Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN MERDEKA, PWTC, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 01-09-2001
Tajuk/Title : KONGRES PENDIDIKAN MELAYU PERTAMA
Versi :
Penyampai : PM
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima
kasih kepada pihak penganjur kerana mengundang saya
untuk menyampaikan ucapan perasmian kongres ini.
Bahawa kita orang Melayu perlu berkongres berkenaan
pendidikan Melayu setelah 44 tahun merdeka,
mencerminkan kita masih gagal menggunakan kebebasan
kita untuk menentukan pendirian kita terhadap
pendidikan. Di zaman penjajah kita boleh menyalahkan
penjajah kerana tidak memberi peluang kepada kita untuk
mengejar ilmu. Tetapi setelah merdeka alasan ini tidak
boleh digunakan lagi.
2. Sebenarnya semasa memperjuangkan kemerdekaan,
pemimpin-pemimpin Melayu bercita-cita untuk
meningkatkan penguasaan semua ilmu secara mendalam oleh
orang Melayu. Mereka berpendapat ini adalah kunci
untuk orang Melayu memajukan diri mereka supaya sama
dengan kaum-kaum lain.
3. Semasa merundingkan dasar-dasar negara Malaysia
yang merdeka, pemimpin-pemimpin Melayu telah menentukan
bahawa peluang dan bantuan bagi orang Melayu perlulah
diberi keistimewaan. Dalam bidang pelajaran peruntukan
khusus telah dibuat dalam sosial kontrak dan
perhubungan supaya peluang dan peruntukan yang
mencukupi bagi orang Melayu dapat diadakan.
4. Dalam konteks zaman itu pandangan pemimpin-
pemimpin Melayu agak mudah. Masalah yang mereka lihat
terhad kepada keadaan dalaman. Tidak terlintas dalam
fikiran mereka akan perubahan-perubahan dalam hubungan
antarabangsa, akan peranan yang akan dimainkan oleh
Malaysia dan orang Melayu, dan sudah tentu tidak ada
siapa yang meneka akan perkembangan ilmu dan peranan
ilmu dalam zaman maklumat.
5. Ramai yang melihat pendidikan sebagai peluang
untuk membentuk bangsa Malaysia daripada rakyat
berbilang kaum di negara ini. Jika semua kaum belajar
dalam bahasa Malaysia, maka perpaduan antara mereka
tentu mudah berlaku. Ramai juga yang berpendapat
penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar akan
memberi sedikit kelebihan kepada penuntut Melayu dalam
bidang pembelajaran dan penguasaan ilmu.
6. Terpikat dengan kepentingan pembentukan Bangsa
Malaysia, pejuang-pejuang pendidikan dan pelajaran
telah cuba memperluaskan penerimaan bahasa Melayu
sebagai bahasa pengantar. Ada Menteri yang telah
menjadikan sekolah Cina dan India sebagai sekolah
kebangsaan dan ada Menteri yang menutup sekolah
Inggeris dan menjadikannya sekolah berbahasa pengantar
bahasa Melayu dengan tujuan untuk memperluaskan
penggunaan bahasa Kebangsaan secepat mungkin.
7. Sebenarnya minat bukan Melayu untuk pergi ke
sekolah jenis kebangsaan meningkat kerana keputusan
yang pertama. Apabila sekolah Inggeris ditutup hampir
semua penuntut bukan Melayu di sekolah Inggeris telah
menderu pergi ke sekolah Cina. Sekolah-sekolah Cina
yang hampir tidak mempunyai murid, tiba-tiba menerima
jumlah murid yang besar. Hari ini sekolah-sekolah
menengah Cina amat besar dan dilengkapi dengan semua
kemudahan. Mereka mengikuti kurikulum kebangsaan
tetapi bahasa pengantar mereka ialah bahasa Cina.
8. Inilah yang berlaku apabila kita cuba menggunakan
sistem pendidikan untuk tujuan lain daripada
pendidikan, iaitu untuk mengembangkan bahasa
Kebangsaan.
