home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
>pre> Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : DEWAN RAKYAT Tarikh/Date : 23-04-2001 Tajuk/Title : PEMBENTANGAN USUL MENGENAI RANCANGAN MALAYSIA KELAPAN Versi : Penyampai : PM Dengan sukacitanya saya berdiri di Dewan yang mulia ini untuk mengemukakan satu usul seperti berikut: "Bahawa Dewan ini, menyedari akan pemulihan ekonomi dan pencapaian matlamat sosioekonomi semasa pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketujuh; merestui usaha Kerajaan bagi melaksanakan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga; meluluskan Rancangan Malaysia Kelapan yang bertujuan melaksanakan strategi dan program serta menyediakan peruntukan bagi mencapai matlamat dan hasrat Dasar Wawasan Negara seperti yang dibentangkan dalam Kertas Perintah Bil. 12 Tahun 2001; Bahawa dalam meluluskan Rancangan Malaysia Kelapan, Dewan yang mulia ini menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bersatu padu dengan semangat dan iltizam baru bagi melaksanakan tanggungjawab yang murni untuk membina sebuah negara yang progresif dan berdaya tahan." 2. Dengan izin Tuan Yang Di Pertua, saya membentangkan Rancangan Malaysia Kelapan bagi tempoh 2001-2005 untuk dibahaskan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini. 3. Beberapa minggu yang lepas, saya telah membentangkan di Dewan ini Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) 2001-2010 yang mengandungi Dasar Wawasan Negara (DWN) yang menyediakan hala tuju dan agenda pembangunan negara bagi tempoh sepuluh tahun yang akan datang. Sebagaimana Ahli-Ahli Yang Berhormat sedia maklum, Dewan ini telah meluluskan RRJP3 dengan penuh keyakinan bahawa Dasar baru ini akan menyumbang secara berterusan kepada pengukuhan perpaduan antara kaum di negara yang tercinta ini. 4. Rancangan Malaysia Kelapan yang meliputi tempoh 2001-2005 merupakan fasa pertama pelaksanaan RRJP3. Dalam memasuki tempoh Rancangan Kelapan ini, kita terus menghadapi banyak cabaran. Namun, kita yakin kita akan dapat mengatasi cabaran-cabaran tersebut dengan pelaksanaan dasar-dasar yang sesuai dan komitmen daripada semua pihak. Keyakinan ini berasas kepada kemampuan kita melaksanakan Rancangan Malaysia Ketujuh yang terjejas hanya kerana diserang oleh penyangak matawang yang mengakibatkan negara mengalami kegawatan ekonomi. PRESTASI RANCANGAN MALAYSIA KETUJUH KEMAJUAN EKONOMI 5. Rancangan Malaysia Ketujuh dilancarkan pada tahun 1996 setelah negara melalui tempoh pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan stabil. Di samping memberi penekanan semula kepada konsep pembangunan seimbang, Rancangan Malaysia Ketujuh juga memperkenalkan strategi pertumbuhan ekonomi yang didorong oleh produktiviti bagi meningkatkan daya tahan negara untuk menghadapi cabaran-cabaran abad ke-21. Walaupun kita telah membuat persediaan, krisis kewangan yang melanda rantau ini telah memberi kesan secara langsung kepada kita dan menyebabkan ekonomi negara mengalami kelembapan. Kita sekali lagi diingatkan bahawa landasan pembangunan tidak sentiasa stabil malahan mengalami naik turun dan kita tidak boleh berpeluk tubuh. 6. Secara keseluruhannya, prestasi ekonomi dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketujuh adalah membanggakan. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar mencatat pertumbuhan purata 4.7 peratus setahun, melepasi sasaran yang dikaji semula sebanyak 3.0 peratus. Langkah pemulihan ekonomi yang diperkenalkan pada tahun 1998 telah meningkatkan penggunaan di samping membendung tekanan inflasi. Kadar pengangguran terus kekal pada paras yang rendah kira-kira 3.0 peratus manakala Indeks Harga Pengguna turun kepada 1.6 peratus pada tahun 2000. 7. Langkah pemulihan ekonomi juga mewujudkan persekitaran yang stabil bagi sektor perbankan dan korporat melaksanakan program penyusunan semula dan penggabungan. Pelbagai agensi yang ditubuhkan bagi menguruskan pinjaman belum berbayar (NPL), pemodalan semula bank dan penyusunan semula hutang korporat telah berjaya memperkukuhkan kedudukan sektor perbankan dan korporat serta membantu mereka memberi tumpuan kepada aktiviti ekonomi yang lebih produktif. Pada akhir tahun 2000, pinjaman belum berbayar telah dikurangkan kepada 6.3 peratus daripada jumlah pinjaman berbanding dengan paras tertinggi 11.4 peratus pada bulan Ogos 1998. Nisbah modal berwajaran risiko sistem perbankan pula meningkat kepada 12.4 peratus berbanding dengan paras terendah 10.1 peratus. 8. Memandangkan sektor dagangan berperanan sebagai pemangkin kepada pemulihan ekonomi, eksport negara telah ditingkatkan sementara import dikurangkan. Hasilnya ialah akaun dagangan kita menunjukkan lebihan yang tertinggi, iaitu sebanyak 86.5 bilion Ringgit pada tahun 1999. 9. Hasil daripada prestasi perdagangan yang cemerlang, akaun semasa telah meningkat dengan ketara dan berupaya mengimbangi defisit dalam akaun perkhidmatan serta pembayaran pindahan bersih. Oleh itu, akaun semasa yang mengalami defisit semenjak tahun 1990 telah mencapai lebihan mulai tahun 1998 dan mencatat lebihan tertinggi sebanyak 47.9 bilion Ringgit pada tahun 1999 atau 17.1 peratus daripada Keluaran Negara Kasar (KNK). Ini telah memperkukuhkan lebihan dalam akaun semasa negara. Semenjak Ogos 1998, rizab luar negara telah bertambah sebanyak 9.7 bilion Dolar Amerika dan berjumlah 29.9 bilion Dolar Amerika pada akhir tahun 2000, cukup untuk membiayai 4.5 bulan import tertangguh dan 6.4 kali lebih besar daripada hutang luar jangka pendek. 10. Semua pencapaian ini adalah hasil daripada keputusan Kerajaan untuk tidak meminjam dari IMF, yang mana meminjam akan meletakkan negara di bawah telunjuk agensi itu. Sebaliknya kita telah mencipta pendekatan kita sendiri iaitu dengan menghalang penyangak matawang daripada memperdagangkan Ringgit dan mengawal modal spekulasi daripada menyerang Bursa Saham Kuala Lumpur. Dengan cara ini kita tidak menanggung hutang besar kepada IMF seperti yang dipikul oleh negara lain. 11. Walaupun kita telah berjaya memulihkan ekonomi dengan cara kita sendiri, tetapi untuk merangsangkan pemulihan ini Kerajaan terpaksa melaksanakan dasar pengembangan fiskal dengan meningkat dan mempercepatkan perbelanjaan Kerajaan untuk projek infrastruktur dan juga memberi bonus kepada kakitangan Kerajaan untuk memajukan penjualan runcit. Tindakan ini berjaya mengurangkan kesan kegawatan ke atas kemiskinan dan terhadap penyusunan semula masyarakat. KEMAJUAN SOSIO-EKONOMI Pembasmian Kemiskinan 12. Walaupun krisis ekonomi telah menjejaskan ekonomi negara, kemajuan menyeluruh telah dicapai dalam mewujudkan pembangunan yang saksama dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketujuh, terutamanya daripada segi pembasmian kemiskinan dan pengagihan pendapatan. Ahli- Ahli Yang Berhormat mungkin ingat bahawa teras Rancangan Malaysia Ketujuh adalah untuk mengurangkan golongan termiskin kepada 0.5 peratus dan kadar kemiskinan kepada 5.5 peratus menjelang tahun 2000. Bagi mencapai sasaran ini, Kerajaan terus menerajui usaha membasmi kemiskinan dengan melaksanakan projek- projek yang dapat menjana pendapatan dan menyediakan kemudahan bagi meningkatkan kualiti hidup golongan miskin. Di samping itu, program khusus bagi kawasan bandar seperti penempatan semula setinggan dan projek perumahan kos rendah telah memperbaiki keadaan hidup golongan miskin di bandar. Bagi golongan termiskin, pertumbuhan ekonomi yang pesat sebelum pertengahan tahun 1997 dan pelaksanaan secara giat Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) telah membantu mengurangkan kadar ketermiskinan. 