Oleh/By  	:	DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue	:	TAMAN TEKNOLOGI MALAYSIA
Tarikh/Date	:	12-04-2001
Tajuk/Title 	:	MAJLIS PELANCARAN RASMI BAHAN 
			TAMPALAN GIGI TERKINI 
			(SILVERFIL) SYARIKAT DUNIA 
			PERWIRA SDN. BHD
Versi 		:	
Penyampai	:  	PM



      Saya   mengucapkan   terima  kasih   kepada   pihak
   Syarikat  Dunia Perwira Sdn. Bhd. kerana menjemput  saya
   bagi    melancarkan   Bahan   Tampalan   Gigi    Terkini
   (Silverfil) pada hari ini.
   
   2.    Saya  berasa bangga dan mengucapkan syabas  kepada
   Dr.  Radhakrishnan yang merupakan penyelidik bagi produk
   ini  dan syarikat Dunia Perwira yang memberikan sokongan
   kewangan   dan  moral  dalam  usaha  penyelidikan   bagi
   menghasilkan  satu produk tampalan gigi  yang  unik  dan
   terkini.  Kejayaan ini membuktikan rakyat Malaysia  juga
   berkemampuan  dan  berjaya  menghasilkan   satu   produk
   berteknologi tinggi di bawah kategori bioteknologi  yang
   berasaskan R&D.
   
   3.    Adalah  difahamkan bahawa silverfil yang  terhasil
   daripada  penyelidikan selama tujuh tahun ini  merupakan
   produk  unggul  yang  masih belum ditemui  di  mana-mana
   negara  di  dunia.  Sehingga  kini  tampalan  gigi  yang
   digunakan  di  seluruh  dunia adalah  mengandungi  bahan
   campuran perak, timah dan tembaga. Namun silverfil  yang
   dicipta  oleh  syarikat tempatan  ini  cuma  menggunakan
   perak  sahaja  dan bahan `reactive' yang terhasil  telah
   dapat   menyerap  keseluruhan  raksa  semasa  membancuh.
   Ternyata  silverfil  telah  dapat  mengurangkan   risiko
   kesan   raksa   yang  mendatangkan  kemudaratan   kepada
   manusia  khususnya ibu yang mengandung.  Apa yang  lebih
   membanggakan  adalah  hasil  ciptaan  ini   juga   telah
   menerima  `patent  rights'  daripada  sebilangan   besar
   negara  maju seperti Amerika Syarikat, Australia,  Jepun
   dan negara-negara Eropah.
   
   4.    Usaha  ke arah mewujudkan hasil produk  berasaskan
   R&D  seumpama  ini adalah selaras dengan dasar  Kerajaan
   yang  menggalakkan anak-anak tempatan mencari  penemuan-
   penemuan  baru  atau  menambah nilai bagi  produk-produk
   keluaran  lama.  Dengan itu produk tempatan  akan  dapat
   bersaing  dengan produk-produk asing di pasaran  terbuka
   dan  antarabangsa.   Kerajaan  sedar  penglibatan  pihak
   swasta  serta  Kerajaan sendiri dalam menjalankan  usaha
   penyelidikan dan pembangunan masih berada di tahap  yang
   rendah.  Sebagai sebuah negara yang hendak melangkah  ke
   era  maju, semua pihak harus memberi keutamaan dalam R&D
   bagi meningkatkan mutu keluaran produk tempatan.
   
   5.     Bagaimanapun,  pelbagai usaha telah  dilaksanakan
   oleh  Kerajaan  ke  arah itu melalui program-program  di
   bawah  `The  Intensification  of  Research  in  Priority
   Areas'   (IRPA),  mewujudkan  Majlis  Penyelidikan   dan
   Kemajuan    Sains    Negara   (MPKSN),    memperkemaskan
   agensi-agensi dan institusi-institusi R&D bagi  meliputi
   bidang  penyelidikan yang lebih luas serta  menggalakkan
   aktiviti  penyelidikan  dan pembangunan  bersama  antara
   sektor   swasta,   institusi  penyelidikan   dan   pihak
   universiti,  mewujudkan Taman Teknologi Malaysia,  MIGHT
   serta  Jawatankuasa Kerja Sains dan Teknologi  di  bawah
   MTEN dan MAPEN II.
   
