Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PALACE OF GOLDEN HORSES, SG. BESI,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 28-08-2001
Tajuk/Title : MAJLIS JUBLI EMAS GABUNGAN DEWAN
PERNIAGAAN DAN PERINDUSTRIAN
INDIA MALAYSIA
Versi :
Penyampai : PM
Saya ucapkan terima kasih kepada Gabungan Dewan
Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia kerana
menjemput saya untuk bersama meraikan perayaan
sambutan jubli emasnya. Tidak dapat dinafikan
masyarakat India telah turut bersama menyumbang kepada
pembangunan ekonomi dan negara kita walaupun mereka
merupakan penduduk minoriti. Sumbangan mereka adalah
juga besar seperti sumbangan penduduk kaum-kaum lain.
Mereka ternyata aktif di sektor perladangan,
pembinaan, perusahaan, pengedaran, hidangan makanan
dan perniagaan runcit. Ada juga yang amat berjaya
dalam arena antarabangsa. Selain daripada penyertaan
di bidang ekonomi, mereka juga menikmati hak
kewarganegaraan dan politik seperti rakyat lain. Hak
dan kepentingan mereka dilindungi dan diberi perhatian
sewajarnya melalui dasar-dasar Kerajaan.
2. Kerajaan mengamalkan sikap terbuka dan prihatin
terhadap isu dan masalah yang dihadapi oleh pelbagai
kaum di negara ini. Semua pihak menerima hakikat
bahawa Malaysia merupakan sebuah negara berbilang
kaum, agama dan kebudayaan. Di dalam menggubal
sesuatu dasar atau strategi, kepentingan semua kaum
diambilkira. Tidak ada satu kaum pun di negara ini di
mana kepentingan mereka dipinggirkan.
3. Di dalam menggubal Rangka Rancangan Jangka
Panjang Ketiga, 2001-2010 (RRJP3), Kerajaan telah
menubuh Majlis Perundingan Ekonomi Negara Kedua (MAPEN
II), yang dianggotai oleh 154 orang ahli, mewakili
pelbagai kumpulan masyarakat, termasuk kaum India.
Kerajaan telah memberi pertimbangan dengan teliti ke
atas semua perakuan yang dikemukakan oleh MAPEN II.
Di mana sesuai, perakuan berkenaan diterima dan
dijadikan sebahagian daripada dasar dan strategi
RRJP3.
4. Di sini saya ingin menarik perhatian tuan-tuan
dan puan-puan kepada pernyataan dasar di bawah RRJP3
mengenai komitmen Kerajaan untuk memperbaiki kedudukan
ekonomi kaum keturunan India. Dari segi pemilikan
ekuiti korporat, usaha akan dijalankan untuk
meningkatkan pemilikan ekuiti mereka daripada 1.5
peratus pada tahun 1999 kepada tiga peratus menjelang
tahun 2010. Satu kajian juga akan dijalankan untuk
menilai tahap penyertaan kaum India dalam ekonomi bagi
merangka strategi dan program yang bersesuaian.
5. Di samping memperjuangkan hak dan kepentingan
kaum masing-masing, sebagai rakyat dan warganegara
Malaysia, tuan-tuan dan puan-puan haruslah memberikan
perhatian dan komitmen yang lebih terhadap integrasi
nasional. Hanya melalui integrasi nasional, hasrat
dan cita-cita semua kaum di negara ini untuk terus
menikmati kedamaian dan keharmonian hidup serta
mencapai kemajuan pembangunan, dapat dihasilkan.
6. Usaha memupuk integrasi nasional perlu dijalankan
setiap masa dan di setiap peringkat - di sekolah, di
tempat kerja, di taman perumahan, di gelanggang sukan.
Kita perlu sentiasa berwaspada terhadap anasir-anasir
yang cuba menggugat kedamaian dan keharmonian hidup di
negara ini. Kita tidak boleh bertolak ansur dalam
perkara ini.
7. Dalam membangunkan negara, setiap kaum atau
kumpulan yang ada di negara ini perlu bersedia
melengkapkan diri untuk bersama-sama menyumbang kepada
pencapaian matlamat yang ditetapkan. Sekiranya ada
sesuatu kaum atau kumpulan yang belum bersedia, kaum
tersebut akan keciciran. Kita harus sedar bahawa kita
terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dalam apa juga
bidang yang kita ceburi. Hanya mereka yang mempunyai
keyakinan dan keupayaan sahaja yang akan dapat
menghadapi persaingan sengit bagi merebut kejayaan.
8. Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India
Malaysia telah wujud selama 50 tahun. Saya percaya
banyak kemajuan yang telah dicapai dalam tempoh
tersebut daripada segi keahlian dan aktiviti yang
dijalankan. Namun demikian, adalah wajar untuk Dewan
menilai semula tahap pencapaiannya sehingga kini dan
merangka pelan pembangunan seterusnya, selari dengan
pelan pembangunan negara. Pelan pembangunan Dewan
perlu mengambil kira perubahan-perubahan pesat yang
sedang berlaku, bukan sahaja di peringkat nasional,
bahkan di peringkat antarabangsa.