13. Justeru itu, kadar kemiskinan di kalangan rakyat berkurangan daripada 8.7 peratus pada tahun 1995 kepada 6.1 peratus pada tahun 1997 dan bilangan isi rumah miskin pula berkurangan sebanyak 25 peratus daripada 365,600 kepada 274,200 isi rumah. Walau bagaimanapun, usaha kita untuk mengurangkan lagi kadar kemiskinan telah terjejas akibat krisis ekonomi. Kita hanya mencapai penurunan kadar kemiskinan kepada 7.5 peratus pada tahun 1999 dan peratusan rakyat termiskin turun daripada 2.1 peratus kepada 1.4 peratus sahaja pada tahun yang sama. PENYUSUNAN SEMULA MASYARAKAT 14. Kita juga telah mencapai kemajuan dalam penyusunan semula masyarakat, terutamanya penyusunan semula guna tenaga dan pewujudan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB). Walau bagaimanapun, daripada segi pemilikan ekuiti korporat, peratusan hak milik korporat Bumiputera telah berkurangan daripada paras yang dicapai pada tahun 1995. Meskipun dalam nilai mutlak, hak milik modal saham Bumiputera pada nilai tara atau `par value', dengan izin, meningkat pada kadar 12.6 peratus setahun daripada kira-kira 37 bilion Ringgit pada tahun 1995 kepada 59 bilion Ringgit pada tahun 1999, peratusan pemilikan Bumiputera merosot daripada 20.6 peratus kepada 19.1 peratus. Pada masa yang sama, pemilikan ekuiti bukan Bumiputera juga berkurangan daripada 43.4 peratus kepada 40.3 peratus. Kemerosotan ini mencerminkan ketidakupayaan rakyat, terutamanya Bumiputera untuk mengekalkan struktur pegangan ekuiti dalam tempoh yang sukar akibat krisis ekonomi. Ini menunjukkan perlunya daya tahan ekonomi diperkukuhkan. GUNA TENAGA, PENDIDIKAN DAN LATIHAN 15. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketujuh, guna tenaga berkembang pada kadar yang memberangsangkan dan menyebabkan ekonomi mengalami keadaan pasaran buruh yang ketat. Bagi menangani keadaan ini, pelbagai langkah telah diperkenal untuk meningkatkan penawaran tenaga kerja mahir. Langkah tersebut termasuk menambah keupayaan pendidikan dan latihan terutamanya di sektor swasta dan menyediakan insentif bagi meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita. Kerajaan juga terus memberi kebenaran bagi pengambilan pekerja asing terutamanya pekerja berkemahiran. Usaha juga diambil untuk meningkatkan proses pengeluaran berintensif modal dengan menggalakkan firma mengguna pakai teknologi penjimatan buruh. 16. Usaha bersepadu untuk menambah peluang pendidikan dan latihan telah meningkatkan enrolmen di semua peringkat pendidikan bermula daripada pendidikan prasekolah hingga ke peringkat ijazah. Tumpuan khusus diberi untuk merapatkan jurang prestasi di antara sekolah di luar bandar dan bandar dengan meningkatkan kemudahan pengajaran dan pembelajaran serta menempatkan lebih ramai guru terlatih di sekolah luar bandar. 17. Bagi menyokong pelaksanaan pembangunan yang didorong oleh produktiviti yang memerlukan tenaga manusia berpengetahuan, berkemahiran tinggi dan mudah dilatih, kemajuan ketara telah dicapai dalam menyediakan lebih banyak peluang kepada rakyat untuk mengikuti latihan dan pendidikan tertiari. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketujuh, Kerajaan telah membina tiga buah universiti dan tiga buah politeknik baru bagi meningkatkan enrolmen di institusi pendidikan awam di peringkat tertiari. Pelaksanaan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 telah membolehkan sektor swasta turut menjadi penyedia pendidikan tertiari yang utama. Enam buah universiti swasta yang menawarkan program dalam bidang teknologi utama telah ditubuhkan manakala tiga buah universiti asing dibenar menubuhkan kampus cawangan bagi menawarkan kursus sehingga ke peringkat ijazah. Penambahan infrastruktur pendidikan dan latihan bukan sahaja membolehkan rakyat Malaysia mengikuti pengajian tertiari dalam negara yang dapat menjimatkan pendapatan tukaran asing, tetapi juga menggalakkan pelajar asing mendapat pendidikan di Malaysia. Perkembangan ini menyediakan asas bagi menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan. PERUMAHAN, KESIHATAN DAN PERKHIDMATAN SOSIAL YANG LAIN 18. Pencapaian keseluruhan program perumahan adalah sangat menggalakkan dengan siapnya 859,480 unit rumah. Jumlah ini merupakan 107 peratus daripada sasaran pembinaan rumah yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ketujuh. Dalam hubungan ini, Kerajaan telah memberi penekanan khusus bagi mempercepatkan pelaksanaan program perumahan kos rendah. Pelbagai langkah telah dilaksanakan termasuk perluasan Tabung Pusingan Rumah Kos Rendah dan penubuhan Syarikat Perumahan Negara Berhad serta pelaksanaan Program Perumahan Rakyat Bersepadu bagi menempatkan semula setinggan di kawasan bandar. Perluasan perkhidmatan pencegahan dan penggalakan kesihatan seperti kempen gaya hidup sihat, peningkatan liputan program pelalian, perkhidmatan kesihatan sekolah serta penyediaan air bersih dan sanitasi di kawasan luar bandar telah meningkatkan kualiti hidup rakyat. PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR 19. Penyediaan kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan yang menyeluruh adalah penting untuk menyokong pertumbuhan ekonomi. Sebahagian besar kekangan infrastruktur pada permulaan tempoh Rancangan Malaysia Ketujuh telah diatasi dengan mempercepatkan pelaksanaan projek-projek infrastruktur seperti jalan, pelabuhan, lapangan terbang, pengangkutan bandar, komunikasi, bekalan air dan elektrik serta perkhidmatan pembetungan. Beberapa projek infrastruktur utama yang telah disiapkan adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pelabuhan Tanjung Pelepas, Sistem Transit Aliran Ringan (LRT), Hubungan Kedua ke Singapura, Empangan Kelinchi dan satelit kepunyaan Malaysia iaitu Satelit Asia Timur Malaysia, MEASAT 1 dan MEASAT 2. PENSWASTAAN 20. Penswastaan terus menjadi strategi penting dalam Rancangan Malaysia Ketujuh untuk menggalakkan penyertaan sektor swasta yang lebih besar dalam pembangunan ekonomi negara. Menerusi program penswastaan, rakyat dapat menikmati kemudahan yang lebih baik. Ini adalah kerana sekiranya projek-projek ini hendak dilaksanakan oleh Kerajaan, kebanyakannya perlu ditangguh bertahun-tahun sehingga Kerajaan mempunyai sumber pembiayaan yang mencukupi. Sementara itu rakyat tidak akan dapat kemudahan yang berkualiti dan kemalangan di jalan-jalan yang berkualiti rendah akan meningkat dengan banyaknya. Sebaliknya melalui penswastaan kemudahan-kemudahan yang baru untuk kegunaan rakyat dapat disediakan dengan lebih awal, umpamanya lebuhraya dengan kadar bayaran tol yang lebih rendah. 21. Penswastaan telah menyediakan peluang pekerjaan yang sebahagian besar memerlukan kemahiran baru dan teknologi yang lebih canggih. Entiti yang diswastakan telah melaksanakan program untuk melatih semula pekerja serta meningkatkan keupayaan dan daya saing mereka. Penyediaan syarat perkhidmatan yang lebih baik bukan sahaja menjadi pendorong kepada pekerja tetapi juga membawa perubahan budaya dalam persekitaran kerja yang lebih berorientasikan prestasi. Di samping itu, pekerja diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam pemilikan saham syarikat melalui Skim Opsyen Saham Kakitangan. Skim ini telah memupuk rasa kepunyaan serta dedikasi dan seterusnya meningkatkan produktiviti pekerja. 22. Kerajaan tidak melepaskan semua tanggungjawabnya kepada swasta. Dengan memindahkan harta Kerajaan dengan harga yang murah kepada swasta dan pemberian `soft loan', dengan izin, kos kemudahan-kemudahan ini dapat dikurangkan. Dengan ini bayaran oleh orang ramai untuk khidmat yang diberikan oleh syarikat swasta dapat dikurangkan. Umpamanya jika kos sepenuhnya terpaksa dibayar oleh syarikat untuk lebuhraya, tol yang perlu dibayar mungkin satu Ringgit untuk satu kilometer. Tetapi kerana subsidi oleh Kerajaan tol di Malaysia adalah yang terendah sekali di dunia. Demikian jugalah dengan kemudahan-kemudahan awam lain yang diswastakan. 