Oleh/By : DATO' SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL NIKKO, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 20-03-2001
Tajuk/Title : PERASMIAN SEMINAR "BUSINESS AND
INTEGRITY:THE WAY FORWARD"
ANJURAN BADAN PENCEGAH RASUAH
Versi :
Penyampai : PM
Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih
kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana menjemput
saya untuk berucap dan seterusnya merasmikan Seminar
"Integrity In Business: The Way Forward" ini. Saya
sungguh gembira kerana berpeluang memberi pandangan
saya berkenaan dengan satu jenayah yang amat merbahaya
yang boleh menghalang pembangunan negara kita.
2. Rasuah adalah satu penyakit sosial yang ada di
mana sahaja. Tidak ada negara atau bangsa yang boleh
mendakwa mereka bebas daripada rasuah. Hanya kerana
rasuah tetap ada tidak bermakna kita harus terima
gejala ini dan kita tidak perlu berusaha
membanterasnya. Setiap kejayaan kita mengurangkan
rasuah tetap akan membawa kebaikan yang bertambah
kepada kita. Walaupun pendapat umum ialah rasuah tidak
mungkin dihapuskan tetapi kita masih perlu berusaha
untuk menghapuskan gejala ini sepanjang masa.
3. Kita boleh mengadakan undang-undang dan badan-
badan pencegah yang menguatkuasa undang-undang. Dengan
adanya undang-undang dan badan pencegah yang berwibawa
dan berkesan pengurangan rasuah boleh diusahakan.
Tetapi yang lebih berkesan untuk membanteras rasuah
ialah budaya atau nilai hidup yang dipegang oleh
masyarakat. Jika masyarakat memandang amalan rasuah
sebagai satu jenayah yang amat buruk dan memalukan maka
rasuah akan berkurangan. Sebaliknya jika masyarakat
menganggap rasuah sebagai perkara biasa dan menerimanya
sebagai sesuatu yang tidak dapat dielak maka rasuah
akan berkembang dan menjadi semakin buruk. Mungkin
juga masyarakat berpendapat bahawa sogokan yang dihulur
hanyalah bantuan yang boleh menolong mereka yang daif
dan memerlukannya. Dengan ini sogokan menjadi perkara
yang tidak disembunyi lagi dan pemberi serta penerima
tidak akan berasa tersalah dan malu. Di peringkat ini
tidak ada sesuatu yang boleh dibuat untuk membanteras
rasuah kerana semua pihak dari peringkat yang terendah
hingga ke peringkat yang tertinggi terlibat dan akan
mempertahankan amalannya.
4. Rasuah boleh dibahagi kepada dua peringkat - iaitu
peringkat rasuah dianggap jenayah yang salah dan
memalukan dan perlu disembunyi dan peringkat kedua yang
mana rasuah dianggap perkara biasa yang melibat semua
anggota masyarakat sebagai pemberi atau penerima dan
tidak perlu apa-apa perasaan bersalah atau memalukan
dan boleh diamal secara terbuka.
5. Jika semasa rasuah masih di peringkat pertama
usaha tidak dibuat untuk mencegah dan membendung amalan
rasuah, lambat-laun ia akan meningkat ke peringkat
kedua. Oleh kerana di peringkat kedua ini rasuah tidak
boleh dikawal lagi, masyarakat yang ingin membendung
amalan ini perlu berusaha di peringkat pertama secara
bersungguh-sungguh dan berpanjangan. Peperangan
melawan rasuah di peringkat pertama ini mesti
diteruskan sepanjang masa.
6. Oleh kerana di peringkat pertama rasuah dianggap
oleh masyarakat sebagai jenayah maka masyarakat boleh
memainkan peranan yang penting dengan memupuk perasaan
bersalah dan malu jika terlibat dengan rasuah. Lebih
kuat perasaan ini, lebih berjaya dan berhasillah
peperangan melawan rasuah.
7. Nilai inilah yang menjadi benteng yang terkuat
sekali dalam usaha membendung dan menghapuskan rasuah.
Tidak ada sesuatu yang lebih buruk daripada pendapat
bahawa oleh kerana rasuah tidak mungkin dihapuskan maka
terima sahajalah amalan rasuah. Jika pendapat ini
diterima masyarakat maka amalan rasuah akan dibiar
tanpa pembanterasan sehingga ia menjadi satu budaya
yang dikaitkan dengan bangsa. Dengan itu semua akan
terlibat tanpa segan-silu, sama ada sebagai penghulur
atau penerima rasuah.
8. Apabila ini berlaku maka amalan rasuah akan sampai
ke peringkat kedua yang mana rasuah diamalkan secara
terbuka dan melibatkan semua anggota masyarakat.
Apabila sampai ke tahap ini pemulihan tidak mungkin
lagi kerana tidak akan ada sesiapa yang bebas daripada
rasuah dan boleh berusaha melawan rasuah. Dengan itu
segala kesan buruk akan dirasai oleh semua anggota
masyarakat, termasuk mereka yang menerima rasuah.
