Oleh/By : DATO SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DATARAN PUTRA, PUTRAJAYA
Tarikh/Date : 04-03-2001
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN HARI
LANDSKAP NEGARA
Versi :
Penyampai : PM
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak
penganjur, Jabatan Landskap Negara, Kementerian
Perumahan dan Kerajaan Tempatan kerana menjemput saya
untuk merasmikan majlis Pelancaran Hari Landskap Negara
pada hari ini.
2. Hari ini adalah satu lagi hari yang bersejarah
bagi rakyat Malaysia. Ini adalah oleh kerana Kerajaan
telah bersetuju untuk menjadikan 3 Mac setiap tahun
sebagai Hari Landskap Negara. Sambutan Hari Landskap
Negara pada hari ini merupakan lanjutan kepada Kempen
Menanam Pokok yang telah disempurnakan pada 3 Mac 1997.
3. Manusia yang bertamadun tidak sahaja makan untuk
hidup tetapi memberi keutamaan juga kepada kelazatan
dan keindahan hidangan. Lebih tinggi tamadun manusia
lebihlah keutamaan yang diberi kepada persekitaran,
kepada ketertiban dan kepada ketinggian seni dan
budaya. Justeru itu, kita boleh mengukur ketinggian
tamadun sesuatu bangsa melalui taraf seni dan budaya
dalam segala kegiatan bangsa itu.
4. Ketinggian seni dan budaya juga mempengaruhi
kemajuan bangsa berkenaan. Demikian bangsa yang
berjaya membangun seni dan budaya yang tinggi biasanya
lebih maju dan gagah daripada bangsa yang tidak dapat
membentuk seni dan budaya yang tinggi.
5. Persekitaran sesuatu bangsa memberi gambaran yang
awal akan tamadun bangsa itu. Sebab itu kita dapati
bangsa yang bertamadun tinggi hidup dalam persekitaran
yang bersih dan indah yang diusahakan oleh bangsa itu.
Oleh kerana ini adalah budaya bangsa maka seluruh
negara bangsa yang bertamadun tinggi akan dilihat
tertib, teratur, bersih dan indah.
6. Kegagalan sesuatu bangsa memperlihatkan tahap
persekitaran yang baik ini bukan sahaja mencerminkan
tamadun yang rendah tetapi juga pembangunan dan
kejayaan yang rendah. Lebih buruk lagi ialah mereka
yang bertamadun rendah ini tidak pun berasa malu dengan
budaya rendah mereka dan tidak dapat membuat penilaian
akan perbezaan di antara mereka dengan bangsa yang
tinggi tamadun mereka.
7. Perasaan malu lebih utama daripada kebanggaan
dengan diri sendiri. Bangsa yang tahu malu mengambil
berat akan kelakuan dan prestasi yang ditunjukkan.
Kegagalan atau kelemahan dalam apa-apa bidang tetap
akan memalukan orang yang tinggi budayanya. Justeru
itu, mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk
mencapai kejayaan dan meningkatkan kebolehan mereka.
8. Kita tidak ingin kepada perasaan malu yang
keterlaluan sehingga sanggup mengambil nyawa sendiri
untuk menebus maruah. Tetapi kita harus tahu malu
apabila tamadun bangsa kita begitu rendah sehingga kita
tidak pun tahu perbezaan di antara yang bersih dan
indah dengan yang kotor dan hodoh. Apabila kita tidak
tahu maka kita tidak dapat mengubah keadaan seni dan
budaya kita dan kita akan kekal sebagai bangsa yang
bertamadun rendah yang tidak boleh berjaya.
9. Sesuatu yang membuktikan tahap tamadun bangsa
ialah kebolehan membentuk persekitaran yang indah dan
menarik. Seperti juga dengan kebolehan yang lain, pada
mulanya kecekapan mengindahkan alam sekeliling adalah
rendah. Tetapi pengamalan yang berterusan dan
berpanjangan tetap akan meningkatkan hasil usaha
pengindahan yang dibuat.