23. Namun dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketujuh, Kerajaan dapat menjimatkan melalui penswastaan perbelanjaan modal berjumlah 49.2 bilion Ringgit manakala hasil yang diperolehi daripada penjualan ekuiti dan aset berjumlah 4.4 bilion Ringgit. Ini membolehkan Kerajaan menyediakan lebih banyak peruntukan untuk perkhidmatan sosial seperti pendidikan dan kesihatan yang memberi manfaat kepada rakyat, terutamanya golongan miskin dan kawasan luar bandar. RANCANGAN MALAYSIA KELAPAN, 2001-2005 24. Cabaran utama kita dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan ialah melaksanakan Dasar Wawasan Negara untuk memperkukuhkan keupayaan, kebolehan dan keazaman negara bagi menghadapi cabaran masa hadapan. Pada masa yang sama, kita tidak harus lupa bahawa pembangunan sosioekonomi mempunyai matlamat penting iaitu perpaduan negara. Selaras dengan matlamat ini, tema Rancangan Malaysia Kelapan adalah mencapai pertumbuhan mampan yang berdaya tahan. Dalam hubungan ini, tiga teras utama Rancangan Malaysia Kelapan adalah mengubah strategi pertumbuhan daripada strategi berasaskan input kepada strategi yang didorong oleh pengetahuan bagi meningkatkan potensi pertumbuhan keluaran, mempercepatkan perubahan struktur sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan serta memperkukuhkan kestabilan sosio-ekonomi menerusi pengagihan pendapatan dan kekayaan negara secara saksama. 25. Pembangunan negara ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan akan meliputi semua sektor dan melibatkan segenap lapisan rakyat. Kesemua pihak perlu dan sewajarnya boleh menggunakan pengetahuan yang berasaskan maklumat secara meluas dan mendalam. Kandungan pengetahuan bagi semua aktiviti ekonomi sama ada dalam sektor pertanian, pembuatan atau Kerajaan perlu dipertingkat bagi memperkukuh nilai ditambah dan mewujudkan peluang pekerjaan. Aspek ini akan diberi penekanan dalam kesemua 23 Bab Rancangan Malaysia Kelapan yang dibentangkan. 26. Seluruh rakyat akan diberi peluang dan kesempatan yang sama untuk meningkatkan kualiti hidup dan melibatkan diri dalam ekonomi berasaskan pengetahuan. Tumpuan akan diberi kepada penyediaan peluang pendidikan yang lebih baik khususnya di kawasan luar bandar serta peningkatan aksesibiliti rakyat kepada kemudahan kesihatan yang lebih baik dan penyediaan perumahan yang mampu dimiliki atau disewa oleh rakyat. Usaha juga akan diambil bagi menggalakkan gaya hidup yang sihat serta menyediakan kemudahan kebudayaan dan rekreasi yang lebih banyak bagi membolehkan rakyat dapat menikmati aspek kehidupan yang estetik. Penyertaan dalam sukan akan juga digalakkan bagi memperkukuhkan semangat perpaduan, setiakawan dan kekitaan atau `espirit de corps', dengan izin, di kalangan rakyat. 27. Berdasarkan pengalaman lepas, pembangunan dan globalisasi ekonomi akan memberi kesan kepada institusi dan norma sosial serta budaya negara. Langkah perlu diambil untuk memastikan masyarakat kita berdaya tahan bagi menghadapi pengaruh negatif yang mungkin merosakkan moral serta menjejaskan keharmonian dan toleransi di kalangan masyarakat. Oleh itu, strategi utama adalah bagi memperkukuhkan nilai moral dan etika di kalangan rakyat. Penekanan yang lebih akan diberi bagi memupuk dan menyemai nilai positif, terutamanya di kalangan belia menerusi pelaksanaan program seperti Rakan Muda. Kita juga perlu menanam semangat identiti bersama dan bangga terhadap negara di kalangan segenap lapisan rakyat. SASARAN DAN PROSPEK EKONOMI MAKRO 28. Pengukuhan asas ekonomi makro dan sektor kewangan serta prestasi ekonomi yang mantap pada tahun 2000 akan menyediakan asas untuk mengekalkan pertumbuhan yang tinggi dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan. KDNK dijangka berkembang pada kadar purata 7.5 peratus setahun dengan kadar inflasi yang rendah. Walaupun kemungkinan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat yang lembab pada tahun ini akan turut menjejaskan prestasi eksport dan pertumbuhan ekonomi negara, prospek ekonomi kita dalam jangka sederhana adalah masih baik. Senario untuk tempoh lima tahun Rancangan Malaysia Kelapan menunjukkan bahawa penggunaan swasta sebenar diunjur meningkat sebanyak 7.4 peratus setahun selaras dengan jangkaan peningkatan dalam pendapatan per kapita daripada 13,360 Ringgit pada tahun 2000 kepada 17,780 Ringgit pada tahun 2005. Penggunaan swasta per kapita dijangka meningkat daripada 6,200 Ringgit pada tahun 2000 kepada 9,070 Ringgit pada tahun 2005, berikutan peningkatan dalam pendapatan bolehguna. 29. Pelaburan swasta akan terus menjadi penggerak pertumbuhan ekonomi dengan pertumbuhan purata sebanyak 19 peratus setahun. Bahagian pelaburan swasta kepada jumlah pelaburan dijangka mencapai 68.7 peratus pada tahun 2005. Walau bagaimanapun, pelaburan swasta pada harga semasa perlu ditingkatkan melebihi sekali ganda daripada 42.9 bilion Ringgit pada tahun 2000 kepada 105.5 bilion Ringgit pada tahun 2005. Dalam tempoh Rancangan, pasaran modal terutamanya pasaran sekuriti hutang swasta atau dengan izin, private debt security market serta tabung pencen dan kumpulan wang merupakan sumber pembiayaan yang penting bagi pelaburan sektor ekonomi yang produktif. Pelaburan asing akan terus merupakan sumber pembiayaan yang penting, meskipun peratusannya kepada jumlah pelaburan dijangka merosot berikutan jangkaan pertumbuhan pelaburan dalam negeri yang lebih tinggi dan peningkatan persaingan di peringkat antarabangsa untuk mendapatkan pelaburan langsung asing (FDI). 30. Dalam keadaan ekonomi negara kita menjadi semakin matang, pergantungan kepada input buruh dan modal akan berkurangan manakala sumbangan Produktiviti Faktor Keseluruhan (TFP) sebagai sumber pertumbuhan akan terus dipertingkatkan dalam tempoh Rancangan. Sumbangan TFP kepada sasaran pertumbuhan ekonomi 7.5 peratus setahun dijangka sebanyak 37.2 peratus setahun manakala buruh 21.5 peratus dan modal 41.3 peratus. 31. Usaha membangunkan negara pada masa hadapan akan lebih mencabar memandangkan peningkatan dalam sumbangan TFP kepada pertumbuhan memerlukan perubahan struktur yang meluas untuk meningkatkan kecekapan ekonomi. Perubahan ini termasuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan pengurusan, menambah perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta meningkatkan penggunaan teknologi dan ICT dalam semua sektor ekonomi selaras dengan usaha membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan. Di samping itu, pelaburan awam akan ditambah bagi memperkukuhkan sistem penyampaian pendidikan dan latihan. Sektor swasta akan digalakkan untuk mengambil tanggungjawab yang lebih besar terutamanya dari segi R&D serta inovasi produk. 32. Prestasi eksport Malaysia bagi tempoh lima tahun akan datang dijangka baik dengan eksport kasar diunjur berkembang pada kadar purata 7.9 peratus setahun. Eksport Malaysia dijangka dapat menembusi pasaran yang lebih luas dengan liberalisasi perdagangan bagi barangan dan perkhidmatan yang dijadualkan di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) serta komitmen untuk mengurangkan tarif di bawah peraturan perdagangan dua hala dan serantau. Bagi mencapai tujuan ini, Malaysia perlu meningkatkan daya saing keluarannya menerusi peningkatan produktiviti dan kualiti. Antara langkah yang akan diambil termasuk menubuhkan pusat perdagangan, `trading houses', dengan izin, yang akan menyediakan perkhidmatan sokongan untuk mempromosikan keluaran eksport Malaysia. 