Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 02-07-2001
Tajuk/Title : UPACARA PERASMIAN SAMBUTAN JUBLI
PERAK KEMENTERIAN SAINS,
TEKNOLOGI DAN ALAM SEKITAR
Versi :
Penyampai : PM
Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat
Menteri dan Kementerian Sains, Teknologi dan Alam
Sekitar kerana menjemput saya untuk merasmikan Majlis
Sambutan Jubli Perak Kementerian Sains pagi ini.
2. Peranan Kementerian ini kini menjadi semakin
penting di alaf baru ini memandangkan bidang sains dan
teknologi adalah pemangkin pembangunan negara. Demikian
juga kesedaran akan pentingnya keadaan alam sekitar
bagi kehidupan manusia. Sambutan Jubli Perak ini
adalah tepat pada waktunya untuk kita mengimbas kembali
kejayaan-kejayaan yang telah dicapai untuk membantu
kita mempertingkatkan lagi usaha ke arah pencapaian
wawasan negara.
3. Sumbangan sains dan teknologi ke arah perkembangan
ekonomi tidak dapat dipertikaikan. Bangsa yang maju
dalam bidang sains dan teknologi ialah bangsa yang
bersifat ingin tahu atau `curiosity' dan tidak ortodoks
dan tradisional, iaitu tidak terikat dengan cara-cara
lama sehingga tidak sanggup menerima cara-cara baru
dalam membuat atau menangani sesuatu. Masyarakat tidak
mungkin bergerak ke hadapan jika kita hanya mengulangi
apa yang telah diamalkan oleh nenek moyang kita.
Sebaliknya masyarakat yang ingin tahu dan ingin cuba
yang baru akan sentiasa memeriksa dengan halus apa
sahaja yang sedang dibuat untuk mencari jalan supaya
bahan atau cara membuat sesuatu dapat diperbaiki lagi
dan hasil yang lebih baik diperolehi.
4. Kemajuan bangsa yang maju berpunca kepada
penyelidikan yang tidak berhenti-henti akan bahan atau
cara sesuatu dilakukan untuk mendapat pengetahuan yang
lebih mendalam. Daripada pengetahuan ini cara-cara
baru yang lebih baik dan lebih produktif dapat dicipta.
Cara yang baru ini terus diperbaharui sepanjang masa
supaya menjadi lebih baik lagi atau lebih produktif
lagi.
5. Demikian kain yang dipakai oleh manusia bermula
dengan kulit binatang atau kulit kayu. Tetapi manusia
yang berakal memikir berkenaan dengan anyaman benang
yang diperbuat daripada jenis-jenis tumbuhan. Ini
diikuti dengan menenun dengan menggunakan alat yang
agak primitif. Kemudian kapas dipintal sehingga
menjadi benang dan ditenun menjadi kain. Kemudian
proses tenunan yang lebih canggih dicipta supaya kain
kapas dapat ditenun dengan lebih cepat. Mesin tenun
ditingkatkan kecanggihannya sepanjang masa supaya
tenunan kain menjadi lebih cepat dan lebih berkualiti
lagi. Bahan-bahan lain diguna untuk menambahkan jenis,
warna dan `design'. Ini menjadi penting kerana
masyarakat manusia bertambah dengan banyaknya dan cara
pengeluaran yang lebih besar perlu dicipta. Tanpa
ciptaan cara-cara `mass production' maka keperluan
masyarakat tidak dapat dipenuhi.
6. Hari ini kita tidak fikir lagi tentang bekalan
kain untuk kita. Bermacam-macam jenis kain dengan
berwarna-warni dapat kita beli di kedai-kedai seberapa
banyak yang kita kehendaki dengan harga yang murah.
Tetapi kita harus ingat bahawa kemudahan ini bermula
dengan cara yang begitu primitif. Orang yang suka
mengkaji dan meneliti untuk mendapat ilmu pengetahuan
dan kemudian mencipta cara-cara baru untuk mengeluarkan
barangan yang semakin diperlukan oleh masyarakat
manusia yang bertambah adalah orang yang kian maju dan
berjaya serta kehidupan mereka menjadi lebih selesa.
Sebaliknya masyarakat manusia yang terlalu kuat
berpegang kepada cara-cara dan barangan lama akan
menjadi mundur dan miskin.
