home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By  	:	DATO SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue	:	DEWAN MERDEKA PUSAT DAGANGAN 
			DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date	:	21-06-2001
Tajuk/Title 	:	PERHIMPUNAN AGUNG UMNO
Versi 		:	
Penyampai	:  	PM
		    


                "MELAYU MUDAH LUPA"
        
        
        
        Alhamdulillah.  Dalam lautan politik  dan  ekonomi
   yang  bergelora di rantau ini,  Malaysia  masih  tenang
   dan  dapat  mengatasi  serangan  bertubi-tubi  terhadap
   politik  dan  ekonominya, dari luar  dan  juga  sahabat
   mereka dari dalam.
   
   
   CUBAAN ADAKAN REFORMASI
   
   2.    Tidak  berapa  lama dahulu  ramai  juga  daripada
   rakyat  Malaysia  yang  teringin  mengadakan  apa  yang
   mereka  namakan  Reformasi, kononnya untuk  membetulkan
   keadaan  di  Malaysia.  Mereka mendapat ilham  daripada
   apa  yang berlaku di negara lain.  Tanpa mengambil kira
   situasi yang berlainan di negara berkenaan, mereka cuba
   melaksanakan  pendekatan  yang  tidak  bertanggungjawab
   untuk  memaksa Kerajaan tunduk kepada kehendak  mereka,
   malah untuk mengguling Kerajaan pun.
   
   3.    Pemimpin mereka telah pergi ke negara asing untuk
   mendapat  bantuan supaya keganasan jalanan yang  mereka
   rancang  dapat  diadakan.  Mereka  tahu  bahawa  rakyat
   Malaysia  sendiri tidak berminat bertindak ganas  walau
   pun diupah.  Sebab itu rakyat asing diperlukan.
   
   4.     Malang  bagi  perancang  keganasan  jalanan  ini
   kepimpinan    negara   asing   berkenaan    berpendapat
   memadailah  huru-hara  berlaku  di  negaranya   sahaja.
   Mereka   tidak  ingin  melihat  huru-hara  merebak   ke
   Malaysia.   Mereka  tidak pun nampak kebaikan  daripada
   huru-hara yang terdapat di negara mereka.  Justeru itu,
   mereka tidak menggalakkan sebarang bantuan kepada orang
   yang  merancang untuk mencetus huru-hara  di  Malaysia.
   Alhamdulillah.   Kita  menghargai sikap  dan  pendirian
   pemimpin asing ini.
   
   5.   Keadaan di Malaysia bukanlah terlalu baik, dan ini
   perlu  kita  akui.  Kerajaan juga mengakuinya.   Tetapi
   kita harus menghargai sebarang nikmat yang kita terima.
   Kita  harus bersyukur kepada Allah S.W.T.  Ramai  orang
   asing  yang  memandang kita begitu  bernasib  baik  dan
   bertuah  sehingga  ramai  yang  sanggup  bermati-matian
   untuk berhijrah ke negara kita.
   
   6.    Negara  lain  mungkin  memerlukan  reformasi  dan
   pertukaran sistem politik dan Kerajaan.  Apakah  kerana
   orang  lain perlu mengadakan reformasi maka  kita  juga
   perlu kepada reformasi?  Sebenarnya perubahan yang baru
   hendak  dibuat  di  negara lain  sudah  pun  berada  di
   Malaysia  sejak kita mencapai kemerdekaan.  Negara  ini
   tidak  pernah  ditadbir secara otokratik  ataupun  oleh
   tentera.   Hanya pada tahun 1969 sahaja  kita  terpaksa
   mengadakan   pemerintahan   darurat.    Tetapi    dalam
   jangkamasa  yang  singkat  kita  telah  kembali  kepada
   sistem  demokrasi  dan mengadakan pilihanraya  mengikut
   jadual  pada  tahun  1974.  Sejak  merdeka  kita  telah
   mengadakan  10  kali  pilihanraya dalam  jangkamasa  43
   tahun.  Rakyat Malaysia bebas memilih siapa sahaja  dan
   bukan hanya calon daripada parti Kerajaan seperti  yang
   berlaku  di  sesetengah negara lain.  Parti lawan  juga
   dapat   memenangi  pilihanraya  dan  pernah  mendirikan
   Kerajaan  di empat buah negeri.  Dan ini telah  berlaku
   berkali-kali.  Tidak ada tindakan undang-undang diambil
   untuk  menyekat wakil rakyat daripada parti pembangkang
   mengambil  tempat dalam dewan seperti yang  berlaku  di
   negara lain.
   
   7.    Justeru itu, apa perlunya reformasi kepada sistem
   pemerintahan demokratik kita?  Apa perlunya demonstrasi
   di  jalan-jalan yang hanya merugikan peniaga,  terutama
   peniaga  kecil yang kais pagi, makan pagi, kais petang,
   makan petang?
   
   8.     Kononnya   mereka  ingin  melihat   pemerintahan
   mengikut  undang-undang - `the rule  of  law'.   Apakah
   untuk mendaulatkan pemerintahan mengikut undang-undang,
   maka  mereka  perlu  bertindak menyalahi  undang-undang
   dengan  merusuh  di  jalan-jalan,  menyekat  perjalanan
   kereta,  memaksa  kedai-kedai  ditutup  dan  mengganggu
   keamanan  rakyat?   Orang  yang berhasrat  mendaulatkan
   undang-undang   tidak  harus  mencabul   undang-undang.
   Mereka   sepatutnya  menggunakan  proses  undang-undang
   untuk  menghalang pencabulan undang-undang  oleh  mana-
   mana  pihak, termasuk Kerajaan.  Kita tahu di  Malaysia
   tidak  semua  kes dimenangi oleh Kerajaan.   Dan  tidak
   semua   calon   parti   Kerajaan  menang   pilihanraya.
   Demikian   kadang-kadang,  kerana   ingin   membuktikan
   kebebasan,  Kerajaan tidak mendapat  keadilan,  menjadi
   mangsa.   Jika  Kerajaan berani membantah,  tekanan  ke
   atasnya  ditingkatkan.  Ada pihak  luar  yang  bersedia
   untuk  mengutuk Kerajaan jika tersilap sedikit.   Pihak
   tertentu  tahu dan menjadi lebih berani.  Keadilan  pun
   terpesong.
   
   
   HASIL REFORMASI MENGECEWAKAN
   
   9.   Hari ini mereka dapat lihat bahawa hasil reformasi
   yang   mereka  begitu  kagumkan  di  negara   berkenaan
   tidaklah  begitu menarik.  Yang ternampak  jelas  ialah
   pemerintahan   mengikut   undang-undang   tidak   dapat
   diadakan    kerana   pihak   yang   ditugaskan    untuk
   menguatkuasakan  undang-undang  sudah  tidak  berwibawa
   lagi.   Rakyat  tidak lagi selamat.   Di  tempat-tempat
   tertentu rakyat merusuh, mengganas dan membunuh  dengan
   sewenang-wenangnya.   Jauh  daripada  menikmati  proses
   demokrasi, yang ternampak sebagai hasil reformasi ialah
   `mob-rule',   pemerintahan  tanpa  undang-undang   oleh
   perusuh  jalanan.   Keadaan tidak  menjadi  lebih  baik
   daripada   apa   yang   terdapat  semasa   pemerintahan
   otokratik dahulu.
   
   10.   Yang  anehnya  ialah  mereka  yang  ingin  kepada
   reformasi,  pemerintahan  mengikut  undang-undang   dan
   begitu  mendukung hak asasi manusia adalah  orang  yang
   dahulu   dengan   senang   hati   menyertai   Kerajaan.
   Kenapakah  mereka tidak mendakwa Kerajaan  yang  mereka
   menyertai  tidak  demokratik  dan  mencabul  hak  asasi
   semasa  mereka berada dalam Kerajaan?  Sebenarnya  yang
   mengecewakan  mereka  bukan sistem pemerintahan  tetapi
   kerana  cita-cita besar mereka tidak tercapai.   Mereka
   suka  membodek  orang  putih dan  begitu  gembira  jika
   dicampakkan  gula-gula oleh `Mat  Salleh'.   Sebenarnya
   mereka  yang  haprak ini tidak ada apa-apa  pun  selain
   daripada   yang   kita   anugerahkan   kepada   mereka.
   Malangnya  mereka  tidak biasa  dengan  sedikit  kuasa.
   Apabila  terdapat sahaja sedikit tempat, kepala  mereka
   menjadi besar, maka berkokoklah mereka mengikut  rentak
   tuan mereka.
   
   11.   Mereka  yang cuba memperjuangkan reformasi  sudah
   tertipu   dan   diperalatkan   oleh   orang   tertentu.
   Sementara  tidak  ada sesuatu apa pun  yang  diperolehi
   oleh  mereka, orang yang memperalatkan mereka  mendapat
   keuntungan besar dengan berpura-pura bersimpati  dengan
   idola mereka.  Sampai bilakah mereka akan terus bodoh?
   
   12.   Apabila  budaya  `mob-rule' sudah  diterima  oleh
   negara  kegemaran  mereka,  pemerintahan  tidak   dapat
   membuat  apa-apa untuk memulihkan ekonomi.  Tiap  suatu
   yang  dibuat  ada sahaja yang tidak bersetuju.   Mereka
   merusuh  dan  rusuhan  itu  sendiri  menyebabkan  usaha
   pemerintah  gagal mencapai matlamatnya.   Kata  pepatah
   Inggeris,  "Those who live by the sword, shall  die  by
   the  sword".   Mereka  yang menjadi pemerintah  melalui
   rusuhan jalanan akan jatuh melalui rusuhan jalanan.
   
   13.    Pemerintahan  menjadi  lemah  dan  tidak   dapat
   bertindak  dengan  tegas.  Tekanan ke  atas  pemerintah
   boleh  dibuat oleh siapa sahaja, termasuk orang  asing.
   Dengan  itu bukan sahaja pemulihan ekonomi tidak  dapat
   dijayakan  tetapi  kebebasan  yang  begitu  dibanggakan
   dahulu  pun  hampir  tidak  ada  lagi.   Inilah   hasil
   daripada  reformasi  dan demonstrasi  jalanan.   Apakah
   kita  hendak  melihat semua ini dibawa ke  negara  kita
   oleh puak reformasi ini?
   
   
   EKONOMI NEGARA KITA SENDIRI KUASAI
   
   14.    Ekonomi  Malaysia  sudah  pulih  walaupun  belum
   sepenuhnya.  Ini bukanlah kerana pendekatan kita kurang
   baik tetapi kerana kemerosotan ekonomi di negara lain.
   
   15.   Kita telah mengalami tekanan ekonomi sama seperti
   yang  dialami  oleh negara-negara lain di  Asia  Timur.
   Kita  tidak dapat menentukan sama ada serangan serentak
   ke   atas  matawang  negara-negara  Timur  yang  dahulu
   dikenali sebagai ekonomi harimau, dirancang atau tidak.
   Tetapi  yang  nyata ialah kerosakan yang teruk  berlaku
   kepada ekonomi negara-negara ini dan mereka tidak  lagi
   mungkin  mencabar  ekonomi Barat.  Lebih  daripada  itu
   kuasa  asing  mengambil peluang untuk menguasai  urusan
   ekonomi mereka melalui agensi antarabangsa seperti Dana
   Wang Antarabangsa dan Bank Dunia.
   
   16.   Terpaksanya  negara-negara yang  diserang  tunduk
   kepada   kuasa   asing   bukanlah  semata-mata   kerana
   kegawatan ekonomi tetapi kerana rakyat bertindak secara
   tidak  bertanggungjawab.  Kerana ada rakyat yang  ingin
   menjatuhkan   pemerintah,   kegawatan   ekonomi    yang
   diusahakan   oleh   musuh  asing   digunakan   sehingga
   ketahanan  ekonomi negara menjadi lemah.  Dan akibatnya
   kebebasan negara terhakis.
   
   17.   Jika Malaysia hari ini tetap bebas dan ekonominya
   dikuasai  sepenuhnya oleh kita sendiri, sebabnya  ialah
   kerana  tidak  ramai  rakyat  yang  belot  yang  secara
   langsung  atau tidak langsung bersubahat  dengan  orang
   asing.  Kerana ini kita dapat memulihkan ekonomi negara
   jauh  lebih  baik daripada negara-negara yang  mendapat
   pinjaman  dan  "bantuan" daripada pihak  asing.   Dunia
   sekarang,  termasuk  pengkritik  yang  mencemuh   kita,
   terpaksa  akui hakikat ini.  Cuma ada segelintir  orang
   di Malaysia yang buta hati kerana benci dan tidak dapat
   melihat kenyataan di depan mata.
   
