Oleh/By  	:	DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue	:	DEWAN SERI NEGERI, KOMPLEKS SERI 
			NEGERI AYER KEROH, MELAKA
Tarikh/Date	:	16/05/2001
Tajuk/Title 	:	MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU 
			PERINGKAT KEBANGSAAN
Versi 		:	
Penyampai	:  	PM
		    

  
  " MEMARTABATKAN PROFESION KEGURUAN TANGGUNGJAWAB BERSAMA "
   
     
        Alhamdulillah,  bersyukur  kita  ke  hadrat   Allah
   s.w.t. kerana dengan limpah kurnia dan hidayah-Nya  kita
   berkesempatan  untuk berada di sini dalam  suasana  yang
   ceria  dan  harmonis  bagi meraikan sambutan  Hari  Guru
   2001.   Beradanya kita bersama pada hari yang bersejarah
   ini  menunjukkan warga pendidik di tanah air bersatu  ke
   arah  memartabatkan profesion perguruan. Di samping  itu
   majlis  pada  hari ini adalah sebagai tanda penghormatan
   terhadap  jasa serta sumbangan para pendidik di  seluruh
   tanah air.
   
   2.    Terlebih dahulu saya mengucapkan Selamat Hari Guru
   kepada  semua warga pendidik seluruh tanah air, di  mana
   juga  mereka  berada. Hari ini, 16 Mei,  merupakan  hari
   paling  istimewa bagi masyarakat pendidik. Setiap  tahun
   pada  tarikh  ini, Hari Guru diraikan bersama-sama  oleh
   semua   warga   pendidikan  dan  pelajar  di   peringkat
   kebangsaan,  negeri, daerah dan sekolah. Pelbagai  acara
   dijalankan bagi memenuhi program Sambutan Hari Guru.
   
   3.     Sambutan  pada  tahun  ini  akan  lebih  bermakna
   sekiranya  semua  pihak, dari pelbagai peringkat,  terus
   memberi  sokongan  kepada  profesion  keguruan,   sesuai
   dengan  tema  Hari Guru tahun ini, iaitu  "Memartabatkan
   Profesion  Keguruan  Tanggungjawab  Bersama".   Justeru,
   semua  agensi  yang  berkaitan dengan  pendidikan  perlu
   memainkan  peranan  mengikut bidang kuasa  masing-masing
   bagi memastikan profesion keguruan terus dimuliakan  dan
   dapat  menyumbang  sepenuhnya kepada pembangunan  negara
   dan kesejahteraan masyarakat Malaysia seluruhnya.
   
   4.    Kita sekarang memilih perkataan `pendidikan'  bagi
   mengganti pelajaran.  Ini adalah oleh kerana guru  bukan
   sahaja  bertanggungjawab membekalkan murid  dengan  ilmu
   pengetahuan  tetapi  juga  dengan  pembentukan  peribadi
   yang  mulia  yang sesuai dengan kejayaan  di  dunia  dan
   membuat  bekalan  untuk  akhirat.   Tugas  ini  biasanya
   dilaksanakan oleh guru tanpa latihan yang formal  kerana
   dipercayai   guru  tentulah  tahu  akan   apakah   ianya
   peribadi  yang  mulia.   Tetapi  hari  ini  guru   tidak
   mendapat  panduan yang cukup daripada budaya  masyarakat
   yang  kerana  sebab-sebab tertentu sudah menjadi  begitu
   terkeliru dan tidak tentu arah.
   
   5.    Umpamanya  dahulu kita semua percaya  bahawa  kita
   perlu  balas  budi  dan  berterima  kasih  apabila  kita
   menerima sesuatu.  Pantun Melayu berbunyi:
   
             Pulau Pandan jauh ke tengah;
                  Gunung Daik bercabang tiga;
             Hancur badan dikandung tanah;
                  Budi yang baik dikenang juga.
   