33. Dalam tempoh Rancangan, import kasar yang merangkumi barangan modal dan perantaraan dijangka berkembang pada kadar 10.2 peratus setahun. Usaha akan diambil untuk meningkatkan pengeluaran barangan modal dan perantaraan termasuk alat ganti dan komponen dalam negeri bagi mengurangkan import. Bagi membolehkan barangan modal dan perantaraan tempatan bersaing dengan barangan import yang lebih murah, input bagi barangan ini perlu dikeluarkan dengan cekap. Selaras dengan usaha kita untuk membendung inflasi yang diimport dan mempromosikan Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia, pengimportan barangan penggunaan dijangka meningkat dengan lebih sederhana. 34. Sepanjang tempoh Rancangan, akaun semasa imbangan pembayaran dijangka terus mencapai lebihan walaupun pada kadar yang menurun manakala akaun dagangan imbangan pembayaran dijangka mencatat lebihan sebanyak 17.4 peratus daripada KNK. Walau bagaimanapun, akaun perkhidmatan akan terus mengalami defisit sebanyak 11.4 peratus. 35. Kerajaan akan terus melaksanakan langkah bagi mengurangkan defisit yang besar dalam akaun perkhidmatan. Pendapatan tukaran asing dijangka meningkat hasil daripada sumbangan sektor perkhidmatan pelancongan, pendidikan, perkapalan serta insurans, kewangan dan khidmat pakar runding. Antara langkah untuk mengurangkan defisit termasuk meningkatkan kecekapan dalam perkhidmatan perkapalan memandangkan wujudnya defisit yang besar bagi kos pengangkutan dan insurans. Bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan pelabuhan, usaha akan diambil untuk memperkemaskan prosedur pentadbiran menerusi pelaksanaan pertukaran data secara elektronik, penambahan bilangan syarikat pengendalian dan kapal tempatan serta penguatkuasaan peraturan kabotaj yang lebih ketat. 36. Dalam tempoh Rancangan, usaha akan terus diambil bagi mengekalkan inflasi pada kadar yang rendah. Bagi maksud ini, langkah untuk memperkukuhkan pengeluaran makanan dalam negeri akan terus dilaksanakan terutamanya dengan menyediakan tanah yang sesuai dan menggalakkan inisiatif bersama sektor awam dan swasta bagi meningkatkan bekalan makanan dan seterusnya mengurangkan import. Di samping itu, Kerajaan akan memastikan pertumbuhan penawaran wang adalah selaras dengan usaha mengekalkan kestabilan harga dan melaksanakan dasar fiskal yang berhemat. 37. Strategi membendung inflasi akan juga merangkumi pelbagai langkah pentadbiran seperti menguatkuasakan penggunaan tanda harga dan membanteras kenaikan harga barangan sewenang-wenangnya, mencegah amalan perniagaan yang tidak sihat dan memantau harga barangan keperluan asas bagi golongan berpendapatan rendah. Langkah untuk menggalakkan automasi dan teknik penjimatan buruh serta meningkatkan penyertaan lebih ramai wanita dan pesara dalam pasaran buruh akan terus dilaksanakan bagi menyederhanakan tekanan permintaan buruh dan memastikan kenaikan upah adalah setimpal dengan pertumbuhan produktiviti. Di samping itu, dengan terdapatnya barangan import yang murah di pasaran tempatan, indeks harga pengguna dijangka kekal pada paras yang rendah. 38. Dengan pemulihan ekonomi, sektor awam akan menumpukan peranannya untuk membantu meningkatkan penyertaan sektor swasta dalam ekonomi. Perbelanjaan mengurus dalam tempoh Rancangan dijangka meningkat secara sederhana dengan pengurusan fiskal yang berhemat dan penggunaan sumber yang cekap. Sementara itu, perbelanjaan pembangunan sektor awam dijangka meningkat daripada 222.9 bilion Ringgit bagi Rancangan Malaysia Ketujuh kepada 253.4 bilion Ringgit bagi Rancangan Malaysia Kelapan. Daripada jumlah ini, 110 bilion Ringgit atau 43.4 peratus merupakan perbelanjaan pembangunan Kerajaan Persekutuan dan 109.4 bilion Ringgit atau 43.2 peratus adalah perbelanjaan pembangunan bagi Perusahaan Awam Bukan Kewangan (PABK). Walaupun paras mutlak perbelanjaan pembangunan sektor awam dalam nilai semasa adalah lebih besar berbanding dengan perbelanjaan bagi tempoh Rancangan Malaysia Ketujuh, tetapi daripada segi nilai sebenar ia adalah lebih rendah selaras dengan dasar mengurangkan peranan sektor awam dalam aktiviti ekonomi. PERTUMBUHAN DAN PENGAGIHAN 39. Teras strategi pembasmian kemiskinan adalah untuk mengurangkan kadar kemiskinan kepada 0.5 peratus menjelang tahun 2005. Program pembasmian kemiskinan akan mempunyai sasaran lebih khusus bagi menangani masalah kelompok kecil miskin terutamanya di kawasan pedalaman. Di samping itu, program berkaitan akan juga menangani isu kemiskinan di kalangan Orang Asli dan golongan minoriti Bumiputera lain di Sabah dan Sarawak. Pertumbuhan ekonomi yang diramal kukuh dalam tempoh Rancangan dijangka mewujudkan lebih banyak peluang kepada golongan miskin untuk meningkatkan pendapatan dan membolehkan mereka keluar daripada belenggu kemiskinan. Kerajaan akan mempergiatkan usaha bagi memastikan golongan miskin dan berpendapatan rendah juga mendapat manfaat daripada pelbagai langkah yang dilaksanakan dalam bidang pendidikan, perkhidmatan kesihatan, perumahan dan penyediaan kemudahan awam yang berkualiti. 40. Bagi menangani masalah kelompok kecil miskin di kalangan isi rumah di bandar dan kawasan pinggirannya, Kerajaan akan melaksanakan program seperti penyediaan perumahan dan kemudahan awam serta peluang menambah pendapatan. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan akan melaksanakan program menempatkan semula setinggan. Di samping itu, pendekatan bersepadu yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) akan diteruskan melalui program seperti Pembangunan Bersepadu untuk Masyarakat Bandar, Pusat RAHMAT, Projek HARAPAN dan Skim Khas Ibu Tunggal. 41. Kerjasama dan kesanggupan menerima projek-projek ini oleh kumpulan sasar untuk menambah pendapatan mereka adalah penting jika projek ini hendak dijayakan dengan berkesan. PENGAGIHAN PENDAPATAN 42. Kerajaan akan terus menangani isu ketidakseimbangan pendapatan terutamanya antara dan dalam kumpulan etnik, kumpulan pendapatan, sektor ekonomi, wilayah dan negeri. Dengan unjuran pertumbuhan ekonomi yang tinggi dalam tempoh Rancangan, saiz kumpulan berpendapatan pertengahan dan bahagian pendapatan mereka dijangka meningkat. Sebagai sebahagian daripada objektif utama pengagihan pendapatan jangka panjang, negara akan melahirkan kumpulan berpendapatan pertengahan yang lebih besar dan makmur di samping meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah. Sekali lagi kerjasama daripada kumpulan sasar ini adalah penting bagi menjayakan diri mereka. 43. Pelbagai langkah akan dilaksanakan bagi mengurangkan ketidakseimbangan antara bandar dan luar bandar serta antara negeri yang kurang maju dengan yang lebih maju. Bagi pembangunan luar bandar, Kerajaan akan terus melaksanakan usaha untuk memoden dan mengkomersilkan aktiviti pertanian menerusi pelbagai program. Langkah juga akan diambil bagi menggalakkan pekebun kecil dan petani terutamanya yang mempunyai tanah bersaiz kecil dan tidak ekonomi untuk mempelbagaikan kegiatan mereka seperti dalam aktiviti akuakultur dan ternakan yang eksotik serta aktiviti bukan pertanian yang boleh menghasilkan pendapatan yang lebih tinggi. Pada masa yang sama, Kerajaan akan mewujudkan mekanisme menambah pendapatan bagi melindungi pekebun kecil dalam tempoh kejatuhan harga komoditi yang teruk di pasaran dunia. Ini memerlukan disiplin dalam pemilihan jenis-jenis tanaman. PEMILIKAN DAN PENGUASAAN SEKTOR KORPORAT 44. Bagi penyusunan semula hak milik sektor korporat, Kerajaan akan mempelbagaikan usaha untuk memperbaiki penyertaan berkesan di kalangan Bumiputera serta meningkatkan pemilikan modal saham dan penguasaan mereka ke atas syarikat kepada sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang tahun 2010. Untuk mempercepatkan proses penyusunan semula, program yang menyediakan peluang kepada usahawan muda dan pengurus korporat yang berpotensi khususnya dalam sektor moden dan strategik akan diperkukuhkan. Memandangkan syarikat Bumiputera secara relatif telah banyak menceburi sektor pembinaan, pengangkutan dan pertanian, mereka akan digalakkan untuk mempelbagaikan penyertaan dalam aktiviti yang mempunyai nilai ditambah lebih tinggi dalam tempoh Rancangan. Selain daripada menentukan sasaran kuantitatif, agenda penting adalah untuk meningkatkan daya tahan Bumiputera bagi membolehkan mereka mengekal pemilikan ekuiti korporat dan tidak terdorong untuk melepaskannya bagi tujuan keuntungan jangka pendek atau semasa negara mengalami kemerosotan ekonomi. 