   18.  Kita yakin dengan kestabilan dan ketenteraman yang
   terdapat  di  Malaysia, pemulihan ekonomi  negara  akan
   berjalan  dengan baik.  Pemulihan ekonomi  negara  juga
   membuktikan pengurusan ekonomi dan wang di  negara  ini
   memang  baik.   Mustahil  kita  akan  dapat  memulihkan
   ekonomi  jika  benar  kononnya Kerajaan  membazir  wang
   negara   dengan  projek  mega.   Sebenarnya   kedudukan
   kewangan  negara  amat kukuh.  Semasa  kegawatan,  duit
   kita  disedut ke luar negara kerana tawaran faedah yang
   amat  tinggi.   Buat beberapa bulan bank-bank  Malaysia
   kekeringan  modal.   Tetapi Kerajaan  berjaya  menyekat
   pengaliran  Ringgit ke luar negeri dan memaksa  ringgit
   kita kembali ke tanahair.  Sejak itu kedudukan kewangan
   kita  menjadi  begitu  kukuh,  dan  ekonomi  dipulihkan
   dengan cepat.
   
   19.   Sesungguhnya rakyat Malaysia amat bertuah.   Yang
   perlu  lebih  bersyukur dengan  tuah  ini  ialah  orang
   Melayu.   Tetapi  ramai yang tidak tahu bersyukur  yang
   mengharapkan  rezeki datang bergolek dengan  sendirinya
   tanpa  sebarang  usaha oleh mereka.  Dalam  pilihanraya
   1999  ternampak jelas betapa ramai orang  Melayu  tidak
   bersyukur   dan   cuba   menjatuhkan   Kerajaan    yang
   menyelamatkan  negara dan orang Melayu  sendiri.   Yang
   menghargai  kebolehan  Kerajaan  Malaysia  ialah  bukan
   Melayu.
   
   20.    Semasa  kita  berjuang  untuk  kemerdekaan  kita
   percaya bahawa dengan adanya kuasa di tangan kita  maka
   dapatlah kita pulihkan keadaan orang Melayu yang  serba
   daif.    Mereka   miskin,   tidak   berpelajaran    dan
   ketinggalan   dalam  semua  bidang.   Di  negeri-negeri
   mereka  sendiri  mereka menjadi kuli orang  asing  yang
   mereka pertuankan.
   
   21.   Tetapi  kuasa  di tangan semata-mata  tidak  akan
   menjayakan  kita.   Kuasa sebenarnya  boleh  merosakkan
   kita.   Dan  hari ini kita lihat bagaimana  kuasa  kita
   menjadikan    ramai   daripada   kita   begitu    tidak
   bertanggungjawab, begitu tamak sehingga  matlamat  yang
   kita   harapkan   semasa  berjuang  untuk   kemerdekaan
   dilupakan.
   
   22.   Dalam  bidang  pelajaran umpamanya  masalah  kita
   dahulu ialah kurang peluang dan kemampuan untuk belajar
   hingga ke peringkat tinggi.  Hari ini peluang bercambah
   dan  biasiswa untuk anak Melayu tidak sukar diperolehi.
   Tetapi kita dapati ramai daripada anak-anak kita  tidak
   berminat untuk mengejar ilmu.
   
   23.   Dengan  begitu banyak sekolah  dan  guru,  dengan
   peruntukan   wang  dan  alatan  yang   lebih   daripada
   mencukupi,  amatlah  menyedihkan  melihat  anak  Melayu
   mendapat  kelulusan yang begitu rendah  sehingga  tanpa
   kuota  khas  bagi mereka mungkin ramai daripada  mereka
   tidak  akan  dapat  memasuki universiti.   Anak  Melayu
   tidak  kurang  pandai tetapi tanpa rajin belajar,  yang
   berotak  geliga  pun  tidak akan dapat  kelulusan  yang
   tinggi.   Yang kita tahu ialah ramai anak  Melayu  yang
   malas  dan tidak berminat untuk belajar.  Mereka  lebih
   suka  melepak dan berfoya-foya.  Mereka amat marah jika
   kebenaran  ini  disebut.  Sama ada disebut  atau  tidak
   kebenaran tetap kebenaran.
   
   24.   Hari ini kita dapati lebih ramai penuntut  wanita
   Melayu  yang  diterima  masuk ke universiti  berbanding
   dengan  penuntut lelaki.  Mereka pergi ke sekolah  yang
   sama  tetapi  sementara penuntut  lelaki  tidak  serius
   belajar,  penuntut wanita lebih tekun belajar.   Mereka
   tidak  merayau-rayau.  Mereka  lebih  bertanggungjawab.
   Alhamdulillah.   Jika  tidak  kerana  penuntut  wanita,
   jumlah penuntut Melayu di universiti akan tinggal hanya
   separuh.
   
   25.   Tidak ada bukti yang penuntut wanita lebih pandai
   daripada  penuntut  lelaki.   Kebolehan  mereka   lebih
   kurang  sama.   Tetapi  prestasi kurang  baik  penuntut
   lelaki   ini  sudah  sampai  kepada  nisbah  20  lelaki
   berbanding  dengan 80 wanita.  Jika kita terima  bahawa
   tidak  ada  perbezaan yang ketara di antara lelaki  dan
   wanita daripada segi kecerdasan otak, maka sudah  tentu
   jika  penuntut lelaki berusaha dan tekun mengejar ilmu,
   mereka  juga boleh mencapai kejayaan cemerlang  seperti
   wanita.  Kita kagum melihat sementara bilangan penuntut
   lelaki  Melayu tidak ramai dan kelulusan  mereka  tidak
   baik,  tetapi  kepimpinan persatuan  penuntut  semuanya
   dibolot  oleh mereka.  Bilakah anak lelaki Melayu  akan
   sedar  akan tanggungjawab mereka terhadap diri  mereka,
   jika  pun  tidak  kepada bangsa,  agama  dan  tanahair?
   Apakah  mereka  fikir  masyarakat mesti  dukung  mereka
   sepanjang masa?
   
   26.   Sebenarnya  kecerdasan otak  orang  Melayu  tidak
   kurang daripada kaum-kaum lain.  Yang menyebabkan  kita
   perlu   mengadakan  kuota  untuk  penuntut  Melayu   ke
   universiti  adalah  juga kerana  sikap  kita  berkenaan
   dengan menuntut ilmu.  Bukan Melayu menganggap menuntut
   ilmu   sebagai   sesuatu  yang  mulia  dan   masyarakat
   memandang tinggi mereka yang berilmu.  Dengan  itu  ibu
   bapa dan guru-guru mereka memberi perhatian yang serius
   terhadap penerapan ilmu oleh anak-anak dan orang  muda.
   Bahkan mereka meneruskan tuntutan ilmu sepanjang hayat.
   
   
   PENGUASAAN SEMUA ILMU PENTING
   
   27.    Orang   Melayu   tidak  begitu   menitikberatkan
   penguasaan  ilmu.  Ibu bapa tidak mendesak anak  supaya
   belajar.  Ada yang berpendapat bahawa oleh kerana kuota
   disediakan   untuk  penuntut  Melayu,  kelulusan   yang
   sederhana pun mencukupi untuk ke universiti.   Kerajaan
   akan  tentukan kemasukan penuntut Melayu ke dalam IPTA.
   Ini  adalah tanggungjawab Kerajaan.  Mana-mana Kerajaan
   pun akan membuat demikian.  Ini adalah hak keistimewaan
   orang Melayu yang terjamin sehingga akhir zaman.
   
   28.   Ada  pula yang dipengaruhi oleh parti PAS  bahawa
   pelajaran yang harus dituntut oleh anak Melayu  sebagai
   orang  Islam hanyalah pelajaran agama.  Ilmu-ilmu  lain
   adalah  sekular  dan  tidak penting.   Jika  dipelajari
   sekali  pun, masa yang lebih patut diberi kepada  acara
   dan  kegiatan agama tambahan yang diwajibkan oleh orang
   yang  anti  ilmu  ini selain daripada  fardu  `ain  dan
   ibadat-ibadat  yang wajib.  Tidak menghadiri  qiamulail
   dan   kuliah  subuh  dan  aktiviti-aktiviti  lain  akan
   menyebabkan penuntut berkenaan dicemuh kerana  kononnya
   mereka kurang Islam.  Yang lebih menyedihkan ialah yang
   diajar semasa kuliah-kuliah ini bukan ajaran Islam yang
   sebenar,   yang   sudah  tentu  akan   memberangsangkan
   penuntut   supaya  mengejar  ilmu  dengan   bersungguh-
   sungguh.    Yang  disampaikan  kepada  penuntut   ialah
   politik  menentang  Kerajaan, dengan diselit  berbagai-
   bagai   hadis   dan   firman  yang  ditafsir   mengikut
   kepentingan  politik  pihak ini.  Biarlah  anak  Melayu
   gagal asalkan mereka dapat diperalatkan oleh parti ini.
   
   29.   Sebenarnya usaha memesongkan anak Melayu daripada
   menuntut  ilmu  bermula dari tadika yang diadakan  oleh
   PAS.   Di  peringkat ini kanak-kanak yang masih  mentah
   sudah  pun  diajar  membenci UMNO, supaya  mereka  akan
   menjadi  penyokong  PAS seumur hidup.   Bagi  PAS  ilmu
   tidak penting.  Agama juga tidak penting.  Yang penting
   hanyalah kemenangan PAS dalam pilihanraya.
   
   30.   Apabila  dijelaskan bahawa ilmu-ilmu  lain  tidak
   kurang  penting  dalam  Islam  dan  memang  pun   Islam
   mewajibkan  penguasaannya kerana  ia  berkaitan  dengan
   menjamin  kesejahteraan  dan  keselamatan  umat  Islam,
   membebaskan mereka daripada cengkaman musuh-musuh Islam
   dan  memang pun dituntut oleh agama Islam, seperti yang
   terdapat  dalam surah Al-Ghaasyiyah ayat 17 hingga  20,
   yang bermaksud:
   
     "(Mengapa  mereka  yang kafir masih  mengingkari
   akhirat),  tidakkah  mereka memperhatikan  keadaan
   unta,   bagaimana  ia  diciptakan?   Dan   keadaan
   langit,  bagaimana  ia ditinggikan?   Dan  keadaan
   gunung-ganang,   bagaimana  ia  ditegakkan?    Dan
   keadaan bumi, bagaimana ia dihamparkan?"
   
   --   memerhati   bagaimana  sesuatu  dicipta   bermakna
   mendapat sesuatu pengajaran daripadanya.  Bagaimanapun,
   pihak PAS dan penyokong mereka masih menuduh orang yang
   merujuk   kepada   ayat   ini   sebagai   sekular   dan
   mengutamakan   dunia  dan  tidak   akhirat.    Walaupun
   dijelaskan  bahawa  Islam mementingkan  perimbangan  di
   antara  dunia  dengan akhirat, seperti dalam  doa  yang
   dibacakan setiap hari dalam surah Al-Baqarah Ayat  201,
   yang bermaksud:
   
        "Berilah  kami kebaikan di dunia dan  kebaikan  di
   akhirat"
   
   pihak  ini  masih  mendakwa tumpuan  kepada  ilmu  lain
   walaupun  tanpa  membelakangkan  agama  masih  bermakna
   mengenepikan akhirat, bermakna sekular.  Ayat Quran pun
   mereka tidak terima.
   
   31.   Seperti biasa polemik berkenaan dengan soal dunia
   dan   akhirat  ini  akan  berpanjangan  tanpa   apa-apa
   keputusan.  Hasilnya ialah penuntut akan begitu  keliru
   dan  akan ragu-ragu tentang perlunya menuntut ilmu yang
   bukan  khusus berkenaan agama.  Ibu bapa juga demikian.
   Dengan  itu prestasi penuntut Melayu lelaki terutamanya
   dalam ilmu-ilmu sains dan teknologi yang begitu penting
   untuk  menangkis percubaan untuk menjajah  orang  Islam
   semula, terus berada di tahap yang rendah.
   
   32.   Orang  Melayu  perlu  tentukan  sama  ada  mereka
   percaya ilmu-ilmu selain daripada yang khusus berkenaan
   dengan  agama  Islam  penting atau  tidak  bagi  mereka
   sebagai  orang Islam dan bagi agama Islam itu  sendiri.
   Jika  kita  percaya  ilmu-ilmu lain ini  tidak  penting
   adalah  lebih baik Kerajaan tidak memberi tempat kepada
   penuntut Melayu di IPTA dalam bidang-bidang ini.  Tidak
   perlulah kita adakan kuota bagi penuntut Melayu  dengan
   menidakkan   peluang   bagi  penuntut   bukan   Melayu.
   Janganlah kita marah atau kecewa jika bilangan  doktor,
   jurutera,  saintis, arkitek, akauntan,  peguam,  doktor
   veterinar  dan  doktor gigi Melayu begitu  berkurangan.
   Janganlah  kita  marah  apabila kita  sakit  tidak  ada
   doktor Melayu yang merawat kita.
   
