Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : STADIUM PUTRA, BUKIT JALIL
Tarikh/Date : 17-02-2001
Tajuk/Title : PERHIMPUNAN TEKNOLOGI MAKLUMAT
DAN KOMUNIKASI (ICT)
UNTUK K-EKONOMI
Versi :
Penyampai : PM
Terlebih dahulu saya merakamkan ucapan terima
kasih kepada Y.B. Datuk Dr. Fong Chan Onn atas kesudian
menjemput saya bagi merasmikan pelancaran Perhimpunan
Literasi ICT Untuk K-Ekonomi pada pagi ini. Perhimpunan
ini adalah satu langkah yang baik, selaras dengan usaha
membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara yang
berlandaskan K-Ekonomi. Saya mengambil kesempatan ini
mengucapkan tahniah kepada Kementerian Sumber Manusia
yang berusaha dengan gigih mewujudkan satu halacara
mempelopori asas-asas K-Ekonomi dalam sistem
pembangunan negara. Strategi ini akan dapat mempastikan
keupayaan negara bersaing dalam era globalisasi dan
liberalisasi dengan cara yang berkesan.
2. Proses pembangunan negara telah mengalami beberapa
perubahan daripada pembangunan pertanian pada mulanya
dan diikuti dengan pembangunan perindustrian dan
sekarang dengan teknologi maklumat. Negara kita perlu
bergerak dengan arus pembangunan ini. Adalah wajar
kita membuat penyesuaian bagi keperluan negara supaya
kita tidak hanya `replicate' apa yang dilakukan
orang lain tetapi menjadi `trend setter' di mana kita
ada kekuatan. Pengurusan teknologi maklumat (I.T.)
adalah salah satu bidang yang penting yang kita patut
mengharungi supaya kita tidak ketinggalan. Untuk
perhatian kita, teknologi maklumat merangkumi teknologi
bersepadu untuk memperolehi, menyimpan dan menyebarkan
maklumat dalam pelbagai bentuk seperti teks, suara,
imej dan grafik, animasi dan sebagainya dengan
menggunakan alat-alat elektronik. I.T. merupakan satu
cara interaksi dan komunikasi antara manusia dengan
manusia, manusia dengan mesin serta manusia dengan alam
untuk mewujudkan satu sistem bagi mempertingkatkan
keberkesanan pengurusan.
3. Perkembangan teknologi maklumat adalah amat pesat
dan meliputi pelbagai bidang. Dalam bidang perubatan,
I.T. telah membantu pakar untuk melihat gambaran
pesakit melalui komputernya bagi tujuan analisis,
rujukan dan cadangan rawatan. Pos Malaysia, melalui
I.T., telah dapat memberi perkhidmatan yang bersepadu
di mana semua bayaran seperti bil air, elektrik,
telefon dan sebagainya dapat diuruskan. I.T. telah
juga berkembang, dengan hebat dalam
mempromosikan bidang perniagaan melalui `e-
commerce'. Kesemua aktiviti telah dapat dijalankan
dengan pantas yang secara langsung telah
mempertingkatkan keberkesanan bidang-bidang tersebut.
4. Sekarang ini kita telah memasuki era K-Ekonomi di
mana ia dapat diertikan sebagai ekonomi yang diasaskan
secara langsung kepada pengeluaran, pengagihan dan
penggunaan ilmu pengetahuan dan maklumat di mana
pengetahuan menjadi sumber yang strategik dalam
pembangunan ekonomi. Ilmu pengetahuan diiktiraf sebagai
peneraju kepada produktiviti dan pertumbuhan ekonomi
dan dengan itu memberi fokus baru kepada maklumat,
teknologi dan pembelajaran daripada segi ekonomi.
5. Ilmu pengetahuan adalah asas bagi pembangunan
teknologi. Contohnya dapat kita lihat dalam bidang
komunikasi. Walaupun telefon merupakan satu alat yang
telah lama dicipta, dalam beberapa tahun kebelakangan
ini, kemajuan teknologi dalam bidang ini amat pesat.
