Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA
Tarikh/Date : 30-08-2001
Tajuk/Title : PERUTUSAN SEMPENA HARI
KEMERDEKAAN NEGARA YANG KE-44
Versi :
Penyampai : PM
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah
S.W.T. kerana esok genaplah 44 tahun negara kita
mencapai kemerdekaan. Sekali lagi kita sebagai rakyat
Malaysia dapat merayakannya dalam keadaan aman, meriah
dan bersatu padu.
2. Semua rakyat Malaysia sudah tentu berasa bertuah
dan bersyukur kerana di dalam masa yang singkat, negara
kita telah berjaya mencapai tahap kemajuan yang amat
membanggakan. Negara kita juga aman dan mampu
menangkis bermacam-macam serangan ke atas ekonomi dan
politiknya. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang
Maha Berkuasa.
3. Mentadbir sebuah negara berbilang kaum, berbilang
agama, budaya dan bahasa bukanlah sesuatu yang mudah.
Negara yang diduduki oleh satu kaum pun tidak mudah
ditadbir. Tetapi dengan kerjasama rakyat Malaysia
daripada semua kaum, pentadbiran yang berkesan dapat
diadakan. Demikian kejayaan kita sehingga hari ini
kita menjadi negara membangun yang termaju dan dianggap
sebagai contoh kepada negara-negara membangun yang
lain.
4. Pembangunan di Malaysia adalah menyeluruh. Tahap
kemiskinan hanya 5.5 peratus sahaja. Kawasan-kawasan
luar bandar dibekal dengan air dan elektrik, jalan
bertar, sekolah dan klinik perubatan dan kemudahan
telefon. Sudah tentu masih ada tempat-tempat yang
terpencil terutama di Sabah dan Sarawak yang masih
belum mempunyai kemudahan yang disebut tetapi kita
merancang untuk membekal kemudahan ini secepat mungkin.
Kita tidak mungkin hidup dengan cara asli kita tetapi
perlu berubah untuk menikmati kemudahan yang canggih
dan moden.
5. Bandar-bandar kita sudah berubah menjadi bandar
yang maju dengan mempunyai semua kemudahan yang
didapati di negara maju.
6. Sebenarnya bandar-bandar kita sudah bertaraf
bandar negara maju. Pelawat yang datang ke Kuala
Lumpur, ibu kota negara, mendakwa Malaysia adalah
negara maju dan bukan negara dunia ketiga. Segala
kemudahan yang ada di bandar-bandar moden di dunia ada
di Kuala Lumpur. Keretapi elektrik, LRT, jalan
bertingkat, pusat beli-belah yang memasarkan barangan
dari seluruh dunia, bangunan pencakar langit yang
tertinggi di dunia, taman-taman yang indah dan lampu-
lampu yang terang-benderang - semuanya ada di Kuala
Lumpur. Di bandar-bandar lain di Malaysia juga
demikian.
7. Ya, memang benar kita juga ada setinggan yang
tinggal di rumah tanpa elektrik dan air, kawasan yang
kotor dengan sampah-sarap, jalan yang tidak bertar dan
becak. Memang setinggan miskin. Tetapi tidak kurang
pula terdapat rumah setinggan yang mempunyai siaran
ASTRO dan kereta bermotor diletak di depan rumah. Dan
ramai juga yang enggan berpindah apabila disediakan
dengan rumah kos rendah yang mempunyai cukup kemudahan.
Jika mereka, setinggan di Kuala Lumpur terutamanya,
sanggup berpindah, mereka tidak akan menjadi tandatanya
sama ada bandar kita benar maju. Insya-Allah, dengan
usaha yang sedang dibuat untuk mengadakan rumah murah
untuk semua setinggan, kita akan selesaikan masalah
ini. Dengan itu tidak akan ada rakyat Malaysia yang
menidakkan kemajuan yang dicapai oleh negara kita
kerana adanya setinggan, kerana adanya rakyat yang
miskin di negara yang begitu maju ini. Sebenarnya
tidak ada negara yang maju di dunia yang tidak
mempunyai rakyat yang miskin dan merana. Oleh itu
janganlah menidakkan kemajuan yang telah kita capai
dengan menimbulkan kemiskinan golongan tertentu.