   33.   Jika  kita  percaya bahawa  ilmu-ilmu  sains  dan
   teknologi,  yang sedang berkembang pesat  sekarang  ini
   amat penting bagi kita orang Melayu sebagai orang Islam
   maka  kita tidak harus bergantung kepada kuota  sahaja.
   Pelajar-pelajar Melayu di sekolah hendaklah betul-betul
   bertekun mengejar ilmu-ilmu ini supaya kelulusan mereka
   begitu tinggi sehingga kemasukan ke universiti melebihi
   kuota  untuk  kita.  Mereka tidak perlu  membelakangkan
   segala  ibadat yang wajib semasa mengejar ilmu.  Tetapi
   janganlah  menambah  dan mewajibkan  yang  tidak  wajib
   sehingga  tidak  ada  masa untuk  ilmu  yang  dituntut.
   Ingatlah  ilmu-ilmu ini tidak kurang pentingnya  kepada
   agama  Islam  dan  orang Islam.  Anggaplah  orang  yang
   mengganggu  penuntut Melayu kerana kepentingan  politik
   mereka  sebagai  pengkhianat  kepada  agama  Islam  dan
   bangsa Melayu.
   
   
   
   
   JANGAN TERLEPAS ZAMAN I.T.
   
   34.   Kita  sekarang  sudah  memasuki  zaman  teknologi
   maklumat  --  Information  Age.   Kita  bersama  dengan
   negara-negara  Islam  lain  telah  terlepas  dan  tidak
   terlibat  dengan Revolusi Industri dan Zaman  Industri.
   Dengan  itu  kita jauh tertinggal di belakang  daripada
   segi  menguasai  ilmu  yang  menjadi  pemangkin  kepada
   proses industrialisasi.  Soalnya ialah apakah kita juga
   akan   terlepas  dalam  perkembangan  zaman   teknologi
   maklumat  yang akan menukar secara radikal  cara  hidup
   manusia, termasuk juga kita orang Melayu di Malaysia?
   
   35.   Jika  kita tidak hendak terlepas, tertinggal  dan
   menjadi  mangsa  perkembangan teknologi maklumat,  kita
   perlu  secara serius dan bersungguh-sungguh mempelajari
   ilmu  yang  baru ini.  Untuk menguasai  ilmu  ini  satu
   daripada syaratnya ialah penguasaan bahasa Inggeris.
   
   36.   Penguasaan bahasa Inggeris tidak akan  menjadikan
   kita  kurang  Melayu  atau  kurang  Islam.   Sebenarnya
   perkembangan  bahasa  Melayu  bukan  bergantung  kepada
   penolakan bahasa lain, tetapi melalui penguasaan bahasa
   asing.   Bahasa  Melayu diperkayakan  dengan  penerapan
   bahasa Sanskrit, Arab, Parsi, bahasa Cina pun dan sudah
   tentu  bahasa  Inggeris.  Kenapa kita serapkan  bahasa-
   bahasa  ini?   Sebabnya ialah kerana bangsa-bangsa  ini
   adalah  bangsa yang bertamadun tinggi, yang  menjelajah
   ke negara kita dan memiliki banyak ilmu.
   
   37.   Untuk  mengembangkan bahasa Melayu, orang  Melayu
   sendiri  mestilah menjadi bangsa yang berjaya,  berilmu
   dan  di  zaman ini memiliki daya beli atau  `purchasing
   power'  yang  tinggi  (dengan perkataan  harian  Melayu
   mesti `kaya').  Tidak ada bahasa bangsa yang mundur dan
   miskin yang berkembang maju di dunia ini.
   
   38.   Maklumat di zaman maklumat ini tidak datang  dari
   punca  orang  Melayu.  Sembilan puluh sembilan  peratus
   daripada  maklumat  yang  kita  perlukan  akan   datang
   daripada  bangsa-bangsa  asing dalam  Bahasa  Inggeris.
   Demikian juga teknologi untuk `hardware' dan `software'
   diterokai  dan diedarkan dalam bahasa Inggeris.   Tidak
   mungkin maklumat ini diterjemahkan kepada bahasa Melayu
   untuk  kita menggunakannya  -- walaupun akan  ada  alat
   penterjemahan yang canggih.  Lagipun kita  tidak  boleh
   tugaskan   hanya  beberapa  kerat  orang  Melayu   yang
   terlatih  dalam bidang I.T. untuk membuat penterjemahan
   yang  begitu  banyak.  Kita perlu tenaga  mereka  untuk
   menangani  maklumat dan teknologi yang  bercambah  yang
   akan datang untuk kegunaan kita.
   
   39.   Adalah  lebih  praktikal  bagi  kita  mempelajari
   bahasa  Inggeris  yang  sekarang sudah  menjadi  bahasa
   antarabangsa.  Tidak usahlah kita memberi alasan bahawa
   kita  sayang kepada bahasa kita, kita adalah nasionalis
   bahasa   dan   kita  hendak  kembangkan  bahasa   kita.
   Nasionalis   yang  sebenar  ialah  orang  Melayu   yang
   menjayakan   bangsanya  dengan   menguasai   ilmu   dan
   memperolehi  kejayaan  sehingga  ramai  ingin   belajar
   bahasa  bangsa  yang berjaya ini.  Di  zaman  teknologi
   maklumat   ini  hanya  mereka  yang  menguasai   bahasa
   Inggeris  sahaja  yang akan maju  dan  berjaya.   Orang
   Jepun,  orang  Peranchis dan orang China  pun  mengakui
   hakikat ini dan sedang giat mempelajarinya.
   
   40.   Janganlah  kerana pandangan yang sempit  terhadap
   bahasa  Melayu  maka orang Melayu sekali lagi  terlepas
   revolusi  zaman maklumat, menjadi bangsa  yang  mundur,
   dihina dan diperbodoh oleh orang lain.  Janganlah orang
   Melayu  sekali  lagi "beli di kedai Cina"  kerana  buta
   maklumat.   Percayalah kita akan  dijajah  semula  jika
   tidak  menguasai  bahasa  ilmu  ini.   PAS  yang   akan
   memutarbelitkan  ucapan  ini  untuk  memburukkan   UMNO
   adalah pengkhianat kepada bahasa, bangsa dan agama.
   
   
   EKONOMI MELAYU SEBELUM MERDEKA
   
   41.   Seperti  juga  dengan  bidang  pelajaran  tinggi,
   keadaan  orang  Melayu  dalam  bidang  ekonomi  sebelum
   merdeka  tertinggal  jauh berbanding  dengan  kaum-kaum
   lain.   Penjajah membolot 60 peratus daripada  kekayaan
   negara  sementara yang baki dimiliki oleh bukan Melayu.
   Mengikut  perhitungan  kasar yang  dibuat,  hanya  satu
   peratus  sahaja daripada kekayaan ekonomi  negara  yang
   berada  di  tangan orang Melayu di zaman penjajah.   Di
   bandar-bandar  biasanya tidak ada kedai  yang  dimiliki
   oleh  orang  Melayu.   Semua  perniagaan  dimiliki  dan
   diusahakan  oleh  orang bukan Melayu.  Pekerja,  selain
   daripada  pemandu  kereta  dan  `orderly'  atau   budak
   pejabat, semuanya terdiri daripada bukan Melayu.
   
   42.   Di  negeri-negeri yang tidak  bersekutu  di  mana
   Kerajaan   tidak  dikuasai  sepenuhnya  oleh  Inggeris,
   terdapat  ramai  juga  pegawai pentadbiran  dan  kerani
   Melayu.   Mereka  ini  tinggal di  bandar.   Di  negara
   bersekutu  iaitu  Perak, Pahang,  Selangor  dan  Negeri
   Sembilan  pegawai British mengepalai semua jabatan  dan
   ramai   daripada  pegawai  rendah  dan  kerani  terdiri
   daripada orang India dan Ceylon.
   
   43.   Majoriti orang Melayu menjadi penanam  padi  atau
   nelayan  kecil  dengan  pendapatan  yang  amat   rendah
   sekali.
   
   44.   Jika  kemerdekaan hendak dijadikan  sesuatu  yang
   bermakna  kepada orang Melayu, penyertaan mereka  dalam
   bidang ekonomi mestilah dipertingkatkan.  Mereka  perlu
   diberi  kesempatan  berniaga dan meraih  kekayaan  yang
   seimbang dengan kaum-kaum lain.
   
   45.    Pada  mulanya  Kerajaan  Malaysia  yang  merdeka
   memberi  tumpuan kepada pembangunan luar bandar  kerana
   ramai  daripada orang Melayu hanya tahu bercucuk tanam.
   Tetapi  ini  hanya mengekalkan perpisahan orang  Melayu
   dari  bandar  dan  tidak memberi mereka  bahagian  yang
   berpatutan daripada kekayaan negara.
   
   
   PELANCARAN DASAR EKONOMI BARU
   
   46.   Usaha  untuk mengagihkan peluang untuk perniagaan
   bagi Bumiputera tidak bermula secara bersungguh-sungguh
   sehinggalah  berlaku rusuhan kaum pada  1969.   Apabila
   Dasar  Ekonomi  Baru  (DEB) dibentuk  barulah  terdapat
   peluang  yang  berpatutan untuk orang Melayu  menyertai
   dalam bidang perniagaan dan perusahaan.
   
   47.   Untuk maksud ini lesen, permit, kontrak Kerajaan,
   kedai,  kawasan  hutan dan kawasan  perniagaan,  modal,
   berbagai-bagai  dana  diadakan.  Saham  dari  syarikat-
   syarikat  yang  tersenarai dan syarikat baru  diagihkan
   kepada Bumiputera untuk menaikkan bahagian mereka dalam
   perniagaan  dan  perusahaan.   Latihan  dan   pelajaran
   pengurusan   diberi  kepada  yang  berminat   berniaga.
   Kakitangan  Kerajaan pun dibenarkan bersara lebih  awal
   dan kemudian diberi latihan dan peluang untuk menyertai
   bidang perniagaan dan perusahaan.
   
   48.   Sepatutnya  dengan bantuan Kerajaan  yang  begitu
   besar, matlamat meningkatkan bahagian Bumiputera kepada
   30 peratus daripada ekonomi negara tercapai.  Malangnya
   orang Melayu dan Bumiputera lain tidak mempunyai budaya
   perniagaan.   Walaupun ada yang berjaya sehingga  dapat
   memiliki  perniagaan dan perusahaan  yang  agak  besar,
   tetapi  majoriti daripada orang Melayu  gagal  mengekal
   dan  membesarkan perniagaan mereka.  Segala bantuan dan
   peluang gagal menjayakan matlamat sepenuhnya DEB.
   
   49.   Satu kelemahan yang ada pada peniaga Melayu ialah
   mereka  tidak  sabar untuk menjadi  kaya.   Dengan  itu
   mereka  menjual apa sahaja peluang dan peruntukan  yang
   diberi  kepada  mereka.  Saham, lesen, permit,  kontrak
   dan lain-lain yang dikhaskan kepada mereka dijual terus
   kepada  orang  lain  untuk mendapat  keuntungan  serta-
   merta.   Selepas itu mereka memohon lagi.   Dengan  itu
   perniagaan  yang  disertai  oleh  Bumiputera   hanyalah
   penjualan  keistimewaan mereka.   Selagi  ini  berlaku,
   tidak mungkin Bumiputera mendapat bahagian mereka dalam
   ekonomi.
   
   50.   Untuk  saham yang diagih kepada Bumiputera  terus
   kekal  di  tangan  mereka Kerajaan terpaksa  menubuhkan
   saham-saham  amanah  dan  pelbagai  agensi  Bumiputera.
   Alhamdulillah melalui cara ini bukan sahaja saham-saham
   kekal   di  tangan  Bumiputera  dan  menyumbang  kepada
   peratusan  ekonomi yang dikhaskan bagi  mereka,  tetapi
   lebih  ramai  Bumiputera  dapat  memiliki  saham  dalam
   syarikat-syarikat besar.  Daripada 12 juta  Bumiputera,
   tujuh  juta  lebih memiliki saham dalam syarikat  besar
   melalui saham amanah.  Jelaslah bahawa tuduhan yang DEB
   menguntungkan  beberapa  kroni Kerajaan  sahaja  adalah
   tidak  benar.   Jika  kita hendak  memperkayakan  kroni
   adalah  mudah bagi kita mengagihkan semua saham  kepada
   mereka  sahaja  dan tidak kepada tujuh juta  Bumiputera
   lain.
   
   51.   Tetapi  cara  ini  tidak memberi  peluang  kepada
   Bumiputera   melibatkan  diri  secara  langsung   dalam
   pengurusan  perniagaan.   Mereka  akan  hanya   menjadi
   `sleeping  partner' sahaja yang jahil dalam  pengurusan
   perniagaan.   Lagipun  banyak  daripada  syarikat  yang
   pemilik terbesar ialah PNB tidak cergas kerana PNB juga
   tidak  dapat  mengambil bahagian secara langsung  dalam
   pengurusan  kebanyakan syarikat yang disertainya.   Ini
   bermakna  sampai bila-bila pun orang Melayu akan  jahil
   dalam bidang perniagaan.  Ini tidak akan menepati DEB.
   
   52.  Oleh sebab itu Kerajaan telah mengenalpasti tokoh-
   tokoh   perniagaan  Bumiputera  yang   telah   mencapai
   kejayaan dalam pengurusan syarikat sendirian atau awam.
   Bilangan  mereka  tidaklah ramai.   Mereka  ini  diberi
   peluang  untuk  membeli jumlah saham yang  lebih  besar
   atau   diberi   projek-projek  Kerajaan   yang   hendak
   diswastakan.   Sesiapa  sahaja  yang  berbakat   diberi
   peluang.
   
