Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : INSTITUT AMINUDDIN BAKI,
GENTING HIGHLANDS
Tarikh/Date : 19-04-2001
Tajuk/Title : MAJLIS KONVENSYEN PERDANA
PENDIDIKAN KEBANGSAAN 2001
Versi :
Penyampai : PM
" KECEMERLANGAN KEPIMPINAN PENDIDIKAN ASAS KEJAYAAN WAWASAN "
Alhamdulillah kita bersyukur ke hadrat Allah S.W.T.
kerana dengan izin dan hidayah-Nya, kita dapat bersama dalam
dewan ini untuk menjayakan Majlis Konvensyen Perdana
Pendidikan Kebangsaan yang julung-julung kali diadakan. Saya
ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan
dan terima kasih kepada pihak penganjur kerana memberi
peluang untuk saya hadir bersama dalam himpunan besar
komuniti guru bagi mencetuskan wacana tentang pendidikan
negara.
2. Pendidik memainkan peranan yang amat penting dalam
pembentukan generasi yang akan mengambilalih daripada
generasi semasa. Pendidik bukan sahaja dipertanggungjawab
untuk membekal generasi baru dengan ilmu pengetahuan tetapi
juga untuk menyemai nilai-nilai hidup yang boleh menentukan
jaya atau tidaknya masyarakat dan bangsa. Jika nilai-nilai
yang disemai itu buruk maka buruklah masyarakat dan jika
murni maka akan berjayalah masyarakat. Jika budaya iaitu
jumlah nilai-nilai yang diamalkan oleh sesuatu masyarakat
itu tidak sesuai dengan kemajuan, penyemaian nilai-nilai
yang sesuai oleh pendidik boleh memulih dan memajukan
masyarakat itu semula.
3. Ilmu pengetahuan tanpa nilai-nilai yang mulia belum
tentu dapat melahirkan masyarakat yang baik dan berjaya.
Nilai-nilai yang mulia tanpa ilmu pengetahuan juga tidak
akan melahirkan masyarakat yang berjaya.
4. Memang benar ibubapa juga bertanggungjawab untuk
menyemai nilai-nilai hidup yang baik. Tetapi ibubapa
mungkin tidak terlatih sama ada berkenaan dengan nilai-nilai
yang patut menjadi pilihan ataupun dengan cara-cara yang
berkesan untuk menyemainya. Sebaliknya pendidik adalah
orang yang terlatih dan mereka terlibat dengan pembentukan
peribadi murid dan penuntut dalam jangka waktu yang lebih
panjang, sewaktu umur murid dan penuntut lebih
`impressionable' iaitu umur di waktu mana persepsi dan
penerimaan pengaruh-pengaruh adalah terbuka.
5. Justeru itu pendidiklah yang lebih bertanggungjawab
untuk membentuk generasi baru yang lebih berpengetahuan dan
berperibadi yang sesuai dengan kejayaan.
6. Bagi masyarakat yang sudah pun memiliki budaya yang
sesuai dengan kemajuan, perkembangan budaya ini tidak
menjadi masalah. Pendidik yang lahir dan membesar dalam
masyarakat ini sudah tentu telah menerap budaya yang sesuai.
Tetapi jika sesuatu masyarakat itu tidak mempunyai budaya
yang sesuai, pengembangan budaya baru yang lebih sesuai
perlu diusaha secara sengaja dengan melatih dan menyebar
nilai-nilai yang baik kepada pendidik terlebih dahulu. Jika
pendidik sudah terima dan menerap budaya baru ini dan
dilatih secara khusus untuk menyemaikannya di kalangan murid
dan pelajar, maka proses membentuk budaya baru yang sesuai
dengan kemajuan boleh dilaksanakan dengan berkesan oleh
pendidik.
7. Dalam dunia terdapat bangsa yang maju, bangsa yang
kurang maju dan bangsa yang daif. Perbezaan di antara
kemajuan bangsa-bangsa ini berpunca daripada nilai-nilai
hidup, iaitu budaya yang dipegang dan diamal oleh bangsa-
bangsa berkenaan. Sumber alam yang kaya, cuaca yang segar,
faktor geografi dan lain-lain tidak mempunyai kesan seperti
budaya. Sebab itu di negara yang sama, bangsa yang
berlainan, iaitu berbudaya yang berlainan, mencapai kemajuan
yang berbeza. Bangsa yang sama juga, jika berpegang kepada
nilai yang berlainan tidak akan sama kemajuan mereka.
