Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DATARAN PERDANA, PUTRAJAYA
Tarikh/Date : 01-02-2001
Tajuk/Title : MAJLIS PENGISYTIHARAN PUTRAJAYA
SEBAGAI WILAYAH PERSEKUTUAN
Versi :
Penyampai : PM
Hari ini adalah satu lagi hari yang bersejarah dalam
pentadbiran negara Malaysia. Ini kerana pada hari ini
Putrajaya Bandar Pusat Pentadbiran Negara yang
mengabadikan jasa dan kenangan terhadap Perdana Menteri
yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, Bapa
Kemerdekaan dan Bapa Malaysia, menjadi Wilayah
Persekutuan. Kerajaan Persekutuan merasa amat gembira
kerana berjaya mewujud dan membina Putrajaya serta
selanjutnya mendapat persetujuan daripada Kerajaan
Negeri Selangor bagi menyerahkannya kepada Kerajaan
Pusat untuk dijadikan Wilayah Persekutuan. Dengan
terwujudnya Putrajaya bermakna Kerajaan akan dapat
mempertingkatkan lagi khidmatnya kepada rakyat dengan
lebih cekap, cepat dan berkesan. Dengan itu juga
pembangunan yang lebih pesat akan dapat dinikmati
secara langsung oleh Negeri Selangor dan secara amnya
oleh seluruh negara.
2. Putrajaya seluas 4,581 hektar empat tahun lalu
merupakan sebuah ladang kelapa sawit dan getah bernama
Perang Besar yang tidak banyak menyumbang kepada
ekonomi dan pembangunan negara. Terdapat hanya 60 buah
rumah sahaja untuk pekerja ladang. Kini dalam masa
yang singkat, Putrajaya mempunyai 26 blok bangunan
pentadbiran dan 42 blok lagi akan siap dibina pada
tahun 2003. Jumlah penduduk hingga kini telah mencapai
7,250 orang yang terdiri daripada 1,450 keluarga dan
1,500 unit rumah. Pada tahun 2010 sebanyak 67,000 unit
rumah kediaman akan siap dibina. Rumah kediaman ini
akan menampung penghuni daripada kedua-dua sektor
Kerajaan dan swasta. Jelas tempat ini akan menjadi
satu "growth centre" yang pesat membangun dan akan
menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan dan
negara secara langsung dan tidak langsung.
3. Putrajaya dibina berasaskan tiga konsep bersepadu
iaitu mesra alam, mesra manusia, dan melambangkan
hubungan manusia dengan pencipta-Nya. Putrajaya juga
dibina dengan segala ciri-ciri kemajuan yang
dihasratkan oleh Malaysia untuk memacu ke arah kemajuan
yang melewati rangka Wawasan 2020. Ia merupakan pusat
pentadbiran terbaru yang dilengkapi dengan
infrastruktur tercanggih daripada segi komunikasi dan
urusan pejabat dan diharap dapat menghasilkan
pentadbiran yang moden, cekap, efisien dan berkesan
serta berkemajuan. Bagi penduduknya pula, mereka juga
disediakan dengan suasana dan kemudahan yang membentuk
cara hidup yang selaras dengan tahap kemajuan negara.
Cara hidup ini termasuklah alam persekitaran yang
nyaman, indah, sihat dan mudah berinteraksi serta ceria
dan selamat. Adalah juga diharapkan cara hidup yang
begini akan dapat mempengaruhi bukan hanya pertumbuhan
kawasan kediaman baru tetapi juga komuniti lain yang
sedia ada supaya bergerak ke arah yang sama, iaitu
mengalih cara hidup ke tahap yang lebih sihat dan
selesa dan tidak seperti dahulu di mana keadaan bukan
sahaja tidak selesa tetapi juga tidak bersih, tidak
sihat, tidak selamat, terlalu padat dan tidak teratur -
iaitu faktor-faktor yang menimbulkan banyak masalah
sosial dan kesihatan.
