Oleh/By : Y.A.B. DATO SERI DR
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL MANDARIN ORIENTAL,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 17/07/2001
Tajuk/Title : SEMPENA MAJLIS PELANCARAN
KIJANG EMAS
Versi : BM
Penyampai : PM
Saya mengucapkan terima kasih kepada Bank Negara
Malaysia kerana menjemput saya untuk melancarkan duit
syiling bulion Malaysia yang diberi nama Kijang Emas.
Kijang Emas akan meletakkan negara kita di peta dunia
sebagai salah sebuah negara yang berjaya mengeluarkan
duit syiling bulion. Dengan terbitnya Kijang Emas ini,
kita telah membuktikan yang negara kita juga mempunyai
keupayaan kreativiti dan kepakaran anak tempatan untuk
mengeluarkan produk setanding mutunya dengan produk-
produk yang dikeluarkan oleh negara lain.
2. Cabaran persaingan dalam dunia perniagaan
antarabangsa hari ini amatlah sengit. Oleh itu
kemajuan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan atau
R&D dalam bidang-bidang yang diceburi amatlah penting
bagi meningkatkan kualiti produk-produk yang
dikeluarkan dengan kos yang rendah dan mampu bersaing
dengan pengeluar-pengeluar antarabangsa. Pengusaha-
pengusaha tempatan mestilah peka dengan tahap kos
pengeluaran, produktiviti dan kualiti produk.
Pengusaha-pengusaha juga mestilah bijak menggunakan
sumber-sumber tempatan dan meningkatkan nilainya kerana
dengan usaha ini bukan sahaja sumber tempatan dapat
digunakan dengan kos yang lebih rendah, tetapi juga
akan meningkatkan ekonomi negara dan mewujudkan lebih
banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Usaha
ini juga akan dapat meningkatkan keupayaan persaingan
dalam perniagaan, lebih-lebih lagi kepada yang ingin
memasuki pasaran luar negara.
3. Kita mestilah sentiasa berusaha dengan gigih
kerana sesuatu kejayaan dalam apa-apa jua bidang pun
tidak akan datang bergolek tanpa perancangan yang rapi
dan usaha yang gigih. Saya selalu berpesan kepada
pengusaha-pengusaha supaya memberi perhatian kepada
R&D. Faktor R&D sangat penting untuk menjamin mutu dan
mencari satu metodologi pengeluaran yang cekap dan
berkesan bagi menghasilkan sesuatu produk yang dapat
menjimatkan kos pengeluaran dan seterusnya memberikan
kita daya saing yang tinggi.
4. Dasar liberalisasi perdagangan akan membuka
pasaran kepada peniaga-peniaga dan pengusaha-pengusaha
luar ke dalam pasaran kita. Peniaga-peniaga dan
pengusaha-pengusaha ini, akan membawa bersama mereka
teknologi dan inovasi yang bakal menjadi pesaing kepada
pengusaha dan peniaga tempatan. Adakah kita bersedia
untuk bersaing dengan mereka ini? Apakah strategi dan
kelebihan yang kita ada untuk menghadapi cabaran
daripada pesaing-pesaing dari luar ini? Pengusaha dan
peniaga tempatan tidak lagi boleh terlalu bergantung
kepada Kerajaan kerana dalam arus globalisasi peranan
Kerajaan akan menjadi semakin terhad. Oleh itu
pengusaha-pengusaha tempatan harus bijak mengambil
peluang yang ada, mempunyai kekuatan, semangat dan daya
tahan yang tinggi dalam mengharung arus globalisasi
ini.