8. Di Malaysia budaya Melayu dan budaya Cina amat ketara
perbezaannya. Sementara budaya Cina memberi penghargaan
yang amat tinggi kepada penguasaan ilmu pengetahuan, budaya
Melayu tidak begitu menghargai ilmu. Kita lihat anak-anak
Melayu walaupun diberi peluang tidak menuntut sekuat anak
Cina. Justeru itu prestasi anak Melayu dan anak Cina
berbeza secara ketara. Bukanlah anak Melayu mempunyai otak
yang kurang baik. Daripada segi kecerdasan otak Cina atau
Melayu atau orang putih lebih kurang sama sahaja. Tetapi
budaya Cina begitu kuat menekan tuntutan ilmu sehingga
mereka dan ibubapa mereka menumpu bersungguh-sungguh kepada
mempelajari ilmu oleh anak-anak mereka. Ramai daripada
mereka mengorbankan sebahagian besar daripada pendapatan
mereka untuk membiayai pelajaran anak. Ada juga ibubapa
Melayu yang berbuat demikian tetapi bilangan mereka tidak
ramai.
9. Selain daripada itu orang Cina menerap nilai-nilai yang
diajar oleh Confucius dalam urusan hidup mereka. Nilai-
nilai ini mempunyai banyak yang ditafsir sebagai nilai murni
dan membantu pemilikan sikap yang menjayakan urusan hidup
mereka. Agama Islam memberi lebih banyak panduan akan nilai
hidup kita sebagai orang Islam tetapi majoriti daripada kita
tidak mengamalkannya. Orang Islam disuruh menuntut ilmu
sehingga ke negeri China tetapi kita orang Melayu tidak
sanggup bersusah-payah untuk menghadapi cabaran seperti yang
perlu dihadapi oleh orang Islam di zaman Nabi jika mereka
ingin menuntut ilmu di negara China. Penuntut Melayu tidak
pun belajar dengan bersungguh-sungguh setelah menerima
pelbagai jenis bantuan dan kemudahan. Sebab itu kita
bermasalah untuk memasuki 55 peratus anak Melayu ke
universiti kerana kelulusan yang tidak cukup tinggi.
Kerapkali ramai anak Cina yang lebih layak terpaksa ditolak.
Prestasi anak Melayu di universiti tidak sebegitu baik
kerana setelah dimasukkan ke universiti mereka tidak
menumpukan sepenuh masa dan tenaga kepada mempelajari ilmu
tetapi sebaliknya mereka melibatkan diri dengan kegiatan-
kegiatan lain.
10. Pendedahan ini mungkin menyakitkan hati pihak tertentu
tetapi perbezaan budaya di antara Cina dan Melayulah yang
menyebabkan Dasar Ekonomi Baru sukar dicapai. Kerana ingin
kaya cepat, saham, lesen, permit, kawasan balak dan lain-
lain lagi dijual dengan segera kepada orang lain. Walaupun
orang lain ini terpaksa tanggung kos pembelian kawasan ini,
mereka masih boleh untung dan berjaya.
11. Jika kita ingin mengimbangkan prestasi kaum-kaum di
Malaysia nilai hidup dan budaya yang menghalang pencapaian
kemajuan perlu dikikis. Bagi anak Melayu mereka perlu
diperkenalkan dan diasuh dengan nilai-nilai Islam yang
semuanya murni. Tidak ada sesuatu yang disuruh oleh agama
Islam yang akan merugikan kita jika kita tidak sengaja
menyalahtafsir ajaran Islam. Umpamanya perjanjian mesti
ditulis dan menjadi tanggungjawab orang Islam untuk
menunaikan janji ini. Jika dibuat janji mulutpun ikatannya
dianggap sama kuat dan merupakan ikrar yang mesti
ditunaikan. Tetapi ramai orang Islam yang mungkir janji
tanpa rasa bersalah. Kerana tidak berpegang kepada ajaran
Islam maka pencapaian orang Melayu tidaklah seperti yang
sepatutnya.
