Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL PALACE OF THE GOLDEN HORSES,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 16-10-2001
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN AMANAH SAHAM
NASIONAL 3 IMBANG
Versi :
Penyampai : PM
Saya ucapkan terima kasih kepada Permodalan
Nasional Berhad kerana menjemput saya untuk
melancarkan satu lagi saham amanah terbaru PNB pada
hari ini, iaitu Amanah Saham Nasional 3 Imbang (ASN
3). ASN 3 merupakan salah satu daripada saham-saham
amanah PNB yang dibuka kepada semua warganegara
Malaysia selepas Amanah Saham Wawasan 2020 dan Amanah
Saham Malaysia yang ditawarkan pada harga tetap RM1.00
setiap unit. ASN 3 ini juga adalah saham amanah harga
berubah-ubah yang pertama diuruskan oleh PNB dibuka
kepada masyarakat bukan Bumiputera.
2. Kerajaan menyokong penuh usaha PNB memperkenalkan
saham - saham amanah yang dibuka kepada semua rakyat
Malaysia kerana selaras dengan dasar Kerajaan untuk
memberi peluang kepada semua rakyat Malaysia menikmati
hasil kekayaan dan kemakmuran ekonomi negara.
3. Saham amanah PNB ternyata mendapat sambutan yang
menggalakkan daripada seluruh rakyat Malaysia di mana
lebih tujuh juta orang telah melabur dalam saham-saham
amanah PNB dengan pelaburan bernilai lebih daripada
RM36 bilion. Ini adalah satu perkembangan yang amat
membanggakan yang mana kejayaan PNB menarik rakyat
melabur telah memberi sumbangan yang terbesar kepada
pertumbuhan industri saham amanah negara. Kejayaan PNB
ini bukannya dicapai dengan cara yang mudah. Ianya
diperolehi menerusi usaha gigih yang berterusan dan
komitmen tinggi oleh PNB dan Kerajaan dalam memastikan
setiap keputusan pelaburan PNB mampu memberikan pulangan
yang terbaik kepada para pelabur, selain mencapai
matlamat penubuhan PNB dalam menyusun semula status
ekonomi rakyat iaitu menghapuskan idenditi kaum dengan
fungsi ekonomi dan mengatasi kemiskinan di kalangan
semua kaum.
4. Keadaan yang ada pada hari ini dalam masyarakat
berbilang kaum di Malaysia adalah jauh lebih baik, adil
dan saksama berbanding dengan keadaan lebih 30 tahun
lalu. Sesungguhnya apa yang dinikmati oleh kita hari
ini adalah hasil daripada usaha - usaha berterusan
Kerajaan untuk mewujudkan kesaksamaan dan keseimbangan
taraf hidup di kalangan rakyat di negara ini.
5. Pembangunan industri saham amanah menunjukkan
keberkesanannya dalam mengagihkan kekayaan negara
secara sama rata malah turut menyumbang kepada
perkembangan ekonomi negara.Ternyata menerusi mekanisme
saham amanah kita juga berjaya mendidik rakyat Malaysia,
khususnya golongan Bumiputera tentang pelaburan,
terutamanya pelaburan dalam saham amanah. Hari ini,
kita dapati terma-terma pelaburan seperti dividen,bonus
dan risiko bukan lagi suatu perkataan yang asing bagi
masyarakat kita, terutamanya masyarakat luar bandar.Ini
satu perkembangan yang baik. Walau bagaimanapun, usaha-
usaha pendidikan tentang pelaburan dan saham amanah
perlu digiatkan bagi meningkatkan lagi pengetahuan dan
kefahaman rakyat tentang elemen - elemen pelaburan,
khususnya perkaitan di antara pulangan dan risiko dalam
pelaburan.