7. Demikian juga dalam bidang telekomunikasi.
Daripada hanya berkebolehan bercakap dengan jarak yang
dekat sahaja, hari ini kita boleh berhubung dengan
seorang di sebelah sana dunia, 12,000 batu, seolah-olah
ia berada di hadapan kita. Pertumbuhan kecanggihan
dalam bidang telekomunikasi amat mengkagumkan dan ianya
masih dimajukan lagi sehingga jarak seberapa jauh pun
tidak menjadi masalah untuk kita berhubung, bercakap
dan melihat rakan kita atau apa-apa juga.
8. Semua ini adalah hasil daripada budaya yang
menekankan ilmu pengetahuan, `curiosity' atau sifat
ingin tahu, dan sikap tidak puas hati dengan apa yang
sedia ada tetapi sebaliknya ingin memperbaiki lagi apa
sahaja barangan atau kemudahan yang sedang digunakan.
Bangsa yang mempunyai sikap dan budaya ini, yang suka
memeriksa dan mengkaji semua kurniaan Tuhan, bangsa ini
tetap akan maju. Justeru itu, kita bangsa Malaysia
mestilah menerap budaya ini supaya kita juga akan maju
dan tidak hanya bergantung kepada hasil penyelidikan
dan ciptaan orang lain.
9. Saya amat berbangga dengan kejayaan rakyat
Malaysia merekacipta berbagai-bagai jenis alatan dan
barangan yang telah pun memenangi anugerah
kecemerlangan dalam pertandingan Geneva International
Inventions Exhibition. Saya yakin jika sikap ingin
tahu dan kesanggupan untuk memperbaiki lagi tiap
sesuatu yang ada pada kita, atau mencipta barangan atau
alat yang baru, bangsa Malaysia tidak akan ketinggalan
dalam bidang merekacipta barangan dan khidmat yang baru
dan canggih yang akan menjadikan kehidupan kita lebih
selesa dan bahagia. Saya yakin kebolehan rakyat
Malaysia merekacipta akan meningkat sepanjang masa dan
kita juga akan dapat menyumbang kepada jumlah
kecanggihan yang diperlihatkan di dunia.
10. Hari ini `research' dan `development' atau
penyelidikan dan pembangunan berjalan dengan lebih
pesat dari dahulu. Kadang-kadang kita dapati sesuatu
yang baru akan menjadi usang dalam jangka masa yang
pendek sahaja. `Shelf-life' sesuatu ciptaan baru
mungkin hanya beberapa bulan sahaja. Justeru itu, kita
tidak boleh berhenti kajian dan ciptaan yang dibuat
oleh kita kerana produk kita mungkin menjadi usang
dalam jangka masa yang pendek dan tidak diterima lagi.
Kita tidak harus kecewa dengan ini tetapi sebaliknya
kita hendaklah menganggap ini sebagai cabaran dan kita
mempertingkatkan lagi proses penyelidikan dan
pembangunan yang kita buat.
11. Kerajaan amat menghargai kesanggupan rakyat
Malaysia mencipta barangan-barangan yang lebih canggih
sepanjang masa. Bantuan dalam bidang `research' dan
`development' sudah pun diadakan. Mereka yang berminat
dan menunjukkan kebolehan mereka akan dibantu oleh
Kerajaan. Yang harus diingat ialah kecekapan
merekacipta sesuatu tidak bermakna kita memiliki
kecekapan untuk memasarkan hasil rekacipta kita.
`Commercialisation' memerlukan kecekapan dalam bidang
lain, iaitu bidang pengurusan perniagaan. Justeru itu,
perekacipta atau `inventors' hendaklah cuba mencari
pihak yang berkebolehan dalam bidang perusahaan dan
pemasaran. Kita tahu hari ini banyaklah hasil
penyelidikan yang dibuat oleh rakyat Malaysia dan
institusi-institusi seperti MARDI umpamanya yang tidak
dapat dipasarkan. Tetapi ini tidak harus mengecewakan
kita. Sebaliknya usaha perlu diteruskan untuk
memperbaiki lagi hasil rekacipta kita.
12. Satu lagi perkara yang menjadi amat penting bagi
keselesaan hidup manusia ialah kebersihan alam sekitar.