9. Sementara itu kita dapati sekolah-sekolah
kebangsaan semakin merosot prestasinya. Pada mulanya
ramai juga penuntut bukan Melayu pergi ke sekolah
kebangsaan. Tetapi hari ini bilangan penuntut bukan
Melayu amat berkurangan. Sebaliknya ramai juga
penuntut Melayu memilih untuk ke sekolah jenis
kebangsaan Cina di mana bahasa pengantarnya ialah
bahasa Cina. Kenapakah bilangan bukan Melayu ke
sekolah kebangsaan berkurangan dan bilangan Melayu ke
sekolah Cina bertambah?
10. Kita tidak begitu suka untuk mengakui kebenaran
jika ianya mendedahkan kesilapan kita. Tetapi jika
kita ingin memperbetulkan sesuatu, kita perlu
mengenalpasti sebab yang sebenar dan bertindak
memperbetulkan kesilapan ini.
11. Sekolah-sekolah kebangsaan hari ini sudah menjadi
hampir sama dengan Sekolah Agama Islam daripada
falsafah dan praktiknya. Jika ada mana-mana pihak
dalam sekolah mengarahkan bahawa sesuatu dibuat atas
nama Islam, tidak ada sesiapa yang berani menentang.
Walaupun arahan itu bukan daripada Kementerian atau
guru besar dan asas keIslamannya samar-samar tidak akan
ada sesiapa yang berani menentang arahan berkenaan.
12. Demikian ada sekolah yang memaksa seluar panjang
dipakai semasa bermain bola sepak kerana seluar pendek
dianggap tidak Islam. Kita lihat pemain-pemain bola
sepak dari negara Islam seperti Arab Saudi dan lain-
lain memakai seluar pendek semasa bersukan dan lain-
lain masa pun tetapi tidak ada guru atau guru besar
ataupun pegawai Kementerian yang berani berkata bahawa
seluar pendek perlu dipakai.
13. Banyaklah lagi kegiatan dan rupa bentuk yang
dikatakan mencerminkan Islam ditekankan ke atas sekolah-
sekolah Kebangsaan. Semua ini menyebabkan ramai orang
Cina mengelak daripada memasukkan anak mereka ke
sekolah Kebangsaan.
14. Yang lebih malang ialah prestasi sekolah
kebangsaan tidak meningkat daripada segi kelulusan
peperiksaan. Ada guru yang lebih mengutamakan politik
daripada pengajaran ilmu yang dipertanggungjawabkan
kepada mereka. Bermacam cara digunakan untuk menyemai
kebencian kepada Kerajaan sehingga penuntut tidak dapat
menumpukan perhatian kepada pelajaran yang sebenar.
15. Ada guru agama yang terlalu menekan politik
membenci Kerajaan sehingga ajaran Islam yang sebenar
tertinggal sama sekali. Pelajar tidak memahami ajaran
Islam dan aqidah mereka rosak sama sekali. Apabila
mereka terdedah kepada kepercayaan yang bertentangan
dengan Islam, mereka mudah menerima ajaran ini. Sebab
itu kita lihat ada anak Melayu, termasuk yang menuntut
di sekolah agama yang sanggup menyembah syaitan,
menghina al-Quran dan berkelakuan yang tidak bermoral
sama sekali.
16. Walaupun terdapat banyak sekolah kebangsaan yang
cemerlang tetapi prestasi kebanyakannya adalah rendah.
Oleh kerana penuntut di sekolah kebangsaan hampir
semuanya terdiri daripada anak Melayu, ini bermakna
anak Melayulah yang menjadi mangsa kemerosotan prestasi
sekolah-sekolah kebangsaan.
17. Soalnya ialah apakah kita harus memejamkan mata
dan menyerah kepada takdir kerana kita tidak sanggup
menghadapi realiti dan cabaran, atau apakah kita
sanggup berhadapan dengan masalah yang menyerang bangsa
kita walaupun ia memalu dan mencemarkan imej bangsa
kita?
18. Mungkin ada ramai yang akan berkata Kerajaan perlu
membuat "sesuatu". Kita akan berseminar, berpolemik
berpanjangan dan membuat rumusan dan syor-syor, beratus
syor daripada beratus rumusan daripada beratus seminar.
Selepas itu kita kembali ke rumah kita dan kita
menunggu Kerajaan bertindak dan menyelesaikan masalah
mengikut arahan kita.
