Oleh/By  	:	DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue	:	ISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date	:	02-06-2001
Tajuk/Title 	:	MAJLIS MENGADAP DAN ISTIADAT 
			PENGURNIAAN DARJAH KEBESARAN 
			SEMPENA ULANGTAHUN 
			HARI KEPUTERAAN SERI PADUKA 
			BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG
Versi 		:	
Penyampai	:  	PM
		    


        Dengan  hormat  dan penuh takzim  pihak  Kerajaan,
   pegawai  dan kakitangan Perkhidmatan Awam serta  rakyat
   mengucapkan   setinggi-tinggi  tahniah  kepada   Tuanku
   sempena  ulangtahun Keputeraan Rasmi Tuanku  pada  hari
   ini.  Rakyat sekalian berdoa ke hadrat Allah  Subhanahu
   wa  Ta'ala  semoga  dilanjutkan usia serta  dilimpahkan
   rahmat   dan  hidayah-Nya  ke  atas  Tuanku  dan   Raja
   Permaisuri  Agong Tuanku Hajjah Siti Aishah dan  semoga
   Tuanku  berdua sentiasa berada di dalam keadaan  sihat,
   sejahtera dan penuh kedaulatan.
   
   2.    Kerajaan dan rakyat amat gembira kerana sepanjang
   pemerintahan    Tuanku negara kita berada dalam keadaan 
   aman dan   sejahtera, berkat kebijaksanaan pemerintahan 
   di bawah naungan Tuanku.
   
   3.     Perpaduan  dan  keharmonian  perhubungan  antara
   rakyat  berbilang kaum di bawah naungan  Tuanku  adalah
   di  tahap yang memuaskan dan negara kita terus aman dan
   terhindar  daripada sebarang bentuk ancaman yang  boleh
   menggugat keamanan dan kestabilan negara.
   
   4.    Syukur  Alhamdulillah,  walaupun  terdapat  usaha
   pihak-pihak  tertentu  untuk menimbulkan  kekecohan  di
   dalam  negara  dengan membangkitkan isu  perkauman  dan
   cuba  merusuh, pergaduhan antara kaum dan hasutan untuk
   menggulingkan  Kerajaan Tuanku,  tindakan  tegas  pihak
   berkuasa telah berjaya menangkis segala usaha dan  niat
   buruk mereka.
   
   5.    Kerajaan  naungan Tuanku ini tidak  akan  sekali-
   kali  tunduk  kepada  keganasan,  demonstrasi  jalanan,
   tekanan  dan taktik kotor sesetengah pihak  yang  hanya
   berjuang   untuk   kepentingan  diri   mereka   sahaja.
   Kerajaan  ini  telah dilantik melalui proses  demokrasi
   menerusi   pilihanraya.   Ini  adalah  cara  kita   dan
   sebarang  rasa  tidak puas hati di  kalangan  mana-mana
   pihak  bolehlah  dibawa  ke  pilihanraya  dan  bukannya
   melalui  cara-cara  yang  menyalahi  undang-undang  dan
   perlembagaan negara ini.
   
   6.     Di  dalam  mempertahankan  negara  ini  daripada
   sebarang  ancaman Kerajaan akan bertindak  tegas  tanpa
   kompromi.  Walaupun tindakan kita tidak disenangi  oleh
   sesetengah  pihak  termasuk kuasa asing,  Kerajaan  ini
   tidak  akan  tunduk pada tekanan dari  mana-mana  pihak
   dan  akan mengambil apa sahaja tindakan yang perlu  dan
   sesuai untuk  mempertahankan hak majoriti rakyat  untuk
   terus hidup aman dan makmur.
   
   7.    Adalah  menjadi tanggungjawab Kerajaan  di  bawah
   naungan  Tuanku  ini  memastikan  rakyat  dapat   terus
   mengejar  kemakmuran dan menikmati hasil  kekayaan  dan
   kesejahteraan  negara.   Alhamdulillah,   setakat   ini
   tindakan  Kerajaan  masih  mendapat  sokongan  majoriti
   rakyat yang cintakan keamanan.
   
   8.    Sebenarnya  kita dapat melihat dengan  jelas  apa
   yang   akan  berlaku  kepada  negara  apabila   rusuhan
   menjadi  amalan  untuk  menjatuhkan  Kerajaan.  Apabila
   satu  Kerajaan  dilantik maka  pihak  yang  kalah  akan
   merusuh  dan berdemonstrasi untuk menjatuhkan  Kerajaan
   tersebut  dan apabila Kerajaan yang dilantik itu  jatuh
   dan   digantikan  dengan  Kerajaan  yang   satu   lagi,
   penyokong  Kerajaan yang digulingkan pula akan  merusuh
   untuk menjatuhkan Kerajaan yang ada.
   
   9.    Tidak  akan  ada  satu pun Kerajaan  yang  kekal.
   Segala  usaha  untuk membangunkan dan memajukan  negara
   akan  terhenti.   Pembangunan yang tercapai  sebelumnya
   akan  merosot  dan  negara  tidak  dapat  dibangun  dan
   dimajukan.   Nasib  rakyat  sudah  tentu   tidak   akan
   terbela,  ekonomi  akan  jatuh dan  negara  akan  terus
   porak-peranda.  Insya-Allah,  senario  sebegini   tidak
   akan  berlaku  di  negara ini selagi  Kerajaan  naungan
   Tuanku ini dimandatkan untuk mentadbir negara.
   
