Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA
Tarikh/Date : 07-05-2001
Tajuk/Title : PERUTUSAN HARI WESAK 2001
Versi :
Penyampai : PM
Saya dan isteri saya mengucapkan selamat menyambut hari
Wesak kepada semua rakyat Malaysia, khususnya para
penganut agama Buddha.
Hari Wesak merupakan salah satu acara kebesaran agama
yang penting yang disambut oleh penduduk Malaysia yang
menganuti agama Buddha.
Di Malaysia, sambutan secara besar-besaran acara
keagamaan adalah satu perkara biasa. Ianya merupakan
manifestasi dasar kebebasan agama yang diamalkan oleh
Kerajaan dan rakyat Malaysia. Walaupun Islam diiktiraf
sebagai agama rasmi negara dan penganutnya merupakan
kaum majoriti di negara ini, namun ianya tidak
menidakkan kebebasan kaum lain untuk menganut dan
mengamal agama kepercayaan mereka. Begitu juga dalam
soal bahasa, budaya dan adat resam. Setiap kaum bebas
mengamalkan bahasa, budaya dan adat resam masing-masing
tanpa sebarang sekatan.
Walaupun ini sudah menjadi kebiasaan, nikmat dan
keistimewaan ini harus dihargai oleh kita rakyat
Malaysia yang berbilang kaum di bumi yang bertuah ini.
Di sesetengah negara lain, kaum minoriti sering
ditindas dan dicabuli hak mereka oleh kaum majoriti.
Tetapi ini tidak berlaku di Malaysia.
Kita mungkin terdiri daripada kaum minoriti, namun hak
dan kebebasan kita tetap terpelihara di bawah
perlembagaan dan undang-undang negara. Kita sungguh
bertuah sifat toleran dan saling faham memahami antara
kaum yang berlainan agama, bahasa dan budaya di negara
kita yang dipupuk sejak sekian lama telah membawa
keharmonian dan perpaduan rakyat.
Formula ini telah kita terima pakai sejak negara kita
merdeka. Keberkesanannya telah terbukti di mana
Kerajaan telah berjaya memajukan dan membangunkan
negara dan membuka peluang untuk rakyat mencari
kemajuan dan kemakmuran.
Tetapi kebelakangan ini terdapat usaha pihak tertentu
untuk menghancurkan perpaduan dan menimbulkan kekecohan
di dalam negara menerusi sikap keterlaluan, rusuhan
jalanan dan perbalahan antara kaum. Kita bernasib baik
kerana majoriti rakyat masih bersikap rasional dan
tetap menyokong usaha kerajaan untuk mengekalkan
keamanan dalam negara menerusi tindakan undang-undang
yang sedia ada.
Hari Wesak seperti hari-hari kebesaran yang lain dapat
disambut dengan meriah dan penuh kegembiraan bukan
sahaja oleh para penganut agama Buddha, tetapi juga
oleh semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan,
keharmonian dan perpaduan antara kaum.
Hari Wesak disambut untuk memperingati beberapa acara
penting di dalam kehidupan pengasas agama Buddha,
Gautama Buddha. Namun yang lebih utama ialah gesaan
terhadap melakukan kebaikan sesama insan dan
menjalankan kerja-kerja amal dan ini telah dilakukan
dengan baik oleh penganut-penganut agama Buddha di
Malaysia.
Sempena hari Wesak pada tahun ini, saya harap semua
penganut agama Buddha di Malaysia akan berusaha untuk
mempereratkan lagi hubungan antara kaum dan menguatkan
semangat perpaduan dan cintakan negara di samping
menyumbang terhadap pembangunan dan kesejahteraan
negara kita.
Sekali lagi saya dan isteri saya mengambil kesempatan
ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Wesak.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
Download Teks Ucapan
|