Oleh/By : DATO' SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : SERI PERDANA, PUTRAJAYA
Tarikh/Date : 29-10-2001
Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM SEMPENA LAWATAN
RASMI T.Y.T. BOUNNHANG
VORACHITH PERDANA MENTERI REPUBLIK
DEMOKRATIK RAKYAT LAOS KE MALAYSIA
Versi :
Penyampai : PM
Dengan sukacitanya saya dan isteri saya mengalu-alukan
kedatangan Tuan Yang Terutama dan Puan Khammeung serta
ahli-ahli rombongan Republik Demokratik Rakyat Laos ke
Malaysia. Saya harap lawatan ini akan memberi manfaat
di samping membawa kenangan manis kepada Tuan Yang
Terutama dan ahli-ahli rombongan.
2. Saya sendiri mempunyai kenangan manis semasa
melawat Laos yang indah pada 1994. Sejak lawatan
tersebut dan juga lawatan oleh Perdana Menteri Laos ke
Malaysia yang terdahulu pada tahun 1998, perhubungan
dua hala antara kedua-dua negara terus berkembang dan
membangun.
3. Semasa mesyuarat delegasi hari ini, kita telah
berbincang secara terbuka dan bermakna mengenai arah
tuju hubungan dua hala kita di masa depan serta bidang-
bidang baru yang kita dapat terokai dan bangunkan
bersama bagi memperkukuhkan lagi hubungan kita.
4. Hubungan perdagangan Malaysia - Laos telah
menunjukkan kemajuan yang ketara, walaupun jumlah
perdagangan kita pada tahun 2000 hanya mencapai USD
0.66 juta. Adalah menggalakkan bahawa Laos telah mula
mengimport minyak kelapa sawit dari Malaysia pada tahun
lepas. Terdapat banyak lagi produk yang boleh
dibekalkan oleh Malaysia kepada Laos dan saya percaya
begitu juga sebaliknya.
5. Melalui dasar `prosper-thy-neighbour' negara ini,
sektor swasta Malaysia digalakkan melabur di negara-
negara jiran. Oleh itu, adalah memberangsangkan
apabila didapati bahawa pelabur-pelabur Malaysia sedang
aktif menyumbang ke arah pembangunan ekonomi Laos
terutama dalam bidang pembinaan, perhutanan, perbankan,
khidmat runding dan pendidikan. Pada hari ini terdapat
sebanyak 18 syarikat Malaysia yang beroperasi di Laos
dengan jumlah pelaburan bernilai USD 276.9 juta.
Malaysia merupakan pelabur keempat terbesar di Laos.
Pelaburan terbaru Malaysia di Laos melibatkan kajian
"feasibility" pembinaan projek kuasa hidro bernilai USD
300 juta di Daerah Champassak di selatan negara ini.
6. Di Malaysia, sektor swasta merupakan jentera
penggerak pertumbuhan negara. Saya percaya penglibatan
sektor swasta akan mempercepatkan proses pembangunan
ekonomi di Laos. Namun bagi membolehkan sektor swasta
bergiat aktif dan berkesan, satu persekitaraan yang
sesuai dan kondusif adalah amat diperlukan. Esok Tuan
Yang Terutama akan menghadiri perbincangan dan jamuan
tengahari dengan tokoh-tokoh perniagaan Malaysia. Saya
yakin dalam perjumpaan ini, masyarakat perniagaan
Malaysia akan dapat pendedahan yang lebih baik mengenai
potensi pelaburan dan ekonomi negara Laos.
7. Malaysia berpendapat bahawa sebagai sebuah negara
membangun, keupayaan kita untuk berdaya saing
bergantung kepada kemampuan kita untuk memahirkan diri
dalam teknologi terkini. Dengan kemunculan ICT, cara
kehidupan kita telah banyak berubah. Walaubagaimana
pun, teknologi ini tidak dapat dinikmati oleh semua.
Jurang digital di antara negara-negara yang berupaya
dan yang kurang berupaya semakin melebar. Justeru,
Malaysia dan rakan-rakan ASEAN yang lain telah
bersetuju untuk mengurangkan jurang perbezaan digital
dan pembangunan di kalangan rakan ASEAN. Malaysia akan
membantu rakan-rakan ASEANnya terutama Kemboja,
Myanmar, Laos dan Vietnam (CMLV) menuju ke arah
tersebut.
8. Di samping itu, Malaysia berpendapat bahawa adalah
perlu untuk mengatasi jurang pembangunan di antara
negara-negara ASEAN yang lebih maju dan negara-negara
CMLV. Dalam hal ini, pada pandangan Malaysia adalah
perlu bagi ASEAN untuk membantu meningkatkan keupayaan
dan pembangunan institusi-institusi sokongan negara-
negara CMLV. Pendekatan ini akan membolehkan negara-
negara CMLV mencipta semula sistem perekonomian mereka
dan menarik pelaburan asing.
9. Malaysia gembira bahawa kepimpinan Laos terus
melaksanakan pembaharuan dan mewujudkan institusi-
institusi sokongan ke arah pembentukan ekonomi
berorientasikan pasaran. Malaysia berpendapat bahawa
keinginan Laos untuk menganggotai Pertubuhan
Perdagangan Sedunia (WTO) merupakan satu langkah yang
tepat dan Malaysia menyokong sepenuhnya keanggotaan
Laos dalam pertubuhan tersebut.
10. Keupayaan ASEAN untuk menumpukan usaha ke arah
pembangunan negara dan bangsa pada hakikatnya
bergantung kepada persekitaran yang stabil dan aman.
Tarikan ASEAN sebagai destinasi pelaburan amatlah
berkait rapat dengan keupayaan kerajaan negara-negara
ASEAN mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau
dan memajukan dasar-dasar yang mesra pelaburan.
Walaupun kita telah berjaya dalam usaha ini, tindakan
keganasan di New York dan Washington baru-baru ini
telah memberi ancaman baru yang mungkin melesukan
pemulihan ekonomi sedunia
11. Malaysia menentang keganasan dan percaya bahawa
ancaman kepada manusia sejagat ini memerlukan kerjasama
masyarakat antarabangsa untuk menangani isu tersebut
secara menyeluruh.
12. Selama tiga dekad, ASEAN telah berjaya mengekalkan
keamanan serta kestabilan serantau. Oleh itu, adalah
penting bagi kesejahteraan kita bersama untuk mengekalkan
keharmonian ini yang akan membolehkan kita meneruskan
matlamat pembangunan negara tanpa sebarang gangguan.
Malaysia akan bekerjasama rapat dengan Laos di forum-forum
serantau dan antarabangsa bagi memajukan kepentingan masing-
masing.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|