   53.   Umumnya  mereka ini berjaya dalam mengendali  dan
   menguruskan perniagaan yang besar ini.  Kejayaan mereka
   ini  tidak disenangi oleh orang asing dan oleh beberapa
   kerat  orang Melayu sendiri.  Tuduhan dibuat oleh media
   asing  bahawa  semua mereka yang diberi peluang  adalah
   kroni Kerajaan, tanpa mengambilkira siapa mereka.   Ini
   bermakna tidak akan ada sesiapa pun daripada Bumiputera
   yang  boleh diberi peluang tanpa dituduh menjadi  kroni
   Kerajaan.   Jika  Kerajaan tidak  hendak  dituduh  maka
   individu  Bumiputera  tidak boleh diberi  peluang  sama
   sekali  dalam  bidang korporat.  Jika  kita  puas  hati
   melihat tidak adanya Bumiputera di peringkat perniagaan
   besar dalam negara, tidak perlulah Kerajaan mendedahkan
   diri kepada bermacam fitnah dan tohmahan dengan memberi
   peluang kepada tokoh perniagaan Melayu.  Jualkan sahaja
   segala-galanya kepada orang asing dan mereka tidak lagi
   akan tuduh Kerajaan mengamal kronisme.  Atau jangan ada
   penswastaan   dan   teruskan  dengan   pemilikan   oleh
   Kerajaan.   Sila tanya pekerja telekom sama ada  mereka
   sanggup  kembali menjadi pekerja Kerajaan  dan  dibayar
   gaji  Kerajaan.  Lagipun kita tahu semua syarikat milik
   Kerajaan tidak pernah maju.
   
   54.   DEB  dan  bermacam-macam usaha lain telah  dibuat
   oleh  Kerajaan untuk mendapat penyertaan yang  bermakna
   oleh  orang  Melayu.  Malangnya setelah  mencuba  lebih
   dari  30  tahun  kita  tidak juga mencapai  30  peratus
   daripada   ekonomi/kekayaan  negara  bagi   Bumiputera.
   Desakan  akan  dibuat  untuk  Kerajaan  berusaha  lagi,
   mengadakan  pelbagai  rancangan,  menubuhkan  berbagai-
   bagai dana lagi untuk tujuan itu dan ini.  Mungkin juga
   kita akan mengadakan kongres ekonomi Bumiputera berkali-
   kali   untuk   membuat  berbagai-bagai  resolusi   bagi
   Kerajaan  melaksanakannya.  Desakan akan  dibuat  untuk
   Kerajaan  mengambil tindakan terhadap resolusi-resolusi
   yang dirumuskan.
   
   
   PENCAPAIAN MELAYU MASIH RENDAH
   
   55.   Setelah  43  tahun  berusaha,  setelah  berbilion
   ringgit   diperuntukkan,  setelah  beberapa  bank   dan
   pelbagai  dana  ditubuhkan, hari ini  pencapaian  orang
   Melayu  dalam  bidang perniagaan dan  perusahaan  masih
   rendah.   Kita masih berniaga di gerai tepi  jalan  dan
   belum  pun masuk ke kedai batu.  Bandar-bandar baru  di
   Malaysia tidak mencerminkan penduduk berbilang kaum  di
   Malaysia.  Di bandar-bandar lama kebanyakan warga  kota
   Melayu hanya terdiri daripada setinggan.
   
   56.   Apakah  ini  disebabkan Kerajaan tidak  berusaha?
   Kaum  yang  tidak  diberi bantuan oleh  Kerajaan  jelas
   berjaya.   Kenapakah orang Melayu yang diberi bermacam-
   macam bantuan tidak berjaya?
   
   57.   Selagi  orang  Melayu tidak mahu  mengaku  bahawa
   kelemahan yang sebenar berada pada diri mereka sendiri,
   selagi   mereka  tidak  sanggup  membetulkan  kesalahan
   mereka,  selama itulah mereka akan gagal  dalam  bidang
   perniagaan  dan perusahaan.  Apa dianya  kelemahan  ini
   tidak  perlu  saya sebutkan di sini.  Hanya  yang  saya
   ingin  perkatakan  ialah mereka yang ingin  kaya  cepat
   akan  miskin  cepat.  Dalam dunia dan di  akhirat  juga
   tidak  ada  yang  mudah, tidak ada yang percuma.  Hanya
   mereka  yang rajin, tekun, sabar dan jujur sahaja  yang
   akan  berjaya  baik dalam bidang ekonomi ataupun  dalam
   apa juga bidang.
   
   
   MELAYU DI ZAMAN PENJAJAH
   
   58.   Penubuhan UMNO sebagai parti politik  pada  tahun
   1946 menandakan tamatnya hampir 450 tahun bangsa Melayu
   dan  negeri-negeri Melayu dijajah.  Sebelum  ini  siapa
   sahaja  boleh  menjajah  orang Melayu.   Mereka  tunduk
   kepada  sesiapa  sahaja.  Portugis,  Belanda,  British,
   Jepun dan Siam pun semuanya diterima dan dihormati oleh
   orang Melayu sebagai tuan kepada mereka.
   
   59.  Orang Melayu di zaman penjajah tidak bermaruah dan
   tidak  bersemangat.  Mereka anggap diri mereka  sebagai
   manusia kelas dua dan mereka sedia menyerah apa  sahaja
   kepada   orang   lain   yang   mereka   percaya   lebih
   berkebolehan  daripada  mereka.   Pentadbiran   negara,
   perniagaan  dan  perusahaan, kerja biasa  pun  semuanya
   diserah kepada orang asing.
   
   60.   Dengan itu pada satu masa awal abad ke-20  jumlah
   orang  asing  di  negeri-negeri Melayu melebihi  jumlah
   orang  Melayu.   Jika tidak kerana  resesi  dunia  yang
   teruk  pada  tahun tiga puluhan, hari ini orang  Melayu
   mungkin  menjadi kaum minoriti di Malaysia  seperti  di
   Singapura.  Tetapi resesi 1930 telah menyebabkan  ramai
   daripada  orang Cina dan India balik ke negara  mereka.
   Dengan   itu  jumlah  orang  Melayu  melebihi   sedikit
   daripada  orang  mendatang.  Dengan itu  yang  menuntut
   kemerdekaan   dan  menerajui  Kerajaan  Malaysia   yang
   merdeka ialah orang Melayu.  Kita nyaris menjadi Melayu
   Singapura.
   
   61.   Inilah kesan daripada menyerah segala  kerja  dan
   urusan kepada orang lain.  Inilah kesan daripada  sikap
   tidak  sanggup  membuat kerja yang berat sedikit,  yang
   susah  sedikit,  yang  berbeza sedikit  daripada  kerja
   biasa  -- iaitu menanam padi dan menangkap ikan.  Orang
   Melayu tidak sanggup dan tidak mahu bekerja dalam kebun
   getah  atau lombong bijih, atau belajar berniaga selain
   daripada  membuka gerai di tepi jalan  atau  menghampar
   tikar di pasar dan duduk di tengah-tengah barangan yang
   hendak  dijual.  Perniagaan mereka tidak  membesar  dan
   peniaga  Melayu  biasanya tidak pindah  ke  kedai  yang
   lebih  sempurna,  lebih besar.   Rezeki  secupak  orang
   Melayu  tidak pernah jadi segantang.  Kais  pagi  makan
   pagi,  kais petang makan petang.  Tidak ada  esok  bagi
   perniagaan orang Melayu.
   
   62.  Sesungguhnya keadaan ekonomi orang Melayu di zaman
   penjajah  British amat buruk dan memalukan.  Tetapi  di
   zaman  Jepun  orang  Melayu masih ingin  mengalu-alukan
   kembalinya penjajah British.
   
   63.   Alangkah terkejutnya orang Melayu apabila  mereka
   diberitahu  British berhasrat menjadikan  negeri-negeri
   Melayu sebagai milik mereka terus dan tidak lagi negeri
   Melayu  yang  dilindungi British.   Buat  kali  pertama
   selama  hampir 450 tahun mereka dijajah,  orang  Melayu
   berhadapan  dengan kehilangan secara  langsung  negeri-
   negeri  kerdil mereka, tanahair mereka.   Mereka  tidak
   lagi akan mempunyai taraf sebagai anak watan Bumiputera
   dalam  sebuah  negara  mereka  sendiri.   Mereka   akan
   menjadi  satu  daripada kaum yang setaraf  dengan  kaum
   mendatang.   Lebih  buruk lagi sementara  mereka  boleh
   memiliki  kewarganegaraan Malayan  Union  sahaja,  kaum
   pendatang boleh memiliki kewarganegaraan dua negara  --
   Malayan  Union  dan  negara asal daripada  mana  mereka
   datang.   Dalam  Malayan Union ciptaan  British,  orang
   Melayu akan menjadi secara rasmi warganegara kelas dua.
   
   64.   Di  zaman  British politik dilarang  bagi  rakyat
   biasa.   Politik hanya untuk raja-raja dengan  pembesar
   mereka    dan   British.    Dengan   mudahnya   British
   mengambilalih semua kegiatan pentadbiran yang  penting.
   Raja-raja   berkuasa   secara   terhad   hanya    dalam
   pentadbiran agama Islam dan adat-istiadat Melayu.
   
   65.    Alhamdulillah  kuasa  yang  sedikit  ini   telah
   menyelamatkan orang Melayu daripada nasib yang  menimpa
   penduduk   tanah  jajahan  Barat  yang   lain.    Dalam
   perjanjian dengan British yang berkuatkuasa selagi  ada
   matahari,  bulan  dan  bintang di langit,  syarat  yang
   penting  ialah perkembangan agama Kristian di  kalangan
   orang    Melayu   tidak   dibenarkan.     Dengan    itu
   terselamatlah agama orang Melayu.  Jika tidak, apa yang
   berlaku di Maluku akan terjadi di Malaysia hari ini.
   
   66.   Kerana politik ditegah di kalangan orang  Melayu,
   dan  tidak  ada jawatan atau pangkat dalam  pentadbiran
   yang  dipertandingkan, tidak ada perebutan tempat  oleh
   orang  Melayu.  Tokoh-tokoh agama memang ada dan mereka
   mendirikan  sekolah-sekolah  agama  pondok   di   utara
   Semenanjung.  Mereka juga tidak berpolitik  dan  mereka
   menerima  pemerintahan  British  seperti  orang  Melayu
   lain.   Dengan  itu tidak ada persaingan  antara  orang
   yang   terpelajar  dalam  bidang  agama  dengan   orang
   daripada   sekolah   Melayu  atau   sekolah   Inggeris.
   Perpecahan kerana agama tidak berlaku.  Alhamdulillah.
   
   67.   Apabila gerakan menentang Malayan Union  berlaku,
   tidak  ada  masalah bagi orang Melayu  lulusan  sekolah
   agama,  sekolah Melayu dan sekolah Inggeris bekerjasama
   rapat untuk menentangnya.  Semua orang Melayu menyertai
   UMNO  dan  semua  sama-sama menyokong perjuangan  orang
   Melayu melawan penjajah.
   
   68.   Berhadapan  dengan  bahaya  negeri-negeri  mereka
   dirampas  oleh British, raja-raja Melayu juga menyertai
   secara   tidak  langsung  gerakan  menentang   British.
   Dahulu  raja-raja  Melayu dan pembesar  jajahan  sering
   bertelingkah  kerana  perebutan  tempat   dan   takhta.
   Perebutan  ini memberi peluang kepada penjajah  memihak
   kepada pihak tertentu untuk mengembangkan lagi pengaruh
   mereka.  Tetapi setelah British berkuasa pewaris kepada
   takhta   dan  pembesar  ditentukan  oleh  British   dan
   perebutan tidak berlaku lagi.
   
   
   PERPADUAN KUATKAN MELAYU
   
   69.   Dalam  keadaan  orang Melayu tertekan  dan  daif,
   dalam keadaan politik Melayu terhad dan tidak ada orang
   agama   atau  orang  lain  yang  memecahbelahkan  orang
   Melayu, dalam keadaan raja dan rakyat berhadapan dengan
   bahaya  yang  sama,  seruan  kepada  perpaduan  menarik
   `response'  yang menggalakkan.  Tidak ada sesuatu  yang
   lebih  berkesan  menyatupadukan orang  Melayu  daripada
   percubaan  merampas negeri-negeri mereka oleh penjajah.
   Walaupun  mereka serba daif, tidak mempunyai  kewangan,
   tidak   berpelajaran  dan  berilmu,   tidak   mempunyai
   senjata, namun perpaduan yang kukuh telah menyelamatkan
   mereka.
   