   6.    Hari ini pendapat disebar bahawa kita tidak  perlu
   terhutang  budi  dan  tidak perlu berterima  kasih  pun.
   Apa  yang  kita terima memang pun hak kita.   Memadailah
   jika  kita  bersyukur  (iaitu  berterima  kasih)  kepada
   Allah  s.w.t.   Kita tidak perlu berterima kasih  kepada
   mereka yang menyampai sesuatu kepada kita.  Sudah  tentu
   kita tidak perlu mengenang budi.
   
   7.     Pendapat   ini   menimbulkan   kekeliruan   dalam
   masyarakat,  termasuklah  di  kalangan  guru  dan  bakal
   guru.   Dengan  itu  guru  tidak  dapat  menyemai  nilai
   seperti mengenang budi dan berterima kasih kepada  murid
   dan  pelajar yang akan menjadi anggota masyarakat dewasa
   kemudian.  Mungkin yang akan disemai ialah sebaliknya.
   
   8.    Apakah akan jadi kepada masyarakat yang tidak tahu
   berterima  kasih,  tidak  tahu  mengenang  budi?   Sudah
   tentu  dalam  masyarakat tidak akan ada tolong-menolong,
   kerana  bukan  sahaja terima kasih tidak akan  diucapkan
   tetapi   jika   pihak   yang   menolong   perlu   kepada
   pertolongan,  yang telah menikmati pertolongannya  tidak
   akan   membalas  budi.   Masyarakat  seperti  ini  tidak
   mungkin  aman, tidak akan ada hubungan yang baik  antara
   anggotanya, tidak akan ada sikap tolong-menolong, bantu-
   membantu   apabila  malapetaka  berlaku.   Masing-masing
   akan   mengutamakan  kepentingan  diri  sendiri  sahaja.
   Rasuah   akan   berleluasa  kerana  rasuah  mengutamakan
   kepentingan  diri.  Tidak ada urusan yang  boleh  dibuat
   tanpa menghulur rasuah.
   
   9.    Dalam  keadaan  kekeliruan yang terdapat  sekarang
   guru  sebagai  pendidik yang terlatih boleh  menjelaskan
   nilai  mana  yang patut dipegang supaya masyarakat  yang
   bahagia dapat didirikan.  Demikian jugalah dengan nilai-
   nilai  lain yang boleh membentuk peribadi yang mulia  di
   kalangan  generasi  yang akan datang.   Dengan  peribadi
   yang  mulia seperti ini maka ilmu yang dipelajari  dapat
   digunakan  dengan baik oleh generasi yang  menyusul  dan
   sekaligus  bangsa  yang  berjaya dan  bertamadun  tinggi
   dapat  didirikan.   Secara langsung dan  tidak  langsung
   gurulah  yang menentukan masa depan bangsa  dan  negara.
   Jika  hari  ini kita telah mencapai kemajuan  yang  luar
   biasa  dan  cemerlang  guru berhak berpuas  hati  dengan
   sumbangan mereka kepada kecapaian ini.
   
   10.     Tema   hari   guru   pada   tahun   ini   adalah
   "Memartabatkan    Profesion    Keguruan    Tanggungjawab
   Bersama".  Sejak pembelajaran berkembang sehingga  semua
   kanak-kanak berpeluang berpelajaran, jumlah  guru  telah
   meningkat dengan tingginya.  Tetapi ekonomi negara  yang
   maju  telah  mewujudkan begitu banyak peluang  pekerjaan
   sehingga  mereka  yang berkelayakan  berpeluang  memilih
   berbagai-bagai    jenis   pekerjaan   selain    daripada
   perguruan.   Dengan  ini  terdapat  kadang-kadang  calon
   yang  kurang  sesuai memilih untuk  menjadi  guru.   Ini
   mengurangkan sedikit martabat profesion perguruan  dalam
   pandangan masyarakat.
   