   10.   Walaupun Kerajaan dituduh tidak demokratik, tidak
   menghormati  kebebasan  bersuara  dan  hak    individu,
   Kerajaan berpendapat bahawa tanggungjawab terhadap  hak
   majoriti  adalah  lebih utama daripada  kebebasan  yang
   tidak    bertanggungjawab   oleh   individu.   Individu
   mempunyai  hak  untuk bersuara di  negara  ini,  tetapi
   bukan   untuk   menimbulkan  kekacauan.  Hak   majoriti
   haruslah dihormati.
   
   11.   Kerajaan juga akan terus memastikan agar hubungan
   dan  perpaduan antara kaum akan terus rapat dan  akrab.
   Walaupun  terdapat  sedikit ketegangan  baru-baru  ini,
   ianya  lebih  kepada  tindakan pihak-pihak  yang  tidak
   bertanggungjawab yang ingin melihat kekecohan  berlaku.
   Di  samping itu Kerajaan juga akan terus berusaha untuk
   menyatupadukan   orang  Melayu  yang  terpisah   dengan
   jurang perbezaan fahaman politik.
   
   12.   Hubungan  luar negara Malaysia  berada  di  tahap
   yang  amat  memberangsangkan. Malaysia terus  dihormati
   kerana  dasar  luarnya  yang tegas  mempertahankan  hak
   negara-negara  membangun  dan  menentang  ketidakadilan
   dan  penindasan ke atas negara-negara yang lemah.   Ini
   telah  sedikit sebanyak memperkuatkan pengaruh kita  di
   kalangan  negara-negara  yang  lemah  dan  merdeka   di
   samping   mempereratkan  lagi  hubungan   kita   dengan
   mereka.   Kunjungan Tuanku sendiri ke luar negara  juga
   telah   banyak  berjaya  menguatkan  lagi   perhubungan
   diplomatik negara.
   
   
   
   13.   Walaupun kita tidak disenangi oleh banyak  pihak,
   termasuk  media  asing  yang  sering  mengkritik  kita,
   Malaysia  tetap menerima kunjungan ketua-ketua pelbagai
   negara membangun yang ingin mempelajari bagaimana  kita
   mentadbir  dan membangunkan negara.  Ramai  yang  ingin
   menjadikan  kita sebagai contoh, termasuk dari  negara-
   negara  Islam yang mengiktiraf Malaysia sebagai  negara
   Islam yang unggul.
   
   14.   Kelembapan  ekonomi dunia  berikutan  kemerosotan
   ekonomi  Amerika  Syarikat  sedikit  sebanyak  dijangka
   memberi   kesan   kepada   prestasi   ekonomi   negara.
   Pertumbuhan  ekonomi  tahun  ini  dijangka  pada  tahap
   antara  lima  peratus  dan enam peratus.   Bagaimanapun
   prestasi  ekonomi  negara  dijangka  lebih  baik   dari
   kebanyakan negara lain di rantau ini.
   
   15.   Untuk mengurangkan kesan ini, Kerajaan sedang dan
   telah   mengambil  beberapa  langkah  untuk  meneruskan
   pembangunan   ekonomi.   Antaranya  ialah  menggalakkan
   pelaburan    tempatan,   mempertingkatkan    penggunaan
   pelabuhan   dan  lapangan  terbang  dan  mempercepatkan
   pembangunan infrastruktur.
   
   16.   Kerajaan juga telah mengumumkan pakej  rangsangan
   ekonomi   sebanyak   RM3   bilion   untuk   pembangunan
   infrastruktur  termasuk  sekolah,  kolej  komuniti  dan
   perumahan.  Di samping itu, Dasar Wawasan  Negara  yang
   menekankan rancangan pembangunan negara bagi  10  tahun
   dari   2001-2010  dijangka  membawa  negara   ke   arah
   pencapaian status negara maju pada tahun 2020.
   
   17.   Sempena ulangtahun Hari Keputeraan Rasmi  Tuanku,
   Ahli-ahli  Jemaah  Menteri dan semua  anggota  Kerajaan
   ingin   memberi  jaminan  sekali  lagi  bahawa   segala
   kerjasama dan sokongan akan diberi kepada Tuanku  dalam
   menjalankan tugas sebagai Seri Paduka Baginda  Yang  Di
   Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong selaras  dengan
   prinsip-prinsip    dan    keperluan     Sistem     Raja
   Berperlembagaan.   Kerajaan  yakin  di  bawah   naungan
   Tuanku,  Malaysia akan terus stabil, maju,  makmur  dan
   sejahtera.
   
   18.   Pada hari yang berbahagia dan penuh istiadat ini,
   Kerajaan, pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam  dan
   rakyat  dengan  penuh hormat dan takzimnya  mengucapkan
   Selamat  Hari Keputeraan kepada Tuanku dan menyampaikan
   ikrar  taat  setia  yang  tidak  berbelah  bagi  kepada
   Tuanku  sebagai  Raja yang memerintah dan  juga  kepada
   Raja Permaisuri Agong.

   Sumber : Pejabat Perdana Menteri
    




    
    

             
 


 
Google