Oleh/By : DATO SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA
Tarikh/Date : 01-05-2001
Tajuk/Title : PERUTUSAN HARI PEKERJA
Versi :
Penyampai : PM
Warga pekerja di negara kita sungguh bertuah
kerana sekali lagi dapat menyambut Hari Pekerja tahun
ini dalam keadaan terselamat daripada ancaman
pengangguran secara besar-besaran. Kerajaan pula terus
menghargai dan mengiktiraf sumbangan dan jasa mereka
kepada kemajuan negara.
2. Hari Pekerja diraikan kerana negara dan masyarakat
menghargai sumbangan pekerja kepada pembangunan negara.
Sementara kita tidak menafikan peranan majikan tetapi
majikan dengan sendirinya tidak mungkin menjayakan apa-
apa usaha. Tetapi di masa yang sama kita juga perlu
mengakui bahawa tanpa pelabur dan majikan, tidak akan
ada peluang pekerjaan dan tidak akan ada pekerja.
3. Sebenarnya kita semua saling gantung bergantung
kepada semua pihak. Seperti kata orang, kita tidak
mungkin bertepuk dengan sebelah tangan.
4. Pada satu masa dahulu pemodal atau Kapitalis telah
menindas pekerja mereka secara tidak bertimbang rasa.
Untuk mendapat keadilan, masyarakat pekerja telah
menubuhkan kesatuan-kesatuan sekerja dan parti-parti
buruh. Melalui tindakan perusahaan dan sokongan kepada
parti-parti buruh, penindasan ke atas pekerja dapat
dikurangkan. Malangnya kekuatan kesatuan dan parti
buruh menyebabkan mereka membuat tuntutan-tuntutan yang
keterlaluan. Kerajaan-Kerajaan yang didirikan oleh
parti buruh atau Sosialis telah memiliknegarakan semua
perusahaan dengan kepercayaan bahawa segala keuntungan
yang didapati akan dapat diagihkan kepada pekerja
dengan lebih saksama.
5. Malangnya ini menyebabkan produktiviti menurun dan
kos pengeluaran meningkat dengan tinggi. Hasil
keluaran menjadi tidak berdaya saing dan keuntungan
tidak diperolehi. Akhirnya ekonomi negara merosot
dengan teruknya.
6. Kepercayaan kepada Kerajaan Sosialis atau buruh
merosot kerana ini dan pekerja sendiri menolak parti
mereka dan memilih parti yang lebih memihak kepada
majikan dan Kapitalis.
7. Oleh kerana Kerajaan-Kerajaan Kapitalis ini tidak
lagi begitu menekan pekerja untuk mendapat sokongan,
parti-parti buruh terpaksa menghargai peranan pelabur
Kapitalis. Dengan itu kita lihat sekarang parti buruh
tidak banyak berbeza daripada parti yang disokong oleh
kapitalis. Mereka juga menerima penswastaan sebagai
pendekatan yang baik untuk menjaga kepentingan pekerja.
Demikian kita melihat perbezaan antara peranan pekerja
dengan majikan tidak sebegitu ketara lagi. Masyarakat
terpaksa mengakui akan peranan kedua-dua pihak, pelabur
dan Kapitalis di satu pihak dengan pekerja di pihak
lain, adalah sama penting.
8. Tetapi proses menentukan peranan siapa yang lebih
penting dan perlu dihargai belum tamat. Sepertimana
kita semua tahu semasa Perang Dingin, persaingan ialah
antara negara Sosialis dan Komunis yang kononnya
memihak kepada pekerja atau buruh dengan puak pasaran
bebas yang mengutamakan kepentingan pelabur atau
Kapitalis. Persaingan ini berakhir apabila blok
Sosialis ditewaskan oleh blok Kapitalis pasaran bebas.
Kekalahan blok Sosialis adalah `total' dan puak
Kapitalis tidak ada lagi sesiapa yang mencabarnya.
Dengan itu mereka tidak lagi menerima keperluan
mengawal nafsu tamak mereka.
9. Niat mereka yang lama untuk menguasai dan
mengeksploitasi seluruh dunia sudah kembali. Mereka
mencipta pelbagai pendekatan untuk menjayakan matlamat
mereka. Antaranya ialah globalisasi atau dunia tanpa
sempadan di mana wang yang bertimbun-timbun yang ada
pada mereka boleh melintasi semua sempadan untuk
menguasai segala-galanya.
10. Dalam perancangan mereka pekerja tidak ada peranan
selain daripada menyumbang kepada keuntungan besar bagi
mereka. Demikian jika upahan pekerja di satu negara
tinggi sedikit, mereka akan mencabut perusahaan dan
perniagaan mereka untuk pergi ke negara di mana upah
adalah lebih murah. Penderitaan pekerja yang akan
menganggur akibat tindakan mereka tidak sedikit pun
akan mempengaruhi fikiran mereka. Bahawa sebelum ini
mereka meraih keuntungan yang besar hasil sumbangan
tenaga pekerja mereka tidak dihargai sama sekali.