4. Kerajaan Persekutuan dengan mewujudkan Putrajaya
dapat secara langsung menggerakkan pembangunan di
kawasan persekitarannya dengan membina infrastruktur-
infrastruktur, pusat-pusat perniagaan dan kemudahan-
kemudahan sosial. Ia juga dapat memudahkan perhubungan
dengan lebih cekap dan cepat dengan Kerajaan-kerajaan
Negeri. Lebih-lebih lagi kerana kedudukannya yang
strategik dan berdekatan dengan KLIA, Cyberjaya dan
Kuala Lumpur. Apabila siap sepenuhnya kelak, Putrajaya
juga akan dapat dihubungi secara terus dengan rel dari
semua bahagian Semenanjung melalui rangkaian rel
berpusat di Kuala Lumpur Central.
5. Di Malaysia kita tidak hanya membangun sebuah
rumah atau sederet kedai. Kita bangunkan bandar-bandar
baru dan kita baharui seluruh bandar lama sebagai satu
perkara biasa. Demikian Petaling Jaya, Subang Jaya,
Shah Alam, Puchong, Serdang, Bandar Muazam Shah, Bandar
Baru Nilai dan banyak lagi. Penduduk bandar-bandar ini
kerap kali berjumlah ratusan ribu. Pembangunan bandar-
bandar ini tidak merugikan mana-mana pihak - tidak
Kerajaan dan tidak swasta. Semua pihak meraih keuntungan
dan faedah. Oleh kerana aktiviti perniagaan memang tinggi
dalam bandar berbanding dengan luar bandar dan estet,
ramailah rakyat yang mendapat peluang bekerja dan
berniaga. Sudah
tentu hasil yang dapat dikutip oleh Kerajaan Tempatan,
Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat bertambah dengan
banyaknya. Dan hasil ini dipulang balik kepada masyarakat
bandar berkenaan dan seluruh negara melalui berbagai-
bagaijenis pembangunan awam. Sebenarnya pembangunan
bandar-bandar menyumbang dengan banyaknya kepada
pertumbuhan ekonomi negara.
6. Bagi mereka yang faham putaran ekonomi, pembangunan
bandar harus disambut baik. Amatlah aneh apabila
Kerajaan membangunkan Putrajaya tuduhan dibuat bahawa
ia adalah satu pembaziran kononnya. Kenapakah tidak
ada tuduhan seperti ini apabila Petaling Jaya, Subang
Jaya, Shah Alam dan bandar-bandar lain dirancang dan
dibangunkan? Jawapannya ialah politik yang mencari isu
untuk memburukkan Kerajaan.Kepentingan negara diketepikan
kerana keutamaan kepada politik pihak-pihak tertentu.
Hanya kerana kepentingan pihak ini, mereka sanggup
bersubahat dengan orang asing pun dan menuduh kononnya
Putrajaya adalah projek mega dan pembaziran.
7. Putrajaya bukan didirikan untuk pemimpin-pemimpin
Kerajaan hari ini. Kita tidak ingin melihat tiap kali
pemimpin baru ditabalkan maka rumah baru perlu dibina
untuknya, atau lebih buruk lagi bandar baru dijadikan
ibu kotanya. Putrajaya adalah untuk semua pemimpin
akan datang, pemimpin sebuah negara yang sudah mencapai
tahap pembangunan yang tinggi, yang akan menjadi negara
maju, insya-Allah. Bangunan-bangunan yang didirikan
bukan sahaja untuk keselesaan pemimpin tetapi juga
rakyat negara ini. Rakyat negara ini akan mengguna
bahagian-bahagian tertentu di bangunan-bangunan ini.
Mereka bukan sahaja memerlukan keselesaan tetapi juga
mereka perlu berbangga dengan bangunan negara sendiri.
8. Apakah kita membazir dengan mendiri Putrajaya?
Kita mambazir jika kita belanja untuk sesuatu yang tidak
berguna. Kita boros jika kita belanja lebih daripada
kemampuan kita. Kita boros dan membazir jika kita hutang
untuk mendiri sesuatu yang tidak berguna.
9. Sebenarnya pembangunan Putrajaya, KLIA dan projek-
projek besar lain tidak sedikit pun menjejaskan
kewangan negara. Sebab itu hanya Malaysia sahaja yang
berjaya memulih ekonomi dan kewangan negara setelah
diserang oleh penyangak matawang tanpa meminjam dari
IMF dan menyerah ekonomi negara kepada agensi-agensi
asing. Kita guna wang kita sendiri untuk memulih
negara kita sambil kita tidak lokek dalam membayar
hutang lama kita, sambil kita teruskan dengan
pembangunan negara kita.