19. Tetapi Kerajaan tidak sebegitu bebas bertindak
kerana tiap sesuatu yang dilakukan oleh Kerajaan akan
dijadikan isu politik. Jika Kerajaan bertindak ke atas
guru yang tidak bertanggungjawab, ada pihak yang akan
mempertahankannya. Dia sendiri akan aktif berkempen
untuk membencikan Kerajaan. Undang-undang negara pula
memberi perlindungan luar biasa kepada pegawai Kerajaan
yang cuai. Peguam tertentu daripada parti tertentu
menunggu sahaja untuk mempertahankan guru berkenaan.
Setahun, dua tahun akan berlalu sebelum pengadilan
dibuat. Akhirnya hukuman yang ringan diberi yang tidak
memberi apa-apa kesan.
20. Yang berseminar tidak harus membuat kesimpulan dan
syor sahaja. Jika mereka benar-benar merasa
bertanggungjawab mereka harus bertindak sendiri. Saya
tahu seribu tindakan yang boleh dilakukan oleh mereka.
21. Kerajaan telah melaksanakan berbagai-bagai dasar
dan program dan menyediakan beraneka kemudahan untuk
pendidikan Melayu. Kita telah mendirikan sekolah-
sekolah yang serba lengkap di bandar dan luar bandar,
mengadakan skim pinjaman buku, mengadakan surau dan
pelajaran agama, mengadakan pelajaran percuma, biasiswa
dan skim pinjaman, mengadakan kelas matrikulasi dan
kelas sains, mengadakan sekolah berasrama penuh,
Sekolah Menengah Sains MARA, dan sekarang ini kita
sedang mendirikan sekolah satu sesi dan sekolah bestari
lengkap dengan segala peralatan teknologi maklumat.
22. Daripada sebuah universiti kita sekarang mempunyai
14 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan tahun ini
dua lagi IPTA akan dibangunkan. Puluhan ribu anak
Melayu telah diberi biasiswa dan dihantar ke universiti
luar negeri. Tidak ada cadangan yang munasabah atau
perbelanjaan yang berpatutan yang tidak dilayan oleh
Kerajaan.
23. Jika ada lagi cadangan lain yang baik, Kerajaan
sedia menerima dan melaksanakannya. Tetapi kita yakin
perbelanjaan dan kemudahan fizikal tidak akan dapat
mengatasi masalah pencapaian yang rendah oleh murid
Melayu kerana sikap terhadap pendidikan.
24. Statistik yang dikumpul oleh Kementerian
Pendidikan menunjukkan bahawa 30 peratus daripada murid
sekolah rendah tidak meneruskan pelajaran mereka ke
sekolah menengah. Hampir semua daripada mereka adalah
penuntut Melayu dan lelaki. Di manakah mereka pergi?
Mungkin ke sekolah-sekolah agama swasta, di mana mereka
juga akan belajar mengikut kurikulum kebangsaan.
25. Kita tahu kemudahan di sekolah-sekolah swasta ini
tidak mencukupi. Bangunan biasanya daif dan ramai
daripada guru tidak terlatih. Apakah sebabnya yang
murid-murid ini meninggalkan kemudahan-kemudahan yang
disediakan oleh Kerajaan dengan cukup lengkap untuk
pergi ke sekolah swasta yang serba kekurangan dan
membayar yuran?
26. Mungkin jawapannya ialah mereka ingin belajar
agama. Mungkin mereka dan ibubapa mereka berminat
untuk melihat anak mereka lebih alim dalam bidang
agama. Mungkin mereka berpendapat pelajaran agama di
sekolah-sekolah kebangsaan terlalu cetek dan tidak
mencukupi.
27. Tetapi sebenarnya pelajaran yang disampaikan di
sekolah-sekolah tidak tertumpu kepada agama Islam.
Ramai daripada mereka hanya belajar tentang
ketidakIslamnya Kerajaan. Hampir semua daripada mereka
menyertai politik pembangkang. Mereka dikawal supaya
tidak terdedah kepada penjelasan oleh Kerajaan.
Pengetahuan mereka dalam bidang agama sebenarnya cetek,
tidak seperti pelajar-pelajar agama dahulu yang
menguasai ilmu agama yang sebenar.
