Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL EDEN, JOHOR BAHRU, JOHOR
Tarikh/Date : 19-05-2001
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN
AGUNG TAHUNAN MIC YANG KE-55
Versi :
Penyampai : PM
Saya ucapkan terima kasih kepada Parti MIC kerana
sekali lagi sudi mengundang saya untuk merasmikan
persidangan Agung Tahunan MIC yang ke-55 tahun ini.
Persidangan MIC kali ini agak menarik kerana ia
diadakan di Johor Baru dan tidak di Kuala Lumpur
seperti kebiasaannya. Tidak lama dahulu mesyuarat
tahunan MIC ini pernah diadakan di Seremban.
2. Langkah menukar tempat persidangan seperti ini
dapat memberi peluang kepada ahli-ahli parti di luar
Kuala Lumpur mengikuti perjalanan persidangan agung
mereka di peringkat kebangsaan secara lebih dekat. Di
samping itu, ahli-ahli parti dari pelbagai peringkat di
negeri-negeri yang persidangan itu diadakan juga
berpeluang mendekati atau mengenali dengan lebih mesra
para pemimpin parti mereka di peringkat pusat yang
hanya sering dilihat di televisyen atau akhbar. Para
perwakilan yang turun dari negeri-negeri lain juga akan
dapat melihat kedudukan dan perkembangan sebenar parti
mereka dan keadaan ahli parti di tempat lain.
3. Mungkin langkah yang diambil oleh parti MIC ini
boleh diikuti atau dicontohi oleh parti-parti komponen
Barisan Nasional termasuk UMNO sendiri. Dengan
bertukar tempat mesyuarat mengikut giliran negeri,
umpamanya, akan timbul rasa kekitaan antara ahli-ahli
dari semua negeri terhadap kegiatan parti. Dan yang
utama ahli-ahli parti akan merasakan mereka tidak
dilupakan dan juga mempunyai peranan sama penting dalam
parti walaupun berada jauh dari ibu pejabat. Dengan
demikian walaupun mereka tidak terpilih sebagai
perwakilan ke persidangan pusat sekurang-kurangnya
mereka dapat mengikuti perkembangan parti mereka secara
dekat.
4. Walaupun langkah ini mungkin akan melibatkan kos
tambahan tetapi ia dapat memberi kesan yang positif
kepada perpaduan parti selain menarik minat rakyat
untuk mendekati dan memahami perjuangan parti-parti
komponen Barisan Nasional. Dengan berbuat demikian
para pemimpin parti akan dapat turun padang secara
beramai-ramai ke tempat persidangan diadakan sekurang-
kurangnya setahun sekali. Ini juga memberi peluang
kepada para perwakilan dari kawasan lain yang tidak
pernah melawat rakan sejawat mereka di negeri-negeri
untuk berbuat demikian.
5. Parti MIC di bawah kepimpinan tegas Dato' Seri S.
Samy Vellu didapati terus kukuh dan berkembang maju
selari dengan kemajuan rakyat dan negara kita.
Walaupun MIC bukannya satu sahaja parti yang dianggotai
oleh rakyat kita yang berketurunan India, namun
didapati ia membela nasib seluruh masyarakat India di
negara kita tanpa mengira kedudukan atau kepentingan
politik mereka. MIC masih popular dan mendapat
sokongan majoriti rakyat berketurunan India di
Malaysia. MIC masih lagi merupakan payung besar yang
melindungi hak dan kepentingan mereka di negara kita.
Di masa yang sama MIC juga menjaga kepentingan kaum
lain melalui sokongannya kepada Barisan Nasional.