12. Pendidik bukan sahaja bertanggungjawab untuk
menyampai ilmu kepada murid dan penuntut. Pendidik juga
bertanggungjawab untuk membentuk peribadi yang mulia yang
boleh berjaya di samping memberi tekanan kepada soal nilai
hidup yang mulia dan budaya yang sesuai dengan kejayaan.
Dengan perkataan lain pendidik menentukan jaya atau tidaknya
sesuatu bangsa, sesuatu negara, sesuatu tamadun.
13. Mungkin peranan ini yang diletak di bahu pendidik
dianggap terlalu berat. Tetapi hakikatnya faktor-faktor
lain yang mempengaruhi pembentukan peribadi rakyat sesebuah
negara, seperti didikan ibubapa, budaya yang sedia ada yang
diamalkan oleh rakyat negara, amalan agama sebangsa serta
persekitaran tidak memberi kesan seperti peranan pendidik.
Lagipun jika perubahan hendak dibuat kepada budaya bangsa,
pendidiklah yang perlu memainkan peranan utama. Di Malaysia
kita tahu jika kita ingin mengimbangkan kejayaan orang
Melayu dengan bangsa-bangsa yang maju di dunia, maka
perubahan nilai hidup dan budaya mesti diusahakan di
kalangan anak-anak Melayu. Mereka perlu diasuh dengan nilai-
nilai Islam yang sebenar, bukan yang sengaja dikembangkan
sekarang oleh pihak yang mempunyai kepentingan lain.
Sebenarnya di waktu ini nilai dan budaya yang dikembangkan
di kalangan pelajar kita adalah lebih buruk dari dahulu.
Sebab itu walaupun mereka memperolehi ilmu, sumbangan mereka
kepada pembangunan masyarakat tidak begitu baik.
14. Justeru itu amat penting sekali pendidik sendiri
dilatih dalam bidang penyebaran nilai dan budaya kepada
pelajar di bawah mereka. Tetapi bagaimanakah nilai dan
budaya ini akan diketahui oleh pendidik? Untuk ini maka
pensyarah dalam kolej-kolej perguruan perlulah dilengkapi
dengan pengetahuan berkenaan peranan budaya dan nilai hidup
dalam menentukan jaya atau tidaknya sesuatu bangsa.
Pengetua dan pensyarah kolej perguruan perlu menyampaikan
kepada bakal guru akan nilai-nilai yang hendak diterapkan
dan budaya yang hendak dibentuk. Pengetua dan pensyarah
perlu diberitahu dan dilengkapi dengan segala-gala yang
dianggap penting untuk disampaikan kepada guru pelatih.
Dengan itu maka pendidik yang mendidik anak-anak kita akan
berjaya menyemaikan nilai-nilai yang mulia di kalangan
warganegara akan datang dan membentuk budaya yang sesuai
dengan kejayaan bangsa.
15. Peranan yang perlu dimainkan oleh pendidik dalam
pembentukan peribadi yang mulia dan budaya yang boleh
membawa kejayaan tidak kurang pentingnya berbanding dengan
penyampaian pelbagai ilmu kepada murid dan penuntut. Ini
adalah kerana ilmu yang diperolehi boleh disalahgunakan.
Orang yang berpengetahuan dan cerdik boleh menjadi
penjenayah yang lebih cekap. Kesan perbuatan mereka tentu
lebih buruk kerana mereka berilmu.
16. Demikian jika kerana kelulusan tinggi mereka maka
mereka memegang jawatan yang tinggi tanpa dikawal oleh nilai-
nilai murni, mereka mungkin akan menyalahgunakan kuasa
mereka seperti terlibat dengan rasuah. Sebaliknya mengawal
nafsu dan diri lebih mudah dilakukan apabila seseorang itu
memiliki nilai hidup yang baik. Pegawai akan dapat
memperingati diri akan keburukan jenayah yang hendak
dilakukan, akan balasan yang akan diterima dan lebih penting
lagi ialah perasaan malu dan tidak senang hati apabila
terlibat dengan jenayah.
17. Sama ada sesebuah negara dipenuhi dengan rakyat yang
berilmu bergantung kepada pendidik di berbagai-bagai
peringkat. Dahulu kita berpendapat bahawa pelajaran dan
penerapan ilmu adalah sesuatu yang dibuat semasa kecil.