10. Kita dapat menaikkan gaji, membayar bonus,
mengatasi kemiskinan dan meneruskan penyediaan berbagai-
bagai projek infrastruktur. Demikianlah kemampuan kita
menangani percubaan untuk menghancurkan ekonomi negara
kita, sehingga ramai rakyat tidak pun merasai tertekan
kerana kegawatan. Justeru itu ramai yang tidak
bersyukur dengan terselamatnya negara ini daripada
malapetaka yang menimpa negara-negara lain yang telah
diserang oleh penyangak matawang bersama dengan kita.
11. Hari ini ekonomi dan kewangan negara kita cukup
kukuh walaupun Putrajaya dan projek-projek lain terus
dibangunkan. Sebenarnya jika kita tawarkan pembangunan
Putrajaya ini kepada swasta, mereka akan berebut-rebut
untuk membangunkannya. Mereka tentu tahu mereka akan
memperolehi keuntungan yang besar kerana ini adalah
sebenarnya projek komersil yang terbesar dalam negara.
Sebaliknya Kerajaan memilih untuk memberi projek
gergasi ini kepada syarikat milik Kerajaan.
12. Jika ada pembaziran maka sudah tentu kewangan
negara kita tenat dan bermasalah. Tetapi sepertimana
semua tahu kita bukan sahaja mampu membiayai
perbelanjaan negara tetapi rizab kita lebih tinggi dari
sebelum kegawatan.
13. Sebenarnya jika kita tunduk kepada pengkritik hari
ini kita tidak akan ada Jambatan Pulau Pinang,
Lebuhraya Utara Selatan, kereta nasional, KLIA,
Putrajaya dan projek-projek lain lagi. Ingatlah
apabila orang asing mengkritik kita sebabnya ialah
kerana mereka kecewa mereka tidak dapat projek-projek
ini. Orang Malaysia yang menyambut pengkritik asing
ini hanya membenar diri menjadi alat kepentingan asing.
Sudah tiba masanya kita utamakan kepentingan negara dan
menangkis hasutan luar. Negara kita adalah
tanggungjawab kita.
14. Bagi pihak Kerajaan Pusat saya ingin menjunjung
kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor,
Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Duli Yang Teramat
Mulia Pemangku Sultan Selangor dan terima kasih kepada
Kerajaan Selangor yang telah bersetuju menyerah kawasan
seluas 4,581 hektar ini untuk dijadikan kawasan Wilayah
Persekutuan Kerajaan Pusat. Saya sedar bahawa walaupun
kawasan ini tidak luas tetapi pada prinsipnya
penyerahan kawasan oleh negeri kepada Pusat adalah satu
pengorbanan. Tetapi demikianlah komitmen negeri-negeri
kepada konsep Persekutuan sehingga Selangor sanggup
membuat pengorbanan ini. Negara berterima kasih kepada
negeri Selangor kerana ini.
15. Wilayah Persekutuan Putrajaya merupakan satu lagi
petanda bahawa proses ke arah Wawasan 2020 sedang
berjalan dengan baik. Kerananya sebuah negara Malaysia
yang maju akan menjadi satu kenyataan.
16. Perjanjian penyerahan Putrajaya daripada Kerajaan
Negeri Selangor kepada Kerajaan Persekutuan dan
menjadinya Wilayah Persekutuan telah pun ditandatangani
pada 7 November tahun 2000.
17. Bagi melangsungkan maksud perjanjian tersebut,
maka dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi
Mengasihani, saya mengisytiharkan bahawa mulai dari
hari ini, iaitu satu haribulan Februari, tahun Masihi
Dua Ribu Satu, bersamaan Tujuh Zulkaedah, Tahun Hijrah
Seribu Empat Ratus Dua Puluh Satu, Wilayah Persekutuan
Putrajaya yang mengandungi kawasan-kawasan yang
ditunjukkan dalam Pelan Warta No. P.P. 2-2000,
ditubuhkan.
18. Saya berdoa Wilayah Putrajaya ini akan kekal
sebagai pusat pentadbiran Negara Malaysia yang merdeka
dan berdaulat.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|