Sebaliknya pencemuh yang terdiri daripada rakyat
Malaysia perlu bertanya kenapakah ada rakyat Malaysia
yang miskin sedangkan hampir dua juta orang asing yang
berjaya meraih pendapatan yang lumayan bagi diri
mereka. Tidak mungkinkah kita mengganti dan membuat
kerja-kerja yang dibuat oleh orang asing ini dan meraih
pendapatan yang baik bagi kita? Kenapakah ada
pengangguran di kalangan rakyat Malaysia sedangkan
peluang kerja dapat menampung keperluan rakyat asing?
Sebenarnya jika kita sanggup merebut hanya sebahagian
sahaja daripada peluang yang terbaik yang ditawarkan,
tidak akan ada seorang pun rakyat Malaysia yang akan
menganggur.
8. Walau apa pun hakikatnya ialah tidak seperti di
negara-negara membangun yang lain, rakyat Malaysia
mempunyai pilihan. Mereka boleh pilih untuk bekerja
atau tidak bekerja, berpindah atau tidak berpindah,
menderita atau tidak menderita. Mereka yang menafikan
kemakmuran dan kebahagiaan hidup di Malaysia sebenarnya
tidak bersyukur dengan nikmat yang banyak yang ada
dalam negara kita ini.
9. Demikian juga dengan mereka yang lain yang sengaja
tidak mahu mengiktiraf keIslaman negara Malaysia ini.
Kerana ingin memupuk perasaan kebencian kepada musuh
politik, mereka menafikan keIslaman Malaysia. Bahawa
dunia Islam bukan sahaja mengiktiraf Malaysia sebagai
negara Islam, tetapi sebagai negara Islam yang menjadi
contoh kepada negara-negara Islam lain tidak sedikitpun
mempengaruhi `state of denial' atau sikap tidak sanggup
mengaku hakikat yang sebenar ditunjuk oleh mereka ini.
Kerana kepentingan politik mereka terus menafikan
keIslaman Malaysia.
10. Mereka mungkin memandang ringan terhadap penafian
mereka akan keIslaman Malaysia. Mereka mungkin anggap
ianya hanyalah satu strategi untuk mengalahkan musuh
politik mereka dan tidak lebih daripada itu, tetapi ada
antara anggota kumpulan mereka yang benar-benar percaya
dakwaan mereka dan ingin mengguna kekerasan dan
keganasan untuk menjatuhkan pemerintahan yang ada
sekarang. Bagi kumpulan ini pembentukan negara Islam
mereka melalui proses demokrasi tidak memadai. Mereka
ingin membunuh, mengganas dan mendapat bantuan daripada
fanatik-fanatik asing untuk menjayakan usaha mereka.
Kegiatan mereka ini berjaya menghalang pembangunan
negara-negara Islam, menjadikan mereka lemah dan tidak
mampu menyelamatkan negara dan umat Islam.
Sesungguhnya puak ini adalah pengkhianat kepada agama
Islam dan umat Islam.
11. Walau parti tidak terlibat secara langsung tetapi
pengikut yang fanatik dari parti ini mengadakan pasukan-
pasukan ketenteraan kononnya untuk merebut kuasa dan
menggulingkan Kerajaan yang sah. Mereka meyakinkan
diri mereka bahawa apabila mereka melancarkan serangan
mereka maka rakyat akan bangun menyokong mereka.
Mereka juga meyakinkan diri mereka bahawa mereka
mempunyai kuasa ghaib yang menjadikan mereka kebal dan
selamat daripada peluru dan senjata lain. Mereka
menghalalkan keganasan mereka kerana orang yang mereka
musuhi sudah tidak Islam lagi atau mengamal cara-cara
yang bukan Islam. Demikian merompak bank dihalalkan
bagi mereka kerana bank mengamalkan sistem riba. Dan
banyaklah lagi ajaran sesat yang diterima oleh mereka
supaya mereka sanggup melakukan jenayah.
12. Kerana percaya kepada dakwaan pemimpin politik
yang berkepentingan, kerana yakin perbuatan mereka
dihalalkan, bahkan diwajibkan oleh agama Islam, kerana
tidak yakin sistem demokrasi akan berjaya memberi
kemenangan kepada puak mereka dan kerana inginkan
impian negara Islam khayalan mereka dicapai, hari ini
mereka terpaksa menghadapi undang-undang negara bagi
orang yang melakukan jenayah bersenjata. Mereka
mungkin akan menerima hukuman yang berat setimpal
dengan jenayah mereka. Tetapi orang yang telah
membakar semangat mereka, yang secara tidak langsung
mendalangi keganasan mereka, orang ini akan selamat.