   11.   Namun demikian martabat profesion perguruan  boleh
   ditingkatkan  dengan  usaha bersama  oleh  semua  pihak.
   Kerajaan sudah tentu akan berusaha, tetapi ibu bapa  dan
   masyarakat   umum  juga  perlu  membantu  dalam   proses
   pemulihan  ini.   Kepercayaan  hendaklah  diberi  kepada
   guru,  terutama  dalam  usaha  membentuk  peribadi  yang
   mulia  di kalangan murid, iaitu dalam mendidik anak-anak
   kita, warga dewasa akan datang.
   
   12.    Apabila   kita   merdeka  kita   gembira   kerana
   pentadbiran negara kembali ke tangan kita.   Dengan  itu
   kita  dapat  menentukan anak kita bukan sahaja  mendapat
   pelajaran  sehingga ke peringkat tertinggi  tetapi  juga
   budaya  mereka akan diasuh sehingga lebih sesuai  dengan
   kejayaan dan ketahanan negara.
   
   13.   Buat  beberapa lama kita berjaya dalam usaha  ini.
   Sebab  itu rakyat pasca-Merdeka lebih berilmu dan  lebih
   berjaya  dari sebelum merdeka.  Sekarang ini kita  sudah
   mula  melihat  perkara-perkara yang kurang  menyenangkan
   muncul  dalam  sekolah dan institusi  pendidikan  kerana
   pengaruh-pengaruh   yang  negatif   telah   meresap   di
   kalangan sesetengah guru.  Mereka membelakangkan  agenda
   negara  kerana  terpengaruh dengan agenda  lain.   Sikap
   mereka  dipengaruhi dengan dakwaan bahawa Kerajaan  yang
   memerintah  tidak sempurna perjalanannya dan  bagi  guru
   yang  beragama Islam, dakwaan bahawa Kerajaan ini  tidak
   Islam.
   
   14.   Dalam  sistem  pentadbiran demokratik  berparlimen
   jentera  Kerajaan  perlu bersikap  profesional  -  iaitu
   menjalan  dan  melaksanakan  segala  arahan  dan   dasar
   Kerajaan  pilihan rakyat semasa menjalankan tugas  tanpa
   menyalahguna  kedudukan kerana sebab-sebab  lain.   Jika
   jentera  Kerajaan tidak bersikap profesional maka  semua
   Kerajaan   akan  gagal  dan  negara  tidak  akan   dapat
   ditadbir  dengan sempurna.  Kerajaan yang  lain  apabila
   dipilih  akan menghadapi masalah yang sama, iaitu  tidak
   mendapat    kesetiaan   sepenuhnya   daripada    jentera
   pentadbiran.   Yang  akan menjadi mangsa  adalah  rakyat
   dan  negara; dan guru juga akan menerima padahnya kerana
   mereka juga rakyat.
   
   15.    Sementara  anggota  pentadbiran  boleh   memiliki
   pandangan   yang  berlainan  daripada  Kerajaan   semasa
   tetapi  di  waktu  menjalankan  tugas,  pandangan   yang
   berlainan  ini  tidak  harus  mempengaruhi  kerja   yang
   dipertanggungjawabkan.
   
   16.   Demikian  juga  mereka yang  menyokong  dasar  dan
   arahan  Kerajaan  semasa  perlu  menjalankan  dasar  dan
   arahan  Kerajaan  baru jika ini menjadi pilihan  rakyat.
   Dengan  ini walaupun Kerajaan dan dasar-dasar  bertukar,
   pentadbir  dan  guru juga dapat menyumbang  dengan  baik
   kepada pentadbiran negara.
   