28. Ada pihak tertentu yang tidak senang melihat
pelajar Melayu belajar ilmu-ilmu lain selain daripada
agama. Mungkin ini adalah kerana ilmu lain ini
dianggap sekular. Tetapi besar kemungkinan pihak ini
ingin mempengaruhi pelajar-pelajar ini untuk
kepentingan mereka. Jika orang Melayu menjadi mundur
dan rosak terus, ini tidak mengapa kerana kepentingan
mereka ini tercapai.
29. Oleh kerana ini bilangan pelajar Melayu yang
berkelulusan tinggi yang layak memasuki universiti
tidak ramai. Mereka tidak khuatir kerana Kerajaan akan
menentukan mereka akan mendapat tempat di universiti
walau apapun. Ini adalah hak istimewa orang Melayu.
Jika ijazah yang mereka perolehi berkelas rendah, itu
tidak mengapa. Ijazah diperolehi juga. Mereka juga
berkelulusan universiti. Tidak ramai yang akan
bertanya kelas apa ijazah mereka?
30. Fenomena yang baru kita sedari ialah bilangan
pelajar lelaki Melayu amat berkurangan daripada pelajar
wanita dalam universiti. Sebenarnya bilangan pelajar
wanita sekali ganda lebih daripada pelajar lelaki.
Kita tidak dapat mengurangkan bilangan pelajar wanita
kerana bilangan mereka yang lebih bukan salah mereka.
Mungkin mereka tidak begitu diganggu semasa di sekolah
dan dengan itu dapat memberi tumpuan kepada pelajaran
mereka. Saya khuatir selepas kenyataan ini pelajar
wanita juga akan diganggu oleh pihak berkenaan.
31. Kita tidak boleh terima bahawa jumlah penuntut
lelaki yang kurang ini adalah kerana mereka bodoh.
Kebolehan mereka sama dengan wanita. Tetapi jikalau
mereka tidak dibenarkan belajar, yang cemerlang antara
mereka pun tidak akan lulus.
32. Kita hidup dalam dunia yang penuh dengan cabaran.
Kemampuan kita menghadapi dan mengatasi cabaran ini
bergantung kepada ilmu yang dikuasai oleh kita dan
kecekapan kita. Sementara kita perlu memiliki
pengetahuan agama supaya kita tidak mudah dipisahkan
daripada agama kita, pengetahuan kita dalam bidang-
bidang lain adalah satu kewajipan bagi kita untuk
melindungi umat Islam daripada tekanan, penindasan dan
penguasaan oleh ideologi dan kepercayaan yang
bertentangan dengan agama Islam.
33. Ada negara yang penduduknya terdiri 100 peratus
daripada orang Islam, yang mempunyai ulama yang
terbanyak dalam agama Islam, ulama yang terkenal dalam
sejarah Islam dan dunia Islam, negara di mana ramai
penuntut dari negara-negara lain sering menuntut ajaran
Islam di madrasah dan institusi pelajarannya, yang
diperintah oleh imam, tetapi negara ini telah menjadi
negara Komunis kerana ramai daripada rakyatnya telah
menolak Islam untuk mengikut ajaran Komunis, yang
menolak Tuhan.
34. Kenapakah orang Islam dan negara yang diduduki 100
peratus orang Islam, yang ditadbir di bawah undang-
undang syariah oleh Imam dapat dipengaruhi oleh
ideologi yang anti-Islam, seperti Komunis. Jawapannya
ialah kerana negara ini amat miskin dan lemah dalam
semua bidang. Selain daripada agama mereka tidak
memiliki apa-apa kecekapan hidup. Mereka miskin.
Mereka terpaksa menerima bantuan daripada negara-negara
asing. Negara asing ini adalah negara-negara Komunis
yang memberi bantuan kewangan dan kemudahan untuk
membangunkan negara ini. Pemuda-pemuda dari negara ini
telah ditawarkan pelajaran dan latihan di negara-negara
Komunis dan mereka telah menerima fahaman Komunis
sepenuhnya. Akhirnya mereka menjatuhkan pemerintah
Islam oleh Imam dan mendirikan negara Komunis.