Orang ini tidak pun akan mengakui mereka sebagai
sebahagian daripada gerakan mereka. Orang ini akan
terus menikmati strategi membenci yang diguna oleh
mereka untuk kepentingan politik mereka.
13. Tetapi ada juga pihak lain yang menjadi mangsa
penafian keIslaman negara Malaysia oleh pihak ini; dan
kebencian yang disemai terhadap musuh politik puak ini.
Fikiran generasi muda Melayu begitu diganggu oleh
perasaan kebencian sehingga mereka tidak dapat menumpu
kepada pelajaran dan penguasaan ilmu. Guru-guru dan
pensyarah juga tidak dapat menyampaikan pelajaran dan
ilmu. Sebaliknya ramai mereka terlibat dengan
penyemaian kebencian terhadap pihak tertentu. Yang
lebih malang lagi ialah guru-guru agama yang
dipertanggungjawabkan untuk membentuk peribadi Islam
yang mulia, mengemaskan pegangan kepada agama, telah
ketepikan tanggungjawab ini sehingga aqidah dan iman
pelajar dan anak muda menjadi lemah.
14. Dengan itu bukan sahaja ilmu pelajaran tidak
diperolehi oleh pelajar-pelajar dan golongan muda,
tetapi kefahaman dan pegangan mereka kepada Islam juga
turut lemah. Maka berlakulah keruntuhan akhlak dan
moral yang ketara sehingga ada yang menolak Islam dan
menyembah syaitan, melangkah Al-Quran dan membakarnya,
merogol, membunuh, menolak ibubapa dan melakukan
jenayah terhadap mereka. Ada antara mereka yang
berkelakuan seperti ini yang terdiri daripada penuntut
sekolah agama.
15. Negara Malaysia terus maju hasil usaha dan
kecekapan kaum-kaum lain tetapi orang Melayu menjadi
semakin mundur. Kepercayaan bahawa mereka akan selamat
selama-lamanya menyebabkan mereka tidak lagi bersatu
untuk mempertahankan kepentingan kaum bangsa mereka.
Mereka percaya walau siapa pun menjadi Kerajaan
Malaysia layanan baik terhadap mereka akan berterusan.
Justeru itu, mereka tidak berusaha untuk melengkapkan
diri mereka dengan ilmu pengetahuan, dengan kecekapan
dan dengan kekuatan politik. Pecah-belah antara mereka
semakin buruk sehingga mereka tidak sanggup bertemu dan
berbincang tentang masalah dan bahaya yang kaum bangsa
mereka sedang dan akan menghadapi.
16. Namun pada tahun ke-44 kita merayakan kemerdekaan
kita, kita masih boleh gembira. Majoriti rakyat masih
tahu bersyukur dan sedar akan nikmat hidup di Malaysia.
Negara kita masih aman. Ekonomi negara masih baik dan
hubungan antara kaum masih harmoni. Kita bebas
daripada cengkaman agensi-agensi antarabangsa dan kuasa
besar. Ringgit kita stabil dan mempunyai nilai yang
berpatutan; tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu
rendah. Rizab negara mampu menampung lebih daripada
tiga bulan nilai import. Pasaran saham juga sihat dan
inflasi kurang daripada tiga peratus.
17. Kemerosotan ekonomi Amerika Syarikat mempunyai
kesan ke atas pertumbuhan ekonomi negara tetapi
tidaklah sehingga berlaku resesi. Suntikan modal
sebanyak RM3 bilion akan membantu pertumbuhan ekonomi
negara dari dalam.
18. Walaupun eksport ke negara-negara maju telah
menurun, usaha sedang giat dibuat untuk mendapat
pasaran baru. Tanda-tanda menunjukkan yang negara-
negara Asia Barat dan Afrika dapat dibangunkan sebagai
pasaran baru bagi eksport negara. Yang lebih baik
ialah pasaran baru ini akan menerima barangan buatan
Malaysia yang bukan elektronik. Lagipun barang-barang
ini adalah keluaran syarikat-syarikat tempatan.
19. Sesuatu yang menggembirakan ialah pertumbuhan
jumlah pelancong yang datang ke Malaysia. Dalam empat
bulan pertama tahun ini jumlah pelancong melebihi satu
juta tiap bulan. Dan ramai pelancong ini datang dari
negara-negara Arab. Mereka tinggal lebih lama daripada
pelancong lain dan ini adalah lebih baik daripada
jumlah pelancong yang tinggi tetapi hanya tinggal 3 - 4
hari.