45. Peranan agensi amanah dan institusi Bumiputera akan diperluaskan terutamanya dalam menggembleng sumber Bumiputera dan mewujudkan kekayaan baru. Dalam hubungan ini, agensi amanah dan institusi Bumiputera seperti Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) akan mengambil langkah menyusun dan mengkaji semula serta memperkukuhkan kedudukan mereka bagi menghadapi cabaran masa hadapan. Agensi amanah dan institusi tersebut akan juga diberi peluang yang lebih untuk meningkatkan kepentingan dan pemilikan secara berkesan dalam syarikat bagi membolehkan lebih ramai Bumiputera mendapat manfaat. PENYUSUNAN SEMULA GUNA TENAGA 46. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan, pelaksanaan strategi dan program untuk menyusun semula guna tenaga dalam pelbagai sektor dan pekerjaan akan dipertingkatkan. Langkah akan diambil untuk memperbaiki imbangan guna tenaga Bumiputera dan bukan Bumiputera dalam sektor awam dan swasta. Usaha ini memerlukan pendekatan bersepadu oleh kedua-dua sektor. Penumpuan bukan Bumiputera dalam sektor swasta dan Bumiputera dalam sektor awam akan dikurangkan dengan menambah bilangan bukan Bumiputera dalam sektor awam dan dengan sektor swasta mengambil lebih ramai Bumiputera dalam pengurusan dan penyeliaan perusahaan dan perniagaan mereka. Penyertaan bukan Bumiputera dalam pasukan polis, tentera dan bidang pendidikan di semua peringkat akan diusahakan oleh Kerajaan. Dengan ini semua kegiatan dalam masyarakat akan mencerminkan kaum-kaum di Malaysia. Rakyat Malaysia dari Sabah dan Sarawak akan digalakkan bekerja di Semenanjung untuk merapatkan hubungan antara negeri-negeri di Malaysia. 47. Pendidikan dan latihan akan terus merupakan jentera penting bagi mencapai objektif penyusunan semula guna tenaga. Dalam hubungan ini, lebih banyak tempat akan disediakan kepada pelajar Bumiputera yang berkelayakan di institusi pendidikan tinggi awam dan swasta terutamanya dalam kursus sains, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta kursus profesional lain. Tumpuan juga akan diberi bagi meningkatkan pencapaian pelajar Bumiputera terutamanya dalam mata pelajaran Sains, Matematik dan bahasa Inggeris menerusi kaedah pengajaran yang lebih berkesan, penyediaan kemudahan pendidikan yang lebih baik dan pembinaan lebih banyak sekolah berasrama penuh. Bantuan kewangan yang mencukupi akan diberi kepada Bumiputera untuk menampung yuran yang lebih tinggi di institusi swasta. PEMBANGUNAN MASYARAKAT PERDAGANGAN DAN PERINDUSTRIAN BUMIPUTERA (MPPB) 48. Selaras dengan usaha membangunkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera, langkah akan diambil untuk mengenalpasti mereka yang berbakat, memberi latihan intensif kepada mereka dalam bidang pengurusan kewangan dan perusahaan, dan menyemai etika yang sesuai dengan kejayaan perniagaan mereka. Hanya mereka yang sanggup melalui kursus ini sahaja yang akan diberi peluang, lesen, pinjaman modal dan sebagainya. Jika terdapat mereka yang menyalahgunakan peluang atau wang, mereka akan disenaraihitamkan. Kaum Bumiputera perlu memberi perhatian yang serius terhadap pembentukan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera. Ia bukan satu skim untuk kaya cepat tetapi ia adalah usaha yang serius ke arah penyusunan semula masyarakat bagi mengimbangkan kaum Bumiputera dan bukan Bumiputera di Malaysia. 49. Program latihan keusahawanan akan dipergiat bagi membolehkan usahawan Bumiputera menghadapi cabaran globalisasi dan menggunakan lebih banyak kandungan pengetahuan dalam aktiviti mereka. Program ini akan memberi penekanan kepada penyediaan usahawan Bumiputera yang lebih berdikari, berdaya saing dan mengamalkan etika perniagaan yang baik. Di samping itu, program latihan ini akan memupuk nilai positif seperti amanah, rajin dan disiplin yang merupakan sifat penting untuk melahirkan usahawan Bumiputera yang berjaya dan berdaya tahan. Bagi maksud ini, Institut Keusahawanan Negara (IKN) akan ditubuhkan sebagai pusat untuk menjalankan perancangan strategik mengenai keusahawanan, risikan pasaran, R&D, pembangunan kurikulum, rangkaian perniagaan dan kaunseling. 50. Bagi menggalakkan penyertaaan usahawan Bumiputera dalam ICT, sebuah Majlis ICT Bumiputera akan ditubuhkan bagi merancang dan merangka Agenda ICT Bumiputera. Agenda ini akan merangkumi strategi untuk meningkatkan tahap kesedaran mengenai peluang-peluang dalam industri ICT serta melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera dalam bidang ini, mengadakan aksesibiliti kepada modal dan maklumat pasaran yang lebih baik serta mewujudkan hubungan pasaran di peringkat antarabangsa. Selain daripada ICT, Kerajaan akan terus menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam industri strategik dan berteknologi tinggi seperti bioteknologi, petrokimia dan komunikasi. PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA 51. Salah satu strategi utama bagi memastikan negara berkemampuan menghadapi cabaran globalisasi dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi adalah dengan mewujudkan asas sumber manusia yang kukuh yang dapat menyokong pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan serta meningkatkan produktiviti dan daya saing negara. Oleh itu, keutamaan akan diberi untuk menyediakan lebih ramai tenaga kerja yang mempunyai kemahiran dan kepakaran serta pengetahuan `tacit', dengan izin, dan kemahiran berfikir yang tinggi. 52. Bagi membolehkan Malaysia merapatkan jurang pembangunan dengan negara maju dalam dekad ini, adalah penting bagi pertumbuhan ekonomi negara didorong oleh produktiviti. Peningkatan dalam Produktiviti Faktor Keseluruhan dan tahap potensi keluaran adalah kritikal bagi memperkukuhkan daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa dalam jangka pendek dan sederhana. Usaha untuk meningkatkan produktiviti bergantung kepada penggunaan kandungan pengetahuan dalam semua aktiviti ekonomi serta bekalan tenaga manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi yang mencukupi. Untuk tujuan ini, usaha akan dipergiatkan bagi menambah kapasiti institusi pendidikan dan latihan dengan memberi penekanan yang lebih dalam meningkatkan penawaran tenaga manusia dalam bidang sains dan teknologi. Selaras dengan itu, kapasiti program pendidikan dan latihan berkaitan sains dan teknologi di peringkat tinggi akan dipertingkat untuk mempercepatkan pencapaian nisbah 60:40 pelajar aliran sains kepada sastera. Sementara itu, penyediaan biasiswa bagi lepasan ijazah dan lepasan ijazah kedoktoran akan terus ditambah. Bagi mencapai objektif ini, sistem pendidikan dan latihan akan diubahsuai untuk memastikan graduan daripada institusi pendidikan tinggi dapat memenuhi keperluan pengetahuan dan teknologi baru bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya saing. 53. Sistem pendidikan dan latihan akan juga memberi tumpuan kepada usaha memupuk daya cipta dan kemahiran kognitif untuk melahirkan tenaga manusia yang tinggi pengetahuan, mempunyai pelbagai kemahiran dan serba boleh di samping sanggup belajar secara berterusan serta mempunyai kecekapan usahawan teknologi. Selaras dengan amalan dan dasar pendidikan dan latihan yang lebih liberal, sektor swasta akan terus berperanan sebagai penyedia utama pendidikan dan latihan terutamanya di peringkat tertiari. 