   17.   Pendapat bahawa Kerajaan ini tidak Islam dan tidak
   mengutamakan  ajaran  Islam tidak harus  timbul.   Semua
   pelajaran  yang  diajar  dalam  sekolah  dan  universiti
   adalah  ilmu  yang berkait rapat dan diperlukan,  bahkan
   diwajibkan  oleh agama Islam.  Semua ilmu ini diperlukan
   untuk  memaju, mempertahan dan menyelamatkan umat Islam.
   Kerana  umat  Islam  mengabaikan ilmu-ilmu  inilah  yang
   hari  ini  orang Islam mudah ditindas dan  dibunuh  oleh
   musuh-musuh  Islam.   Tuduhan  bahawa  Kerajaan  terlalu
   mengutamakan  dunia  adalah fitnah  yang  harus  ditolak
   oleh  semua  pihak  kerana ia tidak  benar.   Sebaliknya
   mereka  yang  menolak dunia sehingga orang  Islam  tidak
   dapat  hidup  sempurna,  bahkan tidak  dapat  beribadat,
   mereka  sebenarnya mengkhianati Islam  dan  umat  Islam.
   Islam   mewajibkan  kita  mengimbangi  di  antara  dunia
   dengan akhirat.
   
   18.   Perkara-perkara seperti ini perlu diberi perhatian
   oleh    guru-guru   supaya   sumbangan   guru   terhadap
   pembangunan  rakyat  masa depan menjadi  lebih  berkesan
   dan  positif.  Masyarakat pula perlu membantu guru dalam
   usaha  ini  dan  tidak  harus memperalatkan  guru  untuk
   kepentingan tertentu.
   
   19.   Salah  satu  usaha  yang  jitu  dan  mantap  untuk
   memartabatkan   profesion   perguruan    ialah    dengan
   mewujudkan    `Functional    Intellectual    Community'.
   Sepertimana  yang tuan-tuan dan puan-puan sedia  maklum,
   setiap  tahun Kerajaan memperluaskan peluang  pendidikan
   pasca  ijazah  kepada para guru dan  warga  pendidik  di
   Kementerian  Pendidikan supaya mereka  menambahkan  ilmu
   pengetahuan  serta  melibatkan  diri  di  dalam   wacana
   keilmuan   di  peringkat  yang  lebih  tinggi.    Adalah
   diharapkan  dengan penglibatan tersebut  para  guru  dan
   warga  pendidik di Kementerian Pendidikan  akan  menjadi
   insan  yang  berhemah  tinggi, berfikiran  waras,  dapat
   mengemukakan  idea  yang bernas dan menyumbang  ke  arah
   menjadi  warga dunia yang berketrampilan di  abad  ke-21
   ini.    `Functioning  Intellectual  Community'   menjadi
   lemah  apabila  negara  kita  dilanda  pelbagai  ancaman
   luaran   hasil  daripada  neo-kolonialisme   Barat   dan
   pengaruh dunia tanpa sempadan yang sedang diusahakan.
   
   20.   Saya  percaya bahawa semua warga pendidik  terdiri
   daripada  kalangan  intelektual.   Warga  pendidik  yang
   peka  dan  prihatin dapat mengasuh dan menyemai kualiti-
   kualiti  yang  boleh  memberi  keupayaan  kepada  rakyat
   mempertimbangkan di antara yang baik dengan yang  buruk.
   Ini  menjadi  penting  kerana selain  daripada  pengaruh
   dalaman,  hari  ini terdapat kekeliruan yang  disebabkan
   peralihan  nilai-nilai yang diterimapakai  oleh  manusia
   sejagat.  Umpamanya jika dahulu kesetiaan kepada  bangsa
   dan  negara, iaitu patriotisme tidak dipersoalkan,  hari
   ini  pendapat  bahawa  bekerjasama  dengan  orang  asing
   untuk  memburukkan negara adalah satu  usaha  yang  baik
   dan   kononnya  mencerminkan  kesetiaan  kepada  negara.
   Jika  pendapat  seperti ini diterima  maka  penderhakaan
   akan  menjadi  mulia.  Dan ini akan  mendedahkan  negara
   kepada penguasaan atau dominasi oleh bangsa asing.
   
   21.   Untuk  menentukan masyarakat dan rakyat menyumbang
   kepada   pembangunan  negara,  keupayaan  berfikir   dan
   menilai  di  antara yang baik dengan yang buruk  amatlah
   penting.  Sudah tentu guru perlu memiliki kebolehan  ini
   supaya dapat disemai dan dikembangkan di kalangan  murid
   yang akan menjadi warganegara dan pemimpin masa depan.
   