10. Alhamdulillah, sejak kita merdeka rakyat Malaysia
lebih prihatin dengan persekitaran mereka. Bukan
sahaja mereka lebih gigih dalam menjaga kebersihan
tetapi juga kecekapan memperelokkan persekitaran
meningkat sepanjang masa. Hari ini bukan sahaja pokok-
pokok dan pokok bunga ditanam dengan banyaknya tetapi
di landskap pula taman di sekeliling rumah. Mungkin
rumah yang tidak ada halaman sama sekali, umpamanya
tingkat atas rumah pangsa sukar dihias dengan landskap.
Tetapi pengindahan masih boleh dibuat dengan menanam
pokok bunga yang sesuai di luar tingkap. Arkitek
Malaysia belum tahu bagaimana menyediakan `window
flower boxes' untuk rumah-rumah bertingkat ini.
Sebaliknya jurutera yang merekabentuk jalan bertingkat
lebih cekap mengadakan `planter boxes' di bahagian luar
sisi jalan-jalan ini. Saya yakin arkitek Malaysia akan
belajar bagaimana cara penduduk tingkat atas rumah
bertingkat dapat mengindahkan bangunan-bangunan ini
dengan tanaman pokok-pokok bunga.
11. Di mana terdapat kawasan lapang, bukan sahaja
perlu ada tanaman pokok dan pokok bunga secara teratur,
tetapi hendaklah diadakan landskap yang menarik, dengan
adanya bahagian yang tinggi dan rendah, kolam air
dengan pancutan air serta ikan hiasan. Air terjun
tiruan boleh diadakan kerana bunyi airnya dapat
menenangkan hati. Dan banyaklah lagi rekaan dan
inisiatif yang boleh menjadikan satu-satu taman kecil
itu unik dan menarik.
12. Pengindahan taman tidak harus terhad kepada
kawasan dalam pagar tetapi kawasan di pinggir jalan
juga harus ditanam dengan pokok dan dihias dengan baik.
Amatlah tidak menarik jika di luar pagar terdapat
lalang yang tinggi yang melindung keindahan taman di
dalam pagar. Mungkin ini adalah tugas majlis tempatan
atau dewan perbandaran, tetapi mereka mungkin tidak
mempunyai cukup tenaga dan kewangan untuk memotong
rumput sekalipun. Dan tidak ramai yang sanggup bayar
cukai yang lebih tinggi untuk menambah kakitangan dan
khidmat pihak berkuasa tempatan.
13. Landskap yang cantik mencerminkan tahap kesenian
yang tinggi. Dahulu kesenian ini tidak terlihat di
Malaysia. Tetapi kecekapan seni landskap sudah
meningkat dengan tingginya tahun demi tahun. Walaupun
sudah ada ahli profesional yang berkelulusan dalam
bidang landskap dan mereka pula mempunyai syarikat
landskap yang dapat memberi khidmat yang baik, tetapi
tiap seorang yang mempunyai kawasan di sekeliling yang
tidak terlalu besar boleh membuat landskap sendiri.
Percayalah mereka yang membuat landskap sendiri dan
merawatnya sepanjang masa tidak dapat tidak akan
meningkatkan kualiti dan keindahan hasil kerja mereka.
14. Keindahan alam sekeliling memberi ketenangan
kepada jiwa manusia. Ia juga boleh mendatangkan
inspirasi yang boleh menghasilkan idea dan meningkatkan
kreativiti atau pembentukan pemikiran yang unik dan
istimewa yang mana ini bukan sahaja akan menyumbang
kepada pencapaian diri sendiri tetapi juga masyarakat.
Jiwa yang tenang di kalangan anggota masyarakat juga
akan menjadi masyarakat lebih stabil dan lebih berdaya
maju.
15. Atas kesedaran ini maka awal-awal lagi Kerajaan
telah memberi perhatian kepada landskap dan pengindahan
ibu kota pentadbiran kita yang baru, Putrajaya. Oleh
kerana pembangunan Putrajaya dibuat di atas kawasan
yang tidak mempunyai bangunan-bangunan yang lama,
rekabentuk pelannya tidak terganggu. Dengan itu
tumpuan boleh diberi sepenuhnya kepada segala aspek
keindahan yang sesuai bukan sahaja untuk penghuni
semasa tetapi untuk dekad-dekad, bahkan abad-abad yang
akan datang.
16. Landskap menjadi unsur yang penting bagi
pembangunan Putrajaya. Keadaan bukit-bukau dan lembah-
lembah yang sedia ada telah dijadikan asas landskap
bagi Putrajaya.