5. Menyedari hakikat kesan daripada proses
globalisasi ini, kita memperkenalkan K-ekonomi yang
menekankan kepentingan ilmu dalam menghadapi persaingan
yang hebat yang tercetus dari revolusi teknologi dan
penghapusan sempadan perniagaan. Harapan kita ialah
dengan peningkatan ilmu, pengusaha dan peniaga tempatan
dapat terus merumus formula terbaik untuk maju dan
bersaing dengan pesaing-pesaing dari luar. Dengan
ilmu yang dimiliki dan sentiasa dikemas kini, ianya
akan digunakan bukan sahaja untuk kemajuan sendiri
tetapi juga kemajuan sesama rakan niaga. "Ilmu yang
tidak digunakan adalah ibarat pokok yang tidak
berbuah".
6. Kita sentiasa berharap agar negara mengalami
pertumbuhan ekonomi yang positif setiap tahun.
Kerajaan sahaja tidak berupaya untuk menjana
pertumbuhan memandangkan kita mempunyai sumber-sumber
yang terhad. Oleh itu, tugas menjana pertumbuhan
ekonomi seharusnya dipikul bersama oleh sektor swasta
yang merangkumi antaranya masyarakat peniaga, pengusaha
dan perbankan. Mereka perlu saling bergantung antara
satu sama lain dengan matlamat utamanya untuk mencapai
tahap kejayaan yang lebih cemerlang.
7. Pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS)
adalah antara sektor yang penting dalam ekonomi yang
mendapat perhatian kerajaan sebagai sektor yang
berupaya menyumbang kepada pertumbuhan. Bagaimanapun,
keupayaan IKS terhad kepada jumlah modal dimiliki dan
mereka memerlukan bank untuk mendapatkan bantuan bagi
mengembangkan perniagaan ataupun menampung defisit
aliran tunai. Walau bagaimanapun, ada antara bank yang
terlalu berhati-hati dalam memberikan pinjaman kepada
syarikat IKS sehingga ada antara mereka yang terpaksa
gulung tikar. Ini adalah perkara yang merugikan negara
apabila modal yang dilabur hilang begitu sahaja. Usaha
yang sepatutnya berupaya menjana pertumbuhan positif,
kini berubah kepada pertumbuhan yang negatif. Bank
perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam membantu
pengusaha IKS seperti memberikan khidmat nasihat
tentang pengurusan kewangan, pentadbiran dan pemasaran.
Saya percaya langkah ini akan membantu memajukan
syarikat IKS dan secara langsung dapat mengurangkan
risiko pinjaman tidak berbayar. Saya ingin menyeru
kepada institusi kewangan agar memberi perhatian
sewajarnya kepada sektor IKS. Janganlah mengenakan
syarat pinjaman yang terlalu membebankan.
8. Pengeluaran Kijang Emas oleh The Royal Mint of
Malaysia melambangkan keberanian dan semangat mampu
bersaing pengusaha IKS tempatan dengan negara yang
lebih maju. Kerajaan ingin melihat banyak lagi produk
kraftangan tempatan yang kreatif, menarik dan
berkualiti dapat dihasilkan oleh IKS tempatan yang
lain.
9. Pengeluaran Kijang Emas ini bukan setakat untuk
memperkenalkan Malaysia di mata dunia, tetapi ia juga
menyediakan pilihan bagi orang ramai untuk melabur dan
menabung. Dengan harga emas yang secara relatif lebih
stabil, pelaburan dalam Kijang Emas dapat mengimbangi
risiko dalam portfolio pelaburan yang lain seperti
pasaran saham.
10. Saya mengucapkan tahniah kepada Bank Negara
Malaysia dan The Royal Mint of Malaysia kerana telah
bekerjasama dalam menjayakan penerbitan Kijang Emas
ini. Setinggi penghargaan saya kepada World Gold
Council yang turut menyumbang kepada kejayaan Malaysia
mengeluarkan Kijang Emas. Saya harap kerjasama begini
dapat diteruskan dalam membantu Malaysia mempromosi dan
memasarkan Kijang Emas di peringkat dunia.
11. Dengan ini, saya dengan sukacitanya melancarkan
Kijang Emas dengan rasminya.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|