   70.   British, satu kuasa besar dunia, yang baru menang
   perang,  yang begitu pintar dan cekap, terpaksa  tunduk
   kepada  Melayu yang bersatu dalam sebuah parti  politik
   yang   baru  sahaja  ditubuhkan  oleh  mereka.    UMNO,
   Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, di bawah pimpinan
   seorang  anak  Johor telah menyatupadukan  semua  orang
   Melayu dan pertubuhan-pertubuhan mereka daripada  semua
   lapisan  dalam  satu  pertubuhan politik,  iaitu  UMNO.
   Pemimpin-pemimpin UMNO sahaja yang diberi mandat  untuk
   memprotes dan menuntut balik hak orang Melayu  ke  atas
   negeri-negeri mereka.
   
   71.   Sebenarnya ini adalah kali pertama dalam  sejarah
   orang  Melayu  sejak sebelum kesultanan  Melayu  Melaka
   yang  orang  Melayu  sedar akan Kemelayuan  mereka  dan
   bersatu  sebagai  orang  Melayu.   Sebelum  ini  mereka
   menganggap  diri mereka sebagai rakyat  negeri  masing-
   masing  dan  kesetiaan mereka adalah  kepada  raja-raja
   negeri  mereka.  Nasib yang malang yang menimpa sesuatu
   negeri  Melayu tidak mengundang simpati dan pertolongan
   daripada orang Melayu negeri lain.
   
   72.   Terbahagi kepada negeri-negeri yang kecil, mereka
   amat  lemah  dan  mudah diperkosa oleh sesiapa  sahaja.
   Sebab  itu  satu  demi satu daripada negeri-negeri  ini
   menerima   naungan  atau  ditakluk  oleh  bangsa-bangsa
   asing.   Sejak  kejatuhan kesultanan Melaka,  di  waktu
   mana  hampir  semua  negeri  Melayu  dan  orang  Melayu
   menerima naungan Sultan Melaka; sejak itu negeri-negeri
   Melayu  terpaksa  mencari  penaung  dari  negara-negara
   Barat  dan negara jiran seperti Siam.  Sejak kesultanan
   Melaka  tidak ada suatu masa yang negeri-negeri  Melayu
   betul-betul  bebas dan merdeka, dan tidak pernah  orang
   Melayu bersatu kerana Kemelayuan mereka.
   
   73.   Kejayaan  UMNO  yang  tercemerlang  sekali  ialah
   penyatuan orang Melayu daripada semua negeri Melayu  di
   Semenanjung   Tanah  Melayu.   Penyatuan  ini   memberi
   kekuatan kepada bangsa Melayu yang tidak pernah dirasai
   oleh orang Melayu selama 450 tahun.
   
   
   PELAJARI SEJARAH
   
   74.   Kata George Santayana, seorang ahli fikir  Barat,
   "Mereka yang tidak belajar daripada sejarah akan didera
   dengan mengulangi kesalahan mereka berkali-kali".
   
   75.   Apakah  orang Melayu mendapat pelajaran  daripada
   sejarah  mereka,  terutama  sejarah  450  tahun  mereka
   dijajah;  lebih tepat lagi sejarah mereka dijajah  oleh
   British?    Apakah  mereka  belajar  daripada   sejarah
   politik   mereka,  daripada  sejarah  ekonomi   mereka,
   daripada  sejarah  agama mereka  dan  sejarah  keilmuan
   mereka?
   
   76.   Orang  Melayu nampaknya tidak banyak  mempelajari
   daripada  sejarah  mereka.  Melayu mudah  lupa  sejarah
   mereka.    Sebaliknya  mereka  amat  gemar   mewarnakan
   sejarah  mereka dengan cerita dongeng untuk ego mereka,
   untuk  menyedapkan  hati dan berbangga  dengan  cerita-
   cerita dongeng yang mereka cipta.
   
   77.   Demikian mereka suka menyebut ungkapan Hang  Tuah
   yang  kononnya  berkata, "Tak  akan  Melayu  hilang  di
   dunia".
   
   78.   Sehingga  hari  ini benarlah kita  tidak  hilang.
   Tetapi  apakah  jenis  Melayu yang  tidak  hilang  ini.
   Selama  450 tahun mereka hidup di negeri mereka sendiri
   sebagai  hamba  bangsa-bangsa asing.   Sekarang  mereka
   sudah  bebas dan dapat memerintah diri sendiri.  Tetapi
   apakah  mereka  sudah menjadi bangsa yang  berjaya  dan
   bermaruah.
   
   
   KEBIJAKSANAAN PEMIMPIN UMNO
   
   79.   Orang  Melayu  boleh dikatakan bijak  juga  dalam
   mentadbirkan  sebuah  negara yang  penduduknya  terdiri
   daripada  pelbagai kaum dan suku kaum.  Umum mengetahui
   bahawa  negara  berbilang kaum  biasanya  diancam  oleh
   permusuhan  antara kaum yang kerapkali  diikuti  dengan
   peperangan yang tidak berhenti-henti.  Jika  tidak  ada
   peperangan pun perhubungan antara kaum biasanya tegang.
   
   80.   Di  Malaysia  bukan  sahaja  terdapat  kaum  yang
   berlainan  tetapi  perbezaan ini ditokok-tambah  dengan
   kelainan   bahasa,  budaya  dan  agama.    Sesungguhnya
   campuran ini amat mudah meletup.
   
   81.   Tetapi  pemimpin-pemimpin Melayu  UMNO  di  waktu
   perjuangan untuk kemerdekaan telah menjalin satu sistem
   kerjasama  antara  kaum yang amat bijak  dan  istimewa.
   Sementara  identiti  kaum dikekalkan,  kerjasama  dalam
   satu  parti  campuran dicipta yang tidak membelakangkan
   kedudukan  orang Melayu sebagai Bumiputera anak  watan.
   Kejayaan   sistem  ciptaan  Melayu   UMNO   ini   lebih
   mengkagumkan  kerana  ianya dibentuk  semasa  pengganas
   yang   majoritinya  daripada  keturunan   Cina   sedang
   melakukan  serangan  terhadap  Kerajaan  dengan  tujuan
   mendirikan  sebuah  republik yang  akan  dikuasai  oleh
   orang  berketurunan Cina.  Bahawa majoriti  orang  Cina
   sanggup  menyokong  sebuah  parti  campuran  kepimpinan
   Melayu  yang  begitu  keras  menentang  pengganas  Cina
   adalah  bukti  kemampuan kepimpinan orang  Melayu  UMNO
   menangani  masalah  perkauman yang tebal  di  Malaysia;
   menanganinya dengan tidak menggadai hak bangsa  Melayu.
   Tidak  ada negara berbilang kaum yang lain yang berjaya
   mengatasi masalah perkauman seperti Malaysia  di  bawah
   pimpinan orang Melayu UMNO.
   
   82.    Inilah  bukti  kebijaksanaan  orang  Melayu  dan
   pemimpin-pemimpin  mereka,  iaitu  pemimpin  UMNO  yang
   menggunakan   akal  fikiran  dan  tidak   nafsu   dalam
   pengurusan  negara yang baru sahaja merdeka.   Walaupun
   ada saranan supaya orang Melayu merebut semua kuasa dan
   menidakkan  hak penduduk bukan Melayu,  yang  mana  ini
   sudah   tentu   akan  memaksa  orang  Cina  terutamanya
   menyokong  perebutan kuasa oleh pengganas Cina,  tetapi
   kepimpinan  Melayu  menolak desakan  ini.   Dengan  itu
   akhirnya   pengganas   di   bawah   kepimpinan    orang
   berketurunan Cina ditewaskan.  Jika pada masa itu  kita
   mempunyai pemimpin Melayu yang tamak yang cuba  merebut
   semua  untuk kita, hari ini Malaysia bukan sahaja tidak
   aman  tetapi  tetap  mundur seperti  kebanyakan  negara
   membangun yang lain.  Mungkin rusuhan berlaku sepanjang
   masa.
   
   83.   Demikian  kebijaksanaan  kepimpinan  Melayu  UMNO
   dalam    politik   dan   pentadbiran.    Dalam   bidang
   pembangunan  ekonomi negara juga prestasi  pemerintahan
   yang  diterajui  Melayu UMNO jauh lebih  baik  daripada
   yang   dijangka.   Pertumbuhan  ekonomi   di   Malaysia
   meningkat  sepanjang  masa, sehingga  ia  menjadi  satu
   daripada ekonomi ajaib di Timur Asia.
   
   
   KELEMAHAN MELAYU
   
   84.  Tetapi pencapaian orang Melayu sendiri tidak boleh
   dibanggakan.   Ingatan mereka terlalu pendek.   Selepas
   hanya  dua  generasi, pengajaran daripada sejarah  lama
   dan  baru  sudah  dilupakan atau tidak dapat  difahami.
   Bagi  generasi  yang  membesar atau dilahirkan  selepas
   merdeka,  kemerdekaan tidak mempunyai makna  yang  sama
   seperti  kepada mereka yang dilahirkan dan membesar  di
   zaman   penjajah.    Dan  mereka   tidak   juga   dapat
   mempercayai tentang kemungkinan mereka dijajah  semula.
   Sekali  merdeka, kononnya selama-lamanya merdeka,  kata
   mereka.   Amatlah  sukar  bagi mereka  menerima  konsep
   seperti  neo-kolonialisme.   Apakah  orang  putih  yang
   memperjuangkan    hak    asasi    manusia,    keadilan,
   pemerintahan mengikut undang-undang, demokrasi;  apakah
   orang  ini  berniat untuk menjajah mereka semula?   Ini
   semua adalah helah Kerajaan UMNO untuk menakutkan orang
   Melayu  supaya  memberi  sokongan  kepada  parti  UMNO.
   Generasi   muda  tidak  boleh  ditipu  dan  ditakutkan.
   Kemerdekaan,  kebebasan  dan keselamatan  orang  Melayu
   adalah  terjamin.  Mana-mana Kerajaan di  Malaysia  pun
   akan  menjamin keselamatan dan keselesaan  hidup  orang
   Melayu.
   
   85.   Dengan ini percubaan tidak dibuat untuk  mengubah
   sikap  dan  mengatasi kelemahan-kelemahan  yang  dahulu
   telah   menyebabkan   negeri-negeri   Melayu   dijajah,
   dibanjiri  oleh  orang  asing  sehingga  orang   Melayu
   menjadi minoriti.  Orang Melayu masih mudah bersengketa
   dan   berpecah.   Orang  Melayu  masih  tidak   sanggup
   mengejar  ilmu, tidak sanggup bekerja kuat, tidak  mahu
   belajar  pengurusan  perniagaan dan  menghadapi  risiko
   perniagaan.   Orang  Melayu masih  mencari  jalan  yang
   mudah  untuk  cepat  kaya.  Dan ini  termasuk  menerima
   sogokan.
   
   86.   Oleh  itu  di hari ini orang Melayu  masih  lemah
   setelah  43 tahun bebas dan berkuasa di negeri sendiri.
   Tanpa  Kerajaan yang memihak dan membantu mereka  dalam
   semua   segi,  mereka  akan  jatuh  tersungkur.   Tanpa
   diskriminasi  positif oleh Kerajaan  hanya  20  peratus
   daripada  kemasukan ke universiti akan terdiri daripada
   anak-anak Melayu.  Dan mereka ini pun akan lulus dengan
   pangkat yang rendah, jika mereka lulus.  Tanpa Kerajaan
   yang prihatin terhadap nasib orang Melayu Naib Canselor
   dan profesor, dan pensyarah akan terdiri daripada orang
   lain  dan  bukan  dimonopoli oleh orang Melayu  seperti
   sekarang.
   
   87.    Dalam   Kerajaan  pegawai  tinggi  dan   pegawai
   profesional  bukan  Melayu akan menjadi  majoriti  yang
   terbesar.   Kebanyakan  Ketua  Setiausaha  Kementerian-
   Kementerian   akan  terdiri  daripada   bukan   Melayu.
   Keadaan  di  mana  hampir semua pejabat  dipenuhi  oleh
   pegawai  dan  kakitangan Melayu akan berubah.   Mungkin
   juga   orang   yang  hanya  tahu  bahasa  Melayu   akan
   menghadapi masalah semasa berurusan dengan Kerajaan.
   
   88.   Dalam bidang ekonomi perniagaan orang Melayu akan
   terhad kepada gerai-gerai yang berbumbung plastik  biru
   di  tepi-tepi jalan.  Tidak akan ada kedai batu  Melayu
   dalam  bandar.   Sudah tentu tidak  akan  ada  bangunan
   pencakar langit milik ahli korporat Melayu, bahkan oleh
   dana-dana kepentingan Melayu.
   
   89.  Kerajaan yang tidak bersimpati dengan orang Melayu
   akan  menswastakan semua perniagaan awam  dan  jabatan-
   jabatan  kepada orang asing atau rakyat  bukan  Melayu.
   Di  bawah  mereka  entiti  yang  diswastakan  ini  akan
   berkembang maju dan menjadi gergasi korporat.   Mungkin
   ada  beberapa  kerat  orang  Melayu  sahaja  yang  akan
   dilihat antara ramai pegawai lain.
   