35. Benarlah bahawa kemiskinan itu hampir kepada
kekufuran. Kita begitu yakin bahawa kita orang Melayu
tidak mungkin dipisahkan daripada agama Islam. Yang
harus kita ingat ialah sebelum pun kita miskin, iman
kita sudah begitu lemah sehingga ada yang sanggup
menghina al-Quran dan menyembah syaitan. Apatah lagi
apabila kita menjadi miskin dan terpaksa meminta-minta
daripada orang lain.
36. Dan kita akan menjadi miskin kerana tidak memiliki
ilmu pengetahuan dan kecekapan tertentu kerana kita
menolak pembelajaran ilmu-ilmu ini dan pelajaran agama
juga diselewengkan. Apabila kita miskin dan terpaksa
mengemis, maka iman kita akan menjadi lemah dan dengan
mudahnya kita akan dikuasai oleh kuasa dan pengaruh
lain dan kita akan dipisahkan daripada agama kita.
37. Orang Islam tidak disuruh mempelajari hanya agama
sahaja. Jika semua daripada kita hanya berpengetahuan
dalam bidang agama sahaja, hanya mempelajari agama
sahaja yang akan memberi pahala kepada kita dan dengan
itu apakah yang akan terjadi kepada masyarakat kita?
Kita tidak mungkin menyara kehidupan kita sama sekali.
Pendapat bahawa hanya yang mempelajari agama sahaja
yang akan mendapat pahala dan tempat di akhirat adalah
salah. Mereka tidak pun dapat hidup jika tidak ada
orang lain yang membuat kerja-kerja lain bagi menyara
kehidupan mereka dan menyelamat mereka. Orang lain ini
juga membuat ibadat kerana mereka yang membolehkan
orang yang berpelajaran agama hidup sempurna.
38. Agama Islam membahagikan ibadat kepada Fardu Ain
dan Fardu Kifayah. Fardu Ain adalah untuk diri sendiri
semata-mata. Mengamalkannya memberi pahala kepada diri
sendiri.
39. Fardu Kifayah memberi pahala kepada diri
pengamalnya tetapi di masa yang sama menyelamatkan
anggota masyarakat daripada menanggung dosa. Jika
tidak kerana pengamal Fardu Kifayah, yang tidak pernah
tinggal menunaikan Fardu Ain juga akan menanggung dosa.
Janganlah kita fikir dosa kerana tidak menunaikan Fardu
Kifayah tidak seberat dosa meninggal fardu ain.
Kebahagiaan hidup umat Islam disebut bersama dengan
kebahagiaan hidup di akhirat. Ingat jugalah segala
yang baik itu datang dari Allah S.W.T. dan yang buruk
dari kita. Jika hari ini orang Islam ditindas dan
dibunuh, yang menyebabnya ialah kita.
40. Fardu Kifayah mempunyai kaitan yang rapat dengan
keselamatan dan kebahagiaan hidup masyarakat Islam.
Fardu Kifayah tidak terhad kepada hanya sembahyang
mayat, menyediakan mayat dan membaca talkin.
Keselamatan anggota masyarakat Islam memerlukan orang
yang cekap dalam menjaga keamanan dan keselamatan,
kesihatan dan keselesaan hidup serta kebahagiaan orang
Islam. Untuk ini pelbagai ilmu diperlukan. Menuntut
ilmu-ilmu ini tidak kurang penting daripada menuntut
ilmu berkenaan agama. Jika tidak ada seorang pun
daripada orang Islam yang berkebolehan menjaga
keselamatan dan kesejahteraan hidup masyarakat Islam,
maka tentulah semua akan berdosa.
41. Sebenarnya pengetahuan agama di kalangan orang
Melayu sudah merosot kerana kepentingan politik pihak
tertentu. Kerana kepentingan ini ajaran sesat telah
berkembang, ajaran yang menghakis iman dan aqidah orang
Islam dan menyebabkan mereka memiliki pendapat yang
bertentangan dengan ajaran Islam.
42. Orang Melayu perlu diberitahu akan ajaran Islam
berkenaan menuntut ilmu pelajaran. Al-Quran menyebut
berkali-kali akan kejadian alam, bukit-bukau, hujan
yang menyuburkan tanah dan tumbuhan yang segar yang
menyusulinya. Ayat yang pertama yang disampaikan
kepada Nabi ialah "Baca". Kita tahu Nabi tidak boleh
membaca. Kenapakah Tuhan menyuruh Rasullullah membaca?
