Oleh/By : DATO SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : MENARA PGRM, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 29-09-2001
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN
PERWAKILAN KE-30 PARTI GERAKAN
RAKYAT MALAYSIA
Versi :
Penyampai : PM
Terlebih dahulu saya mengucapkan berbanyak terima
kasih kepada Jawatankuasa Pusat Parti Gerakan Rakyat
Malaysia kerana telah sudi sekali lagi mengundang saya
untuk merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Gerakan
yang ke-30 pada tahun ini.
2. Kepada semua para perwakilan dan pemimpin Parti
Gerakan saya ucapkan selamat bersidang. Saya berharap
tuan-tuan dan puan-puan akan dapat melaksanakan tugas
sebagai wakil bahagian atau cawangan masing-masing
dengan sempurna kerana saya percaya anggota-anggota
parti yang tidak berpeluang menjadi wakil ke perhimpunan
ini meletakkan harapan yang besar kepada tuan-tuan dan
puan-puan sebagai wakil mereka. Walaupun mereka tidak
berpeluang hadir bersama mereka pasti inginkan suara
atau harapan mereka disampaikan di perhimpunan ini.
Oleh itu tuan-tuan dan puan-puan hendaklah menunaikan
tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh para
penyokong masing-masing dengan berkesan dan jujur.
3. Negara kita sungguh bertuah kerana walaupun
penduduknya terdiri daripada berbilang kaum, budaya dan
agama, negara kita sentiasa berada dalam keadaan aman
dan rakyatnya hidup sejahtera dan makmur. Keadaan aman
yang terdapat di negara kita bukannya datang dengan
sendiri tetapi adalah kerana usaha murni setiap kaum
untuk hidup bersama-sama. Saya percaya terdapat
kesedaran yang tinggi di kalangan rakyat kita untuk
terus melihat negara kita aman makmur dan penduduknya
bersatu padu.
4. Negara kita baru-baru ini menyambut Hari
Kemerdekaan yang ke-44 tahun, satu tempoh yang panjang
bagi kehidupan seorang manusia tetapi pendek bagi hayat
sebuah negara. Kita dapat menyambutnya dengan meriah
kerana rakyat kita sendiri bertungkus lumus mengambil
bahagian dalam setiap acara sambutan kemerdekaan kerana
hendak menunjukkan bahawa nasib rakyat adalah Keranamu
Malaysia, kerana negara ini aman dan tenang dan rakyat
dapat hidup sempurna, bekerja dan berniaga dengan
pulangan yang tinggi kerana peluang-peluang yang
terdapat di negara ini. Barang sudah tentu keamanan,
ketenteraman dan peluang-peluang adalah hasil daripada
pemerintahan yang cekap dan prihatin yang dipimpin oleh
Barisan Nasional yang mana GERAKAN adalah anggota
dalamnya.
5. Saya percaya jika rakyat kita sentiasa bersyukur
dan berterima kasih kerana keuntungan nasib kita di
negara ini, kita akan bersedia menjaga supaya keadaan
terus kekal dan selamat. Lihat sahaja keadaan negara
berbilang kaum yang lain, bahkan negara yang diduduki
oleh satu kaum sahaja; bukan sahaja keadaan tidak aman
tetapi ekonomi tidak tumbuh dan rakyat sering menderita.
Justeru itu kita harus banyak-banyak berterima kasih
kerana keuntungan yang banyak yang kita dapati dari
negara bertuah ini.
6. Hitungkan sahaja pembangunan pesat di negara kita.
Ramai pelawat asing menganggap kita adalah sebuah negara
yang sudah maju. Kuala Lumpur umpamanya tidak banyak
berbeza dengan kotaraya-kotaraya terkenal di dunia.
Bangunan pencakar langit termasuk yang tertinggi sekali
di dunia, jalan bertingkat, `light rail' dan monorel,
taman-taman bunga dan jalan-jalan yang bersih dan dihias
dengan bunga dan lampu, `shopping-mall' yang besar dan
seribu satu lagi tanda-tanda kemajuan terdapat di Kuala
Lumpur. Di bandar-bandar lain dan di luar bandar juga
terdapat kemudahan yang moden seperti jalan bertar,
klinik perubatan, sekolah, hospital, lebuh raya, bekalan
elektrik dan air.
7. Semua ini adalah hasil kerjasama parti-parti
komponen Barisan Nasional yang bersikap nasionalis,
sanggup bertolak-ansur dan bekerjasama secara pragmatis.