17. Biasanya pemaju akan meratakan bukit dan mengambus
lembah-lembah antara bukit-bukit kecil ini. Lembah-
lembah ini mengumpul air hujan yang dibawa melalui alur-
alur kecil ke sungai yang akhirnya mengalir ke laut
atau tasik. Apabila lembah kecil ini dikambus dengan
tanah dari bukit untuk mengadakan tanah rata untuk
perumahan, air akan menakung di hulu lembah di tanah
jiran. Dengan ini air hujan akan bertakung dan apabila
terlalu tinggi paras air akan melimpah semula ke
kawasan yang telah diratakan. Kadang-kadang air yang
menakung menggali saluran bawah tanah dan `foundation'
rumah di sekeliling terutama rumah bertingkat menjadi
tidak kuat. Rumah boleh runtuh kerana tanah
`foundation' terhakis dengan teruknya.
18. Sepatutnya semasa membuat pelan pembangunan
topografi kawasan bukan sahaja di tapak tetapi di
kawasan sekeliling perlu diambil perhatian dan arah
pengaliran air hujan ditentukan. Dalam pelan
pembangunan air dari kawasan di luar kawasan hendaklah
diberi laluan supaya tidak ada takungan di kawasan
jiran sama ada yang telah dibangun atau belum.
19. Saya tidak faham kenapa kawasan pembangunan rumah
perlu diratakan sehingga hilang bukan sahaja bukit
kecil dan lembah tetapi juga alur-alur yang kecil yang
membawa air semasa hujan. Tabiat membangunkan rumah
berderet dan lurus amatlah tidak menarik. Sebaliknya
rumah-rumah patut dibangun mengikut topografi asal
walaupun ini akan meningkatkan kos kerana jumlah
bangunan terpaksa dikurangkan dan `foundation' yang
dalam diperlukan. Saya percaya nilai rumah akan
meningkat dan ini dapat menampung kekurangan pendapatan
kerana jumlah rumah yang kurang.
20. Pengekalan bentuk topografi tanah yang sedia ada
dengan sendirinya menjadikan landskap semulajadi.
Arkitek dan jurutera kita harus tahu bagaimana
membangunkan kawasan berbukit-bukau dan lembah tanpa
meratakan kawasan dan mengekal pengaliran air semasa
hujan.
21. Di Putrajaya pengaliran air dari lembah-lembah
yang cantik diambilkira semasa membuat pelan
keseluruhannya. Terdapat lebih sepuluh buah sungai
kecil, yang kering semasa tidak ada hujan, yang menuju
ke arah lembah Putrajaya. Wetland buatan diadakan
untuk menapis air dari lembah dan alur supaya air di
tasik menjadi bersih. Walaupun ini bermakna kawasan
yang luas dikorbankan tetapi nilai tanah dan rumah
meningkat dengan tingginya. Pendapatan daripada
memajukan tanah tidaklah terhakis terlalu sangat.
Sebenarnya harga tanah yang dibangun dengan cermat
seperti ini meningkat hingga 2000 peratus. Namun rumah
kos rendah masih boleh dibangunkan tanpa kerugian.
Lagipun penjualan tanah mengambil masa yang panjang dan
harga tanah tetap meningkat dengan sendirinya. Pemaju
tidak akan rugi kerana memelihara keadaan alam
semulajadi.
22. Pembangunan negara kita sudah sampai ke tahap yang
memerlukan kita mengubah sedikit cara hidup kita.
Persekitaran kita perlu mencerminkan tahap ini. Kita
bukan sahaja perlu mengindahkan kawasan sekeliling kita
tetapi ia hendaklah setaraf dengan kemajuan yang telah
kita capai. Ia juga akan membuktikan tahap tamadun
kita.
23. Selain daripada keselesaan hidup, persekitaran
yang indah kerana landskap dan pokok serta pokok bunga
akan menjadi daya penarik kepada pelbagai kegiatan
sosial dan ekonomi.