6. Saya ucapkan syabas kepada MIC kerana sentiasa
gigih, tekun dan bertungkus lumus dalam usaha dan
perjuangannya untuk memperbaiki keadaan hidup sosio-
ekonomi masyarakat India Malaysia yang masih belum
mencapai tahap kemajuan yang memuaskan. Seperti dengan
kaum-kaum lain iaitu Melayu dan Cina, masih terdapat di
kalangan masyarakat India kelompok-kelompok mereka yang
masih ketinggalan atau terpinggir dari arus pembangunan
negara. Kelompok ini bukan sahaja terdapat di ladang-
ladang di desa-desa malah di pusat-pusat bandar
terutama di kawasan setinggan. Dengan pendapatan yang
rendah dan tidak tetap kehidupan sebilangan kelompok
mereka ini masihlah tidak sempurna dan ini telah
menjadi sebahagian punca timbulnya pelbagai masalah
sosial dalam masyarakat kita hari ini.
7. Namun begitu, nasib mereka tidaklah dibiarkan
tanpa pembelaan. Parti MIC sering meninjau keadaan
kehidupan mereka dan memberi bantuan bagi memperbaiki
kedudukan mereka. Pelbagai bantuan termasuk kemudahan
asas seperti bekalan air, elektrik, jalan raya,
sekolah, pusat perubatan dan kesihatan disediakan untuk
kelompok terpinggir ini oleh Kerajaan melalui usaha
MIC. MIC terutama melalui Presidennya, Dato' Seri S.
Samy Vellu, sentiasa berusaha untuk meningkatkan
pendapatan golongan yang berpendapatan rendah terutama
yang bekerja di estet-estet dan kilang-kilang
perusahaan.
8. Walaupun parti MIC berperanan aktif dalam usahanya
meningkatkan kedudukan masyarakat India, Kerajaan
tidaklah lepas tangan dalam tanggungjawabnya untuk
membantu memperbaiki nasib kaum mereka seperti ia
membantu kaum-kaum lain yang juga merupakan rakyat
Malaysia.
9. Kaum India di negara kita sungguh bertuah kerana
walaupun mereka merupakan golongan minoriti, mereka
menikmati pelbagai peluang untuk memajukan masyarakat
mereka. Peluang ini termasuklah yang disediakan oleh
Kerajaan seperti perniagaan dan perdagangan,
pendidikan, perumahan dan kemudahan-kemudahan asas.
10. Kita sendiri dapat melihat kejayaan atau
pencapaian kaum India di dalam bidang-bidang
profesional tertentu seperti kedoktoran, guaman dan
kejuruteraan. Selain itu, kaum India cukup diwakili
dalam politik. Mereka mempunyai ruang yang luas untuk
berpolitik dan mengamalkan demokrasi di dalam negara
kita. Daripada segi keagamaan, mereka bebas beribadat.
Malah Kerajaan banyak membantu dalam pendirian rumah-
rumah ibadat mereka.
11. Jelas sekali walaupun kaum India adalah kaum
minoriti mereka mempunyai sama peluang dalam segala
bidang seperti yang dinikmati oleh kaum-kaum lain di
negara kita. Mereka mempunyai hak sama rata dengan
orang lain.
12. Dasar Kerajaan ialah memastikan tidak ada mana-
mana kaum di negara kita ketinggalan atau terpinggir
berbanding kaum yang lain dalam arus pembangunan sosio-
ekonomi dan kemajuan negara. Kedudukan yang tidak
seimbang antara kaum dalam apa juga bidang terutama
sosial dan ekonomi akan mencetuskan masalah pergeseran
atau pertelingkahan antara kaum. Kita telah mengalami
keadaan yang tidak seimbang ini. Ia hampir
menjerumuskan negara kita ke arah kehancuran dan
kemusnahan akibat perbalahan kaum yang berpunca
daripada pembahagian kekayaan negara yang tidak
seimbang. Inilah yang cuba dielakkan oleh Kerajaan
daripada berlaku ke atas rakyat dan negara kita.
13. Oleh itu, jika Kerajaan terlihat cenderung
membantu atau memberi keistimewaan kepada satu-satu
kaum sahaja ini bukan bermakna Kerajaan bersikap pilih
kasih kepada kaum tersebut. Ini juga tidak bermakna
Kerajaan menganaktirikan kaum-kaum lain atau
meminggirkan mereka daripada perhatian atau pertolongan
Kerajaan. Jika Kerajaan terlihat hanya menolong satu-
satu kaum sahaja ia adalah disebabkan kaum tersebut
memerlukan perhatian atau tumpuan yang lebih daripada
Kerajaan.