Mereka harus ingat bahawa apabila rasuah sudah
berleluasa, mereka yang menerima rasuah juga perlu
menghulur rasuah apabila mereka berurusan dengan
sesiapa sahaja dalam kehidupan mereka. Dengan ini
mereka tidak sebenarnya mendapat apa-apa kelebihan atau
keuntungan bagi diri mereka kerana pendapatan mereka
perlu digunakan untuk menyogok orang lain. Apa yang
berlaku hanyalah kenaikan kos segala urusan dan
barangan. Sebaliknya jika tidak ada rasuah kos
semuanya akan rendah kerana tidak perlu perbelanjaan
untuk rasuah. Pendapatan yang kurang tidak menjadi
masalah kerana kos segala-galanya begitu rendah. Apa
gunanya pendapatan yang lebih jika ia tidak boleh
membeli apa-apa yang lebih. Bukan duit yang banyak
yang penting tetapi keupayaan duit itu membeli yang
penting.
9. Manfaat yang diperolehi bukan sahaja terhad kepada
kos sara hidup yang rendah tetapi juga keselesaan dan
mudahnya pengurusan kehidupan. Masyarakat menjadi
lebih efisien dan berdaya saing. Ini akan
mempercepatkan proses kemajuan negara. Dengan ini
semua anggota masyarakat akan memperolehi jauh lebih
banyak nikmat berbanding dengan masyarakat yang
bergelumang dengan rasuah. Ini dapat kita lihat
sekarang. Bangsa dan negara yang menerima rasuah
sebagai amalan biasa semuanya ketinggalan jauh di
belakang, tidak maju dan tidak berdaya maju sampai bila-
bila pun. Rakyat mereka mengeluh sepanjang masa kerana
tertekan dengan rasuah yang perlu dihulur sepanjang
jalan semasa berurusan dengan sesiapa sahaja.
10. Rasuah boleh mula dengan tidak disengajakan.
Kerana sesuatu urusan Kerajaan, atau bank atau
perniagaan terlambat kerana sebab-sebab yang tidak
dapat dielakkan, pihak yang tertekan kerana ini
menghulurkan sedikit saguhati atau `pelincir'. Pihak
yang mengurus mendapati bahawa kelewatan yang tidak
disengajakan boleh memberi keuntungan baginya.
Kemudian kelewatan disengajakan dan rasuah dijadikan
syarat untuk mempercepatkan urusan. Selepas itu rasuah
diberi dan diterima sebagai perkara biasa untuk urusan
berkenaan. Dan ini tetap meningkatkan kos urusan
sepanjang masa.
11. Pemegangan sesuatu jawatan di satu tempat terlalu
lama juga menyumbang kepada pengamalan rasuah. Pendek
kata apabila sahaja seseorang diberi sedikit kuasa,
lambat-laun rasuah mungkin berlaku.
12. Dalam sistem demokrasi rakyat diberi hak mengundi
untuk memilih wakil-wakil mereka. Hak ini juga
merupakan satu jenis kuasa. Dan seperti kata `Mat
Salleh', "kuasa mendorong kepada rasuah". Dengan itu
pengundi mungkin tidak akan memilih calon yang terbaik
bagi pemerintahan. Sebaliknya pengundi memilih calon
yang memberi atau berjanji memberi sesuatu, sama ada di
dunia atau di akhirat, kepadanya. Dengan ini
pemerintahan akan terdiri daripada orang yang terlibat
dengan rasuah dan bukan orang yang cekap memerintah
negeri atau negara.
13. Yang jelas ialah di mana sahaja ada kuasa,
kemungkinan rasuah berlaku memang ada. Peniaga bukan
sahaja mungkin terlibat dengan menghulur rasuah kepada
pegawai yang berkuasa tetapi mereka sendiri boleh
menjadi penerima rasuah. Ini berlaku semasa membekal
barangan yang sukar diperolehi, atau mengeluar kontrak
kecil untuk bekalan barangan atau khidmat dan lain-
lain. Pegawai bank terutamanya berpeluang menerima
rasuah. Pada satu masa dahulu amalan ini diterima
sebagai perkara biasa dan pelanggan sanggup membayar
"football money" kepada pihak yang meluluskan pinjaman.
Hari ini tidak disebut lagi berkenaan "football money",
tetapi ini tidak bermakna ia tidak diamalkan.
14. Apabila peniaga terlibat dan menerima rasuah
sebagai amalan biasa maka kos segala-galanya akan
meningkat. Walaupun dipercayai yang akan memikul beban
kos yang tinggi ini ialah orang lain tetapi pengamal
rasuah, sama ada yang menghulur atau yang menerima juga
akan pikul beban kos kerana sara hidup keseluruhannya
akan meningkat.