54. Dalam usaha kita mengejar pembangunan ekonomi, keutamaan yang sama akan diberi kepada pembangunan dalam dimensi sosial. Semua rakyat akan berpeluang mendapat manfaat daripada pembangunan dalam tempoh lima tahun akan datang. Peluang pendidikan dan latihan akan ditambah di semua peringkat. Penekanan akan diberi untuk memperbaiki pencapaian pelajar di sekolah luar bandar dan kawasan pedalaman dengan menambah dan menaik taraf kemudahan serta perkhidmatan sokongan pembelajaran. Di peringkat pendidikan tinggi, peruntukan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional akan ditambah untuk membiayai lebih ramai pelajar termasuk pelajar di institusi pendidikan tinggi swasta. Kita juga akan menggalakkan ibubapa menabung untuk pendidikan anak-anak mereka menerusi Skim Simpanan Pendidikan yang akan dilancarkan oleh Kerajaan. Pelajar yang mengikuti latihan di institusi latihan kemahiran juga akan diberi pinjaman. 55. Kekurangan tenaga buruh sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ketujuh telah menyebabkan ekonomi mengalami pasaran tenaga buruh yang ketat dan tekanan ke atas upah. Walau bagaimanapun, penggunaan teknologi baru telah meningkatkan produktiviti buruh yang seterusnya mengurangkan kos buruh seunit dan meningkatkan tahap daya saing negara. Kita mesti sedar bahawa dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi pada kadar purata 7.5 peratus setahun dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan, negara dijangka terus mengalami kekurangan pekerja berkemahiran tinggi terutamanya tenaga manusia dalam bidang sains dan teknologi. Kerajaan akan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat melalui penggunaan ICT seperti pembelajaran jarak jauh dan menerusi laman web serta penubuhan kolej komuniti di seluruh negara. 56. Untuk mendorong lebih banyak syarikat terutamanya perusahaan kecil dan sederhana menggunakan proses pengeluaran berintensif modal dan mengoptimumkan penggunaan tenaga buruh tempatan, beberapa inisiatif akan juga dilaksanakan. Sasaran utama adalah menggalakkan lebih ramai wanita terutamanya yang mempunyai pendidikan tertiari untuk memasuki pasaran buruh. Bagi mencapai tujuan ini, pindaan selanjutnya ke atas Akta Pekerjaan 1995 akan mengambilkira kaedah kerja yang baru seperti telekerja atau `teleworking', dengan izin, kerja sambilan dan perkongsian kerja. Pindaan Akta ini juga akan menggalakkan penubuhan taman asuhan dan didikan kanak-kanak di kawasan tempat tinggal serta memastikan peluang latihan yang lebih baik. Pesara yang mempunyai kelayakan dan pengalaman yang sesuai juga akan dipertimbangkan untuk bekerja semula mengikut keperluan. 57. Satu lagi isu penting yang perlu diberi penekanan adalah kenaikan upah mestilah setimpal dengan peningkatan produktiviti. Peningkatan upah yang tidak selaras dengan penambahan produktiviti akan menyebabkan tekanan inflasi dan menjejaskan daya saing keluaran negara di pasaran antarabangsa dalam jangka panjang. Oleh itu, saya menggesa pekerja di semua peringkat dan sektor supaya menggembleng usaha dan tenaga, sama ada secara individu atau kumpulan, untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan mereka. Peningkatan ini akan menyumbang kepada keupayaan negara untuk mengekalkan pertumbuhan yang tinggi dan memastikan keluaran Malaysia dapat bersaing di pasaran antarabangsa. Oleh itu, Kerajaan akan mengambil inisiatif untuk menggalakkan syarikat mempercepatkan pelaksanaan sistem upah yang dikaitkan dengan produktiviti bagi memastikan pergerakan upah adalah selari dengan peningkatan produktiviti. 58. Apabila ekonomi semakin berintensif pengetahuan serta penggunaan dan penerapan budaya ICT semakin meluas, nilai etika dan moral adalah penting bagi memastikan pemerolehan, penggunaan, penyebaran dan pengurusan maklumat dan pengetahuan digunakan untuk manfaat masyarakat. Dalam hubungan ini, usaha akan diambil untuk menanamkan nilai positif menerusi sistem pendidikan dan latihan serta kursus membina budaya yang sesuai dengan cabaran zaman. TERAS SEKTOR 59. Sektor pembuatan, pertanian dan perkhidmatan akan terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan. Sektor pembuatan dijangka berkembang pada kadar purata 8.9 peratus setahun dan sumbangannya kepada KDNK meningkat kepada 35.8 peratus pada tahun 2005. Momentum pertumbuhan sektor pembuatan akan terus dikekalkan melalui pembangunan industri yang berkeupayaan memenuhi permintaan pengguna yang semakin kompleks, membentuk pakatan strategik dan membangunkan kelompok industri yang dinamik. Pemindahan teknologi serta peningkatan aktiviti R&D dijangka dapat membentuk lebih banyak rantaian yang kukuh antara perusahaan besar dengan perusahaan kecil dan sederhana, dan dengan itu dapat mengukuhkan lagi pertumbuhan sektor pembuatan. Pembangunan hiliran produk bernilai ditambah yang tinggi bagi industri berasaskan sumber terutamanya industri petrokimia, farmaseutikal serta keluaran kayu, getah dan keluaran makanan dijangka menambah sumbangannya kepada peningkatan keupayaan tempatan serta daya saing sektor pembuatan. Pada masa yang sama, industri keluaran elektrik dan elektronik akan dipelbagai untuk mengeluarkan barangan berteknologi tinggi bagi memenuhi permintaan pasaran dunia. 60. Dalam tempoh Rancangan, adalah penting bagi kita memodenkan sektor pertanian dan meningkatkan sumbangannya kepada ekonomi negara. Bagi mencapai hasrat ini, kita perlu melaksanakan pendekatan bersepadu yang melibatkan perubahan yang ketara seperti menggantikan amalan penanaman satu jenis tanaman di kebun-kebun kecil kepada tanaman campuran serta menggunakan teknologi terkini secara meluas dalam proses pengeluaran dan melaksanakan strategi pemasaran yang dinamik. Walaupun teras keseluruhan adalah untuk mempergiatkan semula sektor ini, usaha yang bersungguh- sungguh akan diambil bagi meningkatkan taraf hidup petani dan pekebun kecil melalui perladangan yang lebih teratur dan produktif. Kita jangan sekali-kali lupa tentang kepentingan strategik sektor ini memandangkan ia merupakan pembekal makanan kepada negara dan bahan mentah untuk sektor pembuatan. Langkah baru perlu digubal dan dilaksana untuk meningkatkan pengeluaran dan produktiviti serta menyumbang kepada penambahan pendapatan petani dan pekebun kecil. Di samping usaha meningkatkan pengeluaran makanan, sumber pertumbuhan baru seperti buluh, rotan, bunga-bungaan, herba, tumbuhan ubat-ubatan dan ikan hiasan akan digalakkan. Pengeluaran komoditi industri akan disusun semula dan diperkukuhkan untuk memastikan bekalan bahan mentah bagi kegunaan industri berasaskan sumber serta meningkatkan rantaian dengan sektor lain dalam ekonomi negara. Untuk semua ini pertanian juga perlu diusahakan dengan tertib dan berjadual seperti dalam industri pembuatan dan pekerjaan di pejabat. 61. Usaha Kerajaan sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak dilengkapkan dengan penyertaan aktif petani, pekebun kecil dan nelayan serta golongan lain dalam sektor swasta bagi mempercepatkan proses perubahan sektor ini. Kita perlu terima dan guna secara bersungguh-sungguh teknologi baru, menyatu dan menggabungkan tanah yang kecil kepada saiz yang lebih ekonomi yang membolehkan penggunaan jentera untuk meningkatkan produktiviti serta mengurangkan input buruh dan kos pengeluaran. Pekebun kecil dan estet perlu menerima kepelbagaian aktiviti mereka dengan mengusaha tanaman lain yang berpotensi termasuk pokok kayu yang sesuai untuk balak yang telah dikenalpasti dan melibatkan diri dalam industri berasaskan sumber untuk meningkatkan pendapatan. 