6. Rakyat Malaysia perlu memahami lebih mendalam lagi
tentang faktor-faktor yang boleh memberi kesan ke atas
pulangan daripada pelaburan yang dilakukan. Selain
daripada kepakaran, profesionalisme dan kredibiliti
pengurus dana, persekitaran dan iklim ekonomi tempatan
dan global juga turut mempengaruhi prestasi portfolio
pelaburan yang diuruskan oleh pengurus dana.
7. Para pelabur harus mempunyai maklumat dan matlamat
pelaburan yang jelas sebelum membuat sebarang keputusan
pelaburan. Ini bagi memastikan pulangan yang diperolehi
setimpal dengan tahap risiko pelaburan yang disertainya.
Pelabur juga perlu faham bahawa pelaburan dalam saham
amanah adalah secara umumnya bersifat jangka panjang.
Dengan itu, para pelabur tidak seharusnya mengharapkan
pulangan yang segera dan tinggi. Selain itu, para
pelabur perlu memahami dan mengikuti perkembangan
pasaran saham tempatan dan global. Pasaran saham global
mempengaruhi perkembangan pasaran saham tempatan.
8. Oleh itu, para pelabur perlu bijak menilai,
membanding dan memilih jenis-jenis pelaburan yang mampu
memberi pulangan yang baik. Walau bagaimanapun, pelabur
perlulah bersikap realistik dalam membandingkan pulangan
-pulangan yang diperolehi daripada p elaburan-pelaburan
yang dilakukan dengan mengambilkira persekitaran ekonomi
dan pasaran saham semasa. Sekiranya pelaburan dalam
saham-saham amanah mampu memberikan pulangan yang lebih
baik berbanding pelaburan-pelaburan jenis lain maka
pulangan yang diperolehi itu sudah cukup baik dan kita
patut bersyukur dengan pencapaian tersebut.
9. Pertumbuhan industri saham amanah di negara ini
masih mempunyai ruang untuk terus berkembang meskipun
pada masa ini ia tidak setanding dengan industri saham
amanah di negara-negara maju. Menyedari tentang potensi
perkembangan industri saham amanah ini, Kerajaan telah
mengambil langkah-langkah wajar untuk memantapkan lagi
industri saham amanah di negara ini. Penubuhan
Suruhanjaya Sekuriti pada tahun 1993 menunjukkan
kesungguhan Kerajaan untuk mengukuhkan struktur
penguatkuasaan bagi menggalakkan dan menggiatkan lagi
pembangunan pasaran modal tempatan.Selain itu, ia turut
berperanan menyelaras dan memperkemaskan lagi struktur
peraturan dan undang-undang berkaitan industri saham
amanah.
10. Di samping itu, penubuhan Malaysian Institute of
Corporate Gorvenance menyerlahkan usaha Kerajaan untuk
memastikan pelaksanaan amalan tadbir korporat yang baik
dalam pasaran modal dan industri saham amanah di negara
ini. Badan-badan kawal selia seperti Suruhanjaya
Sekuriti dan Bursa Saham Kuala Lumpur diberi mandat
untuk memastikan akta, peraturan dan etika tadbir
korporat dipatuhi oleh syarikat-syarikat bagi memastikan
pengurusan yang cekap dan telus. Usaha-usaha ini diharap
dapat meningkatkan keyakinan pelabur-pelabur tempatan
dan asing. Ini penting bagi memastikan pembangunan
pasaran modal dan seterusnya membangunkan ekonomi negara.
11. Kebelakangan ini kita sering mendengar kejadian-
kejadian di mana wang tabungan orang ramai disalahgunakan
dan berlakunya pecah amanah. Kerajaan memandang serius
perkara ini kerana ia akan menjejaskan imej dan keyakinan
rakyat serta pelabur asing terhadap institusi pelaburan
dan perbankan negara. Oleh itu, langkah - langkah
keselamatan dan prosedur urusniaga harian yang jelas dan
teratur perlu diperkemas dan dikaji semula dari semasa
ke semasa bagi memastikan tahap profesionalism e dan
kredibiliti tidak dipersoalkan. Di samping itu, keyakinan
para pelabur dapat dikekalkan dan dipertingkatkan.
