua mendoakan agar Bahrain berjaya
dalam merangkakan perlembagaan barunya yang kami
percaya akan membawa pelbagai manfaat kepada rakyat
Bahrain.
9. Malaysia juga mengambil perhatian tentang peranan
penting yang dimainkan oleh Bahrain sebagai Pengerusi
Majlis Kerjasama Teluk. Kami percaya bahawa kepimpinan
Bahrain di dalam Majlis tersebut akan banyak menyumbang
kepada kemajuan politik, keadaan keselamatan dan
perkembangan ekonomi rantau itu.
10. Malaysia juga mendapati banyak persamaan pendirian
di antara Malaysia dan Bahrain terutamanya yang
berkaitan isu-isu antarabangsa dan serantau. Mengenai
isu Proses Damai Timur Tengah, pendirian Malaysia ialah
seperti Bahrain juga iaitu segala penyelesaian perlulah
berlandaskan rukun undang-undang antarabangsa seperti
yang termaktub di bawah resolusi Majlis Keselamatan PBB
242, 388 dan 425. Atas dasar inilah Malaysia mendesak
agar Israel berundur daripada semua wilayah yang
diduduki selepas perang tahun 1967 iaitu termasuklah
Tebing Barat dan Gaza di Palestin dan Golan di Syria.
11. Berkenaan isu Palestin pula, pendirian Malaysia
dan Bahrain adalah sama juga iaitu berpendapat bahawa
selain daripada pengunduran daripada kawasan yang
dijajahi, Israel juga mesti menghormati hak orang
pelarian Palestin pulang ke negara mereka dan hak
mereka untuk mencapai kemerdekaan. Malaysia menyokong
sepenuhnya hak-hak Palestin ke atas Baitulmaqdis.
12. Dengan mengambilkira semua kerumitan dalam isu
proses damai, Malaysia percaya bahawa keamanan yang
berkekalan hanya boleh dicapai sekiranya isu-isu teras
di atas ditangani. Sekiranya ada golongan yang hendak
mengenakan penyelesaian yang tidak sejajar dengan
prinsip-prinsip keadilan, maka tindakan sedemikian akan
hanya membawa kepada lebih banyak masalah dan wajar
ditentang.
13. Adalah menjadi harapan saya agar lawatan Yang
Mulia adalah menggembirakan dan mendatangkan hasil dan
Yang Mulia serta delegasi Bahrain yang lain akan turut
membawa bersama pelbagai kenangan manis sewaktu di
Malaysia apabila pulang ke Bahrain kelak.
14. Akhir kata, saya mengambil kesempatan ini
mengucapkan selamat sejahtera dan panjang umur kepada
Yang Mulia Shaikh Hamad bin Isa Al Khalifa dan Yang
Mulia Shaikh Khalifa bin salman Al-Khalifa dan kemajuan
Kerajaan dan rakyat Bahrain serta semoga hubungan
Malaysia dan Bahrain yang mesra akan terus berkekalan.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|