Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : MELALUI RADIO DAN
TELEVISYEN MALAYSIA
Tarikh/Date : 25-03-2001
Tajuk/Title : PERUTUSAN SEMPENA MENYAMBUT MA'AL
HIJRAH 1422
Versi :
Penyampai : PM
Setiap tahun umat Islam di negara kita tidak
pernah ketinggalan menyambut Ma'al Hijrah iaitu bagi
mengenang hari penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. dari
Mekah ke Madinah. Peristiwa itu bukan satu kisah
pengembaraan biasa tetapi satu usaha yang terpaksa
diambil oleh Nabi untuk menyelamatkan agama Islam dan
para pengikutnya daripada penindasan oleh penduduk
Mekah. Rasullullah telah mengambil keputusan untuk
berhijrah setelah mendapati usahanya untuk
mengembangkan agama Islam mendapat tentangan hebat
daripada penduduk Mekah. Penganut agama Islam yang
sedikit itu pula telah ditekan hingga sukar bagi mereka
untuk mengamalkan ajaran-ajaran Islam. Bagi
menyelamatkan agama Islam dan pengikutnya Nabi memilih
untuk berhijrah ke Madinah. Baginda mendapati penduduk
Madinah lebih bersedia menerima agama Islam. Di
Madinah agama Islam telah subur berkembang dan dari
situlah pula ia tersebar luas ke merata wilayah di
dunia termasuk Mekah sendiri. Peristiwa bersejarah itu
telah dijadikan perkiraan bermulanya zaman Islam.
2. Bagi umat Islam, sambutan Ma'al Hijrah bukan
sahaja bagi memperingati peristiwa penghijrahan itu.
Hijrah mempunyai maksud yang lebih luas. Antaranya
hijrah memberi teladan atau pengajaran kepada umat
Islam dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup. Hijrah
bukan bermakna melari atau mengelak daripada masalah,
tetapi mengundur untuk menyediakan diri bagi mengatasi
cabaran. Di Madinah Nabi telah dapat menyediakan umat
Islam untuk mempertahankan Islam dan umat Islam
daripada serangan orang Quraisy musuh Islam. Dengan
pegangan keagamaan yang kuat dan kelengkapan
pertahanan, orang Quraisy ditewaskan dan akhirnya Mekah
ditawan oleh pasukan Islam pimpinan Nabi.
3. Demikian apabila umat Islam berhadapan dengan
masalah atau tekanan, atau godaan nafsu, maka orang
Islam perlu berhijrah iaitu mundur sekejap untuk
menguatkan ketahanan diri dan kembali melawan dan
mengatasi cabaran dan godaan ini.
4. Sambutan Ma'al Hijrah di negara kita tahun ini
adalah bertemakan "Perpaduan Pemangkin Pembangunan
Ummah". Pemilihan tema ini adalah amat bersesuaian
dengan perkembangan semasa di kalangan umat Islam
seluruh dunia dan juga di negara kita. Islam
berkehendakkan umat Islam bersatu padu dan mengelak
daripada perpecahan. Tujuannya tentulah jelas kerana
perpecahan melemahkan tetapi perpaduan menambah
kekuatan. Umat Islam perlu kuat kerana keperluan
menangkis serangan dan tekanan oleh musuh-musuh Islam.
Oleh kerana umat Islam tidak mengendahkan seruan Islam
berkenaan perpaduan maka hari ini orang Islam dan
negara Islam amatlah lemah dan ditindas oleh musuh-
musuh Islam.
5. Sejak dari awal tamadun manusia lagi perpecahan
sering berlaku di kalangan umat Adam. Perpecahan atau
persengketaan berlaku bukan sahaja antara keluarga,
puak atau kaum sendiri malah dengan kaum, bangsa atau
negara lain. Sebab itu sejarah tamadun manusia ini
penuh dengan kisah peperangan, persengketaan,
pembunuhan dan penaklukan wilayah. Berlakunya
perbalahan ini berpunca daripada bermacam sebab
termasuk soal peribadi, maruah, harta, tanah, ekonomi
hinggalah kerana rebutan kuasa atau hanya langkah
strategik atau politik. Walau apa pun puncanya,
persengketaan membawa kerosakan dan kemusnahan kepada
mereka yang terlibat. Tetapi yang lebih buruk lagi
persengketaan, umpamanya dalam peperangan, mangsa
kerapkali terdiri daripada orang yang tidak berdosa.