   6.     Seperti yang tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum
   selain  daripada usaha-usaha  yang disebutkan,  Kerajaan
   melalui   beberapa   Kementerian   dan   agensi    telah
   menyediakan  pelbagai  program,  insentif  dan   bantuan
   kewangan  bagi menggalakkan aktiviti R&D dan  juga  bagi
   meningkatkan  kemahiran  guna  tenaga  dalam  R&D.    Di
   samping   itu  terdapat  juga  insentif  untuk   Hi-Tech
   Industries,  Tabung IRPA, Skim Geran R&D  bagi  Industri
   (IGS),  Sekim Geran R&D bagi Multimedia Super  Corridor,
   Tabung   Bantuan  Teknikal  Perindustrian  (ITAF)   juga
   Tabung   Pembangunan  Tenaga  Manusia  bagi  Sains   dan
   Teknologi.
   
   7.      Kerajaan  juga  menyediakan  kemudahan  `venture
   capital' bagi mewujudkan persekitaran yang sesuai  untuk
   meningkatkan   lagi  aktiviti  R&D  melalui   `Malaysian
   Technology   Development   Corporation'   (MTDC)    yang
   merupakan  sebuah syarikat usahasama di antara  Kerajaan
   dan  sektor  swasta  bagi  mempertingkatkan  usaha-usaha
   untuk memperdagangkan hasil-hasil penyelidikan.
   
   8.     Di  dalam  usaha untuk membangunkan  usahawan  di
   bidang   teknologi,  Kementerian  Pembangunan   Usahawan
   telah  diberi  tanggungjawab untuk melaksanakan  program
   yang    menjurus    kepada   pewujudan    lebih    ramai
   `technopreneur'   di   kalangan   usahawan   Bumiputera.
   Antara  program  yang sedang dilaksanakan  ke  arah  ini
   adalah  Program  Menemukan Usahawan dan Teknologi,  juga
   Program  Pembangunan `Technopreneur'  Bumiputera.   Bagi
   menggalakkan   penyertaan  usahawan   Bumiputera   dalam
   bidang  teknologi  tinggi,  pada  tahun  lalu,  Kerajaan
   telah  meluluskan peruntukan pinjaman Dana Modal  Teroka
   Berteknologi  Tinggi  sebanyak  20  juta  Ringgit   yang
   diletakkan  di  bawah  Kementerian Pembangunan  Usahawan
   dan    dilaksanakan    oleh   Bank    Pembangunan    dan
   Infrastruktur   Malaysia  Berhad  (BPIMB).    Dana   ini
   penting  dalam membantu usahawan Bumiputera  mendapatkan
   sokongan  modal  teroka  untuk mengembangkan  perniagaan
   dan    meningkatkan   penyertaan   dalam   bidang-bidang
   teknologi tinggi.
   
   
   10.     Bagi  membantu  mengekalkan  daya  saing   dalam
   menghadapi  cabaran  akan  datang,  pelbagai  pendekatan
   perlu   dilaksanakan   dengan   memberi   fokus   kepada
   program-program  berbentuk  inovatif.   Ianya  bertujuan
   untuk  menggalakkan aktiviti R&D di kalangan MNCs,  juga
   firma    tempatan   bagi   mempertingkatkan    keupayaan
   teknologi  yang  akhirnya dapat  membangunkan  teknologi
   tempatan.      Dalam   hubungan   ini   juga,    peranan
   institusi-institusi   penyelidikan    dan    pihak-pihak
   universiti,    amat   penting   dalam   mempertingkatkan
   kegiatan  penyelidikan  yang  berorientasikan  pemasaran
   yang    dapat    diperdagangkan.    Adalah    diharapkan
   pihak-pihak  universiti dapat melatih para pelajar  bagi
   melengkapkan  mereka sebagai bakal guna tenaga  teknikal
   yang  dapat  meneruskan kegiatan pembangunan  teknologi,
   R&D  dan menampung keperluan guna tenaga mahir yang amat
   diperlukan  di  sektor-sektor  industri  negara.   Lebih
   daripada itu para graduan daripada bidang teknologi  ini
   kelak  diharapkan  akan  menjadi  `technopreneur'   yang
   dapat  menyumbang  kepada  pembangunan  ekonomi  negara.
   Namun  semua  harus  ingat bahawa pengetahuan  berkenaan
   teknologi  tanpa  kecekapan penyusunan perniagaan  tidak
   akan menjayakan penglibatan dalam perdagangan.
   