Tentulah kerana Baginda dikehendaki belajar membaca.
Apakah yang hendak dibaca pada ketika itu? Tidak ada
satu pun ayat al-Quran yang telah diturunkan untuk Nabi
membaca. Yang ada tertulis untuk dibaca ialah bahan
yang lain daripada apa yang ada dalam al-Quran.
43. Maksud membaca sebelum pun ada al-Quran tentulah
berkenaan ilmu yang ada pada masa itu. Dan ilmu-ilmu
tersebut bukanlah berkenaan agama Islam. Ia adalah
berkenaan dengan ilmu lain.
44. Kita tahu satu daripada Hadis Nabi yang sahih
ialah "Tuntutlah ilmu walaupun sampai ke negeri China".
Di masa itu ilmu yang boleh dipelajari dari negeri Cina
bukanlah yang berkenaan agama Islam. Ilmu berkenaan
agama Islam pada ketika itu boleh didapati daripada
Nabi sendiri, sahabat-sahabat Baginda dan orang-orang
lain yang memeluk agama Islam. Tetapi di masa itu pun
negara Cina terkenal dengan perkembangan pelbagai ilmu
termasuk berkenaan pemerintahan negara, cara-cara
peperangan, bidang pertanian, pembuatan barangan kaca,
kertas dan bahan letupan. Apa yang jelas ialah agama
Islam, jauh daripada melarang, menyuruh umat Islam
mempelajari pelbagai ilmu dan bukan semata-mata
berkenaan agama. Tidak ada disebut tentang pelajaran
yang sekular yang ditegah mempelajarinya. Tidak juga
disebut apakah jenis pelajaran yang memberi pahala yang
banyak dan apa yang kurang. Yang disuruh ialah membaca
dan mengejar ilmu.
45. Sepatutnya ajaran Islam berkenaan menuntut ilmu,
berbagai-bagai ilmu, selain daripada yang khusus
berkenaan dengan agama, diberikan penekanan dan galakan
yang kuat oleh masyarakat Islam, oleh pemimpin-pemimpin
Islam, oleh pendidik-pendidik Islam. Sepatutnya
mengejar berbagai-bagai ilmu menjadi budaya umat Islam
di mana-mana sahaja. Sepatutnya negara-negara Islam
dan masyarakat Islam mengadakan segala kemudahan
seperti sekolah, alatan pelajaran, makmal dan ujian
serta institusi pelajaran tinggi untuk memudahkan
tuntutan segala ilmu. Dan sepatutnya orang Islam
mendahului orang-orang lain dalam semua ilmu; dalam
sains, matematik, astronomi, geografi, geologi dan lain-
lain.
46. Dan di zaman kegemilangan Islam memang pun orang
Islam mendahului orang lain dalam bidang-bidang yang
tersebut. Kita kenali nama Ibnu Sina dalam bidang
perubatan, Ibnu Rushdi dalam bidang matematik, Ulug Bez
dalam bidang astronomi, Ibnu Batuta dalam bidang
pelajaran, Al Khwarizmi dalam bidang `algorithm' dan
hisab tinggi, dan berpuluh lagi.
47. Tetapi apabila datang zaman kesempitan tafsiran
berkenaan dengan ilmu yang perlu dituntut, apabila
muncul orang-orang tertentu yang merasai kuasa mereka
terhakis kerana kemuliaan pendita-pendita Islam ini,
maka bermulalah usaha untuk menyekat pelajaran ilmu
yang tidak khusus berkenaan dengan agama. Dari tarikh
itu, maka merosotlah perkembangan ilmu sains,
matematik, astronomi dan lain-lain dari dunia Islam.
Dari tarikh itu juga tamadun Islam mula menjadi lemah
dan akhirnya ditewas dan dijajah oleh kuasa-kuasa lain.
48. Orang-orang bukan Islam memperkenalkan perkataan
sekular, iaitu bidang yang tidak ada kaitan dengan
agama. Dan pihak tertentu di kalangan orang Islam yang
takut kehilangan pengaruh mengambil kesempatan ini
untuk mentafsir sebarang ilmu yang tidak ada kaitan
dengan agama sebagai sekular dan melarang mempelajari
ilmu yang ditafsirkan sebagai sekular ini. Untuk
mendapat pahala, yang perlu dituntut ialah agama
sahaja.