   
   MELAYU SUDAH LUPA PERJUANGAN
   
   90.  Sukar bagi kita menggambarkan keadaan seperti ini.
   Setelah  merdeka 43 tahun sukar bagi orang Melayu  hari
   ini  memikir  akan keadaan semasa kita dijajah  dahulu.
   Yang  kita tahu ialah hari ini kita merdeka,  hari  ini
   kita  mempunyai Kerajaan yang dikuasai oleh kita,  hari
   ini Kerajaan melindungi kita.  Takkanlah Malaysia boleh
   mengadakan   Kerajaan   yang  mengabaikan   kepentingan
   Melayu.  Apa juga yang dibuat oleh orang Melayu  mereka
   tetap  selamat.  Jika mereka berpecah, berperang sesama
   sendiri  pun mereka akan selamat.  Bahawa mereka  masih
   lemah  dalam semua bidang, lemah daripada segi ekonomi,
   tidak  berilmu,  kurang cerdik, mudah disogok,  menjadi
   penagih  dadah, menghidap penyakit aids dan  lain-lain;
   semua  ini  tidak mengapa kerana mereka tetap  selamat,
   tetap  akan  mendapat  perlindungan  daripada  Kerajaan
   Malaysia.
   
   91.   Yang  ternampak oleh orang Melayu  ialah  politik
   demokrasi  memberi  jalan  yang  mudah  untuk  mendapat
   sesuatu  bagi diri sendiri.  Sedikit sahaja usaha  yang
   perlu dibuat tetapi keuntungan yang akan didapati  amat
   besar.   Dalam parti pemerintah dan parti-parti  Melayu
   lain,   yang   diutamakan   ialah   perebutan   tempat.
   Keupayaan   memberi  khidmat  atau  menyumbang   kepada
   kebaikan,  kepada pembangunan orang Melayu  dan  negara
   Malaysia tidak penting.
   
   92.   Perebutan  inilah yang membawa kepada  keruntuhan
   akhlak  sehingga kawan yang menolong kita  pun  sanggup
   kita  caci,  sanggup  kita  jatuhkan.   Rasuah  sanggup
   dihulur,  agama  sanggup  diputarbelitkan  dan   bangsa
   dipecahbelahkan.  Tidak ada langsung penghargaan kepada
   jasa dan bakti.  Kita cantas, kita kebas, kita buat apa
   sahaja untuk mencapai cita-cita besar kita.
   
   93.  Parti yang begitu berjasa kepada bangsa, agama dan
   tanahair, bahkan kepada kita sendiri sanggup kita buruk
   dan  lemahkan  dalam usaha kita untuk mendapat  sesuatu
   bagi  diri  kita.  Perpaduan dalam parti, dan perpaduan
   orang  Melayu  sendiri sanggup kita tolak  dan  sanggup
   kita pecahkan.
   
   94.   Orang  Melayu  sudah  lupa.   Mereka  sudah  lupa
   bagaimana  dahulu  mereka  dijajah  dan  dihina  kerana
   mereka berpecah, tidak bersatupadu.  Mereka sudah  lupa
   akan   kekuatan  dan  kejayaan  mereka  apabila  mereka
   bersatu dan melawan British dan mencapai kemerdekaan.
   
   95.   Mereka  sudah lupa akan tujuan sebenar perjuangan
   politik  mereka.   Apakah perlu  bahasa  Melayu  sahaja
   dijadikan bahasa rasmi?  Apakah taraf agama lain  tidak
   boleh disamakan dengan taraf agama Islam?  Apakah perlu
   ada   perbezaan  di  antara  Bumiputera  dengan   bukan
   Bumiputera?   Semua  ini dilupakan.  Dalam  keghairahan
   untuk  mendapat  undi  daripada  pihak  tertentu  semua
   kepentingan  Melayu  yang diperjuangkan  ini  dijadikan
   tajuk  untuk tawar-menawar.  Bagi undi dan kami sanggup
   gugur apa sahaja yang dianggap hak orang Melayu.
   
   96.  Apakah perasaan orang Melayu terhadap penderhakaan
   kepada  kepentingan Melayu oleh parti  Melayu  tertentu
   ini?   Apakah  mereka akan menyokong  juga  parti  yang
   secara  terang-terang  menolak hak  keistimewaan  orang
   Melayu?   Jawabnya  "Ya", mereka akan terus  menyokong.
   Penyokong parti yang sanggup menggadai hak orang Melayu
   akan  meyakinkan diri mereka bahawa pendirian  pemimpin
   parti   mereka  hanyalah  tipu  helah  untuk   mendapat
   sokongan bukan Melayu.  Kononnya pemimpin mereka begitu
   kuat  pegangan  kepada agama Islam  dan  tidak  mungkin
   membenarkan  hak orang Melayu Islam tergadai.   Apabila
   sudah  berjaya  maka  pemimpin dan  parti  mereka  akan
   teruskan  agenda  Islam mereka dan menipu  orang  bukan
   Islam.    Oleh  itu  penyokong  mereka  akan   teruskan
   sokongan mereka secara fanatik.
   
   97.   Cuba  hitung.  Hari ini 72 daripada wakil  rakyat
   Melayu  adalah daripada parti Kerajaan dan 32  daripada
   parti lawan.  Jika hanya 21 kerusi lagi dimenangi  oleh
   parti  lawan  mereka akan dapat 53 dan UMNO  dapat  51.
   Untuk  mendapat  21  kerusi lagi  tidak  susah.   Dalam
   kawasan  yang mana UMNO menang sedikit sahaja,  200-300
   undi  daripada kaum lain akan memberi kemenangan kepada
   parti   lawan.   Oleh  itu  membelakangkan  kepentingan
   Melayu  untuk  mendapat sokongan  bukan  Melayu  memang
   bijak.
   
   98.    Tetapi  untuk  memerintah  perlu  ada  sekurang-
   kurangnya 97 kerusi.  Oleh itu jual-beli, tawar-menawar
   mesti diteruskan.  Apakah yang hendak dijual jika tidak
   kepentingan  Melayu?   Kerajaan  yang  akan   didirikan
   dengan  parti-parti tertentu tetap lemah  kerana  siapa
   sahaja boleh menjatuhkannya.  Jika parti yang berkongsi
   menarik diri, Kerajaan campuran PAS akan jatuh.
   
   99.   Apakah  Kerajaan  yang lemah  seperti  ini  boleh
   memerintah  dengan tegas?  Apakah Kerajaan seperti  ini
   boleh  melindungi orang Melayu yang masih lemah?  Sama-
   samalah kita renungkan.
   
   
   DEMOKRASI ADA CACATNYA
   
   100. Demokrasi adalah satu sistem politik yang terpaksa
   diterima  pakai oleh seluruh dunia sekarang.   Demokrat
   liberal  Barat yang dikatakan percaya kepada  kebebasan
   telah  bersumpah  tidak akan membenarkan  sistem-sistem
   lain   digunakan  oleh  mana-mana  negara   di   dunia.
   Kebebasan  hanyalah  untuk memilih  demokrasi.   Inilah
   demokrasi dan kebebasan yang dimaksudkan oleh  demokrat
   liberal Barat.
   
   101.  Kita akui demokrasi baik.  Ia memberi hak  kepada
   rakyat  memilih  orang  yang terbaik  untuk  memerintah
   negara  mereka.   Tentulah majoriti rakyat  tidak  akan
   menganiaya  diri mereka dengan memilih penyangak  untuk
   mendirikan Kerajaan.
   
   102.  Tetapi kita sudah lihat bagaimana rakyat beberapa
   negara  demokratik  memilih  orang  yang  tidak  begitu
   lurus, tidak berkemampuan untuk mendirikan Kerajaan dan
   memerintah negara.
   
   103. Rakyat mudah dipengaruhi.  Jika rakyat begitu kuat
   pegangan    kepada   agama,   agama    boleh    dijual,
   diputarbelitkan  supaya  majoriti  rakyat  tertipu  dan
   menyokong parti yang salah.  Rakyat takut neraka.  Oleh
   itu   beritahu  mereka  jika  mereka  ingin  ke  syurga
   sokonglah  parti yang mempunyai nama Islam walaupun  ia
   jelas mempermainkan Islam, bahkan menghina Tuhan.  Jika
   rakyat  takut menjadi kafir, kata pada mereka, walaupun
   kamu  mengucap dua kalimah syahadat, kamu  masih  kafir
   jika  tidak  menyertai  parti `Islam',  tidak  mengundi
   parti Islam ini.
   
   104.  Hari  ini  orang Melayu sudah  dibiasakan  dengan
   rasuah, dengan sogokan.  Mereka meyakinkan diri  mereka
   bahawa  perbuatan  mereka seorang  tidak  akan  menukar
   keputusan pilihanraya.  Tetapi yang berfikiran demikian
   bukan seorang sahaja.  Beratus dan beribu akan berfikir
   demikian.   Dengan itu bangsa, agama dan  negara  boleh
   dijual  kepada  sesiapa yang menghulur wang  dan  lain-
   lain.   Siapa yang menghulur lebih banyak akan  menang.
   Jelaslah demokrasi tidak menjamin Kerajaan yang dipilih
   oleh   majoriti  rakyat  tetap  Kerajaan   yang   baik.
   Penyangak,  ulama songsang, pengamal  rasuah  dan  kaki
   maksiat  juga  boleh  jadi pemimpin  negara.   Lihatlah
   negara-negara   yang   mempunyai   penyangak    sebagai
   pemimpin.  Hancur negara dibuatnya, tetapi masih  ramai
   yang menyokong dan tidak mudah untuk menyingkirkannya.
   
   105.  Penolakan perpaduan oleh orang Melayu,  kecacatan
   dalam  sistem  demokrasi, putarbelit oleh ahli  politik
   yang rakus yang sanggup jual apa sahaja termasuk agama,
   perasaan  kebencian yang tidak berasas  dan  keruntuhan
   moral   orang   Melayu  sendiri,  kehilangan   semangat
   kebangsaan -- semua ini boleh menyebabkan kuasa politik
   Melayu  menjadi  luntur  dan terlepas  daripada  tangan
   mereka.
   
   106.  Apakah kita percaya apabila kita lemah orang lain
   akan memelihara kita, melindungi hak kita?  Apakah mana-
   mana  Kerajaan  pun  akan  memberi  layanan  yang  sama
   seperti  yang  kita dapati sekarang ini?   Apakah  kita
   berasa  bangga  apabila bangsa  Melayu  yang  tak  akan
   hilang  di dunia ini terpaksa diberi lindungan  seperti
   orang  Red  Indian di Amerika, disimpan  dalam  kawasan
   rizab, dan dijadikan produk pelancongan?
   
   107.   Kemungkinan-kemungkinan  ini   semuanya   cerita
   dongeng  untuk menakutkan orang Melayu supaya menyokong
   Kerajaan.   Orang asing tidak seburuk yang digambarkan.
   Tidakkah  mereka  menunjuk simpati dan sokongan  mereka
   apabila  Kerajaan melakukan kezaliman?   Mereka,  orang
   asing, berperikemanusiaan.  Mereka mendokong hak  asasi
   manusia.   Mereka  prihatin dan ingin  melihat  manusia
   bebas.  Mereka tidak akan menganiaya kita.
   
   108. Apakah kita tidak lihat apa yang sedang berlaku di
   sekeliling   kita.    Kononnya   untuk   mendisiplinkan
   Kerajaan,    penyangak   matawang   dilepaskan    untuk
   menjatuhkan  nilai  matawang,  merosakkan  ekonomi  dan
   memiskinkan   negara  yang  sedang   pesat   membangun.
   Berjuta  pekerja  menganggur, merusuh  di  jalan  raya,
   membakar  kereta  dan bangunan, merogol  dan  membunuh.
   Pemerintah  dijatuhkan  kerana  kononnya  akan  diganti
   dengan  pemerintah  yang  lebih  adil  dan  demokratik.
   Apakah  kita  tidak percaya semua ini  mungkin  berlaku
   kepada   kita  apabila  kita  lemah  dan  kita  memberi
   kesempatan  kepada bekas-bekas penjajah?  Apakah  benar
   mereka ikhlas dan tidak akan menganiayakan kita?  Sudah
   lupakah  kita  sejarah  penjajah  kita  dahulu,   kesan
   perpecahan    di   kalangan   kita,   kesan    menyerah
   pemerintahan  kepada orang lain, kesan  menyerah  semua
   pekerjaan dan perniagaan kepada orang lain.
   
   109.  Hanya  yang buta dan yang pekak, atau yang  celik
   tetapi  tidak  mahu lihat, atau yang suka  menipu  diri
   sahaja  yang  akan berkata semua yang diperkatakan  ini
   adalah percubaan untuk menakutkan orang Melayu dan ahli
   UMNO  supaya tidak menggunakan rasuah dan politik untuk
   kepentingan diri.
   
   
   ORANG ASING BENCI MALAYSIA
   
   110. Bangsa asing yang dahulu menjajah kita, yang tidak
   pernah  menolong kita; bangsa asing ini tidak ada  niat
   baik  kepada kita.  Ya, benar hari ini mereka  mengecam
   Kerajaan  Malaysia  dan kepimpinannya  kerana  kononnya
   tidak  berlaku adil kepada pihak tertentu, kerana tidak
   demokratik,  kerana mengamalkan kapitalisme  kroni  dan
   lain-lain.   Mereka nampak begitu simpati  dengan  puak
   yang kononnya ingin reformasi dan keadilan.
   