Kalau dahulu, kita boleh menggunakan telefon hanya
untuk bercakap antara satu sama lain, kini dengan
kemudahan faksimili, surat yang dahulunya memakan masa
beberapa hari melalui perkhidmatan pos dapat diterima
serentak dengan masa yang ianya dihantar tanpa mengira
jarak. Sekarang ini, telefon bimbit membenarkan
panggilan telefon dibuat dari mana sahaja, walaupun
kita sedang dalam perjalanan. Dengan kemudahan ini,
banyak perkara dapat diselesaikan dengan menjimatkan
masa dan perbelanjaan dan ini adalah antara cara
kemajuan teknologi meningkatkan taraf hidup. Telefon
juga boleh memberi akses kepada internet, merakam muzik
dan menghantar gambar.
6. Kita dapat lihat bagaimana penguasaan teknologi
dapat memperkayakan dan memajukan negara walaupun ianya
tidak begitu kaya dengan sumber asli. Contohnya Jepun.
Negara itu terpaksa mengimport segala bahan mentah yang
diperlukan, termasuk petroliam, kayu, getah dan logam
besi. Bahan mentah yang diimport itu dimanfaatkan
dengan menggunakan ilmu untuk mengeluarkan pelbagai
barangan yang canggih dan bertambah nilai yang tinggi
yang dieksport semula ke pasaran dunia. Dalam masa yang
singkat, Jepun telah berjaya dibangunkan daripada
kemusnahan yang dialami dalam Perang Dunia Kedua
sehingga menjadi negara kedua terkaya di dunia pada
masa ini. Satu lagi contoh negara yang berjaya
memanfaatkan ilmu adalah negara kumpulan Nordic di
sebelah utara Eropah. Negara berkenaan begitu pesat
maju dalam tahun kebelakangan ini. Sebab itulah
sekarang kita sudah biasa mendengar jenama seperti
Nokia dan Ericsson.
7. Negara yang saya sebut tadi tidak kaya dengan
sumber asli. Mereka mengimport bahan mentah dan
menggunakan ilmu pengetahuan untuk menambah nilai
sehingga mereka menjadi begitu kaya. Negara kita
sebaliknya dirahmati dengan pelbagai sumber asli
termasuk tanah yang subur dan iklim yang sesuai untuk
tumbuh-tumbuhan. Kita dapat menghasilkan minyak kelapa
sawit, getah, koko dan kayu-kayan yang menjadi punca
pendapatan bagi rakyat kita. Negara kita juga adalah
pengeluar petroliam dan gas asli yang menghasilkan
pendapatan eksport yang lumayan. Tetapi perolehan kita
tidak dapat ditingkatkan melainkan kita belajar
menggunakan ilmu pengetahuan untuk menambah nilai
kepada sumber semulajadi kita. K-ekonomi adalah
ekonomi yang berasaskan kepada ilmu pengetahuan, kepada
penggunaan maklumat secara bijak supaya pendapatan kita
bertambah dengan tingginya. Ternampak jelas bahawa
ilmu pengetahuan memberi pulangan yang lebih tinggi
daripada sumber asli. Ini bukan bermakna kita akan
membiarkan begitu sahaja industri berasaskan sumber
asli. Ini merupakan kurniaan kepada negara kita. Apa
yang harus kita lakukan adalah menggembleng ilmu dan
teknologi untuk menghasilkan barangan berkualiti
daripada sumber asli negara kita ini, yang kemudian
dapat dijual di pasaran dunia dengan memberi pulangan
yang lumayan kepada rakyat negara kita.
8. Dalam merancang menjadikan Malaysia sebagai sebuah
K-Ekonomi, Kerajaan sedang menggubal sebuah Pelan Induk
K-Ekonomi atau K-Economy Master Plan. Pelan ini akan
mengenal pasti strategi yang diperlukan untuk negara
kita memanfaatkan ilmu untuk kesejahteraan rakyat.
Pelan Induk berkenaan dijangka siap awal tahun 2001
ini.