62. Kerajaan sememangnya peka dan prihatin tentang keperitan dan kesusahan yang dihadapi oleh pekebun kecil kesan daripada kemerosotan harga kelapa sawit dan getah dari semasa ke semasa. Sebagai langkah segera, baru-baru ini Kerajaan telah menyediakan bantuan khas kepada pekebun kecil kelapa sawit dan getah. Tetapi pekebun kecil tidak harus bergantung kepada bantuan subsidi. Sebaliknya mereka hendaklah mempertingkatkan pendapatan melalui perubahan yang telah saya sebutkan. 63. Sektor perkhidmatan dijangka berkembang sebanyak 7.7 peratus dalam tempoh Rancangan. Tiga sektor kecil utama yang dijangka mencapai pertumbuhan yang lebih tinggi adalah pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi; kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan; serta sektor kecil perdagangan borong dan runcit, hotel dan restoran. Sektor kecil perdagangan borong dan runcit, hotel dan restoran akan dirangsang oleh peningkatan pendapatan yang boleh dibelanja atau `disposable income', dengan izin, serta usaha bersepadu untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancong dan pusat membeli-belah utama. Usaha ini termasuklah menjadi tuan rumah acara sukan utama, mempromosikan Malaysia sebagai pusat utama untuk mesyuarat, persidangan dan pameran serta menganjur aktiviti yang berdasarkan peristiwa di sepanjang tahun. Usaha juga akan dilaksana bagi mempromosikan pelancongan dalam negeri terutamanya untuk mengambil peluang cuti dua hari Sabtu setiap bulan. MEMPERCEPATKAN PEMBANGUNAN SAINS DAN TEKNOLOGI 64. Dalam membina negara yang berdaya tahan, kita perlu terus memperkukuhkan daya saing dan kecekapan melalui penggunaan teknologi serta pembangunan kemahiran dan inovasi. Dalam konteks ekonomi berasaskan pengetahuan, teras strategik dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan adalah untuk mempercepatkan pembangunan keupayaan dan kebolehan Malaysia dalam bidang sains dan teknologi, pengetahuan dan kemahiran, menggalakkan inovasi serta mempergiatkan R&D yang berorientasikan pasaran. Usaha juga akan diambil bagi memperkukuhkan lagi rantaian antara sektor dan institusi berkaitan untuk membangunkan sistem inovasi negara yang berkesan bagi memberi tumpuan kepada pengkomersilan keluaran, proses dan perkhidmatan yang berpotensi. 65. Menyedari bahawa bioteknologi adalah satu daripada teknologi yang penting dalam abad ke-21, usaha akan diambil untuk membina kebolehan dan keupayaan negara bagi memanfaatkan penggunaan teknologi ini. Usaha ini akan melibatkan penggubalan Dasar Bioteknologi Negara untuk menyediakan pendekatan yang menyeluruh dan bersepadu dalam pembangunan bioteknologi. Kerajaan juga akan menimbang penubuhan sebuah Lembah Bio atau `Bio- Valley', dengan izin. TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (ICT) 66. Seperti Ahli-Ahli Yang Berhormat sedia maklum, infrastruktur asas ICT telahpun disediakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketujuh. Untuk lima tahun akan datang, tumpuan kita adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai `hub' ICT dan multimedia di peringkat global. Untuk tujuan ini, infrastruktur ICT akan dinaik taraf melalui beberapa inisiatif termasuk meningkatkan keupayaan tulang belakang penghantaran sehingga 10 gigabits sesaat dan memperkenalkan Sistem Pengurusan Rangkaian untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik. Infrastruktur ICT juga akan diperluaskan ke kawasan luar bandar bagi merapatkan jurang digital. Antara program yang akan dilaksanakan termasuk Infodesa dan Internet Desa yang menawarkan kursus kesedaran dan latihan. Kerajaan akan terus membantu memperkenalkan perkhidmatan yang baru dan berinovatif dalam industri komunikasi dan multimedia. Di samping itu, piawaian prestasi dan garis panduan umum akan disediakan untuk melindungi dan mempromosikan kepentingan pengguna. 67. Aplikasi Perdana Koridor Raya Multimedia (MSC) gelombang pertama akan diperluaskan ke seluruh negara dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan setelah Kerajaan menentukan keberkesanan pelaksanaannya. Konsep sekolah bestari akan diperluaskan untuk merangkumi 8,000 sekolah manakala telekesihatan akan dilaksanakan di pusat penjagaan kesihatan dan klinik desa. Agenda masa depan melibatkan pelaksanaan aplikasi perdana gelombang kedua yang akan memberi tumpuan kepada usaha menarik pemaju teknologi tercanggih dan terkini serta menggalakkan aktiviti R&D dan pemindahan teknologi. TENAGA 68. Memandangkan tenaga merupakan input penting kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan mampan sektor ini akan terus menjadi salah satu strategi utama dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan. Bekalan tenaga yang terjamin dan berdaya harap akan dapat dipastikan melalui campuran tenaga yang optimum berdasarkan empat sumber utama bahan api tempatan iaitu minyak, gas, arang batu dan hidro. Bagi memastikan keupayaan penjanaan elektrik yang mencukupi, pelaburan baru swasta akan digalakkan dan rangkaian penghantaran dan pengagihan akan diperkukuhkan lagi terutamanya di Sabah dan Sarawak. Penyederhanaan arah aliran ke atas keamatan tenaga atau `energy intensity', dengan izin, perlu disegerakan bagi mengekalkan daya saing negara. Oleh itu, tindakan akan diambil terutamanya untuk menggalakkan sektor perindustrian dan komersil menggunakan tenaga dengan lebih cekap. ALAM SEKITAR 69. Dalam usaha mencapai kemajuan, kepentingan alam sekitar dan kesannya terhadap kehidupan kita perlu ditekankan. Usaha-usaha seterusnya akan di ambil bagi meningkatkan kualiti udara dan air, mengurus sisa pepejal dan buangan industri dengan cekap, membangun persekitaran bandar yang sihat serta memulihara habitat dan sumber semulajadi. Sektor awam dan swasta perlu sedar bahawa pemuliharaan alam sekitar merupakan tanggungjawab semua pihak dan kita perlu berusaha secara bersama mengawal pencemaran dan kemerosotan alam sekitar. Bagi meningkatkan tahap kepekaan, iltizam dan kesedaran sivik di kalangan masyarakat, program pendidikan alam sekitar serta kesedaran awam dan sivik akan dipertingkatkan dengan kerjasama NGO, sektor swasta dan pihak media. PROGRAM SEKTOR AWAM BAGI RANCANGAN MALAYSIA KELAPAN 70. Jumlah peruntukan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan bagi Rancangan Malaysia Kelapan adalah 110 bilion Ringgit. Sektor ekonomi akan diberi peruntukan yang terbesar sebanyak 50.5 bilion Ringgit atau 45.9 peratus daripada jumlah peruntukan. Daripada jumlah ini, 7.9 bilion Ringgit atau 7.1 peratus adalah untuk sektor kecil pertanian, 10.3 bilion Ringgit atau 9.4 peratus untuk perdagangan dan perindustrian manakala pengangkutan dan komunikasi diperuntukkan 22 bilion Ringgit atau 20 peratus. Sektor sosial akan diperuntukkan 37.5 bilion Ringgit atau 34.1 peratus yang mana lebih daripada separuh adalah untuk pendidikan dan latihan. Sektor keselamatan diperuntukkan sebanyak 10.8 bilion Ringgit atau 9.8 peratus manakala sektor pentadbiran am sebanyak 11.2 bilion Ringgit atau 10.2 peratus daripada jumlah peruntukan. 