   111.  Ini  adalah helah mereka sahaja.   Kenapa  mereka
   tidak  menyelamatkan  orang Islam  Bosnia  dan  Kosovar
   daripada penjenayah Serb, kenapa biar sehingga  200,000
   orang   dibunuh,  ramai  dicederakan,  dirogol  sebelum
   bertindak?   Kenapa  tidak pertahankan  orang  Palestin
   daripada  serangan  Israel, yang membunuh  kanak-kanak;
   kenapa sekat makanan dan ubat bagi rakyat Iraq sehingga
   ramai  kanak-kanak lahir cacat dan ramai mati kelaparan
   dan kurang rawatan?
   
   112.  Orang Islam di mana-mana sahaja ditindas.  Apakah
   mungkin di Malaysia mereka ini begitu bersimpati dengan
   pembangkang, dengan sebuah parti yang kononnya berjuang
   untuk  mendirikan  negara  Islam?   Islam  bagi  mereka
   adalah sinonim dengan pengganas.
   
   113.   Jawapannya   "Tidak".   Tidak   mungkin   mereka
   hendakkan  Kerajaan oleh orang yang mereka cap  sebagai
   pengganas.   Mereka  hanya ingin  menjatuhkan  Kerajaan
   Malaysia,  Kerajaan  Barisan  Nasional,  Kerajaan  yang
   sanggup  mengkritik  mereka apabila  mereka  mengganas,
   Kerajaan  yang  menolak nasihat mereka  untuk  menyerah
   pengurusan ekonomi negara kepada agen mereka,  IMF  dan
   Bank Dunia.
   
   114.  Mereka benci kepada Malaysia terutama  kepimpinan
   yang  ada  sekarang, benci yang tidak terhingga,  benci
   dan  sakit  hati yang amat sangat.  Mereka lebih  benci
   kerana  Malaysia mampu menangkis serangan  ekonomi  dan
   kewangan  yang dilancar oleh mereka, dan berjaya  tanpa
   pertolongan sesiapa, berjaya dengan pendekatan sendiri,
   dengan  duit  ringgit  sendiri.   Mereka  benci  kerana
   setelah  meramal  Malaysia dan Kerajaannya  akan  jatuh
   tersungkur,  hari  ini amat jelas bahawa  bencana  yang
   mereka   ramal  tidak  menjadi  kenyataan.   Sebaliknya
   Malaysia  dapat  pulih ekonominya sehingga  pada  tahun
   2000  tumbuh  dengan  pesat semula,  lebih  pesat  dari
   negara-negara yang menerima `pertolongan' mereka.
   
   115.  Mereka  benci  kepada  Kerajaan  Malaysia  kerana
   mendedah   niat  jahat  mereka  apabila  memperkenalkan
   konsep    globalisasi   dan   dunia   tanpa   sempadan.
   Malaysialah yang mula mencabar dan menentang konsep ini
   yang  bertujuan menakluk dunia dengan kekuatan ekonomi,
   dengan  manipulasi  wang  dan dengan  syarikat-syarikat
   gergasi  yang  lebih  besar  dan  lebih  kaya  daripada
   kebanyakan  negara di dunia.  Hanya  haprak  yang  suka
   menjunjung orang putih sahaja yang tidak mengakui semua
   ini.
   
   116.  Ya, memang Malaysia dibenci amat sangat,  dibenci
   dengan  tidak  terhingga, dibenci kerana  bukan  sahaja
   kita negara membangun yang dianggap besar kepala tetapi
   negara  ini  dipimpin oleh orang Islam dan  negara  ini
   adalah  negara  Islam  --  negara  `terrorist',  negara
   pengganas.   Media  merekalah yang  amat  benci  sekali
   kerana  segala-gala  yang mereka ramal  tidak  berlaku.
   Mereka  meramal  perkauman akan menghalang  pembangunan
   Malaysia  setelah  kita merdeka.  Tetapi  kita  berjaya
   menangani perkauman dengan cara kita sendiri.   Apabila
   berlaku  peristiwa  1969 mereka begitu  gembira  kerana
   ramalan   mereka  ternampak  telah  menjadi  kenyataan.
   Tetapi  dalam masa yang pendek kita kembali tenang  dan
   kita    cipta   `affirmative   action'   yang   berjaya
   mengendurkan  ketegangan  antara  kaum  dan  memulihkan
   ekonomi negara.
   
   117.  Kita bukan sahaja pulih tetapi kita menjadi  satu
   daripada  harimau ekonomi Asia.  Proses industrialisasi
   kita  berjalan dengan lancar. Daripada negara pertanian
   yang  bergantung  hanya kepada  getah  dan  timah  kita
   berjaya  menjadi negara industri pembuatan dan pedagang
   yang ke-17 terbesar di dunia.
   
   118.  Mereka  serang  Ringgit  kita  dan  media  mereka
   menanti-nanti kita mengemis kepada IMF dan Bank  Dunia.
   Kita  tidak  mengemis.  Kita pulih negara  kita  dengan
   usaha  kita  sendiri, dengan wang kita  sendiri.   Maka
   bertambah  marahlah mereka.  Dan ada  tanda-tanda  yang
   mereka  sedang berusaha lagi untuk meruntuhkan  ekonomi
   negara  kita melalui laporan dan tulisan mereka  supaya
   pelabur asing menolak Malaysia, pelancong tidak  datang
   ke  Malaysia,  supaya pasaran saham kita jatuh,  hutang
   tidak  berbayar  meningkat, bank dan  syarikat  menjadi
   tenat.   Kita memerhati percubaan mereka ini  dan  kita
   menyediakan strategi pertahanan kita.
   
   119.  Orang asing dan media mereka tidak ada niat  baik
   terhadap  kita.  Mereka bukan ingin tukar Kerajaan  ini
   dengan  Kerajaan yang lebih adil dan demokratik.   Yang
   mereka  ingin  melihat ialah negara kita ini  mengalami
   nasib  buruk  seperti yang berlaku kepada negara-negara
   tertentu,  di  mana  Kerajaan tidak mampu  menstabilkan
   negara,  menjamin  keselamatan dan memulihkan  ekonomi.
   Mereka  hanya ingin melihat kerosakan dan masalah  yang
   menimpa  negara lain menimpa negara kita juga.   Mereka
   ingin kita menjadi `client state' boneka mereka.
   
   120.  Mereka bukan sayang kepada parti lawan dan  ingin
   melihat mereka mengambilalih Kerajaan Malaysia.  Mereka
   hanya   menggunakan  parti  lawan  sebagai  alat  untuk
   menjayakan niat buruk mereka.  Jika ada orang  tertentu
   untuk  ditonjolkan sebagai obor untuk mengumpul  rakyat
   dan  mempengaruhi dunia tentang keburukan Kerajaan yang
   mereka  tidak  suka  maka nasib buruk  orang  itu  akan
   dijaja  di  seluruh dunia.  Kononnya  layanan  terhadap
   orang tertentu ini menunjuk betapa tidak adilnya negara
   tertentu,    betapa   tidak   demokratik   dan    tidak
   berperikemanusiaan.  Tetapi apabila  beribu-ribu  orang
   di Palestin, Bosnia, Kosovo dibunuh dengan kejam mereka
   tidak memburukkan Israel atau Serbia.  Di negara mereka
   sendiri   ketidakadilan  yang  ketara  berlaku   kerana
   sentimen  perkauman  kulit putih  dan  mahkamah  mereka
   selalunya  berat  sebelah.   Ini  tidak  pula   menarik
   tuduhan oleh media mereka bahawa mereka tidak adil.
   
   121.  Mereka  mendakwa tunjuk perasaan dan  demonstrasi
   adalah   hak  asasi  manusia  dan  demokratik.   Tetapi
   apabila  ini  berlaku di negara mereka sendiri,  mereka
   pukul, mereka tembak dan mereka tangkap pejuang-pejuang
   yang  mengamalkan hak-hak ini.  Cakap tak serupa bikin.
   Dua kali lima sahaja.  Katakan orang kita yang lebih.
   
   
   JANGAN BENAR DITIPU
   
   122.  Orang Melayu jangan benar diri ditipu oleh  orang
   asing.    Jangan   menjadi  alat  orang   asing   untuk
   merosakkan negara sendiri.  Jangan mengkhianati  bangsa
   dan  agama.   Jangan menderhaka.  Jangan  lupa  sejarah
   penindasan kita oleh penjajah dahulu.
   
   123.  Kita akui negara kita dan Kerajaan yang  ada  ini
   tidak  bebas  daripada kesalahan,  daripada  kecacatan.
   Sebagai  bangsa  yang  bebas dan berdaulat  kita  harus
   selesaikan  masalah  kita dengan  usaha  kita  sendiri.
   Proses  demokrasi walaupun tidak boleh  menjamin  semua
   hasilnya   baik,  tetapi  masih  boleh   diguna   untuk
   mengatasi masalah-masalah sesama kita dan dalam  negara
   kita.   Jangan  cepat  lari untuk  mencari  pertolongan
   daripada `sherif' bangsa lain.
   
   124. Orang Melayu perlu berfikiran waras.  Jangan benar
   nafsu  mempengaruhi dan mengatasi akal fikiran.  Jangan
   benar  perasaan  benci semata-mata menguasai  pendirian
   kita.   Jangan  gemar  dengan fitnah,  kerana  al-Quran
   jelas  meletakkan fitnah sebagai lebih bahaya  daripada
   membunuh, seperti dalam surah Al-Baqarah ayat 191, yang
   bermaksud:
   
        "Fitnah   itu   lebih  besar  bahayanya   daripada
   pembunuhan"
   
   Mereka yang melemparkan fitnah melakukan keburukan yang
   besar, lebih besar daripada keburukan membunuh.  Mereka
   yang menolong menyebarkan fitnah, mereka juga bersalah.
   Takutlah  kepada  Tuhan, kepada  Allah  S.W.T.   Jangan
   melempar  fitnah,  jangan menyebar  fitnah  dan  jangan
   mempercayai fitnah.  Demikian surah Al-Hujuraat ayat  6
   dalam al-Quran yang bermaksud:
   
   "Wahai  orang-orang  yang  beriman!   Jika  datang
   kepada  kamu seorang fasik membawa sesuatu berita,
   maka  selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya,
   supaya  kamu tidak menimpakan sesuatu kaum  dengan
   perkara   yang  tidak  diingini  -  dengan   sebab
   kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan
   kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan"

125. Buatlah penilaian yang baik terhadap apa-apa tuduhan.
Bukankah  hampir  semua  daripada  tuduhan  yang  dilempar
terhadap Kerajaan tidak berasas.  Rancangan Perairan  Muda
dikatakan  menyeksa tanah, Jambatan Pulau Pinang membazir,
Dasar  Ekonomi  Baru  hanya menguntungkan  beberapa  kroni
Kerajaan  sahaja,  kereta Proton  tidak  mungkin  berjaya,
penswastaan  tidak menolong membangunkan  negara,  kawalan
pengaliran  modal tidak mungkin memulihkan ekonomi  negara
dan seribu satu lagi tuduhan, yang semuanya didapati tidak
berasas.  Demikian juga dakwaan kononnya Dr Mahathir buang
suara ahli bawahan dalam bakul sampah, tidak percaya agama
dan menggunakan perkhidmatan bomoh, tidak sembahyang subuh
-- semuanya fitnah belaka.

126.  Sila dapatkan bukti dan butiran yang jelas berkenaan
dengan tuduhan dan dakwaan ini dan berkenaan projek-projek
ini  dan  projek-projek lain dan dasar Kerajaan.  Tidakkah
DEB  memberi peluang pelajaran tinggi kepada ratusan  ribu
anak  Melayu termasuk anak orang PAS sehingga mereka  hari
ini  berpendapatan berkali ganda lebih daripada  ibu  bapa
dan keluarga asal mereka?  Bukankah Proton satu perusahaan
yang  berjaya sehingga tiga per empat daripada  kereta  di
jalanraya  adalah  Proton, dan mereka  yang  dahulu  tidak
mungkin  memiliki kereta sekarang ke sana, ke sini  dengan
kereta  Proton?  Bukankah dunia hari ini terpaksa mengakui
bahawa kawalan modal ala Malaysia mampu memulihkan ekonomi
negara?

127.  Kenapakah  orang asing sanggup bermati-matian  untuk
datang  ke  Malaysia?   Apakah kalau negara  mereka  lebih
baik,  lebih banyak peluang kerja, mereka akan  datang  ke
sini?

128. Apakah Malaysia bukan negara Islam?  Berapa banyakkah
negara  yang  40  peratus penduduknya  menganuti  pelbagai
agama  lain,  tetapi  Islam dapat dijadikan  agama  rasmi?
Apakah  ukuran yang dikehendaki sebelum negara  ini  boleh
diakui sebagai negara Islam?  Sila sebut dengan jelas  dan
terang.   Apakah  hanya setelah hukum  hudud  dilaksanakan
baru  pihak ini akan menerima Kerajaan ini bukan  Kerajaan
kafir,  bukan  sekular.   Jika  PAS  berhasrat  mengadakan
Kerajaan  Islam,  apakah PAS mahu menolak parti-parti  DAP
dan  Keadilan  yang  bukan Melayu  dan  bukan  Islam  yang
sekarang menjadi rakan politik PAS?