Di waktu penduduk setempat tidak ramai, pencemaran yang
dibuat oleh bilangan yang kecil ini tidak menimbulkan
banyak masalah. Tetapi hari ini penduduk sudah
bertambah di seluruh dunia sehingga sedikit pencemaran
oleh tiap seorang akan menjadi masalah yang besar
kepada masyarakat. Demikian daripada sedikit sampah
yang dibuang oleh seseorang anggota masyarakat, beribu
tan sampah mencemarkan alam sekeliling kita.
Perbelanjaan yang banyak diperlukan untuk menangani
sampah-sarap yang dihasilkan daripada segala kegiatan
harian masyarakat bandar umpamanya. Masyarakat yang
tidak berusaha mengurangkan sampah yang dihasilkan akan
menghadapi masalah besar daripada persekitaran yang
bukan sahaja tidak selesa tetapi juga tidak sihat.
13. Pengekalan alam sekitar yang semulajadi, terutama
pokok-pokok hutan menjadi cabaran kepada masyarakat
manusia. Sementara pertambahan yang tinggi bilangan
anggota masyarakat memerlukan kawasan perumahan,
perusahaan dan perniagaan yang lebih luas, kawasan-
kawasan dengan pertumbuhan sedia ada seperti hutan
perlu dikekalkan. Jika kita ingin alam sekitar
semulajadi dikekalkan dan tidak terus dimusnahkan,
pengurusan pembangunan untuk masyarakat yang kian
membesar mestilah diurus dengan bijak. Jika tidak kita
akan hilang sama sekali hutan dan `biodiversity' kita
buat selama-lamanya.
14. Dalam pada itu segala pencemaran perlu diawasi dan
ditangani supaya kualiti alam tidak menjadi terlalu
buruk sehingga menjadi kehidupan kita tidak sihat.
Demikian pelupusan sampah perlu dibuat dengan berhati-
hati. Membakar sampah secara terbuka tetap akan
mencemarkan udara dan mengganggu kesihatan dan kualiti
hidup kita.
15. Malaysia adalah negara membangun yang terawal
menubuhkan Kementerian Alam Sekitar. Dua puluh lima
tahun dahulu semasa alam sekitar tidak begitu
diutamakan di negara-negara membangun kita sudah pun
sedar akan pentingnya pemeliharaan alam sekitar.
Kualiti hidup telah pun diberi keutamaan oleh Kerajaan
dan peruntukan yang semakin bertambah telah dibuat.
Namun kita sering dituduh tidak prihatin akan keadaan
alam sekeliling kita. Sebenarnya kita begitu sedar
akan masalah persekitaran sehingga kita mengawal hutan
kita dengan rapi.
16. Hutan adalah punca kekayaan bagi negara kita. Dan
kita bukanlah negara yang kaya. Kita perlu
mengeluarkan hasil hutan terutama balak untuk
membangunkan ekonomi negara kita dan juga untuk ruang
bagi penduduk negara kita yang semakin bertambah. Kita
juga perlu kawasan hutan untuk takungan air bagi
menjana kuasa elektrik dan untuk pertanian. Kita tidak
boleh ikut desakan orang asing terutama NGO mereka yang
mahukan kita kekalkan hutan kita sebagai `carbon sink'
mereka, untuk menyerap karbon dioksida yang dikeluarkan
dengan banyaknya oleh mereka, tanpa mengambilkira
keperluan kehidupan rakyat kita. Sementara kita perlu
selamatkan hutan kita, hasil dari hutan hendaklah kita
keluarkan dengan cermat di samping kawasan yang
berpatutan dibersihkan untuk keperluan hidup kita.
17. Kita berhak mendapat hasil dari hutan kita secara
yang tersusun. Sementara negara yang kaya telah
memusnahkan hutan mereka, adalah tidak adil bagi mereka
memaksa kita mengurangkan pendapatan kita supaya
kehidupan mereka menjadi selesa. Rakyat Malaysia dan
NGO Malaysia janganlah terbawa-bawa dengan kononnya
keprihatinan terhadap alam sekitar sehingga memaksa
kita mengorbankan kepentingan ekonomi kita untuk
keselesaan hidup orang yang sudah kaya.
18. Hari ini hutan kita adalah antara hutan-hutan yang
tertua dalam dunia dan mempunyai banyak potensi untuk
industri berasas kepada `genome' tumbuh-tumbuhan dan
kehidupan lain yang berada dalam hutan kita. Potensi
untuk industri berasas kepada `genome' amatlah besar
dan boleh menghasilkan kekayaan bagi negara kita.