   22.   Malaysia memerlukan tenaga kerja jenis baru, iaitu
   apa  yang  dikenali  sebagai  `knowledge  workers'  atau
   pekerja  yang  menggunakan ilmu sebagai  asas  kerjanya,
   dan  bukan kecekapan tangan semata-mata.  Maklumat  yang
   banyak  berkenaan  tiap  kerja  memberi  peluang   untuk
   memilih  cara yang terbaik supaya hasil kerjanya menjadi
   lebih  tinggi daripada segi kualiti dan rendah  daripada
   segi kos.  Pengetahuan berkenaan keupayaan komputer  dan
   data  boleh  mempercepatkan proses, menjadikannya  lebih
   tepat  (precise)  dan bebas daripada  kecacatan.   Untuk
   mengadakan   pekerja  yang  berpengetahuan   dan   cekap
   mengguna  komputer  maka guru sendiri  mestilah  sanggup
   melengkapkan  diri dengan kemahiran  ini.   Latihan  dan
   latihan  semula  berkali-kali perlu diterima  oleh  guru
   kerana   teknologi  baru  ini  kerap  diperbaharui   dan
   dipertingkatkan.  Mereka yang melayakkan diri  sepanjang
   masa akan mendapat pulangan yang juga bertambah baik.
   
   23.   Guru  juga  perlu menjadi penggerak masyarakat  ke
   arah  peningkatan  budaya membaca.   Ini  menjadi  lebih
   penting  kerana  akses  kita kepada  ilmu  dipermudahkan
   melalui  Internet.   Jika  kita  kurang  membaca,   maka
   tentulah  kita  akan  kekurangan  ilmu  untuk  menangani
   masalah  hidup  dan  memilih di antara  pendekatan  yang
   terbaik  dalam  kerja-kerja kita.  Jika rakyat  Malaysia
   kurang   membaca,  maka  daya  saing  kita  tetap   akan
   tergugat.   Dalam  dunia globalisasi kelemahan  daripada
   segi  ilmu  pengetahuan tetap akan  meletakkan  kita  di
   bawah telunjuk orang - iaitu kita akan dijajah semula.
   
   24.    Adakalanya  prestasi  masyarakat   tidak   begitu
   menyenangkan.   Jika  dikaji  biasanya  prestasi  kurang
   baik  ini  disebabkan  oleh amalan dan  pegangan  kepada
   nilai-nilai  hidup  yang tidak baik.  Untuk  memperbaiki
   pencapaian    dan   memulihkan   prestasi    masyarakat,
   perubahan   perlu   dibuat  kepada  sikap   dan   budaya
   masyarakat berkenaan.
   
   25.   Di Malaysia terdapat penduduk pelbagai kaum.  Yang
   malang  dan  menyedihkan  ialah prestasi  kaum-kaum  ini
   tidak sama.  Ada yang berjaya dan ada yang tidak.   Jika
   prestasi  kaum-kaum  hendak  ditingkatkan  maka   adalah
   penting  sifat  dan sikap yang tidak  membina  yang  ada
   pada  kaum yang terkebelakang hendaklah dikikis.   Sikap
   dan  budaya  yang membina perlu dikenalpasti  dan  guru-
   guru  berperanan penting untuk menukar yang buruk kepada
   yang baik.
   
   26.   Untuk  melakukan  ini guru  yang  bertanggungjawab
   terpaksa menghadapi banyak fitnah dan tohmahan.   Mereka
   akan  dituduh  mengutamakan  dunia  lebih  dari  akhirat
   walaupun  agama  Islam  jelas  menghendaki  umat   Islam
   mengimbangkan dunia dengan akhirat.  Balasan di  akhirat
   datang  daripada  apa  yang dilakukan  di  dunia.   Jika
   kerana  mengabaikan tanggungjawab di  dunia  umat  Islam
   menjadi  lemah  dan  ditindas,  maka  tempat  mereka  di
   akhirat belum tentu syurga.
   