Konsep Barisan Nasional adalah sesuatu yang unik dalam
dunia. Semua pihak mendapat layanan tetapi semua pihak
juga membuat pengorbanan sedikit. Umpamanya di Malaysia
sekolah Cina dibenar tetapi sistem dan kurikulumnya
hendaklah mengikut sistem kebangsaan. Dengan itu orang
Cina dapat belajar dalam bahasa Cina tetapi bahasa
Kebangsaan dan isi kandungan kurikulum adalah isi
kandungan Malaysia. Saya ingin ingatkan bahawa tidak
ada negara lain selain daripada China dan Taiwan yang
secara rasmi mengiktiraf hak orang keturunan Cina
seperti yang terdapat di Malaysia. Ini adalah satu
contoh toleransi yang terdapat dalam Barisan Nasional.
Tidak ada parti komponen yang cuba mendapat populariti
yang lebih baginya dengan menonjol diri sebagai juara
kaumnya lebih daripada parti-parti lain. Dengan cara
ini kita dapat bekerjasama dan menjayakan Barisan
Nasional. Sekali lagi ingin saya tekankan bahawa
kejayaan Barisan Nasional membawa kejayaan kepada kita
semua. Sebaliknya jika kita terlalu berlumba untuk
menjadi lebih popular, tidak dapat tidak Barisan
Nasional akan berpecah dan Barisan Nasional yang
berpecah tentu akan menjadi lemah dan tidak akan dapat
memajukan negara. Kita semua tentu akan rugi.
8. Sebab itu saya ingin menyeru semua parti komponen
supaya mengurangkan persaingan sesama parti komponen
tetapi sebaliknya merapatkan hubungan antara parti-parti
Barisan Nasional serta menumpukan kepada usaha
mengekalkan pemerintahan Barisan Nasional.
9. Kadang-kadang terdapat juga persaingan yang hebat
dalam parti-parti komponen Barisan Nasional untuk
menerajui parti. Kepimpinan parti patut berubah dari
satu masa ke satu masa tetapi persaingan hendaklah
secara sihat, tanpa meretakkan parti. Apabila tamat
persaingan barisan ahli dalam parti hendaklah dirapatkan
semula dan sokongan dan kesetiaan diberi kepada
kepimpinan yang berjaya. Pemimpin yang berjaya pula
tidak harus belakangkan pemimpin yang kalah dan
penyokongnya. Ingatlah yang utama dan penting ialah
parti dan bukan orang tertentu. Ingatlah kekuatan
Barisan Nasional bergantung kepada kekuatan parti-parti
komponennya. Bijak-bijaklah menguatkan parti sendiri
tanpa melemahkan parti-parti komponen yang lain.
10. Baru-baru ini dunia dikejutkan dengan serangan oleh
pengganas ke atas Amerika Syarikat. Beribu orang yang
tidak bersalah mati kerana serangan itu. Semua pimpinan
parti politik di Malaysia, baik Kerajaan atau parti
lawan telah mengutuk perbuatan itu. Kita tidak
bersetuju dengan keganasan kerana negara kita telah
diserang pengganas sejak sebelum merdeka lagi. Setelah
pengganas dikalahkan pada 1990 kita sekarang menghadapi
pengganas jenis lain yang ingin cuba merebut kuasa
dengan mengguna kekerasan.
11. Jika di negara ini tidak ada cara yang halal bagi
menukar Kerajaan, penggunaan kekerasan mungkin menjadi
pilihan. Tetapi di Malaysia yang demokratik ini
mengundi mencukupi untuk menjatuhkan kerajaan dan
mendiri Kerajaan lain. Sebenarnya hari ini pun kita
dapat lihat bagaimana parti lawan berjaya menawan dua
buah negeri.
12. Justeru itu, tidak ada sebab kenapa pihak yang
tidak puas hati perlu mengguna kekerasan untuk merebut
kuasa di negara kita. Tetapi ada antara puak militan
yang mendakwa bahawa demokrasi bukan cara Islam. Jika
demokrasi bukan cara Islam apakah rampasan kuasa melalui
tindakan `terrorist' cara Islam? Sudah tentu tidak.
Islam tidak suka kepada orang yang mencetuskan huru-
hara. Justeru itu, UMNO akan menentukan keganasan untuk
merebut kuasa tidak akan berjaya di negara ini.