24. Pertumbuhan industri pelancongan juga banyak
bergantung kepada keadaan landskap yang dapat
diperlihatkan di setengah-setengah tempat. Para
pelancong tertarik untuk melihat keadaan yang unik,
indah dan bersih. Salah satu aspek pelancongan yang
menarik pelancong antarabangsa dan tempatan adalah yang
berkonsepkan mesra alam. Pemeliharaan landskap
semulajadi dan kerosakan yang minima merupakan teras
pembangunan kawasan pelancongan di masa hadapan.
Pembangunan resort dan hotel di atas bukit tanpa perlu
memotong dan meratakan bukit, pembangunan di atas tasik
atau air tanpa mencemarkan keadaan asal merupakan
cabaran yang perlu diambil oleh pengusaha-pengusaha
tempatan untuk mengekalkan ciri-ciri landskap
semulajadi yang kita miliki.
25. Kepentingan penanaman pokok tidak dapat dipisahkan
daripada aktiviti landskap. Penanaman pokok perlu
diteruskan oleh setiap lapisan masyarakat. Ini adalah
kerana selain daripada berfungsi membekalkan oksigen
dan menyerap karbon dioksida, penanaman pokok boleh
menyumbangkan kepada corak perdagangan untuk negara
dalam bentuk `carbon credit'. Kajian mendapati setiap
kawasan seluas 40 meter persegi yang ditanam dengan
pokok rendang mampu menghasilkan oksigen untuk
keperluan seorang manusia sehari. Ini bererti jika
negara kita memberi tumpuan yang serius terhadap
penanaman pokok, kita mampu menyumbang kepada bekalan
oksigen untuk kegunaan negara maju di dunia yang
menghadapi masalah pencemaran yang serius. Adalah
menjadi harapan kerajaan setiap warganegara dapat
menanam sekurang-kurangnya satu pokok seumur hidup.
Dengan sebab itu kerajaan menyokong kempen menanam
pokok untuk menghijaukan negara perlu diteruskan dengan
sasaran 20 juta pokok sehingga tahun 2020.
26. Penjagaan dan penyelenggaraan kawasan yang telah
dimajukan supaya sentiasa kemas, bersih dan berkualiti
adalah tanggungjawab semua pihak. Selain daripada
Kerajaan Persekutuan, pihak Kerajaan Negeri perlu
memberi tumpuan untuk memelihara aset landskap
semulajadi yang dimiliki di setiap negeri di samping
memberi tumpuan kepada tahap penyelenggaraan yang
berkualiti khususnya di bandar-bandar. Pembentukan
bandaraya-bandaraya taman di seluruh negara akan
menentukan kejayaan Malaysia menjadi Negara Taman
menjelang tahun 2005.
27. Komitmen dan kesungguhan Kerajaan Negeri
melaksanakan program landskap harus disokong dengan
penyediaan peruntukan kewangan yang mencukupi, tenaga
profesional yang terlatih, organisasi yang berkesan
bagi pembangunan landskap di negeri masing-masing.
Industri landskap tidak dapat berkembang jauh jika
semata-mata bergantung kepada peruntukan Kerajaan
Persekutuan dan inisiatif pihak swasta. Kerjasama
daripada Kerajaan Negeri untuk menterjemahkan dasar
pembentukan bandar taman dengan tahap penyelenggaraan
dan taraf kebersihan yang tinggi adalah amat penting
supaya rakyat keseluruhannya dapat menilai kepentingan
landskap sebagai satu budaya masyarakat Malaysia di
alaf ke-21.
28. Tugas mengindahkan negara haruslah dikongsi
bersama di antara agensi kerajaan, swasta dan NGO.
Dengan sokongan padu semua pihak sahajalah impian kita
menjadikan Malaysia Negara Taman Tercantik di dunia
menjelang tahun 2020 akan menjadi kenyataan.
29. Berpaksikan tema hari Landskap negara kali ini,
iaitu `Cintailah Landskap Kita', saya menyeru semua
pihak yang terlibat di dalam pembangunan negara sama
ada Kerajaan, swasta, ahli profesional, penggubal dasar
dan pemaju perumahan untuk memberi keutamaan kepada
pembangunan landskap serta pengekalan landskap
semulajadi yang kita warisi kerana ia merupakan warisan
yang akan kita tinggalkan untuk dinikmati oleh generasi
akan datang.
30. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan
Hari Landskap Negara Tahun 2001 dengan tema "CINTAILAH
LANDSKAP KITA".
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|