Oleh/By  	:	DATO SERI DR MAHATHIR MOHAMAD
Tempat/Venue	:	MELALUI RADIO DAN TELEVISYEN 
			MALAYSIA PADA MALAM 
			HARI RAYA AIDILADHA
Tarikh/Date	:	05-03-2001
Tajuk/Title 	:	PERUTUSAN HARI RAYA AIDILADHA
Versi 		:	
Penyampai	:  	PM 


	                             
   
   Saya  dan  isteri saya ingin mengambil  kesempatan  ini
   untuk  mengucapkan Selamat Hari Raya  Aidiladha  kepada
   semua muslimin dan muslimat di negara ini.
   
   Alhamdulillah di hari yang mulia ini kita,  umat  Islam
   di  Malaysia,  dapat  sekali lagi menyambut  Hari  Raya
   korban   dalam   keadaan  aman,  sempurna   dan   penuh
   kegembiraan.
   
   Seperti  biasa  sebagai umat Islam  yang  patuh  kepada
   Allah   s.w.t.   dan  segala  perintahnya   kita   akan
   menyempurnakan    ibadah   korban   dengan    melakukan
   penyembelihan seperti yang disunatkan oleh agama kita.
   
   Korban pada zahirnya disunatkan ke atas kita yang mampu
   untuk  membuat  penyembelihan ke atas binatang  seperti
   lembu,  kambing  dan  sebagainya agar  dagingnya  dapat
   diagih-agihkan  kepada golongan fakir dan  miskin  yang
   tidak berkemampuan.
   
   Selain penyembelihan, ada banyak lagi pengajaran korban
   di  dalam  Islam termasuk mengeluarkan  zakat  ke  atas
   harta  dan  pendapatan bagi yang mampu mengikut  kiraan
   tertentu  agar  kekayaan itu turut  dapat  dimanfaatkan
   oleh yang miskin.
   
   Kesanggupan berkorban harta kekayaan bagi membantu yang
   daif adalah kebajikan yang diseru oleh Islam. Begitulah
   indahnya  agama  Islam. Ianya mengajar kita  mensyukuri
   nikmat  yang  dikurniakan Allah  s.w.t.  dan  berkorban
   untuk  membantu yang miskin dan menginsafi nasib mereka
   yang  lebih daif dengan melakukan kebajikan  agar  yang
   miskin tidak terpinggir.
   
   Dari sini dapatlah kita mempelajari bahawa ajaran Islam
   memupuk  satu  masyarakat yang prihatin, penyayang  dan
   saling  bantu-membantu  antara  satu  sama  lain  tanpa
   mengira bangsa, warna kulit ataupun fahaman politik.
   
   Korban  juga  membawa  makna yang lebih  daripada  itu.
   Islam menyeru umatnya supaya sentiasa bersatu padu  dan
   mengelakkan daripada perpecahan agar nasib  umat  Islam
   sentiasa  terbela dan martabat agama Islam itu  sendiri
   akan  terus terpelihara. Kita harus mengetepikan segala
   kepentingan diri bagi kebaikan masyarakat kita.
   
   Kita  dapat  lihat bagaimana perpecahan umat  Islam  di
   dunia hari ini telah mengakibatkan kita lemah dan mudah
   ditekan. Umat Islam semakin ditindas. Kebanyakan negara
   Islam  tidak  maju, mundur dan miskin,  yang  mana  ini
   menyebabkan  kita sukar untuk membela  saudara  seagama
   kita daripada penganiayaan musuh-musuh Islam.
   
   Alhamdulillah  di Malaysia umat Islam masih  dihormati.
   Walaupun  negara  kita mempunyai  kaum  minoriti  bukan
   Islam  yang besar, mereka sanggup menerima pemerintahan
   yang diterajui oleh orang Islam berdasarkan perkongsian
   pentadbiran.
   
   Kita dapat melakukan ibadah kita dalam keadaan aman dan
   sempurna.  Inilah  nikmat  yang  mungkin  tidak   dapat
   dirasai  oleh  masyarakat  Islam  tempat-tempat   lain.
   Walaupun kita perlu bersimpati dan cuba menolong mereka
   setakat yang terdaya, kita juga tidak harus lupa  untuk
   bersyukur  kerana  nikmat yang Allah  S.W.T.  kurniakan
   kepada kita.
   
   Kita  bukan  sahaja  bebas daripada  sebarang  tekanan,
   negara kita juga bebas daripada sebarang malapetaka dan
   bala  bencana. Umat Islam di negara ini dihormati bukan
   kerana  kita  merupakan majoriti,  tetapi  kerana  kita
   merupakan masyarakat Islam yang progresif, berdisiplin,
   cekap dan berpengetahuan tinggi.
   
   Inilah  nikmat  yang  Allah S.W.T.  anugerahkan  kepada
   kita.  Oleh  itu  janganlah kita lupa  untuk  bersyukur
   kepadanya.
   
   Di  hari yang mulia ini, sedang jemaah Haji kita  sibuk
   menyempurnakan ibadah rukun Islam yang kelima di  tanah
   suci,  marilah  kita bersama-sama menyempurnakan  tugas
   dan  tanggungjawab kita sebagai orang Islam yang  patuh
   kepada  ajaran  Allah s.w.t. dengan merapatkan  barisan
   dan mengikat hubungan silaturahim sesama kita.
   
   Ketepikan   perbezaan  fahaman  politik  antara   kita,
   korbankan kepentingan diri kita, buktikan keinsafan dan
   kesyukuran   kita   dengan  bersatu  dan   meningkatkan
   martabat  agama  kita, dan memupuk hubungan  yang  baik
   dengan  rakan-rakan kita daripada keturunan  dan  agama
   yang lain.
   
   Sekali  lagi  saya dan isteri saya mengucapkan  Selamat
   Hari  Raya  Aidiladha  kepada  semua  umat  Islam    di
   Malaysia.  Marilah kita sama-sama berdoa  kepada  Allah
   s.w.t.  agar  jemaah  haji kita  di  tanah  suci  dapat
   melakukan ibadah mereka dengan sempurna dan agar mereka
   dikurniakan haji yang mabrur dan kembali ke  tanah  air
   dengan selamat. Semoga pengalaman mereka di tanah  suci
   dapat  kita manfaatkan untuk mempertingkatkan  keimanan
   kita.

   Sumber : Pejabat Perdana Menteri

                                          


 
Google