Semasa Peperangan Dunia Pertama dan Kedua, banyak yang
terbunuh ialah orang awam yang tidak terlibat langsung
dalam percaturan politik negara-negara yang berperang.
Rakyat biasa telah menjadi korban pengeboman dan
pembunuhan beramai-ramai.
6. Pengajaran yang jelas ialah permusuhan antara
manusia tetap membawa keburukan, termasuk pembunuhan
beramai-ramai, kemusnahan harta dan kemiskinan yang
menyeluruh. Pihak yang menang tidak memperolehi lebih
daripada yang kalah. Dalam Peperangan Dunia Kedua yang
menyebabkan hampir 20 juta manusia terbunuh, yang kalah
ialah Jerman dan Jepun. Tetapi selepas perang, kedua-
dua negara ini dapat dipulihkan sehingga menjadi kuasa
ekonomi dunia yang terbesar. Sebaliknya negara yang
menang hari ini lebih miskin daripada negara-negara
yang kalah ini.
7. Contoh-contoh perpecahan dan persengketaan ini
dapat dilihat dengan banyaknya di sekeliling kita
terutama di kalangan umat Islam dan negara-negara
Islam. Apa yang kita saksikan, persengketaan mereka
itu yang kononnya hendak menghapuskan kezaliman dan
lain-lain telah membawa kehancuran dan kemusnahan
kepada rakyat dan negara mereka.
8. Selain itu, kerana tiadanya perpaduan ada negara
Islam seperti Palestin yang terus menjadi mangsa
penganiayaan oleh musuhnya. Sejak Peperangan Dunia
Kedua sehingga ke hari ini masalah Palestin masih tidak
dapat diselesaikan. Puncanya kerana tiadanya perpaduan
dan kekuatan di kalangan ummah dan negara-negara Islam
untuk menolongnya. Banyak negara Islam hidup
bersendirian dan tidak dapat membantu ummah lain kerana
mereka sendiri terpaksa menghadapi pergolakan di dalam
negara akibat perpecahan atau persengketaan sesama
rakyat mereka sendiri.
9. Jelas sekali perpecahan tidak membawa sebarang
keuntungan. Malah ia lebih banyak mendatangkan
kemudaratan. Kita lihat bagaimana di sesetengah negara
luar rakyatnya berbunuhan secara kejam dan ngeri kerana
bersengketa kerana agama atau warna kulit.
Persengketaan ini telah menghancurkan masyarakat di
samping kemusnahan kepada ekonomi dan keselamatan
negara-negara berkenaan. Sebab itu Kerajaan Malaysia
sentiasa berusaha untuk memastikan rakyat negara ini,
khususnya umat Islam sentiasa dapat hidup dalam
bersepadu, aman dan harmoni. Hubungan kaum yang erat
akan memberi jaminan kepada kemajuan sosio-ekonomi dan
keamanan negara. Dan perpaduan sesama umat Islam pula
akan membawa kepada keutuhan ummah dan keteguhan agama
Islam.
10. Bagaimanapun, perkembangan di dalam negara kita
sejak akhir-akhir ini terutama selepas pilihanraya
1999, telah mengunjur ke arah perpecahan. Perpaduan di
kalangan rakyat telah tergugat dan terancam akibat
pelbagai desakan dan tuntutan melampau oleh pihak
tertentu. Begitu juga perpaduan di kalangan umat Islam
turut terjejas kerana penyalahgunaan agama. Perbezaan
ideologi politik tidak semestinya menyebabkan
perpecahan umat Islam. Walaupun negara kita mempunyai
pelbagai parti politik yang ahlinya beragama Islam,
tetapi dalam pengamalan agama Islam tidak harus ada
perpecahan. Sepatutnya kita dapat beribadat bersama
dan, jika ada cabaran terhadap agama Islam, semua orang
Islam daripada apa juga fahaman politik atau sosial
hendaklah rapatkan barisan dan mempertahankan agama
Islam. Tentulah orang Islam dan negara Islam akan
lebih selamat dan lebih berwibawa dengan bersatunya
semua orang Islam.
11. Orang Islam tidak harus sengaja bermusuh dengan
orang bukan Islam yang tidak bermusuh dengan mereka.