12. Selain daripada kepakaran dan kecanggihan teknologi
masa kini, pengurus dana yang baik perlu mengamalkan
sifat yang mulia seperti amanah, telus dan jujur serta
bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka.
Permodalan Nasional Berhad adalah antara institusi
pelaburan ciptaan Kerajaan yang telah berjaya melaksanakan
tanggungjawabnya dengan baik dan mencapai matlamat
penubuhannya. Selama lebih 22 tahun penubuhannya, PNB
terus mencipta kejayaan demi kejayaan. Saya berharap
pengurusan PNB dan kakitangannya tidak mudah leka dan akan
terus melipatgandakan usaha untuk menangani cabaran masa
depan, tambahan pula dengan globalisasi. Di samping itu,
kita juga perlu sentiasa bersedia dan bijak mengenalpasti
peluang-peluang yang dibawa bersama arus globalisasi
untuk memastikan kita mampu bersaing di arena antarabangsa.
13. Sifat amanah, jujur, bertanggungjawab dan telus
dalam segala hal perlu dijadikan panduan dan amalan.
Usaha Kerajaan melalui perancangan yang teliti, pemikiran
strategik dan berwawasan melahirkan PNB ternyata
membuahkan hasil yang membanggakan dan begitu bermakna.
Hasilnya telah pun dinikmati oleh lebih daripada tujuh
juta pelabur. Malah menerusi PNB juga, kita berjaya
menguasai syarikat-syarikat gergasi yang dahulunya
merupakan milik asing. Ini meningkatkan maruah kita di
mata masyarakat antarabangsa dan menunjukkan kepada dunia
kemampuan kita sebagai pengurus dana berwibawa dalam
dunia pelaburan.
14. Kerajaan telah memberi restu kepada usaha PNB
menganjurkan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) yang
disambut setiap tahun pada 20 April. MSAM adalah program
pendidikan bersepadu dan berterusan PNB dalam menyampaikan
maklumat dan pengetahuan terkini mengenai pelaburan,
khususnya pelaburan dalam saham amanah kepada orang ramai.
Saya yakin melalui penglibatan dan komitmen tinggi PNB,
syarikat - syarikat pengurus dana saham amanah dan
badan-badan kawal selia serta syarikat-syarikat pelaburan
PNB, MSAM akan merealisasikan matlamat untuk membina
masyarakat yang celik pelaburan dan memahami dengan jelas
akan kepentingan pelaburan dalam saham amanah sebagai
penyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.
15. Pelancaran ASN 3 ini, adalah tepat pada masanya.
Meskipun pada ketika ini, asas dan sentimen pasaran saham
dibayangi oleh isu-isu global yang melanda negara-negara
maju, terutamanya Amerika Syarikat, tetapi dengan wujudnya
kepelbagaian dan kekuatan ekonomi di samping langkah -
langkah strategik yang diambil oleh Kerajaan untuk
menangani keadaan ekonomi semasa, ekonomi Malaysia pada
dasarnya berpotensi dan mampu untuk terus berdaya saing.
Sesungguhnya keadaan ini memberi peluang kepada pengurus
-pengurus dana seperti PNB menggembleng dana daripada para
pelabur individu untuk tujuan pelaburan dalam sektor-sektor
ekonomi yang berdaya maju.
16. Sama - samalah kita berdoa semoga iklim ekonomi dan
politik dunia akan kembali harmoni dan pasaran akan
kembali pulih. Dengan itu, dunia pelaburan akan
berkembang atas asas 'fundamentals' dan prinsip ekonomi
yang kukuh.Rata-rata penganalisis menjangkakan ekonomi dan
pasaran saham dunia akan mulai pulih menjelang tahun 2002.
Oleh itu, inilah masa yang paling sesuai untuk rakyat
Malaysia merebut peluang melabur dalam saham amanah terbaru
PNB ini.
17. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
pelancaran ASN 3 Imbang.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|