Oleh/By : DATO SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : THE MAGELLAN SUTERA,
KOTA KINABALU, SABAH
Tarikh/Date : 24-03-2001
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN KONGRES EKONOMI
BUMIPUTERA SABAH 2001
Versi :
Penyampai : PM
Pertama sekali saya ucapkan berbanyak terima kasih
kerana jemputan kepada saya oleh pihak penganjur untuk
berucap dan seterusnya merasmikan Kongres Ekonomi
Bumiputera Sabah 2001 ini.
2. Sungguh pun kongres ini sudah agak lama
tertangguh, namun isu-isu serta perkara-perkara yang
akan dibincangkan dalam kongres ini masih lagi relevan
khususnya yang berkaitan dengan peluang dan masa depan
ekonomi kaum Bumiputera di Sabah.
3. Saya percaya kongres ini sangat dinanti-nanti oleh
kebanyakan masyarakat Bumiputera, terutama golongan
peniaga dan usahawan di negeri Sabah ini. Dilihat
pada tajuk dan temanya sahaja "EKONOMI BUMIPUTERA
SELEPAS 2000; CABARAN DAN HALATUJU" ianya tentu
menimbulkan rasa ingin tahu disamping melahirkan suatu
harapan masa depan para usahawan Bumiputera di Sabah.
Mudah-mudahan usaha murni yang dipelopori Kerajaan
Negeri Sabah ini, bersama-sama dengan Perbadanan
Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), Dewan Perniagaan
Bumiputera Sabah (DBPS), Dewan Perniagaan Melayu
Malaysia Cawangan Sabah (DPMM) dan Dewan Perniagaan dan
Perindustrian Kadazandusun (KCCI) ini, mampu membuahkan
hasil yang baik demi memperbaiki, mempertingkat dan
menentukan nasib masa depan dan halatuju golongan
peniaga dan usahawan Bumiputera di Sabah.
4. Kedudukan ekonomi kaum Bumiputera di negara ini
masih lagi terkebelakang berbanding kaum-kaum yang
lain. Sebilangan besar masyarakat Bumiputera masih
lagi terdiri daripada nelayan, petani, peladang,
penternak dan peniaga kecil-kecilan yang tinggal di
kampung-kampung atau di kawasan-kawasan luar bandar.
Ini tidak menepati sasaran menghapuskan identiti kaum
dengan fungsi ekonomi di negara Malaysia. Selagi
majoriti Bumiputera masih `kais pagi makan pagi' dan
`kais petang makan petang' maka kita tidak boleh anggap
kita sudah mencapai kejayaan dalam pembangunan negara
kita.
5. Oleh itu walaupun tuduhan dibuat bahawa Kerajaan
Malaysia mengamalkan kronisma Kerajaan tetap akan terus
berusaha membantu Bumiputera supaya pembangunan ekonomi
mereka meletakkan mereka setaraf dengan kaum-kaum lain
di Malaysia. Kerajaan akan mencipta pelbagai
pendekatan dan cara untuk tujuan ini. Sebab itu baru-
baru ini kita telah perkenalkan `Prosper' sebagai
pendekatan yang sesuai untuk menentukan Bumiputera
terlibat secara berkesan dalam bidang perniagaan
runcit. Demikian juga pelbagai dana telah ditubuh
untuk membantu Bumiputera daripada segi modal.
6. Pelbagai jenis latihan perniagaan dan perusahaan
telah juga diadakan. Untuk meningkatkan lagi kecekapan
Bumiputera dalam bidang pengurusan, sesuatu yang amat
penting dalam perniagaan, sebuah universiti telah
ditubuh khusus untuk disiplin ini. Universiti-
universiti lain juga mengadakan pelbagai jenis kursus
sehingga ke taraf kedoktoran untuk meningkatkan
kecekapan Bumiputera dalam ekonomi, pengurusan dan
perniagaan. Pendek kata sudah banyak usaha yang dibuat
oleh Kerajaan untuk memulihkan prestasi Bumiputera
meningkat dalam bidang perniagaan dan perusahaan
sehingga terhapus identifikasi kaum dengan fungsi
ekonomi. Banyaklah kejayaan yang dicapai sehingga
Bumiputera tidak lagi berasa mereka tidak mendapat apa-
apa bahagian untuk mereka daripada kekayaan negara.
