Oleh/By : DATO SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 22-02-2001
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN PEMBUKAAN WISMA
WOMEN'S INSTITUTE OF
MANAGEMENT (WIM) DAN PELANCARAN
PROGRAM ICT BAGI WANITA TAHUN 2001
Versi :
Penyampai : PM
Terlebih dahulu saya merakamkan penghargaan saya
kepada Yang Berhormat Dato' Napsiah Omar, Yang
Berbahagia Dato' Nellie Tan-Wong serta Ahli-Ahli
Lembaga Pemegang Amanah Women's Institute of Management
kerana sudi menjemput saya merasmikan pembukaan wisma
WIM.
2. Ini adalah kali kedua saya datang ke sini. Pada
bulan April 1996, saya telah merasmikan majlis Pecah
Tanah untuk bangunan ini. Tetapi pada hari ini pula,
saya ke sini untuk merasmikan pembukaan wisma WIM. Saya
dapati bahawa wisma WIM telah siap dibina pada bulan
Januari tahun 2000. Ia adalah bangunan pertama yang
dibina di kawasan ini, di tanah yang telah diberi oleh
Kerajaan Persekutuan. Ini membuktikan kegigihan Yang
Berhormat Dato' Napsiah dan ahli-ahli Lembaga Pemegang
Amanah Women's Institute of Management (WIM) yang telah
melaksanakan amanah yang diberikan kepada WIM iaitu
membantu kaum wanita di negara ini.
3. WIM telah membuktikan kepada kita bahawa barangan
tempatan juga boleh menandingi barangan import kerana
bangunan yang tersergam indah ini telah dibina dengan
menggunakan bahan-bahan tempatan. Secara tidak langsung
WIM telah membantu industri tempatan. Untuk mengindahkan
lagi wisma WIM, Bunga Raya, Bunga Kebangsaan negara kita
telah diberi
fokus di dinding ruang legarnya serta di siling ruang
istirehat untuk ahli-ahli WIM. Ia dapat menarik
perhatian
bukan sahaja pengunjung tempatan tetapi juga pengunjung
dari luar negara. Saya menghargai perancangan WIM
kerana mempunyai perancangan yang baik di dalam
rekabentuk Wisma WIM. Wisma WIM ini dilengkapi dengan
dewan serbaguna, bilik
seminar, asrama penginapan, serta kafeteria yang amat
sesuai untuk menjalankan kursus-kursus serta seminar.
4. Saya juga amat berbangga dengan falsafah WIM untuk
bekerjasama dengan kaum lelaki di dalam melaksanakan
pembangunan masyarakat secara keseluruhan terutamanya
kaum wanita.
5. Saya sentiasa memberi perhatian kepada peranan
kaum wanita supaya dapat meningkatkan taraf hidup
mereka kerana saya percaya apabila kaum wanita maju,
kualiti kehidupan keluarga mereka juga akan meningkat.
6. Masa telah berubah dengan perkembangan Teknologi
Maklumat. Cara pemikiran harus juga berubah. WIM telah
memberi fokus kepada Teknologi Maklumat dan saya
mengucapkan syabas dan tahniah di atas pilihan fokus
WIM.
7. Usaha-usaha yang memberi kesedaran, pendidikan dan
menyalur maklumat dan ilmu pengetahuan dalam bidang I.T
atau Teknologi Maklumat harus disokong dan digalakkan.
Sekiranya rakyat Malaysia, khasnya kaum wanita, tidak
memberi tumpuan terhadap I.T. dalam alaf baru ini,
mereka akan ketinggalan dalam kemajuan dan pembangunan
masyarakat bukan sahaja di dalam negara, malahan di
peringkat antarabangsa atau global.
8. Kita sedar bahawa I.T bukannya satu "trend"
sahaja, akan tetapi ia adalah satu revolusi terbesar,
yang pasti membawa pengaruh yang luas terhadap
komunikasi, pendidikan, perdagangan, kerjasama dan
perhubungan antara Kerajaan, komuniti perdagangan,
kemajuan sains dan lain-lain di seluruh pelusuk dunia.