Tidak akan ada kesetiaan bagi yang setia kepada mereka?
11. Kesan daripada tindakan ini tidak terhad kepada
pekerja mereka sahaja, tetapi juga kepada negara dan
kepada masyarakat pekerja keseluruhannya. Akhirnya
mereka yang sudah kaya, Kapitalis jenis baru ini, akan
lebih kaya dan yang miskin akan lebih miskin.
Keadaannya tidaklah banyak berbeza daripada pengguguran
pekerja tempatan kerana ingin mengganti dengan pekerja
asing yang sanggup menerima upahan yang lebih rendah.
12. Kemungkinan-kemungkinan ini hendaklah diberi
perhatian oleh masyarakat pekerja di zaman globalisasi
ini. Jika Kerajaan sekarang tidak begitu senang hati
dengan globalisasi dan ingin mengadakan syarat-syarat
tertentu, sebabnya ialah kerana kita tidak yakin dengan
keikhlasan mereka yang mencipta globalisasi dan cuba
memaksa penerimaannya secepat mungkin. Kita telah
melihat bagaimana kebebasan yang diberi untuk menjual-
beli matawang telah menyebabkan jutaan pekerja
kehilangan pekerjaan dan menjadi miskin semula.
Perniagaan matawang adalah sebahagian daripada proses
globalisasi. Apakah tidak mungkin globalisasi seperti
yang dilaksanakan sekarang tidak akan membawa kesan
yang sama atau lebih buruk kepada negara dan kepada
pekerja khususnya?
13. Semasa tuan-tuan dan puan-puan merayakan Hari
Pekerja ada baiknya jika kita memperingati diri kita
sendiri akan bahaya yang akan datang melalui
globalisasi. Dalam menangkis bahaya ini Kerajaan dan
pekerja harus berganding bahu dan menyusun langkah
bersama supaya pertahanan kita menjadi lebih berkesan.
14. Tema Hari Pekerja tahun ini ialah "K-Pekerja
Pemangkin Kecemerlangan Negara". Tema ini dipilih
kerana pekerja zaman ini memerlukan pengetahuan yang
lebih untuk meningkatkan produktiviti mereka dan
menjadikan hasil kerja mereka lebih kompetitif. Sudah
tentu ini bermakna pekerja mestilah sanggup dilatih
semula. Adalah diharap kecekapan yang baru ini akan
menolong meningkatkan pendapatan pekerja. Tidak ada
jaminan yang ini akan berlaku tetapi perkara yang tetap
akan berlaku ialah kegagalan kita menguasai pengetahuan
yang diperlukan akan membawa bencana kepada kita,
termasuk pengangguran akibat pelaburan dibawa ke negara
lain.
15. Dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga
(RRJP3) Kerajaan memberi fokus kepada usaha melatih dan
mendidik tenaga kerja kita dengan pengetahuan,
kemahiran dan kepakaran agar mereka dapat terus
mendapat peluang bekerja dan menyumbang kepada
pembangunan negara.
16. Kerajaan ingin menegaskan sekali lagi bahawa
kemajuan yang dicapai oleh negara sejak merdeka adalah
hasil daripada keamanan yang wujud selama ini, serta
sokongan dan sumbangan semua pihak kepada usaha dan
dasar Kerajaan. Dengan ini kita bukan sahaja dapat
membangunkan negara dan memulihkannya apabila berlaku
kemerosotan, tetapi juga menyelamatkan kebebasan dan
kemerdekaan kita.
17. Justeru itu, adalah wajar kita semua bersyukur
dengan nikmat yang kita perolehi selama ini. Kita
harus insaf hidup kita selama ini begitu selesa,
bahagia, aman dan makmur. Dengan kesedaran ini diharap
kita akan lebih berazam untuk memperbaiki lagi
kehidupan kita di masa akan datang, masa yang lebih
mencabar.
18. Kerajaan berjanji akan terus membela nasib kaum
pekerja kerana mereka adalah nadi penting kepada
pembangunan dan kemajuan rakyat serta negara. Tetapi
Kerajaan juga berharap para pekerja akan sentiasa
bertindak dengan berhati-hati supaya kestabilan dan
daya penarik negara sebagai lokasi pelaburan dari dalam
dan luar akan berterusan.
19. Akhir sekali, bagi pihak diri saya dan Kerajaan,
saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua
warga pekerja yang telah tekun bekerja untuk membina
negara kita ke arah kecemerlangan. Negara sangat
menghargai sumbangan saudara saudari semua. Selamat
menyambut Hari Pekerja.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
Download Teks Ucapan
|