49. Hari ini dalam dunia Islam dan di Malaysia juga
pendapat ini mempengaruhi orang Islam. Orang Melayu
walaupun pada masa awal kemerdekaan memujuk rakyat
untuk menguasai semua ilmu, tetapi hari ini sudah amat
kurang minat ini. Jika ada sesiapa yang memilih untuk
mempelajari atau untuk menyuruh anak mempelajari agama
semata-mata, tidak akan ada sesiapa yang berani berkata
bahawa agama Islam menyuruh kita mempelajari ilmu-ilmu
lain juga. Sesiapa yang berani berkata ilmu yang lain
daripada agama adalah dituntut oleh agama Islam, adalah
baik bagi agama Islam dan orang Islam, mereka akan
dianggap kurang Islam atau tidak Islam. Walaupun kita
berdoa setiap hari akan kebahagiaan di dunia di samping
kebahagiaan di akhirat, walaupun jelas tanpa
kebahagiaan di dunia kebahagiaan di akhirat mungkin
tidak tercapai, walaupun kita lihat contoh bagaimana
kemiskinan dan kedaifan di dunia bukan sahaja hampir
kepada kekufuran tetapi menyebabkan ramai orang Islam
menolak agama Islam, tetapi masih juga terdapat
pandangan di kalangan orang Islam dan orang Melayu
bahawa tidak ada pahala mempelajari ilmu-ilmu yang lain
daripada ilmu agama.
50. Yang lebih menyedih dan memburukkan lagi ialah
yang dituntut bukan pun agama Islam tetapi sedutan
tertentu daripada separuh ayat al-Quran dan Hadis
pilihan, guna untuk memenuhi kepentingan politik pihak
tertentu. Tafsiran yang dibuat juga tidak tepat.
51. Pihak tertentu tidak suka pandangan seperti ini
disuarakan, terutama daripada orang yang didakwa tidak
berpengetahuan agama dan tidak terpelajar dalam bidang
agama. Yang penting bukan kebenaran dan ketepatan apa
yang diperkatakan; yang penting ialah siapa yang
memperkatakannya. Walaupun benar dan tepat, jika ia
datang daripada orang yang didakwa oleh mereka tidak
berpelajaran agama, maka ia ditolak bulat-bulat. Ayat
Quran dan Hadis Nabi yang jelas pun ditolak.
52. Jika orang tertentu yang cetek ilmu agamanya
tetapi sebulu dengan pihak berkenaan, tafsiran yang
bertentangan dan menafikan al-Quran dan Hadis sahih,
ditelan bulat-bulat.
53. Agama Islam tidak salah. Dalam bidang penguasaan
semua ilmu termasuk sains, ilmu alam, matematik,
kejuruteraan, agama Islam bukan sahaja tidak menegah
tetapi menuntut supaya dikejar oleh orang Islam. Jika
orang Islam lemah dalam bidang ini sekarang, jika
mereka malas dan tidak bersemangat untuk mempelajari
ilmu-ilmu ini sebabnya ialah orang-orang yang
berkepentingan, yang ingin mengekal dan memperkuatkan
pengaruh mereka, sengaja menghalang pelajaran ilmu-ilmu
yang tidak khusus berkenaan agama dengan mendakwa ilmu
ini sekular dan mempelajarinya tidak memberi pahala.
54. Mereka akan melemparkan fitnah kepada sesiapa yang
mendedahkan salah tafsir dan salah niat mereka; mereka
akan memaki hamun dan melakukan segala yang diharamkan
oleh agama Islam. Mereka akan menimbulkan kebencian
yang amat sangat kepada orang ini.
55. Namun demikian orang Islam dan ulama Islam yang
berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar perlu
menentang pendapat yang salah ini dan perlu berani
menyebarkan ajaran Islam yang sebenar berkenaan
menuntut semua ilmu. Jangan tafsir ilmu ini sebagai
sekular atau duniawi kerana ia mempunyai kaitan yang
rapat dengan akhirat juga.