15. Pendek kata rasuah merugikan semua pihak, yang
menerima sama dengan yang menghulur. Sudah tentu jika
mereka dikesan oleh pihak berkuasa yang
bertanggungjawab, dihadapkan ke mahkamah, dihukum denda
atau penjara, semua keuntungan daripada rasuah bukan
sahaja akan hilang tetapi beban yang akan dipikul jauh
lebih tinggi.
16. Fahaman tentang rasuah dan kesan buruknya kepada
semua pihak dalam masyarakat, yang terlibat secara
langsung dan yang tidak terlibat amatlah penting.
Bukan sahaja kita perlu faham tetapi kita perlu anggap
rasuah sebagai satu jenayah yang buruk dan hina dan
memalukan. Mereka yang terlibat sebagai penghulur atau
penerima perlu berasa salah dan malu, tetapi juga
masyarakat amnya serta bangsa perlu berasa malu kerana
terdapat amalan rasuah dalam masyarakat. Dan sudah
tentu masyarakat perlu pandang hina terhadap mereka
yang terlibat dengan rasuah. Ini adalah penderaan yang
lebih berkesan daripada hanya hukuman yang dijatuhkan
oleh pihak berkuasa.
17. Sesungguhnya sikap dan pendirian masyarakat sahaja
yang boleh dan berkesan dalam membendung rasuah.
Undang-undang dan agensi penguatkuasaan dengan
sendirinya tidak akan dapat membendung amalan rasuah
jika orang yang terlibat tidak dipandang hina oleh
masyarakat. Agensi penguatkuasaan adalah penting.
Tetapi untuk menjayakan tugas mereka, kuasa terpaksa
diberi kepada mereka. Dan kuasa membuka peluang bagi
mereka juga terlibat dengan rasuah. Sudah berkali-kali
kita lihat peristiwa pagar makan padi kerana tugas dan
kuasa yang diberi kepada agensi untuk melaksanakan
sesuatu.
18. Sebagaimana saya katakan penguatkuasaan undang-
undang walau seketat dan sekeras mana pun tidak dapat
mengawal setiap orang. Sebagai contoh apabila hukuman
mati mandatori dikenakan kepada pengedar dadah, masih
ada mereka yang berani mengedarnya hingga tertangkap
dan digantung sampai mati. Oleh itu dalam menangani
gejala rasuah, adalah sesuatu yang baik untuk kita
kembali kepada ajaran agama. Kepercayaan dan agama
memantap atau memperkukuhkan nilai-nilai moral dan
standard etika. Persekitaran seperti ini sangat sesuai
dan kondusif untuk perkembangan kerohanian dari aspek
pertanggungjawaban atau akauntabiliti kepada Allah
S.W.T. dan kepada insan.
19. Iman akan menjuruskan seseorang kepada corak
kehidupan yang mulia. Sebagaimana disebut dalam sebuah
hadis daripada Rasulullah S.A.W., "tidak akan mencuri
seseorang itu jika semasa dia mencuri dia beriman."
Jika diterjemahkan dalam kehidupan masa kini, kita
boleh katakan "tidak akan memberi atau menerima rasuah
seseorang itu jika semasa dia melakukannya dia
beriman". Bagi tujuan ini, semua warga Malaysia, baik
yang berkhidmat dalam perkhidmatan kerajaan, dalam
dunia perniagaan dan pemimpin masyarakat, hendaklah
saling mengingati akan ajaran agama dan keimanan yang
kukuh yang mempengaruhi setiap gerak-geri kita. Ini
bukanlah terhad kepada agama Islam sahaja. Tidak ada
agama yang merestui jenayah rasuah.
20. Secara peribadi, saya merasa bangga dan gembira
melihat lebih banyak seminar sebegini yang melibatkan
dunia korporat dan kerajaan diadakan. Adalah
diharapkan Seminar "Integrity In Business: The Way
Forward" ini akan menjadi suatu forum pemangkin di mana
nilai-nilai penting seperti integriti, akauntabiliti
dan ketelusan dalam mengendali perniagaan dan dunia
korporat boleh difahami dan dihayati dengan lebih jelas
lagi. Seminar seumpama ini juga akan memperkukuhkan
keyakinan (mutual confidence) dan kepercayaan pelbagai
pihak yang berkaitan, dan pada masa yang sama akan
dapat memperluaskan fahaman dan kesedaran tentang
jenayah rasuah dan sikap yang perlu diambil oleh semua
peniaga dan masyarakat amnya.
21. Semoga dengan berkat kerjasama semua pihak dalam
membanteras rasuah, negara kita akan bertambah maju dan
Wawasan untuk menjadikan negara kita sebagai negara
maju serta menjadikannya juga negara yang bebas
daripada rasuah, "a corruption-free society" akan
tercapai.
22. Akhir kata, saya dengan sukacitanya merasmikan
Seminar "Integrity In Business: The Way Forward".
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|