9. Pada masa ini, terdapat pemusatan penglibatan
peniaga India dalam beberapa aktiviti tertentu,
seperti perniagaan runcit, pengedaran, hidangan
makanan dan pembinaan. Kebanyakan perniagaan yang
dijalankan tertumpu kepada memenuhi kehendak dan
kepentingan komuniti India. Ahli-ahli Dewan perlulah
melibatkan diri secara aktif dan lebih meluas dalam
sektor perkilangan dan perkhidmatan, dan juga di dalam
industri lain yang sedang diwujudkan dan yang
mempunyai potensi tinggi untuk berkembang, umpamanya
bioteknologi, peralatan dan kejenteraan, pembungkusan
dan pembangunan multimedia.
10. Pihak Dewan perlu menggalakkan lebih ramai
peniaga dan usahawan India untuk menjadi ahli Dewan.
Dengan keahlian yang bertambah dan lebih menyeluruh,
ia akan memudahkan usaha untuk meningkatkan kualiti
dan penglibatan kaum India dalam perniagaan. Dewan
perlu menggalakkan ahli-ahlinya supaya saling bantu-
membantu di antara satu sama lain. Selain daripada
menggalakkan jaringan kerjasama di kalangan ahli,
Dewan juga perlu berusaha menyebarkan maklumat,
termasuk mengenai perisikan pasaran, memperkenalkan
amalan perniagaan terbaik dan menyediakan khidmat
bimbingan pemasaran.
11. Memandangkan pasaran Malaysia adalah agak kecil,
kerjasama dengan pelabur-pelabur asing perlu
diwujudkan untuk memperolehi teknologi dan pasaran
baru serta kaedah baru menjalankan perniagaan. Dalam
aspek ini, SMIDEC ada melaksanakan program-program
Rantaian Industri dan Pembekal Global. Di bawah
program Rantaian Industri, syarikat-syarikat industri
kecil dan sederhana (IKS) tempatan dirangkaikan dengan
syarikat-syarikat besar dan multinasional (MNC)
sebagai pembekal alat-alat komponen dan perkhidmatan-
perkhidmatan tertentu. Di bawah program Pembekal
Global pula, kemampuan dan keupayaan syarikat-syarikat
IKS dipertingkatkan bagi membolehkan mereka
membekalkan barangan dan perkhidmatan bertaraf dunia
kepada syarikat-syarikat besar bukan sahaja untuk
operasi mereka di Malaysia, bahkan di serata dunia.
12. Usahawan India perlu menyahut cabaran untuk
menyusun semula organisasi dan amalan perniagaan
mereka, supaya selari dengan perkembangan teknologi
maklumat dan komunikasi (ICT), internet dan e-dagang.
Perubahan teknologi ini telah merubah cara tradisi
menjalankan sesuatu perniagaan. Barangan menjadi
usang dengan lebih cepat dan perlu digantikan dengan
barangan baru, begitu juga proses baru mengambil alih
proses lama, disebabkan perubahan teknologi.
Usahawan India mestilah peka terhadap kepentingan dan
perkembangan e-dagang sebagai satu lagi cara
meningkatkan daya saing mereka. Di dalam ekonomi
digital, ICT akan mempunyai kesan yang meluas ke atas
setiap aspek aktiviti perniagaan mereka.
13. Dewan perlu merintis dan melaksanakan projek-
projek yang akan menjadikan komuniti India lebih teguh
dan berdaya tahan dalam jangka masa panjang.
Konsortium besar-besaran boleh diwujudkan melalui
penggabungan dan pengambilalihan syarikat-syarikat
kecil, untuk membolehkan perniagaan mereka mendapat
manfaat daripada perluasan operasi di dalam dan luar
negara. Usaha mesti dilakukan untuk menggalakkan lebih
ramai ahli Dewan menyertai pameran dan pesta
perdagangan di dalam dan luar negara yang dianjurkan
oleh MATRADE dan pihak-pihak lain. Ini akan membantu
pelabur dan usahawan keturunan India mewujudkan
hubungan perniagaan dan menyediakan pasaran untuk
barangan dan perkhidmatan di peringkat global.
14. Akhir sekali ingin saya tegaskan bahawa di
Malaysia yang berbilang kaum dan bangsa kita tidak
perlu asingkan perniagaan kita mengikut kaum.
Penyertaan yang bermakna dalam perniagaan milik
pelbagai kaum tidak menidakkan kepentingan sesuatu
kaum. Yang penting ialah semua kaum di Malaysia
mendapat bahagian daripada ekonomi negara kita.
15. Saya mengucapkan selamat menyambut perayaan jubli
emas dan selamat maju jaya kepada Gabungan Dewan
Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|