PAS SANGGUP TIPU

129.  PAS  tidak mahu tipu orang Cina, kata pemimpin  PAS.
Tetapi PAS sanggup tipu orang Melayu dengan mendakwa masuk
PAS  masuk  Islam, undi PAS masuk syurga, sembahyang  imam
UMNO  tidak sah, sembelihan orang UMNO haram dan  bermacam
lagi.   Sekarang beritahu apakah jenis Kerajaan yang tidak
mengikut  sistem Kerajaan UMNO yang dikatakan  kafir  yang
hendak didirikan oleh PAS.  Apakah Kerajaan itu demokratik
jika  segala-galanya mesti dirujuk kepada Dewan Ulama yang
tidak  dipilih  oleh rakyat.  Apakah PAS  bercadang  untuk
melaksanakan  hukum  hudud  ke  atas  orang  bukan  Islam?
Apakah  PAS  akan  menghapuskan Mahkamah Sivil  dan  hanya
mengadakan  Mahkamah Syariah sahaja untuk  semua  jenayah,
termasuk kes liwat dan rogol?  PAS harus terangkan  secara
jelas dan terperinci jenis Kerajaan yang dianggap oleh PAS
tidak  kafir  dan  tidak sekular  yang PAS  ingin  jadikan
sistem  pemerintahan negara kita Malaysia.   PAS  sekarang
pandai  tulis  sepanduk  dalam  bahasa  Cina.   Oleh  itu,
sediakanlah  perlembagaan negara yang dirancang  oleh  PAS
dalam  bahasa  Cina, jika PAS tidak berhajat menipu  orang
Cina  seperti  PAS menipu orang Melayu.   Beritahu  secara
bertulis  jenis  Kerajaan  yang akan  didirikan  oleh  PAS
kepada sahabat karib PAS dalam DAP dan Suqui.

130.  PAS  sudah  janji ladang babi  bagi  orang  Cina  di
Terengganu  dan  tanah simpanan Melayu di  Kelantan  untuk
sekolah  Cina.   Sila beri maklumat berkenaan  dengan  dua
janji  ini.  Kenapakah sementara orang Melayu dari  negeri
lain  tidak  boleh  memiliki tanah di  Kelantan,  manakala
orang Cina hendak diberi milik tanah?


SEBAGAI NEGARA ISLAM MALAYSIA DIIKTIRAF

131.  Dunia mengiktiraf Malaysia sebagai negara Islam  dan
banyaklah  kerajaan  negara  Islam  lain  yang  menganggap
Malaysia  sebagai contoh negara Islam yang  terbaik  untuk
mereka.  Negara Islam dan institusi Islam memberi pelbagai
anugerah  kepada Malaysia kerana kagum dengan  kemajuannya
dan  kemajuan  agama  Islam di  Malaysia.   Lebih  seratus
negara Islam dan bukan Islam menghantar penuntut mereka ke
Universiti Islam Malaysia.  Tetapi di Malaysia  ada  orang
Islam  yang  mendakwa  Malaysia  bukan  negara  Islam  dan
pemerintahannya pemerintahan kafir dan sekular.

132. Kita ingin tentukan yang mana satu dari negara-negara
yang  dunia  akui  adalah negara  Islam  yang  PAS  terima
sebagai  Islam.   Jika  pelaksanaan  hukum  hudud  menjadi
kriteria   untuk  PAS  akui  sebagai  negara  Islam   sila
tunjukkan  negara mana yang melaksanakan  hukum  hudud  di
zaman ini.  Setakat yang kita dapat sahkan tidak ada  satu
pun   negara  yang  menguatkuasakan  hukum  hudud,   iaitu
daripada cara pembicaraan sehingga ke pelaksanaan hukuman.
Ini  bukan  bermakna  mereka menolak  hukum  agama  tetapi
kerana masyarakat sekarang berbeza dengan masyarakat Islam
di  zaman Nabi.  Tidak ada yang bebas daripada dosa  besar
yang  sanggup  memberi  keterangan sebagai  saksi.   Namun
jenayah  tetap  berlaku dan penghakiman  terpaksa  dibuat.
Apakah   ini   bertentangan  dengan  agama  Islam?    Sila
jelaskan.


KEJAYAAN KITA DIAKUI

133.  Kita sudah merdeka 43 tahun dan dunia akui  kejayaan
dan   kemajuan  kita.   Pendapatan  per  kapita  meningkat
daripada 300 Dolar Amerika setahun sebelum merdeka  kepada
4000  Dolar  Amerika  setahun sekarang.   Seluruh  negara,
bukan  sahaja bandar, mempunyai bekalan elektrik dan  air,
mempunyai  masjid,  klinik, hospital  dan  sekolah,  jalan
raya,  lebuh  raya,  jalan kampung bertar.   Bukan  sahaja
semua  rakyat mendapat upah bekerja tetapi dua juta  orang
asing  menumpang peluang pekerjaan di negara  ini.   Tidak
ada  kekurangan makanan atau pakaian.  Yang termiskin  pun
diberi rumah yang selesa.

134.  Perhitungkan nikmat yang banyak yang kita terima  di
negara yang bertuah ini.  Dan fikirkan bagaimana semua ini
diadakan.    Ia   tidak  datang  bergolek,  tidak   datang
melayang.   Ia diusahakan oleh Kerajaan. Kerajaan  pilihan
rakyat,  Kerajaan  yang diterajui oleh  UMNO,  yang  tetap
memelihara  dan  melindungi hak orang  Melayu  di  samping
mengambilkira  hak dan kepentingan kaum-kaum  lain.   Kita
tidak  rampas  hak orang kaya untuk diberi  kepada  rakyat
yang  miskin.   Kita  besarkan  kek  ekonomi  negara   dan
daripada yang besar ini kita agihkan secara saksama kepada
semua kaum.

135.  Hanya  yang kita tidak senang hati ialah  pencapaian
orang  Melayu sendiri.  Mereka terlalu leka, terlalu yakin
akan  ada pihak yang akan menyelamat mereka, akan menolong
mereka.   Ramai  daripada mereka yakin Kerajaan  mana  pun
akan  melayan semua kehendak mereka.  Mereka  yakin  kuasa
politik  mereka  akan  kekal dan menentukan  mereka  terus
berkuasa selama-lamanya.


MELAYU BOLEH

136.  Justeru  itu, apa perlunya mereka  berusaha,  mereka
rajin  dan kuat bekerja, mereka menguasai segala ilmu  dan
kecekapan supaya mereka tidak lagi perlu bergantung kepada
kuota,  kepada  bantuan, kepada pilih  kasih,  kepada  hak
istimewa  orang  Melayu. Bodohlah jika  kita  boleh  dapat
dengan  mudah,  dengan  percuma tetapi  kita  pilih  untuk
bersusah  payah  membuat  sendiri,  membeli  dengan   duit
sendiri.

137.  Kita  tidak pun perlu berterima kasih  kepada  orang
yang  menolong  kita,  yang memberi sesuatu  kepada  kita,
kerana  apa  yang kita dapat memang pun kita punya.   Kita
sebenarnya berhak menggigit tangan yang memberi kerana ada
tok  guru  kita  yang  telah mengajar kita  supaya  jangan
berterima kasih.

138.  Orang Melayu bukan bodoh, bukan tidak cerdik,  tidak
cerdas  otak.   Mereka  adalah sama  dengan  bangsa-bangsa
lain.   Apa  bangsa  lain boleh buat, orang  Melayu  boleh
buat.   Tetapi kalau kita tidak sanggup buat maka mustahil
hasilnya akan menjelma dengan sendirinya.

139.  Kita  perlu  berusaha, kita  perlu  rajin  dan  kuat
bekerja,  kuat  menuntut ilmu dan segala  kecekapan,  kuat
berpegang  kepada nilai-nilai yang mulia,  menolak  segala
kemungkaran  dan mengamal yang makruf dan  lain-lain  yang
boleh  meningkatkan  prestasi  kita.   Kita  boleh.  Orang
Melayu  boleh.  Allah mengurniakan kepada  kita  apa  yang
dikurniakan  kepada orang lain, kepada bangsa-bangsa  yang
maju  di  dunia.   Allah  S.W.T.  telah  tentukan  apabila
manusia  membuat  sesuatu berulang kali ia  tetap  menjadi
cekap,   menjadi   pandai.   Lebih  daripada   itu   entah
bagaimana,  zuriat kita mewarisi kepandaian dan  kecekapan
itu.  Jika bangsa Melayu sanggup bertekun, rajin dan tidak
mudah bosan dengan mempelajari dan membuat sesuatu, insya-
Allah  mereka  akan menguasai apa yang dituntut  akhirnya,
untuk dunia dan untuk akhirat juga.


UBAH SIKAP UNTUK SELAMAT

140.   Tetapi  permulaan  mestilah  dibuat.   Permulaannya
bermula dengan mengikis kepercayaan bahawa kita tetap akan
selamat kerana Kerajaan mana pun akan menolong kita.  Cuba
fikir akan kemungkinan kita tidak akan dilindungi dan kita
perlu  berdikari, berdiri atas kaki sendiri.   Orang  yang
selalu  terlentang  di  atas tikar tidak  mungkin  berdiri
kerana  kakinya  lemah dan kepalanya  pening.   Jika  kita
ingin  berdikari,  berdirilah atas  kaki  sendiri,  jangan
bergantung   kepada  orang  lain,  jangan   meminta-minta.
Seboleh-bolehnya  jangan  terima  bantuan.   Jika   terima
bayarlah  harganya  atau  balas balik.   Ini  lebih  mulia
daripada  selalu  meminta-minta.  Sudah  tentu  ini  lebih
mulia daripada sikap tidak bersyukur dengan pertolongan.

141.  Orang  Melayu  yang  tidak  bergantung  kepada   hak
istimewa  mereka,  yang tekun berusaha,  yang  sabar,  dan
tidak  ingin  cepat kaya melainkan dengan  usaha  sendiri,
dengan  cara  yang halal, akan menjadi orang  Melayu  yang
mampu  bertahan  dan  berjaya.   Masyarakat  Melayu   yang
dipenuhi dengan Melayu seperti ini akan lebih selamat  dan
dapat  bersaing  dengan jayanya dengan sesiapa  dalam  apa
juga keadaan.

142.  Tak lama lagi, apabila globalisasi menjadi kenyataan
orang Melayu tidak lagi dapat bersembunyi di belakang  hak
istimewa  mereka,  di belakang DEB, di  belakang  sempadan
negara  mereka.   Apabila benteng negara  kita  dirobohkan
oleh  bangsa asing dengan globalisasi mereka, segala dasar
mempertahankan  hak dan keistimewaan orang Melayu  sebagai
anak  bumi  Malaysia, akan dicabar.  Demokrasi,  hak  sama
rata,  meritokrasi,  hak  asasi manusia;  semua  ini  akan
diguna  untuk membelasah hak istimewa orang Melayu.   Akan
ada orang Melayu sendiri yang akan menjadi pengkhianat dan
menyokong  serangan  orang asing  ke  atas  orang  Melayu.
Mungkin orang ini berasa malu tetapi lebih mungkin  mereka
hendak bermuka-muka untuk dipuji oleh Tuan mereka.   Ramai
orang  Melayu yang akan jadi kaki bodek orang asing,  yang
ingin  dipuji kerana mereka kononnya begitu progresif  dan
`worldly'.   Mereka lebih teruk daripada orang asing  ini.
Hari ini pun kita boleh kesan haprak ini.

143.  Kita  tidak  boleh yakin kita dapat  bertahan,  kita
dapat kekalkan hak kita jika kita tidak mempunyai kekuatan
berdikari,  tidak dapat hidup melainkan disuap oleh  orang
lain.   Kemungkinannya ialah kita akan tinggal nama  dalam
sejarah   sahaja.   Tak  akan  Melayu  hilang  di   dunia.
Demikian kata Hang Tuah.  Kata-kata keramat ini boleh kita
ulangi,  boleh  kita  bincang, boleh  kita  jadikan  tajuk
seminar.   Tetapi  jika orang Melayu masih  tidak  sanggup
bekerja  kuat,  tidak sanggup mengejar ilmu dan  kecekapan
sezaman,  kita  masih  boleh hilang atau  kembali  menjadi
hamba  orang  seperti di zaman penjajah.  Dan  kemungkinan
ini,  menjadi  lebih jelas dan nyata kerana  orang  Melayu
sudah berpecah, sudah menolak perpaduan kerana ramai sudah
menjadi terlalu tamak sehingga bangsa dan agama juga tidak
lagi  penting seperti perebutan kuasa oleh parti dan  oleh
orang tertentu.

144. Wahai bangsa Melayu, sudah lupakah kamu?

   Sumber : Pejabat Perdana Menteri
    




    
    

             
 


 
Google