14. Sudah tentu ada kelemahan atau kekurangan pada
kaum-kaum itu yang menyebabkan mereka ketinggalan dan
perlukan pertolongan Kerajaan. Kita tidak boleh
membiarkan kaum tersebut sendiri memperbaiki nasib
buruk mereka kerana sudah terbukti mereka tidak
berkemampuan dan tidak berpeluang menangani masalah
mereka. Mereka masih memerlukan pertolongan dan
perhatian serius Kerajaan. Saya berharap setiap kaum
dapat memahami kedudukan ini kerana ia penting kepada
keamanan dan kemajuan negara kita di masa hadapan.
15. Kerajaan adalah serius dalam usahanya untuk
memperbetulkan masyarakat kita agar sama-sama dapat
menikmati kemajuan dan kemakmuran negara. Kita tidak
mahu melihat rakyat kita dibahagi-bahagikan atau
dipecah-pecahkan mengikut status sosial dan ekonomi
mereka. Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan
Nasional, Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga dan
Rancangan Malaysia Kelapan, semuanya diarahkan untuk
memperbetulkan kepincangan sosial dan ekonomi dalam
masyarakat kita pada hari ini.
16. Jika Dasar Ekonomi dan Dasar Pembangunan Nasional
memberi penekanan kepada kaum Bumiputera dalam
memperbaiki kedudukan sosial dan ekonomi mereka,
Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga dan Rancangan
Malaysia Kelapan turut memberi perhatian khas kepada
kaum India selain kaum-kaum lain. Dalam kedua-dua
rancangan itu Kerajaan menyebut secara khusus bahawa
kaum India diberi tumpuan istimewa dalam mendapatkan
peluang pembangunan seperti kemudahan-kemudahan asas
dan ekonomi. Saya berharap masyarakat India akan
menyambut rancangan-rancangan ini dengan positif.
Inilah peluang terbaik untuk mereka memperbaiki
kehidupan mereka ke arah lebih baik dan sempurna pada
masa terdekat ini.
17. Kerajaan sedar bahawa usaha membawa pembangunan
dan kemajuan kepada rakyat tidak boleh dilengah-
lengahkan. Kita tidak boleh membiarkan rakyat yang
ketinggalan terus memperbetulkan nasib mereka sendiri
tanpa seliaan dan bantuan. Kita perlu mengadakan
rancangan-rancangan khusus untuk membawa rakyat kita
yang terpinggir keluar daripada kemelut kehidupan
mereka yang buruk. Cara atau budaya penghidupan mereka
yang lama juga harus ditukar mengikut perkembangan
semasa.
18. Dalam hubungan ini, semua pihak harus bersungguh-
sungguh, jujur dan proaktif dalam usaha melaksanakan
program-program yang telah disusun oleh Kerajaan.
Rancangan-rancangan yang diatur dengan baik tidak akan
berguna sekiranya ia tidak dapat dilaksanakan dengan
betul. Peruntukan kewangan yang besar yang disediakan
oleh Kerajaan juga tidak berguna sekiranya ia tidak
dapat dibelanjakan seperti yang dirancangkan.
Pembangunan dan kemajuan rakyat dan negara sebenarnya
bergantung kepada komitmen kita semua.
19. Saya amat berbangga melihat masyarakat keturunan
India di negara kita terus hidup dalam keadaan aman dan
bersatu padu. Terbukti mereka dapat hidup bersama-sama
dengan masyarakat-masyarakat lain tanpa masalah. Malah
masyarakat India dilihat sebagai masyarakat yang
sukakan keamanan. Walau di mana pun mereka berada,
mereka bukan sahaja boleh menyesuaikan diri mereka
dengan suasana sekeliling malah mudah diterima oleh
orang lain dengan baik.