9. Dalam cita-cita kita membangun menjadi sebuah K-
Ekonomi, faktor yang terpenting adalah sumber manusia -
secara khususnya bakat, kemahiran, daya cipta dan daya
usaha yang ada pada rakyat kita. Harta modal, baik
jentera mahu pun komputer tidak dapat menggantikan
sumber manusia daripada segi ini.
10. Kerajaan telah melaksanakan program komprehensif
untuk memajukan sumber manusia negara. Setiap tahun,
bidang pendidikan dan latihan diperuntukkan
perbelanjaan terbesar dalam belanjawan negara.
Perkhidmatan dan kemudahan pendidikan dan latihan
dipertingkatkan secara berterusan. Kandungan program
pendidikan dan latihan juga dikemas kini bagi menepati
keperluan semasa. Insentif dan kemudahan juga
disediakan untuk rakyat mendapatkan kemahiran dan
kelayakan baru, termasuk bagi mereka yang sudah pun
bekerja. Saya suka menggesa supaya kita semua
mengambil peluang daripada pelbagai kemudahan dan
insentif ini supaya kita tidak ketinggalan dalam era K-
Ekonomi ini. Majikan, pekerja, ibu-bapa, malahan setiap
orang perlu memainkan peranan supaya budaya cintakan
ilmu itu dapat diterapkan di kalangan masyarakat kita.
11. Teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT
memainkan peranan penting dalam K-Ekonomi. Bagi
menjamin bahawa negara kita tidak ketinggalan dalam
arus kemajuan ICT, Kerajaan sedang membangunkan Koridor
Raya Multimedia atau MSC. Di Koridor Raya Multimedia
itu, sudah diwujudkan persekitaran yang berintegrasi
dengan unsur dan ciri yang diperlukan untuk iklim yang
paling sesuai untuk memajukan industri multimedia.
Tujuan utama projek berkenaan adalah bagi menjadikan
MSC sebagai persekitaran yang nyaman dan lengkap untuk
menarik syarikat teknologi tinggi bertaraf dunia
melabur di Malaysia. MSC akan menjadi satu `testbed'
untuk direka cipta, dan untuk menjalankan penyelidikan
dan pembangunan bidang multimedia dengan tujuh aplikasi
utama sebagai projek peneroka. Melalui MSC adalah
diharapkan bahawa negara kita akan menjadi peneroka dan
pemimpin dalam era maklumat dan pengetahuan. Manfaat
pembangunan ini akan dirasai oleh keseluruhan rakyat
Malaysia serta juga masyarakat dunia.
12. Untuk menghadapi cabaran K-Ekonomi, isu
globalisasi dan perkembangan ICT, seluruh rakyat negara
ini di semua lapisan, daripada kanak-kanak di sekolah
rendah hinggalah ke universiti, daripada seorang
pekerja hinggalah ke ketua eksekutif, suri rumah
tangga, petani dan nelayan perlu memahami dan menguasai
bidang teknologi maklumat dan multimedia, berkebolehan
berkomunikasi melalui teknologi elektronik dan
komputer.
13. Kita mesti memulakan segera dari sekarang untuk
belajar dan menguasai komputer dan bidang ICT. Kita
tidak boleh menunggu apabila kita ada komputer baru
kita sanggup belajar dan menimba ilmu pengetahuan
mengenai komputer. Perlukah kita memiliki kereta
sebelum mempelajari bagaimana hendak memandunya? Sudah
tentu tidak.
14. Penguasaan komputer dan internet yang anda
perolehi hari ini akan menguntungkan anda berlipat kali
ganda di hari kemudian apabila anda terpaksa bekerja
dengan komputer dan menggunakan internet. Ia akan
membantu anda membuat keputusan belian atau merancang
kerjaya atau menghantar e-mel kepada anak atau kawan
atau untuk pendidikan dan lebih penting untuk anak-anak
kita pada masa hadapan. Oleh itu saya menyeru kepada
anda semua jadilah orang yang bijak, sediakan satu
`lesen komputer' untuk diri anda hari ini.
15. Dengan itu saya dengan rasa sukacitanya melancarkan
Perhimpunan Literasi ICT Untuk K-Ekonomi dengan rasminya.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|