Apabila dewasa kita berhenti belajar kerana kita akan
bekerja untuk menyara hidup. Hari ini proses mempelajari
dan menguasai ilmu tidak terhad kepada masa kecil atau
sebagai remaja. Pembelajaran ilmu adalah proses berterusan
yang tidak boleh dihentikan. Selain daripada itu ilmu yang
dituntut perlu mempunyai kaitan yang rapat dengan kerja yang
hendak dibuat.
18. Dahulu kelulusan dalam bidang sastera dianggap
melayakkan seseorang untuk membuat apa sahaja kerja; menjadi
pentadbir, pengurus, pekerja mahir dan bermacam-macam lagi.
Hari ini setelah mendapat pelajaran asas yang umum,
pelajaran dan latihan yang khusus perlu dibuat sebelum
seseorang dianggap layak untuk membuat kerja tertentu.
Semakin lama pengkhususan menjadi semakin tepat.
19. Pendidik memainkan peranan di semua peringkat.
Pendidik yang terlatih dan cekap dapat memindahkan ilmu
dengan berkesan kepada pelajar. Oleh kerana bidang
pelajaran sudah menjadi lebih khusus dan tepat pendidik juga
perlu memiliki ilmu yang sama tepat. Walaupun pelajaran
seumur hidup tidak formal dan tidak memerlukan pendidik,
namun penyediaan bahan dan teks tetap bergantung kepada
pendidik yang terlatih dalam bidang berkenaan.
20. Yang jelas ialah di zaman ini peranan pendidik
semakin bertambah dan semakin luas apabila pelajaran jarak
jauh berkembang dengan lebih pesat. Permintaan untuk
pendidik tentulah meningkat dan ini bermakna profesion
pendidik dapat sekali lagi menjadi karier yang amat menarik.
Justeru itu pendidik di semua peringkat perlu membuat
persediaan untuk mengguna teknologi baru seperti komputer,
CD dan Internet untuk memperluaskan liputan pengajaran yang
boleh dibuat oleh mereka.
21. Sepertimana kita tahu Malaysia telah menyediakan
infrastruktur yang canggih untuk multimedia dan zaman
maklumat. Untuk menyampaikan ilmu kepada seberapa ramai
penuntut melalui pengajaran jarak jauh teknik baru perlu
diteroka. Ini melibatkan penyediaan `software' yang dapat
memudahkan pembelajaran, umpamanya penggunaan gambar tiga
dimensi, `computer animation', dialog antara pendidik dengan
pelajar, penilaian prestasi, pakej pelajaran pelbagai ilmu
dan seribu satu lagi cara yang memudahkan penerapan ilmu
oleh semua pelajar walaupun I.Q. mereka tidak begitu tinggi.
Sebenarnya semua orang dapat menambah ilmu pengetahuan
mereka, termasuk dalam bidang yang relevan kepada kerja dan
tugas mereka melalui kemudahan komputer dan `software' yang
semakin banyak dan semakin canggih.
22. Zaman maklumat dan teknologi komunikasi membuka peluang
yang luas kepada pendidik. Mereka tidak lagi terhad kepada
bilik darjah. Dalam sekolah sekalipun ada kemungkinan
seorang pendidik mengajar pelajar dalam dua atau tiga bilik
darjah dalam matapelajaran yang berlainan tetapi di masa
yang sama. Sekolah bistari yang telah disediakan oleh
Kerajaan bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan pelajar
dalam penggunaan komputer dan alatan canggih yang lain
tetapi juga akan memberi peluang kepada guru meneroka dan
mencipta cara-cara baru mengajar yang lebih berkesan
daripada cara yang telah diperkenalkan melalui `software'
yang sedia ada. Tidak ada had kepada kebolehan komputer
dalam mempermudahkan segala proses termasuklah proses
mendidik dan mengembangkan ilmu di kalangan pelajar sama ada
yang memang pintar ataupun yang kurang cerdik atau pandai.
Zaman maklumat akan mewujudkan masyarakat yang lebih
berpengetahuan dan lebih bijak. Dan pendidik akan memainkan
peranan utama dalam pembentukan masyarakat yang berilmu ini.