20. Hubungan luar Malaysia sudah menjadi bertambah
baik. Malaysia sekarang terkenal di seluruh dunia.
Negara-negara membangun melihat Malaysia sebagai contoh
bagi mereka. Demikianlah kehormatan yang diberi kepada
Malaysia sehingga jumlah perwakilan asing yang
ditauliahkan ke Malaysia sudah melebihi seratus negara,
dengan lebih daripada 80 bermastautin di Kuala Lumpur.
Pemimpin-pemimpin negara asing sering membuat lawatan
rasmi dan tidak rasmi ke Malaysia untuk menjalin
hubungan yang erat dengan kita dan bekerjasama dengan
kita dalam arena antarabangsa.
21. Kita tidak memihak kepada mana-mana blok tetapi
berbaik-baik dengan semua negara di dunia. Sikap bebas
kita dan kelantangan kita menyuarakan ketidakadilan
yang berlaku dalam dunia kadang-kadang tidak disenangi
oleh pihak tertentu. Media asing terutamanya tidak
mempunyai apa-apa pandangan yang baik terhadap kita.
Mereka sering memburukkan imej negara kita, mencemuh
kita dan mencuba memesongkan pandangan pelabur dan
pelancong daripada kita. Usaha mereka berjaya juga
tetapi semakin ramai yang tidak lagi percaya akan imej
buruk yang diberi oleh media asing kepada kita. Mereka
yang datang ke Malaysia melihat dengan sendiri akan
betapa tidak tepat laporan media terhadap kita dan
mereka dapat memperbetulkan imej Malaysia di kalangan
rakan dan kenalan mereka.
22. Negara-negara yang pada tahun 1998 mencemuh kita
kerana kononnya kita tidak demokratik, tidak adil dan
sebagainya, hari ini berusaha memperbaiki hubungan
mereka dengan kita. Masalah tertentu sudah tidak lagi
disebut oleh mereka. Kebanyakan daripada mereka
sekarang mengakui kebenaran dan kewarasan tindakan kita
dan pegangan kita kepada prinsip `the rule of law' dan
undang-undang Malaysia yang tidak memilih bulu. Semua
rakyat Malaysia adalah sama daripada segi undang-undang
dan kedudukan tinggi seseorang tidak memberi apa-apa
keistimewaan kepadanya.
23. Negara-negara yang mengharap bahawa kejatuhan
Kerajaan Malaysia akan memberi peluang kepada calon
mereka mendapat kuasa, hari ini sedar bahawa yang
mungkin mendapat kuasa dan mengganti Kerajaan Malaysia
ialah puak ekstremis yang memperalatkan Islam dan
hubungan mereka dengan puak ekstremis ini tidak mungkin
lebih baik daripada hubungan dengan pemerintah yang ada
sekarang. Realiti ini mengecewakan mereka dan usaha
memburukkan Kerajaan Malaysia sudah berkurangan.
24. Malaysia adalah negara demokratik. Rakyat
Malaysia sahaja yang berhak menentukan siapa yang akan
memerintah negara bertuah ini. Walaupun agama Islam
boleh disalahtafsir untuk menipu rakyat supaya
menyokong pihak tertentu, tetapi rakyat semakin sedar
akan penyalahgunaan agama. Sehingga ke hari ini
cabaran supaya dijelaskan secara terperinci akan negara
Islam yang kononnya hendak didirikan tidak terjawab.
Mendakwa bahawa negara Islam yang akan didirikan ialah
yang mematuhi ajaran Islam yang terdapat dalam Al-Quran
dan Hadis tidak dapat diterima kerana Al-Quran dan
Hadis tidak menyuruh orang Islam tolak persaudaraan
sehingga tidak pun sanggup berjumpa dan berbincang
tentang masalah pertahanan umat Islam di Malaysia,
tidak menyuruh orang Islam mengkafirkan orang Islam
lain dengan sebab tidak menyertai kumpulan mereka,
tidak menyuruh orang Islam melempar fitnah bertalu-talu
kepada orang Islam lain dan bermacam lagi larangan
dalam Islam yang tidak diendahkan. Juga soalan sama
ada hanya mahkamah syariah sahaja yang akan dibenar dan
mahkamah sivil dihapuskan tidak juga dijawab.