71. Program pembangunan luar bandar akan ditumpukan kepada usaha untuk mengubah kawasan luar bandar supaya menjadi lebih kondusif kepada pelaburan serta membina kehidupan desa yang lebih menarik di mana rakyat dapat menikmati pelbagai kemudahan asas dan infrastruktur berkualiti di samping perkhidmatan sosial yang lebih baik. Bagi menjayakan perubahan ini, Kerajaan memperuntukkan sebanyak 13.2 bilion Ringgit untuk program pembangunan luar bandar. Sebahagian besar daripada peruntukan ini akan disalurkan untuk pembangunan tanah, pembangunan sumber manusia dan pelaksanaan pelbagai infrastruktur fizikal dan sosial termasuk jalan luar bandar serta bekalan elektrik dan air. 72. Teras pembangunan infrastruktur dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan adalah untuk menaik taraf dan menambah kemudahan infrastruktur terutamanya di kawasan kurang maju serta meningkatkan produktiviti dan kecekapan di kawasan bandar. Daripada peruntukan untuk pembangunan infrastruktur, 78.6 peratus adalah untuk sektor pengangkutan. Sebanyak 4.9 bilion Ringgit daripada peruntukan sektor ini adalah untuk pembangunan jalan baru bagi membuka koridor pertumbuhan serta meningkatkan perhubungan ke kawasan luar bandar. Tambahan sebanyak 9.1 bilion Ringgit akan dibelanjakan untuk memperbaiki dan menaik taraf jalan sedia ada bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan memandu serta memendekkan masa perjalanan. Untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar utama, pengangkutan awam yang bersepadu, cekap dan berdaya harap serta sistem pengangkutan pintar akan dilaksanakan. Keupayaan dan kecekapan perkhidmatan rel akan dipertingkatkan dengan pelaksanaan projek landasan elektrik berkembar dari Rawang ke Ipoh, dan seterusnya ke Padang Besar di utara dan dari Seremban ke Johor Bahru di selatan. Untuk memenuhi permintaan yang semakin bertambah, keupayaan dan kecekapan pelabuhan dan lapangan terbang juga akan dipertingkatkan. 73. Bagi memastikan bekalan air bersih yang berterusan dan mampan dalam jangka panjang, pembangunan dan pemuliharaan sumber air negara akan disepadukan dengan kerjasama dan penyelarasan yang lebih erat diwujudkan di peringkat Persekutuan dan Negeri serta pengusaha industri. Oleh itu, sebanyak empat bilion Ringgit akan diperuntukkan untuk melaksana projek penyaluran air antara negeri, membina dan menaik taraf loji rawatan air serta mengurangkan kehilangan dan pembaziran air. Usaha untuk membangun dan membaikpulih loji rawatan pembetungan bertujuan memperbaiki dan memperluaskan perkhidmatan pembetungan akan dilaksanakan. Dengan pelaksanaan usaha ini kita akan dapat memastikan bahan buangan memenuhi piawaian yang ditetapkan di samping melindungi alam sekitar. Untuk tujuan ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak 1.6 bilion Ringgit. 74. Sekarang izinkan saya menerangkan secara ringkas penggunaan peruntukan bagi sektor sosial. Peruntukan pembangunan bagi pendidikan dan latihan akan digunakan bagi menambah peluang dan memperbaiki kualiti pendidikan dan latihan terutama untuk memenuhi keperluan ekonomi berasaskan pengetahuan. Kapasiti program pendidikan dan latihan dalam bidang sains dan bidang berkaitan teknologi akan diperluaskan. Kemudahan tambahan akan disediakan manakala kemudahan sedia ada dipertingkatkan. Di peringkat pendidikan tertiari, beberapa universiti, politeknik dan institusi latihan kemahiran baru akan dibina. Bagi perkhidmatan kesihatan, tumpuan akan diberi bagi memperluaskan skop dan liputan serta mempergiatkan pelaksanaan perkhidmatan penggalakan, pencegahan, penyembuhan dan pemulihan. Perumahan dan perkhidmatan sosial lain akan terus diberi keutamaan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat dan menyumbang kepada pembentukan masyarakat penyayang. Keutamaan juga akan terus diberi untuk pembangunan rumah kos rendah dan sederhana rendah. Pembangunan rumah kos rendah akan dipercepat untuk memastikan rakyat yang berkelayakan akan disediakan rumah sama ada untuk disewa atau dijual kepada mereka. PENSWASTAAN 75. Program penswastaan memberi keutamaan yang tinggi kepada projek-projek yang boleh merangsang pertumbuhan ekonomi dan berdaya maju serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat. Oleh itu, Kerajaan akan mengenalpasti projek-projek yang dapat menjana kesan pengganda dan meningkatkan kualiti perkhidmatan terutama di sektor pengangkutan, pembinaan dan utiliti. 76. Prosedur penilaian projek yang lebih teliti akan diguna pakai termasuk menggunakan perkhidmatan pakar runding dan juru audit bebas serta menjalankan kajian soal selidik untuk mendapatkan pandangan rakyat ke atas projek-projek yang diswastakan. 77. Bagi melindungi kepentingan pengguna dan memastikan pembangunan yang sihat dalam sektor yang terlibat dengan penswastaan, langkah untuk menyusun semula badan kawal selia akan dipercepat dan diperkukuhkan melalui sokongan perundangan dan peningkatan keupayaan badan tersebut. PENUTUP 78. Dalam beberapa dekad yang lepas, kita telah membina asas yang kukuh bagi pertumbuhan yang pesat dan mampan. Kekuatan dan ketahanan kita telah diuji berkali- kali apabila faktor-faktor dalaman dan luaran menyebabkan ekonomi negara kita menjadi lembab. Cabaran yang terakhir ialah apabila penyangak matawang telah menekan turun nilai matawang dan Bursa Saham Kuala Lumpur. Tetapi setiap kali kita telah berjaya memulihkan semula ekonomi dan membangunkannya dengan lebih pesat. 79. Serangan ke atas harimau-harimau ekonomi dari Asia Timur telah menyebabkan kegawatan yang teruk berlaku di semua negara ini. Kita telah memilih untuk tidak berhutang dari IMF untuk memulihkan ekonomi dan kewangan negara kita. Walaupun pakar-pakar dunia meramalkan bahawa Malaysia akan jatuh tersungkur kerana kawalan modal yang dilaksanakan olehnya, tetapi hari ini semua mereka, termasuk George Soros terpaksa mengaku bahawa pendekatan Malaysia mampu menyelesaikan kegawatan akibat kejatuhan nilai matawang dan saham. 80. Semua angka tunjuk atau `economic statistics', dengan izin, menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia bukan sahaja telah pulih, tetapi pulih lebih baik dari negara- negara lain yang telah diserang bersama. Setelah KDNK menguncup sebanyak 7.4 peratus pada tahun 1998, pertumbuhan sebanyak 5.8 peratus dicapai pada tahun 1999 dan 8.5 peratus pada tahun 2000. Rizab asing negara telah meningkat daripada 20 bilion Dolar Amerika pada tahun 1997 kepada 27 bilion Dolar Amerika sekarang. Pada akhir tahun 1999 ia meningkat kepada 31 bilion Dolar Amerika tetapi telah menurun sedikit kerana peningkatan import, penghantaran balik keuntungan dan hasil jualan saham, pelaburan di luar negeri oleh firma Malaysia dan kejatuhan nilai Yen dan Euro yang menjadi sebahagian simpanan wang asing kita. 81. Pengangguran berada di sekitar tiga peratus dan inflasi adalah rendah. Eksport meningkat sehingga lebih daripada 287 bilion Ringgit sementara jumlah dagangan meningkat kepada 515 bilion Ringgit. Imbangan bayaran memihak kepada Malaysia. Pendapatan per kapita meningkat daripada 12,160 Ringgit (1998) kepada 13,360 Ringgit (2000). 82. Semua angka ini adalah sahih dan bukan ciptaan. Tetapi ada pihak yang sanggup mendakwa kononnya ekonomi Malaysia rosak kerana pendekatan yang digunakan oleh Kerajaan Malaysia. Dakwaan ini sebenarnya mendedahkan kejahilan parti-parti lawan. Seperti biasa mereka tidak dapat membezakan di antara yang baik dengan yang buruk. Mata mereka dikaburi oleh kepentingan politik mereka. Namun seperti kata pepatah Melayu, "anjing menyalak bukit, bukit tidak akan runtuh". 83. Oleh itu Kerajaan Barisan Nasional akan meneruskan pelaksanaan Rancangan Malaysia Kelapan yang menjadi fasa pertama Dasar Wawasan Negara. Kita percaya segala- gala yang dirancang dan diramalkan oleh Kerajaan akan menjadi kenyataan dalam jangka masa lima tahun Rancangan Malaysia Kelapan, insya-Allah. 84. Rekod Kerajaan Barisan Nasional dengan rancangan- rancangan lima tahunnya adalah jelas untuk semua pihak melihat. Kita tidak merancang sahaja. Kita telah melaksanakan rancangan kita dengan jayanya. Kita yakin Rancangan Malaysia Kelapan juga akan dilaksanakan dengan jayanya untuk rakyat dan negara Malaysia, insya- Allah. Segala percubaan untuk menghalang pelaksanaan Rancangan ini akan gagal kerana rakyat Malaysia bersama dengan Kerajaan ini untuk mempertahankannya. 85. Dengan penuh insaf dan keyakinan, saya, Tuan Yang Di Pertua, mohon mencadang. Sumber : Pejabat Perdana Menteri Download Teks Ucapan
Google