Puas hatinya mereka dibuktikan apabila kegawatan
menyerang negara kita tetapi tidak ada rusuhan kaum
yang berlaku, seperti yang berlaku di negara-negara
lain.
7. Walaupun demikian Kerajaan akan berusaha lagi.
Tetapi usaha Kerajaan sahaja tidak akan membawa
kejayaan, selagi Bumiputera sendiri tidak mengubah
sikap dan berusaha dengan lebih gigih. Demikian tidak
akan ada peningkatan bahagian Bumiputera jika setiap
kali saham diagihkan kepada Bumiputera maka mereka
terus menjualnya kepada bukan Bumiputera untuk mendapat
keuntungan cepat. Wang yang mereka dapat pula
dibelanja hangus dan mereka menunggu lagi untuk diagih
saham-saham lain. Tabiat menjual lesen, AP dan lain-
lain yang diperuntukkan kepada Bumiputera juga tidak
akan menolong meningkatkan bahagian Bumiputera dalam
perniagaan. Menjual nama kepada bukan Bumiputera
adalah satu lagi cara menggagalkan dasar untuk menambah
penyertaan Bumiputera dalam perniagaan.
8. Selain daripada itu, kelemahan Bumiputera dalam
bidang pengurusan menyebabkan ramai Bumiputera bukan
sahaja gagal tetapi hilang modal pelaburan dan wang
yang dihutang untuk perniagaan. Jauh daripada
menjayakan perniagaan dan menaikkan penyertaan
Bumiputera dalam bidang perniagaan, kelemahan
pengurusan menghakis peratusan penyertaan Bumiputera
dalam perniagaan dan perusahaan.
9. Kurang modal kerap disebut sebagai sebab
Bumiputera tidak dapat memasuki bidang-bidang tertentu.
Memanglah benar tanpa modal yang cukup Bumiputera tidak
mungkin memasuki bidang perniagaan. Tetapi ada antara
orang daripada kaum lain yang juga tidak bermodal.
Namun mereka dapat memasuki bidang perniagaan dan
perniagaan mereka tumbuh dan menjadi begitu besar
sehingga mereka menjadi `millionaire' dan
`billionaire'.
10. Lim Goh Tong datang ke Malaysia untuk menjadi
kuli. Hari ini dia adalah seorang `billionaire'. Dan
ramai lagi orang lain yang bermula tanpa satu sen pun
modal tetapi hari ini sudah menjadi kaya-raya.
Bagaimana mereka dapat mengumpul modal, berniaga dan
mengadakan perusahaan sehingga menjadi begitu berjaya
sepatutnya dikaji dan dipelajari oleh semua Bumiputera
dan percubaan dibuat untuk meniru dan mengamalkan
pendekatan yang dibuat oleh mereka yang berjaya ini.
11. Saya berpendapat mereka bermula dengan makan gaji.
Kerana kerajinan mereka, mereka menjadi begitu cekap
sehingga gaji mereka naik dengan cepat. Sepanjang masa
mereka menabungkan pendapatan mereka walaupun sedikit
sahaja pada mulanya. Setelah sekian lama tabungan
mereka mencukupi untuk perniagaan kecil atau untuk
kontrak kecil.
12. Kerana mereka cekap dan mereka menunaikan segala
janji mereka dengan tepat dan mengikut jadual, terutama
berkenaan hutang maka mereka lebih dipercayai. Hasil
perniagaan atau kontrak mereka bertambah. Pihak bank
dan pelanggan mereka sanggup memberi pinjaman yang
mereka tetap membayar balik mengikut jadual. Mereka
tidak lokek.
13. Dengan ini perniagaan mereka dapat dibesarkan.
Mereka melayan sesiapa yang menolong mereka dengan
cukup baik. Mereka rela korban kepentingan mereka
supaya orang yang menolong mereka tidak kecewa. Ini
menyebabkan mereka terus diberi pertolongan.
14. Pengurusan perniagaan dan kewangan mereka dibuat
dengan cukup cermat. Mereka tidak berlagak dengan cara
hidup yang mereka tidak mampu membiayai. Sebaliknya
cara hidup mereka lebih rendah daripada yang mereka
mampu. Walau bagaimana kaya dan tinggi kedudukan
mereka dalam perniagaan yang mereka usahakan atau
miliki mereka tetap bekerja kuat, tetap menyelia
sendiri segala urusan perniagaan mereka.