Sebaran berita yang tidak berasas dengan tujuan
menimbulkan kemarahan oleh orang Islam kerana kononnya
ramai orang Islam telah dibinasa dan dibunuh bukanlah
caranya melindungi orang Islam. Jika ada orang Islam
yang diserang kerana perkelahian dengan bukan Islam,
orang Islam tidak harus bertindak mengganas terhadap
kaum lain. Kes seperti ini perlu dilaporkan kepada
polis.
12. Jika orang Islam mengambil tindakan dengan
sewenang-wenangnya maka perkara yang kecil akan menjadi
masalah yang besar dan sukar dikawal. Ramai yang tidak
berdosa akan diserang atau dibunuh. Akhirnya tidak ada
sesuatu apa yang akan diperolehi oleh mana-mana pihak.
13. Baru-baru ini berita angin telah disebar dengan
luasnya selepas perkelahian kecil berlaku. Kononnya
ramai orang Islam telah dibunuh. Berita ini tidak
benar sama sekali. Seperti yang dijangka orang yang
tidak ada kena-mengena dengan perkelahian asal telah
diserang, dicedera dan dibunuh, kerap kali di tempat
yang jauh daripada tempat kejadian. Ada tanda-tanda
penyebaran berita angin dan serangan ini disengajakan
oleh pihak tertentu yang ingin melihat rusuhan dan
keganasan berlaku dalam negara kita. Semua ini
memburukkan agama Islam. Orang Islam sepatutnya tidak
bertindak di luar undang-undang. Perbuatan yang
sedemikian tidak menyumbang kepada kebaikan dan
pembangunan agama Islam dan negara Islam. Ia bukanlah
satu hijrah ke arah kebaikan. Ia sebenar adalah
pengembalian kepada cara-cara jahiliah di mana sesuatu
kumpulan bertindak kerana fanatik kepada kaum dengan
tidak mengambilkira baik-buruk apa yang dilakukan oleh
kaum berkenaan.
14. Hari ini orang Islam memang lemah kerana mundur
dalam serba-serbi. Jika kita faham makna berhijrah
kita patutlah berpindah daripada keadaan ini. Untuk
ini kita perlu kikis segala fahaman silap dan budaya
yang menyekat kita daripada berhijrah untuk memperbaiki
keadaan kita. Tidak ada gunanya kita merayakan sesuatu
peristiwa dalam sejarah Islam jika kita tidak mengambil
iktibar daripadanya.
15. Penghijrahan Nabi Besar kita jelas menunjukkan
kesanggupan Nabi menukar kehidupan Baginda secara
radikal, iaitu meninggalkan rumah tangga dan tempat
bermastautinnya untuk menjayakan perkembangan Islam.
16. Seperti yang kita semua maklum penghijrahan ini
berjaya mengembangkan Islam dan mendirikan sebuah
negara yang kukuh dan kuat di Madinah yang akhirnya
menjadi pusat perkembangan Islam di seluruh Semenanjung
Arab dan seterusnya seluruh dunia. Soalnya ialah
apakah kita sanggup berhijrah daripada kejahilan kita
sekarang yang menyebabkan kita menjadi lemah kepada
ajaran Islam yang sebenar yang telah memberi begitu
besar kejayaan pada Nabi?
17. Ingatlah segala yang buruk itu datang daripada
kita dan segala kebaikan datang daripada Allah juga.
Jika hari ini keadaan kita begitu lemah dan buruk
sehingga kita ditindas sepanjang masa, sebabnya
tentulah kerana kesalahan kita. Jika kita benar-benar
mengamalkan ajaran Islam, agama di sisi Allah, sudah
tentu kita akan memperolehi kebahagiaan dan kemuliaan.
Tetapi ramai yang menyalahtafsirkan Islam untuk
menghalalkan perbuatan mereka. Dan apabila hasilnya
ialah keburukan mereka sering menyalahkan orang lain
yang mereka dakwa sebagai tidak Islam.
18. Sempena sambutan Ma'al Hijrah ini, eloklah kita
memperbaharui azam kita untuk memperbaiki dan mengubah
nasib kita ke arah yang lebih baik, ke arah kemajuan,
kejayaan dan yang amat penting perpaduan di antara
kita. Dengan perpaduan yang erat ini dapatlah kita
membangun dan memajukan lagi negara kita supaya dapat
kita menggerunkan musuh-musuh kita, insya-Allah.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|