23. Bagi Malaysia matlamat atau sasaran kita sudah pun
ditentukan. Kita ingin menjadi negara maju menjelang tahun
2020. Untuk mencapai wawasan ini kita perlu kepada rakyat
yang lebih produktif, yang mampu bersaing dengan bangsa-
bangsa lain di dunia. Apakah mungkin kita kejar matlamat
ini sedangkan sasaran ini sering berubah? Di waktu kita
menyuarakan buat pertama kali Wawasan 2020, kita masih lagi
berada di zaman industri. Kita yakin kita boleh menguasai
segala ilmu dan teknik untuk menjadikan negara kita sebuah
negara industri yang mampu mengeluarkan apa sahaja barang
buatan.
24. Tetapi hari ini kita berhadapan dengan paradigma baru,
iaitu negara yang maju perlu menguasai teknologi dan
penggunaan maklumat secara yang boleh meningkatkan
produktiviti. Untuk ini kita perlu menguasai ilmu-ilmu yang
baru diperkenalkan, bahkan kita perlu mencipta ilmu yang
baru. Sasaran kita sudah berubah dan berubah secara
radikal.
25. Wawasan 2020 yang kita bayangkan pada tahun 1991 tidak
sama dengan Wawasan 2020 yang dapat kita gambarkan hari ini.
Mungkin juga ia akan berubah lagi dalam jangkamasa 20 tahun
sebelum tiba tahun 2020. Rakyat Malaysia di semua peningkat
perlu sedar akan hakikat ini untuk menangani sasaran yang
sering berubah-ubah ini.
26. Sama ada kita berjaya atau tidak bergantung kepada
banyak faktor, antaranya ialah kemampuan kita menerap dan
mempergunakan ilmu untuk meningkat daya pengeluaran dan daya
saing kita. Jika kepimpinan pendidik kita berwibawa dan
sanggup menghadapi cabaran yang akan datang ini, jika mereka
bersedia meningkatkan ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh
mereka dan cekap pula dalam mendidik pelajar seumur hidup,
maka kita masih boleh mencapai wawasan kita.
27. Kesanggupan generasi yang akan berusaha ke arah Wawasan
2020 bergantung kepada budaya yang dibentuk oleh pendidikan
semasa. Jika budaya ini sesuai dengan menangani cabaran
dunia alaf baru yang bukan sahaja memperlihatkan teknologi
yang canggih menjadi bertambah canggih, tetapi juga cabaran
globalisasi serta kegelisahan dan pergolakan politik dalam
dan luar negeri, jika budaya yang dibentuk hasil usaha
pendidik sekarang sesuai dengan cabaran-cabaran baru, insya-
Allah kita akan berjaya mencapai Wawasan 2020.
28. Ternampak jelas bahawa kepimpinan pendidik amatlah
penting untuk kita mencapai Wawasan 2020. Kerajaan akan
berusaha bersungguh-sungguh untuk membekalkan negara dengan
kepimpinan pendidikan yang berkemampuan. Peluang untuk
pendidik meningkatkan keupayaan mereka akan disediakan di
semua peringkat. Kita harap negara kita terus stabil dan
maju supaya upahan kepada pendidik dapat diperbaiki selaras
dengan peranan yang akan dimainkan oleh mereka.
29. Sesungguhnya Wawasan 2020 banyak bergantung kepada
kualiti rakyat hasil daripada pendidikan mereka. Adalah
diharapkan tidak ada sesiapa yang akan mengganggu usaha
murni kita kerana mereka tidak suka kepada ilmu-ilmu baru
yang diperkenalkan, yang mungkin dianggap oleh mereka
sebagai sekular dan sebagainya.
30. Orang Islam telah terlepas peluang Revolusi
Perindustrian. Janganlah orang Melayu di Malaysia sengaja
melepaskan peluang dari Revolusi Maklumat. Jika kita
terlepas kali ini, tidak mungkin lagi kita dapat mengejar
kemajuan. Kita akan terus ditindas dan ditakluk oleh bangsa-
bangsa yang akan menguasai teknologi dan maklumat alaf baru
ini. Kita akan dijajah semula.
31. Akhirnya di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan
setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua bagi
merealisasikan wacana intelektual pendidikan melalui
konvensyen yang bermakna ini. Saya berharap usaha yang
memberi manfaat bagi tuan-tuan dan puan-puan para pendidik
sekalian akan diteruskan.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
Download Teks Ucapan
|