15. Semua peniaga dan pengusaha yang berjaya adalah
seperti mereka yang saya gambarkan ini. Duit yang
mereka perolehi tidak datang dengan mudah. Justeru
itu, mereka amat menghargai pendapatan mereka dan tidak
membazirkannya. Mereka bukan kedekut tetapi mereka
amat cermat dalam mengurus kewangan mereka.
16. Saya yakin jika kita Bumiputera menjadikan mereka
yang berjaya ini sebagai contoh dan kita amalkan apa
yang mereka amal kita tetap berjaya, jika tidak
setinggi mereka, sekurang-kurangnya kita tidak terjebak
dengan masalah hutang yang tidak dapat dibayar, menjadi
muflis dan sebagainya.
17. Kita harus ingat jika kekayaan datang dengan
terlalu mudah, ia juga akan pergi dengan mudah.
Mengatasi pelbagai rintangan dan cabaran dalam mengejar
sesuatu mencanaikan ketajaman kecekapan kita. Apabila
projek dan hutang didapati dengan mudah mereka tidak
akan ada apa-apa pengajaran yang diperolehi. Juga
penghargaan terhadap apa yang diperolehi berkurangan.
Dengan itu tidak ada kecekapan dan tidak terbentuk
sikap yang boleh menolong menjayakan usaha kita
merentasi cabaran-cabaran yang akan datang. Sebaliknya
orang yang tidak bermasalah, apabila berniaga
dibebankan dengan hutang yang tidak dapat dibayar dan
kemungkinan menjadi muflis. Yang dikejar tidak
didapati, yang dikendong berciciran.
18. Cita-cita kita untuk menjadi peniaga atau
kontraktor yang besar dan kaya tidak boleh dibenar
terlalu mempengaruhi kita sehingga kita tidak sabar dan
kita buat apa sahaja untuk mencapai cita-cita ini.
Kita boleh ada cita-cita besar apabila sudah layak
tetapi kita perlu bersabar dan sanggup mengambil masa.
Kata orang tua-tua "biar lambat asal selamat". Tidak
ada nasihat yang lebih baik daripada ini. Kita lihat
orang politik pun akan jatuh tersungkur jika terlalu
gopoh. Ahli perniagaan juga akan mengalami nasib yang
sama jika tidak sabar untuk menjadi kaya. Ingin
menjadi kaya cepatlah yang menyebabkan kita tertipu dan
melabur dalam `pyramid scheme' yang tidak mempunyai
asas perniagaan tetapi bergantung kepada penipuan.
Sebenarnya tidak ada jalan yang mudah untuk menjadi
kaya melalui perniagaan. Menjual lesen atau kawasan
balak yang diperolehi bukan perniagaan. Perniagaan
bermakna menambah nilai kepada apa yang ada kepada kita
supaya perniagaan boleh diteruskan sebagai satu kerjaya
seumur hidup.
19. Saya sedar ramai yang akan berkata tidak perlu
saya ulangi perkara-perkara yang sudah pun kita
ketahui. Sebaliknya Kerajaan hendaklah menubuh dana
baru dan memberi kontrak dan menyekat pihak lain yang
bersaing dengan kita, Bumiputera. Kerajaan boleh buat
semua ini dan Kerajaan telah pun membuat apa sahaja
yang disyor atau didesak oleh Bumiputera. Sebenarnya
jika Kerajaan memberi layanan kepada bukan Bumiputera
seperti yang diberi kepada Bumiputera, mereka akan
menguasai seluruh ekonomi negara dan kaum Bumiputera
akan menjadi pengemis. Hanya dengan tidak memberi
layanan istimewa kepada Bumiputera sahaja pun akan
menyebabkan bukan Bumiputera menguasai sepenuhnya
ekonomi negara. Tetapi yang jelas ialah setelah
mengadakan bermacam-macam dasar, usaha, keutamaan
kepada Bumiputera selama lebih dari 30 tahun, iaitu
sejak 1970, pencapaian Bumiputera amatlah rendah dan
mengecewakan - hanya 19 peratus. Kerajaan sanggup
dikecam, dituduh mengamalkan kronisma, dituduh tidak
adil dan bermacam fitnah dan tohmahan kerana ingin
menolong Bumiputera memperolehi bahagian mereka dalam
ekonomi negara. Tetapi apa gunanya menerima kecaman
jika matlamat mengimbangkan kedudukan ekonomi
Bumiputera dengan bukan Bumiputera tidak tercapai. Dan
dianya tidak tercapai dan tidak akan tercapai kerana
kita tidak ubati penyakit yang sebenar iaitu kelemahan
yang ada pada Bumiputera sendiri. Selagi kelemahan ini
ada segala ubat yang hanya mencerminkan keistimewaan
Bumiputera tidak akan membawa hasil yang disasarkan.