13. Negara ini tetap akan kekal sebagai negara
demokrasi di mana rakyat berbilang kaum berhak
menentukan siapa yang akan memerintah negara ini.
Rakyat Malaysia sudah matang dan bijak dan mereka tahu
memilih Kerajaan yang baik. Jika kerana marah terhadap
sesuatu mereka sengaja menolak yang baik dan memilih
parti yang tidak dapat mentadbirkan negara dengan cekap,
maka yang akan menjadi mangsa ialah rakyat sendiri.
Lebih buruk lagi ialah apabila mereka memilih parti yang
disokong oleh kumpulan militan yang berpendapat bahawa
demokrasi bukan sistem Islam dan mereka akan dirikan
Kerajaan oleh sekumpulan orang yang mendakwa diri mereka
sebagai ulama dan mereka sahaja yang boleh memutuskan
semua dasar dan undang-undang. Di sini ingin saya
memperingati DAP supaya jangan main dengan api. Kawan
mereka kurang percaya kepada demokrasi. `Democratic
action' akan hapus jika kawan mereka memerintah.
Diharap pemisahan DAP dari Barisan Tiruan bukanlah satu
sandiwara.
14. Kita dalam Parti Barisan Nasional telah bersama-
sama membangunkan negara kita Malaysia. Bersama-sama
kita telah hadapi cabaran dan rintangan. Dan bersama-
sama telah kita atasi cabaran dan rintangan ini.
15. Bukanlah mudah bagi kita mencapai kejayaan. Untuk
mengekalkan keamanan dan kerjasama antara parti-parti
yang mewakili kaum yang berlainan dan kepentingan
politik yang kadang-kadang bertentangan bukanlah mudah.
Ada kalanya sementara pemimpin parti sanggup membuat
pengorbanan sedikit untuk menjayakan perpaduan dalam
Barisan Nasional, ahli-ahli tertentu tidak sanggup
membuat pengorbanan ini. Mereka cuba gagalkan tolak-
ansur pemimpin dengan mengambil tindakan yang berlainan.
Tetapi umumnya puak yang tidak sanggup bertolak-ansur
dalam parti gagal merosakkan kerjasama antara parti-
parti Barisan Nasional.
16. Parti-parti lawan cuba memainkan isu ras dan agama
untuk menguji kesetiaan parti tertentu dalam Barisan
Nasional kepada konsep bertolak-ansur dalam parti. Isu
sekolah Cina digunakan untuk memisahkan parti kaum Cina
daripada kaum Melayu. Jika kita tidak berjaga-jaga kita
boleh terperangkap dengan mencuba berlawan dengan parti
lawan tentang siapa yang lebih mendokong hak kaum kita.
17. Baru-baru ini Presiden PAS mencabar UMNO
mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam. Harapan
PAS ialah apabila UMNO mengisytiharkan Malaysia sebagai
negara Islam maka rakan-rakan bukan Islam dalam Barisan
Nasional akan menentang UMNO seperti DAP menentang PAS
kerana cadangan PAS untuk mendirikan Malaysia sebagai
negara Islam.
18. UMNO ingin menyatakan secara terang-terang bahawa
Malaysia adalah negara Islam. Pendapat ini berasas
kepada pendapat ramai daripada ulama-ulama di zaman
dahulu yang telah menjelaskan apa dianya negara Islam.
Untuk pengetahuan umum seorang ulama telah menulis buku
yang bertajuk `Malaysia adalah sebuah negara Islam'.
19. Dalam dunia sekarang terdapat lebih kurang 50 buah
negara yang diterima dan diiktiraf sebagai negara Islam.
Mereka diterima sebagai ahli OIC, walaupun ada dalam OIC
negara yang bukan Islam tetapi ada penduduk yang ramai
terdiri daripada orang Islam. Penyelidikan yang telah
kita buat menunjuk bahawa hampir semua dari negara Islam
ini tidak dapat melaksanakan hukum hudud. Namun mereka
masih dianggap dan mereka mengakui bahawa negara mereka
adalah negara Islam.
20. Oleh itu, apabila kita mendakwa bahawa Malaysia
adalah negara Islam kita memang mempunyai hak untuk
berbuat demikian. Jika Malaysia bukan negara Islam
kerana tidak melaksanakan hukum hudud, maka dalam dunia
ini tidak ada negara Islam kerana semua negara yang
dikatakan negara Islam juga tidak dapat melaksanakan
hukum hudud.