   11.      Wawasan    untuk   menjadi   Malaysia    negara
   perindustrian  yang  maju tidak akan tercapai  sekiranya
   kita  tidak  mempunyai tenaga penggerak  yang  mencukupi
   bagi  merealisasikan wawasan itu. Keperluan  menyediakan
   guna  tenaga  teknikal, berpengalaman  dan  berkemahiran
   yang  ramai  kian  kritikal dengan perkembangan  ekonomi
   negara  yang begitu pantas di alaf baru dan globalisasi,
   di  mana negara perlu bersaing dengan negara-negara lain
   di  dunia  yang semakin kompetitif.  Justeru  itu  perlu
   disemaikan   pada  setiap  rakyat  negara  ini   tentang
   pentingnya  minat  terhadap  sains  dan  teknologi   dan
   mempunyai   budaya  mencipta  agar  dapat   turut   sama
   membangunkan Malaysia sebagai negara perindustrian  yang
   maju menjelang tahun 2020.
   
   12.    Di  pihak  usahawan pula,  saya  berharap  konsep
   `paradigm  shift'  perlulah dihayati  sepenuhnya.   Para
   usahawan  Malaysia perlu peka terhadap perubahan  sistem
   ekonomi  dunia  dengan  mengorak langkah  untuk  mencari
   pasaran  luar  selain dari pasaran  tempatan.   Usahawan
   perlu   sedar   dunia  adalah  pasaran  kita   sekarang.
   Usahawan  yang  berwibawa seharusnya  dapat  mengekalkan
   sikap  komited, berinovasi dan melaksanakan  pembaharuan
   yang  berterusan.   Komitmen untuk  mengeluarkan  produk
   yang  berinovasi perlulah mencapai kualiti  tinggi  yang
   dapat memenuhi kehendak pengguna.
   
   13.     Dalam   hubungan   ini,   usaha   inovatif   Dr.
   Radhakrishnan  dan  Syarikat  Dunia  Perwira  Sdn.  Bhd.
   dalam  bidang penciptaan produk bioteknologi  berasaskan
   R&D   seumpama  ini  amatlah  membanggakan  dan   adalah
   diharapkan  syarikat-syarikat lain akan turut  mengambil
   langkah  yang serupa bagi menyemarakkan lagi budaya  R&D
   ini.   Adalah  diharapkan supaya  pihak  syarikat  dapat
   memaksimakan  penggunaan sumber-sumber yang  ada  dengan
   melaksanakan   pengkhususan   kerja   dengan    melantik
   syarikat  lain  untuk  mengeluar dan  memasarkan  produk
   ini.   Melalui   pendekatan  ini  pihak  syarikat   yang
   mempunyai  kepakaran di bidang penyelidikan dapat  terus
   menjalankan  penyelidikan bagi banyak  lagi  produk  dan
   pada  masa  yang  sama  penemuan yang  dihasilkan  dapat
   dikomersialkan  dan  dipasarkan oleh  syarikat  lain  ke
   seluruh negara termasuk pasaran dunia.
   
   14.    Sebelum  mengakhiri ucapan ini saya  sekali  lagi
   mengucapkan  selamat maju jaya kepada Dr.  Radhakrishnan
   dan  Syarikat  Dunia  Perwira Sdn.  Bhd.,  semoga  terus
   mempertingkatkan  usaha  mencipta  produk   berteknologi
   tinggi  berasaskan  R&D  dan  semoga  mencapai  matlamat
   seperti  yang  telah dirancangkan oleh syarikat.  Adalah
   diharapkan   Syarikat  Dunia  Perwira  Sdn.   Bhd.   dan
   syarikat-syarikat    lain   di   negara    kita    dapat
   memanfaatkan  segala  kemudahan  yang  disediakan   oleh
   Kerajaan   melalui   pelbagai   agensinya   demi   untuk
   membangunkan perniagaan dan meningkatkan usaha  ke  arah
   pembangunan industri berasaskan teknologi dan R&D.
   
   15.  Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Pelancaran
   Bahan Tampalan Gigi Terkini (Silverfil) oleh Syarikat Dunia
   Perwira Sdn. Bhd.
 

   Sumber : Pejabat Perdana Menteri

Download Teks Ucapan
                                          


 
Google