20. Namun Kerajaan tidak akan mengabaikan
tanggungjawabnya terhadap Bumiputera, khusus kepada
Bumiputera di Sabah:-
i) Keutamaan akan terus diberi kepada usahawan-
usahawan Bumiputera Sabah daripada segi pemberian
kontrak-kontrak Kerajaan, dengan syarat ia tidak diali-
babakan;
ii) Kerajaan akan membantu membangun dan
mempertingkatkan lagi program MPPB di Sabah, termasuk
program keusahawanan khusus untuk kaum Wanita;
iii) Kementerian Pendidikan akan bekerjasama rapat
dengan Kementerian Pembangunan Usahawan untuk menambah
bilangan institusi melatih usahawan muda di Sabah;
iv) Institusi pengajian tinggi di Sabah, seperti UMS
dan UiTM, akan mengadakan program latihan jangka pendek
dan jangka panjang keusahawanan, khusus untuk para
pegawai kerajaan dan swasta yang akan bersara, bagi
melatih dan membimbing mereka ke arah menjadi usahawan
IKS;
v) Kementerian Pembangunan Usahawan akan membuat
"feasibility study" di bandar-bandar utama di Sabah,
bagi menjayakan projek "Prosper" iaitu menambah
Bumiputera dalam bidang runcit;
vi) Kementerian Luar Negeri dan Kementerian
Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian
Pembangunan Perindustrian Sabah, akan memainkan peranan
mereka secara agresif bagi mempercepatkan pembangunan
Kawasan Pertumbuhan Asean Timur, BIMP-EAGA untuk
membuka pasaran baru untuk usahawan Bumiputera
tempatan;
vii) Kerajaan akan memperluaskan konsep mentor/mentee,
vendor/vendee, francaisor/francaisee di Sabah bagi
membantu memperkembangkan lagi perniagaan Bumiputera
dalam sektor-sektor pembuatan, pengeluaran peralatan
elektrik dan elektronik, plastik, perabot, petroleum,
tenaga dan telekomunikasi;
21. Dengan ini, adalah diharapkan agar program
pembangunan MPPB di Sabah dapat dipertingkatkan,
sekaligus dapat melahirkan golongan usahawan Bumiputera
kelas menengah, sesuai dengan matlamat kerajaan
mengimbangkan ekonomi Bumiputera dengan bukan
Bumiputera.
22. Usahawan Bumiputera Sabah perlu mengorak langkah
dengan pantas bagi mengejar tempoh waktu yang masih
tertinggal; bangkit dan mempersiapkan diri untuk
berhadapan dengan segala cabaran dan saingan sengit
yang muncul bersama era globalisasi di alaf baru ini.
Di pihak Kerajaan, sama ada negeri mahu pun pusat, kita
akan terus berusaha membantu bagi memastikan
pembangunan MPPB terlaksana dengan jayanya.
23. Semoga Kongres Ekonomi Bumiputera Sabah 2001 ini
akan membuka ruang dan peluang yang baru untuk kita
sama-sama menjayakan matlamat membangun dan memajukan
masyarakat usahawan Bumiputera di Sabah selaras dengan
hasrat kerajaan untuk membentuk golongan usahawan
Bumiputera kelas menengah yang berwibawa, dinamik dan
berpotensi tinggi.
24. Dengan lafaz `Bismillahir rahmanir rahim' saya
dengan ini merasmikan Kongres Ekonomi Bumiputera Sabah
2001.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|