20. Sejak sebelum negara kita mencapai kemerdekaan
lagi, kaum-kaum utama di negara kita iaitu orang
Melayu, Cina dan India, telah dapat hidup bersama-sama.
Tiada masalah besar wujud di antara kaum pada waktu
itu. Malah kaum-kaum itu yang berbeza warna kulit,
bahasa, budaya dan agama telah bersatu padu untuk
merebut kemerdekaan bagi tanah air kita daripada
penjajah asing.
21. Masing-masing kaum sanggup mengenepikan perbezaan
antara mereka semata-mata untuk mempastikan tanah air
kita bebas daripada cengkaman penjajah asing itu.
Mereka sedar nasib masa depan mereka di Tanah Melayu
ini terletak dalam tangan mereka sendiri. Mereka juga
sedar hanya melalui pakatan dan muafakat antara mereka
sahaja perjuangan menuntut kemerdekaan negara akan
tercapai.
22. Dengan demikian lahirlah Perikatan iaitu satu
gabungan pertubuhan politik yang terdiri daripada parti-
parti UMNO yang mewakili orang Melayu, MCA yang
mewakili orang Cina dan MIC yang mewakili orang India.
Perikatan telah menjadi satu tenaga yang kuat dalam
menuntut kemerdekaan tanah air daripada penjajah
British.
23. Berkat persefahaman, kerjasama dan perpaduan yang
kuat antara kaum ini, negara kita telah memperolehi
kemerdekaan tanpa menumpahkan darah. Dengan itu juga
rakyat kita telah memperolehi kebebasan dan dapat
memerintah sendiri serta menentukan arah tujuan dan
haluan nasib bangsa dan negara kita.
24. Sejak merdeka kita telah membuktikan bahawa kita
mampu memerintah dan membangunkan negara kita sehingga
begitu aman, maju dan makmur. Daripada negara yang
berasaskan pertanian, negara kita telah menjadi sebuah
negara perindustrian dan salah satu negara pengeluar
barangan buatan yang terbesar di dunia.
25. Rakyat kita berlumba-lumba mengejar kejayaan untuk
memperbaiki kehidupan kita yang daif dan miskin pada
waktu itu. Hari ini kita telah membuktikan bahawa kita
mampu dan berjaya meningkatkan taraf hidup dan tahap
kedudukan sosial dan ekonomi kita ke arah kebaikan.
26. Semua ini kita dapat capai berkat daripada
perpaduan kaum dan atas kesedaran bahawa keamanan
negara adalah katalis, penentu dan jaminan kepada
kemajuan dan kemakmuran negara.
27. Justeru itu, sebagai rakyat Malaysia kita harus
terus memelihara perpaduan dan keamanan kita. Kita
hendaklah berusaha meningkatkan tahap persefahaman dan
kerjasama antara kaum agar kita peka atau sensitif
terhadap kaum masing-masing. Dengan adanya semangat
toleransi dan saling faham memahami mudahlah kita
mengelakkan diri kita daripada terjebak ke dalam
pertelingkahan kaum.
28. Sama-samalah kita memelihara keamanan negara kita.
Kita janganlah mudah termakan hasutan orang hingga kita
sanggup melakukan apa sahaja untuk merosakkan perpaduan
kita dan negara kita. Saya percaya kita amat sayang
dan cintakan negara kita yang sekian lama begitu aman
makmur dan indah permai ini. Sama-samalah kita
berganding bahu mempertahankan negara kita kerana
perjalanan kita untuk memajukan bangsa kita sebagai
rakyat Malaysia masih jauh.
29. Saya berharap rakyat kita yang berketurunan India
hendaklah terus berusaha memajukan diri sendiri supaya
dapat bersaing dan bersama-sama maju dengan kaum lain
dalam segenap bidang selaras dengan kemajuan negara.
30. Dengan harapan itu, saya dengan sukacitanya
merasmikan Persidangan Agung Tahunan MIC yang ke-55
tahun ini.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|