56. Asas agama yang cukup mesti disemaikan secara
berkesan dalam hati sanubari anak-anak Melayu supaya
pegangan mereka kepada ajaran Islam dan budaya Islam
tetap berkesan dan kekal, supaya mereka tidak mudah
dipengaruhi oleh pengaruh songsang, pengaruh lucah dari
luar. Benteng yang kuat perlu didirikan dalam hati
anak Melayu yang dapat menghalang kemasukan segala
jenis maksiat dan kekotoran. Di masa yang sama anak
Melayu perlu diberitahu bahawa daripada segi
kepentingan agama dan umat Islam, daripada segi pahala
yang diperolehi, ilmu yang bukan khusus berkenaan
dengan agama Islam, tetapi penting untuk mempertahankan
agama dan umat, mesti dikejar oleh anak-anak Melayu
yang semuanya Islam.
57. Sementara ibubapa juga mempunyai tanggungjawab
untuk tidak mengurangkan semangat anak untuk belajar
ilmu-ilmu berkenaan, guru dan pendidik mempunyai
tanggungjawab yang tidak terhingga pentingnya.
58. Jika anak Melayu diberi semangat dan galakan yang
secukupnya, kita yakin mereka akan menunjukkan minat
yang kuat untuk mempelajari ilmu-ilmu seperti sains dan
teknologi, matematik, kejuruteraan, teknologi maklumat
dan lain-lain seperti juga kaum lain, dan mereka boleh
menunjukkan pencapaian yang cemerlang. Anak Melayu
lelaki atau perempuan bukan bodoh. Mereka sama pintar
dengan pelajar daripada kaum lain. Tetapi mustahil
mereka dapat mencapai kecemerlangan dalam bidang-bidang
yang mereka tidak mempelajarinya, yang mereka tidak
tekun dan berusaha untuk mempelajarinya.
59. Ibubapa, guru, pensyarah dan semua pendidik perlu
memberi semangat kepada pelajar Melayu. Jangan sekali-
kali melemahkan semangat mereka dengan dakwaan bahawa
bidang-bidang tertentu adalah sekular dan tidak memberi
pahala kepada yang menuntutnya. Ingatlah, seseorang
yang sakit, sama ada ia ulama atau tidak, perlu dibedah
oleh pakar perubatan, ingatlah serangan ke atas negara
kita perlu ditangkis oleh pakar ketenteraan, masjid dan
bangunan perlu didirikan oleh arkitek, jurutera dan
juruteknik. Apakah kerja mereka ini tidak memberi
pahala kepada mereka sedangkan jelas sekali mereka
membolehkan orang Islam mengamalkan ajaran Islam
sebagai cara hidup mereka.
60. Insya-Allah, jika tidak ada gangguan, pelajar-
pelajar Melayu tetap berminat untuk belajar ilmu-ilmu
yang penting ini dan tetap cemerlang.
61. Ingatlah, apa jua yang dibuat untuk memelihara dan
memuliakan agama, negara Islam dan umat Islam adalah
ibadat dan dituntut daripada semua orang Islam.
Janganlah sesiapa secara sengaja atau tidak sengaja
mengkhianati agama Islam dan umat Islam dengan
mengutamakan kepentingan diri.
62. Saya harap Kongres Pertama Pendidikan Melayu ini
berjaya mengenalpasti asas-asas masalah pendidikan
Melayu dan mengambil tindakan yang diperlukan.
Mengadakan kongres untuk membuat syor dan cadangan
supaya Kerajaan membuat itu dan ini, memberi peruntukan
dan lain-lain memang mudah. Kerajaan mengucapkan
terima kasih tetapi Kerajaan sendiri mempunyai
rancangan bagi mengatasi masalah-masalah pendidikan
Melayu. Mungkin pendekatan Kerajaan baik, mungkin
tidak. Yang pasti segala rancangan Kerajaan tidak akan
mencapai kejayaan jika tidak ada sokongan, tetapi
sebaliknya halangan dibuat terhadap usaha berkenaan.
Masa untuk berpolemik sudah berakhir. Masa sekarang
ialah untuk bertindak, dan bertindak bersama.
63. Sekali lagi saya ucapkan berbanyak-banyak terima
kasih kepada Kongres Pendidikan Melayu yang sudi
menjemput saya untuk menyampaikan pandangan saya
berkenaan masalah orang Melayu ini.
64. Saya berdoa Kongres akan mencapai maksudnya.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|