21. Malaysia adalah negara berbilang kaum yang
menganuti agama-agama yang berlainan. Majoriti rakyat
negara ini adalah orang Islam. Dan orang Islam berkuasa
di Malaysia. Kuasa yang dimiliki oleh orang Islam bukan
untuk menindas orang bukan Islam. Sebaliknya apabila
orang Islam berkuasa maka mereka hendaklah memerintah
dengan adil. Ini adalah ajaran Islam. Sebab itu di
Malaysia kita tidak menindas orang bukan Islam walaupun
agama rasmi Malaysia adalah agama Islam. Sebaliknya
kita tentukan orang bukan Islam mendapat keadilan dalam
Malaysia sebagai negara Islam. Kita dapati orang bukan
Islam di Malaysia tidak menentang sistem Kerajaan yang
ada sekarang, yang juga menjadi satu sistem yang
diterima oleh agama Islam sebagai sesuai dengan negara
Islam.
22. Kita telah minta PAS memberi penjelasan secara
bertulis akan bentuk dan konsep negara Islam yang hendak
didirikan oleh PAS. Apakah mereka akan gugurkan undang-
undang sivil dan undang-undang jenayah yang ada
sekarang? Dengan penjelasan ini mereka boleh menunjuk
perbezaan antara negara Islam yang dibentuk oleh UMNO
dan diterima oleh dunia dengan negara Islam PAS.
23. Apakah jawapan PAS? Mereka hanya akan menjelaskan
jenis negara dan pemerintahan Islam yang akan mereka
dirikan selepas mereka menang. Ini menunjuk bahawa
mereka ingin menipu pengundi supaya mengundi dengan mata
tertutup. Orang Islam akan mengundi mereka kerana
percaya mereka akan dirikan Kerajaan Islam yang berbeza
dengan yang ada sekarang. Sementara orang bukan Islam
pula akan undi mereka kerana memikir negara Islam
seperti yang ada sekarang tidak merugikan orang bukan
Islam, dan negara Islam PAS juga demikian.
24. Parti yang dikatakan berasas dan berjuang kerana
agama Islam tidak sepatutnya cuba menipu. UMNO berterus-
terang dengan rakyat berbilang kaum Malaysia. Jika UMNO
mendakwa bahawa Malaysia kini adalah negara Islam, ini
adalah oleh kerana dalam negara Islam orang bukan Islam
mempunyai hak tertentu. Walaupun kita isytihar Islam
sebagai agama rasmi, penganut agama lain bebas menganuti
agama mereka. Ini adalah sejajar dengan ajaran Islam.
Tidak ada paksaan dalam Islam. Dan Islam tidak suka
kepada huru-hara yang mungkin berlaku jika undang-undang
Islam cuba dikuatkuasakan ke atas orang bukan Islam.
Jika kerana ini orang bukan Islam menganggap Malaysia
sebagai negara sekular, ini adalah tafsiran mereka dan
mereka bebas membuat tafsiran mereka.
25. Parti DAP telah bincang dengan mendalam dengan
parti PAS berkenaan rancangan PAS untuk mendirikan
negara Islam ala PAS. Sekarang DAP telah tarik diri
daripada Barisan Tiruan kerana sudah sedar akan
rancangan PAS untuk menipu mereka. Rakyat dan pengundi
sama ada Islam atau bukan Islam tidak harus percaya
kepada PAS, kerana PAS sering menipu.
26. Barisan Nasional dan parti-parti komponennya
menyatakan dengan terang pendirian-pendirian masing-
masing. Sejak kita memerintah kita telah tunaikan semua
janji kita. Kita adakan 10 kali pilihan raya dalam
jangkamasa 44 tahun. Kita telah bangunkan seluruh
negara, dari luar bandar hingga ke bandar-bandar. Kita
telah majukan Malaysia sehingga ia menjadi negara
dagangan yang ke-18 terbesar di dunia.
27. Rakyat percaya kepada Barisan Nasional dan parti-
parti komponennya. Oleh itu semua parti komponen
hendaklah pegang kepada prinsip-prinsip perjuangan
Barisan Nasional, menguatkan parti masing-masing dan
bekerjasama untuk menjayakan Barisan Nasional dan
rancangan masa depan negara tercinta ini.
28. Dengan ini, dengan sukacitanya saya merasmikan
Persidangan Perwakilan ke-30 Parti Gerakan Rakyat
Malaysia.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|