25. Demokrasi adalah ciptaan manusia dan ianya tidak
bebas daripada kecacatan. Banyak sudah negara yang
menjadi tidak stabil dan tidak dapat dibangunkan kerana
penerimaan sistem demokrasi. Negara-negara demokrasi
Barat tahu mengawal diri dan mengadakan hanya dua atau
tiga parti sahaja. Tetapi mereka menggalakkan negara
demokrasi yang baru mengadakan banyak parti politik.
Dengan itu tidak ada satu parti pun yang bertaraf
nasional. Terbahagi kepada terlalu banyak parti,
Kerajaan yang berwibawa tidak dapat didirikan. Sudah
tentu negara tidak dapat mencapai kestabilan dan
pembangunan tidak dapat diadakan.
26. Walaupun di Malaysia terdapat banyak parti politik
tetapi parti pemerintah berjaya dicantumkan 13 buah
parti dalam sebuah parti campuran. Kerajaan Malaysia
memang berwibawa tetapi kawalan yang rapi perlu
diadakan supaya pihak yang menyalahgunakan hak dan
kebebasan untuk mencetuskan huru-hara dapat dibendung
awal.
27. Sementara itu negara terpaksa berhadapan dengan
globalisasi. Kita tidak nafi bahawa kemajuan teknologi
komunikasi dan kemudahan penerbangan telah menjadikan
dunia semakin kecil dan pemisahan antara negara-negara
tidak lagi dapat dipertahankan. Namun ini tidak
bermakna kita tidak boleh pertahankan kebebasan negara
kita. Kita tidak percaya orang asing akan pertahankan
kepentingan kita, terutama jika mereka terdiri daripada
pedagang wang dan barangan yang mengutamakan keuntungan
bagi mereka sahaja. Sementara kita menerima
globalisasi, kita percaya bentuknya masih boleh
diperbaiki supaya negara-negara membangun terjamin
bahagian mereka daripada oder baru ekonomi dunia yang
akan diterima.
28. Sementara itu rakyat negara ini perlu membuat
persediaan. Kita perlu menguasai I.T. atau teknologi
maklumat dan mahir dengan penggunaan komputer.
Kerajaan telah melancarkan beberapa `flagship' projek
yang direka untuk memudahkan pentadbiran dan interaksi
rakyat dengan Kerajaan supaya kita menjadi lebih
efisien. Setakat ini sambutan terhadap Kerajaan
elektronik dan kad pintar serbaguna adalah
menggalakkan.
29. Insya-Allah rakyat dan Kerajaan akan mampu
menangani kehidupan zaman teknologi maklumat, dunia
tanpa sempadan dan budaya bebas tanpa sekatan, budaya
lucah dan kehidupan tanpa moral yang akan dibawa oleh
dunia luar. Ramai yang tidak kuat iman akan tercicir
di sepanjang jalan. Tetapi lebih ramai yang akan kekal
dengan fikiran yang rasional dan menyumbang kepada
ketahanan masyarakat dan negara.
30. Telah 44 tahun negara kita berdaulat dan merdeka.
Kita berhak berbangga dengan kecapaian kita. Dan hari
ini sempena merayakan ulang tahun kemerdekaan kita,
marilah kita memperbaharui komitmen kita untuk terus
bersatu padu dan bersama-sama bergerak memajukan dan
mempertahankan negara kita Malaysia, sama ada kita
daripada kaum Bumiputera mahupun bukan Bumiputera.
Malaysia adalah negara kita, hak kita. Marilah kita
mempertahankannya agar kita dapat terus merdeka, bebas,
berdaulat, maju dan makmur dan terus dihormati oleh
masyarakat dunia.
31. Selamat merayakan Hari Kebangsaan yang ke-44.
Kepada semua rakyat Malaysia, pasukan keselamatan serta
petugas-petugas Kerajaan yang lain, kepada kakitangan
Kerajaan dan swasta, pelajar dan penuntut sekolah dan
universiti di dalam dan luar negeri, bagi pihak
Kerajaan, ingin saya ucapkan berbanyak terima kasih
kerana sumbangan tidak ternilai terhadap kestabilan,
kemajuan dan pembangunan negara yang bertuah dan
tercinta ini.
32. Selamat maju jaya dan selamat merayakan hari
Kemerdekaan.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|