   27.   Sebenarnya agama Islam adalah benteng  yang  kukuh
   bagi  mempertahankan orang Islam daripada segala  amalan
   yang  buruk  di  dunia.  Sepatutnya orang  Islam  bersih
   daripada  jenayah  dan  amalan-amalan  yang  tidak  baik
   semasa  hidup  di  dunia.  Kita  amat  sedih  kerana  di
   Malaysia  lebih  ramai belia Islam yang terlibat  dengan
   budaya  lepak, penyalahgunaan dadah, perbuatan  sumbang,
   AIDS  dan  HIV,  ponteng sekolah dan amalan-amalan  lain
   yang  tidak  baik berbanding dengan orang  bukan  Islam.
   Sudah  tentu  prestasi yang tidak baik di kalangan  agak
   ramai  orang  Islam bukan disebabkan oleh  agama  Islam.
   Ia  disebabkan  oleh  lemahnya  pegangan  kepada  ajaran
   Islam  atau  berpegang kepada ajaran  yang  keIslamannya
   disangsi.     Kita   lihat   bagaimana    orang    Islam
   mengetepikan  ajaran Islam dan tidak ramai yang  menegur
   mereka  ini.  Sebaliknya teguran dibuat berkenaan dengan
   perkara  yang  bukan  pokok dalam  ajaran  Islam  kerana
   mengutamakan kepentingan lain.  Akibatnya ialah perkara-
   perkara  yang  buruk terus berleluasa di kalangan  orang
   Melayu di negara ini.
   
   28.   Kita  tidak  hendak meletakkan  segala-galanya  di
   bahu    guru.     Tetapi    dalam   tradisi    perguruan
   tanggungjawab  membekal  ilmu  dan  membentuk   peribadi
   individu  yang mulia banyak diserah kepada guru.   Hanya
   untuk  menyemai  nilai-nilai  yang  murni  pun  bukanlah
   sesuatu   yang  mudah.   Tetapi  untuk  secara   sengaja
   memperbetulkan yang salah dan memupuk yang  baik  adalah
   jauh lebih berat.  Tidaklah adil jika tanggungjawab  ini
   dibebankan   ke  atas  guru  sahaja.    Ibu   bapa   dan
   masyarakat  umumnya perlu memainkan peranan  yang  lebih
   besar  daripada yang terdapat sekarang.  Tetapi di  bahu
   guru  jugalah  terletak tanggungjawab  sebagai  pendidik
   untuk  generasi  yang  akan datang menjadi  lebih  teguh
   iman,  lebih cekal dan lebih mampu menangani dunia  yang
   semakin mencabar.
   
   29.   Saya  yakin masyarakat guru di Malaysia  mempunyai
   cukup  kebolehan untuk menanggung kedua-dua  beban  ini,
   iaitu  melengkapkan generasi akan datang dengan  secukup
   ilmu  dunia  dan  akhirat  dan membentuk  peribadi  yang
   mulia  yang mampu menangani cabaran-cabaran hidup  dalam
   dunia   tanpa   sempadan.    Janganlah   sesiapa    cuba
   memutarbelitkan  kenyataan saya  ini  kerana  ia  adalah
   satu pengkhianatan kepada agama, bangsa dan negara.
   
   30.   Akhir  sekali,   saya  menyeru  para  guru  supaya
   menyediakan diri dan bersedia melakukan perubahan  dalam
   melaksanakan   tanggungjawab  mereka.   Pertingkatkanlah
   segala  usaha demi bangsa, agama dan negara. Saya berdoa
   semoga  perayaan  hari guru tahun ini  akan  mengeratkan
   lagi silaturahim dan hubungan baik di kalangan guru  dan
   masyarakat keseluruhannya.
   
   31.   Dengan  ini,  saya  dengan sukacitanya  merasmikan
   Majlis Sambutan Hari Guru Tahun 2001.

   Sumber : Pejabat Perdana Menteri
    




    
    

             
 


 
Google