9. Bilangan kaum wanita Malaysia adalah lebih kurang
separuh daripada jumlah penduduk Malaysia dan 40
peratus daripada jumlah tenaga pekerja Malaysia. Oleh
itu wanita perlu menanam minat dan mempelajari
penggunaan pelbagai alat dan kemudahan I.T.
10. Program I.T peringkat Kebangsaan yang dianjurkan
WIM untuk kaum wanita, terutamanya wanita luar bandar
dapat memberi pendedahan yang lebih meluas kepada
wanita untuk bersama-sama mengambil bahagian. Melalui
program ini, kaum wanita dapat memberi keseimbangan
daripada segi ilmu dan kemahiran, seterusnya
menyesuaikan dan mempraktikkan ilmu dan kemahiran yang
diperolehi di tempat kerja, di rumah, semasa mendidik
anak-anak, dalam bidang perniagaan dan sebagainya.
11. Kaum wanita sebagai ibu boleh membimbing dan
mendorong anak-anak ke arah penggunaan I.T. untuk
perkembangan pengetahuan dan komunikasi. Melalui
penggunaan I.T. kaum wanita juga boleh bekerja dari
rumah sambil meluangkan masa untuk menjaga serta
mendidik anak-anak.
12. Usaha murni seperti ini harus diteruskan oleh
organisasi-organisasi lain bagi tujuan melatih dan
mendidik wanita. Wanita juga seharusnya lebih terbuka,
bersedia dan menggunakan peluang-peluang seperti ini
sebaik-baiknya.
13. Syarikat-syarikat seperti go2020.com, skybiz,
Millennium Institute of Technology, Sedaya College,
Infotrack, Myob Asia, Aims Technology dan syarikat-
syarikat yang lain adalah syarikat contoh kerana
memberi sokongan dan bantuan kepada WIM di dalam
menjayakan program ini. Saya berharap agar banyak lagi
syarikat yang lain dapat memberi bantuan serta
kerjasama kepada WIM dan organisasi-organisasi wanita
yang lain dalam menjayakan matlamat memajukan kaum
wanita dengan I.T.
14 Di atas daya usaha dan kepimpinan WIM yang gigih,
saya ucapkan syabas dan tahniah kepada pemimpin-pemimpin
WIM kerana dapat membuktikan bahawa WIM telah berusaha
kuat dalam menjayakan program Teknologi Maklumat yang
kedua dengan pelancaran satu laman web yang dipanggil
lelong-elektronik. Ini adalah satu cara
yang terbaru untuk menjana derma. Melalui laman web lelong-
elektronik ini, bukan sahaja pembeli di Malaysia tetapi
juga di peringkat antarabangsa dapat melayari laman ini.
Secara tidak langsung WIM diperkenalkan ke seluruh dunia.
Pendapatan yang diperolehi melalui lelong-elektronik ini,
dapat membantu meningkatkan pendapatan WIM. Ia juga
dapat membantu WIM menjayakan program-programnya dengan
lebih lancar.
15. Syabas sekali lagi saya ucapkan dan saya berharap
WIM akan bekerjasama dan terus memberi sokongan kepada
organisasi wanita yang lain. Semoga dengan tenaga semua
pihak, wanita Malaysia boleh berjaya, mempunyai sikap
keyakinan dan positif serta dapat membantu Kerajaan
menjayakan usaha-usaha pembangunan negara demi untuk
faedah rakyat jelata.
16. Akhir kata, saya sekali lagi ucapkan terima kasih
kepada Yang Berhormat Dato' Napsiah Omar dan juga
Pengerusi Pengelola Majlis, Yang Berbahagia Dato' Dr.
Nellie Tan-Wong serta Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah
Women's Institute of Management yang telah menjemput
saya merasmikan pembukaan wisma WIM.
17. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
bangunan WIM ini dan melancarkan program ICT bagi
wanita tahun 2001.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|