Untuk ini kita perlu kawal kekayaan hutan kita supaya
tidak ada sesiapa yang membawa keluar tumbuh-tumbuhan
dan kehidupan lain dari hutan kita untuk dibuat kajian
bagi mendapatkan hasil yang lumayan bagi mereka.
Sebaliknya kita perlu bekerjasama dengan penyelidik
dari negara lain untuk mengutip dan menyimpan segala
data dan `sample' berkenaan dengan `genome' yang
terdapat di negara kita. Saya yakin dengan kekayaan
jumlah `genome' kita, banyaklah industri bioteknologi
akan dapat dihasilkan.
19. Sebab itu Kerajaan telah bersetuju untuk
mengadakan Lembah Biotek dalam Koridor Raya Multimedia
(MSC). Ia akan dapat menaikkan lagi potensi
pembangunan MSC. Usaha akan dibuat untuk mengumpul
data dan menyusunnya supaya kaji selidik dapat dibuat
berkenaan `genome' yang boleh menghasilkan berbagai-
bagai jenis perubatan dan sebagainya. Adalah
diharapkan para saintis Malaysia akan melibatkan diri
secara serius dalam bidang bioteknologi yang dipercayai
boleh menyumbang kepada pembangunan industri yang
canggih yang akan membantu pertumbuhan ekonomi negara.
20. Daripada apa yang telah saya sebutkan adalah jelas
bahawa Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar
akan memainkan peranan yang semakin penting dalam
pembangunan negara kita. Pegawai-pegawai Kementerian
hendaklah memiliki sikap yang positif terhadap tugas
dan tanggungjawab mereka. Mereka perlu memberi
kerjasama yang erat kepada saintis-saintis kita,
terutama mereka yang membuat kajian dan cuba mencipta
sesuatu yang berguna hasil daripada kajian mereka.
21. Kementerian telah diberi tugas mengurus dana untuk
membuat kajian dan pembangunan dan pegawai-pegawai
Kementerian perlu bersikap positif terhadap permohonan
daripada saintis yang membuat kajian dan pembangunan.
Memang pun sukar untuk menilai ide dan tujuan kajian
yang hendak dibuat. Mungkin kebanyakan daripada kajian
ini tidak akan membawa apa-apa hasil. Mungkin
peruntukan ternampak sebagai satu pembaziran. Tetapi
amatlah sukar untuk penyelidik menerangkan kajian yang
ingin dibuat olehnya dan hasil yang diharapkan. Saya
percaya kebanyakan daripada kajian tidak akan
mendatangkan apa-apa hasil. Tetapi apabila terdapat
kajian yang mendatangkan hasil yang baik, pulangan
daripada sumbangan wang daripada dana amatlah besar.
Justeru itu dana untuk kaji selidik dan pembangunan
hendaklah diurus dengan lebih bersimpati kepada saintis-
saintis yang melakukan penyelidikan.
22. Saya telah menggariskan secara ringkas
tanggungjawab dan peranan Kementerian Sains, Teknologi
dan Alam Sekitar sejak penubuhannya 25 tahun yang lalu
dan sebahagian daripada faktor-faktor utama yang
kritikal untuk negara ini terus maju dalam ekonomi yang
berasaskan pengetahuan. Faktor-faktor ini merangkumi
pembangunan sumber manusia, menggalakkan inovasi,
sensitif kepada keperluan masyarakat dan pemeliharaan
serta perlindungan alam sekitar. Kejayaan kita akan
memperkukuhkan lagi pembangunan negara dalam menghadapi
cabaran masa hadapan. Tidak ada rumusan ajaib untuk
berjaya kecuali menghadapi cabaran-cabaran ini dengan
keyakinan tinggi bahawa kita boleh melaksanakannya.
Saya penuh yakin Kementerian Sains, Teknologi dan Alam
Sekitar akan terus menyumbang ke arah menjadikan
Malaysia sebuah pusat kecemerlangan sains dan teknologi
di samping mempunyai alam sekitar yang bersih, selamat,
indah dan produktif sesuai dengan aspirasi Wawasan
2020.
23. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
Majlis Sambutan Jubli Perak Kementerian Sains,
Teknologi dan Alam Sekitar.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|